Untuk Memilih Tajuk Artikel Dalam Blog Ini, Sila Taip Perkataan di sini.

13 Oktober 2009

2,000 Pelabur Rumpai Laut 'putih mata'

Berita harian hari ini cerita lebih 2000 pelabur skim saham rumpai laut di Ipoh  merana setelah ditipu. Mereka menyertai perniagaan berbentuk pelaburan yang meragukan. Masuk saham satu lot RM 3,900 dan dalam masa sebulan dapat RM 761.00, lepas tu kalau boleh kena cari ahli baru untuk dapat untung cepat. Dapat keuntungan dua tiga bulan, lepas tu tak dapat apa. Penganjur dikatakan sudah mengumpul wang RM 160 juta kemudiannya lesap.
.
Inilah sikap orang Melayu, mudah terpengaruh dengan saham yang bukan-bukan seperti ini. Belajar tentang saham taknak, tiba-tiba terpengaruh dengan dengan benda macam ni. Saya pun pernah masa di Johor Bahru orang cerita pasal rumpai laut ni, maknanya saham ini dah meluas ke seluruh negara dan pelaburnya melebihi 2000 seperti yang didedahkan akhbar. Katanya ternak rumpai laut di tengah laut, rumpai tu pula boleh buat ubat  yang menyembuhkan pelbagai penyakit. Rumpai ini boleh dijual dengan harga yang cukup mahal. Maka ramailah orang melayu yang terkena.
.

Beberapa tahun dulu,  dalam ceramah saya banyak selitkan penipuan dalam pelaburan seperti ini. Tujuan saya untuk mengelakkan orang kita terjebak dalam perkara yang merugikan ini, saya rasa ini tanggungjawab dakwah yang perlu saya terangkan, bukan untuk dapat publisiti murahan. Saya buat contoh tahun 1980-an negara Albania, sebuah negara orang Islam di Eropah yang runtuh kerana skim cepat kaya, ramai penduduk Islamnya muflis dan papa kedana sampai sekarang. Akhirnya Albania walaupun asalnya kaya tetapi rakyatnya hidup dalam kemiskinan.

Ramai orang yang menyokong langkah saya menggunakan pentas ceramah untuk menyedarkan masyarakat, mereka minta saya selamatkan orang kita dari terpedaya.Tetapi ada juga yang menentang sehingga saya pernah kena 'boo' dalam satu ceramah. Orang itu pada mulanya hendak tanya soalan, pengerusi berilah ruang dia bertanya. Tapi dia hentam saya, menuduh saya ingin menyekat oramg Melayu dari maju dan macam-macam lagi kata kesat. Sehinggalah pengacara majlis menghentikan soal jawab dari orang ramai yang mengikuti ceramah saya. Saya sebenarnya boleh untuk berdebat dengan orang yang mempertikaikan itu, kerana saya cukup bersedia dengan hujah saya. Cuma pengerusi hendak mengawal majlis dari dicemari dengan gelagat penyoal yang tidak menghormati majlis. Waktu tahun 2006 itu tengah panas dengan saham 'Swisscash' yang menjanjikan kekayaan kepada orang kita, bagaimanapun saya menentang keras. Cuma satu ayat yang saya ucapkan hari itu yang saya ingat sampai sekarang:

"Kalau tuan-tuan hari ini tidak percaya atas apa yang saya sampaikan, tidak mengapa, mudah-mudahan suatu hari nanti tuan-tuan percaya."

Ok. sekarang tahun 2009, ke mana perginya Swiscash ini ?
.
Mana mungkin saya boleh percaya kepada Swiscash yang kononnya berpengkalan di Republic Dominica, saya pun tak berapa tahu negara tu di benua mana. Tiba-tiba saham ni boleh mempengaruhi ramai orang Melayu di negara kita menggunakan internet. Saya buka laman web berkenaan, ada yang bahasa Inggeris, ada juga berbahasa Melayu. Bentuk perniagaannya tidak jelas, puas saya mencari maklumat lengkap tapi tak jumpa berkaitan pelaburannya. Secara logiknya, kita kena tahu profile pelaburan sesuatu syarikat sebelum menyertainya.
.
Bukan saya hendak cakap saya pandai tentang pelaburan, cuma saya sudah mempelajari mengenai pasaran saham sejak tahun 1992 lagi, waktu saya masih menuntut di UKM. Maknanya sekarang sudah 17 tahun saya menerokai ilmu ini secara tidak formal melalui kawan, bacaan dan datang sendiri ke firma broker saham di Kajang Selangor. Saya tahu, sesuatu syarikat yang dibenarkan memungut wang adalah bank, broker saham, insuran dan koperasi yang berlesen sahaja. Swiscash atau Rumpai Laut berdaftar dengan mana ? Kalau dua syarikat ini hendak mengumpul wang dari pelabur, sepatutnya menjadi sebahagian dari Bursa Saham Malaysia baru lah sah. Dengan itu, untung atau rugi, pelabur bertanggungjawab dari segala penipuan. Ada badan yang memantau saham-saham ini yang dinamakan Suruhanjaya Securiti yang akan mengambil tindakan kepada mana-mana syarikat di Bursa Saham yang melanggar peraturan. Oleh itu, pelabur terjamin.
.
Dulu saya berdebat dengan orang yang masuk skim-skim mengarut ini, dia kata kalau syarikat yang berdaftar dengan kerajaan, tak boleh bagi keuntungan tinggi seperti yang syarikat tidak berdaftar ini. Sebab itulah dia masuk saham yang tak berdaftar ini, tapi bila dah rugi, nak tuntut di mana, kerajaan tak beri jaminan.
.
Cerita ini adalah ibarat drama sebabak Radio Era arahan Din Beramboi. Angan-angan Mat Jenin akhirnya jatuh pokok kelapa, mimpi nak kawin dengan anak raja. Lebai Malang yang tak dapat makan kenduri bila orang dah balik. Si Luncai terjun sungan nak selamatkan diri, akhirnya tenggelam dengan labunya. Angan-angan nak jadi jutawan Rumpai, akhirnya karam dalam laut. Ya Allah, selamatkan orang Islam dan bangsaku.

1 ulasan:

  1. MELAYU MUDAH KENA TIPU & KPDN PULAK LAMBAT AMBIK TINDAKAN SEMASA SKIM INI BARU MULA...

    BalasPadam

Dipersilakan komen.