Saya nak perkenalkan kawan saya ini seorang guru yang pernah mengikuti seminar hartanah di Kuala Lumpur bersama saya. Dia nampaknya telah dapat pulangan dengan seminar pelaburan hartanah itu dengan berjaya menjadi broker dengan menjual hartanah yang mahal juga. Selalu juga saya jumpa cikgu ini di kedai mamak untuk berbual mengenai pengalaman dan peluang-peluang menjana pendapatan melalui hartanah.
Kenalkan Seorang Lagi Kawan
Hampir setahun lalu, kawan saya ini memperkenalkan saya dengan seorang lelaki umur dalam 50-an. Orang itu ada urusan untuk membantu seorang saudara baru untuk masuk Islam di pejabat agama. Saya nampak keikhlasan dia dalam membantu satu keluarga saudara baru itu termasuk bantuan kewangan kepada orang itu. Jadi, saya pun bantu.
Saya nampak orang ini yang saya panggil Pak Haji saja, dengan kereta mahalnya dan penampilan pakaian yang berjenama. Dia bukan menetap di sini tetapi dari sebuah negeri lain. Oleh kerana kawan saya perkenalkan orang ini adalah seorang jutawan hartanah, maka saya pun banyak bertanya tentang pelaburan hartanah sekadar untuk saya dapat ilmu. Maka terbongkarlah rahsia bagaimana dia sekarang berjaya menjadi jutawan senyap. Pak Haji ini sekarang tidak bekerja tetapi mempunyai harta dan wang yang kukuh.
Beli Hartanah
Pak Haji ini pada mulanya enggan bercerita lanjut mengenai sejarah hidup dan cerita-cerita beliau mendaki sehingga berada dalam kedudukan sekarang. Apabila kawan saya yakinkan Pak Haji ini yang saya tidak ada kepentingan apa-apa atau bukan seorang yang dicurigai, akhirnya dia bercerita lanjut di kedai mamak itu.
Pada usia Pak Haji ini 30-an, dia mula jadi agen hartanah di beberapa negeri termasuk di Pahang dan Terengganu. Dia pergi ke kampung-kampung, bank-bank dan kedai ceti untuk mengumpul maklumat mengenai tanah yang hendak dijual atau terlelong. Di kampung-kampung waktu itu harga tanah masih terlalu murah berbanding sekarang. Dia pun cari pembeli di bandar di kalangan kawan-kawan dia dan menjual beberapa hartanah dengan harga yang tinggi.
Di bank dan ceti pajak gadai pula, hasil maklumat orang dalam, dia ketahui tarikh dan harga tanah tersebut untuk ditebus semula oleh peminjam atau penggadai. Pak Haji ini menemui peminjam dan penggadai yang dalam masalah ini dan menawarkan untuk menyelesaikan masalah mereka. Dia cari pembeli dengan harga yang lebih tinggi dan dia dapat komisen. Akhirnya dia berhenti kerja sebagai kerani dan memperuntukkan sepenuh masa untuk urusan hartanah.
Beli Sendiri Tanah
Hasil komisen jualbeli tanah, dia mampu membeli sendiri tanah-tanah yang murah. Cerita Pak Haji ini, dia waktu itu dia beli banyak tanah yang ada geran dan tukar kepada nama dia. Dia juga berani membeli tanah walaupu tanah itu ada masalah. Antara masalahnya ada tanah yang belum ada geran, tanah yang belum ditukar nama simati dan nama yang berlapis. Tapi Pak Haji ini nekad membeli tanah-tanah ini dan masalah itu diselesaikan kemudian. Selain itu, banyak juga tanah yang memang jelas tiada masalah dan dia beli atas namanya.
Bercerita pasal tanah bermasalah ini, biasanya harga yang ditawar kepadanya cukup murah. Contohnya, tanah peninggalan si mati dan anak-anak pula berebut tanah tersebut. Dengan bantuan peguam, banyak kes yang dia dapat selesaikan. Kemudian, ada tanah itu yang dijual dengan harga yang tinggi dan berlipat kali ganda. Dia dapat keuntungan besar.
Beli Hartanah Mahal
Masuk umur 40-an dia membeli satu tanah yang agak mahal di satu kawasan yang staregik untuk pelaburan masa depan. Dia menjangkakan yang tanah itu akan meningkat harganya kerana ada satu projek besar yang bakal dimajukan di kawasan berkenaan. Dia telah keluarkan wang tunai hasil jualan hartanahnya dan membeli tanah kira-kira 20 ekar itu dengan pinjaman bank.
Gagal Bayar Pinjaman
Kali ini perancangan dia tak betul. Ditakdirkan ekonomi tak baik pada waktu itu dan sukar untuk dia jual balik tanah itu dengan harga yang lebih tinggi. Dalam situasi ini, dia telah gagal membayar pinjaman kerana tiada wang pusingan dan dia jatuh terduduk. Dia tak jangka boleh jadi begitu. Beberapa surat bank dia terima termasuk surat hendak memufliskannya dari mahkamah. Dia sudah buntu dan berserah sahaja apa yang berlaku termasuk tanah itu dilelong dan dia diistiharkan muflis. Ceritanya, waktu itu dia hendak buka sampul surat bank dan peguam pun tak mahu kerana dia rasakan semua surat itu akan menambah derita dalam hidunya.
Dia anggap tanah itu bukan miliknya lagi dan bank sudah rampas tanah itu untuk menebus hutangnya. Dia rasa dia sudah muflis tetapi dia tak tengok pun surat yang mengatakan dia muflis. Waktu itu, keluarga, anak dan isteri dia terabai. Bagaimanapun, isterinya tabah dan memahami derita yang suami dia tanggung waktu itu. Pak Haji ini tahu, dia gagal beri belanja kepada keluarganya dan terpaksa anak-anak dia hidup kais pagi makan pagi.
Berserah Kepada Allah
Waktu itu, dia hanya mampu berdoa dan dengan berdoa itu maka dikurniakan ketenangan dan kekuatan. Dari segi kepakaran dan ilmu perniagaan dan pelaburan hartanah, dia sudah buntu. Waktu itu, dia kenal yang mana kawan sejati dan mana kawan yang hadir waktu kita senang saja. Ceritanya, jiran sebelah rumah cukup baik dengan keluarganya sehingga berikan beras dan lauk hampir setiap hari kerana sedih melihat anak-anaknya tidak ada makanan.
Rezeki Datang
Satu hari itu, dia didatangi oleh 3 orang lelaki yang memperkenalkan diri dari sebuah bank. Dia terkejut kerana merasakan ada satu masalah besar padanya. Tapi, yang menghairankan, pegawai bank tersebut mengucapkan tahniah kepadanya. Dia dipanggil ke bank tersebut untuk berjumpa dengan pengurus bank berkenaan. Dia masih tak tahu apa masalahnya.
Tiba di bank, dia amat terkejut dengan satu berita. Itu adalah berita gembira yang tak pernah dia impikan. Iaitu, tanah tersebut masih belum dilelong oleh bank kerana prosesnya agak rumit. Dan proses melelong tanah itu belum selesai lagi. Pengurus bank memberitahunya yang tanahnya itu nilainya adalah jutaan ringgit dan akan dibuat projek besar nasional. (Saya tahu projek apa, lokasi mana, tapi sangaja saya tak mahu cerita di sini).
Ada syarikat besar ingin membeli hartanah tersebut darinya. Bank pula tidak boleh menjual kerana masih milik Pak Haji ini. Maka, melalui peguam yang dilantik, berlakulah proses penjualan dengan harga yang tinggu jutaan ringgit. Apabila ditolak dengan duit hutang bank, maka keuntungannya masih jutaan ringgit lagi.
Beli Hartanah Lagi
Dengan duit jutaan ringgit itu, dia beli banyak hartanah dengan harga murah lagi. Kebanyakan hartanah itu dijual dengan harga yang lebih tinggi pula dengan kepakaran yang dia ada. Lagipun, ekonomi negara semakin meningkat ketika itu. Ada satu syarikat perumahan yang ingin membeli tanahnya dengan harga yang tinggi tetapi dia tidak mahu jual terus. Akhirnya dia buat satu perjanjian untuk perkongsian membina rumah mewah. Hasil jualan rumah tersebut, sekali lagi dia dapat keuntungan jutaan ringgit.
Masih Beli Hartanah
Pak Haji ini sekarang dan dari dulu tidak bekerja. Setiap pagi dia akan minum di warung dan gaya hidup dia agak simple dan tidak sombong. Pak Haji ini banyak membantu orang susah tanpa mahu memperkenalkan diri dia siapa. Dia tahu, dia pernah hidup susah dulu. Ceritanya lagi, sekarang dia banyak bantu anak jiran dia yang bantu beri beras dan lauk waktu dia tiada makanan. Sehinggalah anak jiran dia itu masuk universiti sekarang.
Sampai sekarang, dia masih jual beli hartanah walaupun saya nampak dia sudah bergejar jutawan.. Katanya, ada beberapa tanah di lokasi strategik yang sudah ada permintaan yang tinggi tetapi dia masih belum menjualnya. Inilah kisah benar seorang jutawan yang sekarang tinggal di banyak lokasi dan punyai banyak rumah untuk persinggahannya. Semua itu adalah hasil usaha dan kerja kerasnya selama ini.
Agen/ broker Hartanah Pendapatan Lumayan
Saya ada baca satu artikel itu mengenai pekerjaan yang menawarkan pendapatan yang tinggi. Antaranya adalah kerjaya agen/ broker hartanah. Pendapatannya tiada had, bergantung kepada kemahiran can rezeki kita juga. Yang mempunyai wang tunai, kemudian membeli tanah dengan harga murah, simpan beberapa tahun kemudian menjualnya, keuntungannya lebi tinggi. Kalau kerajaan tetapkan kena cukai jualan hartanah, sebenarnya keuntungan itu tiada had bagi penjual sedangkan cukai itu ada had dan perkiraannya.
Kepada yang ingin melabur dalam hartanah secara meminjam dari bank, sila elakkan kalau kita tidak layak menanggung bayaran bulanan yang tinggi. Saya ada ramai kawan-kawan yang jual tanah. Kalau hendak beli tanah, boleh sembang2 dengan saya juga melalui fb 'Kadi Kluang'.
http://ustazkhalil.blogspot.my/2010/01/rumah-lelong-pengalaman-saya-sendiri.html
Salam tuan
BalasPadamSebenarnya ramai yg mahu cuba tapi risikonya yg tinggi tak mahu tuh...kalau nasib baik alhamdulillah. ..kalau sebaliknya, innalillah...hihihi