Untuk Memilih Tajuk Artikel Dalam Blog Ini, Sila Taip Perkataan di sini.

31 Mac 2014

Tujuh Tahun Selepas Bercerai Talak Tiga, Akhirnya Nikah Semula

Seorang lelaki 40-an dan wanita lewat 30-an bernikah semula selepas 7 tahun bercerai talak tiga. Dalam tempoh 7 tahun itu, lelaki tidak berkahwin, manakala wanita bernikah dengan seorang lelaki pilihannya. Ditakdirkan jodoh wanita ini dengan suami yang kedua dinikahinya tidak panjang dan bercerai.

Kira-kira lima bulan selepas perceraian dengan lelaki kedua ini, perempuan bertemu jodoh dengan bekas suaminya yang bercerai 7 tahun lalu. Hasil perkahwinannya dengan suami pertemanya dikurniakan 3 orang anak yang sekarang berumur 7 hingga 16 tahun yang semuanya masih bersekolah.

26 Mac 2014

Anak Dara Umur 62 Tahun Bertemu Jodoh Akhirnya

Orang kita selalu sebut yang jodoh itu ditangan Tuhan. Kita hanya merancang tetapi Allah yang menentukan. Allah yang tentukan siapa dan bila jodoh kita akan sampai. Seorang anak dara atau gadis berusia 62 tahun bakal mendirikan rumahtangga dengan seorang lelaki duda 60-an.

Bakal suaminya sudah beberapa tahun kematian isteri, sudah ada 6 orang anak dan ramai cucu sehingga lupa nak kira. Maknanya, nikah saja nanti sudah ada anak dan cucu segera.



15 Mac 2014

Gadis Bawa Motosikal Sambil Guna Telefon Kena Langgar

Dua hari lepas, saya dan kawan saya turun dari Taman Idaman, Kluang. Kawan saya yang pandu kereta dan saya duduk sebelah. Sampai di simpang nak masuk ke jalan besar, kawan saya beritahu, dia nampak dari cermin belakang seorang gadis bawa moto sebelah tangan dengan sebelah tangan lagi sedang menaip sesuatu. Saya pun pandang dan saya kata pada kawan saya.

"Bahaya guna sambil bawa moto guna hp" Kata saya

"Yer... bahaya tu". Kata kawan saya.

Kemudian bila masuk ke jalan utama nak ke bandar Kluang, moto itu potong kereta kami. Nampaknya dah tak guna telefon dah. Tak lama lepas itu dia perlahankan moto dan sebelah tangan pula pegang telefon semula. Moto tu belok ke kenan sebelum lintasan keretapi. 

Tiba-tiba kami dengar bunyi rempuhan dan kereta brek. Rupanya gadis tadi kena langgar dengan sebuah kereta dan jatuh tergolek atas jalan. Kemudian pemandu kereta itu tolong angkat. Nampaknya cedera tak berapa teruk. Rupanya tadi, moto itu belok ke kanan tak tengok ada kereta datang dari kirinya, sebab tu kena langgar. Itulah.. lain kali sambil bawa moto jangan guna hp.

Kluang Jadi Tuan Rumah Tilawah Quran Peringkat Negeri Johor


Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Negeri Johor kali ini akan diadakan di Dataran Tasik Putih, Kluang mulai 16 Mac hingga 18 Mac 2014. Pada hari pertama iaitu hari Ahad, akan dimulakan mulai jam 8.00 malam dengan diperdengarkan bacaan 11 pembaca. Manakala hari kedua pada 17 Mac iaitu Isnin, juga 11 pembaca bakal memperdengarkan bacaannya.

Perasmian penutup Majlis Tilawah ini dijangka akan disempurnakan oleh Duli Yang Maha Mulia Sultan Johor pada Selasa 18 Mac 2014 mulai jam 8.00 malam. 

Marilah kita sama-sama hadir dan meramaikan majlis ini. Alhamdulillah, Kluang menjadi tuan rumah pada kali ini. Selain itu, persembahan nasyid juga akan diadakan.

14 Mac 2014

Hati-hati......Bomoh Boleh Sesatkan Kita dan Rosakkan Akidah Kita


Tersebar di dalam facebook mengatakan sebuah akhbar di negara Arab menunjukkan bomoh digunakan dalam usaha mencari pesawat yang hilang. Kalau benar akhbar ini menyiarkan berita berkenaan, berita ini memalukan kita umat Islam di Malaysia.

Berusahalah, berdoalah, lakukan solat hayat serta mohon terus kepada Allah. Tidak perlulah kita gunakan bomoh seperti ini yang menjalankan upacara yang memalukan. Banyak gurauan dan sindiran tersebar di internet seperti mentertawakan tindakan bomoh ini seperti tikar terbang zam-zam ala kazam dalam cerita Do Re Me.

Pertahankan akidah kita kerana itu adalah asas dalam Islam. Kalau rosak akidah, maka Islam atau syahadah kita boleh gugur. Yang bomoh ini satu hal, yang kita bimbang adalah orang Islam lain yang percaya dan berpegang kepada kepercayaan bomoh ini maka boleh rosak akidah mereka. 

11 Mac 2014

Sama-samalah Kita Berusaha, Semoga Berjaya Menemui Pesawat MH 370

)

Sama-samalah kita berusaha dan membantu usaha mencari pesawat MH 370. Usaha, doa dan tawakal, insyaallah mendapat pertolongan Allah. Saya anggap temubual ini adalah yang terbaik setakat ini yang tersiar di TV kita. Temubual dengan seorang insan yang suka merendah diri ini walaupun beliau seorang yang hebat dan berjawatan tinggi. Yer, beliau seorang juruterbang atau pilot kapalterbang yang senior dan berpengalaman luas. Tahniah dan syabas diucapkan.

Yang menariknya, komen beliau sangat menyentuh jiwa setiap umat Islam yang menghayati komen beliau. Kita manusia dicipta oleh Allah yang Maha Berkuasa atas segalanya. Tiada kuasa yang hebat yang boleh menandingi kuasa Allah Taala. Alat dan teknologi yang moden dan super canggih sekarang, belum tentu mendapat jawapan selagi Allah belum memberikan kita pedoman dan petunjuk.

10 Mac 2014

Tong Sampah SWM Boleh Jadi Tempat Simpan Air, hehehe

Semalam saya ke kedai gunting rambut dan sambil gunting tu, berbuallah dengan tukang gunting tu.

"Rumah U ada air ke?". Kata saya.

"Mana hari-hari ada, kena catu juga. ". Kata dia.

"Habis tu, cukup ker U simpan air?". Tanya saya.

"Cukuplah juga. Guna pun tak ramai juga". Kata dia.

"Oh... banyaklah tong air U guna" Kata saya.

" Tak ada banyak sangatlah. Itu tong sampah SWM kasi boleh jadi tempat simpan air". Kata dia.

"Ohhh... itu tong baru yang ada roda itu ker". Kata saya.

"Yer... itu boleh simpan banyak air juga. Tapi kena bersihlah" Kata dia.

Ermmm.. bagus juga idea ini. Tapi kat rumah saya belum dapat ini tong.

"Rumah U sudah dapat ker, rumah saya belum dapat, macam mana yer?" Tanya saya.

"U telefonlah SWM, nanti dia datang rumah hantar" Kata dia.

"Itu macam ker. Tapi itu Taman Idaman ada rumah dapat, ada rumah tak dapat, kenapa yer?" Tanya saya.

"Saya ingatlah, masa SWM datang, itu orang tak ada rumah. Ini semua kena sain juga wooo". Kata dia.

05 Mac 2014

Ternak Ikan Gupi Boleh Jadi Perniagaan


Apabila saya tulis pasal satu tajuk berkaitan nyamuk aedes dan cara mencegahnya menggunakan ikan gupi, seorang pembaca blog saya menghadiahkan lebih kurang 10 ekor ikan gupi. Terima kasih banyak-banyak kerana sudi hantar ke pejabat saya. Saya teringat yang saya pernah baca satu buku mengenai perniagaan. Ternak ikan gupi ini tak susah dan mudah membiak. Kita boleh ternak dalam apa-apa bekas sama ada kecil atau besar. 

Di rumah saya, saya cuba nak ternak dalam tangki hitam besar. Dalam 10 ekor itu, anak saya kata ada yang betina yang hamil atau mengandung. Ops... bahasa saya salah, hamil dan mengandung tak boleh digunakan kepada binatang. Katanya, tak lama lagi akan membiak dan menetas. Saya anggarkan, dalam satu tangki itu, tak lama lagi akan jadi ratusan dan ribuan ikan gupi dalam tangki itu.

Jual Ikan Gupi

Kat kedai ikan di Taman Sri Kluang, beberapa hari lepas saya beli dua ekor ikan gupi. Mulanya tuan kedai itu letak harga RM1.20 seekor dan bila mintak kurang, dapat seringgit seekor. Sekarang budak sekolah kadang-kaddang cikgu suruh bawa ikan pegi sekolah untuk pelajaran apa ker benda, tak tanyalah pulak pelajaran apa. Tapi rasa saya untuk  belajar pasal ikanlah, takkanlah nak belajar pasal burung pulak dah bawa ikan. Jadi, peniaga ikan gupi boleh target pelajar sekolah atau ibu bapa sebagai pelanggan tetap.

Jual Untuk Cegah Denggi

Satu yang kita fikirkan, mungkin kita boleh jual ikan ini kepada agensi kerajaan seperti Majlis Bandaran. Ikan ini boleh diletakkan di dalam longkang di kawasan tertentu. Ikan ini nanti akan makan jentik-jentik. Begitu juga di rumah-rumah, kalau ada kolah atau tangki, boleh juga letak ikan ini. Kalau dulu masa zaman pakai air perigi, orang kita tak kisah dalam perigi ada ikan dan pokok. Tapi orang sekarang kenapa geli tengok ikan dalam kolah.

Ganti Ikan Bilis ?

Agaknyalah, bolehkah ikan gupi ini ganti ikan bilis? Daripada kita susah-susah cari ikan bilis dalam laut, kita lupa rupanya ikan gupi boleh diternak dengan mudah. Agaknya senang saja caranya iaitu tangkap dan jemur, maka jadilah ikan bilis Gupi.

Jangan Jadi Skim Cepat Kaya Sudah...

Sekarang banyak skim cepat kaya yang tak mengaku itu adalah skim cepat kaya. Jangan nanti ada orang buat saham ikan gupi dengan keuntungan berlipat ganda. Sekarang ini siapa kata skim cepat kaya tak ada. Terbaru yang saya syak menipu kita adalah satu saham pokok gaharu yang ada orang Kluang masuk. Seorang itu masuk dengan modal puluh ribu. 

Katanya dalam beberapa tahun akan dapat duit juta. Berhati-hatilah dan ingatlah susah payah orang macam kita ini cari duit, senang-senang saja masuk dan melabur dalam benda yang tak pasti. Mana tak terpengaruhnya, orang ini dijanjikan dengan pulangan cukup lumayan tanpa kita bekerja tapi duit itu yang bekerja. Rupanya duit kita itu pula dikerjakan... Berhati-hati dan jauhkan sebelum tertipu.

04 Mac 2014

Isteri Kedua Hadiahkan Cili Kat Muka Isteri Pertama


Seorang penjaja dan isteri keduanya didenda RM500 setiap seorang oleh Mahkamah Majistret di Kuala Lumpur hari ini kerana melumur cili ke muka isteri pertama penjaja itu bulan lalu.

Majistret Erry Shahriman Nor Aripin menjatuhkan hukuman itu terhadap Muhammad Ariff Jupirin, 26, dan warga Indonesia Srimeiriska Iswandy, 24, selepas mereka mengaku bersalah terhadap pertuduhan itu. Mahkamah juga memerintahkan Muhammad Ariff dan Srimeiriska, menjalani hukuman penjara tiga bulan jika gagal membayar denda itu.

Muhammad Ariff dan Srimeiriska didakwa sengaja mendatangkan cedera terhadap peniaga Muntamah Ahmad Minlon, 46, yang juga seorang warga Indonesia dengan melumur mukanya dengan cili sehingga menyebabkannya merasa pedih dan sakit di kedua-dua belah matanya.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di hadapan rumah No. 12, Jalan Badak Off Jalan Yew, Cheras di sini pada 1 pagi 25 Feb lepas. Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman penjara maksimum setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya.

Dalam kejadian 25 Feb lepas, semasa Muntamah berada di dalam kereta dan sedang menunggu kawannya di rumah sewanya di tepi Jalan Badak di sini, tiba-tiba dia didatangi kedua-dua tertuduh, dengan seorang daripada mereka melumurkan cili kisar ke mukanya, sebelum seorang lagi menariknya keluar kereta.
Selepas itu, kedua-dua tertuduh melarikan diri bersama kereta mangsa serta barang-barang perniagaan dan beberapa dokumen penting termasuk pasport, sijil nikah, dan sijil kelahiran anak.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nor Diana Nor Azwa, manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam. - BERNAMA