Untuk Memilih Tajuk Artikel Dalam Blog Ini, Sila Taip Perkataan di sini.

28 Julai 2010

Polis Gempur Skim Cepat Kaya

Polis berjaya membongkar kegiatan satu sindiket penipuan skim cepat kaya selepas menahan 59 orang dan merampas 18 kereta mewah dalam satu serbuan di sebuah apartmen di Petaling Jaya dekat sini malam tadi. Ketua Penolong Pengarah (Operasi) Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, ACP Rohaimi Md Isa, berkata sindiket yang meminta peserta membuat pelaburan sehingga RM41,000 tiap seorang itu dipercayai memperdayakan orang ramai dengan menjadikan tawaran kereta mewah sebagai umpan.

Beliau berkata, kegiatan itu terbongkar apabila polis melancarkan "Operasi Serama" yang disertai 82 anggota termasuk JSJK Selangor dan juga petugas dari Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan. Katanya, 50 lelaki dan sembilan wanita berumur antara 20 dan 30 tahun yang menduduki tahap "higher level" atau "upline" dalam sistem piramid yang dianjurkan itu, ditahan semasa mereka mengadakan perjumpaan di sebuah restoran di apartmen itu.

"Dalam serbuan kira-kira jam 11 malam itu, polis juga merampas 18 kereta mewah termasuk Mercedez Benz, Fair Lady, BMW dan Mazda yang digunakan untuk 'mengumpan' orang ramai menyertai skim ini," katanya.

Rohaimi berkata, sindiket yang aktif sejak dua tahun itu mensasarkan orang ramai terutama golongan muda yang baru berkhidmat dalam sektor kerajaan untuk menyertai skim itu.

"Sindiket ini tahu, budak-budak muda ini mempunyai keinginan yang tinggi terhadap kereta mewah dan senang pula nak buat pinjaman," katanya.

Katanya, modus operandi sindiket ini ialah dengan meminta mereka melabur wang mengikut pelan sehingga maksima RM41,000 dan mencari pelanggan yang dikategorikan sebagai "downline" bagi mencapai hasrat mereka bergelar jutawan.

Rohaimi berkata, orang ramai bagaimanapun menyedari mereka tertipu apabila mereka tidak mendapat jumlah pulangan yang dijanjikan walaupun berjaya mendapatkan jumlah "down line: yang disasarkan.

"Sindiket yang mempunyai tiga kumpulan ini bergerak secara bebas dengan menggunakan restoran sebagai tempat perjumpaan dan bertemu dengan kumpulan 'upline' bagi membincangkan perniagaan mereka.

"Kami terima dua laporan polis berhubung kes ini manakala kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan pula terima 30 laporan," katanya sambil menambah risikan ke atas kegiatan sindiket terbabit dilakukan sejak tiga bulan lalu. Beliau berkata, semua 59 anggota sindiket itu direman sehingga Jumaat ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Dipersilakan komen.