Untuk Memilih Tajuk Artikel Dalam Blog Ini, Sila Taip Perkataan di sini.

29 Jun 2011

Akta Baru Berkenaan Halal Lebih Kemas


Restoran yang sengaja meletakkan tulisan jawi atau ayat al-Quran bagi mengelirukan orang Islam boleh dikenakan tindakan mahkamah mengikut Akta Perihal Dagangan 2011 yang bakal dikuatkuasakan 1 Januari 2012. Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata tindakan pemilik restoran itu dianggap cubaan mengelirukan pengguna sehingga wujud anggapan restoran itu halal.
"Akta ini membolehkan pengguna membuat aduan kewujudan restoran sebegini dan kita boleh mengambil tindakan,” katanya ketika sesi perbahasan Rang Undang-Undang Akta Perihal Dagangan 2011.

Beliau berkata, logo halal juga akan diseragamkan kerana ketika ini, tujuh syarikat swasta mengeluarkan sijil halal selain daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Majlis Agama Negeri.

“Selepas ini, hanya satu sijil halal dikeluarkan supaya tidak wujud kekeliruan. Akta ini juga memberi kuasa kepada Kastam Diraja Malaysia (KDRM) menghalang kemasukan barangan import tidak mempunyai perakuan halal yang diiktiraf JAKIM,” katanya.

Terdahulu, Ismail Sabri berkata, hukuman dan denda yang lebih berat juga akan dikenakan kepada peniaga yang menjual barangan tiruan.
“Peniaga terbabit boleh didenda sehingga RM15,000 bagi setiap satu barang yang disita jika akta ini diluluskan kelak,” katanya.

Katanya, pasukan penguat kuasa kementerian juga akan mempunyai kuasa mengambil tindakan ke atas perniagaan yang mengeliru atau menipu pengguna atau sebarang salah laku amalan perdagangan.

“Akta ini bagi melindungi pengguna ketika berdepan perihal dagangan palsu, pernyataan palsu dan harga barangan mengelirukan, menyekat kegiatan penipuan menerusi peraduan atau permainan seperti konsep gores dan menang.

“Selain itu, akta ini juga berkaitan pelanggaran cap dagangan, kaedah seliaan, penguatkuasaan serta hukuman,” katanya

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Dipersilakan komen.