Untuk Memilih Tajuk Artikel Dalam Blog Ini, Sila Taip Perkataan di sini.

30 Jun 2014

Bapa Pengantin Terus Senyap Tak Mahu Jadi Wali, Orang Kampung Terus Risau (Episod 4)


Pagi itu, Sabtu adalah hari majlis perkahwinan pengantin itu di rumah perempuan. Setakat sebelah pagi tak ada berita lagi berkenaan majlis ini jadi atau tidak. Pak Imam serba salah, kalau tak jadi nikah pun tak apa, boleh pak imam cari lauk kat Econsave, tak payahlah tunggu pengantin tu.

Tok Kadi pun hari itu sibuk juga. Dalam hal ini, tok kadi tak fikir sangatlah dan memang kebiasaannya dia tak bawa masalah orang lain dalam diri dia. Masalah orang lain adalah masalah orang lain. Nak bantu macam mana pun, kalau dah bapa pengantin tak mahu jadi wali, tak boleh nikah juga. 

Tapi yang menghairankan, pagi itu tidak ada sebarang panggilan telefon sama ada dari pak imam atau keluarga pengantin. Yang menghairankan lagi, apabila jam menunjukkan 10.30 pagi, masa sepatutnya bernikah, tidak ada juga sesiapa telefon. Mungkin juga panggilan seperti mengatakan bapanya dah setuju atau laporan mengatakan tak jadi nikah kerana wali tak datang. Tunggu sampai tengahari jam 12.00 pun tak ada juga telefon.

Ermmm... apa yg berlaku yer. Jam 3.00 petang, tengok jam lagi, bukan tengok jam, tengok jam kat kat handphone. Tok kadi dah lama tak pakai jam, sejak zaman jadi pengautkuasa tahun 1996 dulu dah tak pakai jam. Waktu itu banyak operasi tangkap pondan di Jalan Dhobi. Kalau pakai jam, habis tercabut jam sampai hilang bergelut dengan pondan. Operasi judi lagi ganas, tak sedar masa bila jam hilang. 

Memang menghairankan sehingga malam pun tok kadi tak dapat berita pasal kes tu. Agaknya pak imam dan  orang kampung dah letih pujuk, sampai tidur awal hari tu. Tapi bagaimana dengan pasangan tu yer. Macam biasa, pasangan ini tak boleh nikah kalau bapa dia tak mahu jadi wali, itu saja. Bagaimana kesudahannya yer....?

................BERSAMBUNG KE EPISOD KE 5, klik sini

28 Jun 2014

Kisah Orang Beristeri Dua Sambut Ramadhan dan Hari Raya (Episod 4)


Memang betullah yang Ramadhan ini banyak cabaran, tak dia tak kita, tak kira orang ada isteri dua ker, orang ada isteri seorang pun banyak ujian juga. Ada Ustaz yang terkenal yang ada isteri tiga ini dalam ceramah dia dalam bahasa negeri dia, kata,

"Kita tak boleh kata orang kawin dua dan tiga ini tak bahagia, kerana ramai juga orang yang kawin satu pun tak bahagia. Maka acap-acap kalilah kita kawin dua, tiga, empat". Ceramah ustaz ini dalam bahasa lawak.

Hari ini, masa saya menulis ni 30 Syaban, esok 1 Ramadhan. Cerita yang saya tulis ini sudah hampir setahun berlalu, tapi saya ingat lagi ceritanya. Kenapa kita ingat lagi, sebab saya kena marah, kaw-kaw punya kena marah. Lagi saya ingat, sebab saya yang tak diwakili peguam pada masa itu rasa tak sepatutnya saya kena marah. Tapi bila difikirkan semula, bukan saya penyebab utama singa betina itu mengamuk, tapi sebab ada singa lain yang buat dia marah kot.

Banyak Soalan Sebelum Balik Raya

"Tuan Kadi... saya dah 4-5 tahun nikah senyap-senyap dengan suami saya. Tapi tak pernah sekali pun suami saya berhari raya dengan saya, semuanya dengan isteri tua. Tak kira raya puasa, raya haji, raya cina, taipusem pun dia raya dengan isteri tua. Adakah ini adil Tuan Kadi?

Terdiam Kadi dibuatnya, sepatahpun tak jawab.

"Selama ini suami saya tak pernah kasi saya duit belanja tetap. Rumah dan kereta pun saya beli sendiri, dia tumpang duduk saja. Saya pun tak pernah mintak duit pada dia sebab saya ada kerja. Salah ker suami saya macam tu Tuan Kadi?

Sekali lagi Tok Kadi terdiam, tak jawab apa-apa.

"Tuan Kadi.. boleh ker kalau saya telefon suami saya masa dia balik ke rumah isteri tua dia. Saya nak telefon jer, saya rindu kat dia. Boleh ker Tuan Kadi?"

Pun senyap lagi Tok Kadi, tak jawab.

"Saya nak anak Tuan Kadi, saya muda lagi, boleh lagi meneran kat katil hospital. Tapi suami saya taknak anak, dia tak mahu pecah rahsia kalau dapat anak. Tuan Kadi, berdosa ker kalau kami dah beberapa tahun merancang kehamilan, sedangkan duit belanja kami ada untuk anak-anak, kami bukan orang susah sampai tak dapat beri makan minum akan. Macam mana Tuan Kadi?

Terus diam Tok Kadi, terkedu dibuatnya.

Kenapa Tak Jawab

Dah cerita pun masa episod 1 tadi, yang semua soalan ni sengaja tak mahu dijawab. Kalau dijawab nanti, cerita lain pula jadinya, diam lebih baik. Nak kata kadi tak pandai jawab ker, katalah. Soalan ini pun melalui facebook. Identiti perempuan ini pun tak dikenali sangat.

Lagi satu, tak mahulah apa yang kadi jawab nanti, jadi modal atau  hujah masa dia perang mulut dengan suami dia. Contohnya pasal balik raya. Kalaulah kadi jawab yang suami kena adil dan bergilir-gilir antara rumah isteri pertama dan kedua.

Jawab memang senang, nak dikeluarkan dalil pun bukan susah. Tapi nanti kalau dia gaduh, isteri kedua jawab, dia dah rujuk Kadi dan kadi kata, tahun ni kena beraya di rumah isteri kedua, kan susah juga. Kalau kadi nak jawab kasi sakit hati isteri kedua ni senang aja, jawab jer macam ni...

'Itulah.... dulu nak sangat jadi isteri kedua, sekarang kan dah payah"

Hehe.... tapi tak ler terkeluar perkataan macam tu, nanti jadi gaduh pulak. Biarlah, si isteri kedua ni nak mengamuk ker, nak hempas komputer ker, kadi diam jer, sepatah pun tak jawab. Maka diam lebih baik dari menjawab-menjawab ni. Oleh kerana Kadi diam, terasa hati sangatlah orang yang bertanya.

Apa? Ingat orang yang tanya ni saja-saja gatal nak tanya ker. Bukan sehari dua fikir dan karang ayat untuk susun soalan. Menaip pula tu sambil keluar air mata. Apa? Ingat orang buat-buat sedih ker. Sedih sampai hulu hati tau, jadi isteri kedua terutama time hari raya ni. Balik kampung berkurung dalam bilik macam anak dara jer, malas nak layan soalan orang yang datang beraya.
SEKIAN.

.....................................................................................

(Hendak diberitahu di sini, cerita ini tiada kaitan atau tiada kena mengena dengan sesiapa. Jauh sekali ada kena mengena dengan diri penulis sendiri, hehe. Yang kelakarnya, ada juga orang kata penulis sudah kawin dua senyap-senyap sebab itu tulis cerita ini, kena nafikanlah. Anggaplah cerita ini hanya hiburan untuk mengisi masa lapang saja)

27 Jun 2014

Beli Rumah Lelong (Episod 13): Saya Jumpa Jutawan Hartanah

Saya nak perkenalkan kawan saya ini seorang guru yang pernah mengikuti seminar hartanah di Kuala Lumpur bersama saya. Dia nampaknya telah dapat pulangan dengan seminar pelaburan hartanah itu dengan berjaya menjadi broker dengan menjual hartanah yang mahal juga. Selalu juga saya jumpa cikgu ini di kedai mamak untuk berbual mengenai pengalaman dan peluang-peluang menjana pendapatan melalui hartanah.

Kenalkan Seorang Lagi Kawan

Hampir setahun lalu, kawan saya ini memperkenalkan saya dengan seorang lelaki umur dalam 50-an. Orang itu ada urusan untuk membantu seorang saudara baru untuk masuk Islam di pejabat agama. Saya nampak keikhlasan dia dalam membantu satu keluarga saudara baru itu termasuk bantuan kewangan kepada orang itu. Jadi, saya pun bantu.

Saya nampak orang ini yang saya panggil Pak Haji saja, dengan kereta mahalnya dan penampilan pakaian yang berjenama. Dia bukan menetap di sini tetapi dari sebuah negeri lain. Oleh kerana kawan saya perkenalkan orang ini adalah seorang jutawan hartanah, maka saya pun banyak bertanya tentang pelaburan hartanah sekadar untuk saya dapat ilmu. Maka terbongkarlah rahsia bagaimana dia sekarang berjaya menjadi jutawan senyap. Pak Haji ini sekarang tidak bekerja tetapi mempunyai harta dan wang yang kukuh.

Beli Hartanah

Pak Haji  ini pada mulanya enggan bercerita lanjut mengenai sejarah hidup dan cerita-cerita beliau mendaki sehingga berada dalam kedudukan sekarang. Apabila kawan saya yakinkan Pak Haji ini yang saya tidak ada kepentingan apa-apa atau bukan seorang yang dicurigai, akhirnya dia bercerita lanjut di kedai mamak itu.

Pada usia Pak Haji ini 30-an, dia mula jadi agen hartanah di beberapa negeri termasuk di Pahang dan Terengganu. Dia pergi ke kampung-kampung, bank-bank dan kedai ceti untuk mengumpul maklumat mengenai tanah yang hendak dijual atau terlelong. Di kampung-kampung waktu itu harga tanah masih terlalu murah berbanding sekarang. Dia pun cari pembeli di bandar di kalangan kawan-kawan dia dan menjual beberapa hartanah dengan harga yang tinggi. 

Di bank dan ceti pajak gadai pula, hasil maklumat orang dalam, dia ketahui tarikh dan harga tanah tersebut untuk ditebus semula oleh peminjam atau penggadai. Pak Haji ini menemui peminjam dan penggadai yang dalam masalah ini dan menawarkan untuk menyelesaikan masalah mereka. Dia cari pembeli dengan harga yang lebih tinggi dan dia dapat komisen. Akhirnya dia berhenti kerja sebagai kerani dan memperuntukkan sepenuh masa untuk urusan hartanah.

Beli Sendiri Tanah

Hasil komisen jualbeli tanah,  dia mampu membeli sendiri tanah-tanah yang murah. Cerita Pak Haji ini, dia waktu itu dia beli banyak tanah yang ada geran dan tukar kepada nama dia. Dia juga berani membeli tanah walaupu tanah itu ada masalah. Antara masalahnya ada tanah yang belum ada geran, tanah yang belum ditukar nama simati dan nama yang berlapis. Tapi Pak Haji ini nekad membeli tanah-tanah ini dan masalah itu diselesaikan kemudian. Selain itu, banyak juga tanah yang memang jelas tiada masalah dan dia beli atas namanya.

Bercerita pasal tanah bermasalah ini, biasanya harga yang ditawar kepadanya cukup murah. Contohnya, tanah peninggalan si mati dan anak-anak pula berebut tanah tersebut. Dengan bantuan peguam, banyak kes yang dia dapat selesaikan. Kemudian, ada tanah itu yang dijual dengan harga yang tinggi dan berlipat kali ganda. Dia dapat keuntungan besar.

Beli Hartanah Mahal

Masuk umur 40-an dia membeli satu tanah yang agak mahal di satu kawasan yang staregik untuk pelaburan masa depan. Dia menjangkakan yang tanah itu akan meningkat harganya kerana ada satu projek besar yang bakal dimajukan di kawasan berkenaan. Dia telah keluarkan wang tunai hasil jualan hartanahnya dan membeli tanah kira-kira 20 ekar itu dengan pinjaman bank.

Gagal Bayar Pinjaman

Kali ini perancangan dia tak betul. Ditakdirkan ekonomi tak baik pada waktu itu dan sukar untuk dia jual balik tanah itu dengan harga yang lebih tinggi. Dalam situasi ini, dia telah gagal membayar pinjaman kerana tiada wang pusingan dan dia jatuh terduduk. Dia tak jangka boleh jadi begitu. Beberapa surat bank dia terima termasuk surat hendak memufliskannya dari mahkamah. Dia sudah buntu dan berserah sahaja apa yang berlaku termasuk tanah itu dilelong dan dia diistiharkan  muflis. Ceritanya, waktu itu dia hendak buka sampul surat bank dan peguam pun tak mahu kerana dia rasakan semua surat itu akan menambah derita dalam hidunya.

Dia anggap tanah itu bukan miliknya lagi dan bank sudah rampas tanah itu untuk menebus hutangnya. Dia rasa dia sudah muflis tetapi dia tak tengok pun surat yang mengatakan dia muflis. Waktu itu, keluarga, anak dan isteri dia terabai. Bagaimanapun, isterinya tabah dan memahami derita yang suami dia tanggung waktu itu. Pak Haji ini tahu, dia gagal beri belanja kepada keluarganya dan terpaksa anak-anak dia hidup kais pagi makan pagi.

Berserah Kepada Allah

Waktu itu, dia hanya mampu berdoa dan dengan berdoa itu maka dikurniakan ketenangan dan kekuatan. Dari segi kepakaran dan ilmu perniagaan dan pelaburan hartanah, dia sudah buntu. Waktu itu, dia kenal yang mana kawan sejati dan mana kawan yang hadir waktu kita senang saja. Ceritanya, jiran sebelah rumah cukup baik dengan keluarganya sehingga berikan beras dan lauk hampir setiap hari kerana sedih melihat anak-anaknya tidak ada makanan. 

Rezeki Datang

Satu hari itu, dia didatangi oleh 3 orang lelaki yang memperkenalkan diri dari sebuah bank. Dia terkejut kerana merasakan ada satu masalah besar padanya. Tapi, yang menghairankan, pegawai bank tersebut mengucapkan tahniah kepadanya. Dia dipanggil ke bank tersebut untuk berjumpa dengan pengurus bank berkenaan. Dia masih tak tahu apa masalahnya.

Tiba di bank, dia amat terkejut dengan satu berita. Itu adalah berita gembira yang tak pernah dia impikan. Iaitu, tanah tersebut masih belum dilelong oleh bank kerana prosesnya agak rumit. Dan proses melelong tanah itu belum selesai lagi. Pengurus bank memberitahunya yang tanahnya itu nilainya adalah jutaan ringgit dan akan dibuat projek besar nasional. (Saya tahu projek apa, lokasi mana, tapi sangaja saya tak mahu cerita di sini). 

Ada syarikat besar ingin membeli hartanah tersebut darinya. Bank pula tidak boleh menjual kerana masih milik Pak Haji ini. Maka, melalui peguam yang dilantik, berlakulah proses penjualan dengan harga yang tinggu jutaan ringgit. Apabila ditolak dengan duit hutang bank, maka keuntungannya masih jutaan ringgit lagi.

Beli Hartanah Lagi

Dengan duit jutaan ringgit itu, dia beli banyak hartanah dengan harga murah lagi. Kebanyakan hartanah itu dijual dengan harga yang lebih tinggi pula dengan kepakaran yang dia ada. Lagipun, ekonomi negara semakin meningkat ketika itu. Ada satu syarikat perumahan yang ingin membeli tanahnya dengan harga yang tinggi tetapi dia tidak mahu jual terus. Akhirnya dia buat satu perjanjian untuk perkongsian membina rumah mewah. Hasil jualan rumah tersebut, sekali lagi dia dapat keuntungan jutaan ringgit.

Masih Beli Hartanah

Pak Haji ini sekarang dan dari dulu tidak bekerja. Setiap pagi dia akan minum di warung dan gaya hidup dia agak simple dan tidak sombong. Pak Haji ini banyak membantu orang susah tanpa mahu memperkenalkan diri dia siapa. Dia tahu, dia pernah hidup susah dulu. Ceritanya lagi, sekarang dia banyak bantu anak jiran dia yang bantu beri beras dan lauk waktu dia tiada makanan. Sehinggalah anak jiran dia itu masuk universiti sekarang.

Sampai sekarang, dia masih jual beli hartanah walaupun saya nampak dia sudah bergejar jutawan.. Katanya, ada beberapa tanah di lokasi strategik yang sudah ada permintaan yang tinggi tetapi dia masih belum menjualnya. Inilah kisah benar seorang jutawan yang sekarang tinggal di banyak lokasi dan punyai banyak rumah untuk persinggahannya. Semua itu adalah hasil usaha dan kerja kerasnya selama ini.

Agen/ broker Hartanah Pendapatan Lumayan

Saya ada baca satu artikel itu mengenai pekerjaan yang menawarkan pendapatan yang tinggi. Antaranya adalah kerjaya agen/ broker hartanah. Pendapatannya tiada had, bergantung kepada kemahiran can rezeki kita juga. Yang mempunyai wang tunai, kemudian membeli tanah dengan harga murah, simpan beberapa tahun kemudian menjualnya, keuntungannya lebi tinggi. Kalau kerajaan tetapkan kena cukai jualan hartanah, sebenarnya keuntungan itu tiada had bagi penjual sedangkan cukai itu ada had dan perkiraannya.

Kepada yang ingin melabur dalam hartanah secara meminjam dari bank, sila elakkan kalau kita tidak layak menanggung bayaran bulanan yang tinggi. Saya ada ramai kawan-kawan yang jual tanah. Kalau hendak beli tanah, boleh sembang2 dengan saya juga melalui fb 'Kadi Kluang'.

http://ustazkhalil.blogspot.my/2010/01/rumah-lelong-pengalaman-saya-sendiri.html


25 Jun 2014

Sekampung Gagal Pujuk Bapa Pengantin Jadi Wali, Kes Terlajak Laris Niiii (Episod 3)


Lewat malam tu dalam jam 11.30 malam ada satu panggilan. Tengok telefon, tak kenal pun nombor tu, maka saya tak jawablah. Tak lama lagi, sekali lagi panggilan dari nombor yang sama. Pun saya saja taknak jawab, lagi pun dah nak tutup lampu dan pasang ubat nyamuk letrik. Kali kelima panggilan, barulah saya jawab. Masa tu dah siap baring atas katil dan bantal golek letak bawak betis.

"Tuan kadi.... saya salah seorang keluarga pengantin perempuan, orang kampung DotDotDot mengenai bapa pengantin tu." Orang itu yang agaknya dalam umur 50-an berdasarkan suara dia memulakan cerita.

"Tuan kadi.... bapa pengantin degil betul macam batu, dia tetap tak mahu jadi wali pernikahan esok. Jadi macam mana tuan Kadi? Orang kampung dah puas pujuk. Boleh ker pernikahan berlansung esok?". Tanya orang itu.

"Tak boleh, kalau bapa tak jadi wali, orang lain tak boleh jadi wali". Jawab kadi ringkas.

"Ohh.... macam tu. Dah tu nak buat macam mana tuan kadi?". Tanya orang tu macam dah buntu.

"Ermmmm tanya saya nak buat macam mana? Macam itulah... kalau dia taknak jadi wali, tak boleh nikahlah esok, itu saja". Jawab kadi benda yang sama dah ulang-ulang. Mamak jual roti canai pun tak ulang dua tiga kali kalau kita oder teh tarik dan roti telur satu dan roti kosong tiga bungkus.

"Oh yer... Tuan Kadi, boleh ker dia nikah secara wali hakim, Tuan Kadi yang nikahkan sendiri esok kalau bapa dia tetap tak mahu jadi wali?" Tanya orang tu dah lagi macam cerita belit-belit.

Pernah di satu kedai mamak tu, ada orang datang oder roti bakar, dia buat roti canai, marah orang tu. Tapi mamak yang baru mari tu jawab senang saja, roti canai pun bakar juga pakai kuali.

"Tak adalah, nak guna wali hakim kena masuk mahkamah syariah dulu, biar hakim yang tentukan. Bukan kita senang-senang boleh kata guna wali hakim. Jadi, kalau bapa tak mahu jadi wali juga esok (Sabtu), maka pernikahan hendaklah ditangguhkan. Kalau ada makanan tu, rezeki orang kampung jangan ditolak, makan sajalah. Nanti Ahad, minta bakal pengantin lelaki dan perempuan buat aduan di mahkamah syariah. Biar mahkamah yang tentukan...". Kata Kadi.

"Ohhhh.... Jadi masuk mahkamah lama ker prosesnya?" Tanya orang tu.

"Ishhh... daftar kat mahkamah pun belum, dah tanya lama ker kejap. Daftarlah dulu, kita serah kepada mahkamah sepenuhnya". Kata kadi.

Nampaknya malam itu semakin berserabutlah pengantin, keluarga pengantin dan orang sekampung tu. Ada orang berbual sambil potong bawang dengan berair-air matanya buat cerita.

"Kita culik jer bapak pengantin malam ni, kita serkup dengan guni. Macam cerita Ibrahim Pendek filem Pendekar Bujang Lapok tu. Esok kita hantar bapak dia kat rumah Tok Kadi dan nikahkah anak dia". Kata orang tu sambil pisau dia geram-geram potong bawang sambil menangis mata pedih.


24 Jun 2014

Cerai Selepas Dua Bulan Bernikah


Pasangan lewat 20-an bercerai selepas hanya 2 bulan berumahtangga. Bila ditanya apakah punca perceraian, katanya tidak ada persefahaman. Tak perlulah kita tanya lanjut kerana apa-apa pun mereka dah bercerai.

Semasa cerai tu mereka rasa tidak mengandung, tetapi selepas sebulan bercerai, perempuan itu dapati dirinya mengandung pula selepas bidan periksa. Ops sori, bukan bidan tapi macam misi di klinik kerajaan. Perempuan itu pun mabuk-mabuk.

Tempoh Edah Perceraian

Nak cerita sikitlah ni, bukan nak bebel yer, tapi nak tegur sikit kepada orang-orang tertentu. Tak lama dulu, ada satu drama Melayu yang disiarkan di TV. Lebih kurang drama ini bermaksud, talak atau cerai tak jatuh kalau isteri dia tengah mengandung. Ini semua tak betul. Tak kiralah apa keadaan isterinya itu, kalau sempurna lafaz talaknya, maka jatuhlah talak. 


Lepas ni, penerbit drama atau penulis novel ker, kenalah berhati-hati mengenai hukum perkahwinan dan perceraian ini sebelum buat satu cerita. Yang jadi kesannya adalah masyarakat. Sampai saya pelik, kenapa masa tu ramai sangat orang tanya dalam FB saya mengenai jatuh atau tidak talak masa perempuan mengandung.

Cuma nak jelaskan di sini yang hukum menceraikan isteri semasa mengandung atau isteri itu dalam keadaan disetubuhi selepas suci, hukumnya haram. Nak jelaskan di sini, walaupun haram, perceraian tetap sah, bukan tak sah macam drama tu maksudkan.

Bapa Terus Berkeras Untuk Tak Mahu Jadi Wali (Episod 2)

Jam lebih kurang 9.00 malam, jurunikah telefon Kadi semula.

"Tuan... Saya dan beberapa orang kampung sudah jumpa bapa perempuan tadi. Tapi nampaknya dia tetap tak mahu jadi wali. Dia kata, kalau nak nikah sangat, biar anak lelaki dia iaitu abang kepada pengantin perempuan yang jadi wali". Kata jurunikah itu.

"Oh... cuba selesaikan dan ada masa lagi. Abang tak boleh jadi wali sebab dia masih ada ayah kandung". Kata Kadi.

"Nampaknya bapa dia ni susah nak dipujuk. Orang kampung pun dah ramai kat rumah dia ni nak bantu pujuk". Kata pak imam.

"Wah.. sekampung yang datang pujuk? Jadi gempar sekampung dibuatnya ni. Dah macam ada lakonan filem kat rumah tu jadinya". Kata kadi.

"Yer ler tuan.... orang kampung semua dah tahu dan perkara ni, dan tak pernah berlaku kat kampung ni". Kata pak imam yang sleng Jawanya tetap ada tu.

"Tak apa pak imam... ada masa lagi sehingga hari esok 10.30 pagi. Mintaklah orang sana terutama keluarga pengantin buat solat hajat, minta pada Allah Taala, semoga dipermudahkan urusan kita semua". Kata Kadi mengakhiri perbualan.

......BERSAMBUNG KE  Episod 3, klik sini

23 Jun 2014

Bapa Tukar Fikiran Tak Mahu Jadi Wali, Pernikahan Tergendala (Episod 1)

Bila lihat semula telefon saya, ada 7 panggilan yang saya tak jawab tadi. Saya tak dengar bunyi telefon tadi. Saya kenal pemanggil itu iaitu salah seorang jurunikah. Agak saya, ada suatu yang penting sehingga telefon kadi hari-hari cuti seperti hari itu. Tak lama kemudian, jurunikah itu telefon saya semula dan saya terus jawab.
"Tuan Kadi.... pasangan pengantin ini datang rumah saya bersama bapa bakal pengantin lelaki. Pernikahan akan berlansung jam 10.30 pagi esok. Tapi masalahnya, pasangan ini mengadu yang bapanya tidak mahu menjadi wali sedangkan sebelum ini dia setuju. Bagaimana nak buat Tuan kadi" Cerita imam itu agak panjang dengan bahasa sleng-sleng Jawa sikit.

"Kalau begitu, pernikahan tidak boleh dilansungkan esok. Kecualilah bapa dia setuju untuk jadi wali sehingga pernikahan esok jam 10.30 pagi. Harap diselesaikan masalah wali ini kerana bapa dia mesti jadi wali. Kalau bapa tak mahu, maka tak sahlah pernikahan itu". Jawab saya.

"Okey Tuan kadi, saya sedang bincang dengan keluarga pengantin ini. Terimakasih". Jawab jurunikah ini mengakhiri perbualan.

Ohhhh... ada juga masalah begini dalam masyarakat yer. Saya malas nak tanya apa masalah pasangan dan keluarga mereka ini. Katanya, ada buat majlis makan-makan sederhana besarnya di rumah pengantin perempuan pada hari pernikahan. Tapi kenapa bapa dia tak setuju yer. Malaslah nak tanya apa masalah mereka. Yang penting adalah, mereka selesaikan masalah mereka sendiri.

Tapi... apa berlaku kepada perkahwinan mereka ? Masa masih ada lagi, hampir 24 jam masanya sehingga majlis pernikahan yang dijadualkan esok.

........BERSAMBUNG KE EPISOD 2, KLIK SINI

16 Jun 2014

Beli Rumah Lelong (Episod 12): Johor Bahru Pelaburan Hartanah Terbaik Sekarang

Sudah agak lama saya tak menulis pasal rumah lelong ni. Dalam pada itu, ramai yang tanya soalan pasal rumah lelong dan saya taklah berdiam diri saja. Pertama, rumah lelong semakin kurang sekarang berbanding tahun 2008 dan 2009 iaitu saya mula berkecimpung dalam rumah lelong ini. Alhamdulillah, rumah yang saya beli beberapa biji pada masa lebih kurang 4-6 tahun, sekarang nilainya sudah mencapai 3 kali ganda. 

Saya nak beritahu satu tips kepada yang bercita-cita membeli hartanah, iaitu Johor Bahru adalah destinasi pelaburan hartanah yang terbaik saya rasakan. Hartanahnya masih banyak, harga tidaklah terlalu mahal lagi dan boleh untuk dijadikan pelaburan yang menguntungkan. Bagaimanapun, jangan lupa, belilah dengan cara mengukur dengan kemampuan sendiri, bukan dengan hawa nafsu semata-mata.

Rabu lepas, di kondo saya, saya lihat di seberang iaitu sebelah blok saya ada iklan nak jual rumah. Saya pun telefon dan dia kata harga lepas diskaun adalah RM 195,000. Ermmm.... nak tahu tak, rumah yang saya beli tahun 2008 jenis yang sama hanya RM 79,000 sahaja. Itu satu contoh. Betullah saya untung dan kalau saya nak duit tunai sekarang, nampaknya sudah boleh. Tapi saya rasa rumah di JB sekarang semakin mahal dan kalau saya jual hari ini, saya pun tak ada rancangan untuk apa saya nak guna dengan duit tu. 

Mungkin orang boleh kata, lebih baik saya beli kereta yang mahal dan berasa megah bila berada dalam masyarakat. Pada saya, kereta yang saya ada sekarang sudah cukup baik. Saya suka berfikir panjang sebelum memiliki sesuatu. Kereta idaman saya adalah Peugeot dan sekarang saya sudah pakai Peugeot 407. Ramai orang kata kereta saya mahal sebab dia orang tak mengikuti secara dekat kereta ini. Pada tahun 2005, harga Peugeot itu adalah dalam RM 165,000 tapi pada tahun lepas, tahun 2013 bulan Mei, harganya sudah jadi RM 45,000. Maka saya belilah dengan pinjaman bank.

Saya juga bercita-cita nak pakai Peugeot 508 yang dapat anugerah kereta terbaik 2000 cc tahun lepas. Tapi sekarang saya tak sanggup beli kerana harga dia RM 145,000 dan secondhand ada yang harga RM 119,000. Saya tetap simpan cita-cita saya untuk memiliki kereta ini dengan harga yang jauh lebih murah dalam 2-3 tahun lagi dengan harga sekitar RM 50,000 untuk kereta yang lebih berkualiti dan laju, Peugeot 508.

Perbezaan Beli Kereta dan Rumah

Saja saya buat cerita pasal kereta kerana antara kereta dan rumah kita tahu perbezaannya. Rumah harganya stabil tapi kereta pasti turun harga. Tapi kita mesti ingat bahawa beli rumah ini tidak semestinya untung dan sudah ratusan ribu orang muflis kerana pinjaman perumahan. Maknanya bukanlah semestinya untung beli rumah ini. Kalau untung, takkanlah jadi kes mahkamah dan rumah kena lelong.

Sekali lagi saya nak ulang, bahawa beli rumah ini kena ada 3  perkara. Kalau tak ada 3 perkara ini, tak payahlah beli rumah, elok simpan duit lagi bagus. Pertama, rumah yang kita beli ini ada nilai harga yang tinggi. Contohnya, kalau rumah di JB, nilainya tinggi. Sangat beruntung kita beli rumah dengan harga murah sedangkan nilai sebenar dia adalah tinggi. Jadi, kalau satu hari nanti kalau kita nak jual, maka kita dapat untung dengan harga yang makin meningkat.

Kedua, kita boleh sewakan rumah ini dan dapat untung. Contohnya kita beli rumah di JB dengan ansuranbulanan kepada bank sebanyak RM 800 dan kita dapat sewa rumah ini dengan harga RM 900, itu namanya untung. Tapi kawan saya, dulu mengajar di sebuah sekolah agama di Kluang dengan ansuran bulanan RM 900 sebulan. Dan dia sewakan RM 400 sebulan rumah itu. Itu namanya rugi. Bila saya kata pada dia, ini pelaburan yang rugi, dia jawab yang dia tak rugi sebab dia ada rumah yang orang Melayu panggil, ada aset. Okey, sudah lebih 10 tahun dia keluarkan 500 sebulan untuk mencukupkan ansuran bank dia, maknanya dalam setahun 6000 dan 10 tahun 60 000. Duit 60,000 ini kalau beli tempe, dapat makan satu kampung berpuluh-puluh tahun. Sewa rumah pula bukanlah naik dan bukan budaya kita naikkan sewa rumah kalau ada orang duduk.

Ketiga, kita boleh duduk rumah itu kalau tak ada orang duduk. Ini nak cerita juga yang ramai orang kita yang ada rumah tapi tak mahu duduk rumah itu. Ada kawan saya di JB, sewakan rumah dia dengan harga 500 sedangkan dia sewa rumah lain 900. Bila saya tanya, kenapa tak duduk rumah itu, dia jawab rumah itu kurang selesa berbanding rumah sewa itu. Orang ini datang jumpa saya khusus untuk dapat nasihat perancangan kewangan. Jadi saya sentuh banyak aspek termasuk sikap orang kita sendiri yang terlalu manja. Minta maaflah kalau ada orang yang terasa. Saya ini kekadang mulut lepas sikit.

Orang ini hanya ingin sikit selesa sehingga mengalah dan terpaksa duduk rumah lain dengan bayaran yang kebih tinggi. Kita sepatutnya harungi hidup ini walaupun ada kepayahan. Rumah dia itu saya tak nampak sangat tak selesa cuma kecil sedikit sahaja berbanding rumah yang dia sewa. Orang kita, kalau ada duit sikit, mulalah nak bergaya sikit. Saya cadangkan supaya dia jual atau duduk saja di rumah itu. Akhirnya dia duduk juga rumah itu setelah beberapa tahun menyewa. Sepanjang menyewa itu, dia hampir tidak ada wang simpanan dan sering ketiadaan wang belanja.

Masalah Rumahtangga dan Hampir Bercerai

Seorang isteri pula mengadu kepada saya yang suaminya seorang penjawat awam, gaji kira-kira 3000 tapi tak pernah cukup untuk keperluan keluarga. Katanya sekarang, si isteri banyak bersusah payah dengan gaji isteri RM 2500, terpaksa isteri gunakan wang untuk membiayai keluarga. Sekali fikir, dengan pendapatan lebih 5,500 dalam keluarga ini, nampak macam besar, tapi sebenarnya tak cukup untuk keperluan harian.

Ke Mana Wang Dia Habis?

Saya nak beritahu yang dia duduk di rumah mahal dan baru di Kluang yang baru dibeli. Suami dia bayar ansuran bulanan rumah hampir RM 1100. Bila ditanya kenapa tak duduk menyewa saja, dia bilang, sudah lama menyewa dan kalau kumpul duit sewa dah boleh beli produk D'Herb terlajak laris. Suami dia juga bayar kereta 600 sebulan. Suami dia ada 2 personal loan hampir 1000 sebulan. Maka baki gaji suami dia adalah 300 ringgit saja.

Gaji si isteri saja, bayar kereta buatan Malaysia 500, ada personal loan 500, bakinya 1500. Duit itulah untuk belanja anak 4 orang termasuk makan minum kat rumah, duit isteri juga. Itu belum kira duit tepi-tepi dengan minyak kereta, servis kereta, roadtax, sarapan kat restoran mamak, lefrik, astro, air, telefon internet dan lain-lain. Maka belum cukup tarikh gaji pun, poket sudah kosong. Masa inilah mengamuk kat laki dan mengadu kat Kadi. Yang sedapnya, Kadi lambat sikit jawab soalan dia, Kadi pulak kena marah. Lepas tu dia malu sendiri. 

Duit Habis Kat Rumah

Kawan-kawan satu tempat kerja ramai duduk kat situ dan selalu cerita kat opis yang ada rumah baru. Maka suami pun tewas dan beli juga. Kebetulan pinjaman perumahan dia senang jer lulus. Kalau orang kata jangan beli rumah, dia tembak balik dan tuduh yang penasihat macam ni adalah nak lemahkan kita kononnya.

Sekarang dia suami isteri dalam krisis. Puncanya bukannya Mak Janda yang flat kereta JND tu, tapi masalah kewangan masing-masing. Bila dibincangkan pasal kesilapan dia beli rumah, sekali lagi dia menafikan, dia kata, dia beli rumah tidak silap, tapi suami dia yang kuat enjoy, katanya.

Kalau nak cari pengelesaiannya supaya kembali semula ke rumah sewa 350 sebulan berbanding 1100 sebulan sekarang, mengamuk isteri dia. Tapi sebebarnya, pada saya, itulah yang lebih baik dalam hidup dia daripada terus hidup dalam bebanan hutang. Biarkanlah hal rumahtangga mereka dan kita lihatlah episod seterusnya nanti, bagaimana usia perkahwinan mereka. Sekarang pun sudah retak dan hampir musnah kalau tak betul-betul.


15 Jun 2014

Main Judi Sempena Piala Dunia 2014 ?


Saya terbaca beberapa artikel mengenai pasaran saham yang dikatakan jadi lembab sikit sepanjang berlansungnya bolasepak Piala Dunia 2014. Bukan satu artikel tetapi banyak, iaitu yang ditulis oleh penganalisa pasaran saham berpengalaman. Kenapa ramalannya begitu? Apa kaitannya dengan bolasepak?

Kerana katanya, orang lebih suka main judi bola berbanding masuk pasaran saham. Ikut ulasan pakar itu, setiap kali berlansungnya Piala Dunia, pasaran saham akan jadi begitu. Bagaimanapun, pada saya, manusia bukanlah pakar yang sebenar yang mengetahui turun naik pasaran saham sepenuhnya. Kalaulah manusia pakar itu betul, kenapa ramai pakar ekonomi yang tersalah ramal sehingga tidak berjaya meramal kejatuhan pasaran saham tahun 1997-1998 dahulu. Itu ulasan saya pulak yang tak berapa pakar.

Seorang kawan saya pula kata, Piala Dunia tak akan menjejaskan pasaran saham tempatan atau dunia. Ini kerana bukanlah ramai pemain saham adalah kaki judi. Malah, pelabur akan mengintai peluang membeli saham murah yang berpotensi di tengah-tengah harga saham di bawah nilai.

Judi Bola Sepak

Saya tak faham sangat pasal judi bola ini. Yang saya nak cerita adalah peranan dan tugas penguatkuasa undang-undang terutama pihak polis adalah semakin banyak dan mencabar. Kalau dulu, kaki judi ini berkumpul di kelab malam, karaoke atau restoran sewaktu perlawanan, tapi sekarang lebih luas lagi. Selain lokasi tersebut, perjudian lebih mudah dengan perhubungan telefon bimbit dan internet seperti facebook, whataps dan lain-lain.

Apa-apapun, judi ini tetap bawa malapetaka dalam hidup kita dan jauhkanlah judi. Dalam Islam, jelas kata judi adalah keji dan termasuk kawan-kawan syaitan. Dulu masa saya jadi penguatkuasa Jabatan Agama, ada orang kata orang itu kaya raya kerana selalu menang nombor ekor. Lama saya buat siasatan terhadap orang Islam tersebut. Hidup dia senang lenang dan banyak duit. Yer atau tidak?

Rupa-rupanya ada cerita disebaliknya. Tak perlulah saya dedahkan cerita sebenar. Ringkasnya, dia dapat duit itu dengan cara haram lain, bukan duit judi nombor ekor. Semuanya hendak menutup cerita dia buat kerja haram.

Lingkup Kerana Berjudi

Seorang pun saya tak jumpa orang kaya dengan judi. Tapi saya jumpa ramai, malah beratus orang jadi miskin kerana berjudi. Di pejabat agama dan mahkamah syariah, hampir setiap hari orang kena tangkap kerana beli nombor ekor dan tak ada duit bila kena denda. Terpaksalah pinjam duit dari anak isteri untuk bayar denda, ramai yang macam tu. Sekali fikir, orang itu dah berjudi sejak umur 30 tahun sampai umur 60 lebih, masih jadi pelanggan tetap nombor ekor, tapi manakah kekayaan dia ?

Orang Kita Tak Ramai Masuk Pasaran Saham

Seorang kawan saya ni banyak terlibat dalam dunia bursa saham Malaysia cerita pada saya. Umur dia sama umur dengan saya dan sudah lama berkecimpung dalam bursa saham. Dia ini sedikit pun tidak menampakkan kepada orang lain yang dia adalah pelabur saham. Dia kata, kesedaran orang Melayu dalam bursa saham cukup rendah. Oleh itu peluang orang kita dalam dunia pasaran saham perlulah direbut sekarang. Ohhh... macam tu, kata saya.

14 Jun 2014

Sudah Nasibku Mat Burger (Episod 75)




Mak Man membuka pintu dan memang kereta Man yang sampai itu. Manakala kereta ayah Man tidak ada lagi nampannya. Dah jadi kebiasaan ayahnya berbual-bual dengan rakan-rakan surau selepas solat. Tapi Man dan Aboi tak keluar dari kereta dan nampak mereka berdua sedang rancak berbual berdua.

"Aboi.... aku rasa cukup insaf hari ini dengan kuliah Pak Kiyai Suhaili. Ermmmm....

(Tulisan ini telah dipadamkan dari blog ini kerana telah terbit novel bertajuk 'Cinta Mat Burger'. Boleh didapati di Kedai Buku Popular seluruh negara dengan harga RM23.90. Boleh juga dapat dari saya dengan harga RM30.00 termasuk kos poslaju. Hubungi saya :                0197526122  whataps)





10 Jun 2014

Kes Curi Moto Yang Kelakar Juga

Saya ke sebuah pangsapuri di Johor Bahru. Dalam jam 8.00 malam, saya tengok macam ada kekecohan dan tak lama kemudian ada datang dua biji kereta peronda polis. Saya pun tak tanya sebab dah lapar juga nak pegi makan.

Lepas tu saya balik semula ke pangsapuri tu. Saya berbual dengan salah seorang yang duduk kat situ. Dia kata, mula tadi kecoh sebab ada kes curi enjin moto. Faham betul-betul yer, bukan moto yang hilang tapi enjin moto saja yang hilang. Bila lelaki 50-an ini dapati, moto uang diletakkan di pangsapuri kediaman dia itu dah tak ada enjin. Maka dia report polis. Polis pun segera datang dan buat siasatan. 

Hasil siasatan termasuk keterangan beberapa orang saksi dan kamera cctv, dapatlah tahu siapa yang buat kerja ini. Sebenarnya yang curi enjin ini adalah anak lelaki kepada lelaki ini. Katanya anak dia masih sekolah dan curi enjin moto bapa dia. Kira malu muka juga bapa dia terutama pada jiran-jiran dia.

08 Jun 2014

Orang Kampung Jual Pokok Durian, Bukan Jual Buah Durian


Semalam saya ke sebuah kampung di daerah Muar. Nak cerita juga, dulu masa saya zaman remaja (sekarang dah tua, hehe), selalu ke kampung ni kalau musim durian. Selain harga durian yang murah, rasanya lebih sedap. Agak saya, durian ini sedap kerana pokoknya pokok lama dan besar-besar. Jadi buahnya besar jugalah. Dah berbelas tahun saya tak ke kampung ini. Dulu-dulu-dulu seperti 'kumpulan Tegar' cakap, kampung ini banyak buah durian kalau tiba musimnya.

Sekarang ni ada sesetengah tempat di Muar tengah musim durian. Tapi bukan semua tempat di Muar rupanya musim durian. Jadi saya pergilah ke kampung ini. Yang menghairankan saya, sudah tidak banyak kebun atau pokok durian di sini. Dulunya yang saya ingat, di situlah kebun durian yang luas, sekarang sudah bertukar jadi kebun kelapa sawit dan ada juga yang tempat yang jadi kilang. Saya meneruskan pencarian saya umpama misi mencari MH370 ke kampung ini.

Di sebelah-sebelah rumah orang di sini pun dah tak banyak pokok durian. Saya jumpa beberapa pokok saja dan tak berbuah lagi, bunga dan putik pun tak ada.

Tebang dan Jual Pokok Durian

Hari ini saya berbual dengan kawan saya yang duduk tak jauh dengan kampung itu. Katanya, orang kampung itu dah tebang dan jual pokok durian kepada orang tengah. Harga satu pokok adalah antara RM 50- RM 100 ringgit. Diceritakan kepada saya lagi yang orang kampung itu rasa tidak mendapat keuntungan dengan jual durian. Pernah satu tahun itu harganya hanya 20 sen sekilo sahaja kerana buah terlalu banyak di pasaran.

Orang Kampung Jadi Broker

Yang datang rumah ke rumah untuk beli pokok durian ini adalah orang kampung itu juga.Kawan saya kata, sebenarnya harga satu pokok durian yang besar boleh datangkan hasil sehingga seribu ringgit sebab durian boleh disamakan macam pokok balak. Tapi orang kampung tak mahu susah-susah nak cari orang dan buat kerja, ambillah juga duit orang bagi tunai.

Kayu pokok durian itu dihantar ke kilang perabut yang banyak kat Muar. Tak tahulah berapa banyak orang ini untung, tapi dia sekarang pakai kereta mewah hasil jadi orang tengah beli kayu dan peraih kepada hasil tanaman orang kampung.Orang tengah ini bukan saja beli pokok durian, tapi juga pokok kelapa dan pokok getah, semuanya bernilai untuk meneruskan industri perabut. Harga sebatang pokok kelapa adalah RM 10 sahaja. Saya pujilah orang ini kerana walaupun belajar tak tinggi, tapi pandai menjana kewangan dengan jadi peraih.

Bagaimana Anak Cucu Nak Makan Durian?

Jual pokok durian memanglah untung dan dapat duit tunai jam itu juga. "Jam itu juga' adalah bahasa orang Muar yang orang daerah lain di negeri Johor tak cakap macam ni. Orang dulu-dulu iaitu tok nenek dan bapa kita tanam pokok buah-buahan ada matlamat. Mereka tanam bukan untuk keuntungan diri sendiri ikut kiraan keuntungan duniawi saja. Tapi mereka niat nak sedekah pada anak cucu dan generasi akan datang sebagai amal jariah untuk mendapat pahala berpanjangan.

Pokok durian misalnya, bukan setahun dua boleh berbuah tapi setahu saya dalam 10 tahun ke atas baru berbuah dengan sempurna. Pokon durian pula usianya puluhan tahun dapat hasil buah durian setiap tahun. Orang dulu sayang dan ingat pada anak cucu yang duduk jauh di bandar. Sekali sekali terutama musim durian, anak dan cucu balik kampung makan durian di pondok. Kalau budak sekolah asrama, bawa kawan-kawan satu asrama datang makan durian sekali. Itu dulu, tapi sekarang bagaimana ?

Sekarang Orang kampung Pun Beli Durian

Orang kampung sekarang ramai dah tak ada pokok durian. Yang memang tak tanam durian dari dulu itu satu bab. Yang bab satu lagi orang yang dulu atuk dan bapak dia ada pokok durian, sampai ke anak-anak, lansung dah tak ada pokok. Dulu membebel harga durian murah, sekarang ini anak-anak mintak beli durian pun, mak ayah belum tentu nak belikan. Yer ler, harga pun dah mahal.

Yanag dulu jual pokok durian sekarang termenung dan terkilan bila anak dan cucu balik kampung. Nak tak nak, belilah juga durian di kedai, bukan murah harganya. Ataupun cucu nak makan durian, nanti atuk belikan aiskrim durian jer.



01 Jun 2014

Pengemis dan Peminta Sedekah Mencemar Nama Baik Malaysia

Pengalaman saya melawat negara China, tidak jauh dengan Masjid Saad bin Abi Waqas di Guangzhou, ada peminta sedekah menghampiri saya dan pelancong yang lain. Mungkin peminta sedekah ini selalu atau kadang-kadang saja di situ, saya pun tak pasti. Tapi, kehadiran peminta sedekah di situ telah menggambarkan imej yang buruk di mata pelancong.

Apabila saya ke Jakarta, juga ramai peminta sedekah yang lebih suka minta sedekah kepada pelancong. Sekali lagi, saya buat kesimpulan sendiri yang perkara ini menjejaskan nama baik pelancongan di Jakarta.

Bagaimanapun, saya tidak pernah jumpa peminta sedekah si Singapura. Jadi, tidak ada sesiapa yang mempengaruhi saya untuk menyatakan pujian kepada negara tersebut.

Peminta Sedekah di Angsana Johor Bahru

Semalam saya ke Plaza Angsana Johor Bahru. Seperti kebiasaan, saya gemar letak kereta bersebelahan menara LHDN. Saya nampak banyak bas yang saya pasti itu adalah orang luar yang melancong ke Johor Bahru. Yer, antara lokasi menarik di JB sekarang adalah Legoland, JPO dan Angsana.

Di tepi jalan saja apabila nak masuk ke kawasan angsana, saya lihat seorang wanita dan anak perempuannya minta sedekah di atas tikar. Dia duduk di laluan orang ramai untuk masuk ke kawasan angsana, tidak jauh dengan tempat tunggu bas. Lihat pada muka, mungkin warga asing atau juga mungkin orang tempatan. Setahu saya, perkara ini bukan sekali dua, tapi sudah banyak kali, sudah bertahun sejak saya bertugas di Johor Bahru lagi.

Bagaimana Imej Negara ?

Walaupun kejadian ini berlaku di angsana satu saja, tapi kesannya cukup besar kepada pelancongan negara. Pelancong paling ramai di situ adalah orang Singapura dan negara lain, selebihnya pelancong tempatan. Bagaimana mereka memandang imej negara kita ?

Walaupun ini berlaku di angsana sahaja, tapi pelancong luar boleh anggap ini menggambarkan keseluruhan negara kita.