Untuk Memilih Tajuk Artikel Dalam Blog Ini, Sila Taip Perkataan di sini.

21 Disember 2014

Hari Ini Orang Itu Naik Kereta Mewah, Lima Tahun Lagi Orang Yang Naik Moto Kapcai Pula Pakai Kereta Mewah


Kekayaan dan kejayaan seseorang itu dalam ekonomi tak pernah kekal. Kita manusia, kekayaan itu bukanlah hak mutlak kita sepenuhnya. Terpulang kepada kita nak bersetuju atau tidak bahawa kekayaan itu tidak semestinya kekal selamanya. Percayalah, Allah saja yang memberi kita kaya atau sebaliknya. Ada orang kaya sekejap saja dan tak lama untuk mempertahankan kekayaannya itu. Hari ini seorang itu kaya raya, esok lusa atau setahun dua lagi belum tentu. Orang miskin sekarang, mana tahu nanti dia jadi kaya.

Kisah Penjual Madu Lebah

Dulu tahun 1994 saya pernah memberhentikan motosikal saya untuk menumpangkan seorang penjual madu lebah lebih kurang 5 kilometer jaraknya tanpa dia memakai topi keledar. Waktu itu saya beranikan diri kerana saya yakin tidak terserempak dengan polis dalam perjalanan itu. Pertama, saya simpati melihat seorang lelaki 50-an memikul beberapa botol madu lebah dengan menjajanya dari satu tempat ke satu tempat dalam cuaca panas terik. Dalam masa yang singkat itu, saya sempat berkenalan dengan lelaki 50-an itu serba sedikit. Selepas itu juga saya beberapa kali bertemu lelaki ini yang agak peramah dan riuh memujuk pelanggan untuk membeli madu lebahnya.

Beberapa Tahun Kemudian

Beberapa tahun kemudian, lebih kurang 6 tahun, saya pergi ke negeri seperti yang diceritakan oleh penjual madu ini. Di sebuah kedai makan, saya merenung di meja sebelah saya iaitu saling tak tumpah seperti lelaki yang saya kenali itu. Tadi saya nampak dia baru keluar dari keretanya. Teringat sangatlah semasa dia betul-betul ucapkan terimakasih kepada saya selepas saya tumpangkan motosikal saya. Tetapi yang menghairankan, lelaki ini tadi keluar dari sebuah kereta mahal iaitu Honda CRV model baru yang saya tahu harganya kira-kira RM150,000. Mencabar sungguh otak saya memikirkan, adakah saya tersilap orang?

Bila lama-lama direnung, saya yakin, itulah lelaki yang saya kenali itu. Memang macam mustahillah apabila memikirkan seorang penjual madu lebah boleh pakai kereta mahal macam tu. Saya cuba nak tegur, tapi waktu itu juga saya terlupa namanya. Saya beranikan diri juga untuk bertanya.

"Maaf Pakcik.... Saya rasa macam kenal pakcik. Betul ker Pakcik pernah jual madu di Bandar Baru Bangi?" Tanya saya.

Saya nampak itu macam terkejut dan dia terus salam dengan saya. 

"Yer... betul. Anak ni siapa yer? Kenal di mana?" Tanya pakcik tu.

"Ermmm... dulu pernah tumpangkan pakcik naik moto saya. Pakcik ingat lagi ker?" Kata saya.

"Ohhhh... ingat, yer ingat. Tapi dulu kurus yer. Sekarang dah nampak berisi" Kata pakcik tu.

"Hihi...." Saya cuma mampu ketawa.

Dulu Susah, Sekarang Alhamdulillah

Macam penyanyi Tegar juga ceritanya. Pakcik ini cerita yang dia banyak beli tanah kebun hasil jualan madu lebah ke beberapa negeri. Masa itu harga sawit dan getah mahal dan pendapatannya saya agak-agak dalam 20ribu sebulan atau lebih lagi. Anak dia juga berjaya dan kerja hebat-hebat termasuk seorang doktor. Yer, dulu dia susah, sekarang alhamdulillah. Berkat rezeki yang halal hasil titik peluhnya itu, anak-anak dia juga berjaya. Pasti anak-anak berusaha bersungguh-sungguh dalam pelajaran apabila melihat bapanya hidup susah termasuk memikul botol madu lebah ke merata ceruk dan negeri.


05 Disember 2014

Forum Perdana: Isu-Isu Perkahwinan, Perceraian dan Muamalat Dalam Islam



Satu Forum Perdana Ehwal Islam akan diadakan pada Jumaat, 5 Disember 2014 jam 8.30 malam di perkarangan Masjid Al-Ikram Taman Sri Kluang. 

Forum anjuran YADIM (Yayasan Dakwah Islam Malaysia) dengan kerjasama Pejabat Kadi Kluang dan Masjid Al-Ikram ini membariskan ahli panel iaitu: 

1. Peguam Datuk Khairul Anwar Rahmat (Pengerusi SukaGuam Malaysia), 
2. Ustaz Zamri bin Zakaria (YPEIM Kuala Lumpur) dan 
3. Ustaz Hj Mohd Khalil bin Md Noor (Kadi Daerah Kluang).

Forum bertajuk "Isu-isu Perkahwinan, Perceraian dan Muamalat Dalam Islam". 

Satu kaunter wakaf dan derma untuk pembinaan masjid baru Al-Ikram Taman Sri Kluang juga akan dibuka untuk orang ramai membuat amal jariah yang Allah janjikan pahala berterusan selepas kita mati. Menurut pengerusi masjid ini, Cikgu Haji Ahmad bin Jantan, masjid ini memerlukan kira-kira RM3 juta untuk pembinaan ini dan wakaf ini telah mendapat kebenaran MAIJ. Semua dijemput hadir beramai-ramai dan sila sebarkan maklumat ini kepada rakan-rakan kita.

Mak Ayah Pergi KL, Anak Perempuan Bawa Lelaki Balik Rumah

Hujung tahun ni, mak dan ayah dia pergi ke KL dalam 3 hari nak tengok anak dan cucu di sana. Seronok ler juga mak ayah yang dapat tengok cucu dan dalam hati, nanti anak bawak shoping kat KL lagi best. Tinggallah anak dara seorang kat rumah umur awal 20-an yang tak dapat ikut sekali sebab bekerja. Tak kisahlah anak perempuan tinggal seorang kat rumah, bukannya rumah kampung, ini rumah taman.
.
Kalau rumah kampung macam saya kecil-kecil dulu takut juga malam-malam. Nak buang air pun, bilik airnya kat luar. Masa dulu juga banyak hantu. Sekarang hantu dah tak banyak sebab dah ramai hantu jadi pelakon filem dan drama, hehe. Yer ler, dulu banyak hantu sebab mak ayah, atuk dan nenek selalu sebut pasal hantu. Main nyorok-nyorok celah pokok pisang pun atu marah. Atuk kata nanti kena sorok dengan hantu kopek. Sekarang hantu kopek dah pupus spesisnya agaknya.

Tunang Ada

Lagilah mak ayah tak kisah tinggalkan anak dara seorang kat rumah sebab kalau apa-apa hal, tunangnya ada boleh bantu. Yer, anak dara dia ni dah tunang dengan seorang lelaki 20-an kerja swasta. Katanya, tunang dia ni suka ambil berat dan cepat saja kalau mintak bantu. Dalam hati saya, sebelum kawin boleh ler tunjuk prihatin segala bagai, dah kawin nanti tengoklah siapa yang kena.

Kena Tangkap

Diringkaskan cerita,  penguatkuasa dapat panggilan telefon kes khalwat. Maka tertangkaplah satu pasangan awal 20-an ini dalam sebuah rumah dalam jam 5.30 petang. Mereka kata, mereka tak buat apa, cuma berbincang pasal perkahwinannya dalam rumah tu. Wahhhhh... hebatnya berbincang,  mengalahkan perkahwinan selebriti pulak sampai nak bincang macam-macam benda.

02 Disember 2014

Tanya Pasal Sunat (Khatan), Saya Kena Marah Cikgu


Teringat saya masa saya sekolah rendah darjah lima dahulu. Kelas kami dapat cikgu baru, anak dara, umur 20-an, baru keluar maktab. Memang cantiklah cikgu tu. Hari pertama cikgu itu masuk ke kelas kitaorang, cikgu tu cerita mengenai pengalaman dan latarbelakang peribadi dia. Kitaorang pun dengar sajalah. Dalam hati kita orang, bagus cikgu tu, peramah dan baik.

Tanya Soalan

Dah lama bercerita, ada banyak lagi masa mengajar tapi dah macam habis idea cikgu tu sebab murid-murid dalam kelas itu diam saja. Memang macam itulah kelas kitaorang, sekolah kampunglah katakan, bukan suka bertanya. Bila tak ada siapa nak tanya, cikgu pun minta murid-murid bertanya. Pun tak ada soalan. Sehinggalah cikgu macam paksa kitaorang tanya soalan pasal peribadi dan pengalaman cikgu tadi.

Cikgu suruh bincang dengan kawan sebelah pasal soalan yang nak tanya. Saya dan kawan saya sebelah bincang pasal soalan nak tanya tapi masih tak ada idea. Mula dapatlah idea, nak tanya pasal cita-cita cikgu. Tapi, ada seorang murid perempuan itu tanya soalan pasal cita-cita, maka habislah idea soalan saya dan kawan sebelah saya tu. Maka habislah idea nak tanya.

Tiba Giliran Saya

Terkejut juga saya bila cikgu suruh saya tanya soalan. Rilek saja saya bangun sebab saya dah dapat satu idea kejap tadi. Sebentar tadi saya dah bincang dengan kawan saya soalan tu.

"Cikgu... adik lelaki cikgu tu dah sunat ke belum?". Tanya saya.

Tiba-tiba saja, saya tengok muka cikgu tu berubah. Tadi cikgu tu berdiri dan jalan sana-sini tapi bila saya tanya soalan tu, dia terus duduk. Cikgu tu macam marah.

"Ish... kenapa cikgu ni marah yer? Kita tanya soalan macam ni salah ker?". Kata saya dengan kawan saya sebelah tu.

"Haah yer... kenapa cikgu marah yer?" Kata kawan sebelah saya tu.

Kitaorang terus tertanya-tanya ni.

"Saya tak suka murid saya tanya soalan macam ni". Kata cikgu tu. Kemudian cikgu terus diam. Semua dalam kelas tu pun diam sampai habis masa. Takut juga kitaorang takut kena rotan. Bunyi loceng saja, cikgu tu terus keluar dan sebelum keluar, cikgu cakap lagi.

"Saya tak suka soalan macam tu". Kata cikgu tu.

Kisah Sebenarnya

Sebenarnya, cikgu tu dah pindah ke kampung tu seminggu sebelum buka sekolah. Dia menyewa rumah tak jauh dengan rumah saya. Dia datang dengan kereta sekeluarga dan cikgu tu ada adik lelaki. Masa kawan-kawan sekampung main bola, adik cikgu tu datang join sekali. Tahulah cerita yang dia darjah lima juga, sekolah di bandar. Terer dia main bola, ada skil punya. Cuma kitaorang tak sempat tanya, dia dah sunat ke belum.

Tak Berniat Lukakan Hati Cikgu

Masa itu, kitaorang terus tertanya-tanya, kenapa cikgu marah macam tu. Mula-mula ceria dan peramah, bila kena tanya soalan tu, terus senyap cikgu. Sebenarnya dalam perbualan harian kita orang sebelum masuk darjah lima banyak cerita pasal bersunat. Pada kita orang, tak ada apa yang salahnya cerita pasal sunat ni. Rupanya cikgu marah yer..... Hehe.

25 November 2014

Terlibat Dalam Nikah Sindiket 12 Tahun Lepas, Sekarang Dah Susah


Seorang wanita 40-an bercerita yang dia telah bernikah secara sindiket dengan seorang lelaki satu daerah dengannya di sini kira-kira 12 tahun lalu. Lelaki yang jadi suami dia tu berstatus suami orang. Dia dapat sijil nikah hampir serupa dengan surat nikah asal dari sebuah negeri. Hasil perkahwinan, dia dikurniakan 3 orang anak.

Kira-kira dua tahun lalu, berlaku perselisihan faham dan katanya, suaminya telah melafazkan cerai. Perceraian itu pula tidak didaftarkan ke mana-mana pejabat agama. Sejak dua tahun itu, dia ditinggalkan suaminya itu sehinggalah sekarang. Dia tahu di mana suami dia itu tinggal tetapi mereka tidak pernagh bertegur sapa. 

Sekarang dia sudah jatuh cinta dengan seorang lelaki berstatus duda dan berhasrat untuk bernikah. Bagaimana prosedurnya? Adakah dia dianggap janda atau anak dara? Bolehkah dia bernikah sekarang?

...Akan saya jawab dalam episod kedua nanti.

21 November 2014

Kena Tangkap Jual KuIh Pada Penjual Nombor Ekor (Episod 2)



"Semalam ada tangkap orang di kedai nombor ekor?". Tanya Kadi kepada penguatkuasa.
"Ada tuan, di bandar Kluang". Kata penguatkuasa.

"Macam mana cerita tu, sapa yang kena tangkap tu?". Tanya Kadi.
"Ohhh... seorang lelaki umur 60 tahun lebih. kena tangkap masa beratur nak beli nombor ekor". Kata penguatkuasa.

"Kerja apa dia tu" Tanya Kadi.
"Dia kata niaga kuih". Jawab penguatkuasa.
"Masa kena tangkap tu macam mana?". Tanya Kadi.

"Masa tu kami 4 orang berada si sekitar kedai nombor ekor tu. Dua orang minum termasuk saya di kedai mamak berhampiran tu sambil minum teh tarik. Manakala 2 orang lagi dekat sekitar kedai dua ringgit tu, bersebelahan kedai nombor tu". Kata penguatkuasa.

"Van parking kat mana?". Tanya kadi.
"Van parking jauh, kat jalan lagi satu tu. Semua tak perasan dengan kehadiran penguatkuasa masa tu". Kata penguatkuasa.
"Masa menyamar tu apa berlaku?" Tanya Kadi lagi.

"Saya sedang minum dengan Rudy di kedai tu, tumpuan kami kepada 3 orang lelaki yang agak berumur di meja tak jauh dengan meja kami. Rasanya macam mereka ini sedang cai nombor ekor. Tak lama kemudian, salah seorang daripada tiga orang tu meninggalkan meja dan menuju ke arah kedai nombor ekor tu. Saya cepat telefon penguatkuasa yang berada berhampiran kedai nombor itu dan memberitahu seorang lelaki Melayu baru masuk kedai nombor. Saya dan Rudy pun cepat-cepat tingalkan meja dan menuju ke kedai nombor ekor tu.". Kata penguatkuasa.

"Dah tu kamu tinggalkan saja kedai tu, teh tarik yang kamu minum tu dah bayar ke belum?" Tanya kadi.

"Hehe... dah tuan, dah bayar sebelum tu lagi". Jawab penguatkuasa.

"Yer... best teh tarik kat kedai tu. Tapi jangan banyak sangat minum teh tarik, perut boroi nanti. Sarapan pagi okeylah teh tarik". Kata Kadi sambil senyum.

Saya dan Mazlan pun beratur belakang lelaki tu macam nak beli nombor juga. Saya nampak dia keluarkan duit kertas sepuluh ringgit dah hulur pada perempuan penjual nombor tu. Tapi perempuan tu tak ambil duit tu sambil beri isyarat tangan menunjukkan dia tak jual nombor pada orang tu. Saya tahu, penjual nombor tu kenal kepada penguatkuasa. Lelaki tu cuba nak lari keluar tapi tak berdaya, kami 4 orang, dia seorang." Kata penguatkuasa.

"Dah sempat beli ke belum dia tu?" Tanya Kadi.

"Oh... belum. Penjual tu dah beri isyarat pada dia". Kata penguatkuasa.

"Okey... masa dia kena tangkap, dia ada cakap apa yer?". Tanya kadi.

"Ermmmm cakap apa yer. Dia mintak tolong supaya lepaskan dia sebab dia kata dia tak beli. Saya terangkan yang kesalahannya adalah berada dalam kedai judi, tak beli pun dah kira salah. Dia macam tak puashati. Masa dibawa ke balai polis dalam van pun dia mintak tolong supaya dilepaskan tapi kami tak layan". Kata penguatkuasa.

"Oh... itu saja ker yang dia cakap masa kena tangkap. Ada dia kata apa-apa lagi masa kena tangkap atau dalam van tu?". Tanya Kadi.

"Tak ada tuan. Itulah saja yang dia cakap.". Kata penguatkuasa.

"Lain-lain tak ada ker?" Tanya kadi.

"Memang tak ada tuan. Kenapa tuan, ada dia cakap apa?" Tanya penguatkuasa pula.

"Macam ni... dia ada ker kata dia jual kuih pada penjual nombor ekor tu?" Tanya kadi.

"Oh.... Masa kena tangkap, masa dalam van dan di balai polis tak ada. Tapi Faridah sebagai penyiasat kata, lelaki ini kata, dia kena tangkap semasa jual kuih kepada penjual nombor tu. Sedangkan masa tangkap dia tak kata apa-apa pun." Kata penguatkuasa.

"Berapa jarak masa antara report polis dan rakaman percakapan? Tanya kadi.

"Dalam 4-5 jam tuan". Kata penguatkuasa.

"Okey.... Masa tangkapan tu, ada ker kuih di tangan dia atau di moto dia?" Tanya kadi.

"Tak ada lansung pada tangan. Moto pun dia parking jauh dan tak ada pulak dia kata ada kuih kat moto dia". Kata penguatkuasa.

"Oh... Okey". Kata Kadi.

"Ermmm... Ada apa-apa tuan berkenaan kes tangkapan ini?" Tanya penguatkuasa macam cemas sikit. Dari tadi dia kena asak dengan soalan bertubi-tubi.

" Oh... Tak ada apa-apalah. Saja nak tahu cerita. Jadi kes ini peringkat mana sekarang?" Tanya Kadi.
"Fail siasatan dah lengkap sekarang cuma nak dapat minit dari pendakwa saja". Kata penguatkuasa.

"Okey... teruskan kes ini. Ikut prosedur biasa". Kata kadi mengakhiri perbualan.

Datang Lagi Jumpa Kadi

"Tuan Kadi... Bagaimana kes saya? Saya tak salah. Saya jual kuih pun kena tangkap". Cerita lelaki 60-an yang kena tangkap itu beberapa hari selepas itu.

"Macam inilah. Semuanya sudah berlalu dan tangkapan pun sudah berlaku. Laporan polis pun sudah dibuat di balai polis dan fail siasatan pun sudah selesai. Tunggulah sehingga tarikh yang diberikan dalam sebulan itu. Nanti akan diberitahu kedudukan kes itu samaada didakwa atau pun tidak di Mahkamah". Kata Kadi.

"Apa? Makkamah? Saya tak ada duit sampai 3 ribu. Kerja pun jual kuih saja, untung berapa sen sangat". Kata lelaki tu lagi.

Banyakkan Berdoa

"Yer... banyakkan berdoa. Sebaiknya berdoa adalah doa selepas kita  solat. Mudah-mudahan Allah beri yang terbaik untuk kita. Mohon kepada Allah Taala saja, bukan mohon pada saya atau orang lain. Perkara dah berlaku dan terimalah seadanya. Kalau ditakdirkan kes ini tidak dituduh di Mahkamah, buatlah sujud syukur dan teruskan pohon doa kepada Allah. Sebaliknya kalau kena tuduh juga, ikutlah prosedur di mahkamah. Terpulanglah hendak mengaku salah atau tidak, bukan kita paksa mengaku. Itu adalah ketentuan atau takdir yang kita kena hadapi." Kata kadi.

"Ermmm... Jadi tuan Kadi tak dapat tolong saya?" Tanya lelaki tadi. Suaranya makin perlahan dan nampak macam sedih.

"Insyaallah saya tolong. Memang menolong orang itu seruan Islam dan ikut sunnah nabi. Lain orang, lain pula cara kita tolong. Ini beri penerangan ini pun adalah satu pertolongan kan? Mudah-mudahan jadi panduan untuk tindakan seterusnya selepas ini.". Kata Kadi.

Menangis 

Tiba-tiba lelaki ini menutup mukanya dengan kedua tangannya. Rupanya dia menangis teresak-esak. Keluar airmata juga, bukan main-main punya menangis tu. Mungkin dalam hati Kadi tu, buruk betullah muka lelaki tua menangis macam tu, nombor ekor punya pasal.

"Saya menyesal tuan, menyesal..... Patut umur macam ni saya dah duduk di masjid dan surau macam kawan-kawan sebaya dengan saya. Tapi saya......." Kata lelaki ini dan dia semakin kuat menangis. Perkataan dia tersekat di situ.

"Okeylah yer... Saya ada tugasan lain ni. Kalau ada apa-apa, boleh tanya kepada penguatkuasa yer". Kata Kadi mengakhir perbualan. Mungkin dalam hati kadi, kalau dilayan lagi lama, agaknya berapa kotak tisu yang kadi kena keluarkan dalam laci lagi. Hehe...

10 November 2014

Jual Kuih Pun Kena Tangkap Di Kedai Nombor Ekor, Apa Cerita Ni?

"Saya nak jumpa Tuan Kadi sekejap. Saya ada sikit masalah nak beritahu Tuan Kadi". Kata seorang lelaki 60-an memulakan bicara di pejabat. Dia nampaknya macam cemas sikit.

"Yer, silakan duduk. Apa masalahnya encik?". Tanya Kadi.

Lelaki ini terus bercerita satu persatu. Katanya, semalam lebih kurang jam 11.00 pagi dia pegi jual kuih naik motosikal. Itulah kerja sambilannya setiap hari menjaja sarapan pagi. Tapi semalam dia pergi jual kuih kepada pekerja penjual nombor ekor di bandar. Ceritanya, oleh kerana penjual nombor itu tak boleh keluar, maka dia pun masuklah ke kedai itu. Katanya, kebetulan waktu itu ada penguatkuasa Jabatan Agama buat operasi dan dia seorang sahaja di kedai itu. Ringkas cerita dia kena tangkap dan dibawa ke balai polis.

Dia dah cerita kepada penguatkuasa yang dia tak beli nombor ekor. Tapi penguatkuasa kata, kesalahan dia adalah berada atau memasuki kedai nombor ekor, tidak membeli pun salah juga. Dia dah cerita pada penguatkuasa yang dia jual kuih tapi penguatkuasa tak terima.

Kesiannnnn

Kesiannyaaaaa.... Jual  kuih pun kena tangkap yer. Memang kesian kalau dengar cerita lelaki ini. TMesti ada orang cakap, tak patut ler jual kuih, cari rezeki halal tiba-tiba teraniaya. Pelanggan yang beli kuih dengan dia adalah semua orang termasuk penjual nombor ekor.

"Jadi, bagaimana dengan kes ini sekarang?". Tanya Kadi.

"Saya tak salah tuan. Masa saya kena tangkap tu, saya terus dibawa ke balai polis dan orang Jabatan Agama buat report polis. Lepas itu saya dibawa ke Jabatan Agama dan dirakam percakapan saya. Kemudian saya panggil kawan saya untuk jamin saya keluar. Saya kena datang semula pada tarikh sekian, lebih kurang sebulan dari sekarang. Tolong saya tuan, saya tak salah". Kata lelaki ini lagi.

"Okey... encik balik dulu dan ikut arahan penguatkuasa seterusnya termasuk datang pada tarikh yang ditetapkan. Ingat.... jangan tak datang. Kalau tak datang nanti boleh dikeluarkan "Waran tangkap" kepada encik dan kepada penjamin sekali." Kata Kadi.

"Habis tu, kes saya ini macam mana tuan? Saya tak salah tuan, kenapa saya kena tangkap dan kena naik mahkamah? Saya bukan banyak duit nak bayar denda ribu-ribu. Saya jual kuih berapa sen saja dapat sehari". Kata lelaki ini lagi. Nampak dia macam tak sabar dan suara dia agak tinggi.

"Tak apa... baliklah dulu. Tempoh jaminan pun dalam sebulan lagi. Nanti apa-apa hal saya minta penguatkuasa terangkan kedudukan kes ini yer. Encik balik dulu yer". Kata Kadi.

Ringkas cerita dia pun balik. Kadi cuma dengar cerita saja dari dia. Kadi tak buat apa-apa pun pasal kes itu hari itu. Ermmmmm.....Bagaimana kesudahan kisah ini yer?

........BERSAMBUNG KE EPISOD KEDUA. Klik Sini Untuk Episod 2

02 November 2014

Jangan Mintak Teh Tarik Kurang Manis, Rosak Rasa Teh



Sekarang dah macam-macam iklan pasal teh tarik. Antaranya iklan suruh mintak 'kurang manis' untuk teh tarik di kedai. Sebenarnya ini tak betul. Kalau kita mintak kurang manis, maka rosaklah rasa teh tarik itu. Teh tarik yang sebenar mestilah ikut sukatan antara air panas, teh dan susunya. Kalau mintak 'kurang manis' maknanya pembuat air kurangkan susu pekat manis. Sebenarnya rasa teh tarik boleh rosak apabila bahan yang saya sebut tadi tidak seimbang.

Oderlah Teh Tarik dan Satu Air Suam

Iklan yang suruh buat teh tarik kurang manis tadi kena ubahlah. Saya syorkan, kalau  betul orang itu tak boleh minum manis banyak, maka oderlah teh tarik dengan segelas air suam. Maknanya dia boleh kekalkan rasa teh tarik yang sedap tadi. Ini kalau awal-awal mintak kurang manis, maka rasanya boleh rosak. Kalau saya, tak perlulah saya oder air suam sebab teh yang sedia ada pun dah okey.

Antara Minum Manis dan Sakit Kencing Manis

Kalau kata banyak minum manis adalah punca utama sakit kencing manis, saya setuju sebab yang kata itu adalah pakar dalam bab kesihatan. Tapi yang saya tahu, minum manis bukanlah penyebab utama orang kena kencing manis sebab ada banyak lagi makanan lain yang tidak semestinya manis yang menjadi penyebab sakit kencing manis termasuk kurang bersenam. Jadi, janganlah kita terlalu menyalahkan teh tarik sebagai punca kencing manis. Kenapa pula tak mahu cerita minuman lain termasuk kopi yang pelbagai jenis di pasaran termasuk yang 3 dalam 1 tu. Begitu juga minuman bergas dalam botol dan tin dan juga air kotak. Kenapa kita tak cerita pasal kena kurangkan  manis.

Harga Teh Tarik

Lagi satu dalam bab harga teh tarik ini. Dah banyak restoran naikkan harga teh tarik antara RM 1.20 hingga RM 1.50 segelas di Johor Bahru. Tak tahulah saya sama ada harga ini akan naik lagi atau tidak lepas ini. Ada kedai yang tak letak tanda harga dengan jelas dan bila saya tanya sebuah kedai itu, dia nyatakan satu persatu harga termasuk harga teh tarik.

Okey, berkenaan harga contohnya RM1.50 tadi adalah teh tarik yang biasa. Kalau kita mintak teh tarik kurang manis pun, harganya pun masih RM1.50 juga. Sedangkan, tuan kedai mendapat keuntungan kerana teh itu kurang susu pekat manis.

Bolehlah baca artikel saya yang sebelum ini pasal teh tarik. http://kadikluang.blogspot.com/2010/03/salah-buat-teh-tarik.html . Maknanya pasal tek tarik pun bukan main-main punya cara buat, hehehe.

26 Oktober 2014

Ramai Kawan Saya Hendak Senang Dapat Duit, Tak Sedar Ditipu


Semalam ada kawan saya cerita di sebuah pejabat kerajaan di satu daerah tu. Seorang kakitangan terlibat mengajak orang melabur untuk mendapat keuntungan besar. Katanya dia bermodalkan RM 10, 000 permulaan dan dalam beberapa bulan, duitnya sekarang sudah ada melebihi RM 70,000. Dikatakan dah lebih 30 orang dah masuk pelaburan tu.

Sebenarnya mana ada pelaburan yang untung besar macam tu. Semua itu penipu atau skim cepat kaya. Namun, ada saja orang yang menyertainya . Pada mulanya untung tapi keuntungan dia itu kadang-kadang bukan dapat ambil pun. Kemudian orang yang belakang itu akan kecewa kerana rupa-rupanya penipuan.  Yang terpengaruh ini kebiasaannya kakitangan yang masih baru dan belum masak dengan pengalaman penipuan seperti ini. Dan yang menghairankan juga ada juga orang yang sama dan yang beberapa kali kena tipu dengan pelaburan, tetapi masuk juga terjebat dengan perkara seperti ini.

Sekarang ini pula, susah orang nak tahu yang pelaburan itu tipu kerana dia akan guna pelbagai kaedah dan pendekatan. Ada alasan itu adalah pelaburan di bursa saham, forex, komoditi, hartanah  dan sebagainya. Yang menghairankan, semua yang masuk itu dijanjikan keuntungan yang tinggi. Pihak berkuasa sudah sekat melalui media termasuk akhbar tetapi penggunaan internet termasuk facebook, menyebabkan ruang yang banyak untuk sendikit ini menjalankan kegiatannya.

Saya pernah jumpa juga iklan pelaburan atau simpanan yang menguntungkan dan untuk keterangan lanjut sila tinggalkan nombor telefon di situ. Rasa saya, mungkin lepas itu orang itu memberi penerangan atau membuat perjumpaan di mana-mana. Kalau dibuat perjumpaan, antaranya di hotel-hotel mewah untuk menunjukkan kemewahan skim ini. Dengan pujuk rayu, pendedahan dan alunan muziknya, ramai orang kita boleh terpengaruh.

Beberapa Tahun Lepas

Di sebuah pejabat dulu saya lihat ramai kakitangannya pakai kereta baru dan mahal. Bila saya tanya seorang tu, dia kata ramai orang pejabat itu masuk satu pelaburan yang kononnya terlibat dalam syarikat telekomunikasi dan hartanah. Peserta akan dapat bayaran setiap bulan yang memudahkan mereka membayar duit bulanan kereta. Tapi tak berapa lama selepas itu, mulalah pelabur tidak dapat bayaran. Baru mereka sedar yang duit yang dibayar selama ini adalah hasil modal melaburan mereka.

Contohnya mereka masuk RM20 000 dan dijanjikan dengan pendapatan bulanan RM 4,000 seumur hidup. Rupanya 3 kali sahaja dapat duit RM4,000 itu setiap bulan, pelaburan mereka lesap.

Yang menyedihkan saya adalah, mereka ini kesemuanya orang sebangsa dengan saya dan seagama dengan saya. Ramai yang melabur dengan cara buat pinjaman peribadi sebanyak yang mungkin bank boleh bagi pinjaman. Jangan nanti satu hari nanti sendikit pelaburan ini runtuh, mereka semua hilang semangat bekerja kerana sudah banyak hutang. Manakala perbelanjaan hidup untuk makan minum, sewa rumah, bayaran bulanan kenderaan dan sebagainya pun nanti mereka tak boleh tampung kerana hutang dah keliling pinggang.

Untuk tahu lebih jelas, sila klik nama Syarikat pelaburan tersebut. Yer, BNM dah beri amaran. Klik Sini

.....................................................................

(Penipuan Pelaburan Yang Dipetik Dari Fail Polis)

Pada kebiasaannya mangsa akan ditawarkan untuk melabur dalam skim yang memberikan pulangan yang lumayan dan jaminan yang tinggi seperti pelaburan emas dan pelaburan berbentuk sijil dividen.Pada mulanya,syarikat-syarikat ini dapat memberi pulangan dalam bentuk dividen kepada pelanggannya tetapi lama-kelamaan tidak mampu untuk membuat pembayaran kepada semua yang terlibat (skim piramid).Syarikat-syarikat ini dikatakan melakukan kesalahan kerana mengambil deposit wang tunai tanpa mempunyai lesen yang dikeluarkan oleh Bank Negara Malaysia.

Contoh-contoh syarikat adalah seperti Bestino dan G Gold Trading.Syarikat-syarikat ini ada yang masih dalam siasatan dan ada yang telah diambil tindakan oleh Bank Negara Malaysia di mana aset-aset syarikat dan akaun-akaun bank dibekukan kerana menjalankan skim pelaburan tanpa lesen.Ini adalah satu kesalahan di bawah sek:25 Akta Bank dan Institusi-institusi Kewangan 1989 (BAFIA 1989).Hukumannya ialah tidak melebihi 10 tahun penjara atau denda tidak melebihi RM10 juta atau kedua-duanya sekali dan bagi kesalahan yang berterusan,dikenakan denda harian tidak melebihi RM100 ribu sehari.

Kesalahan ini juga boleh disiasat di bawah sek: 4(1) Akta Pengubahan Wang Haram/Pembiayaan Keganasan (AMLATFA) 2001.Hukumannya ialah denda tidak melebihi RM 5 juta atau penjara tidak melebihi 5 tahun atau kedua-duanya. 

Pihak polis juga menjalankan siasatan terhadap skim pelaburan yang tidak wujud dan merupakan satu penipuan seperti penternakan ikan air tawar dan projek ternakan ketam di mana biasanya saspek akan menawarkan satu projek atau ternakan dan mangsa diminta supaya memasukkan bayaran ke dalam akaun sebuah syarikat tertentu yang diberi oleh saspek.Setelah wang dimasukkan,mangsa akan tertipu kerana tidak menerima projek atau set ternakan tersebut.Contoh kes yang berlaku di Taiping pada tahun 2009 melibatkan kes tipu melibatkan set ternakan ketam nipah.

Orang ramai diingatkan supaya berwaspada dan tidak mudah terpedaya dengan tawaran-tawaran yang tidak munasabah daripada mana-mana syarikat hanya kerana ingin cepat mengejar keuntungan.Adalah dinasihatkan supaya orang ramai membuat semakan atau rujukan dengan pihak Bank Negara Malaysia sebelum melibatkan diri dengan mana-mana skim pelaburan untuk menentukan samada mempunyai lesen yang sah. 

Read more: Informasi Polis Diraja Malaysia - Kes Penipuan | Galeri PDRM http://galeripdrm.blogspot.com/2010/08/informasi-polis-diraja-malaysia-berhati.html#ixzz3HSemYruU

22 Oktober 2014

Anak Luar Nikah Tak Berdosa Apa-apa (Episod 3)

"Okey... Lepas ini kamu pergi jumpa ayah kamu di JB dan beritahu segalanya termasuk kes kamu kena tangkap khalwat ini". Kata kadi sambil memandang ke arah wanita dan lelaki.

Mereka berdua terdiam.

"Jumpa ayah saya Ustaz?". Kata wanita ini macam terkejut.

"Yer... kamu balik dan bawa anak kamu. Kalau tak dapat jumpa di rumah, jumpa di tempat kerja". Kata kadi. Sebelum itu telah diceritakan yang bapanya kerja di sebuah kilang dan sebelah malam kadang-kadang kerja sambilan pengawal keselamatan di sebuah sekolah.

"Pergilah... Salam dan kalau boleh peluk bapa kamu. Mohon maaf atas apa yang kamu lakukan selama ini, selama 6 tahun. Selagi ayah kamu masih hidup, inilah masanya hendak bermaafan. Kita tak tahu bila Allah nak cabut nyawa bapa kita". Kata kadi lagi.

"Saya yakin, kalau kamu tunjukkan keinsafan kita, mak ayah akan tetap terima kita dan cucu dia yang sudah dilahirkan. Ingat.... dua orang anak kamu tidak berdosa apa-apa. Dia lahir ke dunia ini ibarat kain putih yang suci bersih. Tapi sampai bila kamu berdua hendak hidup berzina sedangkan anak kamu anggap kamu berdua sebagai emak dan ayah dia. Harap jangan sampai dia bersekolah nanti, tentu mengganggu pergaulan mereka di sekolah". Kata kadi.

Tempoh Jaminan

Pasangan ini dibebaskan dengan jaminan dan satu tarikh kira-kira 2 bulan ditetapkan untuk perbicaraan kes khalwat mereka. Mereka mengatakan hendak terus pulang ke JB menaikan bas petang itu bertemu mak dan ayah, semoga berjaya.

Ada Harapan

Dua hari selepas itu, pasangan ini datang ke pejabat dengan muka ceria untuk mengambil surat nikah. Dalam borang tersebut ditulis walinya adalah bapanya. Mereka dijangka bernikah seminggu selepas itu selepas mengikuti kursus pra perkahwinan yang diwajibkan oleh semua bakal pengantin.

"Tuan ada satu pernikahan minggu depan". Kata seorang pegawai yang terlibat urusan pernikahan kepada kadi.

"Oh yer... saya tahu kes ini. Saya dah jumpa pasangan ini di Bahagian Penguatkuasa sebelum ini". Kata kadi.

"Oh... cuma Tuan, perempuan kata bapanya setuju jadi wali tapi  tak mahu datang semasa pernikahan nanti". Kata pegawai tu.

"Tak apalah kalau bapa tak datang dan saya dah agak yang bapanya pasti tak mahu datang. Sila uruskan surat persetujuan bapa sebagai wali. Tahu ker cerita, dia dah lari dari rumah 6 tahun lamanya sampai dapat anak dua luar nikah". Cerita kadi lagi.

"Kesian yer Tuan hidup dia terutama anak dia". Kata pegawai tu. Tengok muka pun macam sedih pegawai tu.

"Yer... sebab tu saya tumpukan pada kes ni sebab memikirkan masa depan anak-anak dia tu. Saya yang suruh dia jumpa bapa dia dalam apa cara sekalipun. Dan alhamdulillah dah dapat persetujuan.

Bernikah Juga Akhirnya

Diringkaskan cerita, pasangan ini bernikah berwalikan bapanya walaupun bapanya tak hadir. Satu surat persetujuan bapa sebagai wali dikemukakan. Sebelum nikah juga, kadi sekali lagi menelefon bapanya untuk menikahkan anaknya.

"Tuan kadi...Saya setuju jadi wali pada anak saya. Saya malu atas apa yang dah berlaku pada anak saya yang seorang ini. Tak tahulah Tuan Kadi, dia seorang saja anak saya yang tak menjadi dan memalukan keluarga kami. Tapi.....". Kata bapanya dalam telefon dan perbualan tersekat kerana bapa menangis teresak-esak.

"Yer Tuan... Insyaallah semuanya akan selesai sebentar lagi. Katanya selepas nikah ini dia akan bawa suami dan anak-anak jumpa Tuan sekeluarga". Kata kadi lagi.

"Terimakasih Tuan Kadi dan saya tak boleh kata apa-apa lagi, saya sedih sangat". Kata bapanya sebelum mengakhiri perbualan.

Baca dari Episod 1, klik sini

21 Oktober 2014

Semua Orang Tidak Dapat Menahan Air Mata Di Padang Arafah Hari Jumaat Itu


Suasana di Padang Arafah hari Jumaat itu bukanlah menjanjikan keselesaan seperti yang kita nikmati selama ini. Tidak kira apa pangkat, jawatan, keturunan dan kekayaan kita, semua sama saja turut merasai keadaan itu. Walaupun sepayah mana kita, itu baru sedikit gambaran dan ujian sebelum kita dihimpunkan di Padang Mahsyar kelak. Waktu itu, sangkala ditiup dan membangkitkan seluruh umat dari dulu hingga ke akhir penghujung hayat dunia, mereka dikumpulkan di Mahsyar dalam pelbagai keadaan.

Tidak Dapat Menahan Air Mata

Jemaah haji sekalian di Maktab 90 Jemaah Haji Malaysia mengaminkan doa yang dibaca oleh seorang ustaz. Ramai yang tak kenal dengan suara ustaz ini kerana masing-masing tidak melihat siapa pembaca doa ini. Yer.. hampir ke semua jemaah haji menangis semasa doa ini dibaca. Amat menarik doa ini dan alunan bacaannya yang cukup menyentuh kalbu.

Beberapa hari selepas itu saya terus tertanya-tanya, siapakah pembaca doa tersebut. Ada juga yang bertanya saya dan menyangka saya yang membaca doa pada hari itu, tapi bukan saya. Saya juga bertanya rakan-rakan kalau-kalau ada rakaman video atau suara semasa doa itu dibaca, tapi tak berjumpa. Selepas bertanya beberapa orang, akhirnya saya temui iaitu Ustaz Badr Al-Hakimi, pensyarah Politeknik Muadzam Syah, Pahang. Doa itu diberikan kepada saya, terimakasih diucapkan.

Cuba bayangkan, kenapa semua menangis di Padang Arafah hari itu? Cuba hayati dan bayangkan suasana kalau kita berada di Arafah dan mendengar bacaan doa yang menyentuh kalbu seperti ini. Saya salin dan paparkan semula doa ini untuk tatapan kita bersama. Semoga kita mendapat manfaat.

..............................................................................................

DOA Arafah

Ya Allah Ya Tuhan kami...
Pada hari Jumaat yang mulia ini, kami berkumpul di bumi Arafah yang penuh keberkatan untuk kami menadah tangan kehadrat Mu. Kami bermunajat, kami bermohon, kami berdoa….dengan harapan agar kau makbulkan segala doa-doa kami ini.

Ya Allah Ya Tuhan kami...
Kami ini hamba Mu yang amat banyak berdosa pada Mu ya Allah…..Ampunilah segala dosa-dosa kami dan maafkanlah kesilapan kami  zahir dan batin.

Ya Allah...
Ampunilah dosa-dosa kami, dosa kedua ibubapa kami, dosa keluarga kami , dosa masyarakat kami dan dosa seluruh ummat Islam yang telah mati dan yang masih hidup.

Ya Allah Ya Tuhan kami...
Kami pohonkan apa yang telah dipohonkan oleh kekasih kami Saidina Rasulullah s.a.w. , dan kami meminta perlindungan dari apa yang pernah diminta perlindungan oleh Rasulullah saw.

Ya Allah Ya Tuhan kami...
Kami pohonkan syurga tanpa hisap, dan berilah kekuatan taufiq dan hidayah kepada kami, supaya kami dapat melakukan sebab-sebab  yang membawa kami ke arahnya. Engkau selamatkanlah kami Ya Allah dari sebab-sebab yang membawa kami ke neraka.
لا حول ولا قوة إلا بالله العلي العظيم

Ya Allah Ya Tuhan kami...
Engkau sahajalah yang mengetahui kelemahan diri kami zahir dan batin. Berilah kekuatan, taufiq dan hidayah kepada kami supaya kami dapat memperbaiki diri kami Ya Allah.
Tambahkanlah Ya Allah kepada kami, ilmu, iman dan amal. Hidupkanlah kami dalam Islam dan matikanlah kami dalam Islam.

Ya Allah Ya Tuhan kami...
Kami pohon daripada Mu ya Allah, iman yang sempurna, ilmu yang memberi manfaat, rezeki yang halal, anak yang soleh, rumahtangga yang bahagia, usia yang berkat, doa yang mustajab, hajat yang tertunai, kesihatan yang berterusan, hutang  yang terbayar, keselamatan di dunia ini dan di akhirat nanti.

Ya Allah Ya Tuhan kami...
Engkau sahajalah yang mengetahui segala yang berlaku di hati kami. Hidupkanlah hati ini dan sampaikanlah hati ini kepada Engkau. Sembuhkanlah segala penyakit yang ada di dalam hati kami, selamatkanlah hati kami dari sifat-sifat yang keji dan jauhi kami dari perkara-perkara yang boleh mematikan hati kami.
لا حول ولا قوة إلا بالله العلي العظيم

Ya Allah Ya Tuhan kami...
Jadikanlah hati kami hati yang sentiasa menyedari akan hakikat ketuhanan dan keagungan kerajaan Engkau dan masa depan kami di akhirat nanti.
Ya Allah Ya Tuhan kami.... Jadikanlah kami ini hambamu yang hanya mengabdikan diri kepadamu dengan sebaik-baiknya, berilah kekuatan taufiq dan hidayahMu  kepada kami, supaya dapat kami lakukan apa-apa yang diperintahkan oleh Engkau dan meninggalkan segala apa yang dilarang oleh Engkau.

Ya Allah Ya Tuhan kami...
Jadikanlah hati kami ini hati yang sentiasa menyedari masa depan kami di akhirat nanti dan jadikanlah hati hambamu ini sentiasa bersedia untuk menghadapi masa depan kami selepas kematian nanti.

Ya Allah Ya Tuhan kami....
Hidupkanlah hati kami dengan iman dan matikanlah hati kami dengan iman, selamatkanlah iman kami dari segala gangguan syaitan semasa kami menghembuskan nafas yang akhir nanti…Ya Allah….Ya akramal akramin….Ya mujibas saa’iliin.

Ya Allah Ya Tuhan kami...
Selamatkan kami semasa berada dalam kubur, jadikanlah kubur kami taman dari taman-taman syurga, selamatkanlah kami dari segala angkara azab kubur dan janganlah Engkau jadikan kubur kami salah satu dari lubang-lubang neraka.

Ya Allah Ya Tuhan kami...
Selamatkanlah kami semasa dalam perjalanan menuju mahsyar. Selamatkanlah kami Ya Allah semasa berada di padang mahsyar dan masukkanlah kami ke dalam 7 golongan orang yang mendapat bayangan naungan arasy Mu Ya Allah

Ya Allah Ya Tuhan kami...
Ampunkanlah dosa kami dan maafkanlah kesilapan kami zahir dan batin semasa kami dihisab. Hisablah kami Ya Allah dengan hisab yang sedikit, berilah peluang kepada kami untuk mendapat syafaat Nabi kami Muhammad s.a.w.

Ya Allah Ya Tuhan kami...
Jadikanlah hambaMu ini hamba yang berjaya dalam hidup ini dan berjaya menerima suratan amal dengan tangan kanan.

Ya Allah...
Berilah kesempatan kepada kami meminum air kolam Nabi kami Alkauthar. Selamatkan kami semasa menyeberangi titian siratul mustaqim dan masukkanlah kami ke syurgaMu bersama-sama orang-orang yang mulia di sisi Mu Ya Allah.
لا حول ولا قوة إلا بالله العلي العظيم

Ya Allah Ya Tuhan kami...
Apalah kiranya Engkau akan lakukan pada petang, saat dan ketika ini kepada hambuMu yang hina ini, yang mengaku berdosa dan bersalah, yang merayu kepadaMu di atas kejahatan, yang bertaubat kepadaMu kerana dosanya, yang memohon keampunan kepadaMu kerana kezalimannya, yang mengharap kemaafanmu kerana kesilapannya, yang merayu kepadaMu supaya tercapai segala hajatnya, yang mengharapkan kelimpahan rahmatMu pada tempat wuquf ini, walaupun dengan dosa yang begitu banyak laksana buih di lautan.

Ya Allah, kami sekalian keluar menuju kepadaMu dan berhenti di perkarangan rumahMu, kepadaMu lah kami meletakkan segala harapan kami. KepadaMu lah kami memohon kemurahan rahmat, kami takut kepada dosa kami. Oleh itu kepadaMu lah kami berlindung dari bencana dosa kami.

Ya Allah Ya Tuhan kami...
Engkaulah yang memiliki seluruh hajat orang-orang yang memohon, yang mengetahui seluruh kandungan hati orang-orang yang tidak merayu.  

Ya Tuhanku...
Engkau telah sediakan sajian kepada setiap tetamu dan kami sekelian adalah tetamu kepadamu, oleh itu kurniakanlah syurga sebagai sajian Mu kepada kami.

Ya Allah Ya Tuhan kami...
Setiap rombongan dikurniakan hadiah, setiap pemohon dikurniakan pemberian, setiap yang berharap dikurniakan habuan, setiap yang memohon rahmat mendapat rahmatMu. Maka kami sekalian datang berkunjung ke rumahMu yang mulia ini dan berada di tempat ibadat yang agong ini dengan harapan mendapat rahmat dan keampunanMu. Oleh itu janganlah Engkau hampakan harapan kami, ya Allah.

Ya Allah Ya Tuhan kami...
Perkenankanlah permohonan kami ini, mustajabkanlah doa kami ini Ya Allah, dengan berkat nabi kami Muhammad s.a.w. dan dengan berkat amalan kami yang paling ikhlas kepadaMu Ya Allah.

Allah Humma Ya Allah, wahai Allah Yang Maha Mendengar.
Tidak mungkin kaki kami mampu melangkah ke tempat ini kecuali Engkau yang menguatkannya.
Tidak mungkin tergerak di hati kami ingin menunaikan haji kecuali Engkau yang menggerakkannya.
Tidak mungkin seringgit pun yang kami miliki kecuali Engkau yang memberikannya.
Tidak mungkin kami sihat kecuali Engkau yang menyihatkannya.
Tidak mungkin kami dapat membantu tubuh ini berwudhuk kecuali Engkau yang mengajarkannya.
Tidak mungkin lidah ini dapat menyebut namaMu kecuali Engkau  yang membimbing kami, Ya Allah.

Ya  Allah Ya Tuhan kami...
Betapa ramai yang Engkau ciptakan, namun betapa sedikit yang berpeluang berada di bumi Arafah ini Ya Allah.
Ya Rabb…
Dengan apa kami mensyukuri nikmat haji ini ya Allah, kecuali berharap padaMu
Tarimalah haji kami Ya Allah.
Terimalah haji kami Ya Rahman.
Terimalah haji kami Ya Rahim.

االلهم اجعل حجنا حجا مبرورا وسعيا مشكورا , وذنبا مغفورا , ربنا ظلمنا أنفسنا , وإن لم تغقر لنا وترحمنا لنكون من الخاسرين 
Ya Allah...
Ampunilah seluruh dosa-dosa kami, Engkau menjanjikan haji yang mabrur, bersih dari segala dosa seperti bayi yang baru dilahirkan. Alangkah indahnya jika Engkau pilih kami yang demikian itu ya Allah.

Ya Allah...
Engkau Maha Mengetahui betapa menderitanya diri kami dengan lumuran dosa.
Betapa sengsaranya hidup kami dengan menutup aib.
Betapa hinanya diri kami dengan bergelumang di dalam maksiat.
Bersihkanlah diri kami Ya Allah.
Bersihkanlah dosa kami Ya Allah.
Ampunilah dosa kami kepada kedua ibu bapa kami.
Ampunilah jika mereka menyesal melahirkan kami.
Ampunilah dosa kami kepada keluaga kami Ya Allah.
Ampunilah dosa kami kepada isteri kami.
Ampunilah dosa kami kepada suami kami.
Ampunilah dosa kami kepada anak-anak kami.
Jangan biarkan mereka menuntut kami di akhirat nanti.
Berikanlah kesempatan kepada kami untuk memperbaiki segalanya

رينا هب لنا من أزواجنا وذرياتنا قرة أعين واجعلنا للمتقين إيمانا

Ampunilah Ya Allah jika di sekujur tubuh kami ini adanya harta yang haram. Jika di rumah kami banyak perkara haram yang engkau murkai. Padahal Engkau mengharamkan masuk ke syurga sesiapa yang dagingnya tumbuh dari sumber yang haram.

Berikanlah kesempatan untuk kami menyucikan diri dari harta yang haram Ya Allah.
Cukuplah diri kami dengan rezekiMu yang halal.
Ya Allah, ampunilah kami jikalau kami sering menzalimi hamba-hamba Mu yang lemah.
Engkau peliharalah diri kami ya Allah dari sebarang kezaliman dan menzalimi.

يا سميع عليم
Duhai Tuhan Yang Maha Mendengar.
Hanya Engkaulah tumpuan harapan kami.
Jadikan kaum muslimin ini menjadi suami yang benar.
Menjadi ayah yang jujur.
Menjadi lelaki yang soleh.
Jadikanlah kaum muslimah ini isteri yang solehah.
Menjadi ibu yang solehah.
Menjadi muslimah yang terpelihara.
Kurniakanlah kepada kami Ya Allah.
Keturunan yang lebih baik dari kami.
Lindungi dari kederhakaan dan kehinaan dunia dan akhirat.

Ya Allah...
Berkatilah sisa umur kami.
Berkatilah rezeki yang Engkau kurniakan kepada kami.
Berkatilah ilmu yang Engkau kurniakan.
Berkatilah sisa umur kami…

 اللهم اغفر للمؤمنين والمؤمنات ، المسلمين والمسلمات ، الأحياء منهم والأموات

Ya Allah, selamatkanlah umat Islam di seluruh dunia.
Allahumma inna naj'aluka fi nuhuri a’daaina……

Ya Allah...
Bantulah saudara-saudara kami umat Islam dan para mujahidin …di Palestin, di Syria, di Iraq, di Yaman, di Myanmar dan seluruh alam.
Ya Allah, bantulah mereka dan janganlah Engkau membantu musuh melawan mereka.
Ya Allah, bantulah mereka dan janganlah Engkau menolong musuh melawan mereka.
Ya Allah, berilah mereka kepandaian untuk menghadapi musuh-musuhnya

Ya Allah, tepatkanlah bidikan mereka dan kukuhkanlah kaki-kaki mereka serta berilah taufiq-Mu pada setiap langkah mereka.
Ya Allah, satukanlah barisan mereka dan kumpulkanlah segala upaya mereka.
Ya Allah, jadikanlah jihad mereka di jalan-Mu dan janganlah haramkan pahala jihad mereka atas kami.

Ya Allah, tolonglah kaum muslimin yang dizalimi di semua tempat.
Ya Allah, tolonglah mereka dan perbaikilah hubungan mereka.
Ya Allah, binasakanlah golongan yang menzalimi umat Islam, goncangkanlah dan hancurkan mereka.
Ya Allah, cerai beraikan barisan mereka dan luluh lantakkan kalimat mereka.
Ya Allah, janganlah Engkau memberikan kedudukan yang baik bagi mereka di muka bumi ini.
Ya Allah, lemparkanlah rasa takut dalam hati-hati mereka.


Ya Allah, selamatkanlah negeri kami Ya Allah.
Engkaulah Yang Maha Tahu keadaan negeri kami…..Jadikan negeri kami negeri yang memancarkan cahaya Islam…..Menjadi negeri baldatun taoyyibatun wa rabbun ghafuur…..
Ya Allah……Bangkitkan untuk kami para pemimpin yang mencintaiMu. Mencintai NabiMu, mencintai umatMu dan mengakkan syariatMu ya Allah.

Ya Allah…. Tuhan Yang Maha Agung.
Hanya pada Mu kami meletakkan harapan pada hari yang tersangat mulia ini ya Allah.
Kau terimalah segala pengampunan kami dari segala dosa-dosa kami ya Allah.
Izinkanlah kelak kami bertemu denganMu ya Allah.
Bertemu dengan RasulMu.
Bertemu dengan kekasih-kekasihMu.

ربنا آتنا في الدنيا حسنة وفي الآخرة حسنة وقنا عذاب النار
ربنا تقيل منا إنك أنت السميع العلسم وتب علينا إنك أنت التواب الرحيم
سبحان ربك رب الغزة عما يصفون وسلام على المرسلين والحمد لله رب العالمين


DOA ARAFAH 1435 H
edited by Badr al-Hakimi al-Haj