Untuk Memilih Tajuk Artikel Dalam Blog Ini, Sila Taip Perkataan di sini.

27 Ogos 2013

Mak Ayah Restu Anak Bujang Nikah Dengan Janda 10 Tahun Lebih Tua

Sorang lelaki umur 23 tahun, masih bujang, bekerja di sebuah kilang bernikah dengan seorang janda anak 3 tahun. Sebelum pernikahan bermula, jurunikah tanya..... di manakah ibu dan bapa lelaki. Rupanya ibu dan bapanya duduk di belakang anak lelakinya sambil tersenyum menyahut soalan jurunikah tadi.

Beberapa hari lepas, saya tulis artikel cerita pasal mak ayah tak setuju anak bujang lelaki nikah dengan janda anak ramai, tapi kali ini  lain pula ceritanya. Bukan itu saja, ada mak ayah tak mengaku anak dan menantu kalau tak ikut cakap mak ayah pasal calon isteri ini. .  Nak tau cerita ini, klik sini .

Saya cerita ini, bukan apa, cuma nak beri masyarakat sedar dan keluar dari adat kebiasaan kita yang tak elok. Adat atau tradisi ini kalau bagus itu baguslah, tapi yang tak betul itu sepatutnya dikikis dalam masyarakat.

Berbalik pada cerita ini, lelaki ini anak kedua, umur 23, abangnya belum bernikah lagi tapi dia dulu bernikah. Pada saya apa salahnya sebab orang kata tak elok langkah bendul, abang kena lepas dulu. Ini adat yang tak betul tetapi dah diwarisi oleh orang kita. Perempuan ini umur 33 tahun sudah 4 tahun jadi janda dan membesarkan sendiri anak-anak. 

Diceritakan yang suaminya tidak kisah pasal nafkah anak-anak 3 orang ini. Bagaimanapun wanita ini tabah dengan menjual makanan, kuih raya dan ambil upah menjahit, malah apa saja kerja yang dia termampu selama berstatus ibu tunggal. Akhirnya, dia bertemu dengan lelaki bujang pilihannya yang dia rasa dapat memimpinnya bersama anak-anaknya.

Masjid dan Surau Hendaklah Mesra Orang Kurang Upaya (OKU)

Hari ini saya mengeluarkan surat pekeliling kepada pengerusi seluruh masjid dan surau di daerah Kluang. Kandungannya adalah meminta setiap masjid tidak meminggirkan golongan OKU yang datang ke masjid. Saya menerima aduan mengenai beberapa masjid dan surau yang tidak menyediakan beberapa keperluan seperti tempat letak kereta, tempat wuduk serta tandas yang jauh, masjid yang bertangga serta sukar dan tempat solat yang tidak dikhaskan.

Oleh itu, saya minta semua masjid dan surau di daerah ini berusaha sedaya upaya untuk mengatasi masalah ini. Antaranya menyediakan tempat letak kereta khas dan diletakkan tanda OKU, tempat solat di ruang belakang dikosongkan dengan diletakkan tanda OKU, membuat sambungan paip untuk wuduk lebih hampir dan sebagainya.

Mengenai tangga, kalau masjid dan surau masih dalam perancangan untuk dibina atau diubahsuai, eloklah tangga itu tidak terlalu curam sehingga menyukarkan jemaah yang uzur. Kalau masjid itu sudah dibina dan terpaksa  menggunakan tangga, maka AJK masjid perlulah berusaha dan menggunakan kaedah untuk mengatasinya, contohnya menyediakan satu laluan khas yang tidak bertangga.

Masalah bagi orang kita pula, ada setengah letak kereta yang dah dikhaskan kepada OKU tapi orang bukan OKU pula yang letak. Tapi pada saya, kesedaran kepada orang kita dalah penting supaya kita bersimpati kepada golongan OKU ini. Diharapkan teguran ini dapat memberi kebaikan kepada semua jemaah yang datang ke masjid termasuk OKU dan orang yang uzur.

24 Ogos 2013

Bangla Bayar Janda 30 Ringgit Sekali Projek

Hari ini, akhbar memetik kenyataan Menteri Dalam Negeri untuk menjalankan operasi besar-besaran kepada warga asing. Baguslah tu. Yang saya faham, sesiapa orang asing yang tak ada pasport atau tinggal lebih masa dari sepatutnya atau lain-lain kes imigresen, kena cekuplah. Kes-kes lain termasuk penglibatan warga asing dalam jenayah saya tak mahu ceritalah sebab saya tak berapa pakar nak cerita. 

Tapi kes maksiat, banyak episod saya boleh cerita, pengalamanlah katakan. Bukan saya nak mengata sesiapa tetapi hakikatnya, peningkatan maksiat antaranya kerana orang asing.

Bangla Goda Wanita Tempatan

Suatu hari tu, penguatkuasa Jabatan Agama dapat aduan dari pengadu yang dah tentu dirahsiakan. Kalau tak dirahsiakan, bimbang kena sumbat kari dalam mulut dengan Bangla ler pengadu ni. Pengadu tu kata, di sebuah rumah kedai yang dijadikan hostel pekerja Bangla ada 9 orang lelaki Bangla. Katanya waktu itu datang seorang wanita ke hostel berkenaan. Pengadu minta dibuat pemeriksaan kalau-kalau berlaku kes maksiat di situ.

Maka tak lama lepas tu, penguatkuasa bertindaklah berdasarkan maklumat yang diterima tu. Sampai saja di lokasi, nampaknya pintu bawah rumah kedai itu tidak berkunci dan penguatkuasa dapat naik ke tingkat atas. Pintu rumah kedai itu pun tak kunci dan penguatkuasa dapat masuk ke dalam. Di ruang tamu itu ada banyak katil dan tilam serta barang lain kepunyaan Banglalah. Ada dua bilik yang berkunci dan penguatkuasa ketuk bilik pertama. Terus dibuka dari dalam dan didapati ada dua orang lelaki Bangla dalam bilik tu. Keadaannya macam baru bangun tido.

Penguatkuasa ketuk pula bilik satu lagi dan lambat dibuka sampai bergegar pintu itu diketuk dan hampir nak roboh. Maklumlah, pintu tu bukanlah kukuh sangat. Pintu kemudiannya dibuka dari dalam oleh lelaki Bangla 30-an dan didapati juga seorang perempuan umur 30-an. Terpinga-pinga Bangla ni macam cicak mabuk kapur bila dia tahu pihak berkuasa datang nak tangkap dia.

Bayar RM 30 Sekali Projek

Hasil soal siasat, lelaki Bangla ini kerja di sebuah kilang kayu, patutlah badan dia berketul macam batang ubi. Katanya dia bujang, tapi malah kita tahu kalau dia ada Minaci kat Bangla sana. Perempuan ini pula katanya dia janda anak dua dan tidak bekerja. Dia mengaku sudah beberapa kali datang ke bilik Bangla ini dengan mengenakan bayaran RM 30 sekali game. Bila ditanya, kenapa murah sangat 30 ringgit tu, dia kata, mula-mula dulu kenakan bayaran RM 50 tapi sekarang Bangla tu mintak diskaun, jadi bersetujulah dia dengan bayaran RM 30 tu.

Layan Ramai Ker? Nak Kawin Ker? Banyak Kali Ker?

Bila ditanya, ramai ke lelaki Bangla yang dia layan? Katanya, seorang saja iaitu 'Abang Sayang' dia tulah. Bila ditanya, nak kawin ker dengan Abang Laa tu, dia kata taknak kawin pun. Bila ditanya, dah banyak kali ker datang tempat Bangla tu, dia kata, taklah banyak kali, cuma 18 kali saja. Wahhhh...ingat dia yer 18 kali, entah-entah ada buku Tiga Lima kot yang dia catat setiap kali datang.

Kasi Hantar Balik Sama Ini Orang

Harap pihak berkuasa bertegas kepada orang asing yang terlibat dalam maksiat macam Bangla ini. Ini satu contoh cerita saja, banyak lagi cerita lain. Biar heboh ini cerita sampai itu Dhaka dan biar dia orang tahu tujuan datang sini mari Malaysia mahu kerja juga, bukan mahu kacau itu perempuan. Lama-lama kacau sini perempuan, ingat orang kita boleh sabar juga ker? Jangan sampai nanti jadi gaduh orang asing sama orang sini pasal perempuan. Sebab itu pihak berkuasa kena tegas dan jangan sampai orang kita ambil tindakan sendiri.

23 Ogos 2013

Mak Ayah Tak Restu Anak Nikah Dengan Janda Anak 4

Lelaki awal 30-an masih bujang mendapat tentangan keluarga apabila dia nak nikah dengan janda anak empat, umur lewat 30-an. Lebih menggemparkan, apabila mak ayah dia menuduh anaknya sudah kena bomoh dengan 'janda ilmu hitam' berkenaan. Alasa yang diberikan mak ayah dia adalah, sudah tidak adakah perempuan bujang dalam dunia ini sehingga mencari janda. Lagipun, janda yang dipilih lebih tua dari lelaki dan anak ramai.

Bagaimanapun, lelaki ini teruskan pernikahan juga di rumah keluarga perempuan. Selepas majlis pernikahan, lelaki ini berjanji untuk kembali rapat dengan keluarganya walaupun mak ayahnya terlalu marah kepada anaknya ini. Walaubagaimanapun, lelaki ini tetap bersedih kerana mak ayah dia tidak hadir dalam majlis pernikahannya yang bersejarah dalam hidupnya ini.

21 Ogos 2013

Syiah Di Johor: Lebih 1,000 Pengikut di Johor?

Jabatan Agama Johor (JAJ) mengesan kewujudan lebih 1,000 pengikut Syiah di negeri itu dengan kebanyakan mereka bergiat aktif di sekitar Johor Baharu dan Kluang. Pengerusi Jawatankuasa Agama Johor Abd Mutalip Abd Rahim berkata JAJ sedang memantau pergerakan kumpulan itu bagi membendung penyebaran fahaman berkenaan.

"Di Johor Baharu, mereka dikesan di tiga markas iaitu di Larkin Perdana, Taman Daya dan Kampung Sungai Tiram," katanya menjawab soalan Dr Sheikh Ibrahim Salleh (PAS-Sungai Abong) pada persidangan pertama Dewan Undangan Negeri Johor ke-13, di Kota Iskandar, di sini Selasa.

Abd Mutalip berkata markas di Kampung Sungai Tiram dipercayai paling aktif manakala dua lagi markas tidak begitu aktif. Katanya sepanjang tahun lepas JAJ melaksanakan 18 pemantauan bagi membendung penyebaran fahaman Syiah.

....BERNAMA

Kemalangan Bas Paling Ngeri Di Genting, Karak

Jabatan Bomba dan Penyelamat mengesahkan angka kematian tragedi nahas bas perlancongan di Kilometer 3.6 Jalan Genting Highlands-Kuala Lumpur adalah seramai 37 orang. Seramai 16 lagi mangsa berjaya dibawa keluar daripada bas itu dan kini menerima rawatan di beberapa hospital kerana mengalami pelbagai kecederaan menjadikan jumlah keseluruhan mangsa yang dikeluarkan adalah seramai 53.

Daripada jumlah mangsa yang maut, 24 daripadanya ialah lelaki manakala 13 lagi ialah perempuan.Mangsa maut terdiri daripada rakyat tempatan. Dalam kejadian kira-kira pukul 2.20 petang Rabu, bas ekspress yang membawa penumpang turun dari pusat peranginan menuju ke Kuala Lumpur itu terbabas dan terhumban ke dalam gaung sedalam kira-kira 30 meter.

20 Ogos 2013

Kes Rumahtangga Meningkat Masa Musim Perayaan?


Beberapa hari sebelum raya, hari raya dan selepas raya, saya banyak terima pertanyaan melalui FB dan email saya. Sibuk atau tak sibuk, saya jawab juga untuk bantu pengadu ini sebab kesian juga kepada orang yang bertanya ni. Mungkin juga pejabat agama dah tutup kerana cuti raya, maka ramai yang hubungi saya. Peningkatan soalan mengenai rumahtangga musim perayaan agak luar biasa juga.

Menceraikan Isteri

Paling tragis, ada beberapa kes melibatkan pertengkaran suami isteri yang membawa kepada lafaz cerai. Hampir kesemua kes, suami bukan berniat nak menceraikan tetapi dalam keadaan marah dan tertekan serta desakan kuat Mak Andeh dia. Dari kes ini, saya teliti lafaz yang diucapkan oleh suami dan ada yang saya kata, lafaz ini serius dan boleh membawa kepada jatuhnya talak. Bagaimanapun, saya kata, biarlah hakim mahkamah syariah yang mengesahkan, saya cuma beri khidmat nasihat. Saya minta pasangan ini segera melaporkan ke pejabat agama dan mahkamah syariah apabila pejabat dibuka nanti. Maknanya, pasangan ini berhari raya dalam keadaan yang tidak tenteram.

Saya tak mahu ulang lafaz yang dikatakan itu kerana yang tanya soalan itu saya yakin adalah pembaca blog saya ini. Dan kalau saya bincangkan kes dia di sini, mungkin dia akan terasa hati dengan saya. Punca bercerai  serba sedikit ada kaitannya dengan perbalahan nak balik kampung suami atau isteri. Yang kesudahannya, masing-masing balik rumah masing-masing setelah bertukar kepada status duda dan janda kerana bercerai.

14 Ogos 2013

Ustaz Dr Zaharuddin Abdul Rahman (UZAR) Nikah Lagi Satu, Apa Komen?

Dalam tulisan saya terdahulu mengenai ilmu dan pengalaman yang saya dapat selepas baca buku tulisan Dr Zaharudin Abdul Rahman yang bertajuk 'Jangan Berhenti Berlari 'Klik Sini. Tidakkah Ustaz Zaharuddin terfikir untuk menulis buku bertajuk "Poligami Dalam Islam' selepas ini?

Sebelum ini, kita baca di media tempatan mengenai poligami beberapa tokoh atau personaliti terkenal tanahair seperti pelakon Salih Yakob (Komen Saya, klik sini) yang kawin isteri keempat, Ustaz Azhar Idrus dengan isteri ketiganya, pelakon Mohd Ashraf Muslim yang Saya Komen Di sini, klik sini dan lain-lain. 

Seperti biasa masyarakat di negara kita terutama para isteri sering memberi komen negatif dan beremosi kalau berbicara soal poligami. (Maaf kalau ada sesiapa yang terasa yer, bergurau saja). Manakala para suami, takut nak sembang soal poligami kalau isteri dia dengar. Tapi kalau isteri dia tak ada, dialah orang paling hebat cerita pasal kawin dua, hehehe. Jadi, selepas ini, kalau Ustaz Zaharudin menulis buku berkisar tajuk poligami dalam Islam, sudah pasti laris di pasaran. Saya rasa, perkahwinan dengan isteri kedua atau poligami ini elok dibukukan untuk memberi gambaran poligami yang sebenar mengikut Islam.

Saya petik sedikit tulisan Ustaz Zaharuddin yang saya copy dari blog yang lain.

.....................................................
Ummu Habibah r.a (salah seorang isteri nabi s.a.w) pernah berdoa meminta dikurniakan suatu nikmat dunia hasil dari perkahwinannya dengan Rasulullah s.a.w. Namun nabi menasihatinya dengan kata baginda
قَدْ سَأَلْت اللَّه عَزَّ وَجَلَّ لِآجَالٍ مَضْرُوبَة , وَأَيَّام مَعْدُودَة , وَأَرْزَاق مَقْسُومَة , وَلَنْ يُعَجِّل شَيْئًا قَبْل حِلّه , أَوْ يُؤَخِّر شَيْئًا عَنْ حِلّه , وَلَوْ كُنْت سَأَلْت اللَّه أَنْ يُعِيذك مِنْ عَذَاب فِي النَّار , أَوْ عَذَاب فِي الْقَبْر كَانَ خَيْرًا وَأَفْضَل

Ertinya: Engkau telah meminta dari Allah tentang ajal maut yang telah ditentukan, hari-hari kita yang telah dihitungkan, rezeki-rezeki yang telah Allah bahagikan, dan pasti tiada diawalkan sesuatu dari masanya, atau dilewatkan dari masanya.....(Sahih Muslim)

Justeru,
1. Perkahwinan adalah dalam rezeki dan ketentuan Allah yang pasti sampai bila tiba masanya.

2. Rezeki isteri sedia ada dan yang baru menjadi isteri juga adalah ketetapan Allah swt. Tiadalah patut poligami dianggap penyebab hak dan rezeki isteri sedia ada dirampas. Menurut hadis sohih, masing-masing tidak boleh merampas hak dan rezeki khususnya apabila ia dilaksanakn mengiktu neracaprosedur dan tatacara hukum Shariah.

3. Perkahwinan ini hanya berkait dengan tiga keluarga terdekat bagi mereka suami, isteri sedia ada dan yang baru. Justeru, jika kalian tidak termasuk dalamnya, seeloknya doakan sahaja pasangan ini atau kamu mengulas sesuatu yang di luar urusanmu yang menjadi sebab menjadi muslim yang buruk akhlak (berdasarkan kepada hadis من حسن إسلام المرء تركه ما لا يعنيه)
4. Tiada perlu membuat dosa umpatan, sangka buruk, spekulasi sebab atau bertnya cara kenal, latar belakang pasangan, sebab, jumlah mas kahwin atau apa jua. Kerana ia bukanlah urusan yang mampu kalian ketahui dengan perincian yang tepat lagi sohih. Rumahtangga orang lain yang terbina jangan menjadi sebab susahnya fikiran kalian atau lebih bahaya, penambah dosa.

5. Maka apa jua sebab dan alasan, jika kalian membencinya, kalian turut membenci ketetapan Allah ke atas seorang hamba Allah yang berkahwin secara halal lagi menurut tatatertibnya.

6. Jika kalian ingin tahu, prosedur ringkas poligami yang SAYA turuti adalah :

a. Istikharah dan doa istikharah di Mekah dan Madinah serta tanahair beberapa bulan. Keputusan saya khususnya bukan hanya dari logik dan aqal tetapi ilham dan kemudahan dari Ilahi.

b. Sentiasa Istisharah (berbincang) dengan isteri sedia ada dan menyakinkan beliau akan manfaat dunia akhirat dari perkahwinan kedua yang dirancang buat kesemua kami yang terlibat. 

c. Meminang bakal isteri kedua dengan kehadiran isteri sedia ada yang bersama-sama menjelas dan menerangkan hatta bebas mencadangkan tarikh pernikahan.

d. Mendapat restu dan redha bakal mertua dan keluarganya.

e. Memaklumkan kepada mertua sekarang dengan jelas serta terang lalu mendapat restu dan redha mereka.

f. Memaklumkan dan menjelaskan kepada anak-anak (2 dalam usia remaja dan 2 dalam usia kanak-kanak) akan tujuan berkahwin buat kali kedua sebagai langkah awal untuk memahamkan mereka tentang poligami yang baik menurut syarak.

g. Memulakan proses undang-undang, iaitu perlu memohon izin dari Mahkamah Syariah (di negeri masing-masing). Hakim akan meneliti semua sebab musabbab serta kedudukan kewangan pemohon. Permohonan saya telah DILULUSKAN Mahkamah Tinggi Shariah Selangor. Nasihat saya, jadikan bernikah di Thailand sebagai pilihan terakhir setelah semua proses tanahair disekat secara salah atau tidak adil atau terlalu menyusahkan.

h. Menetapkan perincian nafqah, giliran dan pembahagian harta sepencarian bagi isteri sedia ada. Juga bagi anak-anak sedia ada. Ini penting agar kedudukan dan jasa isteri sedia ada terjaga serta keadilan material dan fizikal terjaga. Pembahagian ini TELAH diluluskan oleh mahkamah.

i. Bersabar dan menangani cemburu yang fitrah bagi wanita secara hikmah, sabar serta rasional. Ini perlu ilmu, tanpa ilmu kita tewas.
j. Bersikap kasih sayang, lembut serta konsisten dalam komunsikasi
k. Kemudian, bernikahlah secara terbuka dengan walimah serta jemputan.
l. Peka terhadap perasaan isteri-isteri serta meraikannya dan tambahkan kerohanianmu dan solatmu justeru bertambahlah sabarmu.

‘Say No’ kepada poligami rahsia dan dibuat secara sembrono. Bersabar hadapi cacian mereka yang cemburu di luar sana, kerana mereka hanya menambah pahalamu dan menempah tiket ke azab Allah. Bersabar juga dengan pujian yang merupakan ‘pembunuh senyap’ keikhlasan niatmu.

Kalau sebelum ini kita kagumi Rasulullah dan sifat sabarnya, bila berpoligami, pastilah bertambah fahamnya kita akan MAHA AGUNGNYA SIFAT SABAR baginda Nabi dan isteri-isterinya.

Baginda cemerlang di dalam rumah dan luar rumah. Fizikal dan spiritual.
Bantulah kami dengan mendoakan kami, itu jutaan kali lebih baik dari berspekulasi dan bersangka-sangka serta ‘terlebih mengambil berat’ dengan bertanya itu dan ini kepada isteri-isteriku yang dicintai.

Padamlah gambar-gambar yang disebarkan dan disensaikan tanpa izin kami. Inilah gambar yang kami rasakan sesuai dikongsi bersama masyarakat awam. Semoga catatan ringkas ini mampu menarik keberkatan buat kami dan kalian.

Dr. Zaharuddin Abd Rahman
6 Syawwal 1434
 

09 Ogos 2013

Kes Cerai Aidil Zafuan dan Rita Rudaini (Episod 2)


Di dalam blog Aidil Zafuan 'Klik sini' adalah tulisan dan luahan hati pemain bolasepak Johor DT berkenaan. Biasalah, dia pemain bolasepak terkenal manakala Rita Rudaini pula dulu pernah jadi pelakon terkenal, maka mereka jadi tumpuan media. Rumahtangga orang lain pun ada bergolak dan bercerai juga, tapi setakat orang biasa-biasa, media tak minat pun. 

Nasihat saya pada Aidil Zafuan dan Rita Ridaini supaya tidak mengeluarkan kenyataan kepada media atau media sosial kerana boleh mengganggu perbicaraan di mahkamah. Ganggu macam mana? Mungkin kita tidak perasan atau tak sedar. Sebenarnya, apa yang media tulis dan yang kita tulis itu boleh dijadikan hujah oleh pihak yang satu lagi. Apa lagi kenyataan kita kepada media itu bukan atas nasihat peguam kita, maka lebih baik mengunci mulut saja. Kalau nak buat kenyataan pada media pun, tungguah selepas mahkamah sahkan jatuk talak atau tidak nanti.

Cerai Luar Mahkamah Adalah Satu Kesalahan

Awal-awal saya nak beritahu, bahawa perceraian di luar mahkamah adalah satu kesalahan dan boleh didakwa di mahkamah syariah. Hukumannya adalah denda sehingga RM 1,000 atau 6 bulan penjara atau kedua-duanya sekali. Yang kena dakwa hanyalah suami yang melafazkan, isteri tak kena. Apa-apa hal, sebelum kena dakwa, perceraian tersebut hendaklah terlebih dahulu  disahkan oleh mahkamah. Kalau sabit cerai, barulah lelaki kena dakwa. Kalau tak sabit, tak ler kena dakwa.

Jadi, kalau pasangan yang berhasrat bercerai, kenalah mendaftar ke mahkamah syariah. Dalam mahkamah, suami boleh lafazkan cerai di hadapan hakim, itu baru betul. Bukan setakat lafaz cerai secara sorih dan kinayah saja kena dakwa, lafaz taklik pun boleh kena dakwa. Contohnya seorang suami kata pada isteri dia berbunyi begini.

"Kalau saya kentut saja, jatuhlah talak satu". Kata suami pada isteri dia dalam kereta.

Sejam lepas tu, suami terkentut. Tak kiralah kentut berbunyi 'bus bus' atau tak berbunyi, ada bau atau tak ada bau, perceraian tetap jatuh. Selepas mahkamah mengesahkan perceraian secara taklik ini, lelaki boleh didakwa kerana kesalahan melafazkan cerai di luar mahkamah iaitu di dalam kereta.

Di Mahkamah Mana?

Bila kes akan dibicakan di mahkamah? Saya pun tak tahu dan media yang melaporkan berita berkenaan pun tak sebut. Di mahkamah mana? Johor? Perlis? Kuala Lumpur? Selangor? Mungkin Johor sebab mungkin Aidil berada di Johor sebab dia pemain bolasepak Johor DT. Mungkin Perlis sebab setahu saya Rita itu kelahiran Perlis. Mungkin juga Selangor atau KL, entah-entah mereka duduk di sana. Sebenarnya, tempat perbicaraan tak jadi masalah. Yang penting, mahkamah syariah mana tempat mereka laporkan perceraian mereka, di situlah perbicaraan akan dijalankan. Ada juga orang tak tahu, dia ingat hanya boleh laporkan di tempat dia nikah saja. Ada seorang tu, duduk di Johor tapi dulu nikah di Sabah, sekarang dah tidak duduk Sabah. Dia ingat dia kena pegi Sabah, sebenarnya tidak.

Siapa Yang Buat Laporan

Saya pun tak jelas siapa yang buat laporan ke mahkamah sama ada Aidil atau Rita. Tapi kalau saya baca melalui media, saya rasa Rita yang lapor. Tapi adakah dia sekadar lapor kepada media sahaja? Kalau gitu, nampaknya tiada isu cerai di sini. Saya rasa dia sudah atau akan buat laporan di mahkamah syariah. Saya rasa juga, Rita bukan sendirian. Saya rasa dia ada peguam yang dia lantik dan peguam berkenaan tentulah orang yang berpengalaman.

Jangan Buang SMS

Kalaulah Rita yang terima SMS, kena simpanlah SMS itu sehingga memberi keterangan di mahkamah.  Ingat, jangan buang SMS berkenaan. Kalau buang, maknanya dia telah membuang satu bukti yang amat diperlukan. Janganlah pulak pergi beli Samsung baru. Nanti SMS boleh hilang.
Episod 3, Klik Sini

08 Ogos 2013

Blog Kadikluang Mengucapkan Selamat Hari Raya, Maaf Zahir dan Batin


Saya mengucapkan Selamat Hari Raya dan Maaf Zahir dan Batin kepada semua pembaca setia Blog Kadikluang. Mohon maaf sekiranya selama menjadi penulis blog lebih 4 tahun ini ada tersalah silap atau terkasar bahasa di dalam penulisan saya. Saya akui, bukan semua pandangan atau idea saya diterima dengan baik oleh pembaca, tetapi saya tetap mengekalkan tulisan yang bebas dan terbuka di dalam blog saya. Kepada peminat setia novel Sudah Nasibku Mat Burger harap terus memberikan sokongan terhadap novel ini. Untuk pengetahuan, saya telah ditawarkan untuk menerbitkan buku oleh sebuah syarikat dari Kuala Lumpur dan saya masih memikirkan tawaran tersebut.

Semoga Ramadhan yang kita baru lalui menjadi pemangkin ke arah kekuatan perpaduan umat Islam dan menambahkan ketaqwaan kepada kita semua. Jadikan Syawal untuk mempereratkan hubungan sesama Islam melalui ziarah. Berhati-hari selalu di jalanraya pada musim perayaan kerana kemalangan meningkat berkali ganda. Hati-hati dengan keselamatan rumah kediaman dan jangan beri ruang kepada pencuri. Kejadian yang baru berlaku semalam di rumah kawan saya dimasuki pencuri bersenjata pisau sewaktu sedang tidur. Kejadian sebelum ini, pencuri mengambil kesempatan di rumah yang banyak kereta di rumah ibubapa yang anaknya balik kampung. Mangsa diacu parang dan diikat. Pastikan rumah berkunci dengan baik sebelum tidur.

Salah seorang ulama, Harb mengatakan, “Imam Ahmad pernah ditanya mengenai apa yang mesti diucapkan di hari raya ‘ied (‘Idul Fitri dan ‘Idul Adha), apakah dengan ucapan, ‘Taqobbalallahu minna wa minkum’?” Imam Ahmad menjawab, “Tidak mengapa mengucapkan seperti itu.” Kisah tadi diriwayatkan oleh penduduk Syam dari Abu Umamah.

Satu Syawal menjelang tiba,
Takbir bergema mengegarkan jiwa,
Sekiranya ada salah dan dosa,
Ampun dipinta dihari mulia.

SELAMAT HARI RAYA.

06 Ogos 2013

Betulkah Pemain Bolasepak Aidil Zakuan dan Pelakon Rita Rudaini Bercerai? (Episod 1)

Media tempatan melaporkan, pelakon drama terkenal, Rita Rudaini dikatakan telah diceraikan oleh suaminya, yang juga pemain pertahanan Johor Darul Takzim, Mohd Aidil Zafuan Abd Radzak melalui SMS, beberapa hari lepas.  Menurut akhbar tersebut, Aidil telah menghantar SMS kepada Rita berbunyi....

"Aku ceraikan kau talak satu."

Hasil perkahwinan itu mereka dikurniakan dua orang anak iaitu Airit Rayyan Rizqin, 4, dan Airit Qaqa Arjuna yang kini berusia kira-kira setahun.

Tunggulah Keputusan Mahkamah

Okey, yang saya lihat, akhbar telah melaporkan seolah-olah perceraian telah berlaku. Pada saya, kita tidak boleh mengatakan perceraian sudah berlaku selagi mahkamah tidak mengeluarkan perintah mahkamah secara bertulis. Dalam perintah mahkamah itu nanti akan dinyatakan sama ada sah atau tidak perceraian itu. 

Kedua, berapakah jumlah talak yang jatuh sekiranya jatuh talak. Ketiga, bilakah tarikh sebenar jatuhnya talak sekiranya jatuh. Keempat, tempoh edah sekiranya jatuh talak. Kelima, perintah-perintah lain sekiranya ada. Kita elakkan dari menjadi hakim dalam isu ini selagi hakim tidak memutuskannya.

Isu Cerai SMS

Lafaz cerai ada dua iaitu pertama lafaz sorih iaitu lafaz yang jelas dengan menyebut perkataan 'cerai' atau 'talak' dalam perkataan tersebut. Kedua, lafaz kinayah iaitu sindiran atau yang kurang jelas seperti menyebut perkataan selain cerai atau talak tetapi membawa maksud sedemikian. Dalam lafaz kedua iaitu kinayah ini, niat dari suami adalah diperlukan iaitu niat hendak menceraikan. Kalau niat yang lain, maka talak tidak jatuh.

Tidak kira dalam bentuk apa sama ada cakap berdepan, perantaraan, SMS, telefon, email, whataps, facebook, dan lain-lain, masih boleh dikira sebagai lafaz talak. Bagaimanapun, kebanyakan hakim mahkamah meletakkan lafaz SMS sebagai kinayah dan bukan sorih. Sebelum memutuskan, hakim begitu teliti mengenai teknologi SMS termasuk jenis telefon, nombor telefon, lokasi penghantar dan penerima dan lain-lain. Niat juga perlu dalam kes ini sama ada berniat menceraikan atau tidak.

Kita juga jangan terkejut sekiranya ada hakim yang menolak cerai secara SMS ini dengan alasan tertentu. Antara alasannya, cerai perlukan lafaz dan SMS bukanlah lafaz. Atau, cerai SMS jadi sah sekiranya sambil menghantar sms itu, sambil itu mulutnya turut melafazkan apa yang ditulis itu.

Bagaimana Kalau Terjadi?

Apa yang saya nak cerita di sini, bukanlah satu kes Aidil dan Rita sahaja, tetapi banyak juga kes lain yang berlaku. Ramai juga yang tidak tahu hak mereka dari segi undang-undang syariah. Pesan saya, kalau ada seorang isteri yang diceraikan, hendaklah dia segera datang ke pejabat agama atau mahkamah syariah untuk merujuk kes ini. Kepada suami yang melafazkan juga boleh datang untuk membuat aduan. Dan lebih baik lagi kalau datang berdua suami dan isteri. Sila bawa sijil nikah dan kad pengenalan.

Di pejabat agama, kita akan tapis dulu setiap kes terutama lafaz yang telah dilafazkan. Sekiranya kes itu kuat dan ada lebih kepada perceraian, pejabat agama menasihatkan supaya bawa segera kes ini ke mahkamah syariah. Malah banyak juga orang yang datang mengadu, rupanya tidak pun jatuh talak setelah mengkaji lafaznya, niatnya dan lain-lain lagi.
Episod 2,klik sini

05 Ogos 2013

Suami Terlantar Sakit, Isteri Nak Mintak Cerai


Lelaki ini awal 50-an dulu kira orang senang, berniaga dan jadi kontrakter yang dapat projek-projek. Tapi sejak setahun ini dia terlantar sakit di rumah selepas diserang sakit angin ahmar. Keadaan kesihatannya beransur pulih tetapi tidak boleh berjalan kuat-kuat, nak bawa kereta lagilah tak boleh. Dalam keadaan sakit ini, suami banyak bergantung kepada isteri termasuk sediakan makanan, pimpin bila berjalan termasuk ke tandas dan lain-lain.

Isteri umur 40-an bekerja di sebuah syarikat dengan gaji agak besar juga. Muka isteri pun masih cantik dan jaga penampilan dengan pakaian ikut fesyen terkini. Perkahwinan mereka dikurniakan 4 orang anak yang dah besar. Akhirnya, isteri datang ke pejabat agama untuk meminta cerai dengan membawa pelbagai cerita. Antaranya kerana suami dia gagal memberikan nafkah yang sepatutnya. Sekali fikir, dengan keadaan suami yang sakit macam ni, mana mungkin suami dia dapat bekerja dan ada duit banyak macam dulu.

04 Ogos 2013

Bersama Kelab Pemilik Toyata Wish Johor (Cerita Kereta Episod 26)

Semalam saya bersama YB Abdul Mutalib bin Abdul Rahim, Exco Agama Negeri Johor di Masjid Layang-layang Kluang dalam program penyerahan bantuan fakir miskin dan berbuka puasa. Yang menariknya, program turut disertai Kelab Pemilik Toyota Wish Johor. Bila masuk sahaja di perkarangan masjid, ada lebih 60 biji kereta Wish. Kelab ini sudah beberapa tahun ditubuhkan dan setiap Ramadhan mereka mengadakan ziarah ke masjid-masjid dan menyampaikan bantuan kepada fakir miskin. YB Abdul Mutalib juga adalah ahli kelab ini sewaktu beliau menjadi Kadi di Segamat lagi.

Dalam ucapan saya semalam, sambil bergurau, saya kata saya tak boleh masuk kelab ini sebab saya tak ada Toyota Wish. Kereta saya sekarang Peugeot 407. Saya kata, Peugeot 407 saya tak jumpa lagi kelab kat Johor ini. Peugeot saya tak ler semahal Wish, malah separuh dari harga secondhand Wish tu harga kereta saya. Dan memang susahlah kalau nak buat kelab sebab tak ramai orang pakai. Setakat ini di Kluang, rasanya saya seorang saja orang Melayu yang pakai kereta ini. Tapi kalau ada orang Melayu yang pakai, boleh le kita sembang-sembang.

Apa-apa pun, saya puji kelab Wish ini kerana banyak program keagaamaan dan amal kebajikan yang dia buat. Maka ini boleh jadi contoh kepada kelab-kelab kereta lain kalau nak berkongsi pengalaman.

Baca Cerita Pasal Kereta Dari Episod 1, klik sini

03 Ogos 2013

Sudah Nasibku Mat Burger (Episod 74)


Man terus mengetuk pintu bilik Syira dengan kuat. Syira ketakutan dan terus menangis teresak-esak di atas katil sambil menekapkan mukanya dengan bantal. Syira jadi takut sekiranya pintu bilik yang tak berapa kukuh itu terbuka, sudah tentu Man akan memukul Syira semahunya, fikir Syira.

"Hoi... Perempuan sial. Keluar kau sekarang!" Teriak Man.




(Tulisan ini telah dikeluarkan dari blog ini kerana telah terbit novel bertajuk 'Cinta Mat Burger'. Boleh didapati di Kedai Buku Popular seluruh negara dengan harga RM23.90. Boleh juga dapat dari saya dengan harga RM30.00 termasuk kos poslaju. Hubungi saya :                0197526122  whataps)

01 Ogos 2013

Pergerakan Balik Cuti Raya Bermula Esok, Jumaat


Nampaknya banyak sekolah dah last sekolah esok. Tersenyum lebar cikgu dan cikgu serta pelajar sekolah. Tapi dengar cerita, ada juga sekolah yang masih sekolah Isnin. Maka bermulalah orang ramai balik Raya di kampung esok, Jumaat. Kalau nak ikut, raya lambat lagi, Khamis jangkanya. Nampaknya dapatlah berpuasa di kampung beberapa hari lagi. Sebenarnya memang seronok berpuasa dan bersahur kat kampung lebih lagi yang masih ada ibu bapa. Tarawih kat kampung yang bestnya, ada moreh yang biasa orang kampung hantar setiap malam, bandar susah nak jumpa.

Kenderaan di lebuhraya dan jalanraya biasa mesti banyak dan sesak. Maka pandai-pandai ler bagi masa dan hari, bila nak balik kampung. Oleh kerana masih jauh lagi raya, boleh ler rancang. Pernah dulu beberapa tahun lepas, pihak berkuasa beri panduan atau jadual, kena balik hari ini kalau kita dari sini dan sebagainya. Tapi hanya sekadar nasihat, orang kita tak ikut pun.

Kemalangan Meningkat

Teringat saya beberapa kemalangan ngeri musim perayaan antaranya bas ekspres kemalangan sehingga mengorbankan ramai penumpang. Begitu juga satu keluarga dari Johor Bahru maut selepas keretanya melanggar belakang lori berhenti di lebuhraya dekat dengan Bangi selepas bersahur di R&R. Apa-apa pun, sebagai pemandu kena beringat selalu. Jangan dok pasang lagu raya kuat-kuat atau berlumba nak sampai kampung. 

Nak laju, tengoklah tempat, yang penting kita tahu keupayaan kereta kita macam mana.  Kalau dah kereta mahal dan laju, takkanlah bawah slow, mestilah laju. Saya pun bawak laju, tapi tengok tempat juga. Janganlah banyak sangat potong kiri dan potong garis berkembar. Agak-agak ler yer, kalau rasa line clear dan selamat. Nanti tak larat nak bayar saman.

Sepuluh Terakhir Ramadhan

Balik kampung tu balik kampung juga yer....Yang paling penting, ibadah kita pada 10 terakhir Ramadhan, bagaimana ibadat kita ? Inilah malam yang Allah janjikan dengan gandaan pahala melebihi 1000 bulan. Bukan menyamai 1000 bulan yer, tapi melebihi. Ramadhan berlalu, soalnya adakah kita masih ada umur lagi pada Ramadhan tahun depan? Atau kita sudah menjadi penghuni kubur yang sempit, gelap dan tidak ada wifi internet di sana.

Zakat Fitrah dan Zakat Harta

Zakat Fitrah juga jangan lupa yang afdalnya bayar kat tempat kita mencari rezeki. Kalau Johor ini tahun RM8 atau RM5 seorang. Dari segi kesempurnaan puasa kita tergantung sekiranya kita tidak menunaikan zakat fitrah. 

Zakat Harta juga untuk tahun ini dah dijelaskan ker ? Kalau belum, bayarlah segera. Kaunter MAIJ dibuka setiap hari termasuk Sabtu dan Ahad sepanjang Ramadhan. Nak diberitahu yang zakat harta disyaratkan 'Haul' atau genap setahun hijrah. Maknanya bukan semestinya kita kena bayar pada bulan Ramadhan kalau haul kita kena pada bulan yang lain. Tapi kita rebutlah peluang berzakat pada bulan Ramadhan yang mulia ini. Nak beritahu, kadar nisab atau had minimun zakat harta di negeri Johor sekarang adalah RM 11,668.00 (tertakluk kepada pindaan dari semasa ke semasa).

SELAMAT BALIK KAMPUNG