Untuk Memilih Tajuk Artikel Dalam Blog Ini, Sila Taip Perkataan di sini.

30 Januari 2010

Setinggan JB : Asam Garam Kehidupan

Ratusan rumah kediaman sudah diruntuhkan
Dulu di sini ada lebih 200 rumah setinggan
Kedai jual pokok dan bunga masih beroperasi tapi dah tak lama

Saya ambil gambar ini melalui tingkat 13 Kondoo Persiaran Tanjong, Bukit Alif JB pagi ini. Pemandangan sekarang sudah bertukar. Dulu, rumah-rumah setinggan memenuhi kawasan ini, sekarang sudah diruntuhkan. Kebanyakan mereka telah berpindah di rumah flat yang disediakan kerajaan di sebelah Hospital Permai, tak jauh dari sini, lupa pulak apa nama flat tu. Rumah ni runtuh dah lebih 2-3 bulan kerana tanah tu milik kementerian kesihatan. Saya dapat tahu, kementerian kesihatan akan buat bangunan sama ada klinik, bangunan pusat latihan atau rumah kakitangan dalam masa terdekat.

Jualan Kereta Terpakai Laris

Yang belum pindah adalah 4 kedai jual kereta, sebuah bengkel kereta dan sebuah kedai jual pokok dan bunga, driving school dan warung. Saya percaya sebab mereka tak pindah segera kerana perniagaan di sini laris dan ramai pembeli. Jalanraya persiaran Tanjong ini sentiasa sibuk kerana laluan ke beberapa taman utama seperti Taman Kemas, Cempaka, Dahlia, Kenanga, Bukit Kempas dan banyak lagi. Jadi peniaga sanggup tunggu sehingga saat akhir sebelum pindah. Mungkin dia nak pindah bila Kementerian Kesihatan memulakan kerja-kerja pembinaan

Sebuah kedai kereta terpakai yang saya kenal taukenya mencatat jualan yang cukup baik di sini. Sebuah kedai tu, tauke dia nama Calvin, bangsa Cina tapi fasih cakap Melayu. Calvin cerita, satu hari dia boleh jual 4 biji kereta. Antara faktornya dia tak letak harga mahal sangat. Kawan saya pernah beli kereta Toyota SE Limited di situ RM 12,000 sedangkan kedai lain masa tu jual dalam 15,000. Kepada yang cari kereta terpakai, saya cadangkan pergi ke kedai tu, harga dia antara yang murah di JB. Saya cadangkan saja, bukan nak niaga  tapi nak menggoda (macam iklan Kopi Janda).

Calvin saya beberapa kali jumpa di sebuah kedai agen jual kereta baru Toyota tak jauh dengan kedai tu. Kedai tu jual kereta Toyota baru. Rupanya Calvin kat situ untuk urusan beli kereta terpakai dari  orang yang nak beli Toyota baru. Sebab tu dia dapat harga  murah dan jual kat kedai ni. Kejap lagi saya nak ke kedai tu, nak tanya lepas ni dia pindah mana.

Driving School

Termasuk dalam tanah tu adalah sebuah driving school yang antara yang terbesar dan terkenal di JB. Kenalah pindah sebab tanah tu kerajaan dah ambil. Di sebelahnya ada surau yang cantik, masih beroperasi sekarang. Tak tahulah, kementerian Kesihatan nak roboh ke tak surau tu.  Saya nak ingatkan Kementerian Kesihatan, kalau nak roboh surau ni kena rujuk Jabatan Agama dulu, jangan main roboh-roboh jer. Dia ada peraturan dan garis panduan tertentu, jadi eloklah bincang dulu dengan Jabatan Agama, kalau tak faham kenalah bertanya.

Warung Kak Ani

Warung ni dah lama juga beroperasi. Buka petang dan malam saja, masakan Siam. Kak Ani, ibu tunggal merantau dari Kelantan ke sini bersama seorang anak lelakinya. Bangunan kedai dia buat dengan duit sendiri. Rumah dia pun dibuat bersambung dengan kedai makan dia tu. Masakan Kak Ani sedap dan berjaya menarik pelanggan sendiri. Saya suka makan tomyam, sup tulang dan mee goreng Kak Ani. Saya sempat belajar dengan Kak Ani cara nak buat mee goreng ala Siam. Buat kat  rumah, sekali saja terus berjaya, rupanya masak ni bukan susah tapi kena tahu caranya.

Lepas ni ke mana Kak Ani. Rasanya dia dapat rumah yang kerajaan sediakan tu, rumah flat. Soalnya kat mana Kak Ani nak niaga ? Saya percaya, Kak Ani seorang yang tabah dan dah lebih 20 tahun berniaga kedai makan, dia ada  kesabaran dan kecekalan. Bila kerajaan ambil tanah tapak dia niaga, mungkin dia jatuh sekejap tapi saya rasa tak lama. Lepas ni saya percaya dia akan bangun semula. Sekarang kedai kak Ani masih beroperasi dan tunggu sehingga Kementerian Kesihatan betul-betul mulakan pembinaan, baru dia pindah.

Bengkel Kereta Zaid

Zaid pomen kereta, asal dari Kelantan, berhijrah ke Johor mencari rezekii di sini. Akhirnya nikah dengan orang Johor, kira terus menetap di sini. Zaid saya dah kenal lebih 10 tahun, dia dah kerja dengan ramai tauke bengkel kereta. Antaranya bengkel di depan TNB Yahya Awal, Uda, Taman Bukit Mewah dan lain-lain. Zaid ada cerita susah payah bekerja dengan orang terutama soal kejujuran tauke, juga kebebasan masa dan kewangan. Zaid dah buka bengkel sendiri di kawasan setinggan ni saya rasa dah dekat 5 tahun. Bangunan yang dibuat ringkas saja, ada atap dan sedikit simem.

Pelanggan Zaid ramai terutamanya pemandu teksi. Sekarang Zaid masih berniaga di situ lagi sehingga diarahkan keluar. Ke mana Zaid selepas ini ? Saya dengar cerita, dia nak buat bengkel kat flat baru tu. Tempat ada atau tidak, saya rasa tak jadi soal pada Zaid. Yang saya kenal, dia ni seorang yang tabah. Kat tempat parking pun dia boleh buka bengkel.

Pengalaman Bersama Setinggan

Setakat yang saya campur orang yang menetap di rumah setinggan, jiwa mereka berlainan dengan orang yang duduk di rumah sewa atau rumah sendiri. Cuba bayangkan, betapa nekadnya hati mereka menceroboh tanah kerajaan kemudia buat rumah sendiri. Perpaduan antara mereka cukup kuat. Di kawasan yang saya cerita ni, kebanyakannya orang yang asal dari Kelantan. Mereka buat rumah secara gotong royong. Ada rumah yang saya tanya, nampak macam mahal, rupanya sekitar RM 5,000 saja sebiji rumah batu yang besar. Bila saya tanya, dia kata buat secara gorong royong. Saya tanya upah bagaimana ? Tak ada upah, buat teh O dan bubur kacang saja.

Bahan binaan kebanyakannya barang terpakai yang boleh didapati di beberapa kedai di JB, murah lebih separuh. Simen dan pasir beli barulah. Orang yang duduk rumah setinggan di sini bukan orang miskin. Kalau tengok pada kereta yang mereka pakai, mengalahkan kereta orang bergaji besar. Kerja macam-macam, berniaga, pemandu teksi, kilang dan lain-lain. Ramai juga yang ada rumah sewa di kawasan setinggan ini, biasanya sebelah rumah tuan rumah.

Semoga perpindahan ke tempat baru ini memberi nafas baru kepada warga setinggan ini. Semoga tabah dan sabar menghadapi cabaran. Rumah baru mungkin sempit, maklumlah sebelum ni duduk rumah besar.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Dipersilakan komen.