Untuk Memilih Tajuk Artikel Dalam Blog Ini, Sila Taip Perkataan di sini.

04 Januari 2010

Elak sertai pelaburan haram, program latihan dagangan mata wang asing: BNM


KUALA LUMPUR: Bank Negara Malaysia (BNM) menasihati orang ramai supaya tidak menyertai mana-mana pelaburan haram atau program latihan dagangan mata wang asing yang ditawarkan oleh individu atau syarikat. BNM dalam satu kenyataannya, berkata orang ramai kebiasaannya tertarik untuk menghadiri program pelaburan atau latihan yang menjanjikan pulangan yang segera dan besar. Katanya, modus operandi program sedemikian dengan menawarkan latihan, seminar, bengkel percuma untuk menarik pelabur, sebelum menjemput mereka mewujudkan satu akaun dagangan mata wang asing dengan syarikat utama.

“Syarikat itu dikatakan mempunyai lesen sah untuk berdagang mata wang asing di seberang laut. Ia juga termasuk menyediakan akses mudah ke laman web syarikat utama dan memudahkan dagangan mata wang asing secara dalam talian dikalangan pelabur serta bagi mengambil siswazah baru sebagai eksekutif pemasaran.

“Siswazah juga digalakkan untuk menarik ahli keluarga dan rakan-rakan bagi berdagang mata wang asing,” katanya

Selain itu, BNM berkata, program sedemikian turut menghendaki pelabur mendeposit sejumlah wang ke dalam akaun bank untuk memulakan dagangan mata wang asing dan seterusnya meminta ditambah bagi mencukupkan jumlah yang berkurangan berikutan pelaburan awal masing-masing (penggilan margin) bagi mengelakkan kehilangan modal. Di bawah Akta Kawalan Pertukaran Asing 1953 (ECA), katanya adalah menjadi satu kesalahan bagi seseorang untuk membeli atau menjual mata wang asing atau terbabit dalam sebarang perbuatan atau mempunyai kaitan atau membuat persediaan di dalam membeli atau menjual mata wang asing dengan sebarang orang atau selain daripada peniaga yang dibenarkan.

Adalah juga menjadi kesalahan bagi seseorang untuk membantu atau bersubahat dengan seseorang yang lain untuk membeli atau menjual mata wang asing dengan seseorang, kecuali individu itu adalah seorang peniaga yang dibenarkan. Senarai peniaga dan institusi kewangan yang dibenarkan oleh Pengawal Pertukaran Asing untuk membeli atau menjual mata wang asing boleh diperolehi dari laman web BNM (http://www.bnm.gov.my/fxadmin).
Bagi mendapatkan maklumat lanjut, orang ramai boleh menghubungi BNM di talian 1-300-88-5465 atau e-mail (bnmtelelink@bnm.gov.my). - Bernama




Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Dipersilakan komen.