Untuk Memilih Tajuk Artikel Dalam Blog Ini, Sila Taip Perkataan di sini.

24 Disember 2015

Inilah Masanya Perdamaian PAS dan UMNO? (Episod 1)


Tema Maulidurrasul tahun ini adalah "Perpaduan Nadi Transformasi Negara". Semasa kita senang dan mendapat nikmat kesenangan, kita sering lupa kesusahan orang lain. Negara orang Islam hari ini seperti Syria, Palestine, Iraq, Yaman dan Mesir, bagaimana sekarang? Adakah keamanan seperti yang kita kecapi hari ini?  Syria yang merdeka tahun 1946 hidup aman damai sehinggalah tahun 2015 ini, apa dah jadi? Syria sebelum ini adalah negara yang kaya dengan hasil minyak, penduduknya senang sebelum ini, tapi apa dah jadi sekarang? Sekarang negara mereka hancur dan tidak selamat lagi kerana perang saudara sesama Islam. Negara kita katanya akan mengambil 5 ribu pelarian dari Syria. Kalau kita lihat berita Dunia Jam 10, kita tahu, sekarang orang Syria yang jadi pelarian ke Eropah sudah berjuta jumlahnya. Soalnya, 10 tahun atau 5 tahun dahulu, adakah mereka terfikir yang hari ini mereka akan jadi pelarian? Semua ini mempunyai kaitan yang cukup rapat dengan 'perpaduan'.

PAS dan UMNO

Dato Seri Najib Razak secara terbuka 'menghulurkan tangan' kepada PAS untuk memulakan perdamaian. Ikhlas atau tidak, atau sungguh-sungguh atau main-main, tak tahu lagi. Tapi, DS Najib telah beberapa kali menyatakan hasrat itu secara terbuka untuk 'meminang' PAS. Antara tempat atau pentas yang paling menjadi tumpuan adalah di parlimen semasa pembentangan belanjawan dan di Perhimpunan Agong UMNO 2015 di PWTC. 

Ramai yang ternanti-nanti ucapan DS Najib di perhimpunan UMNO baru-baru ini. Tentu mereka menantikan apa-apa penjelasan terhadap isu-isu 'panas' terkini. Tetapi, apa yang ditunggu tidak terkeluar sehinggalah selesai ucapan itu. Yang adanya adalah, mesej DS Najib selaku presiden UMNO dan perdana menteri adalah menghulurkan perdamaian dengan PAS. Kalau kita imbas kembali perhimpunan UMNO sebelum-sebelum ini adalah pentas untuk mengutuk PAS tanpa belas kasihan. Tapi kini sudah terbalik pula.

Perhimpunan UMNO 2015 ini meninggalkan satu persoalan kepada masa depan politik negara khususnya orang Melayu dan  Islam. UMNO sebagai parti berteraskan Melayu terbesar dan berpegaruh dan berkuasa hendak bersatu dengan PAS yang berjuang untuk Islam. Adakah ini perkara kecil? Beberapa kemungkinan boleh berlaku selepas ini, iaitu:

1. PAS MASUK BN?

PAS  masuk ke dalam BN seperti yang telah berlaku tahun 1969 sewaktu peristiwa 13 Mei yang menyebabkan pemimpun UMNO dan PAS boleh bersatu. Perkara ini tidak ada masalah bagi UMNO dan BN untuk menerima PAS. Parti-parti lain dalam komponen BN tentu tidak ada masalah untuk bersetuju kerana UMNO masih menjadi ketua atau teras dalam BN.

2. PAS DIBUBARKAN DAN MENYERTAI UMNO?

Tidak mustahil juga PAS dibubarkan dan ahli-ahlinya menyertai UMNO. Perkara ini pernah berlaku kepada Parti Semangan 46 pimpinan Tengku Razaleigh Hamzah dan Dr Rais Yatim tahun 1995 dahulu. Kalau ini berlaku, mungkin pemimpin kanan PAS akan diberi jawatan penting dalam UMNO seperti Naib Presiden dan ahli majlis tertinggi UMNO. Pemimpin PAS juga akan mendapat jawatan menteri, timbalan menteri atau exco kerajaan negeri. Di peringkat Pihak Berkuasa Tempatan juga, ahli PAS akan dapat jawatan di peringkat tersebut seperti Ahli Majlis Daerah. Beberapa pemimpin PAS juga akan dilantik sebagai senator Dewan Negara.

3. BN BERI LALUAN KEPADA PAS?

Ada kemungkinan juga BN memberi laluan kepada PAS segi pembahagian kerusi. Maksudnya, kerusi yang ditandingi oleh PAS, BN tidak meletakkan calon di situ. BN berkempen untuk memenangkan PAS. Soal lambang parti, tidak mustahil juga PAS akan menggunakan lambang BN walaupun bukan anggota BN. Ini pernah berlaku kepada pada pilihanraya 2013 di mana BN mengambil Zulkifli Nordin, Naib Presiden PERKASA yang bukan ahli UMNO sebagai calon di Parlimen Shah Alam. 

4. HANYA PERDAMAIAN TAPI TERUS BERTARUNG PAS-UMNO?

Kemungkinan juga UMNO dan PAS hanya berdamai dan bersahabat baik sahaja. Bila tiba pilihanraya umum tahun 2018 nanti, pertembungan terus terjadi antara UMNO dan PAS. Perkara ini pun UMNO nanti-nantikan juga. UMNO terus diserang oleh parti pembangkang terutama PKR dan DAP dalam pelbagai isu sekarang ini. Jadi kalau PAS berdiam diri, UMNO cukup berterima kasih. Daripada tidak dapat memujuk PAS sepenuhnya, sekurangnya ada juga yang UMNO dapat 'untung'.

Perkara ini telah terjadi semasa pengundian belanjawan (Bajet) tahun 2016 lepas. Presiden PAS secara terbuka meminta ahli parlimennya berkecuali dalam pengundian Bajet 2016. Sebelum itu, DAP dan PKR berusaha mencari simpati beberapa ahli parlimen BN supaya berkecuali atau menolak Bajet 2016, tapi rupa-rupanya PAS sendiri yang berkecuali. Presiden PAS Dato Seri Abdul Hadi Awang ada alasan tersendiri untuk 'berkecuali' antaranya PAS perlu menyokong kebaikan yang ada dalam bajet itu untuk kesejahteraan rakyat. Contoh yang paling jelas adalah pemberian bonus yang akan diberikan kepada kakitangan kerajaan pada Januari 2016 dan kenaikan gaji pada tahun 2016 tentu akan tergendala sekiranya Bajet ini 'tersangkut'.

Walaupun begitu, pada pilihanraya negeri Sarawak yang bakal diadakan tahun 2016, PAS tetap meletakkan calonnnya bertembung dengan BN di sana walaupun sudah ada usaha perdamaian. 

5. PAS MENOLAK PERDAMAIAN DENGAN BN?

Mungkin PAS sedang tunggu dan lihat dulu apa 'keuntungan' yang PAS dapat. Ada  orang berkata, sekiranya PAS menyahut perdamaian dengan UMNO, itu satu kesilapan bagi PAS dan akan merugikan PAS. Katanya, akan ramai ahli PAS yang akan keluar parti atau terus tak aktif dalam politik. Ada juga orang kata, UMNO sewaktu senang, masa itu lupakan PAS, tapi bila sudah 'susah' hulurkan pula persahabatan dengan PAS. Ada juga orang kata, perdamaian dengan UMNO hanya helah atau perangkap UMNO dan UMNO akan mengkhianati selepas ini.

DS Haji Hadi tidak tolak tawaran UMNO ini mentah-mentah. Kalaulah PAS tolak, sudah tentu awal-awal lagi DS Haji Hadi membuat kenyataan akhbar untuk menafikan atau menyatakan pendirian menolak perdamaian tersebut. Bahkan, DS Hj Hadi meminta pemimpin dan ahli PAS supaya tidak membuat sebarang kenyataan berkenaan dengan tawaran perdamaian ini. Bermula dengan Multaqa Alumni Al-Azhar yang mempertemukan DS Najib dan DS Haji Hadi pada 15 Disember 2015, mungkin ini akan tercatat dalam sejarah politik negara sebagai permulaan perdamaian itu.




PENGALAMAN MEMATANGKAN PERJUANGAN PAS

PAS telah berjuang dalam kancah politik negara sejak sebelum merdeka lagi, sejak tahun 1951. Walaupun pemimpin PAS bersilih ganti dan beberapa tokoh utama PAS keluar parti, PAS masih bertahan hingga sekarang. Dahulu PAS telah berhadapan dengan Parti HAMIN, BERJASA dan AKIM di dalam pilihanraya terutama di Kelantan, tetapi PAS terus kekal, manakala parti lain itu semakin kita tidak dengar sekarang. Sekarang pula wujud parti baru yang usianya baru beberapa bulan yang ditubuhkan oleh beberapa pemimpin kanan PAS iaitu Parti Amanah Negara atau PAN. Walaupun perkara ini serba sedikit menjejaskan PAS, namun PAS telah menggandakan usaha mendekati orang awam dan menambah keahlian baru PAS. PAS telah berjaya menambah keahlian barunya, melebihi jumlah ahlinya yang keluar parti.

PAS harus mengakui kesilapan silam dan muhasabah diri, iaitu bagaimana orang kuat PAS yang sudah lama dalam PAS boleh keluar parti. PAS tidak perlu meletakkan kelemahan itu kepada pihak lain termasuk orang yang keluar itu sahaja. Sebaliknya PAS perlu mengkaji dan membuat rumusan yang adil. Mungkin juga disebabkan kelemahan tarbiyah di dalam PAS yang tidak dapat mendekati dan menyatupadukan fikrah ahlinya.

PAS MASIH BERPENGARUH?

Beberapa pemimpin PKR yang pada mulanya meminggirkan PAS dan menyambut penubuhan parti PAN, lama kelamaan PKR sendiri 'terpaksa' mengakui 'pengaruh' yang ada pada PAS. Oleh itu, kedudukan PAS dalam pimpinan kerajaan di Selangor masih kekal hingga sekarang dan PAN tidak mendapat tempat dalam exco negeri Selangor walaupun telah wujudnya Pakatan Harapan yang dikatakan telah menggantikan Pakatan Rakyat sebelum ini.

Timbalan Presiden PKR Dato Seri Azmin Ali secara peribadi sangat rapat dengan DS HJ Hadi dan banyak 'terhutang budi' dengan DS Hj Hadi dalam isu jawatan Menteri Besar Selangor. Cuba kita fikir, sekiranya DS Hj Hadi menjadi 'pak turut' kepada kehendak PKR dan DAP dan kehendak Dato Seri Anwar Ibrahim, sudah tentu bukan DS Azmin Ali yang menjadi Menteri Besar hari ini. Sebagai Timbalan Presiden PKR, pengaruh DS Azmin Ali dari kalangan pimpinan PKR dan ADUN di Selangor cukup kuat. Sebab itulah kita lihat nada dan kenyataan beberapa pimpinan PKR seakan mengakui pengaruh PAS di Selangor. 

Seperkara lagi, sekiranya PAS menarik diri dari kerajaan Selangor, kemungkinan kerajaan yang sedia ada di Selangor tidak kekal. Tidak mustahil kalau ada ADUN dari Pakatan Harapan yang 'lari' menyokong parti lain pula kerana 'terasa hati' atau lain-lain sebab. Kedudukan DS Azmin sebagai Menteri Besar pun belum tentu bertahan kerana berkemungkinan bukan DS Azmin Ali yang menjadi pilihan ke jawatan itu. Waktu itu, menyesal tak ada gunanya lagi

Apabila melihat perhimpunan BERSIH tahun 2015 di Kuala Lumpur yang tidak disertai oleh PAS, peserta perhimpunan itu tidak ramai orang Melayu dan Islam, PKR mula memikir semula akan pentingnya pengaruh PAS.

BERSAMBUNG KE EPISOD 2:
( Tajuk: Kalau Boleh Dengan PKR dan DAP sebelum Ini, Kenapa Tak Boleh Dengan UMNO? KLIK SINI

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Dipersilakan komen.