Untuk Memilih Tajuk Artikel Dalam Blog Ini, Sila Taip Perkataan di sini.

19 Julai 2011

Bekas Ustazah Pengikut Ajaran Ayah Pin Gagal Cabar Hak Beragama


PUTRAJAYA 18 Julai - Seorang pengikut ajaran sesat Ayah Pin yang mengisytiharkan dirinya murtad, gagal dalam usaha untuk merujuk persoalan undang-undang ke Mahkamah Persekutuan bertujuan mencabar hak dan kebebasan beragama di sisi perlembagaan.

Ia berikutan keputusan Mahkamah Rayuan hari ini yang menolak dengan kos rayuan bekas ustazah, Kamariah Ali, 60, selepas berpuas hati bahawa persoalan yang ingin dikemukakan itu merupakan bidang kuasa Mahkamah Syariah, bukan Mahkamah Sivil.Ia selaras dengan Perkara 121(1A) Perlembagaan Persekutuan yang jelas menyatakan Mahkamah Sivil tidak mempunyai bidang kuasa berkenaan sebarang perkara yang terletak dalam bidang kuasa Mahkamah Syariah.

Keputusan sebulat suara itu dicapai oleh panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Seri Abu Samah Nordin yang bersidang bersama Hakim Datuk Azhar Ma'ah dan Hakim Datuk Clement Allan Skinner. Kamariah merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi (Bahagian Rayuan dan Kuasa-Kuasa Khas) pada 30 Disember 2005 yang menolak permohonannya untuk merujuk isu-isu perlembagaan ke Mahkamah Persekutuan.

Pengikut 'Kerajaan Langit' itu dihukum penjara dua tahun oleh Mahkamah Tinggi Syariah pada 3 Mac 2008 selepas didapati bersalah di bawah Seksyen 7 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) kerana keluar daripada Islam. Hakim Azhar ketika membacakan keputusan itu menyatakan, perayu memohon deklarasi bahawa dia mempunyai hak mutlak dan bebas memilih serta menentukan agama pilihan sendiri dan bukan tertakluk kepada pengisytiharan dan/atau pengesahan mana-mana pihak.

Menurut beliau, mahkamah bagaimanapun berpuas hati dengan keputusan terdahulu yang mendapati permohonan bekas ustazah itu merupakan penyalahgunaan proses mahkamah kerana isu yang dibangkitkan itu sudah diputuskan di peringkat Mahkamah Persekutuan. Hakim Mahkamah Tinggi ketika itu, Tan Sri Md. Raus Sharif (kini Hakim Mahkamah Persekutuan) berpendapat, tindakan tersebut merupakan cubaan kali kedua disebabkan dia sebelum ini telah memohon kepada mahkamah untuk menentukan perkara serupa.

Sehubungan itu, panel tersebut bersetuju dengan dapatan hakim berkenaan bahawa tiada keperluan merujuk isu itu kerana persoalan sebenar yang hendak diketengahkan adalah untuk mendapatkan perisytiharan bahawa dia tidak lagi mengamalkan agama Islam (murtad). Responden-responden terdiri daripada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) dan Kerajaan Negeri Terengganu.

2 ulasan:

  1. ALLAH MAHA BESAR .. TUNJUKANKANLAH KAMI KEBESARAN DAN KEBENARANMU YA ALLAH..AMPUNILAH KAMI YA ALLAHA AMPUNI KAMI YA ALLAH AMPUNKANLAH YA ALLAH ...AMIN.

    BalasPadam
  2. syabas dan tahniah pd hakim mahkamah rayuan dan mahkamah tinggi kerana telah membuat keputusan yang tepat berdasarkan perlembagaan persekutuan malaysia.

    BalasPadam

Dipersilakan komen.