Untuk Memilih Tajuk Artikel Dalam Blog Ini, Sila Taip Perkataan di sini.

25 Jun 2014

Sekampung Gagal Pujuk Bapa Pengantin Jadi Wali, Kes Terlajak Laris Niiii (Episod 3)


Lewat malam tu dalam jam 11.30 malam ada satu panggilan. Tengok telefon, tak kenal pun nombor tu, maka saya tak jawablah. Tak lama lagi, sekali lagi panggilan dari nombor yang sama. Pun saya saja taknak jawab, lagi pun dah nak tutup lampu dan pasang ubat nyamuk letrik. Kali kelima panggilan, barulah saya jawab. Masa tu dah siap baring atas katil dan bantal golek letak bawak betis.

"Tuan kadi.... saya salah seorang keluarga pengantin perempuan, orang kampung DotDotDot mengenai bapa pengantin tu." Orang itu yang agaknya dalam umur 50-an berdasarkan suara dia memulakan cerita.

"Tuan kadi.... bapa pengantin degil betul macam batu, dia tetap tak mahu jadi wali pernikahan esok. Jadi macam mana tuan Kadi? Orang kampung dah puas pujuk. Boleh ker pernikahan berlansung esok?". Tanya orang itu.

"Tak boleh, kalau bapa tak jadi wali, orang lain tak boleh jadi wali". Jawab kadi ringkas.

"Ohh.... macam tu. Dah tu nak buat macam mana tuan kadi?". Tanya orang tu macam dah buntu.

"Ermmmm tanya saya nak buat macam mana? Macam itulah... kalau dia taknak jadi wali, tak boleh nikahlah esok, itu saja". Jawab kadi benda yang sama dah ulang-ulang. Mamak jual roti canai pun tak ulang dua tiga kali kalau kita oder teh tarik dan roti telur satu dan roti kosong tiga bungkus.

"Oh yer... Tuan Kadi, boleh ker dia nikah secara wali hakim, Tuan Kadi yang nikahkan sendiri esok kalau bapa dia tetap tak mahu jadi wali?" Tanya orang tu dah lagi macam cerita belit-belit.

Pernah di satu kedai mamak tu, ada orang datang oder roti bakar, dia buat roti canai, marah orang tu. Tapi mamak yang baru mari tu jawab senang saja, roti canai pun bakar juga pakai kuali.

"Tak adalah, nak guna wali hakim kena masuk mahkamah syariah dulu, biar hakim yang tentukan. Bukan kita senang-senang boleh kata guna wali hakim. Jadi, kalau bapa tak mahu jadi wali juga esok (Sabtu), maka pernikahan hendaklah ditangguhkan. Kalau ada makanan tu, rezeki orang kampung jangan ditolak, makan sajalah. Nanti Ahad, minta bakal pengantin lelaki dan perempuan buat aduan di mahkamah syariah. Biar mahkamah yang tentukan...". Kata Kadi.

"Ohhhh.... Jadi masuk mahkamah lama ker prosesnya?" Tanya orang tu.

"Ishhh... daftar kat mahkamah pun belum, dah tanya lama ker kejap. Daftarlah dulu, kita serah kepada mahkamah sepenuhnya". Kata kadi.

Nampaknya malam itu semakin berserabutlah pengantin, keluarga pengantin dan orang sekampung tu. Ada orang berbual sambil potong bawang dengan berair-air matanya buat cerita.

"Kita culik jer bapak pengantin malam ni, kita serkup dengan guni. Macam cerita Ibrahim Pendek filem Pendekar Bujang Lapok tu. Esok kita hantar bapak dia kat rumah Tok Kadi dan nikahkah anak dia". Kata orang tu sambil pisau dia geram-geram potong bawang sambil menangis mata pedih.


2 ulasan:


  1. salam ustaz..
    hahaha...sedap gak membaca sambil makan roti canai & hirup teh tarik nih....ahaks

    BalasPadam
  2. mazidul sakit? 1 minggu tak update entri :-(

    BalasPadam

Dipersilakan komen.