Untuk Memilih Tajuk Artikel Dalam Blog Ini, Sila Taip Perkataan di sini.

16 Januari 2010

39 ditahan termasuk 6 penuntut IPT kerana 'berpesta dadah'



KUALA LUMPUR: Gara-gara khayal akibat dadah, 36 orang termasuk enam penuntut 'merelakan' diri mereka ditahan sepasukan polis dalam satu serbuan di sebuah pangsapuri di Jalan Pudu Ulu, Cheras, awal pagi ini. Timbalan Ketua Polis Daerah Cheras, Superintendan Abdul Rahim Hamzah Othman, berkata semua suspek yang berumur lingkungan 18 hingga 30 tahun itu sedang khusyuk ''berpesta dadah'' ketika serbuan dilakukan pada kira-kira 4 pagi.

"Mereka ini dalam keadaan berkhayal sambil berhibur mendengar lagu semasa serbuan. Mereka seolah-olah tidak sedar dan tidak melawan mahupun cuba melarikan diri apabila diberkas," katanya kepada pemberita di pejabatnya di sini.
Beliau berkata daripada jumlah yang diberkas itu, seramai 29 orang adalah lelaki manakala selebihnya wanita.


"Daripada jumlah itu juga, enam yang ditahan adalah penuntut Institusi Pengajian Tinggi (IPT) awam dan swasta di ibu negara...yang mana empat daripada pelajar terbabit adalah wanita," katanya.

Hasil pemeriksaan, polis menemui pelbagai jenis dadah termasuk beberapa biji pil eramin 5 dan ecstasy.
"Selain eramin 5 dan ecstasy, kita juga menemui beberapa paket kecil yang mengandungi serbuk syabu dan ganja. Dadah-dadah ini dilihat berselerakan di atas meja dan ada juga yang kita temui pada suspek-suspek terbabit," katanya. Abdul Rahim berkata ujian saringan air kencing turut mendapati 34 daripada mereka positif dadah termasuk enam penuntut berkenaan.

"Siasatan awal juga mendapati mereka ini mengenali antara satu sama lain dan berkunjung ke pangsapuri ini untuk berhibur. Kita juga tidak menolak kemungkinan ada berlakunya aktiviti seks memandangkan dalam kumpulan ini terdapat wanita.

"Kesemua mereka ditahan dan akan disiasat mengikut Seksyen 39A (1) Akta Dadah Berbahaya," katanya. -Bernama

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Dipersilakan komen.