Untuk Memilih Tajuk Artikel Dalam Blog Ini, Sila Taip Perkataan di sini.

30 Julai 2014

Memandu Balik Raya Dari Kuantan ke Terengganu dan Kelantan


Lebuhraya Pantai Timur dari Kuantan ke Terengganu sebahagiannya dah siap. Senang cakap, dari Kuantan kita ambil lebuhraya sampai ke hujung iaitu tol Jabor. Mulanya saya terkejut sebab simpang ke Terengganu ditutup. Kalau ikut pengumuman kat akhbar, katanya dari Jabor ke Cheneh dah buka. Saya terus bayar tol dan di situ ada penunjuk arah supaya buat pusingan U sebaik saja bayar tol. Dalam hati saya, kenapalah lepas bayar tol kena pusing semula masuk ke tol.

Ambil Tiket

Masuk ke tol, penjaga tol hulur tiket dan saya malas banyak cakap. Dalam hati saya, kayalah syarikat tol macam ni, musim orang balik raya dikenakan tol pulak. Lagipun lebuhraya bukan sepenuhnya siap dan tak sepatutnya dikenakan tol. Dalam 2-3km lepas tu ada tol kecil dan ditulis di situ supaya diserahkan resit tadi. Saya serahkan dan saya tanya berapa ringgit, dia jawab percuma. Ohhh.. percuma rupanya. Baru saya fikir semula. Pertama, buat pusingan U tadi sebab hanya ada satu saja tol yang pungut duit dan siap sepenuhnya iaitu tol Jabor tadi. Jadi kena bayar duit tol dululah bagi orang yang datang dari KL, Temerloh, Maran atau Gambang. Kalau dibuka terus simpang ke Cheneh, maka tak bolehlah dia orang nak kutip tol. Yer betul.

Kedua, kenapa pula tadi ambil tiket tol masa masuk semula ke lebuhraya? Maknanya orang yang terus ke laluan KL, kenalah bayar tol manakala yang ke Cheneh pun kena ambil tiket juga tapi kena pulangkan saja nanti dan tak kena bayar. Betullah tu, manalah orang jaga tol tu tahu kita nak ke KL ker atau Terengganu, maka diberikanlah kita tiket tu. Lagi satu agaknya, dia keluar resit tu untuk mengira jumlah kereta yang lalu. Berguna juga kena simpan rekod kemasukan kenderaan.

Mana Laluan Masuk

Sebelum ke Jabor tu saya tertanya-tanya iaitu macam mana nak cari jalan masuk ke lebuhraya yang menyambungkan Jabor ke Terengganu tu. Iaitu di mana pintu masuknya. Jadi, awal-awal saya dah masuk lebuhraya dan tak ikut jalan biasa. Biasanya saya ikut jalan biasa ke Jabor kerana jalannya pun sudah cantik dan 4 lorong untuk jimat bayar tol. Akan masuk di Bomba dan bulatan Jabor sama ada nak ke Jalan Jerangan-Jabor, Kemaman atau ke KL. Jadi, barulah saya tahu, kalau dari situ, kena ambil arah ke Kuala Lumpur dulu dan ambil tiket tol. Kalau kita terlajak laris ke jalan lain, maka kita tak jumpalah lebuhraya tu.

Hati-hati di Lebuhraya

Masuk saja lebuhraya tu, nampaknya kualiti lebuhraya itu tidaklah sebaik lebuhraya Utara-Selatan dan lebih baik lagi kualiti Lebuhraya Karak-Kuantan. Kalau tadi kelajuan saya antara 130-140kmj, sekarang cuma berani dalam 120kmj sahaja. Jalan nampaknya tidak rata dan ada beralun, maklumlah belum siap sepenuhnya.

Kemalangan Ngeri

Tak lama lepas tu, dari jauh nampak banyak kereta berhenti. Saya agak, di depan tu ada kemalangan yang teruk juga sampai ramainya orang  kiri dan kanan berhenti untuk membantu. Yer, rupanya sebuah MPV Nissan kemalangan dan orangnya ramai yang cedera dan masih terbaring di rumput. Saya nampak, ramai penumpang dalam kereta Nissan yang remuk itu. Agak saya, kereta itu terbabas dan melanggar penghadang jalan sebelah kanan. Mungkin juga kereta itu berpusing-pusing beberapa kali sehingga keadaan kereta itu nampak teruk. Rasa saya tidak ada kemalangan maut dan 2 biji ambulan sampai ke lokasi tak lama lepas tu. Saya lupa tengok jam tapi dalam jam 6 petang hari raya kedua kejadian tu.

Berhati-hati

Saya meneruskan perjalanan dan kereta yang tadi di belakang saya memandu laju, sekarang dia dah pandu perlahan. Saya pun begitu juga, saya memandu dalam 110kmj saja. Itulah sifat semulajadi manusia yang pandai sendiri perlahankan kenderaan kalau tengok kemalangan ngeri macam tadi. Jarak lebuhraya tu saya tak pasti tapi dalam 20km lebih saja dan keluar ke Cheneh. Sampai di situ, terasa dah banyak jimat perjalanan dibandingkan dengan ikut jalan biasa. Bagus juga lebuhraya tu dah bukak walaupun separuh. Untuk ke Terengganu, teruskan ikut jalan lama Jerengau-Jabor dan sampai di satu simpang ke kanan menuju ke Paka, boleh belok ke kanan. Di situ ada penunjuk lebuhraya ke Terengganu.

Dari simpang itu ke lebuhraya agak jauh juga antara 15 hingga 20 minit baru jumpa lebuhraya. Naik tol Paka boleh terus ke Bukit Besi, Ajil, Terengganu dan Gemuruh baru keluar. Boleh teruskan perjalanan ke Kelantan. Tol percuma saja. Dinasihatkan berhati-hati dan tidak terlalu laju di lebuhraya itu yang kualitinya kurang sedikit kerana belum siap sepenuhnya. Baru-baru ini kalau tak silap dalam bulan Ramadhan baru ini, kemalangan maut melibatkan Dato' Abu Bakar Chik, bekas exco Terengganu pada waktu malam. Kalau malam, lebuhraya itu memang gelap, berkabus dan tidak terlalu rata.

Atau Tak Perlu Belok ke Paka

Saya rasa juga, elok juga tidak belok ke persimpangan Paka untuk ambil lebuhraya. Ini kerana jarak simpang itu ke lebuhraya dalam 15 minit lebih. Elok juga kita teruskan saja perjalanan dan sampai ke Bukit Besi barulah masuk ke lebuhraya, rasa itu lagi dekat. Hati-hati memandu balik raya
SELAMAT HARI RAYA MAAF ZAHIR DAN BATIN.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Dipersilakan komen.