Untuk Memilih Tajuk Artikel Dalam Blog Ini, Sila Taip Perkataan di sini.

15 Jun 2013

KSN Saran KSU, TKSU dan KP Buka Akaun Facebook, Twitter... Saya Sokong


PUTRAJAYA: Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa menyarankan semua Ketua Setiausaha dan timbalannya serta ketua pengarah membuka akaun laman sosial seperti Facebook dan Twitter masing-masing untuk berinteraksi dengan rakyat. Beliau berkata, langkah itu juga membolehkan usaha menangkis fitnah berhubungperkhidmatan awam dapat dilakukan dengan segera. 

Kebelakangan ini, katanya segelintir pihak menggunakan laman sosial untuk menyebar fitnah tentang kerajaan terutamanya perkhidmatan awam dan pegawai-pegawai kerajaan yang mempunyai laman sosial pasti boleh menangkisnya.

"Saya minta agar pegawai kerajaan terutamanya pegawai tadbir dan diplomatik(PTD) yang aktif dalam laman sosial dapat memberikan fakta dan maklumat yang tepat dan benar bagi 'counter-attack' sebarang fitnah tersebut.

"Jika kita tidak membantu keadaan ini dengan fakta sebenar, rakyat akan terus percaya serta sebarkan fitnah itu dan ia hanya akan memburukkan lagi situasi semasa," katanya kepada pemberita selepas Majlis Berinteraksi bersama Persatuan Perkhidmatan Tadbir dan Diplomatik (PPTD) di sini, Jumaat.

Ali berkata, pelbagai evolusi berlaku dalam perkhidmatan awam terutamanya selepas Pilihan Raya Umum ke-13 lepas dan sebagai penjawat awam, PTD seharusnya memainkan peranan lebih penting untuk memastikan dasar-dasar kerajaan dapat dilaksana dengan jayanya.Bagi menjadikan peranan PTD sentiasa relevan dengan perubahan semasa, beliauberkata mereka juga perlu mengambil langkah proaktif dengan sentiasa turun padang.

"Menjadi tanggungjawab PTD untuk mendekati serta membantu masyarakat yang memerlukan dan bukan sekadar duduk di pejabat. Jika di luar bidang kuasa, rujuklah kepada pihak yang berkenaan," katanya.
Beliau berkata, semua PTD, pegawai kerajaan dan penjawat awam perlu bersedia berdepan evolusi semasa untuk memastikan kerjaya perkhidmatan awam mampu menjadi pilihan generasi akan datang.Dalam pada itu, beliau menggesa semua pegawai kerajaan dan PTD supaya menyegerakan pelaksanaan dasar-dasar yang diluluskan kerajaan. BERNAMA

Ulasan Saya:

Ini satu langkah yang baik dan perlu disokong. Saya saja sudah punyai Facebook dan blog yang membolehkan saya berinteraksi dengan orang ramai bukan sahaja di daerah Kluang, tapi seluruh negara. Malah ada pembaca blog saya dari beberapa negara luar. Cuma saya tak ada twitter sahaja. Bukan tak mahu belajar atau nak buka tapi sudah terlalu sibuk. Pada saya, kalau kita dah disibukkan dengan benda-benda luar, kekadang kita boleh lari dari landasan kita. Bukan saya kata twitter tak baik, jangan salah faham, semuanya atas kita.

Di kalangan rakan-rakan pula, ada group tersendiri melalui 'whataps'. Semua kadi-kadi di Johor sekarang ada whataps yang memudahkan penyebaran maklumat dan perbincangan serta merta. Hingga rasanya tak perlu berjumpa, berkumpul dan bermesyuarat pun dan cukup. Begitu juga di kalangan pegawai-pegawai jabatan agama, ada group whataps tersendiri. Pemandu di pejabat saya rupanya ada group whataps di kalangan pemandu-pemandu di jabatan dan setiap daerah juga rupanya. Cuma jangan jadikan group ini untuk mengumpat bos masing-masing sudahlah, hehehee. Sori, bergurau.

Sekadar Renungan

Sekarang pulak ada wechat, viber, Line, Kakao Talk yang semua free, cuma bayar internet sajalah. Bila dah banyak-banyak ini, saya dah makin pening sebab banyak sangat benda nak layan. Bila dah masuk ke dunia ini, kira sudah terjebat dan susah kalau tak layan. Mungkin satu tahap nanti kita akan jeles dengan orang yang bahagia dalam hidup dia yang tak ada telefon, apa lagi memiliki internet atau telefon pintar. Waktu itu kita rasa kita bahagia dalam dunia teknologi kita, rupanya orang yang tak ada apa-apa ini semua pun tidur lebih lena, makan kenyang, nasi bertambah dan mandi dia basah. 

Sedangkan kita nama saja maju tapi banyak masalah yang kita sendiri macam tak tahu apa masalah kita kerana telah dilekakan dengan teknologi ciptaan manusia. Yer, jangan sampai kita jadi robot yang tak boleh bergerak kalau tak ada teknologi yang menggerakkan dia. Kita hendaklah lebih pandai dari robot.

Kekadang saya rasa sudah banyak masa saya dihabiskan dengan benda-benda macam ini. Sehingga masa saya membaca buku sudah semakin kurang. Di rumah saya ada buku banyak sehingga penuh bersusun satu bilik. Dari dulu saya menanam azam, kalau saya menyampaikan ceramah sebagai penceramah jemputan, sekurang-kurang lepas itu saya nak beli satu buku. Cuma kalau ceramah kursus perkahwinan tidaklah saya beli buku kerana tajuknya lebih kurang sama saja. Jadi, dalam kesibukan kita dengan benda-benda teknologi ini, kekadang masa kita habis kat situ saja. Bila saya imbas ke belakang semula, saya kekadang rasa rugi, buku banyak, tapi ilmu saya macam tak bertambah.

Orang kata boleh baca melalui internet, yer memang boleh. Tapi kat internet ini tak dapat tumpu sangat berbanding buku. Kalau tanya apek yang jual cermin mata pun, dia orang akan cakap tengok komputer lama-lama tak ada bagus punya. Baca buku lagi baik, mata lagi sihat.

1 ulasan:

  1. Zaman dah berubah. Maklumat semua di hujung KUKU.

    BalasPadam

Dipersilakan komen.