Untuk Memilih Tajuk Artikel Dalam Blog Ini, Sila Taip Perkataan di sini.

07 Oktober 2010

Penjual Salah Guna Ayat Al-Quran

(Harian Sinar)  KLUANG- Sebanyak 369 barang hiasan yang mengandungi kesilapan ayat al-Quran dirampas Bahagian Kawalan Penerbitan dan Teks al-Quran, Kementerian Dalam Negeri (KDN) Johor dalam operasi bersepadu bersama Pejabat Kadi Kluang, semalam.

Kadi Kluang, Mohd Khalil Md Noor berkata, operasi bersepadu ini ke tiga premis yang menjual barang-barang hiasan al-Quran yang mengandungi kesilapan dari segi ayat al-Quran dan sebagainya.

“Operasi dijalankan di sekitar bandar Kluang dan dalam operasi tersebut, kami telah berjaya merampas barang-barang hiasan al-Quran di salah sebuah premis menjual barangan serbaneka.

“Sebanyak 369 barang hiasan dirampas kerana pemilik kedai bukan Islam dan menjadi satu kesalahan apabila orang bukan Islam menjual barang-barang hiasan yang mengandungi ayat al-Quran.

“Malah, ianya juga terdapat dalam garis panduan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) tahun 2008 bagi garis panduan pembuatan, pengendalian dan penjualan dan pelupusan bahan-bahan penerbitan dan perhiasan yang mengandungi ayat-ayat al-Quran yang menggariskan bahawa semua aktiviti pengendalian dan penjualan bahan-bahan yang mengandungi ayat-ayat suci al-Quran hendaklah dilakukan oleh hanya orang yang beragama Islam,” katanya kepada: Sinar Harian:.

Mohd Khalil berkata, kesalahan tersebut boleh didakwa di bawah Seksyen 14(1) Akta Pencetakan Teks Al-Quran (Pindaan) 1998 dan jika sabit kesalahan, boleh dikenakan denda tidak melebihi RM20,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya.

Kesalahan itu juga katanya, telah terkandung dalam keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa kali ke-13 pada 1 dan 2 Julai 1985.

Dalam keputusan tersebut orang bukan Islam adalah diharamkan atau tidak boleh menulis, mengukir, membentuk, mempamerkan dan menjual barang-barang yang mengandungi ayat-ayat al-Quran.

“Dalam operasi yang dijalankan pada hari ini (semalam), kessemua maklumat yang diperoleh adalah hasil daripada maklumat orang awam dan juga siasatan yang kita dijalankan,” katanya.
 Lagi

1 ulasan:

  1. Salam tahniah ustaz dan KDN atas operasi demikian. Teruskan demi menjaga kesucian AlQuran.

    p/s: suka2 je jual kononnya ayat2 AlQuran tetapi penuh dgn kesalahan huruf dan baris.

    BalasPadam

Dipersilakan komen.