Untuk Memilih Tajuk Artikel Dalam Blog Ini, Sila Taip Perkataan di sini.

16 April 2014

Bini Kedua Mengamuk, Kadi Pula Tak Mahu Jawab Soalan (Episod 1)


Dalam beberapa soalan di facebook, ada berapa soalan yang rasanya tidak perlu dijawab. Bukan tak pandai nak jawab atau kedekut ilmu, tapi hati-hati nak jawab. Kalau jawab juga, mungkin boleh meledakkan sesuatu atau beri kesan yang tak baik. Ramai yang tertanya-tanya.... soalan apa itu? Siapa yang bertanya itu? Kenapa tak mahu jawab?

Jawapannya, yang menyoal itu mendakwa sebagai isteri kedua kepada seseorang. Kejadiannya adalah pada hari raya lepas. Nak cerita juga, yang sehari dua sebelum raya, pada hari raya dan sehari dua lepas raya, banyak pertanyaan dalam facebook. Bolehkah kita simpulkan yang masalah rumahtangga atau masalah suami isteri jadi meningkat bila tiba musim raya? Entahlah.

Latarbelakang Isteri Kedua Ini

Wanita ini awal 30-an, adalah isteri kedua yang bernikah dengan suami orang lebih kurang 4 tahun lepas. Bekerja di sebuah pejabat swasta di sebuah daerah dalam negeri Johor. Sebelum jadi janda, wanita ini adalah bercerai, anak satu dan anak ini duduk bersamanya. Suaminya lewat 40-an juga kerja swasta di daerah yang sama. Suaminya sudah ada isteri iaitu isteri pertama yang jauhnya dalam 200km. Juga punyai 4 orang anak.

Perkahwinan antara isteri kedua dan suaminya ini dirahsiakan dari pengetahuan isteri pertama dan keluarganya. Isteri pertama duduk jauh dan juga bekerja di sana. Sepanjang 4 tahun sudah ada cawangan baru atau tempat menuai pucuk muda itu, isteri pertamanya sedikit pun tidak ada perasaan syak. Hampir setiap minggu suami akan balik jumpa isteri pertama dan anak-anak yang biasanya naik bas. Pandai betul dia jaga rahsia.

Keluarga isteri kedua tahu perkara ini. Pada mulanya mereka menentang terutama ibu dan bapa, lama kelamaan berbaik semula. Mereka jaga betul rahsia supaya isteri pertama tak tahu perkara ini.

Ada Syarat Sebelum Kawin

Sebelum kawin, mereka berkenalan dan mesra dalam 2 tahun. Maklumlah lelaki ini isterinya jauh dan tak ada teman di sini. Akhirnya mereka bernikah senyap-senyap. Tapi sebelum nikah, ada beberapa syarat yang dipersetujui bersama. 

Pertama, perkahwinan mereka hendaklah dirahsiakan betul-betul terutama dari pengetahuan isteri pertama. Setiap minggu suami akan balik jumpa isteri pertamanya dalam keadaan tidak timbul apa-apa syak.

Kedua, setiap kali hari raya sama ada Aidilfitri atau Aidiladha, suami akan berhari raya dengan isteri pertama. Manakala isteri kedua akan balik ke kampung mak ayahnya seperti tiada suami.

Ketiga, mereka tidak mahu anak hasil perkahwinan mereka. Ini kerana suaminya bimbangkan tembelang mereka pecah. Perempuan juga bersetuju dengan syarat ini kerana dia sudah ada anak dengan perkahwinan terdahulu.

Keempat, isteri kedua tak akan kacau atau telefon suami kalau suami balik ke rumah isteri pertama.

Itu syarat asas perkahwinan mereka dan kedua-duanya setuju. Bagaimanapun, selepas berkahwin dan bergelar isteri kedua, berlaku beberapa insiden dan perempuan ini banyak tidak puashati. Yang paling tidak dapat dikawal adalah perasaan cemburu kepada suami yang dikatakan melebihkan isteri pertama. Cuma dia tak bersuara saja tapi dada dia macam dihiris-hiris apabila memikirkan kebahagian suami dia dengan isteri pertama.

Yang paling dia rasa sunyi dan kosong macam lagu kosong! kosong! kosong! adalah apabila tiba hari raya. Dia berat hati merelakan suaminya bergembira dan bersukaria dengan isteri pertama dan anak-anaknya. Sedangkan dia rasa amat sunyi dan tidak gembira macam orang lain setiap kali hari raya. 

Maka hari raya kali ini atau tahun lepas adalah tahun keempat dia tidak bersama suami dia. Dan kalau nak kira dan campur dengan hari raya haji, maka sudah 8 kali. Dia cuba nak gembira macam orang lain tapi dia rasa yang dia nama saja ada suami tapi suami tak ada masa raya.

Main Facebook

Dia cuba nak hilangkan rasa boring dengan masuk internet dan facebook. Dia terjumpa seorang kadi dalam fb ini dan nampaknya kadi ini selalu jawab masalah rumahtangga orang. Dia nak tanya sesuatu pada kadi itu. Tapi apa soalannya, nak tanya apa. Entahlah, kenalah susun ayat dulu.


2 ulasan:

Dipersilakan komen.