Nampaknya bajet 2012 banyak yang dapat faedah terutama kakitangan kerajaan. Pengumuman bonus setengah bulan, kenaikan gaji yang masih samar-samar dan pengenalan sistem saraan yang masih lagi menjadi tandatanya. Yang masih samar-samar dan jadi tandatanya ini, saya rasa akan diperjelas serta diperincikan selepas ini oleh pihak yang berwajib. Perdana Menteri hanya umumkan secara umum saja. Tapi yang pasti, semakan gaji ini pasti menguntungkan kakitangan kerajaan.
Bonus Setengah Bulan
Saya rasa cukup berpatutan bagi bonus setengah bulan ini sebab hari raya baru ini dah dapat setengah, maknanya dapat sebulan juga. Lebih bermakna lagi kalau yang masih simpan atau tak belanja duit bonus yang dapat masa raya lepas. Yer, apa yang peliknya kalau ada yang masih simpan bonus itu. Cuma orang yang berjaya simpan adalah orang yang tidak boros sewaktu raya dulu.
Janganlah kata orang yang tak belanja bonus dulu tu orang kedekut, tidak. Mereka raya tetap raya, balik kampung tetap balik kampung, beli mercun pun tetap, masak makanan hari raya pun tetap dan kasi duit raya pada budak datang rumah pun tetap.
Yer, bonus sebulan gaji dalam setahun ini cukup besar. Pada saya, bonus ini adalah satu anugerah yang kalau dapat, kira alhamdulillah, kalau tak dapat pula, tak apa, tak ada rezeki kita. Tapi malangnya, ramai orang kita yang meletakkan bonus ini sebagai satu keperluan yang mesti kita dapat atau memasukkan dalam belanjawan sebagai satu yang wajib. Amat memalukan juga bila tak dapat bonus, akan mengeluarkan perkataan seperti tak ada belanja anak sekolah.
Bonus Anak Sekolah
Saya sudah ulas isu ini dalam tulisan saya terdahulu. Kenapa ? Kalau tak dapat bonus, anak tak boleh sekolah ker ? Mak ayah yang kerja kerajaan tak mampu nak beli pakaian dan alat sekolah ker ? Saya kata, kalau nak minta bonus, janganlah buat alasan seperti ini. Sebab apa ? Malulah sikit dan janganlah nak bonus punya pasal sampai memalukan diri sendiri. Bukan saya nak sindir badan yang meminta bonus itu tapi minta tu, buatlah alasan lain. Alhamdulillah tulisan saya ada orang baca juga dan sekarang ini, badan yang minta bonus ini tak lagi bawa isu dan alasan anak sekolah ini, alhamdulillah.
Pada saya, dapat bonus atau tak dapat bonus pun sama saja. Yang penting pada kita adalah belanja berhemah. Tak ada maknanya kita dapat bonus tak seberapa, tapi belanja kita berganda-ganda dari yang kita dapat. Tengoklah selepas ini, kalau di bandar pasti ada jualan murah akhir tahun atau sempena perayaan tertentu. Pada saya, baguslah dapat peluang beli barang murah. Tapi masalahnya, ramai orang kita yang rambang mata dan berbelanja melebihi had. Sedangkan benda yang dibeli itu kalau tak dibeli pun tak apa.
Kereta Baru
Kenapa dengan kereta yang sedia ada ? Nampak masih okey lagi. Pada saya, selagi kereta masih okey, pakai sajalah dulu. Kalau rosak tu, pergilah betulkan, bukan sebanyak mana pun rosak. Tapi ramai orang kita yang tewas nak beli kereta baru atau kereta terpakai yang dia minat. Okey, nasihat saya kalau nak beli kereta, jangan ikut nafsu sangat dan tengok kemampuan kita dulu. Kalau rasa hanya mampu kereta terpakai, tak perlulah beli kereta baru.
Lagi satu, ramai orang suka pakai kereta cc kecil kononnya untuk jimat minyak sedangkan jimat tidak sebanyak mana. Tapi dia tidak kira bayaran loan kereta bulanan yang tinggi dengan beli kereta baru lebih mahal dari harga penjimatan minyak. Contohnya, seorang yang ada kereta yang dikatakan banyak minyak sikit dan kereta dah habis bayar bank. Jadi kenapa pula nak beli kereta baru yang kononnya nak jimat minyak sedangkan kena bayar loan bank lagi, tidak jimatlah tu. Lagi satu, ramai orang kata pakai kereta cc kecil jimat minyak sampai dua tiga kali bertukar kereta pun masih pakai cc kecil. Dia tak tahu rupanya kereta cc besar lebih menjimatkan terutama perjalanan jarak jauh malah lebih tahan lasak alatganti lebih tahan lama.
Okey, kereta terpakai sekarang banyak yang murah-murah dan kualiti dia cukup bagus. Kereta baru bukan semestinya bagus, kekadang kualiti kereta lama lagi bagus. Contohnya, tengok gambar kereta Peugeot 405 warna merah ini. Kualiti dia, kelajuan, kawalan stereng, kekemasan kerusi dan lain-lain belum tentu kereta baru yang mahal-mahal boleh lawan.
Banyak lagi kereta secondhand terutama buatan Jepun seperti Honda dan Toyota yang sudah murah dan mudah dijaga serta minyak tak terlalu banyak. Begitu juga kereta Korea secondhand seperti Hyundai yang lebih murah dari kereta Jepun dengan kualiti yang baik. Kereta-kereta ini dulu pernah dijual dengan harga ratusan ribu waktu kegemilangannya dan mendapat pengiktirafan dunia. Jadi, kereta baru yang kita pakai sekarang, dapat peniktirafan apa ? Kalau boleh, kereta yang harga sangat murah ini kita beli tunai saja, tiap bulan tak perlu fikir bayar utang. Kalau buat loan pun, bayar tak tinggi mana. Boleh difikirkan juga bagi kakitangan kerajaan bual personal loan untuk beli kereta murah secara tunai.
Harga Barang Naik
Dapat bonus bukan alasan barang naik walaupun ada juga sikit-sikit kesannya iaitu peniaga mengambil kesempatan naikkan harga. Tapi ambil kesempatan pun, takkanlah melampau sangat. Peniaga pun tahu, yang beli barang dia bukan orang kerja kerajaan saja, lagipun saingan kedai lain, pasaraya lain pun banyak. Lama kelamaan peniaga akan bersikap rasional semula.
Kalau kedai makan pula, dia nak naikkan harga, pun dia serba salah juga. Lebih lagi kedai dia tu bukan masak sedap sangat dan bukan bersih sangat. Kalau naik harga, nanti pelanggan pergi kedai lain pulak. Jadi, peniaga akan fikir sendiri dan taklah terus nak naikkan harga saja.
Harga barang naik memanglah naik dan nilai duit ini semakin kecil. Dulu zaman arwah ayah saya tahun 50-60-an kata pergi sekolah bawak 5 sen dah kira mewah. Zaman saya tahun 70-80 -an mula 30 sen, lepas tu 50-sen kira dah mewah juga. Sekarang budak sekolah, seringgit dah kira tak cukup. Kalau dari pagi sambung ke sekolah petang, RM 5 seorang lebih. Okey, nanti 10 tahun lagi, pasti berubah lagi.
Simpan Duit Bonus
Kepada yang tak belanjakan duit bonus tu, simpanlah untuk masa depan kita. Kalau dah habis tu, diam-diam saja. Lagi satu, ada orang kita yang bonus pun belum dapat tapi dah rancang macam-macam. Menyimpanlah, malah jadikan menyimpan ini satu budaya. Kalau boleh, paksa diri kita menyimpan tapi kalau dah terpaksa belanja, keluarkanlah.
Simpanlah di tempat yang selamat yang tidak ada risiko kerugian seperti Tabung Haji dan ASB. Lagi pun, bila-bila kita perlukan duit tu, bila-bila boleh keluar. Kalau amanah saham, dia boleh turun naik. Beli emas atau pelaburan emas, kena hati-hati sebab ada risiko turun naik. Masuk insuran tu kalau tak masuk pun tak apa, bukan wajib. Jangan cepat terpengaruh dengan penipuan pelaburan.
Lagi satu, elakkan berniaga atau melabur dalam sesuatu yang kita tak berapa mahir seperti buat sarang burung walit. Kita tunggu dan kumpul pengalaman dulu sampai kita pakar, barulah masuk dalam bidang ini. Kemudian dalam berniaga sampingan ini, betullah orang kita nak berniaga, nak cari pendapatan lebih. Tapi berniaga ini kena kajian terperinci dulu sebelum menceburkan diri. Nanti kalau tak betul-betul, boleh rugi.
Kesimpulannya orang yang dapat bonus tapi tak ada makna seperti tajuk saya ini adalah orang yang tidak mempunyai perancangan kewangan yang betul serta boros. Fikir dan rancang sendirilah kewangan kita.
Sekian.