Untuk Memilih Tajuk Artikel Dalam Blog Ini, Sila Taip Perkataan di sini.

29 Disember 2015

PAS Boleh Bersama DAP Sebelum Ini, Tapi Kenapa Tidak Dengan UMNO? (Episod 2)


PAS sebelum ini pernah bersama DAP dalam Pakatan Rakyat yang juga turut dianggotai PKR. Ramai yang mengetahui yang PAS dan DAP mempunyai ideologi dan perjuangan yang berbeza, tetapi kerjasama ini penting terutama dalam menghadapi pilihanraya umum tahun 2008 dan 2013. Hasil kerjasama ini telah membuahkan hasil bagi PAS dan DAP. Antaranya kejayaan PAS adalah, mendapat sokongan padu pengundi Cina dan India terutama di bandar serta pinggir bandar. Kemenangan PAS menang kerusi DUN di Kedah, Perak, Selangor, Johor, Pahang, Pulau Pinang, Negeri Sembilan dan Melaka antaranya adalah faktor kerjasama dengan DAP. 

DAP Banyak Untung Ketika Bersama PAS

Kerjasama PAS-DAP ini turut mendapat keuntungan kepada DAP di mana kerjasama dengan PAS ini telah serba sedikit memulihkan imej DAP di mata orang Melayu. Kempen-kempen pilihanraya kepada orang Melayu selama ini sering menggambarkan DAP dengan pelbagai imej yang negatif tetapi dengan kerjasama dengan PAS, serba sedikit imej DAP dapat dipulihkan. Buktinya adalah kejayaan DAP di Parlimen Bakri (Johor), Kluang(Johor), Kulai(Johor), Gelang Patah(Johor) serta ADUN (Tangkak), Johor Jaya, Stulang, Senai, Bentayan dan lain-lain. Banyak lagi contoh di negeri lain yang sama dengan situasi ini. Selepas ini, apabila DAP sudah tidak bersama PAS lagi, adakah DAP boleh mendapat kemenangan yang besar di Johor dan lain-lain negeri seperti dalam pilihanraya tahun 2013? Untuk menjawabnya, sila buat bancian dan temuramah dengan pengundi Melayu, Saya meramalkan, tanpa sekongan orang Melayu, DAP hanya boleh mempertahankan 2 ADUN sahaja dalam pilihanraya akan datang di Johor iaitu Mengkibol (Kluang) dan Skudai (di Parlimen Gelang Patah).

DAP kena faham sikap pengundi Melayu. Selama ini orang Melayu 'ditakut-takutkan' oleh media untuk mengundi DAP. Tetapi jasa PAS kepada DAP terlalu banyak di dalam melawan kembali isu-isu yang dibangkitkan. Orang Melayu begitu sensitif apabila disentuh mengenai Agama Islam, ketuanan Melayu dan Bumiputera, penggunaan kalimah Allah kepada bukan Islam, isu murtad, isu makanan halal, isu Isreal dan lain-lain. Oleh kerana pemimpin PAS sendiri yang bersuara dan mempertahankan DAP dalam isu-isu ini, maka pengundi Melayu akan dapat menerima DAP pada pilihanraya 2013.

DAP tidak boleh meyakinkan pengundi Melayu dengan kehadiran beberapa orang pemimpin Melayu dalam DAP, calon Melayu dan ahli Melayu. Orang Melayu bagaimanapun tetap kata yang DAP itu dikuasai oleh orang bukan Melayu kerana orang Melayu berapa orang saja? Soal dasar DAP juga tidak ada menyatakan DAP memperjuangkan Islam tetapi memperjuangkan kebebasan beragama seperti dalam perlembagaan. Yang paling orang Melayu terkilan dengan DAP adalah apabila DAP secara terang-terangan menentang enakmen syariah yang diluluskan oleh kerajaan Kelantan. Ramai juga orang Melayu yang nampak saja lambang DAP, sudah timbul rasa 'curiga' dan takut hendak memberi undi. Jadi, apabila PAS sudah tidak bersama DAP lagi, DAP bakal hilang besar undi Melayu dalam pilihanraya akan datang. Sebenarnya, peranan PKR dan PAN tidaklah sebesar peranan dan jasa PAS dalam menarik pengundi Melayu terhadap DAP.

Kenapa PAS Bersama DAP?

Sepanjang 'perkahwinan' PAS-DAP, PAS sudah 'letih' menjawab serangan media mengenai isu-isu yang dibangkitkan untuk memecahbelahkan kerjasama ini. Sememangnya perjuangan PAS adalah Islam manakala DAP memperjuangkan 'Malaysian Malaysia'. PAS dan DAP tidak pernah membuang dasar ini sepanjang kerjasama dalam Pakatan Rakyat ini. Ada yang menyatakan PAS dan DAP tidur sebantal dan mimpi lain-lain. Ada kata PAS dan DAP adalah 'pakatan rapuh' yang satu masa nanti akan berpecah juga. Bagaimanapun, pemimpin PAS telah 'terpaksa' untuk bekerjasama dengan DAP untuk mengelakkan pertandingan 3 penjuru dalam pilihanraya umum dalam menghadapi BN. Kalau berlaku pertandingan 3 penjuru, yang ruginya adalah pembangkang. Contohnya, berlaku beberapa kerusis yang pembangkang kuat tetapi tewas kepada BN di Kota Damansara dan Semenyih di Selangor. Begitu juga di Terengganu dan Pulau Pinang yang membuatkan BN 'tersenyum sendiri'.

Sebelum Ini UMNO Tak Pujuk PAS

Bukan salah PAS untuk bersama DAP sebab UMNO tak pujuk pun PAS sebelum ini. Keputusannya mudah, iaitu sama ada bersama Pakatan Rakyat atau BN. Tapi kalau BN pun tak pelawa, Pakatan Rakyat pelawa, maka pergilah PAS kepada PR. Akhirnya, PAS sendiri sedar yang 'percintaannya' bersama DAP tak kekal lama. Akhirnya PAS 'bercerai talak satu' dengan DAP tahun 2015 selepas Muktamar PAS. Bukan setakat berpisah, tetapi PAS dan DAP terus melakukan serangan hebat untuk menegakkan kebenaran masing-masing. Mungkin pemimpin PAS dan DAP berpuashati dengan kenyataan yang dikeluarkan, tetapi orang awam yang jadi pengundi bagaimana sikap mereka? Kadang-kadang PAS dan DAP lupa yang lawan sebenarnya adalah BN, bukan sesama pembangkang.

Mungkin pengundi sudah bosan dengan perkara ini terutama orang Melayu yang mengundi DAP di kawasan mereka. Orang awam juga keliru mengenai halatuju PAS selepas ini. Adakah PAS akan bertandingan sendirian sehingga wujudnya pertandingan 3 penjuru? Ini tidak mustahil, PAS cukup calon dan cukup duit untuk membiayai kesemua calon. PAS katanya akan meletakkan semua calon di kawasan DAP dan PAN manakala di kawasan PKR, katanya PAS masih berunding. Tapi yang orang lain nampak, tidak mustahil PAS juga akan meletakkan calon di kawasan PKR bertanding. Apabila perkara ini berlaku, masing-masing hendak tunjukkan kekuatan masing-masing, tapi yang ruginya adalah pembangkag dan yang untungnya adalah BN. Kalau pertandingan 3 penjuru ini berlaku, saya jangkakan BN akan mendapat menang besar di Selangor, manalaka DAP, PKR dan PAS hanya dapat 2-3 kerusi sahaja di Selangor. Masa itu, menyesal tiada guna lagi.

PKR Serba Salah

Sebab itu PKR terpaksa mengalah dengan 'kerenah' PAS ini. Kalau PKR berkelahi dengan PAS, akibatnya cukup merbahaya. Sebab itu, sehingga sekarang PKR masih mengekalkan ADUN PAS sebagai exco di Selangor. Di Pulau Pinang pun kerajaan DAP boleh tumbang pada pilihanraya akan datang sekiranya PAS meneruskan hasrat bertanding 3 penjuru. Di kawasan Melayu, PAS meletakkan calon Melayu dan di kawasan majoriti Cina, PAS meletakkan calon berbangsa Cina dari kelab penyokongnya. Saya meramalkan, kalau ini berlaku, BN akan kembali berkuasa di Pulau Pinang dengan majoriti mudah. DAP pula tidak cukup 2 atau 3 ADUN saja kerana PKR dan PAS tewas di semua kerusi. 

Situasi yang sama juga berlaku di Perak kalau berlaku pertandingan 3 penjuru. Saya meramalkan BN akan  mencatat kemenangan besar dan mendapat majoriti dua pertiga. Saya meramalkan DAP akan menang 5-10 kerusi saja, manakala PAS mendapat 2-3 kerusi begitu juga dengan PKR mendapat 2-3 kerusi sahaja.

PAS Ada Kelebihan Untuk Bertanding 3 Penjuru?

Mungkin PAS sudah mengkaji apa yang untungnya bersendirian dan bertanding 3 penjuru. Pada saya, PAS akan mencatat kemenangan yang besar di Kelantan dan Terengganu kalau bertanding 3 penjuru. Manakala di Pahang dan Kedah pula peluang PAS berkuasa adalah lebih. Di Kelantan, rekod PAS selama ini sangat cemerlang sejak Dato Nik Aziz merampas kembali Kelantan dari tangan BN tahun 1990. Dalam situasi sekarang dikirakan 'tidak ada sebab' untuk pengundi Kelantan memilih BN kembali menerajui pentadbiran negeri. 

Pertandingan pilihanraya juga mengkin berlaku pertandingan 2 penjuru sahaja antara PAS dan BN. DAP mungkin hanya boleh meletakkan 1 atau 2 kerusi sahaja dan kawasan bandar dan harapan untuk menang sangat tipis. Atau mungkin DAP terus tidak bertanding di Kelantan. PKR pula sudah mengakui sukarnya parti itu menang di Kelantan kerana pengaruh PAS yang jauh lebih kuat. Mungkin juga PKR terus tidak bertanding di Kelantan. Parti baru yang ditubuhkan oleh bekas pemimpin dan ahli PAS iaitu PAN katanya akan meletakkan calon di Kelantan. Tetapi PAN jangan 'syok sendiri' mengenai kekuatannya di Kelantan. Kalau PAN bertanding di Kelantan, tidak mustahil PAN akan hilang wang pertaruhan kerana persaingan utama adalah PAS dan BN sahaja.

Selama ini, PAS 'terpaksa' mengambil calon PKR bertanding di Kelantan kerana menghormati gabungan mereka dalam Pakatan Rakyat di peringkat pusat. Hakikatnya, orang PAS kalau boleh, biarlah PKR tidak bertanding lansung di Kelantan sebelum ini. Mereka mahu parti yang mutlak memperjuangkan Islam seperti PAS sahaja. Sebab itu, PKR tewas di banyak kerusi di Kelantan walaupun BN tidak kuat di kawasan tersebut. Malah, ramai pengundi di sana mengundi PAS di peringkat DUN tetapi tidak mengundi PKR di Parlimen. Ada juga ahli PAS yang 'tidak ikhlas' berkempen untuk PKR di Kelantan kerana mereka 'tidak senang' dengan penyerahan kerusi tersebut kepada PKR. 

Jadi, PAS lebih memilih untuk bersendirian di Kelantan dan PAS meramalkan akan mandapat kejayaan yang lebih besar berbanding bersama PR. Lagi pun, orang Melayu Islam di Kelantan sebelum ini ada juga yang tidak bersetuju dengan pakatan PAS dan DAP kerana menjangkakan DAP tidak bersetuju dengan undang-undang syariah di Kelantan. Akibatnya, banyak juga undi PAS telah pergi kepada BN kerana rasa tidak puashati ini. Tapi kali ini, apabila PAS bersendirian, sebenarnya PAS jauh lebih kuat di Kelantan.

Terengganu

Sebenarnya, suasana di Kelantan dan Terengganu hampir sama sahaja. Walaupun PAS tidak lagi mentadbir Terengganu tetapi kekuatan PAS di Terengganu hampir sama dengan Kelantan malah mungkin lebih kuat lagi di Terengganu. Sebab itu, apabila PAS memilih untuk berjuang bersendirian, PAS ada banyak kelebihan. Malah mungkin juga PAS tidak memberi ruang lansung kepada PKR untuk bertanding di Terengganu pada pilihanraya akan datang. Tahun 2013 pun, berlaku percubaan untuk menyingkirkan PKR dari bertanding di Terengganu sehingga terjadinya cerita 'calon pil kuda' yang telah menyeret DS Hj Hadi ke Mahkamah. Kehadiran PAN di Terengganu masih baru dan orang Terengganu hanya melihat pertarunga sebenar di Terengganu adalah antara PAS dan BN sahaja.

Pahang dan Kedah

Pahang menjadi negeri sasaran PAS untuk melengkapkan penguasaan PAS di negeri pantai timur.  Ramai pemimpin muda dari kalangan AJK PAS sekarang adalah orang Pahang yang berusaha gigih untuk menawan negeri ini. Bagaimanapun, walaupun target PAS untuk menang secara mutlak sehingga menjatuhkan kerajaan BN di Pahang masih jauh. PAS diramal akan menambah lebih banyak kerusi dari yang sedia ada di Pahang sekarang.

Kedah ada negeri yang secara tradisinya 'kuat PAS' di kalangan orang Melayu. Apabila PAS tidak lagi bersama PR, dijangka sokongan di kalangan orang Melayu di Kedah akan bertambah kuat.

Risiko Bertanding 3 Penjuru

Walaupun PAS merasakan mempunyai kekuatan apabila bersendirian, risikonya amat tinggi. Tidak mustahil, PAS akan kalah teruk dan kehilangan Kelantan sekiranya PAS 'tersalah langkah'. Kehadiran PAN yang tidaklah sekuat PAS tetapi serba sedikit menjadi 'pengacau' kepada undi PAS nanti. PAS sudah semakin curiga dengan PKR terutama apabila presiden PKR, Datin Seri Wan Azizah membuat ulasan semasa pengagihan kerusi dalam pilihanraya Sarawak. Orang PAS terkilan seolah-olah PKR menafikan kehadiran PAS di Sarawak sejak dahulu lagi, sejak PKR belum tertubuh lagi. Oleh kerana PKR boleh 'menyingkirkan' PAS di Sarawak sekarang, tidak mustahil PKR akan 'membuang' PAS dalam pilihanraya umum tahun 2018 nanti.

Oleh itu, apabila DS Najib dan UMNO menghulurkan tangan persahabatan dan perdamaian kepada PAS, PAS tidak perlu tolak bulat-bulat. PAS kena dengar dan bertanya dahulu, apakah bentuk kerjasama itu? Kalau kerjasama ini memberi satu harapan baru kepada PAS, tidak ada salahnya PAS menerima. Pemimpin PAS bukan tidak ada ilmu dan bukan mudah tertipu begitu saja. Kalau ini berlaku, kekuatan politik orang Melayu Islam di negara kita akan menjadi kuat kerana kita bersatu padu membangun negara kita yang tercinta ini.

BERSAMBUNG KE EPISOD 3......


Episod 1, klik sini



Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Dipersilakan komen.