Ramadhan kali ini dan hari raya yang bakal tiba tak lama lagi, mengundang satu kesunyian yang amat sangat kepada seorang wanita awal 30-an. Dia sudah bercerai kira-kira 10 bulan lepas iaitu selepas Aidilfitri tahun lepas dengan suaminya. Bila ditanya, katanya, punca percerian adalah kerana suaminya 'curang'. Bila ditanya, apakah 'curang itu, jawabnya, suaminya telah bernikah senyap-senyap dengan seorang janda muda 20-an, rakan sekerja suaminya. Persoalannya, sesuaikan perkataan 'curang' ini ?
Mohon Fasakh Di Mahkamah Syariah
Apabila suaminya kantoi dan tak dapat tutup lubang lagi, wanita ini mengamuk ala-ala histeria kerana seakan tidak percaya apa yang telah dilakukan suaminya. Ditambah lagi, ibu dan adik beradiknya juga membela dia dan sama-sama berdendam dengan suaminya.
Main Bomoh ?
Wanita ini mendakwa, isteri baru suaminya main bomoh dan nak bolot harta-harta suaminya. Katanya, isteri barunya main bomoh supaya mengganggu kesihatannya dan mencabut nyawanya. Katanya, dia sering meracau dan diganggu benda ghaib.
Entahlah, pada saya, main bomoh atau tidak, susah nak cerita. Bila ditanya, wanita ini tetap mempertahanka yang dia memang kena bomoh. Tapi bila ditanya lagi, bila tahu saja suaminya kawin lain, makan dan tidurnya jadi tak menentu, maka tak mustahil dia diserang penyakit. Janganlah kita jadi lemah fikiran, sikit-sikit kata kena bomoh, sikit-sikit kata kena bomoh.
Suami Ceraikan Dia
Suami berasa malu dan diaibkan apabila kes ini dibawa ke mahkamah atas permohonan isteri. Ditambah lagi dengan desakan dan tekanan ibu dan adik beradik isterinya yang beriya-iya minta supaya diceraikan. Peguam syarie isteri pun dikatakan menjadi pendesak kepada suami supaya menceraikan isterinya. Katanya, peguamnya sendiri yang berjumpa dengan suaminya dan meminta suaminya mencerikan isterinya untuk menyelesaikan kes ini. Entahlah betul atau tidak yang peguam isteri pun main peranan macam ini. Ini kadang-kadang orang kita yang cerita lebih.
Peguam Syarie Kena Jaga Etika
Saya nak nasihatkan peguam syarie yang sedang berkhidmat supaya menjaga etika profesional peguam. Memang betul peguam ini dibayar oleh pihak perempuan dalam tuntutan fasakh, tetapi beberapa perkara lain juga perlu diambil kira. Iaitu kita perlu kembali kepada konsep berumahtangga dalam Islam, bahawa perceraian itu adalah langkah terakhir dan seberapa daya kita perlu menyelamatkan perkahwinan itu. Jangan sampai peguam syarie menjadi penghasut, iaitu daripada pasangan boleh berdamai semula tetapi jadi bercerai pula kerana peranan peguam. Saya tak tuduh peguam buat begini, tapi sebagai ingatan saja.
Satu lagi saya nak ingatkan, sekiranya sesiapa yang tidak berpuashati dengan peguam syarie, sila buat aduan secara rasmi kepada Jabatan Agama iaitu Bahagian Pentadbiran Undang-undang Syariah. Siasatan dan tindakan boleh diambil termasuklah menggantung tauliah, menarik tauliah atau tidak menyambung tauliah mereka. Sebab itu peguam syarie yang nak beramal kena ada tauliah dari setiap negeri, sebenarnya ada banyak kebaikannya. Tapi alhamdulillah, peguam syarie yang sedia ada terutama di negeri Johor ini menjaga amanah dan etika ini.
Dia Cerikan Isteri Dia
Akhirnya, suami menceraikan isterinya di mahkamah dan beberapa perkara seperti nafkah dan hak penjagaan anak dipersetujui waktu itu juga. Anak pertama iaitu perempuan dijaga oleh isteri, anak kedua lelaki dijaga suami dan anak ketiga lelaki dijaga oleh isteri. Maka waktu itu isteri berpuashati kerana yang ada dalam kepala dia adalah bercerai, bercerai, bercerai dan bercerai sungguhlah dia.
Ramadhan dan Aidilfitri Ini
Bulan yang mulia ini, setelah 10 bulan berlalu, isteri begitu teringatkan suaminya dan anak keduanya. Jauh disudut hati, dia akui yang bekas suaminya adalah seorang yang baik dan bertanggungjawab. Cuma yang dia jadi menyampah dan benci adalah bila suami dia nikah lain.
Sepanjang 10 bulan, bekas suaminya mesra dengan semua anak dan nafkah tidak pernah diabaikan. Suami pula tak pernah halang dia bertemu anak keduanya. Tapi, sekali lagi fikir, dia cukup dendam dengan isteri baru suami yang didakwa meruntuhkan perkahwinan dia. Tapi kalau dikaji secara mendalam, bukan orang lain yang runtuhkan, tapi dia sendiri yang runtuhkan apabila dia mohon cerai di mahkamah.
Hendak Nikah Semula ?
Walaupun sudah bercerai, suaminya rapat dengannya iaitu setiap kali suami melawat anaknya dan biasanya pergi makan bersama. Suaminya juga adalah rakan facebooknya dan ada juga sms dan telefonnya terutama untuk berjumpa anak-anak. Dia susah untuk melupakan bekas suaminya dan anak-anaknya adalah jambatan yang menghubungkan perhubungan mereka.
Isteri Jeles
Tapi bukan semudah itu untuk mereka bernikah semula. Bekas suaminya mendakwa, isterinya sekarang begitu cemburu apabila dia berhubung atau berjumpa dengan bekas suaminya. Yer, dulu dia jadi isteri pertama dan perempuan itu adalah isteri kedua. Tapi sekarang, isteri kedua sudah naik pangkat dari Penolong Kanan kepada Pengetua. Ini menghalang untuk wanita ini bernikah semula dengan bekas suaminya. Tapi katanya dia redha.
Begini Rasanya Hidup Jadi Janda
10 bulan hidup jadi janda, banyak cabaran yang harus diharungi. Ada ramai juga lelaki yang menggodanya tapi semuanya setakat suka-suka dan tak ke mana. Di tempat kerja, ramai yang suka berbual dengan janda muda lagi cun ini, tapi ramai yang dah ada isteri. Walaupun ada suami orang yang ajak dia kawin lari, tapi dia tak mahu tanggung risiko. Bukan risiko apa, dia tak mahu orang kata dia cakap tak serupa bikin atau ketuk dulang paku serpih. Yer le, dulu dia marah pada perempuan yang katanya perampas suami dia, maka dia tak mahu dituduh perampas suami orang pula.
Tunggu Kehadiran Duda
Hendak cari duda, tak ada pulak yang dia berkenan di hati. Ada jugalah duda yang terkiseng-kiseng mengorat dia, tapi dia tak ada perasaan. Banyak sangat kriteria yang disenarikan, antaranya kerja bagus, ada harta, tak banyak tanggungan dan lain-lain. Katanya, lelaki duda tu yang mengorat dia, tapi macam 'Mr Bean' pulak yang buatkan dia tak ada selera. Pada saya, dalam situasi seperti ini, wanita ini sering membandingkan lelaki yang datang dengan bekas suaminya. Oleh kerana bekas suaminya seorang yang serba cukup dari segi harta, pekerjaan, tingkahlaku dan sebaginya, maka susahlah wanita ini nak jatuh cinta pada lelaki lain.
Ada juga lelaki bujang yang satu tempat kerja yang minat padanya. Tapi usia 6 tahun lebih muda darinya dan yang menjadi penghalang utama adalah ibu kepada lelaki ini yang tak mahu anak lelaki bujang bernikah dengan janda yang dah 3 kali 'meneran' masuk hospital ini. Akhirnya, lelaki yang pernah jadi pakwenya ini sudah bertunang dengan anak dara dan akan bernikah hujung tahun ini atas rekmen emak dia.
Berdoalah, Semoga Diberi Kebahagian
Kembalilah kepada asal usul kejadian kita. Dari Allah kita datang dan kepada Allah kita kembali. Berdoalah, semoga diberi kekuatan dan kesejahteraan untuk melalui liku-liku hidup ini. Setiap orang pasti diuji dalam hidup ini, termasuk para nabi juga diuji dengan kepayahan hidup. Di sebalik kepayahan dan peristiwa pahit yang lampau itu, Insyaallah, semoga ada hikmah di sebaliknya. Mudah-mudahan sinar bahagia akan muncul jua.
Sekian.