Untuk Memilih Tajuk Artikel Dalam Blog Ini, Sila Taip Perkataan di sini.

16 Oktober 2013

Taman Tema Anry Birds: Satu Lagi Tarikan Pelancongan di Johor Bahru



JOHOR BAHRU - Johor Corporation (JCorp) yakin terhadap sambutan orang ramai ke atas Taman Tema Angry Birds pertama di Asia Tenggara di Pusat Bandar raya Johor Baharu (JBCC), berdasarkan kajian yang dijalankan baru-baru ini.
    
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Kamaruzzaman Abu Kassim berkata, kajian menunjukkan lebih 80 peratus responden akan berkunjung ke JBCC apabila Taman Tema Angry Birds dibuka secara rasmi Mei tahun depan.
    
"Kami yakin terhadap prospek dan sambutan orang ramai. Kajian kami baru-baru ini menunjukkan lebih 80 peratus akan datang jika ada Taman Tema Angry Birds di JBCC," katanya hari ini.
    
Kamaruzzaman ditemui selepas merasmikan Taman Aktiviti Awam Angry Bird seluas 2,800 kaki persegi, yang pertama di rantau ini di kompleks membeli-belah Galleria@Kotaraya di sini.
    
Damansara Assets Sdn Bhd, anak syarikat JCorp membangunkan JBCC, sebelum ini dikenali sebagai Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) sebagai hab hartanah bersepadu meliputi premis runcit, hotel dan menara pejabat.
    
Taman Tema Angry Birds terletak di Aras 3 JBCC.    

Jun lepas, Damansara Assets menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan pencipta Angry Birds, Rovio Entertainment dari Finland bagi penubuhan Taman Tema Angry Bird di JBCC.
    
Kini terdapat empat taman tema Angry Birds beroperasi di Finland.
    
Mengenai persaingan dengan taman-taman lain di Iskandar Malaysia, Kamaruzzaman berkata, JCorp tetap positif terhadap potensi Taman Tema Angry Bird di JBCC sebagai antara destinasi tarikan pelancong.
    
Berlainan taman-taman lain yang terbuka, Taman Tema Angry Bird yang beroperasi dalam dewan, mampu menarik segmen pelanggan yang lebih berminat untuk berhibur di dalam dewan sambil membeli-belah, katanya.
    
Pada masa ini, Iskandar Malaysia mempunyai Taman Tema Legoland Malaysia dan Taman Tema Dalam Dewan Hello Kitty, manakala Taman Tema Air Legoland pula akan dibuka akhir bulan ini.
    
Sementara itu, Pengarah Eksekutif Damansara Assets Yusaini Sidek pula berkata, pihaknya menyasarkan Taman Tema Angry Bird pertama di Asia Tenggara itu mampu menarik 30,000 pengunjung, sebulan.
    
Syarikat itu katanya melabur RM10 juta untuk membina Taman Tema Angry Bird di JBBC itu, dengan kerja-kerja pembinaan dalam dewan itu kini memasuki peringkat akhir.
    
Naib Presiden Kanan Rovio Entertainment (Asia) Henri Holm yang turut hadir pada majlis itu berkata, syarikat berkenaan sangat teruja dengan pembukaan Taman Aktiviti Angry Birds di Galleria.
    
"Menerusi Taman Aktiviti Angry Birds di pusat membeli-belah Galleria, dapat meningkatkan kunjungan orang ramai serta minat untuk menunggu pembukaan taman tema dalam bangunan itu Mei depan," katanya. - Bernama

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Dipersilakan komen.