Untuk Memilih Tajuk Artikel Dalam Blog Ini, Sila Taip Perkataan di sini.

16 Jun 2014

Beli Rumah Lelong (Episod 12): Johor Bahru Pelaburan Hartanah Terbaik Sekarang

Sudah agak lama saya tak menulis pasal rumah lelong ni. Dalam pada itu, ramai yang tanya soalan pasal rumah lelong dan saya taklah berdiam diri saja. Pertama, rumah lelong semakin kurang sekarang berbanding tahun 2008 dan 2009 iaitu saya mula berkecimpung dalam rumah lelong ini. Alhamdulillah, rumah yang saya beli beberapa biji pada masa lebih kurang 4-6 tahun, sekarang nilainya sudah mencapai 3 kali ganda. 

Saya nak beritahu satu tips kepada yang bercita-cita membeli hartanah, iaitu Johor Bahru adalah destinasi pelaburan hartanah yang terbaik saya rasakan. Hartanahnya masih banyak, harga tidaklah terlalu mahal lagi dan boleh untuk dijadikan pelaburan yang menguntungkan. Bagaimanapun, jangan lupa, belilah dengan cara mengukur dengan kemampuan sendiri, bukan dengan hawa nafsu semata-mata.

Rabu lepas, di kondo saya, saya lihat di seberang iaitu sebelah blok saya ada iklan nak jual rumah. Saya pun telefon dan dia kata harga lepas diskaun adalah RM 195,000. Ermmm.... nak tahu tak, rumah yang saya beli tahun 2008 jenis yang sama hanya RM 79,000 sahaja. Itu satu contoh. Betullah saya untung dan kalau saya nak duit tunai sekarang, nampaknya sudah boleh. Tapi saya rasa rumah di JB sekarang semakin mahal dan kalau saya jual hari ini, saya pun tak ada rancangan untuk apa saya nak guna dengan duit tu. 

Mungkin orang boleh kata, lebih baik saya beli kereta yang mahal dan berasa megah bila berada dalam masyarakat. Pada saya, kereta yang saya ada sekarang sudah cukup baik. Saya suka berfikir panjang sebelum memiliki sesuatu. Kereta idaman saya adalah Peugeot dan sekarang saya sudah pakai Peugeot 407. Ramai orang kata kereta saya mahal sebab dia orang tak mengikuti secara dekat kereta ini. Pada tahun 2005, harga Peugeot itu adalah dalam RM 165,000 tapi pada tahun lepas, tahun 2013 bulan Mei, harganya sudah jadi RM 45,000. Maka saya belilah dengan pinjaman bank.

Saya juga bercita-cita nak pakai Peugeot 508 yang dapat anugerah kereta terbaik 2000 cc tahun lepas. Tapi sekarang saya tak sanggup beli kerana harga dia RM 145,000 dan secondhand ada yang harga RM 119,000. Saya tetap simpan cita-cita saya untuk memiliki kereta ini dengan harga yang jauh lebih murah dalam 2-3 tahun lagi dengan harga sekitar RM 50,000 untuk kereta yang lebih berkualiti dan laju, Peugeot 508.

Perbezaan Beli Kereta dan Rumah

Saja saya buat cerita pasal kereta kerana antara kereta dan rumah kita tahu perbezaannya. Rumah harganya stabil tapi kereta pasti turun harga. Tapi kita mesti ingat bahawa beli rumah ini tidak semestinya untung dan sudah ratusan ribu orang muflis kerana pinjaman perumahan. Maknanya bukanlah semestinya untung beli rumah ini. Kalau untung, takkanlah jadi kes mahkamah dan rumah kena lelong.

Sekali lagi saya nak ulang, bahawa beli rumah ini kena ada 3  perkara. Kalau tak ada 3 perkara ini, tak payahlah beli rumah, elok simpan duit lagi bagus. Pertama, rumah yang kita beli ini ada nilai harga yang tinggi. Contohnya, kalau rumah di JB, nilainya tinggi. Sangat beruntung kita beli rumah dengan harga murah sedangkan nilai sebenar dia adalah tinggi. Jadi, kalau satu hari nanti kalau kita nak jual, maka kita dapat untung dengan harga yang makin meningkat.

Kedua, kita boleh sewakan rumah ini dan dapat untung. Contohnya kita beli rumah di JB dengan ansuranbulanan kepada bank sebanyak RM 800 dan kita dapat sewa rumah ini dengan harga RM 900, itu namanya untung. Tapi kawan saya, dulu mengajar di sebuah sekolah agama di Kluang dengan ansuran bulanan RM 900 sebulan. Dan dia sewakan RM 400 sebulan rumah itu. Itu namanya rugi. Bila saya kata pada dia, ini pelaburan yang rugi, dia jawab yang dia tak rugi sebab dia ada rumah yang orang Melayu panggil, ada aset. Okey, sudah lebih 10 tahun dia keluarkan 500 sebulan untuk mencukupkan ansuran bank dia, maknanya dalam setahun 6000 dan 10 tahun 60 000. Duit 60,000 ini kalau beli tempe, dapat makan satu kampung berpuluh-puluh tahun. Sewa rumah pula bukanlah naik dan bukan budaya kita naikkan sewa rumah kalau ada orang duduk.

Ketiga, kita boleh duduk rumah itu kalau tak ada orang duduk. Ini nak cerita juga yang ramai orang kita yang ada rumah tapi tak mahu duduk rumah itu. Ada kawan saya di JB, sewakan rumah dia dengan harga 500 sedangkan dia sewa rumah lain 900. Bila saya tanya, kenapa tak duduk rumah itu, dia jawab rumah itu kurang selesa berbanding rumah sewa itu. Orang ini datang jumpa saya khusus untuk dapat nasihat perancangan kewangan. Jadi saya sentuh banyak aspek termasuk sikap orang kita sendiri yang terlalu manja. Minta maaflah kalau ada orang yang terasa. Saya ini kekadang mulut lepas sikit.

Orang ini hanya ingin sikit selesa sehingga mengalah dan terpaksa duduk rumah lain dengan bayaran yang kebih tinggi. Kita sepatutnya harungi hidup ini walaupun ada kepayahan. Rumah dia itu saya tak nampak sangat tak selesa cuma kecil sedikit sahaja berbanding rumah yang dia sewa. Orang kita, kalau ada duit sikit, mulalah nak bergaya sikit. Saya cadangkan supaya dia jual atau duduk saja di rumah itu. Akhirnya dia duduk juga rumah itu setelah beberapa tahun menyewa. Sepanjang menyewa itu, dia hampir tidak ada wang simpanan dan sering ketiadaan wang belanja.

Masalah Rumahtangga dan Hampir Bercerai

Seorang isteri pula mengadu kepada saya yang suaminya seorang penjawat awam, gaji kira-kira 3000 tapi tak pernah cukup untuk keperluan keluarga. Katanya sekarang, si isteri banyak bersusah payah dengan gaji isteri RM 2500, terpaksa isteri gunakan wang untuk membiayai keluarga. Sekali fikir, dengan pendapatan lebih 5,500 dalam keluarga ini, nampak macam besar, tapi sebenarnya tak cukup untuk keperluan harian.

Ke Mana Wang Dia Habis?

Saya nak beritahu yang dia duduk di rumah mahal dan baru di Kluang yang baru dibeli. Suami dia bayar ansuran bulanan rumah hampir RM 1100. Bila ditanya kenapa tak duduk menyewa saja, dia bilang, sudah lama menyewa dan kalau kumpul duit sewa dah boleh beli produk D'Herb terlajak laris. Suami dia juga bayar kereta 600 sebulan. Suami dia ada 2 personal loan hampir 1000 sebulan. Maka baki gaji suami dia adalah 300 ringgit saja.

Gaji si isteri saja, bayar kereta buatan Malaysia 500, ada personal loan 500, bakinya 1500. Duit itulah untuk belanja anak 4 orang termasuk makan minum kat rumah, duit isteri juga. Itu belum kira duit tepi-tepi dengan minyak kereta, servis kereta, roadtax, sarapan kat restoran mamak, lefrik, astro, air, telefon internet dan lain-lain. Maka belum cukup tarikh gaji pun, poket sudah kosong. Masa inilah mengamuk kat laki dan mengadu kat Kadi. Yang sedapnya, Kadi lambat sikit jawab soalan dia, Kadi pulak kena marah. Lepas tu dia malu sendiri. 

Duit Habis Kat Rumah

Kawan-kawan satu tempat kerja ramai duduk kat situ dan selalu cerita kat opis yang ada rumah baru. Maka suami pun tewas dan beli juga. Kebetulan pinjaman perumahan dia senang jer lulus. Kalau orang kata jangan beli rumah, dia tembak balik dan tuduh yang penasihat macam ni adalah nak lemahkan kita kononnya.

Sekarang dia suami isteri dalam krisis. Puncanya bukannya Mak Janda yang flat kereta JND tu, tapi masalah kewangan masing-masing. Bila dibincangkan pasal kesilapan dia beli rumah, sekali lagi dia menafikan, dia kata, dia beli rumah tidak silap, tapi suami dia yang kuat enjoy, katanya.

Kalau nak cari pengelesaiannya supaya kembali semula ke rumah sewa 350 sebulan berbanding 1100 sebulan sekarang, mengamuk isteri dia. Tapi sebebarnya, pada saya, itulah yang lebih baik dalam hidup dia daripada terus hidup dalam bebanan hutang. Biarkanlah hal rumahtangga mereka dan kita lihatlah episod seterusnya nanti, bagaimana usia perkahwinan mereka. Sekarang pun sudah retak dan hampir musnah kalau tak betul-betul.


15 Jun 2014

Main Judi Sempena Piala Dunia 2014 ?


Saya terbaca beberapa artikel mengenai pasaran saham yang dikatakan jadi lembab sikit sepanjang berlansungnya bolasepak Piala Dunia 2014. Bukan satu artikel tetapi banyak, iaitu yang ditulis oleh penganalisa pasaran saham berpengalaman. Kenapa ramalannya begitu? Apa kaitannya dengan bolasepak?

Kerana katanya, orang lebih suka main judi bola berbanding masuk pasaran saham. Ikut ulasan pakar itu, setiap kali berlansungnya Piala Dunia, pasaran saham akan jadi begitu. Bagaimanapun, pada saya, manusia bukanlah pakar yang sebenar yang mengetahui turun naik pasaran saham sepenuhnya. Kalaulah manusia pakar itu betul, kenapa ramai pakar ekonomi yang tersalah ramal sehingga tidak berjaya meramal kejatuhan pasaran saham tahun 1997-1998 dahulu. Itu ulasan saya pulak yang tak berapa pakar.

Seorang kawan saya pula kata, Piala Dunia tak akan menjejaskan pasaran saham tempatan atau dunia. Ini kerana bukanlah ramai pemain saham adalah kaki judi. Malah, pelabur akan mengintai peluang membeli saham murah yang berpotensi di tengah-tengah harga saham di bawah nilai.

Judi Bola Sepak

Saya tak faham sangat pasal judi bola ini. Yang saya nak cerita adalah peranan dan tugas penguatkuasa undang-undang terutama pihak polis adalah semakin banyak dan mencabar. Kalau dulu, kaki judi ini berkumpul di kelab malam, karaoke atau restoran sewaktu perlawanan, tapi sekarang lebih luas lagi. Selain lokasi tersebut, perjudian lebih mudah dengan perhubungan telefon bimbit dan internet seperti facebook, whataps dan lain-lain.

Apa-apapun, judi ini tetap bawa malapetaka dalam hidup kita dan jauhkanlah judi. Dalam Islam, jelas kata judi adalah keji dan termasuk kawan-kawan syaitan. Dulu masa saya jadi penguatkuasa Jabatan Agama, ada orang kata orang itu kaya raya kerana selalu menang nombor ekor. Lama saya buat siasatan terhadap orang Islam tersebut. Hidup dia senang lenang dan banyak duit. Yer atau tidak?

Rupa-rupanya ada cerita disebaliknya. Tak perlulah saya dedahkan cerita sebenar. Ringkasnya, dia dapat duit itu dengan cara haram lain, bukan duit judi nombor ekor. Semuanya hendak menutup cerita dia buat kerja haram.

Lingkup Kerana Berjudi

Seorang pun saya tak jumpa orang kaya dengan judi. Tapi saya jumpa ramai, malah beratus orang jadi miskin kerana berjudi. Di pejabat agama dan mahkamah syariah, hampir setiap hari orang kena tangkap kerana beli nombor ekor dan tak ada duit bila kena denda. Terpaksalah pinjam duit dari anak isteri untuk bayar denda, ramai yang macam tu. Sekali fikir, orang itu dah berjudi sejak umur 30 tahun sampai umur 60 lebih, masih jadi pelanggan tetap nombor ekor, tapi manakah kekayaan dia ?

Orang Kita Tak Ramai Masuk Pasaran Saham

Seorang kawan saya ni banyak terlibat dalam dunia bursa saham Malaysia cerita pada saya. Umur dia sama umur dengan saya dan sudah lama berkecimpung dalam bursa saham. Dia ini sedikit pun tidak menampakkan kepada orang lain yang dia adalah pelabur saham. Dia kata, kesedaran orang Melayu dalam bursa saham cukup rendah. Oleh itu peluang orang kita dalam dunia pasaran saham perlulah direbut sekarang. Ohhh... macam tu, kata saya.

14 Jun 2014

Sudah Nasibku Mat Burger (Episod 75)




Mak Man membuka pintu dan memang kereta Man yang sampai itu. Manakala kereta ayah Man tidak ada lagi nampannya. Dah jadi kebiasaan ayahnya berbual-bual dengan rakan-rakan surau selepas solat. Tapi Man dan Aboi tak keluar dari kereta dan nampak mereka berdua sedang rancak berbual berdua.

"Aboi.... aku rasa cukup insaf hari ini dengan kuliah Pak Kiyai Suhaili. Ermmmm....

(Tulisan ini telah dipadamkan dari blog ini kerana telah terbit novel bertajuk 'Cinta Mat Burger'. Boleh didapati di Kedai Buku Popular seluruh negara dengan harga RM23.90. Boleh juga dapat dari saya dengan harga RM30.00 termasuk kos poslaju. Hubungi saya :                0197526122  whataps)





10 Jun 2014

Kes Curi Moto Yang Kelakar Juga

Saya ke sebuah pangsapuri di Johor Bahru. Dalam jam 8.00 malam, saya tengok macam ada kekecohan dan tak lama kemudian ada datang dua biji kereta peronda polis. Saya pun tak tanya sebab dah lapar juga nak pegi makan.

Lepas tu saya balik semula ke pangsapuri tu. Saya berbual dengan salah seorang yang duduk kat situ. Dia kata, mula tadi kecoh sebab ada kes curi enjin moto. Faham betul-betul yer, bukan moto yang hilang tapi enjin moto saja yang hilang. Bila lelaki 50-an ini dapati, moto uang diletakkan di pangsapuri kediaman dia itu dah tak ada enjin. Maka dia report polis. Polis pun segera datang dan buat siasatan. 

Hasil siasatan termasuk keterangan beberapa orang saksi dan kamera cctv, dapatlah tahu siapa yang buat kerja ini. Sebenarnya yang curi enjin ini adalah anak lelaki kepada lelaki ini. Katanya anak dia masih sekolah dan curi enjin moto bapa dia. Kira malu muka juga bapa dia terutama pada jiran-jiran dia.

08 Jun 2014

Orang Kampung Jual Pokok Durian, Bukan Jual Buah Durian


Semalam saya ke sebuah kampung di daerah Muar. Nak cerita juga, dulu masa saya zaman remaja (sekarang dah tua, hehe), selalu ke kampung ni kalau musim durian. Selain harga durian yang murah, rasanya lebih sedap. Agak saya, durian ini sedap kerana pokoknya pokok lama dan besar-besar. Jadi buahnya besar jugalah. Dah berbelas tahun saya tak ke kampung ini. Dulu-dulu-dulu seperti 'kumpulan Tegar' cakap, kampung ini banyak buah durian kalau tiba musimnya.

Sekarang ni ada sesetengah tempat di Muar tengah musim durian. Tapi bukan semua tempat di Muar rupanya musim durian. Jadi saya pergilah ke kampung ini. Yang menghairankan saya, sudah tidak banyak kebun atau pokok durian di sini. Dulunya yang saya ingat, di situlah kebun durian yang luas, sekarang sudah bertukar jadi kebun kelapa sawit dan ada juga yang tempat yang jadi kilang. Saya meneruskan pencarian saya umpama misi mencari MH370 ke kampung ini.

Di sebelah-sebelah rumah orang di sini pun dah tak banyak pokok durian. Saya jumpa beberapa pokok saja dan tak berbuah lagi, bunga dan putik pun tak ada.

Tebang dan Jual Pokok Durian

Hari ini saya berbual dengan kawan saya yang duduk tak jauh dengan kampung itu. Katanya, orang kampung itu dah tebang dan jual pokok durian kepada orang tengah. Harga satu pokok adalah antara RM 50- RM 100 ringgit. Diceritakan kepada saya lagi yang orang kampung itu rasa tidak mendapat keuntungan dengan jual durian. Pernah satu tahun itu harganya hanya 20 sen sekilo sahaja kerana buah terlalu banyak di pasaran.

Orang Kampung Jadi Broker

Yang datang rumah ke rumah untuk beli pokok durian ini adalah orang kampung itu juga.Kawan saya kata, sebenarnya harga satu pokok durian yang besar boleh datangkan hasil sehingga seribu ringgit sebab durian boleh disamakan macam pokok balak. Tapi orang kampung tak mahu susah-susah nak cari orang dan buat kerja, ambillah juga duit orang bagi tunai.

Kayu pokok durian itu dihantar ke kilang perabut yang banyak kat Muar. Tak tahulah berapa banyak orang ini untung, tapi dia sekarang pakai kereta mewah hasil jadi orang tengah beli kayu dan peraih kepada hasil tanaman orang kampung.Orang tengah ini bukan saja beli pokok durian, tapi juga pokok kelapa dan pokok getah, semuanya bernilai untuk meneruskan industri perabut. Harga sebatang pokok kelapa adalah RM 10 sahaja. Saya pujilah orang ini kerana walaupun belajar tak tinggi, tapi pandai menjana kewangan dengan jadi peraih.

Bagaimana Anak Cucu Nak Makan Durian?

Jual pokok durian memanglah untung dan dapat duit tunai jam itu juga. "Jam itu juga' adalah bahasa orang Muar yang orang daerah lain di negeri Johor tak cakap macam ni. Orang dulu-dulu iaitu tok nenek dan bapa kita tanam pokok buah-buahan ada matlamat. Mereka tanam bukan untuk keuntungan diri sendiri ikut kiraan keuntungan duniawi saja. Tapi mereka niat nak sedekah pada anak cucu dan generasi akan datang sebagai amal jariah untuk mendapat pahala berpanjangan.

Pokok durian misalnya, bukan setahun dua boleh berbuah tapi setahu saya dalam 10 tahun ke atas baru berbuah dengan sempurna. Pokon durian pula usianya puluhan tahun dapat hasil buah durian setiap tahun. Orang dulu sayang dan ingat pada anak cucu yang duduk jauh di bandar. Sekali sekali terutama musim durian, anak dan cucu balik kampung makan durian di pondok. Kalau budak sekolah asrama, bawa kawan-kawan satu asrama datang makan durian sekali. Itu dulu, tapi sekarang bagaimana ?

Sekarang Orang kampung Pun Beli Durian

Orang kampung sekarang ramai dah tak ada pokok durian. Yang memang tak tanam durian dari dulu itu satu bab. Yang bab satu lagi orang yang dulu atuk dan bapak dia ada pokok durian, sampai ke anak-anak, lansung dah tak ada pokok. Dulu membebel harga durian murah, sekarang ini anak-anak mintak beli durian pun, mak ayah belum tentu nak belikan. Yer ler, harga pun dah mahal.

Yanag dulu jual pokok durian sekarang termenung dan terkilan bila anak dan cucu balik kampung. Nak tak nak, belilah juga durian di kedai, bukan murah harganya. Ataupun cucu nak makan durian, nanti atuk belikan aiskrim durian jer.



01 Jun 2014

Pengemis dan Peminta Sedekah Mencemar Nama Baik Malaysia

Pengalaman saya melawat negara China, tidak jauh dengan Masjid Saad bin Abi Waqas di Guangzhou, ada peminta sedekah menghampiri saya dan pelancong yang lain. Mungkin peminta sedekah ini selalu atau kadang-kadang saja di situ, saya pun tak pasti. Tapi, kehadiran peminta sedekah di situ telah menggambarkan imej yang buruk di mata pelancong.

Apabila saya ke Jakarta, juga ramai peminta sedekah yang lebih suka minta sedekah kepada pelancong. Sekali lagi, saya buat kesimpulan sendiri yang perkara ini menjejaskan nama baik pelancongan di Jakarta.

Bagaimanapun, saya tidak pernah jumpa peminta sedekah si Singapura. Jadi, tidak ada sesiapa yang mempengaruhi saya untuk menyatakan pujian kepada negara tersebut.

Peminta Sedekah di Angsana Johor Bahru

Semalam saya ke Plaza Angsana Johor Bahru. Seperti kebiasaan, saya gemar letak kereta bersebelahan menara LHDN. Saya nampak banyak bas yang saya pasti itu adalah orang luar yang melancong ke Johor Bahru. Yer, antara lokasi menarik di JB sekarang adalah Legoland, JPO dan Angsana.

Di tepi jalan saja apabila nak masuk ke kawasan angsana, saya lihat seorang wanita dan anak perempuannya minta sedekah di atas tikar. Dia duduk di laluan orang ramai untuk masuk ke kawasan angsana, tidak jauh dengan tempat tunggu bas. Lihat pada muka, mungkin warga asing atau juga mungkin orang tempatan. Setahu saya, perkara ini bukan sekali dua, tapi sudah banyak kali, sudah bertahun sejak saya bertugas di Johor Bahru lagi.

Bagaimana Imej Negara ?

Walaupun kejadian ini berlaku di angsana satu saja, tapi kesannya cukup besar kepada pelancongan negara. Pelancong paling ramai di situ adalah orang Singapura dan negara lain, selebihnya pelancong tempatan. Bagaimana mereka memandang imej negara kita ?

Walaupun ini berlaku di angsana sahaja, tapi pelancong luar boleh anggap ini menggambarkan keseluruhan negara kita.

22 Mei 2014

Sila Ambil Tindakan Kepada Kedai Aksesori Jual Cermin Gelap Tak Lulus JPJ

Akhbar beberapa hari ini banyak cerita tentang kenderaan yang guna cermin gelap dan tindakan penguatkuasaan akan dilakukan lebih tegas sebelum ini. Saya sokong tindakan ini tetapi saya mahu cerita sikit. Iaitu, cermin gelap ini bukanlah dia orang pasang sendiri dan kerja pasang ini bukan kerja mudah. Kalau saya pasang, mesti rosak punya atau tak sama ukuran. Habis duit sajalah kena beli lagi kat kedai.

Harap pihak berkuasa mengambil tindakan kepada kedai aksesori yang jual tinted yang tak lulus JPJ ini. Saya rasa tidak berkesanlah kalau operasi terhadap kereta sahaja dilakukan sedangkan kedai aksesori yang jual terlepas dari tindakan. Sekarang ini kedai-kedai ini bebas untuk menjual kepada sesiapa saja. Ataupun, kalau perlu, penjualan tinted cermin gelap ini hendaklah dikawal oleh JPJ atau pihak berkuasa lain.

Kalau tak ada peraturan undang-undang, bolehlah dibuat kajian untuk pinda atau menambahbaik peraturan yang sedia ada.

17 Mei 2014

Srelamat Pengantin Baru Kepada Mak Mah, Semoga Diredhai Allah Hendaknya



Tahniah diucapkan kepada pelakon veteran Ruminah Sidek kerana dengan secara rasminya telah bergelar isteri kepada seorang peneroka felda,pada pagi Sabtu. Hanya dengan sekali lafaz, Ruminah atau lebih mesra dengan panggilan Mak Mah akhirnya sah menjadi milik peneroka Felda Jelai Negeri Sembilan, Al Fatah Rahim Ismail, 70.

Majlis akad nikah telah disempurnakan di kediaman abang ipar Mak Mah di Meru, Klang oleh Penolong Pendaftar Nikah Kariah Masjid As Syarif bersaksikan adik ipar pengantin perempuan, Mohd Jani Sarman kira-kira pukul 9.20 pagi. Sebaik sahaja aqad dilafazkan Mak Mah kelihatan sebak dan mengalirkan air mata.

Mak Mah, 68, telah menerima mas kahwin sebanyak RM300, tanpa wang hantaran dan pihak pengantin lelaki telah menghantar tujuh dulang hantaran yang berupa kek, Al-Quran, beg tangan, kasut, sejadah, air minuman Twister, dan telekung. Sementara itu, pihak pengantin perempuan telah membalas kembali tujuh dulang hantaran iaitu, satu set wangian, kek, tepak sirih, set pakaian, sejadah, tuala dan buah-buahan.

Majlis tersebut turut disiarkan secara langsung melalui program Nasi Lemak Kopi O yang diacarakan oleh pelakon Abon, AR Badul dan Aida Gadis Melayu.

Turut kelihatan pada majlis tersebut pelakon Adlin Aman Ramli dan isteri Emelda Rosmila. Majlis persandingan diadakan sejurus selepas selesai akad nikah yang turut disaksikan oleh hampir 3,000 tetamu termasuk keluarga kedua-dua belah pihak. Sementara dalam majlis persandingan Mak Mah tampil anggun dengan busana berwarna putih sedondon dengan pengantin lelaki. Terdahulu, Ruminah dan Al Fatah telah mengikat tali pertunangan pada 19 April lalu di rumah abang ipar Ruminah di Meru, Klang.

Perkahwinan ini merupakan perkahwinan keempat buat Ruminah termasuklah dengan Allahyarham AR Tompel.
Hasil perkahwinan lalu, Ruminah dikurniakan enam orang anak termasuklah pelakon Adlin Aman Ramlie. Dia juga mempunyai 20 cucu dan enam cicit.




10 Mei 2014

Rahsia Kenapa Restoran Basir Penuh Orang


Di Kluang ada satu restoran, namanya Restoran Basir. Terletak di satu taman dan kedudukannya agak terpencil sedikit. Tidak perlulah saya beritahu taman mana. Restoran ini betul-betul buka jam 8.00 pagi. Kalau sampai di kedai jam 7.30 atau 7.45 pagi, kenalah tunggu, boleh duduk tapi kekadang air pun belum masak lagi. Kedai ini hanya ada sarapan pagi sahaja, makan tengahari dan makan malam tak ada.

Ramai Orang

Saya bukanlah selalu sangat pergi ke kedai ini, kekadang terpaksa minum di kedai lain sebab penuh. Makanan yang ada kat kedai ini hanya roti canai dan nasi lemak sahaja. Ada tambahan kuah kari kambing dalam satu periuk besar. Nasi lemak pula sudah siap bungkus yang orang lain hantar. Rasanya sehari dalam satu raga, mungkin 100 bungkus. Nasi lemaknya kecil saja, kalau selera macam saya, biasa makan dua bungkus baru kenyang.

Tak jauh dengan kedai ini, ada satu lagi restoran yang banyak menu sarapan pagi. Dengan mee dan nasi lemak berlauk dan lain-lain. Tapi kedai tu tak ramai orang macam Restoran Basir.

Restoran Islam

Saya tahu dan mengenali tauke dan pekerja kedai ini dan saya sahkan mereka adalah orang Islam tempatan, bukan pekerja asing. Mereka pernah berurusan dengan pejabat agama. Kemudian ada 2-3 orang makcik Melayu di dapur yang kerja cuci pinggan dan lain-lain.

Apa Rahsia?

Saya berani membuat kesimpulan, rahsia yang paling besar kejayaan kedai ini adalah teh tarik. Teh tarik memainkan peranan penting pengusaha restoran Melayu untuk berjaya. Dalam ceramah saya kepada usahawan iaitu peniaga-peniaga warung di sebuah hotel, saya menekankan kepada peniaga supaya menjaga betul kualiti teh tarik. Kenalah belajar dan tahu cara buat teh tarik dan jangan sebarang cincai saja. Saya bukan pandai sangat buat teh tarik, tapi saya ajar orang juga bagaimana nak buat teh tarik yang sedap. Klik sini untuk belajar dengan saya cara buat teh tarik

Bagaimanapun, saya tengok di restoran Basir ada cara lain iaitu resepi tersendiri buat teh tarik ini. Tak perlulah saya beritahu, kalau nak tahu, datang sendiri tengok. Kedai ini gunakan susu FN seperti yang saya beritahu dalam tulisan terdahulu. Harga susu ini agak mahal sikit tapi dapat rasa teh yang baik. Teh yang digunakan saya tak tahu. Kawan saya pernah beli teh serbuk dengan restoran ini. Mulanya dia tak mahu jual tapi bila dipujuk, dia jual juga sedikit. Tapi, pada saya, Boh Tarik yang saya terangkan itu pun kira baik dan rasa yang sama juga.

Roti Canai

Roti canai di kedai ini sedap dan kurang masin. Pekerja yang buat roti ini sebelum ini bekerja di kedai makan Taman Bersatu, sekarang di Restoran Basir.

Pengajaran Kepada Kita

Ada orang ini mengadu kepada saya yang warungnya pada mulanya ramai orang tapi lama kelamaan orang tak ramai. Dia kata ada orang hantar sihir dan nak jatuhkan perniagaan dia. Cerita dia bersungguh-sungguh dan macam bomoh pula dia. 

Saya pergi ke kedai itu untuk sarapan. Nampak banyak makanan tradisi tapi orang tak seramai mana. Bila saya minta teh tarik, tengok saja saya dah tahu yang teh tarik itu tak sedap. Jadi sebelum saya sakit perut, lebih baik saya tak minum. Saya kasi anak saya minum teh tarik tu dan saya minum teh O saja. Dalam hati saya, itulah kali pertama dan terakhir saya datang ke kedai itu.

Di kedai itu juga ada gantung tulisan khat ayat Quran yang orang kenali sebagai ayat seribu dinar. Dalam hati saya, tidaklah menyalahkan orang yang gantung ayat itu sebab itu kedai orang Islam. Cuma, janganlah sekadar gantung. Yang penting adalah, Quran hendaklah dibaca dan diamalkan dalam kehidupan kita.


04 Mei 2014

Suamiku Miang Keladi


SAYA berumur 29 tahun dan merupakan isteri kedua kepada suami yang kini berumur 40 tahun. Isteri pertama suami sebaya dengannya. Usia perkahwinan baru masuk tahun kedua, tapi saya sudah tidak tahan dengan perangai miang si suami. Suami saya seorang guru sekolah menengah. Ketika mengorat saya dulu, saya lihat kemachoannya, ketegasan dan tanda berhemah yang dibawa dalam perwatakannya.

Namun setelah mendirikan rumah tangga hampir setahun, baharu saya sedar suami saya seorang yang miang. Di rumah dia mempamerkan sikap manja dan sedikit keanak-anakkan. Dan di luar pula, hatta di hadapan saya ketika berjumpa dengan pelajar-pelajarnya, dia mempamerkan sikap mengada-ngada dan miang.

Saya dapat lihat ada riak tidak senang di wajah anak muridnya yang datang membuat ulang kaji atau menghadiri kelas tambahan yang dia buat di rumah kami.Ada masa saya lihat suami saya akan berdiri dekat dengan pelajarnya sambil membahasakan diri sebagai abang dengan intonasi penuh lembut. Saya hairan dengan perubahan sikapnya itu. Hendak kata saya tidak melayannya dengan baik, lebih lagi. Saya layan dia seperti saya melayan seorang kanak-kanak. Baju, stokin pun saya yang sarungkan.

Sewaktu bercinta dulu, dia tidak pula menggatal dengan saya. Saya hanya tahu dia suami orang beberapa bulan sebelum kami bernikah tapi dek kerana sayang, saya abaikan statusnya dan meneruskan perkahwinan. Madu pula baik dengan saya. Tapi saya tidak berani menceritakan perangai suami kepada madu. Bimbang dia sakit hati atau berfikir saya mereka-reka cerita.

Saya kini bekerja sebagai seorang pembantu tadika. Saya mohon nasihat doktor, bagaimana menawan hati suami miang keladi ini. Saya tak fikir suami mahu bernikah lagi, sebab dia bukan dalam kalangan orang senang. Gaji seorang guru tak seberapa. Tapi tak tahulah jika dia ada niat lagi mahu tambah cawangan. Lagi pun perkahwinan kami masih baharu.

Zie, Klang.

30 April 2014

Bangla Menangis Bila Ditanya, Sedih Kena Tangkap Beli Nombor Ekor


Semalam berlaku tangkapan di kedai nombor ekor sekitar Simpang Renggam melibatkan seorang Melayu tempatan dan dua orang Bangla. Bila mereka dibawa ke pejabat, saya tanya Bangla ini.

"Nama siapa?" Tanya saya.

Dia tak jawab.

"Kamu sudah lama kerja sini ka?" Tanya saya lagi. Muka saya serius dan tak senyum.

Dia tak jawab lagi. Cuma tadi dia duduk di kerusi dan dia bangun, ingatkan dia nak jawab soalan saya.

"Tolong abangggggg...." Kata Bangla ini. Rupanya dia menangis. Tapi tak keluar air mata pun.

"Tolong abangggggg, saya mahu kerja abangggggg...." Kata Bangla ni lagi sambil menangis.

Malas saya nak layan lagi dan saya terus keluar. Tadi saya tanya bukan apa-apa, bukan proses soal siasat pun. Saya tanya bersahaja sambil lalu saja. Apalah dia nagis pulak. Terus saya keluar sebelum kawan dia yang sebelah tu menangis. Macam filem Hindustan pulak nanti.

20 April 2014

Semuanya Berlaku Terlalu Pantas, Dah Ada Dua Isterinya (Episod 3)

Lelaki ini tidak menyangka yang dia kini beristeri dua. Teringat masa dia mula kawin dulu, dia bising-bising bila pak sedara dia kawin dua. Masa berbual dengan mak dia yang memang marah pada pak sedaranya ada dua cawangan, dia pun turut sama tak bersetuju. Kata dia dia kesian tengok mak sedara dia datang mengadu menangis-menangis datang rumah.

Itu dulu, akhirnya dia pula yang dah ada dua bini. Ops.... kekadang orang Johor rasa kasar kalau bahasakan 'bini' dan nasihatkan penulis supaya ganti bini itu dengan perkataan isteri. Pada saya, bini ker, isteri ker adalah benda yang sama dan pembaca saya global atau menyeluruh. Kalau Bangla pula panggil bini, dia panggil Minachi pulak. 

Masa dah 4 tahun ada dua isteri ini, lelaki cuba renung semula kenangan silam. Agak-agak kalau dia mohon kat pejabat agama hendak kawin, agak-agak berjaya ker. Bukan cerita nak mohon, isteri tahu saja, jadi perang dunia dibuatnya. Pernah sebelum kawin, dia ada sindir-sindir isteri pertama dia pasal nak kawin dua ini. Terus jadi macam pontianak kena cabut paku atas kepala, yang nak cekik dia jadinya. Isteri dia kata, kalau dia kawin lagi, isterinya nak mintak cerai dan bawa lari anak-anak.

"Kalau berani awak kawinlah, awak takkan jumpa saya dan anak-anak sampai bila-bila..... Saya pasang peguam dan kita jumpa di mahkamah! ......Awak tu bukan banyak duit, apa yang awak dah bagi saya selama ini! Awak pegilah dengan perempuan gatal tu, saya nak duduk sendirian!.... Yer ler kan, dah ada orang nak jaga awakkkk!" Kata isteri dia dan banyak lagi.

"Alahhhhh, gurau ajelah bukan betul-betul". Kata lelaki ini.

Cakap macam tu jer, dekat seminggu isteri tak telefon dan balas sms dia. Dia sebenarnya bukan sebarang gurau tapi test market, macam mana kalau dia kawin dua juga. Tapi nampaknya macam petir suara isteri dia, tak jadilah lagi nak gurau pasal kawin dua lagi.

Angin Bertiup Kita tak Boleh Tepis

Pada dia, kawin dua ini ibarat angin bertiup. Sekali angin bertiup, tak berjaya kita menepisnya. Walau ditepis dan ditutup dengan tangan, angin tetap lalu di celah-celah jari juga. Nak kata dia rancang nak kawin, tak juga. Tapi rasa yang paling sesuai adalah 'dah terjebak', maka dia tak dapat undur ke belakang lagi. Nak kata bersalah dengan isteri pertama tak boleh juga dan kalau dia bersalah, patutnya isteri dia maafkan dia.

Tapi bini ni, dia buat pecah pasu bunga yang beli kat Sabah pun, sampai sekarang tak boleh maafkan dia, apalagi nak maafkan dia yang kawin dua. Kalau nak ikutkan, entah-entah pasu bunga yang beli kat Sabah tu agaknya ambil kat Air Hitam Johor saja, tapi nak ganti pasu tu bukan boleh beli kat Air Hitam saja.

Dia pernah jumpa orang yang ada 3 isteri dan ketiga-tiga isteri itu rela dan redha suami dia ada 3 isteri. Ketiga-tiga isteri itu taat walaupun terpaksa berkongsi  satu straw dalam satu gelas air.

Ketiga-tiga isteri taat pada perintah agama, dengan pakaiannya, cara hidupnya dan lain-lain. Tapi itu isteri orang, bukan isteri dia. Dia sendiri rasa yang isterinya tak boleh nak tegur dan diperbetulkan. Sebab itu dia nak cari seorang lagi isteri yang manja-manja layan dia di rumah, meja makan dan atas katil sekali. Bukan kata nak balas dendam tapi perasaan ini sukar ditepis umpama menghalang angin dari bertiup.

Teringat Masa Kawin Dulu

Teringat juga masa bercinta dan dia mengakhiri zaman bujangnya pada usia 26 tahun dan isterinya 25 tahun. Masa itu, isteri dia yang cun melecun itu jadi rebutan rakan-rakan sekerja, sekampung, termasuk bangla yang selalu lalu depan rumah isterinya itu. Tapi dia berjaya mencuri sekuntum hati isterinya itu dan berakhir di jinjang pelamin yang ditempah dari pondan mak andam di kampung isterinya itu.

Tersenyum bila dia teringat malam pertama perkahwinan Aduhhhhh.... indah rasanya bila diingati detik 12 malam bila hero masuk ke bilik isteri. Bagaimana indah dan berserinya bilik pengantin malam itu, betapa enaknya mata memandang kepada pakaian isteri dan betapa wanginya haruman yang entah berapa botol minyak wangi dispray keliling penjuru bilik dan ada muzik lagu Sudirman yang gemersik menusuk keheningan malam itu.

Dulu masa belum kawin dua, semangat balik nak jumpa bini hujung minggu. Tapi kekadang tu sambutan dingin diberikan. Suami pulak tu, masa bas berhenti kat R&R tadi dah minum segelas kopi Janda dan segelas kopi cap songkok. Sampai terkejut Minah Indon yang buat air tu, dalam hatinya berkata, waduhh, ini tidak berlaku di Indonnn. Sampai saja masuk bilik tidur, suami sambil nyanyi-nyanyi...

"Asmaraaa memisahkan kitaaa.....
Mengingatkanku pada dirimu....
Geloraaa mengingatkanku...
Bahawa cintamu telah merasuk jantungku...."

Tapi masuk ke bilik, isteri kata penat bekerjalah, melingkar macam tenggiling kena tangkap. Nak diganggu pun tak boleh. Aduhhhhhhh.

Sikalangggggg

Tapi itu dulu. Sekalang bila dah berbelas tahun kawin, suasana bilik bukan macam malam pengantin lagi. Body isteri bukan ramping macam dulu, sekarang dah macam kepala lori minyak. Pakaian isteri dulu terbelah hingga ke peha, sekarang baju kelawar dah terbelah sampai ke ketiak kerana benang dah tanggal dek kerana lama tak tukar. Banyak perbezaannya. Benda macam ini, suami tak kata apa dan kawal baik-baik, jangan sampai terkeluar keluhan seperti ini pada isteri. 

Dalam bab ini, kalau diungkit atau berterus terang, nanti ada saja isteri menjawab.

"Awak belilah ubat kurus saya ratus-ratus sebulan kalau nak tengok saya kurus. Ini komplain saja pandaiiii!" Mungkin itulah jawab isteri kalau sebut gemuk dan kurus.

"Nak suruh isteri pakai cantik-cantik, belilah baju saya ikut fesyen terbaru. Jangan nak bising-bising saja kata saya tak cantikkkk!" Adui, bisa mendengar. Lebih baik suami berdiam diri. Dalam tak ungkit apa-apa pun, kekadang isteri membebel dan bercakap sendiri pasal itu. Bingit telinga dibuatnya. Susah-susah, suami start moto, pegi minum teh tarik kedai mamak, lagi bagus.

Didikan Agama

Bila sebut punca didikan agama isteri dia kurang, dia rasa bersalah juga. Pertama, dia sebagai suami pun, bab-bab agama ini bukan kuat sangat dan kekadang itu tertinggal juga yang fardhu. Apa lagi nak didik isteri bab agama, dia bukannya ustaz yang boleh mengajar. Jangan nanti dia bukak saja bab agama sikit, isteri dia yang berleter pada dia bab fardhu ain, maka terkedulah dia. 

Kawan dia yang kawin tiga itu tak kedekut ilmu rumahtangga dan rahsia untuk bahagia dengan ramai isteri.

"Isteri yang solehah ini susah nak jumpa, umpama seekor gagak putih dari kalangan ratusan gagak-gagak hitam". Kata kawan dia itu. Dia pun mendengar dengan penuh minat.

"Hanya seorang sahaja isteri yang mulia seperti seekor gagak putih ini". Kata kawannya lagi.

"Isteri-isteri yang baik adalah isteri yang sanggup membahagiakan suaminya di dunia ini dan tidak kisah sekiranya suaminya ingin nikah lagi. Itulah isteri-isteri yang akan jadi isteri solehah akkhirat nanti". Tambah kawan dia lagi dah macam kuliah agama.

Kawan dia itu macam dah gaya ustaz bukan ustaz pun. Tapi dia selalu bawa isteri-isteri dia ke kuliah agama. Sekali fikir, perlukah dia berubah jadi alim macam kawan dia itu semata-mata nak pujuk isterinya supaya izinkan dia kawin. Nampaknya macam dah terlambat dan tak ada masa sekarang kerana sibuk berlakon di belakang isteri pertamanya.

Nikah Senyap-senyap Lagi Selamat

Nak kawin lagi bini tak kasi, taknak kawin macam rugi pulak. Janda bergetah dah kosong tu. Jangan sampai nanti dirembat orang. Kalau nak kata orang yang goda janda tu, nampaknya ramai juga, termasuk bos tempat dia kerja. Yang lagi haru, kalau kena songlap dengan tok kadi, lagi dia tak boleh kata apa. Bimbang nanti, kalau tak ambil sekarang, menyesal tak sudah nanti.

Pelaburan sudah banyak keluar, dari belanja makan di restoran tomyam sampai cendol tepi jalan, sampai hadiah tudung yang ada owning tu.  Modal telefon dan sms juga rasanya dah banyak keluar. Maka, agen nikah senyap ini pun kira penyelamat pada dia.

18 April 2014

Empat Tahun Rahsiakan Perkahwinan Kedua Dari Pengetahuan Isteri Pertama (Episod 2)


Empat tahun lamanya lelaki menjadi pelakon yang hebat dan boleh dapat anugerah. Hari bekerja Isnin hingga Jumaat dia di rumah isteri kedua. Petang Jumaat dia naik bas dan disambut oleh isteri pertama dan anak-anaknya. Petang Ahad pula naik bas lagi dan isteri pertama dia hantar. Dia kata pada isteri pertama, dia duduk rumah bujang 4 orang untuk jimatkan kos. Sebenarnya rekaan cerita ini supaya isteri dia tak datang kalau-kalau nak tengok rumah suaminya. Pernah juga isteri dan anak dia datang tapi masa itu dia sewakan hotel kerana katanya kawan-kawan bujang ada di rumah. 

Isteri yang pernah jadi janda yang penuh cabaran itu merelakan dirinya sebagai isteri kedua. Dulu masa perkahwinan pertamanya, dia mohon cerai di mahkamah syariah kerana suaminya katanya ada skandal mendal dengan anak dara gedik di pejabat suaminya. Oleh kerana tak tahan dengan desakan itu, maka suaminya menceraikannya di mahkamah syariah. Dan tak lama kemudian, bekas suaminya itu bernikah dengan anak dara muda sepejabatnya itu.

Walaupun dah bercerai, perasaan jeles terhadap bekas lakinya tetap membara. Dia lihat suaminya seakan bahagia malah seperti pepatah, tolak durian kampung dapat pula durian musang king. Dulu bini dah berumur, dapat pula anak dara pucuk  muda.

Dalam pada itu, dia kenal dengan suami orang. Tambah lagi suami orang itu adalah suami PJJ yang hanya tidur bertemankan bantal busuk di sini. Ada faham ker, apa itu PJJ, Projek Jarak Jauh ler. Si suami orang pun biasalah, tak mahu lepaskan peluang nak kenal lebih mesra dengan janda bergetah. Di tempat kerja selalu temankan keluar makan. Di rumah pula sering telefon dan sms. Masa itu belumlah ada whataps lagilah, kalau ada whataps, lagilah berasap dibuatnya. Mulanya bertanya khabar dan buat teman menghilangkan kesunyian saja, akhirnya merancang nak kawin.

Bukan senang nak pujuk janda seperti perempuan ini yang seperti jinak-jinak merpati. Setakat telefon, sms dan ajak makan boleh saja, tapi lebih pada itu tidak ada. Lelaki mulanya saja nak miang-miang, ambil kesempatan terhadap wanita kesunyianlah katakan. Wanita ini ada prinsip dan bukan perempuan murahan kalau nak buat benda tak elok.

Bernikah Juga

Dua tahun berkawan, mereka berbincang nak bernikah. Pada lelaki, ini peluang baik nak buka cawangan baru. Azam dan semangatnya macam orang nak beli kereta baru pula, selagi kereta tak keluar asyik-asyik telefon jurujual saja supaya cepat dapatkan kereta. Macam sayalah juga masa beli kereta Peugeot sama itu Rajan, jujurual Ang Trading, satu hari lewat dapat kereta pun saya sudah bising sama itu Rajan.

Perempuan pun malu-malu kucing walaupun jantungnya sering bergetar menjeling kehenseman lelaki itu. Walaupun dan umur 40-an tapi orangnya hensem macam pelakon Korea yang dia minat kat tv itu. Soal belanja atau wang ringgit, wanita ini macam tak kisah sebab dia ada kerja, ada rumah dan kereta. Rasa kalau suami tak kasi duit belanja pada dia pun dia boleh hidup. Cuma dia lebih selesa kalau ada suami sahaja. Kalau nak dibandingkan antara lelaki ini dengan bekas suami dia, maka jauh sangat. Lelaki ini macam penyabar dan matang manakala bekas suaminya macam orang baru kena pil kuda. Begitulah perasaan orang yang sedang gersang bercinta.

Tanya Kawan-kawan

Lelaki sebelum itu dah tanya kawan-kawan, bagaimana cara nak kawin senyap-senyap. Cari punya cari, dia jumpa satu agen nikah yang katanya boleh bernikah cara sah tanpa pengetahuan isteri pertama. Perempuan pun tak mahu beritahu wali iaitu bapanya. Mula macam tak percaya dengan orang itu, tapi akhirnya dia yakin. Maka diberitahulah kepada perempuan mengenai cara-cara itu. Macam biasa, soalan yang ditanya oleh perempuan iaitu adakah pernikahan itu sah atau tidak. Lelaki jawablah seperti yang agen itu beritahu. Senang cakap, pernikahan itu macam nikah lari.

Bukan Semurah Itu

Mulanya wanita tolak mentah-mentah cara macam ini. Katanya, kalau dia nak kawin, bukan semurah itu dengan kawin lari. Dia tahu undang-undang dan peraturan nikah. Dia tahu yang lelaki ini kena mohon di mahkamah syariah dulu untuk poligami. Tapi dia tak mahu isteri pertama lelaki ini jadi singa yang akan terkam dan cakar muka dia macam singa lapar seminggu tak makan.

Perempuan ini juga tahu yang dia kena minta izin walinya untuk bernikah. Dan dia dah dapat agak yang bapa dan mak dia akan marah dan bebel berguni-guni macam suara ayam Belanda. Dia dah rasa yang keluarga dia tak dapat terima pernikahan dengan suami orang yang orang anggap sebagai perampas dan peragut. Maka cara terbaik yang dia fikir dan dipengaruhi oleh lelaki ini adalah dengan cara 'kawin lari'.

"Saya setuju nikah, tapi bukan dengan cara kawin lari". Kata wanita.

"Inilah satu-satu cara yang selamat. Kalau nikah di sini dan isteri abang tahu, abang tak jadi nikah dengan ayang". Kata lelaki ini.

Empat Syarat DoReMe

Selain itu, empat syarat hendaklah dipatuhi.
(1) Pertama, rahsiakan perkahwinan ini dari pengetahuan sesiapa.
(2) Kedua, isteri kedua akan bersendirian setiap kali hari raya dan cuti-cuti lain.
(3) Ketiga, perkahwinan mereka tak mahu anak. Sekali fikir, wanita ini dah ada seorang anak dari perkahwinan terdahulu dan tak perlulah anak lagi.
(4) Keempat, tidak akan kacau suami kalau suami balik ke rumah isteri pertama. 

Walaupun perjanjian ini tak bertulis dan tak berdaftar macam daftar masa beli prepaid kad, tapi perjanjian ini menjadi perkara utama dan sentiasa diingati bersama. Kalau langgar perjanjian ini, akibatnya macam dikejar along kalau tak bayar duit bunga.

Ringkas cerita, mereka berkahwinlah. Kejam celik dah masuk 4 tahun mereka bergelar suami isteri. Mulanya mak ayah dia tak tahu tapi tak lama lepas tu, anak sendiri yang report pada atuk dia. Dia terpaksa cerita yang sebenarnya dan mak ayah dia tak boleh buat apa dan terpaksa menerima hakikat. Walaubagaimanapun, si lelaki tidak pernah berjumpa dengan mak dan ayah isteri keduanya. Pernah  lelaki terfikir, agaknya macam manalah kalau satu hari nanti terserempak atau terjumpa. Jawabnya silat langkah seribulah jawabnya, terpaksa lari tak tahu nak cakap apa.

Walaupun susunan perancangan nampaknya cantik, tapi kebahagian itu tidak seperti diharapkan. Bila dah lama sikit, mulalah isteri tinggi suara kepada suami. Kekadang wanita ini sedih, kenapa dia tak bahagia seperti orang lain. Padahal orang yang dia nampak bahagia itu, belum tentu bahagia macam kebahagian dia sekarang.

Nak tanya orang lain nanti heboh pula macam jom heboh. Kebetulan ada kadi ni ada facebook. Dalam hati dia, hendak saja dia tanya soalan. Kalau boleh, dia nak berlakon kononnya dia nak tanya bagi pihak kawan dia, padahal dia sebenarnya.





16 April 2014

Bini Kedua Mengamuk, Kadi Pula Tak Mahu Jawab Soalan (Episod 1)


Dalam beberapa soalan di facebook, ada berapa soalan yang rasanya tidak perlu dijawab. Bukan tak pandai nak jawab atau kedekut ilmu, tapi hati-hati nak jawab. Kalau jawab juga, mungkin boleh meledakkan sesuatu atau beri kesan yang tak baik. Ramai yang tertanya-tanya.... soalan apa itu? Siapa yang bertanya itu? Kenapa tak mahu jawab?

Jawapannya, yang menyoal itu mendakwa sebagai isteri kedua kepada seseorang. Kejadiannya adalah pada hari raya lepas. Nak cerita juga, yang sehari dua sebelum raya, pada hari raya dan sehari dua lepas raya, banyak pertanyaan dalam facebook. Bolehkah kita simpulkan yang masalah rumahtangga atau masalah suami isteri jadi meningkat bila tiba musim raya? Entahlah.

Latarbelakang Isteri Kedua Ini

Wanita ini awal 30-an, adalah isteri kedua yang bernikah dengan suami orang lebih kurang 4 tahun lepas. Bekerja di sebuah pejabat swasta di sebuah daerah dalam negeri Johor. Sebelum jadi janda, wanita ini adalah bercerai, anak satu dan anak ini duduk bersamanya. Suaminya lewat 40-an juga kerja swasta di daerah yang sama. Suaminya sudah ada isteri iaitu isteri pertama yang jauhnya dalam 200km. Juga punyai 4 orang anak.

Perkahwinan antara isteri kedua dan suaminya ini dirahsiakan dari pengetahuan isteri pertama dan keluarganya. Isteri pertama duduk jauh dan juga bekerja di sana. Sepanjang 4 tahun sudah ada cawangan baru atau tempat menuai pucuk muda itu, isteri pertamanya sedikit pun tidak ada perasaan syak. Hampir setiap minggu suami akan balik jumpa isteri pertama dan anak-anak yang biasanya naik bas. Pandai betul dia jaga rahsia.

Keluarga isteri kedua tahu perkara ini. Pada mulanya mereka menentang terutama ibu dan bapa, lama kelamaan berbaik semula. Mereka jaga betul rahsia supaya isteri pertama tak tahu perkara ini.

Ada Syarat Sebelum Kawin

Sebelum kawin, mereka berkenalan dan mesra dalam 2 tahun. Maklumlah lelaki ini isterinya jauh dan tak ada teman di sini. Akhirnya mereka bernikah senyap-senyap. Tapi sebelum nikah, ada beberapa syarat yang dipersetujui bersama. 

Pertama, perkahwinan mereka hendaklah dirahsiakan betul-betul terutama dari pengetahuan isteri pertama. Setiap minggu suami akan balik jumpa isteri pertamanya dalam keadaan tidak timbul apa-apa syak.

Kedua, setiap kali hari raya sama ada Aidilfitri atau Aidiladha, suami akan berhari raya dengan isteri pertama. Manakala isteri kedua akan balik ke kampung mak ayahnya seperti tiada suami.

Ketiga, mereka tidak mahu anak hasil perkahwinan mereka. Ini kerana suaminya bimbangkan tembelang mereka pecah. Perempuan juga bersetuju dengan syarat ini kerana dia sudah ada anak dengan perkahwinan terdahulu.

Keempat, isteri kedua tak akan kacau atau telefon suami kalau suami balik ke rumah isteri pertama.

Itu syarat asas perkahwinan mereka dan kedua-duanya setuju. Bagaimanapun, selepas berkahwin dan bergelar isteri kedua, berlaku beberapa insiden dan perempuan ini banyak tidak puashati. Yang paling tidak dapat dikawal adalah perasaan cemburu kepada suami yang dikatakan melebihkan isteri pertama. Cuma dia tak bersuara saja tapi dada dia macam dihiris-hiris apabila memikirkan kebahagian suami dia dengan isteri pertama.

Yang paling dia rasa sunyi dan kosong macam lagu kosong! kosong! kosong! adalah apabila tiba hari raya. Dia berat hati merelakan suaminya bergembira dan bersukaria dengan isteri pertama dan anak-anaknya. Sedangkan dia rasa amat sunyi dan tidak gembira macam orang lain setiap kali hari raya. 

Maka hari raya kali ini atau tahun lepas adalah tahun keempat dia tidak bersama suami dia. Dan kalau nak kira dan campur dengan hari raya haji, maka sudah 8 kali. Dia cuba nak gembira macam orang lain tapi dia rasa yang dia nama saja ada suami tapi suami tak ada masa raya.

Main Facebook

Dia cuba nak hilangkan rasa boring dengan masuk internet dan facebook. Dia terjumpa seorang kadi dalam fb ini dan nampaknya kadi ini selalu jawab masalah rumahtangga orang. Dia nak tanya sesuatu pada kadi itu. Tapi apa soalannya, nak tanya apa. Entahlah, kenalah susun ayat dulu.


07 April 2014

Belum Sebulan Nikah, Kena Tangkap Khalwat Dengan Lelaki Lain


Perempuan ini umur 20-an kerja swasta, belum genap sebulan dia bernikah. Dia ditangkap khalwat dengan lelaki bujang 20-an yang datang ke rumahnya sewaktu suaminya tiada di rumah. Ramai orang terkejut beruk.

Hasil siasatan, kita dapat banyak cerita yang terselindung di sebalik tumbangnya seekor lembu sewaktu majlis perkahwinannya yang meriah itu. Dikisahkan yang perempuan ini sudah ada pakwe tetapi mak ayah dia tak suka kepada lelaki itu. Entah apa alasannya, malaslah kita nak campur masalah rumah tak bertangga orang. Mungkin sebab jawatan dan pangkat, mungkin sebab tak pandai rasuah bakal pak mertua, mungkin tak pandai sewa kereta mahal masa merisik dan macam-macamlah yang serba mungkin.

Maka bapa memaksa anak perempuan bernikah dengan seorang lelaki pilihan ibu bapa. Walaupun pada mulanya perempuan ini tak setuju, akhirnya dia tetap akur dan bersetuju juga. Bila ditanya pak imam yang nikahkan pasangan ini, pertamanya pak imam menggigil juga bila Kadi telefon jurunikah. Rasa macam ada entah apalah salahnya jurunikah ini nikahkan pasangan ini. Tapi rupanya Kadi nak tahu adakah ada ditanya persetujuan dari pengantin perempuan sebelum nikah.

"Ada Tuan Kadi, kali pertama dia senyum dengan Pak Imam. Pak Imam tanya lagi sekali dan sambil tersenyum dia jawab setujuuuuuu". Kata Pak imam itu.

Maka, betullah yang jurunikah tanya pengantin perempuan sebelum nikah dan itulah prosedurnya. Cuma tadi jurunikah kecut perut kerana dalam muzakarah atau perjumpaan Kadi dengan jurunikah setiap bulan, Kadi selalu ingatkan supaya prosedur semasa menikahkah orang kena betul supaya hukum syarak dipatuhi dan orang ramai tidak ada rasa was-was.

Tak Boleh Lupa Pakwe Lama

Perempuan ini rupanya memberontak dalam diam. Katanya suami dia ada pukul dia selepas bernikah. Dengar cerita dari satu pihak iaitu perempuan memang sedap didengar. Katanya suami buat macam wresling Stone Cold Steve Austin, Undertaker dan The Iron Sheik. Dari suami dia kita tak dengar, jadi tak perlulah kita percaya cakap perempuan ini sepenuhnya. Mungkin juga suami hilang sabar sebab tak mahu layan dia kerana asyik teringat pakwe lama. Tapi itu kisah rumahtangga dia orang. Kalau rasa ada masalah, sila buat aduan kaunseling atau pergi ke mahkamah syariah dan selesaikan hal rumahtangga dia.

Ini cerita kes khalwat dulu. Apa-apa pun cerita, perempuan ini dah ditangkap dan bakal didakwa di mahkamah syariah. Lagi satu, bila perempuan ini kena tangkap, bapa perempuan ini tak mahu datang jamin bila ditelefon. Kata dia sibuk bekerja, entah-entah dia duduk minum kat kedai mamak saja, termenung sambil menghirup teh tarik. Rasanya bapa dia pening kepala, kelabu asap kepala dia dibuatnya. Malu dengan orang kampung jangan cakaplah. Lebih dia malu sebab strategi dia tak berjaya. Dia ingat macam zaman dia yang dah tua yang dulu nikah tahun 70-an. Masa tu jodoh pun tak kenal sangat dan nikah pun ikut mak ayah rekmen jer.

Nak jadi rakan facebook saya, klik sini

06 April 2014

Perempuan Tak Mahu Kawin Dengan Lelaki Yang Kena Tangkap Khalwat Dengan Dia

Perempuan 18 tahun ditangkap khalwat dengan seorang lelaki 30-an yang masih bujang. Perempuan ini kerja jurujual manakala lelaki kerja swasta. Selepas ditangkap khalwat di sebuah hotel, beberapa soalan dikemukakan kepada pasangan ini.

"Ustaz, saya setuju hendak berkahwin dengan perempuan ini" Kata lelaki.
Bagaimanapun, lain pula dengan perempuan ini.
"Saya tak setuju sebab saya dan ada pakwe. Lelaki ini hanya untuk seronok-seronok sahaja" Jawab perempuan ini.

Rupanya dia dah ada pakwe di Johor Bahru umur 20-an dan merancang nak kawin dengan lelaki ini. Masalahnya, dia pergi ke hotel dengan lelaki lain, bukan pakwe yang dia nak kawin tu.

Masalah Ibubapa

Apabila ditanya mengenai ibu bapa dan adik beradik, perempuan ini kelihatan macam menyalahkan keluarga dia. Ibu dan bapanya sudah bercerai. Lepas bercerai, ibunya berkahwin lain diikuti dengan bapanya juga berkahwin juga. Perempuan ini hidup tidak menentu dan sering tidur di rumah kawan-kawannya dengan alasan hendak melapangkan fikiran. Katanya, adik beradiknya pun begitu iaitu buat haluan masing-masing adan ada yang sudah beberapa tahun tidak menjenguk ibubapa.

Nak jadi rakan facebook saya, klik sini



31 Mac 2014

Tujuh Tahun Selepas Bercerai Talak Tiga, Akhirnya Nikah Semula

Seorang lelaki 40-an dan wanita lewat 30-an bernikah semula selepas 7 tahun bercerai talak tiga. Dalam tempoh 7 tahun itu, lelaki tidak berkahwin, manakala wanita bernikah dengan seorang lelaki pilihannya. Ditakdirkan jodoh wanita ini dengan suami yang kedua dinikahinya tidak panjang dan bercerai.

Kira-kira lima bulan selepas perceraian dengan lelaki kedua ini, perempuan bertemu jodoh dengan bekas suaminya yang bercerai 7 tahun lalu. Hasil perkahwinannya dengan suami pertemanya dikurniakan 3 orang anak yang sekarang berumur 7 hingga 16 tahun yang semuanya masih bersekolah.

26 Mac 2014

Anak Dara Umur 62 Tahun Bertemu Jodoh Akhirnya

Orang kita selalu sebut yang jodoh itu ditangan Tuhan. Kita hanya merancang tetapi Allah yang menentukan. Allah yang tentukan siapa dan bila jodoh kita akan sampai. Seorang anak dara atau gadis berusia 62 tahun bakal mendirikan rumahtangga dengan seorang lelaki duda 60-an.

Bakal suaminya sudah beberapa tahun kematian isteri, sudah ada 6 orang anak dan ramai cucu sehingga lupa nak kira. Maknanya, nikah saja nanti sudah ada anak dan cucu segera.



15 Mac 2014

Gadis Bawa Motosikal Sambil Guna Telefon Kena Langgar

Dua hari lepas, saya dan kawan saya turun dari Taman Idaman, Kluang. Kawan saya yang pandu kereta dan saya duduk sebelah. Sampai di simpang nak masuk ke jalan besar, kawan saya beritahu, dia nampak dari cermin belakang seorang gadis bawa moto sebelah tangan dengan sebelah tangan lagi sedang menaip sesuatu. Saya pun pandang dan saya kata pada kawan saya.

"Bahaya guna sambil bawa moto guna hp" Kata saya

"Yer... bahaya tu". Kata kawan saya.

Kemudian bila masuk ke jalan utama nak ke bandar Kluang, moto itu potong kereta kami. Nampaknya dah tak guna telefon dah. Tak lama lepas itu dia perlahankan moto dan sebelah tangan pula pegang telefon semula. Moto tu belok ke kenan sebelum lintasan keretapi. 

Tiba-tiba kami dengar bunyi rempuhan dan kereta brek. Rupanya gadis tadi kena langgar dengan sebuah kereta dan jatuh tergolek atas jalan. Kemudian pemandu kereta itu tolong angkat. Nampaknya cedera tak berapa teruk. Rupanya tadi, moto itu belok ke kanan tak tengok ada kereta datang dari kirinya, sebab tu kena langgar. Itulah.. lain kali sambil bawa moto jangan guna hp.

Kluang Jadi Tuan Rumah Tilawah Quran Peringkat Negeri Johor


Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Negeri Johor kali ini akan diadakan di Dataran Tasik Putih, Kluang mulai 16 Mac hingga 18 Mac 2014. Pada hari pertama iaitu hari Ahad, akan dimulakan mulai jam 8.00 malam dengan diperdengarkan bacaan 11 pembaca. Manakala hari kedua pada 17 Mac iaitu Isnin, juga 11 pembaca bakal memperdengarkan bacaannya.

Perasmian penutup Majlis Tilawah ini dijangka akan disempurnakan oleh Duli Yang Maha Mulia Sultan Johor pada Selasa 18 Mac 2014 mulai jam 8.00 malam. 

Marilah kita sama-sama hadir dan meramaikan majlis ini. Alhamdulillah, Kluang menjadi tuan rumah pada kali ini. Selain itu, persembahan nasyid juga akan diadakan.

14 Mac 2014

Hati-hati......Bomoh Boleh Sesatkan Kita dan Rosakkan Akidah Kita


Tersebar di dalam facebook mengatakan sebuah akhbar di negara Arab menunjukkan bomoh digunakan dalam usaha mencari pesawat yang hilang. Kalau benar akhbar ini menyiarkan berita berkenaan, berita ini memalukan kita umat Islam di Malaysia.

Berusahalah, berdoalah, lakukan solat hayat serta mohon terus kepada Allah. Tidak perlulah kita gunakan bomoh seperti ini yang menjalankan upacara yang memalukan. Banyak gurauan dan sindiran tersebar di internet seperti mentertawakan tindakan bomoh ini seperti tikar terbang zam-zam ala kazam dalam cerita Do Re Me.

Pertahankan akidah kita kerana itu adalah asas dalam Islam. Kalau rosak akidah, maka Islam atau syahadah kita boleh gugur. Yang bomoh ini satu hal, yang kita bimbang adalah orang Islam lain yang percaya dan berpegang kepada kepercayaan bomoh ini maka boleh rosak akidah mereka. 

11 Mac 2014

Sama-samalah Kita Berusaha, Semoga Berjaya Menemui Pesawat MH 370

)

Sama-samalah kita berusaha dan membantu usaha mencari pesawat MH 370. Usaha, doa dan tawakal, insyaallah mendapat pertolongan Allah. Saya anggap temubual ini adalah yang terbaik setakat ini yang tersiar di TV kita. Temubual dengan seorang insan yang suka merendah diri ini walaupun beliau seorang yang hebat dan berjawatan tinggi. Yer, beliau seorang juruterbang atau pilot kapalterbang yang senior dan berpengalaman luas. Tahniah dan syabas diucapkan.

Yang menariknya, komen beliau sangat menyentuh jiwa setiap umat Islam yang menghayati komen beliau. Kita manusia dicipta oleh Allah yang Maha Berkuasa atas segalanya. Tiada kuasa yang hebat yang boleh menandingi kuasa Allah Taala. Alat dan teknologi yang moden dan super canggih sekarang, belum tentu mendapat jawapan selagi Allah belum memberikan kita pedoman dan petunjuk.

10 Mac 2014

Tong Sampah SWM Boleh Jadi Tempat Simpan Air, hehehe

Semalam saya ke kedai gunting rambut dan sambil gunting tu, berbuallah dengan tukang gunting tu.

"Rumah U ada air ke?". Kata saya.

"Mana hari-hari ada, kena catu juga. ". Kata dia.

"Habis tu, cukup ker U simpan air?". Tanya saya.

"Cukuplah juga. Guna pun tak ramai juga". Kata dia.

"Oh... banyaklah tong air U guna" Kata saya.

" Tak ada banyak sangatlah. Itu tong sampah SWM kasi boleh jadi tempat simpan air". Kata dia.

"Ohhh... itu tong baru yang ada roda itu ker". Kata saya.

"Yer... itu boleh simpan banyak air juga. Tapi kena bersihlah" Kata dia.

Ermmm.. bagus juga idea ini. Tapi kat rumah saya belum dapat ini tong.

"Rumah U sudah dapat ker, rumah saya belum dapat, macam mana yer?" Tanya saya.

"U telefonlah SWM, nanti dia datang rumah hantar" Kata dia.

"Itu macam ker. Tapi itu Taman Idaman ada rumah dapat, ada rumah tak dapat, kenapa yer?" Tanya saya.

"Saya ingatlah, masa SWM datang, itu orang tak ada rumah. Ini semua kena sain juga wooo". Kata dia.

05 Mac 2014

Ternak Ikan Gupi Boleh Jadi Perniagaan


Apabila saya tulis pasal satu tajuk berkaitan nyamuk aedes dan cara mencegahnya menggunakan ikan gupi, seorang pembaca blog saya menghadiahkan lebih kurang 10 ekor ikan gupi. Terima kasih banyak-banyak kerana sudi hantar ke pejabat saya. Saya teringat yang saya pernah baca satu buku mengenai perniagaan. Ternak ikan gupi ini tak susah dan mudah membiak. Kita boleh ternak dalam apa-apa bekas sama ada kecil atau besar. 

Di rumah saya, saya cuba nak ternak dalam tangki hitam besar. Dalam 10 ekor itu, anak saya kata ada yang betina yang hamil atau mengandung. Ops... bahasa saya salah, hamil dan mengandung tak boleh digunakan kepada binatang. Katanya, tak lama lagi akan membiak dan menetas. Saya anggarkan, dalam satu tangki itu, tak lama lagi akan jadi ratusan dan ribuan ikan gupi dalam tangki itu.

Jual Ikan Gupi

Kat kedai ikan di Taman Sri Kluang, beberapa hari lepas saya beli dua ekor ikan gupi. Mulanya tuan kedai itu letak harga RM1.20 seekor dan bila mintak kurang, dapat seringgit seekor. Sekarang budak sekolah kadang-kaddang cikgu suruh bawa ikan pegi sekolah untuk pelajaran apa ker benda, tak tanyalah pulak pelajaran apa. Tapi rasa saya untuk  belajar pasal ikanlah, takkanlah nak belajar pasal burung pulak dah bawa ikan. Jadi, peniaga ikan gupi boleh target pelajar sekolah atau ibu bapa sebagai pelanggan tetap.

Jual Untuk Cegah Denggi

Satu yang kita fikirkan, mungkin kita boleh jual ikan ini kepada agensi kerajaan seperti Majlis Bandaran. Ikan ini boleh diletakkan di dalam longkang di kawasan tertentu. Ikan ini nanti akan makan jentik-jentik. Begitu juga di rumah-rumah, kalau ada kolah atau tangki, boleh juga letak ikan ini. Kalau dulu masa zaman pakai air perigi, orang kita tak kisah dalam perigi ada ikan dan pokok. Tapi orang sekarang kenapa geli tengok ikan dalam kolah.

Ganti Ikan Bilis ?

Agaknyalah, bolehkah ikan gupi ini ganti ikan bilis? Daripada kita susah-susah cari ikan bilis dalam laut, kita lupa rupanya ikan gupi boleh diternak dengan mudah. Agaknya senang saja caranya iaitu tangkap dan jemur, maka jadilah ikan bilis Gupi.

Jangan Jadi Skim Cepat Kaya Sudah...

Sekarang banyak skim cepat kaya yang tak mengaku itu adalah skim cepat kaya. Jangan nanti ada orang buat saham ikan gupi dengan keuntungan berlipat ganda. Sekarang ini siapa kata skim cepat kaya tak ada. Terbaru yang saya syak menipu kita adalah satu saham pokok gaharu yang ada orang Kluang masuk. Seorang itu masuk dengan modal puluh ribu. 

Katanya dalam beberapa tahun akan dapat duit juta. Berhati-hatilah dan ingatlah susah payah orang macam kita ini cari duit, senang-senang saja masuk dan melabur dalam benda yang tak pasti. Mana tak terpengaruhnya, orang ini dijanjikan dengan pulangan cukup lumayan tanpa kita bekerja tapi duit itu yang bekerja. Rupanya duit kita itu pula dikerjakan... Berhati-hati dan jauhkan sebelum tertipu.

04 Mac 2014

Isteri Kedua Hadiahkan Cili Kat Muka Isteri Pertama


Seorang penjaja dan isteri keduanya didenda RM500 setiap seorang oleh Mahkamah Majistret di Kuala Lumpur hari ini kerana melumur cili ke muka isteri pertama penjaja itu bulan lalu.

Majistret Erry Shahriman Nor Aripin menjatuhkan hukuman itu terhadap Muhammad Ariff Jupirin, 26, dan warga Indonesia Srimeiriska Iswandy, 24, selepas mereka mengaku bersalah terhadap pertuduhan itu. Mahkamah juga memerintahkan Muhammad Ariff dan Srimeiriska, menjalani hukuman penjara tiga bulan jika gagal membayar denda itu.

Muhammad Ariff dan Srimeiriska didakwa sengaja mendatangkan cedera terhadap peniaga Muntamah Ahmad Minlon, 46, yang juga seorang warga Indonesia dengan melumur mukanya dengan cili sehingga menyebabkannya merasa pedih dan sakit di kedua-dua belah matanya.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di hadapan rumah No. 12, Jalan Badak Off Jalan Yew, Cheras di sini pada 1 pagi 25 Feb lepas. Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman penjara maksimum setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya.

Dalam kejadian 25 Feb lepas, semasa Muntamah berada di dalam kereta dan sedang menunggu kawannya di rumah sewanya di tepi Jalan Badak di sini, tiba-tiba dia didatangi kedua-dua tertuduh, dengan seorang daripada mereka melumurkan cili kisar ke mukanya, sebelum seorang lagi menariknya keluar kereta.
Selepas itu, kedua-dua tertuduh melarikan diri bersama kereta mangsa serta barang-barang perniagaan dan beberapa dokumen penting termasuk pasport, sijil nikah, dan sijil kelahiran anak.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nor Diana Nor Azwa, manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam. - BERNAMA

28 Februari 2014

Kes Denggi Meningkat Musim Tak Ada Air ?


Pada pandangan saya, kes demam denggi mungkin meningkat masa musim tak ada air sekarang. Kluang contohnya adalah daerah yang pertama di negeri Johor yang penduduk mengalami masalah air sehingga kena catu.

Sudah tentu penduduk menyimpan air di dalam bekas air di rumah. Kedai-kedai yang jual bekas air, biasa letak bekas itu di depan kedai, sebelum ini letak kat dalam-dalam saja. Mungkin kita terlupa yang air tersebut kalau dibiarkan tersimpan, akan menjadi tempat pembiakan nyamuk aedes. Kita kurang promosi mengenai ubat pembunuh jentik-jentik. Mungkin juga ada orang bertanya soalan iaitu, bolehkah air yang dimasukkan ubat jentik-jentik itu diminum?

Lagi satu, kita boleh letakkan ikan seperti ikan gupi. Mungkin juga ramai tak kenal apa itu ikan gupi. Saya pun mulanya tak berapa kenal tapi anak saya yang sekolah rendah ajar saya. Dia selalu bawak pegi sekolah ikan tu, katanya cikgu suruh bawak. Ikan gupi ini boleh jadi satu perniagaan juga kepada kita untuk mencegah nyamuk aedes. Kalau nak letakkan ikan lain seperti ikan puyu pun boleh, tapi kalau saiz bekas air kita tak besar, boleh mengotorkan air pula.

18 Februari 2014

Kereta Lelong Kastam Sudah Mari Lagi.... Ada Volkswagen Beetle di Johor Bahru (Episod 15)


Nampaknya sekarang sedang dibuka lelong kereta kastam seluruh negara yang boleh tengok sekarang sehingga 3 Mac 2014. Tarikh tutup lelong adalah 10 Mac 2014. Kawan saya beritahu, semalam ada iklan dalam akhbar.

Ada banyak kereta di seluruh negara. Bagi yang kat Johor tentu tertumpu kepada kereta Volkswagen Beetle warna biru yang nampak cantik dan menawan. Kereta lain yang ada kat Johor adalah Volkswagen Bora. Tak payah cerita lebih-lebih kereta ni, kat Malaysia tak ada orang pakai, kat Singapura banyak. Sebiji lagi adalah Mercedes S320 untuk siapa yang berani saja. Kat negeri lain, macam-macam kereta ada. Moto besar dan lori pun ada,jengkaut jer tak ada.

Komen saya kali ini, nampaknya kereta yang dilelong adalah menarik termasuk kereta mahal. Bolehlah cuba, mungkin rezeki kita dapat kereta mahal dengan harga diskaun dengan beli kereta lelong kastam kali ini.