Dari rumah saya di Persiaran Tanjong, pagi tu ronda-ronda kat satu taman tak jauh dari situ selepas pergi kedai mamak. Sampai di satu rumah tu, nampak satu iklan terlekat kat pintu pagar. Apa yang saya nampak, nampaknya kertas tu baru saja ditampal. Saya berhentikan kereta dan turun dan lihat di pintu pagar rumah tu.
Alamak, lelong rumah tu dalam RM 110,000, murah sangat. Itu rumah teres bukan kondo atau pangsapuri. Saya pernah tanya dulu dalam tahun 2003, rumah kat situ harga lebih RM 200,000 orang nak jual. Sekarang saya anggar harga dalam RM 150,000. Saya tulis butir-butir berkenaan lelong iaitu tarikh lelong, syarikat yang melelong dan nombor telefon pelelong. Kemudian saya ambil gambar pakai handphone murah saya.
Kawan Sepejabat
Masa tengok rumah tu, kat sebelah rumah tu, saya ternampak kereta yang saya biasa lihat iaitu kereta kawan sepejabat saya. Baru saya ingat, dia beli rumah sebelah rumah tu dalam setahun yang lepas. Tapi saya buat senyap saja, tak bising-bising, nak masuk rumah lelong kenalah senyap-senyap.
Petang tu, saya rasa nak pergi tengok sekali lagi rumah tu. Nak betul-betul puashati sebab congak-congak, rasa saya nak masuk lelong seminggu lagi. Tapi, bila sampai kat rumah tu, kertas tadi dah tak ada. Dan didapati ada kereta dalam pagar dan pintu terbuka. Dari yang saya lihat, itu rumah keluarga sebab banyak kasut, ada basikal budak dan baju bersidai. Rasanya tuan rumah tu yang koyakkan.
Tanya member
Esoknya, Isnin saya jumpa member kat pejabat tu kat kantin. Tanya dia, konon-konon nak cari rumah sewa kat sekitar rumah dia tu. Dia kata tak ada kosong dan payah rumah situ nak kosong. Saya tanya rumah dia, beli berapa ribu ? Dia kata, semua sekali gedebak gedebuk RM 160,000. Dia buat loan, bayar bulan dalam RM 900 sebulan.
Ermmm
Ermmm, memang member tu tak tahu yang rumah sebelah rumah dia akan dilelong. Saya yang jauh lagi tahu. Maka kira confirm ler saya masuk lelong tu. Mana tahu rezeki saya nanti. Target saya, rumah tu kalau dapat harga tu, nak buat loan macam biasa dan saya kira dalam RM500 sebulan. Sewa di situ dalam RM600 ke atas. Satu lagi, beli jer lepas tu nak jual dalam harga RM 160,000 macam member tu beli. Macam-macam saya fikir walaupun rumah belum dapat lagi.
Hari Lelong
Saya dah sedia dengan bank draf sepuluh persen dan pergi ke Mahkamah Johor Bahru pada hari lelongan. Sampai sana, rupanya bukan satu, tapi lebih 20 biji rumah lelong dan ada juga lelong tanah. Pelelong pula bukan satu, ada dalam 4-5 pelelong. Sampai kat situ, seorang lelaki menegur saya. Dia dah kenal saya sebab beberapa kali ada di tempat lelong.
Dia tanya saya masuk rumah mana satu. Oleh kerana memang dah kenal dia, saya cerita rumah kat situ. (kalau orang yang baru dan belum ada pengalaman masuk lelong, elok jangan bercerita dengan orang yang kita tak kenal, takut orang tu nak intip rahsia kita). Lelaki tu kira macam ulat juga dalam bab lelong ni. Saya panggil ulat sebab saya tak tahu apa kerja dia. Tapi kadang-kadang berkawan dengan ulat ni ada baik juga.
"Ayyaaa.. itu ramai orang mahu lawan, banyak susah". Kata lelaki tu.
"Betul ker itu macam, tak boleh kasi saya ker ?" Tanya saya.
"Ini rumah tak berani nak tolong, ini ramai orang, ingat sudah sampai 10 orang". Kata dia lagi.
Alamak... 10 orang ? Terkejut juga saya tapi rilek saya. Saya pula jalan-jalan kat orang ramai tu. Sekali-sekali tegur dan tanya dia orang. Saya tanya, beberapa orang mengaku nakkan rumah tu. (Patut jangan mengaku, diam-diam saja).
Lelaki ulat tadi lalu depan saya dan buat isyarat tangan. Saya percaya tandanya, rumah tu akan terus lawan juga dan tak ada orang yang nak menarik diri.
Masuk Mahkamah
Bila masa rumah itu dilelong, pelelong memaklumkan yang rumah tu ada 12 pembida termasuk saya. Alamak, ingatkan 10, rupanya 12. Bila sebut saja rumah yang saya nak lelong tu, tiba-tiba ada seorang lelaki dan seorang wanita berkata-kata sesuatu.
"Tuan hakim, saya mohon rumah saya tidak dilelong, tolonglahh, saya tak ada tempat nak tinggal" Kata lelaki itu. Hakim diam saja, kemudian meminta 12 pembida untuk berkata-kata.
Saya diam saja, lahir rasa simpati pada tuan rumah tu. Yer le, kita masuk lelong bukan sebab tak ada rumah, ada rumah, cuma nak tambah orang rumah. Opsss bukan orang rumah, nak tambah rumah...
Kemudian seorang wanita berkata-kata iaitu mungkin isteri dia.
"Tolonglah, kalau dilelong pun, kami akur. Tapi saya pun masuk lelong untuk beli rumah ini. Harap orang lain berilah saya rumah ini". Kata wanita itu.
Hakim tetap jalankan tugas melelong dan terpulang pada pembida lain kata hakim. Saya diam saja tapi ada beberapa orang yang tak setuju menarik diri dan mahu lawan kalau lelongan diteruskan. Oleh kerana pembida lain hendak teruskan, maka lelongan diteruskan.
Saya Tak Berani Nak Lawan Tinggi-tinggi
Beberapa pembida lawan tak putus-putus. Saya mulanya diam, mungkin saya nak bersuara dipenghujung, mungkin. Itupun kalau harganya munasabah, kalau munaserawak, saya diam sajalah sampai akhir. Rupanya memang lawan cukup kuat, macam ulat kat luar tadi cakap. Kalau tak silap saya, yang dapat tu harga dalam RM 165,000 (lebih kurang, saya lupa yang tepat). Yang dapat tu orang lain, bukan tuan rumah tadi.
Baliklah
Baliklah saya, ambil semula bank draf dan pergi tukar kat bank. Masa bawak kereta tu, terfikir juga saya. Kalau dapatpun rumah tu, hati tak sedap. Rasa macam nak rampas rumah orang pulak rasanya. Itu perasaan saya, walaupun undang-undang tak kata begitu. Itu kali pertama saya tengok lelong rumah orang tuan rumah merayu macam tu.
Dulu Kenapa Sampai Rumah Kena Lelong ?
Tak tahulah lepas ni orang tu duduk mana, rumah dah kena lelong. Tapi terfikir juga saya, dulu sebelum kena lelong, kenapa boleh kena lelong ?... Pertama kenapa tak bayar bank ? Yer le, jawapannya ada masalah kewangan dan tanggungjawab lain termasuk anak sekolah dan bayar kereta.
Kedua, kenapa tak selesaikan masalah kewangannya. Susah sangat, jumpalah saya sebagai perunding kewangan. Dalam kes ini, mungkin tuan rumah boleh jual rumah ini dengan harga yang sesuai dalam RM 150,000 sebelum kena lelong.
Rumah di situ mahal dan harga itu saya percaya ada orang beli. Kalau tak 150,000 pun, boleh kurangkan dalam 140,000. Boleh bayar hutang rumah tu dan ada duit lebih sikit untuk pindah ke rumah sewa sementara waktu. Lepas ni, kalau ekonomi kukuh sikit, belilah rumah lain di JB.