Untuk Memilih Tajuk Artikel Dalam Blog Ini, Sila Taip Perkataan di sini.

04 Oktober 2011

Ingatkan Burung Walit Masuk Sarang, Burung Hantu Yang Masuk


Tadi saya dengan kawan ni pergi ke beberapa lokasi. Kawan saya ini sedang seronok pasal burung walit dan banyak cerita pasal burung walit saja. Kami pergi ke satu lokasi di tepi jalan besar dan masuk sikit. Di situ ada sebuah rumah dan ikut ceritanya, tuan rumah tu nak bina sarang burung walit di belakang rumahnya tak lama lagi.

Kawan saya ni keluarkan satu speker dari keretanya dan letak atas kereta. Rupanya speker bunyi burung walit, kuat juga bunyinya. Saya rasa, kalau dalam kawasan bandar, itu dah dikira satu kesalahan sebab bising. Tak berapa lama kemudian, datang burung terbang dan kawasan tu. Kawan saya kata, sahlah di situ kawasan terbaik untuk bina sarang burung walit.

Kami pergi ke satu lokasi lagi, dalam sikit dalam suku kilometer ke dalam. Tanah ini hendak dijual oleh tuan tanah. Kawan saya tu pasang kaset burung walit tu dari atas kereta. Kawan saya kata, ini mungkin susah sikit sebab sudah jam 12.00 tengahari dan burung jarang ada. Tapi tak lama, dalam 10 minit ada banyak burung berterbangan. Maka sahlah, tanah itu mempunyai nilai yang tinggi iaitu berpotensi untuk dibina sarang burung walit.

Tengah bercerita tu, kawan saya cerita satu pengalaman dia pegi pasang speker burung walit ini. Tuan punya sarang ini mengadu, bukan burung walit yang datang, tapi burung hantu yang datang. Tergelak juga saya dengar cerita ni. Kawan saya cerita, orang tu tersilap pasang kaset iaitu salah bahasa burung. Hehehe......Mungkin salah chanel yang dia pusing, chanel bangla agaknya.

Pelaburan Bina Sarang Walit Untung atau Tidak ?

Saya balik rumah dan dalam hati saya, adakah bina sarang burung walit itu satu pelaburan menguntungkan ? Saya dah banyak dengar cerita, tapi saya belum yakin akan keuntungannya. Tadi saya tanya kawan saya tu, siapakan orang Melayu yang dah berjaya dalam burung walit ini ? Dia kata, ada seorang di satu daerah bersebelahan yang dah berjaya. Orang itu pula buat ceramah pada orang lain.

 Saya tanya, orang yang tak beri ceramah, tak ada ker ? Jawabnya  tak ada. Jawapan inilah yang menyebabkan saya tak yakin. Pelik saya, kawan saya ini yang dah pergi kursus dan minat sangat dia dengan walit ini pun tak ada kawan Melayu yang dah berjaya.

Yer le, kalau dah jutawan, kenapa perlu beri ceramah ? Itu persoalannya. Bukan saya nak sangka buruk tapi sejarah penipuan pelaburan lintah dan ikan keli saya suka kaji. Di Kluang ni saja ada ratusan orang tertipu dengan pelaburan lintah. Di satu taman ini ada satu tempat kononnya tempat pemeliharaan lintah dan tempat tu ada sampai sekarang. Dulu orang itu juga mengaku sebagai jutawan tapi beri ceramah juga.

Sekali fikir, kalau dah jutawan, kenapa nak beri ceramah lagi. Dua kali fikir, dia beri ceramah untuk menolong membantu orang Islam lain, niatnya jujur, dia nak amal jariah. Akhirnya bila sudah puas duit orang Melayu dia mencekik dan melantak, dia berambus tinggalkan pelabur-pelabur yang kena tipu. Menangis tanpa lagu.

Satu lagi, bukan saya kata pelaburan walit ni tipu, tapi caranya yang meragukan. Ramai orang bukan Melayu dah berjaya tapi ilmu ini masih baru pada orang Melayu. Kalau bela ayam kat kampung pun susah, bela itik pun tak bertelur pun, bela lembu lambat nak beranak, ini benda yang orang kita biasa buat pun payah nak berjaya. Inikan lagi benda yang baru ni, lu sendiri fikirlah. Ilmu dia kena betul dan ada banyak benda kita kena belajar, bukan ada duit, mudah-mudah saja nak tabur duit buat pelaburan.


6 ulasan:

  1. Berfikir sebelum melakukan sesuatu perkara,baik dan buruknya..insyaAllah..kita dilindungi oleh Nya.

    BalasPadam
  2. ustaz, kalau tak dipecahkan ruyong manakan dapat sagunya...kalau belom cuba dah fikir rugi susahlah...sekadar pandangan saya..

    BalasPadam
  3. Assalamualaikum Ustaz,

    Kat bandar Lipis nih, atas bangunan kedai dah berlambak sarang burung walit, pagi petang bising suara burung. Taik tak usah ceritalah. Tak taulah untung ke tidak dia orang tu buat sarang burung dalam bandar. Yang jelasnya bandar jadi kotor, udara jadi tak bersih.

    BalasPadam
  4. Kang Latep... sebelum kita melangkah iaitu mengeluarkan modal yang besar (buat sarang burung walit modal besar), kenalah buat kajian mendalam dulu. Kalau cuba tanpa ilmu dan pengalaman, lepas tu lingkup, menyesal tak sudah. Tak rugi kalau kita tunggu dan lihat dulu dan cari pangalaman, jangan gopoh.

    BalasPadam
  5. LipisLady... saya hari raya kelima baru ni tidur di hotel kat seberang sungai Kuala Lipis tu. Memang banyak burung walit terutama pukul 8 pagi, seronok tengok. Dia orang buat sarang kat rumah kedai jer.

    BalasPadam
  6. Burung walit ni buraung layang2 ke?

    Sbb klu burung layang2, masa tok kecik2 dulu ada burung layang2 buat sarang kat siling beranda rumah kg ibu ayah tok, tapi sarangnya drp tanah, bukan nampak spr warna putih mcm tok tengok dlm gambor & tv tu.

    Sekarang ni rumah2 burung walit ni yg banyak tok tengok di kawasan kelapa sawit.

    BalasPadam

Dipersilakan komen.