Untuk Memilih Tajuk Artikel Dalam Blog Ini, Sila Taip Perkataan di sini.

18 Februari 2013

Tangkapan Khalwat Hari Valentine


Bermadu Kasih Bersama Teman Lelaki, Ibu Sanggup Tinggal Anak

JOHOR BAHRU - Seorang ibu tunggal sanggup meninggalkan dua anaknya berusia enam dan 14 tahun semata-mata untuk meraikan Hari Kekasih bersama teman lelakinya di sebuah hotel murah di Taman Ungku Tun Aminah, di sini.

Lebih memeranjatkan, wanita berusia 40an dan lelaki berusia 33 tahun itu yang tinggal dalam kampung sama di Pontian mengaku datang ke hotel terbabit untuk memadu kasih bersama kekasihnya yang mempunyai tiga anak dan sudah beristeri. Pasangan itu antara 36 individu yang ditahan dalam Ops Mawar Merah yang dijalankan Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Agama Islam Johor (Jaij).

Timbalan Pengarah Operasi Jaij, Ramly Jusoh berkata, operasi bermula jam 9 malam hingga 3 pagi itu membabitkan hotel sekitar Danga Bay, Taman Perling, Bukit Indah, Nusa Bestari, Taman Tan Sri Yaakob dan Taman Ungku Tun Aminah. Menurutnya, operasi yang membabitkan sepasukan 13 pegawai dan anggota Jaij itu memeriksa kira-kira 19 hotel murah bagi mengekang umat Islam di negeri ini menyambut sambutan Hari Kekasih.

“Daripada 36 yang ditahan, tiga daripadanya bukan beragama Islam dan berasal daripada Singapura dan Filipina. Mereka yang ditahan berumur 18 hingga 45 tahun.

“Pemeriksaan hari ini pada sebelah pagi menahan 14 orang. Kita akan meneruskan operasi ini hingga malam ini bagi mengesan pasangan bukan muhrim yang meraikan sambutan ini,” katanya di sini, semalam. Ramly berkata, pasangan yang ditahan dibawa ke Jaij untuk diambil keterangan dan kesemuanya disiasat mengikut Seksyen 27 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Johor 1997 yang memperuntukkan hukuman denda RM3,000 atau penjara dua tahun jika sabit kesalahan.

Datuk Kena Cekup Separuh Bogel

KUALA LUMPUR - “Jangan ambil wang itu, takut hilang. Saya sudah kumpul lama untuk beli rumah,” kata seorang lelaki selepas pihak Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) menemui wang RM15,000 ketika pemeriksaan dilakukan di bilik sebuah hotel, di sini, semalam.

Lelaki berusia 20 tahun itu ditahan bersama pasangannya, seorang remaja berusia 16 tahun antara 10 pasangan yang ditahan sempena pada malam sambutan Hari Kekasih.

Ketika disoal penguat kuasa, lelaki dari Kuala Lumpur itu berkali-kali memberitahu wang itu adalah untuk membayar pendahuluan pembelian rumah yang disimpan hasil perniagaan yang diusahakan. Sementara itu, sepasang pelajar berusia 17 tahun yang cuba menipu pihak berkuasa kononnya mereka adik-beradik, ditahan kerana disyaki berkhalwat, di bilik sebuah hotel.

Apabila diberitahu pegawai penguat kuasa bahawa kes mereka akan dimaklumkan kepada ibu bapa mereka, mereka menangis dan minta dilepaskan. Dalam operasi sama juga, seorang ahli perniagaan berpangkat datuk ditahan bersama seorang janda di sebuah bilik di hotel bajet di Jalan Tiong Nam, awal pagi semalam. Datuk yang berumur 60 tahun berada dalam bilik bersama wanita berusia 29 tahun apabila pihak penguat kuasa mengetuk pintu bilik.

Setelah pintu dibuka selepas diketuk kira-kira 15 minit, datuk itu didapati dalam keadaan separuh bogel, sementara wanita itu berkemban. Janda itu difahamkan memberitahu pihak penguat kuasa bahawa dia susah dan sedar apa yang dilakukan adalah satu kesalahan. Datuk itu pula mengaku tiada pertalian sah dengan wanita berkenaan. Pihak penguat kuasa juga menahan seorang wanita hamil lapan bulan dan seorang lelaki yang disyaki berkhalwat.

Remaja 'Miang' Tidak Pernah Serik

KUALA TERENGGANU - Seorang remaja perempuan berusia 20-an yang pernah menerima waran tangkap sebanyak tiga kali sebelum ini gagal melarikan diri ketika diserbu pegawai penguatkuasa agama dalam Ops Kasih sempena sambutan Hari Kekasih, malam semalam.

Pegawai Agama Daerah Kuala Terengganu, Mohd Ariffin Jusoh berkata, walaupun remaja berkenaan berada dalam keadaan tidak mencurigakan, dia ditahan untuk diambil keterangan setelah gagal hadir ke mahkamah disabitkan kes khalwat sebelum ini.


“Ketika ditahan, remaja itu berada dalam bilik sewa bersama tiga lelaki dan pintu bilik dibuka. Remaja yang bekerja sekitar Kuala Terengganu itu kemungkinan bertemu rakan lelakinya atas hal tertentu.

“Kita menahan remaja terbabit bukan atas sebab dia berkhalwat, tetapi kerana gagal hadir ke mahkamah walaupun waran tangkap tiga kali dikeluarkan ke atasnya disebabkan kes khalwatnya sebelum ini,” katanya.

Mohd Ariffin berkata, operasi yang bermula jam 12 tengah malam hingga 4 pagi itu melibatkan 30 pegawai penguatkuasa agama dan pemeriksaan dijalankan di 14 buah hotel bajet dan rumah tumpangan sekitar Kuala Terengganu. Menurutnya, dalam operasi berkenaan, dua pasangan ditahan dan dibawa ke pejabat agama disebabkan berada dalam keadaan mencurigakan. Kedua-dua pasangan itu ditahan di dua lokasi berasingan iaitu di sebuah hotel bajet dan sebuah rumah tumpangan.

“Tangkapan itu hasil kerjasama masyarakat setempat yang banyak memberikan maklumat kepada pihak berkuasa agama.
“Ops Kasih ini kita jalankan setiap tahun bagi mencegah perbuatan tidak bermoral khususnya dalam kalangan remaja, walaupun begitu, terdapat juga pasangan yang ditahan dalam kalangan dewasa,” katanya.

\‘Awek abang saya’

Kuala Lumpur: “Tak ada duit nak balik rumah malam ini, sebab itu saya terpaksa bermalam dengan kakak di sini, “kata seorang remaja lelaki berusia 13 tahun yang dicekup ketika berdua-duaan bersama seorang gadis yang didakwa saudara kandungnya di dalam bilik hotel bajet di ibu negara, awal pagi semalam.

Bagaimanapun, ketika ditanya penguat kuasa, remaja itu menukar kenyataannya mengatakan gadis berusia 20 tahun itu teman wanita abangnya dan mereka terpaksa tidur bersama kerana tidak dapat menghubungi keluarga.Pasangan berkenaan antara 10 pasangan yang ditahan dalam operasi cegah maksiat sempena Hari Kekasih yang dijalankan penguat kuasa Jabatan Agama Wilayah Persekutuan (JAWI) di sekitar ibu kota bermula jam 12 tengah malam semalam dan berakhir kira-kira jam 4 pagi. 

Semua yang ditahan berusia 13 hingga 50 tahun disiasat mengikut Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 yang membawa hukuman denda dan penjara jika sabit kesalahan. Selain pemeriksaan hotel bajet di sekitar ibu kota, penguat kuasa JAWI yang bergerak dalam dua kumpulan seramai 60 itu turut melakukan rondaan di sekitar Taman Tasik Titiwangsa.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Dipersilakan komen.