Untuk Memilih Tajuk Artikel Dalam Blog Ini, Sila Taip Perkataan di sini.

28 Ogos 2010

Ramadhan : Bulan Mengajar Untuk Mula Berniaga (Episod 1)

Ramadhan ini banyak gerai di bazar yang dapat sambutan. Kalau di Kluang, paling ramai  adalah di tengah bandar Kluang. Tahun ini, saya belum berpeluang lagi ke sana sebab jalan sesak dan sukar cari tempat letak kereta disebab terlalu ramai pengunjung. Tahun ini saya banyak ke bazar di Taman Intan yang orangnya tak terlalu ramai.

Bazar Taman Intan tahun ini kalau nak dibanding dengan tahun lepas, tahun ini lebih ramai peniaga dan lebih ramai pengunjung. Saya percaya, peniaga mendapat keuntungan yang diharapkan dan gembira dengan hasil jualanya.

Lebih Meriah di JB

Di Johor Bahru, dulu saya biasa ke Bandar Baru Uda bersebelahan masjid. Saya percaya, peniaga mendapat keuntungan yang sangat memuaskan. Kadang-kadang saya ke Bandar Baru Uda yang sebelah Malinja dan kadang-kadang ke Taman Dahlia, lokasi dengan rumah saya sekitar 1 km saja.

Berapa banyak keuntungan ?

Selain membeli, saya suka buat congakan dan anggaran keuntungan seseorang peniaga. Kemudian saya boleh simpulkan, berapa ratus atau ribu ringgit keuntungan peniaga itu sehari. Okey, kalau peniaga nasi ambang di salah satu lokasi yang saya cerita tadi, boleh habis nasi ambangnya dalam 500 bungkus sehari. Berapa ringit keuntungannya sehari. Dia jual RM 4.00 sebungkus dan modal sebungkus dalam RM 2.50, maknanya dia untung RM 1.50.  Kalau 500 bungkus, dia sudah untung RM 750 sehari. Katakan dia berniaga 25 hari sepanjang Ramadhan ni, maka keuntungannya RM 18,750 sebulan. Kalau ditolak sewa, keuntungan kasar dalam RM 15,000. Banyak tu.

Seorang peniaga roti john boleh jual sehingga 500 bji sehari. Kalau dia jual RM 3.00, keuntungan satu RM 1.50, maka dia untung RM 750 sehari dan RM 18,750 sebulan juga. Cuba tuan-tuan buat congakan, pada makanan lain seperti nasi ayam, nasi briani, lauk, mee goreng kuali besar dan lain-lain. Kalau boleh tuan-tuan catat dalam buku kecil dan buat kesimpulan sendiri. Kenapa nak catat ? Kenapa nak sibuk-sibuk nak tahu orang untung berapa ?

Ceramah kepada peniaga dan bakal peniaga

Dalam satu ceramah saya kepada para bakal usahawan di sebuah hotel di Kluang tak lama dulu, saya cerita kisah ini. Yang hadir, ada peniaga, ada bakal peniaga, ada siswazah yang belum dapat kerja, tentera yang tak lama lagi nak pencen dan lain-lain. Tajuk ceramah saya adalah "Keusahawanan Dalam Islam", saya turut buat rakaman melalui telefon bimbit saya. Lepas tu saya dengar berulang kali ceramah saya itu dan membuat satu kesimpulan terhadap ceramah  itu.

Kesimpulan saya

Pertama, saya berjaya menghidup dan menceriakan pendengar dalam 60 orang itu. Mungkin yang datang itu, sangat-sangat berminat nak tahu tentang perniagaan dan bercita-cita menjadi peniaga, mereka mendengar dengan penuh tumpuan. Lagi pun, saya suka cerita isu semasa dan cerita kisah benar dalam ceramah saya, membuatkan mereka terpukau walaupun saya tak guna ilmu pukau.... Kisah Man Burger http://kadikluang.blogspot.com/2010/04/sudah-nasibku-mat-burger-episod-1.html  , juga saya cerita dalam ceramah sebagai motivasi kepada mereka.

Nabi dan Para Sahabat Adalah Usahawan berjaya

Kedua, ceramah saya itu, bukan bab keagamaan saja. Saya banyak cerita tentang sejarah Nabi Muhammad sebagai peniaga yang berjaya, begitu juga Siti Khadijah, Saidina Abu Bakar dan Abdul Rahmah Auf, semuanya contoh orang Islam yang berjaya. Bermodalkan pengetahuan sejarah yang kemas juga tentang tokoh-tokoh itu, saya berjaya membuatkan nakal peniaga buka mata. Bahawa Islam bukan agama yang sempit yang tertumpu kepada ibadah khusus seperti solat, puasa dan zakat saja. Tapi kita lupa, perniagaan adalah satu ibadah umum yang semakin kita abaikan. Ini telah menyebabkan orang bukan Islam menguasai ekonomi negara kita dengan jurang yang sangat jauh.

Halal, Haram

Sekarang kita bicarakan soal halal haram dalam makanan termasuk restoran bukan Islam yang menerima pengujung Islam. Kita lihat kedai kopitiam yang tumbuh bagai cendawan sekarang, tauke dia Islam atau bukan ? Begitu juga kedai mamak, adakah semuanya Islam ? Kalau tak percaya, setiap kali orang datang oder, beri salam atau baca bismilah, adakah mereka tahu ?... Kenapa kita marah sangat pada mamak dan kopitiam seperti ini, sedangkan kita orang Melayu Islam, kenapa kita tidak berjaya buka kedai seperti ini ? Tuan-tuan bacalah buku bertajuk "Rahsia Kejayaan Restoran Mamak", ada yang menarik di situ.

Kena Ada Ilmu, Nak Niaga Jangan Sebarang Aja

Saya terangkan dalam ceramah saya itu, kalau nak berjaya sebagai, kita kena ada ilmu. Kita kena banyak pergi kursus, kena banyak baca buku dan kena berniaga dari bawah untuk mendapat pengalaman. Bacalah buku, ada banyak buku di pasaran. Ayat Quran yang pertama, Allah sebuat perkataan Iqra' itu baca, bacalah. Orang kita sekarang kurang membaca, kurang beli buku.

Tentera Perlu Berhati-hati

Saya turut nasihatkan kepada peserta terutama tentera yang nak pencen, supaya berhati-hati kalau nak mula niaga. Saya dengan tentera ni, saya juga sebahagian tentera dulu, saya banyak faham mereka. Sebab tu saya berani cerita dan sentuh perasaan mereka. Mereka ini, pencen dalam usia yang masih muda lagi, dalam umur 39- 45 tahun sekarang. Waktu inilah, anak sedang membesar dan masih bersekolah lagi. Pencen tentera sebenarnya tidak cukup untuk menampung kehidupan seterusnya di dunia yang luar bidang ketenteraan. Salah satu usaha yang boleh dilakukan adalah berniaga. Tapi apa jenis perniagaan nya ?

Berani

Tentera ada satu sikap yang tak ada pada orang lain iaitu berani. Memang dalam perniagaan kita kena berani, jangan takut mencuba. Tapi nasihat saya, berani jangan sebarang berani saja. Mungkin kerana terlalu berani itulah kita gagal, lingkup dan papa kedana. Jangan terlalu berani, sebaliknya perlu disertakan dengan ilmu dan perancangan yang betul.

Baca Buku

Saya beritahu dalam ceramah tu, nak jadi peniaga, bacalah buku. Antaranya buku tulisan Datuk Dr Rosly atau Chef Li. Kesemua bukunya yang ada di pasaran, saya beli, simpan dan baca berulang kali kalau ada masa. Antara bukunya bertajuk 'Jutawan Senyap', 'Biar Kecil Asalkan berhasil', 'Aku Taknak Miskin' dan "Orang Kaya Bertakwa." ....Saya bukan ada royalti kalau saya promosi penulis ni, dia kenal saya pun tak. Saya tak ada kepentingan apa-apa. Tapi buku dia amat berharga kepada peniaga terutama peniaga makanan. Jalan cerita yang bersahaja dan berkisah tentang realiti kehidupan masyarakat Melayu, pasti menarik minat pembaca.

...BERSAMBUNG

2 ulasan:

  1. Tahniah Tuan Kadi, tulisan yang baik dan bermanfaat.

    BalasPadam
  2. Tuan Kadi....
    rupanya seorang yang mempunyai pengetahuan luas dalam ekonomi dan perniagaan. Saya seronok membaca berulang-ulang kali. Kalau beli buku ekonomi dan motivasi seperti ini mahal harganya.

    Bila lagi tuan Kadi nak tulis berkenaan perniagaan seperti ini ?

    Maaf tuan, sekarang banyak tulisan tuan cerita kisah rumahtangga yang banyak. BUKan apa,cerita ekonomi jangan lupa tuan.

    Haji Mansor

    BalasPadam

Dipersilakan komen.