Buka saja fb saya, ramai rakan saya kongsi cerita yang bertajuk,
"Silap Tangkap Basah.... Dikecam Lagi".
Adalah muka seorang wanita yang dikatakan membuat kenyataan sehingga jadilah cerita tersebut. Apabila saya klik pada fb tersebut, maka dibawa kepada satu blog yang cerita lanjut tentang perkara tersebut.
Saya sebenarnya tak tahu sangat kes ini, apa cerita sebenarnya. Cuma saya baca dalam blog dan fb dan saya nak ulas juga berdasarkan perasaan seorang pembaca. Semoga nasihat saya, kalaulah baik, orang boleh ikut dan dapatlah saya berdakwah. Kalau tak tepat, maafkan saya, saya cuma baca fb dan blog itu. Maknanya orang lain pun tak dapat cerita yang tepat juga.
Nanti Dulu, Kenapa Terus Dipertikaikan Tangkapan
Orang itu dikatakan ditangkap pada satu tarikh di dalam sebuah rumah. Orang yang ditangkap juga mendakwa sedang mengemas rumah dan beberapa orang berada di dalam rumah tersebut. Dia dikatakan dibawa ke jabatan agama untuk tindakan lanjut. Kemudian, selang beberapa hari, surat sampai kepada individu tersebut untuk satu tarikh pendakwaan di mahkamah syariah. Orang itu pula melantik peguam terkenal.
Pengadu mendakwa terkejut ditahan atas kesalahan khalwat itu yang katanya tanpa alasan kukuh. Pengadu juga memberitahu yang penguatkuasa yang menangkapnya hanya memantau selama 5 minit sebelum tangkapan dibuat.
Itulah yang saya faham serba sedikit mengenai kes ini. Kemudian, dengarlah pandangan saya.
Pandangan Saya
Isu ini sudah jadi heboh di alam fb dan internet. Saya terpanggil untuk bersuara kerana saya rasa, ramai yang menyalahkan pihak berkuasa dengan tangkapan ini. Mungkin mereka rasa, penguatkuasa tidak cekap, penguatkuasa sengaja melakukan kkezaliman atau memalukan orang ini dan lain-lain lagi. Pembaca juga mungkin merasakan yang isu ini memberikan tekanan kepada penguatkuasa kerana penguatkuasa berada dalam keadaan yang bersalah berikutan kejadian ini.
Saya rasa, penguatkuasa yang terlibat dalam tangkapan ini rilek saja, tak ada apa-apa sebab tak nampak pun dia buat perkara yang menyalahi undang-undang. Pada penguatkuasa, sama ada kes itu menang atau kalah, didakwa atau tidak, itu bukan perkara yang dititikberatkan sangat. Orang luar tak nampak tugas penguatkuasa ini berat dan mencabar.
Kekadang terpaksa kerja jauh dari lebih masa dari orang lain dengan tidak dibayar elaun pun, tapi penguatkuasa tetap menjalankan tugasnya. Yang penting, penguatkuasa sudah berusaha mencegah maksiat dan bertindak berdasarkan maklumat. Kekadang ada juga orang yang memberi maklumat marah-marah kepada penguatkuasa. Yang menentukan kes seterusnya adalah pendakwa syarie dan hakim mahkamah syariah.
Bertenang
Saya tidak mahulah merujuk khusus kepada kes ini saja tetapi kes yang lain juga. Iaitu, kalau sudah berlaku tangkapan, selesaikanlah melalui prosedur, bukan mendedahkan kepada media terutama media internet. Kalau betul orang itu telah ditangkap dan dalam jaminan, maka datanglah ke penguatkuasa atau mahkamah sekiranya dia dipanggil. Di pejabat nanti, barulah jelas sama ada kes dia akan didakwa atau tidak. Sekiranya dia didakwa di mahkamah kelak, silalah untuk tidak mengaku salah kalau dia rasa dia tak bersalah. Tidak perlulah membuat kenyataan tidak bersalah dalam media internet.
Pindah Rumah dan 5 Minit Pemantauan
Kalaulah orang ini mendakwa yang dia berada dalam rumah ini untuk pindah rumah, silalah berhujah di mahkamah. Ada kemungkinan juga hakim boleh menerima alasan tersebut kalau hakim berpuashati dengan bukti-bukti yang didatangkan oleh orang ini. Sebelum itu, sewaktu memberi kenyataan kepada pegawai penyiasat selepas tangkapan, silalah kemukan alasan dan hujah ini kepada pegawai penyiasat.
Mengenai kenyataan mengatakan 5 minit saja, itu adalah kenyataan orang ini dan bukan kenyataan penguatkuasa yang menangkap di dalam mahkamah sebagai saksi menangkap. Kalaulah betul 5 minit, di dalam undang-undang syariah, tidak ada pun dinyatakan ada peruntukan masa sebelum ditangkap sama ada lebih atau kurang dari 5 minit. Rasa saya, mungkin juga orang ini berhujah 5 minit ini untuk menunjukkan kecacatan kes ini, silalah berhujah nanti. Nasihat saya, berhujahlah di mahkamah, bukan di internet.
Seperkara lagi yang dipertikaikan adalah jumlah orang yang ditangkap, katanya adalah 4 orang. Saya tak pastilah berapa orang lelaki dan berapa orang perempuan. Sebenarnya, kepada sesiapa yang belum tahu, kes khalwat boleh ditangkap sama ada berdua, bertiga, berempat atau lebih. Tak kiralah perempuan seorang tiga lelaki, perempuan berdua lelaki berdua atau seorang lelaki perempuan tiga orang, masih boleh dikatakan kes khalwat.
Peranan Peguam
Apapun yang dilakukan oleh peguam, itu adalah dalam tanggungjawab peguam yang telah dilantik mewakili anak guamnya. Pertama, peguam ada peluang untuk berhujah terutama secara bertulis kepada Ketua Pendakwa Syarie sebelum kes ini dituduh di mahkamah. Mungkin juga, kes ini tidak didakwa kerana hujah yang kukuh oleh peguam. Lagi satu, kalau kes ini didakwa di mahkamah, peguam berperanan mewakili anak guamnya di mahkamah kelak.
Oleh itu, janganlah kita beranggapan sesuatu kes itu begitu mudah untuk dihukum begitu saja, tetapi melalui proses undang-undang yang ketat. Seseorang itu tidak dikatakan bersalah selagi tidak disabitkan bersalah oleh mahkamah.
Jangan Memalukan Orang Kena Tangkap
Saya juga tak pasti sama ada, orang ini telah dimalukan di dalam akhbar atau media sebelum dia didakwa di mahkamah. Kalaulah nama atau muka atau jawatan khususnya disebut di dalam akhbar oleh pihak berkuasa sehingga memalukan orang ini, pihak penguatkuasa boleh berhadapan dengan saman malu atau fitnah di mahkamah sivil.
Lagi satu, jika kes ini tidak dihebahkan oleh media dan orang lain tak tahu pun kes ini, kenapalah kes ini diperbesarkan. Dengan membuat pendedahan, mungkin identiti orang ini akan dikenali dan boleh memalukan orang yang kena tangkap juga.
Jaga Nama Baik dan Kesucian Institusi Agama
Sebagai seorang Islam, jagalah nama baik institusi agama di negeri kita iaitu Jabatan Agama Islam dan Majlis Agama Islam negeri kita berada. Malangnya, ada segelintir dan jumlahnya tidaklah besar, yang suka memperkecil dan menghentam institusi agama ini. Jabatan agama ini bukanlah hak individu atau mana-mana parti politik, semua itu tidak ada kaitannya.
Kekadang, ada orang marah kerana individu atau politik, maka dimarahnya sekali institusi agama itu, itu adalah satu kesilapan. Ada juga kes, disebabkan ada kelemahan pihak institu agama, maka terus dihentam, sedangkan kita sendiri tak mahir atau mengetahui dengan jelas bidangkuasa penguatkuasa agama. Institusi agama memang ada kelemahannya dan kekurangannya, itu tidak dinafikan. Jadi, marilah kita sama-sama membantu, bukan meruntuhkan yang sedia ada.
Apa-apa pun pandangan kita selepas membaca fb dan blog tersebut, kita janganlah cepat mengambil kesimpulan yang tidak tepat.
Setuju dan tepat. ...kena faham jgn salah faham. ...Penjelasan yg tepat dan jujur.
BalasPadamSudah menjadi kebiasaan orang masa kini mahu mengetahui segala bentuk cerita mahupun keputusan dgn cepat dan segera, kononnya masa itu emas tanpa memikirkan kualiti output yang tersebut. Jadi tak hairanlah ustaz kalau ramai yang menyebarkan permasalahan mereka dimedia internet kerana media tersebut cukup pantas dalam memberikan tindak balas seperti diinginkan oleh penyebar yang tersebut.
BalasPadamApa pun, pada pendapat saya setiap kejadian dlm hidup ada hikmah setiap satunya. Mungkin diwaktu melalui kejadian itu org yg melaluinya shj yang tahu bagaimana payahnya itu.