Untuk Memilih Tajuk Artikel Dalam Blog Ini, Sila Taip Perkataan di sini.

30 Januari 2013

Akibat Nikah Sendiket, Sendiri Susah


Seorang gadis 20-an bernikah dengan lelaki 20-an secara sendikit dengan membelakangkan keluarganya. Bukan bapa tak setuju tetapi sengaja hendak tak mahu memberitahu keluarganya. Maka perempuan ini bernikah di satu daerah dalam negeri Johor iaitu kampung lelaki.

Pernikahan Sendiket
Keluarga lelaki semuanya hadir dalam majlis pernikahan ini. Bagaimanapun, jurunikah itu bukan dari daerah itu atau dari Johor tetapi dari sebuah negeri lain. Jurunikah itu datang khas untuk menikahkan pasangan ini dengan bayaran lebih RM 2,000. Selepas nikah, pasangan ini mendapat 'surat nikah' dari negeri orang tu datang, bukan negeri Johor punya.

Lepas Nikah

Biasalah, lepas nikah berbulan madu dan katanya bahagia. Bagaimanapun, belum pun setahun, pernikahan mereka mula bergolak dan selalu bergaduh. Banyaklah sebab, antaranya, katanya suami mengabaikan nafkah dan hidup mereka tidak bahagia.

Ingat Semula Keluarga

Bila ni berlaku, perempuan ingat semula keluarga di kampung yang sikit pun tak tahu dia dah nikah. Akhirnya, perempuan lari balik kampung meninggalkan suami dia. Kemudiannya, perempuan dan bapanya datang ke pejabat agama berkenaan kes ini. Perempuan mendakwa dia bernikah secara sendiket. Memang dari dulu dia tahu nikah secara gelap macam tu, tapi dulu tak mahu pertikai. Biasalah, bila dah tak bahagia dan menyesal, diungkitnya pernikahannya, katanya tak sah. Bagaimana kesudahannya... ?

....BERSAMBUNG KE EPISOD 2

26 Januari 2013

Suami Rujuk Semula Selepas Bercerai Dua Bulan

 
Seorang lelaki 30-an, bekerja sebagai kakitangan kerajaan dan isterinya, juga 30-an kakitangan kerajaan juga. Hasil pernikahan mereka hampir 10 tahun, dikurniakan 3 orang anak yang masih kecil dan bersekolah.
 
Satu hari tu, mereka bertengkar sehinggalah lelaki melafazkan cerai terhadap isterinya. Apa benda yang ditengkarkan dan apa puncanya, tak payahlah nak ditanya.
 
"Aku ceraikan kau". Kata lelaki kepada isterinya.
 
Waktu itu, mereka berdua sahaja di dalam rumah. Lepas melafazkan perkataan cerai itu, lelaki dan perempuan telah pergi ke pejabat agama untuk membuat aduan cerai. Dokumen yang perlu dibawa adalah surat nikah dan kad pengenalan. Mahkamah mengesahkan berlaku perceraian dengan talak satu.
 
Lepas bercerai tu, perempuan duduk di rumah itu bersama 3 orang anak iaitu kuarters kerajaan. Manakala lelaki tidak tidur di rumah iaitu tinggal di rumah bujang. Lelaki kadang-kadang datang rumah untuk ambil barang dan tengok anak. Kes ini sudah jadi heboh di pejabat kedua-duanya. Iaitu orang tahu kejadian cerai ini termasuklah siaran lansung dari ahli-lain mesyauarat tingkap kipas lipas. Kat kampung masing-masing pun dah heboh sama ada keluarga perempuan dan lelaki. Dah tu, mak ayah masing- masing nak menangkan anak masing-masing dah jadi macam peguambela.
 
Dua bulan hidup sebagai duda dan janda, akhirnya terbuka hati mereka untuk rujuk semula. Kedua-dua mereka datang ke pejabat kadi untuk proses rujuk. Sebelum dibenarkan rujuk, beberapa soalan dikemukakan, antaranya adalah, berapa jumlah talak dan dapat dilihat dengan keputusan bertulis mahkamah syariah. Jawapannya, cerai talak satu dan berbaki dua talak.
 
Kedua, adakah pasangan ini masih di dalam edah. Setelah dipastikan, mereka masih dalam edah dan ada ruang untuk rujuk. Kira bernasib baik juga masih dalam edah iaitu sudah penghujung, sudah dua bulan. Kalaulah kes ini sudah habis edah dan nak nikah semula, prosennya adalah lebih payah. Iaitu, mereka tidak boleh rujuk kecuali dengan pernikahan yang baru. Bagaimana nak nikah semula ?
 
Biasalah, mula kena kursus kawin. Lepas tu ambil borang, buat test HIV, jumpa tok pengulu dan sebagainya. Lepas tu kena temuduga nikah, lepas tu kena daftar itu dan ini. Masa nikah pula kena ada wali, tak bolehlah nikah tanpa wali. Penyanyi kumpulan Wali Band nikah pun kena ada wali juga. Tapi kalau rujuk lain, rujuk tidak memerlukan wali.
 
Maka dengan rujuk ini, mereka sah semula sebagai suami isteri yang dah terputus dua bulan lalu.
 


21 Januari 2013

Sudah Nasibku Mat Burger (Episod 73)


Mak Man terus memeluk Syira yang menangis tak sudah-sudah dari tadi.
"Mak... Sebenarnya kak Syira bertengkar dengan abang Man kat JB". Kata Nizar selepas didesak dengan pelbagai soalan oleh maknya.

"Bertengkar.... kenapa ni Syira ?

(Tulisan ini telah dikeluarkan dari blog ini kerana telah terbit novel bertajuk 'Cinta Mat Burger'. Boleh didapati di Kedai Buku Popular seluruh negara dengan harga RM23.90. Boleh juga dapat dari saya dengan harga RM30.00 termasuk kos poslaju. Hubungi saya :                0197526122  whataps)



.....BERSAMBUNG KE EPISOD 74
Episod 74, Klik Sini


19 Januari 2013

Tiada Yang Mustahil Dalam Perkahwinan dan Perceraian : Kisah Selepas 19 Tahun Bercerai


Assalamualaikum, ada satu kisah saya nak cerita hari ini.......
Lelaki dan perempuan ini umur 50-an berstatus duda dan janda. Dulu mereka suami isteri dengan dikurniakan 5 orang anak. Usia kebahagian dan perkahwinan mereka tidak bertahan lama. Berakhir dengan perceraian. Anak-anak masih kecil-kecil waktu itu. Bila ditanya sebab perceraian, biasalah jawapannya, kerana tidak sefahaman.  Dulu masa bercinta, katanya "lautan api akan ku renangi" Kini parit belakang rumah dia tak upaya menyeberang.

Lepas cerai, isteri bawa diri balik ke kampung, duduk rumah ibubapanya bersama 5 anaknya. Suami keseorangan dan lebih sibuk bekerja di sebuah syarikat swasta di bandar. Isteri pula, dapat bekerja di sebuah kilang buat makanan di kampungnya untuk menyara hidup. Itu kisah 19 tahun lalu..... lama tu.

Sepanjang perceraian itu, suami tak abai nafkah anak walaupun tak bertulis dan bukan dalam arahan mahkamah syariah pun. Mereka dulu bercerai ala-ala orang tak berapa kisah pasal undang-undang. Maka tak adalah perintah nafkah atau penjagaan anak macam sekarang. Tapi suami tak abaikan semua itu. Sekali fikir, antara arahan mahkamah dan keihlasan, ada betulnya keiklasan yang lebih penting. Orang sekarang pun, arahan mahkamah setinggi mana pun, ramai yang tak patuh. Kerana apa ? Kerena tiada keikhlasan dan terpaksa saja.

Hubungan Baik

Suami kalau kelapangan, balik ke kampung melepas rindu pada anak-anak. Bukan setakat suami dengan anak-anak saja mesra, tapi dengan bekas isterinya pun baik. Tapi tak adalah berdating atau buat maksiat. Dengan ipar-ipar iaitu adik beradik isterinya juga dia rapat. Beberapa tahun lepas tu, ibu dan bapa perempuan meninggal dunia, dan perempuan ini terus duduk di rumah pusaka bapanya di kampung.

Tak Nikah Lagi

Sejak 19 tahun bercerai itu, si suami tak ada bernikah lain. Menghairankan juga kalau lelaki boleh bertahan sehingga selama itu. Nak kata muka tak hensem, muka kalau ambil jadi pelakon 'Ombak Rindu 2' pun boleh meletup. Bila ditanya, alasannya sibuk bekerja dan dia dah ada pengalaman bernikah serta bercerai. Hingga dalam hidupnya, dia lebih fikirkan anak-anak dan dia dah ada anak. 

Juga dia rasa, isteri dia dulu seorang yang degil dan susah nak dengar cakap dia. Maknanya dia dah kenal wanita bergelar isteri. Macam dalam ceramah Ustaz Azhar Idrus kata, nak buat macam mana, perempuan ini dah dilahirkan dengan sifat begitu, dari kilang yang sama. Lagi Ustaz Azhar Idrus kata, kalau nak lawan berlari, berenang, sukan, lelaki menang. Tapi kalau nak lawan bercakap, lelaki akan kalah. 

Jadi kalau kawin lain, dia rasa dia belum tentu boleh bahagia juga. Si bekas isteri juga, bila ditanya oleh Tok Kadi, kenapa tak nikah lagi. Pertama, nasib baik Tok Kadi yang tanya,  kalau setakat Mat Burger tanya, dah tentu kena cili dan dimayoniskan mulut Mat Burger tu.

"Bukan orang tak nak kan saya Tuan Kadi, ada ramai. Tapi bila fikirkan anak-anak, rasa lebih baik hidup seorang.". Kata wanita 50-an ini.

Selepas 19 Tahun, Bernikah Semula

Selepas 19 tahun berstatus janda dan duda, akhirnya mereka berdua dengan rela hati, terbuka hati mereka untuk bernikah semula. Bila ditanya, yang memainkan peranan utama pernikahan ini adalah anak-anak yang semua dah umur lebih 20 ini. Pekerjaan anak-anak dia hebat dan berkelulusan tinggi.

Anak Semua Belum Nikah

Bila ditanya, anak dah bernikah ke belum, jawabnya anaknya ramai yang perempuan dan belum seorang pun yang dah bernikah. Bila ditanya lagi oleh Tok Kadi, sekali lagi mak dia kata nasib baik Tok Kadi yang tanya, kalau Tok Mudin yang tanya, dengan Tok-Tok Mudin sekali terjun lari ikut tingkap kena sergah.

Katanya, anaknya takut perkahwinannya nanti jadi macam perkahwinan mak ayah mereka, kata mak dia.  Oooooo itu macam ker......

Maka, hari yang mulia, Jumaat, penghulu segala hari ini, pasangan ini dinikahkan semula. Sangat menarik cerita ini iaitu apabila 19 tahun sudah bercerai, akhirnya nikah semula dengan pasangan yang sama. Sekali lagi pasangan ini naik pelamin dan duduk dia nampak kekok tapi apa-apa pun orang nak kata, mereka tetap pengantin baru.
SELAMAT PENGANTIN BARU.


16 Januari 2013

Kerja Cuci Pinggan Restoran, Juga Pelacur Sambilan


Dalam satu serbuan penguatkuasa Jabatan Agama, menahan seorang lelaki warga Indonesia bertaraf permastautin tetap umur 54 tahun, kerja tukang rumah. Dia sudah mempunyai isteri dan anak-anak yang duduk di daerah ini.

Pada hari itu dalam jam 6.00 petang, dia melanggan seorang pelacur bukan Islam umur 41 tahun di sebuah 'hotel ayam'. Janganlah tanya hotel ayam ini apa, tau takperrrr.

Perempuan ini masih anak dara walaupun tupai sudah tebuk dia. Bila disoal siasat, perempuan ini kerja cuci pinggan di sebuah restoran takde tanda halal dan kerja sambilan dia adalah melacur. Bayaran yang dikenakan adalah 'mesra pelanggan' iaitu RM30 sahaja sekali projek, tak boleh kurang lagi.

11 Januari 2013

Masa Bila Taukey Ni Tahu Tarikh Nikah Saya ?

Saya ke sebuah bengkel untuk servis kereta. Sebelum tu saya ke kedai alatganti kereta beli minyak hitam RM 45 dan oil filter RM 6. Masa kat bengkel tu, sementara menunggu minyak hitam dibuang habis, saya berbual dengan taukey tu. Nampak umur dia antara 50-65 tahun.

"Taukey, ini bengkel sudah berapa lama bukak ?" Tanya saya.

"Haiyaaa... sudah lama loo. You belum kawin lagi, ini kedai sudah ada". Kata taukey tu sambil mengelap peluh.

Kemudian dia terus sambung bikin kereta saya. Dah siap, upah RM 10 saja. Begitulah rutin saya jaga kereta, tukar minyak 5,000km sekali, biasa 2-3 bulan sekali. Tak pernah saya beli minyak hitam dan oil filter kat bengkel.

Masa Bila Dia Tahu Tarikh Saya Nikah ?

Balik tu, saya termenung memikir, itu taukey kata,

"you belum kawin lagi, ini kedai sudah ada."

 Yer ker dia tahu bila saya nikah. Oh tidak.... entah-entah saya belum kawin, dia belasah saya dah kawin saja.  Tapi jawapannya itu, cukup membuatkan saya dah tak tahu nak cakap apa lagi.

Nak cerita pagi Jumaat ni, inilah uniknya Malaysia. Ada pelbagai bangsa dan Bahasa Melayu dijadikan bahasa perantaraan. Saya berbual dengan orang Cina, bahasa Melayu dia ada lain. Pergi gunting rambut kedai India, bahasa Melayu dia lain pula. Makan kedai mamak, bahasa Melayu dia lagi ada beza. Pergi Mydin JB tanya pekerja Bangla tu dah dapat gaji ke belum, dia pulak yang tanya saya dah dapat gaji ke belum.

09 Januari 2013

Budak Sekolah Khalwat, Main Nyorok-nyorok Bawah Katil


KLUANG - Bahana tidak berfikir panjang dan terlalu mengikut nafsu, seorang pelajar perempuan tingkatan lima sanggup ponteng sekolah kerana ingin berjumpa teman lelakinya di sebuah hotel bajet di bandar ini, pagi semalam.

Malangnya, mereka dicekup berkhalwat dalam serbuan dilakukan Pegawai Penguatkuasa Jabatan Agama Islam Johor (Jaij) kira-kira jam 9 pagi. Pegawai Tadbir Jaij daerah Kluang, Mohd Khalil Md Noor berkata, serbuan dilakukan hasil aduan dan maklumat awam.

“Sewaktu operasi dijalankan, lelaki berusia 18 tahun berkenaan yang bekerja di pasar malam membuka pintu bilik hotel, manakala pelajar yang bakal menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) itu menyorok di bawah katil lengkap berpakaian sekolah dan bertudung.

“Hasil soal siasat dijalankan, pelajar tersebut pada mulanya pergi ke sekolah tetapi tidak masuk ke kelas sebaliknya menunggu teman lelaki mengambilnya di sekolah,” katanya kepada Sinar Harian.

Mohd Khalil berkata, pasangan berkenaan akan di dakwa di bawah Seksyen 27 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Johor 1997 dan jika sabit kesalahan boleh didenda sehingga RM3,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali.

Difahamkan, ibu bapa pasangan tersebut akan dipanggil untuk ke pejabat agama malah, pengetua serta guru kaunseling turut dimaklumkan mengenainya.

Dipetik dari Akhbar Sinar Harian 9 Januari 2013

08 Januari 2013

Cerai SMS

Entah apalah masalahnya, pada jam 1.52 pagi, si suami menghantar sms kepada isterinya. Sms berbunyi''''

"Saya ceraikan awak". Sms dari telefon suami ke telefon isteri.

Ini tak lain, adalah kes gaduh. Keesokan harinya, si suami membuat aduan di pejabat agama dan mendaftarkan perceraiannya di mahkamah. Perbicaraan berlansung di mahkamah dan ringkas ceritanya, mahkamah membuat keputusan.

" Lafaz melalui sms yang dihantar oleh (L) pada tarikh .... jam 1.52 pagi untuk bercerai talak satu adalah sah".

Pasangan ini bernikah pada tahun 1994 bermakna sudah kira-kira 18 tahun perkahwinan mereka dengan dikurniakan beberapa orang anak. Bagaimanapun, kebahagian rumahtangga ini runtuh kerana perceraian ini.



04 Januari 2013

Akibat Zalim Bunuh Katak, Anak Mati Katak ?


Seorang lelaki menceritakan pada saya pengalaman zaman silam dia. Dia cerita, dulu dia jahat dan banyak abai perintah agama. Sehinggalah satu peristiwa aneh yang dialaminya,  memberi keinsafan yang mendalam pada dirinya. Ceritanya, dulu masa isterinya sedang mengandung, rumahnya banyak katak waktu musim hujan.

Bunyi katak mengganggu tidurnya setiap malam.  Oleh kerana terlalu marah, dia telah bertindak menghimpunkan kayu di tempat katak itu berkumpul. Kemudian dia bertindak membakar kayu tersebut dan membunuh banyak katak di bawah himpunan kayu itu. Maka tidurnya lena kerana tiada lagi bunyi katak dekat dengan rumahnya. Yang ada hanyalah katak yang jauh-jauh.

Ceritanya lagi, apabila anak lelakinya lahir, anaknya ada penyakit kulit ganjil. Kulitnya merekah, tersiat, bernanah dan mengeluarkan darah. Bila sembuh, kulitnya seperti kulit katak. Kemudian sakit yang sama datang berulang. Sudah banyak tempat dia berubat termasuk doktor kerajaan dan swasta namun sakit anaknya berulang lagi.

Hampir setiap hari anaknya tidak lena tidur kerana kesakitan ini. Kemudian, pada usia dua tahun, anaknya ini meninggal dunia. Sebagai seorang bapa, dia redha dengan ketentuan Allah Taala yang mengambil nyawa nak kesayangannya ini. Dia berpegang kepada qada' dan qadar Allah Taala.

Cerita ini diceritakan kepada saya dan dia minta pandangan dari saya. Beberapa kali dia ulang perkataan, iaitu bukan dia hendak percaya kepada kuasa lain selain kuasa Allah. Tetapi, sampai sekarang dia tak tahu apa penyakit kulit anaknya itu. Dan adakah kaitannya kejadian dia berlaku 'zalim' sehingga membunuh katak-katak semasa isterinya mengandung ?

Pandangan Saya

Saya jelaskan, ini adalah kuasa Allah. Kita kena letakkan kekuasaan Allah pada tempat yang tertinggi.  Janganlah terlalu percaya dengan kejadian membunuh katak itu yang menyebabkan anaknya jadi begitu. Kalau terlalu berpegang pada itu, saya bimbang akidah kita boleh tergelincir. Sakit itu adalah ujian Allah kepada kita supaya kita insaf. Maka jadikanlah kesilapan yang lalu sebagai pengajaran kepada kita.

 Ada orang yang Allah uji dan hukum kita di dunia lagi kerana kezaliman kita. Sebahagian umat-umat terdahulu termasuk umat Nabi Noh, Nabi Lut, Nabi Musa dan lain-lain diazab di dunia kerana kejahatan mereka. Begitu juga dengan umat Nabi Muhammad seperti peristiwa Alqamah yang tidak boleh syahadah waktu nazak kerana kederhakaan dia pada ibunya.

Dalam Islam bukan semua binatang boleh dibunuh, apatah lagi dibunuh secara zalim sebegitu. Adakah binatang itu mengancam nyawa kita ada mendatangkan mudarat kepada kita ? Sekadar dia mengganggu tidur kita saja kan ?

Pengajarannya

Janganlah kita berlaku zalim sesama manusia dan makhluk Allah yang lain. Setiap makhluk yang Allah cipta itu pasti ada kebaikannya yang kekadang kita tidak ketahui.



02 Januari 2013

Bank Ini Menipu Orang Ramai Pasal Dividen ASB

Saya ke sebuah bank dan mendapati sebuah bank terkenal ini ada kaunter pinjaman ASB di kaki lima bank tu. Yer, bank itu agen ASB yang sah. Penuh bank tu hari ini terutama kepada yang nak tengok dividen ASB mereka.

Di luar itu siap ada DJ yang buat pengumuman dan sebagainya untuk promosi loan ASB bank itu. Yang saya dengar dan DJ tu sebut beberapa kali ialah.....

"Tahun lepas ASB memberikan dividen sebanyak 8.9 peratus".

Dalam hati saya, penipu punya bank. Kalau nak niaga dan nak untung pun, janganlah menipu. Mana datangnya keberkatan dalam perniagaan kalau dah dimulakan dengan menipu.

Sebenarnya, tahun 2012, ASB beri dividen 7.75 peratus saja, bukan 8.9 peratus. Tahun lepas juga ASB kasi bonus 1.15 peratus. Jadi, mengikut perkiraannya bukanlah dividen ASB 7.75 campur 1.15 peratus, bukan jadinya 8.9 peratus dividen.

Camner Nak Dapat Bonus ?

Syarat nak dapat bonus dan dividen kan lain. Nak dapat bonus, kena kira baki simpanan minimum kita selama 10 tahun iaitu 120 bulan. Kemudian, barulah dikira dengan 1.15 peratus.

Maaf bro.... 10 tahun tu lama. Jadi janganlah samakan dividen dengan bonus. Harap perbetulkan dan jangan menipu orang ramai.


Wanita Bersuami Dua ?

BATU PAHAT – Perbuatan wanita lewat 30-an yang dipercayai menduakan suaminya dengan menikahi lelaki lain, terbongkar apabila dokumen pernikahannya dengan doktor ditemui pihak berkuasa.

Bertindak hasil aduan orang ramai dan siasatan selama beberapa hari, serbuan Bahagian Penguat Kuasa Jabatan Agama Islam Johor (Jaij) Batu Pahat dilakukan di sebuah vila semasa Operasi Ambang Tahun Baru, kira-kira jam 2 pagi semalam.

Timbalan Ketua Penguat Kuasa Jaij Daerah Batu Pahat, Saiful Ariffin Mohd Sopah berkata, setelah menerima aduan, pihaknya melakukan semakan dengan pihak berkuasa di Thailand dan mendapatkan salinan dokumen pernikahan wanita terbabit.

Katanya, semasa serbuan dilakukan, pada mulanya wanita berkenaan enggan mengaku bernikah secara senyap di selatan Thailand bersama seorang lelaki berusia 40-an, yang turut berada di rumah berkenaan. Mereka bernikah di Thailand Julai lalu.

“Kami berjaya mendapatkan salinan dokumen pernikahan mereka, namun serbuan dilakukan untuk mendapatkan salinan asal surat nikah berkenaan dan bukti yang lebih kukuh kami peroleh iaitu gambar pernikahan mereka.

“Begitu licik wanita ini. Setelah hampir satu jam kami mencari, namun dokumen berkenaan gagal kami temui. Bagaimanapun setelah didesak beberapa kali, akhirnya dia mengaku telah bernikah dan dokumen berkenaan disorok dalam kotak kasut yang diletakkan di bonet kereta.

“Kami difahamkan doktor yang menjadi ‘suami kedua’ diberitahu yang wanita terbabit sudah bercerai dengan suami pertamanya,” katanya.

Saiful berkata, kes seumpama itu kali pertama berlaku di daerah ini dan rumit diselesaikan kerana perlu dilakukan dengan teliti kerana banyak kesalahan dilakukan.

Beliau berkata, buat masa ini, pihaknya membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 27(1)(a)(b) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Johor 1997 dan siasatan terperinci akan dilakukan berhubung perceraian yang didakwa oleh wanita terbabit dengan suami pertamanya.

“Saya harap kes seperti ini dijadikan iktibar dan jika ada kemusykilan terhadap nikah atau kahwin, orang ramai boleh buat rujukan kepada kami.

“Kami akan terus cari punca sebenar dan bantu selesaikannya kerana tidak boleh wanita mempunyai dua suami dalam satu-satu masa.

“Jika wanita ingin berkahwin lain, dia perlu melalui proses perceraian dengan suami terdahulu, namun ia juga perlu melalui hukum ditetapkan syarak,” katanya.

Dipetik dari akhbar Sinar Harian 2 Januari 2013.

28 Disember 2012

Wali Tak Mahu Jadi Wali, Salah Siapa ?

 
Seorang wanita berstatus janda 40-an hendak bernikah dengan seorang duda 50-an. Pernikahan dijadualkan akan berwalikan adik lelakinya. Bila disoal, katanya bapa dan atuknya sudah meninggal dunia dan mengemukakan surat mati. Hanya tinggal seorang sahaja adik lelaki yang layak menjadi wali pernikahan.
 
 
Sewaktu permohonan nikah, kakaknya itu kata adiknya 30-an itu bersetuju menjadi wali. Walau bagaimanapun, pada masa yang ditetapkan, wali tak hadir sedangkan jurunikah dan ahli keluarga hadir mengikut jadual. Apabila ditanya pada bakal pengantin perempuan, katanya dia ada krisis dengan adiknya. Rupanya masalah harta pusaka dan pembahagian harta yang belum diselesaikan.
 
Bercerita lanjut, katanya arwah bapanya dulu meninggalkan beberapa ekar tanah. Tanah itu pula tidak boleh ditukar nama tetapi yang boleh hanyalah mendapat wang setiap bulan beberapa ribu hasil sawit. Bakal pengantin adalah anak sulung yang katanya dia sebagai pemegang amanah. Bila didesak dengan beberapa soalan, timbullah cerita yang dia tidak membuat pembahagian yang adik beradik lain puashati. Dia ada alasan kerana katanya dia menanggung perbelanjaan di kampung termasuk makan minum ibu dan lain-lain. Ini telah menyebabkan adik beradik lain bermasam muka.
 
Tak Akan Jadi Wali
 
Maka masa kakaknya hendak bernikah ini, adik lelakinya terpaksa ungkit semua ini. Malah dia memberikan syarat iaitu tidak mahu menjadi wali sekiranya pembahagian harta ini tidak diselesaikan. Tetapi adik lelaki ini tidaklah kata tak mahu menjadi wali terus, dia kejap nak kejap taknak macam iklan coklat. Kalau terus terang tak mahu jadi wali, senang, boleh pergi mahkamah syariah dan lalui beberapa prosedur. Ini membuatkan bakal pengantin pening kepala terutama tibanya tarikh perkahwinan.
 
Perkara ini dikemukakan kepada Kadi dan bagaimanakah Kadi menyelesaikannya ? Perkara ini sudah selesai dan kisah ini diceritakan semula.
...BERSAMBUNG KE EPISOD 2
 


25 Disember 2012

Kepala Saya Jadi Bahan Ujikaji Tukang Gunting

 
 
Saya ke kedai gunting rambut. Kedai itu memang saya setiap bulan pegi. Nampaknya hari ini kedai tu tak ada orang lain kecuali saya seorang saja. Tengah menggunting tu, tiba-tiba masuk dia orang lelaki, terus berbual dengan tukang gunting tu. Dia berhenti separuh jalan gunting rambut saya.
 
Saya tak faham apa yang dibualkan. Cuma yang saya nampak dan faham, dua lelaki itu hendak promosi pisau cukur yang baru. Mulanya tukang gunting tu kata dia dah ada banyak stok pisau cukur tapi lelaki itu kasi free satu kotak kecil untuk promosi.
 
Tukang gunting teruskan gunting rambut saya dan tiba masa nak cukur, dia gunakan pisau cukur yang baru tu. Pisau cukur ini jenis yang lama-lama yang orang dah tak pakai sekarang, tapi tukang gunting kena pakai. Iaitu setiap pisau dipatahkah untuk diletakkan dalam bekas dia.  Pisau ni diganti setiap orang.
 
Masa dia nak test pisau cukur promosi tu, saya macam takut juga. Manalah tau kalau-kalau pisau tak tajam, boleh jadi terluka pulak nanti. Tapi nampaknya dia cukur macam biasa dan tukang gunting tu saya rasa dia ada puji juga, agaknyalah.
 
Lepas gunting, saya keluar dan pegi ke kedai depan. Keluar dari kedai depan tu, saya tengok lelaki itu bawa keluar sekotak besar dari dalam kereta. Maknanya jadilah tukang gunting tu beli banyak. Hehe... nampaknya kepala saya jadi bahan ujikaji pisau cukur tu.

24 Disember 2012

Lelaki Khalwat Lari Panjat Bumbung

Dalam satu kejadian, penguatkuasa membuat serbuan ke sebuah rumah. Keadaan rumah ini adalah rumah teres dan bersambung-sambung. Penguatkuasa mendapat aduan yang pasangan ini tidak bernikah dan lelaki selalu datang ke rumah perempuan ini.

Apabila sampai di lokasi dalam jam 1.00 pagi, penguatkuasa mengetuk pintu. Keadaan rumah samar-samar dan ada lambu yang menyala di dalam rumah. Pintu tidak terus dibuka. Tiba-tiba terdengar bunyi bising dari dalam rumah. Tak lama kemudian, seorang perempuan membuka pintu. Bila ditanya, dia kata dia seorang diri dalam rumah tu. Bila digeledah rumah tu, memang tiada orang lain.

Bagaimanapun, penguatkuasa mensyaki lelaki lari berdasarkan tangga yang digunakan untuk memanjat syiling. Apabila penguatkuasa turut sama naik ke syiling, rupanya boleh lari ke banyak arah termasuk rumah-rumah lain. Itulah cerita lelaki yang berjaya lari macam lipas kudung kerana buat kes maksiat.

20 Disember 2012

Isteri Menyesal, Dia Punya Hal, Suami Bakal Dituduh Di Mahkamah

 
Seorang isteri mengadu dan menceritakan kisahnya. Satu hari tu waktu dia datang bulan, dia bergaduh dengan suami. Masa tengah hebat perang mulut tu, Serta merta suami menyahut cabaran itu dan menceraikan isterinya dengan talak satu.
 
Bagaimanapun, selepas itu, si isteri yang sudah bergelar janda itu menyesal dan meninta maaf dengan si duda bekas suaminya itu. Beberapa hari selepas bercerai, mereka rujuk kembali dan berbaik semula.
 
Tetapi selepas itu, dia dapat satu surat dari penguatkuasa dan kes perceraian mereka itu dikira salah dan akan dituduh di mahkamah syariah. Katanya, suaminya melakukan kesalahan kerana menceraikan isteri di luar mahkamah dan tanpa kebenaran mahkamah. Isterinya kata, dia tak tahu pun yang seorang suami menceraikan isteri sebegitu dikira salah dan akan didakwa.
 
Si isteri sangat menyesal dan takut sekiranya suaminya dihukum denda atau penjara nanti. Hukuman itu juga nanti katanya bakal mengakibatkan kerjaya suaminya turut terjejas. Yang isteri menyesal sampai tak tidur lena adalah, kerana kesilapan dia mendesak suaminya menceraikannyalah perkara ini terjadi.

16 Disember 2012

Pengumuman : Kursus Pra Perkahwinan Kluang 22-23 Disember

Kursus pra perkahwinan akan diadakan pada 22-23 dis di pejabat Kadi Kluang bermula jam 8 pagi atas permintaan ramai. Tarikh berkenaan sebenarnya tidak dirancang sebelum ini. Daftar awal amat digalakkan. Mohon maaf sebab kusus 15-16 hb ramai yg terpaksa balik kerana tak cukup tempat.
 
Boleh daftar melalui email saya kadikluang.yahoo.com  atau Facebook saya 'Kadi Kluang' atau melalui kakitangan pejabat Kadi Kluang. Bayaran RM 120. Sediakan 2 keping gambar dan 1 salinan kad pengenalan. Pakaian lelaki baju  Melayu bersongkok, perempuan baju kurung.

14 Disember 2012

Bakal Pak Mertua Kaki Nombor Ekor (EPISOD 2)


Beberapa minggu lagi nak nikah, bakal pengantin lelaki dah tak tahan telinga. Kenapa pulak ? Dia dengar dari orang kampung yang bakal pak mertuanya kaki nombor ekor dan memang terkenal sebagai kaki 'cai' nombor di warung berhampiran rumahnya. Ini bukan rahsia lagi bagi orang kampung.

Dalam usia umur 60-an, bakal pak mertua dia tak serik-serik beli nombor ekor. Tambah menyakitkan hati, duit beli nombor ekor itu adalah hasil pemberian anak-anak dia setiap bulan. Belanja kat rumah, bapak dia tak keluarkan sebab anak-anak dia yang bantu. Menyiraplah darah bakal menantu bila kena sindir macam ni.

Nak percaya terus pun tak boleh juga, maka satu  hari tu bakal menantu jadi penyiasat. Maka dia jumpalah bakal pak mertua dia duduk kat warung tengah mengecai nombor sampai berkecai. Mengeleng kepala dia bila tengok dengan mata kepalanya sendiri.

Diringkaskan cerita, satu hari tu bakal menantu pergi jumpa bakal pak mertua kat rumah. Dinasihatkanlah pak mertuanya. Katanya dengan nada yang baik. Tapi, rupa-rupanya pak mertua melenting. Keesokan harinya, diberitahu oleh bakal pengantin perempuan yang bapanya tak mahu jadi wali. Lepas tu dia suruh anak lelaki iaitu abang kepada bakal pengantin perempuan untuk jadi wali.

Bila dirujuk ke pejabat agama, maka pernikahan tidak boleh dilansungkan tanpa bapa menjadi wali. Kalau hendak juga nikah, kena pergi mahkamah syariah untuk mohon satu proses iaitu 'wali enggan'. Itu penjelasan dari pejabat agama yang menjadikan pasangan ini kusut dan tak lalu makan. Mana tidaknya, kad jemputan dah edar, katering dah tempah, budak kompang dah oder, tukang andam pondan tu pun dah booking.
SEKIAN. SEMOGA JADI PENGAJARAN.

12 Disember 2012

Kenapa Bapa Tiba-tiba Tak Mahu Jadi Wali ?


Lelaki 30-an berstatus duda, nak nikah dengan seorang ibu tunggal umur 30-an. Pada mulanya, bapa kepada perempuan setuju jadi wali pernikahan.

Kira-kira seminggu lagi nak nikah, bapa perempuan kata dia tak mahu jadi wali. Bila ditanya kenapa boleh berlaku, katanya bapa perempuan terkilan dengan bakal menantu.

Bila dicerita lanjut, rupanya bakal menantu ada menasihati bapa perempuan. Apakah nasihat itu, cuba teka.......
(Tolong jawab dulu saya cerita kisah sebenarnya)

.....BERSAMBUNG EPISOD 2, KLIK SINI

07 Disember 2012

Kenapa Pengantin Ni Cium Tangan Suami Lepas Nikah Sampai Tak Mahu Lepas ?


Selesai saja majlis pernikahan pada hari Jumaat yang mulia ini, pengantin perempuan terus salam tangan suaminya lama-lama. Kemudian dia mengesat air mata yang sedikit keluar itu. Sekali pandang, nampak perempuan ini macam tak menyempat-nyempat pulak. Kenapa ini berlaku ? Ada cerita di sebaliknya.

"Pengantin lelaki bila tarikh cerai ?". Tanya jurunikah sebelum menikahkan.

Dia beritahu tarikhnya yang dah lebih 2 tahun iaitu tahun 2010 bercerai.

"Pengantin perempuan pula, bila tarikh cerai ? " Tanya jurunikah pada perempuan pula.

"Maaf tuan, sebenarnya dia bekas isteri saya yang bercerai dan nak nikah semula". Kata pengantin lelaki.

Dulu Bercerai 2 Tahun

Kisah  sebenarnya, lelaki ini bekerja di sebuah kilang, umur 30-an. Perempuan kerja jurujual 30-an. Hasil perkahwinan mereka, dikurniakan 4 orang anak yang sekarang semuanya  masih kecil dan bersekolah.

Punca mereka bercerai adalah permintaan isterinya. Oleh kerana tidak tahan dengan permintaan isterinya dan mengakui kekurangan yang ada pada dirinya, lelaki mengambil keputusan menceraikan isterinya di mahkamah syariah. Pada lelaki, bukanlah hendak diungkit kisah silam 2 tahun dulu, tapi katanya punca cerai adalah kerana kehadiran lelaki lain dalam hati isterinya.

Bagaimanapun, selepas 2 tahun, mereka bernikah semula berwalikan ayah perempuan. Anak-anak turut hadir dalam majlis pernikahan ini.

04 Disember 2012

Makcik Bakal Dapat Cucu Luar Nikah


Seorang makcik 50-an datang dengan anak perempuannya awal 20-an untuk menikahkan anaknya segera. Katanya dah ditebuk tupai sehingga termengandung. Usia kandungan itu dalam 4 bulan.

Nampaknya makcik ini bakal dapat cucu dalam 5 bulan lagi.

02 Disember 2012

Lama Tak Jumpa Bapa, Datang Jadi Wali Anak

 
Lebih 15 tahun dulu, bapa gadis ini bercerai dengan ibunya. Lepas bercerai, gadis ini dibesarkan oleh ibunya. Manakala bapanya balik kampung ke utara. Kemudian ibunya bernikah lain, begitu juga dengan bapanya. Jadi, gadis ini ada ramai adik beradik, termasuk adik beradik kandung dan adik tiri.
 
Waktu gadis ini bernikah, bapanya yang dah lama tak jumpa, akhirnya datang dalam majlis pernikahannya itu untuk menjadi wali.

30 November 2012

Bernikah Semula Selepas Dua Tahun Bercerai


Pagi Jumaat, penghulu segala hari ini, satu pasangan dinikahkan. Lelaki 30-an seorang peniaga manakala isterinya pembantu kedai juga 30-an. Dua tahun lepas mereka berdua bercerai setelah 8 tahun bergelar suami isteri. Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan 4 orang anak, kesemuanya perempuan.

Hari ini, pasangan ini melupakan kisah suka duka sewaktu menerima gelaran janda dan duda. Semoga pernikahan kali ini dirahmati dan diberkati oleh Allah Taala. Aminnn.

25 November 2012

Mau Kasi Saya 'Stim"

Saya ke kedai sukan nak cari dan beli getah ping pong, kayu dia saya bawak. Lepas pilih getah, saya minta taukey kedai Cina tu gam dan potongkan. Tapi dia tak potong terus, dia pegi tunjuk kayu pulak yang pelbagai jenis. Alamak... dalam hati saya, bukan saya nak beli kayu, nak beli getah jer.
 
Lepas dia susun kayu tu banyak-banyak depan saya, saya pun tengok satu-satu. Taukey tu pulak pegi buat kerja lain, dia layan pelanggan lain pulak. Saya nak cepat, jangan nanti kereta saya kena saman polis sudahlah.
 
"Taukey... kasi cepat sikit boleh ker ?". Kata saya.
 
"Haiyaaa.... gua tunjuk you itu kayu, mahu kasi u stim dulu". Kata taukey tu.
 
Hahahaaa... dia ingat boleh stim ker tengok itu kayu macam tu.

21 November 2012

Cerita Kereta Lelong Kastam: BMW (Episod 13)

Masa member saya naik atas pegi ambil borang tadi, saya dok pasang angan-angan. Wahhhh... seronoh pakai BMW walaupun bukan baru dan bukan mahal macam orang lain. Yang penting tu BMW jenama terkenal. Begitulah angan-angan saya.

Saya tersentak dari lamunan yang seakan terlelap melayan sejuk aircond kereta tadi. Terjaga bila member buka pintu sebelah pemandu. Saya nampak member tu dalam keadaan cemas, macam kena kejar lembu pun ada.

"Alamakkkkkkk...." Kawan saya tu mengeluh panjang.

Hairan juga saya, kenapa yer ?..... Rupanya hari ini adalah tarikh tutup lelong. Maknanya dalam lebih kurang 15 minit saja lagi lelongan akan tutup. Mana boleh kautim dah kalau ini macam. 15 minit mana sempat, nak buat bank draf kat bank lagi, bank bukan dekat. Lepas tu nak pusing balik dan hantar borang dah makan dekat satu jam, mana boleh siap.

"Tadi saya nak mintak borang, orang kastam macam hairan. Rupanya hari ni tarikh tutup. Orang kastam nak tolong juga tapi bila orang kastam tanya ada ker tak bank draf, saya kata belum buat. Jadi kastam tak boleh tolonglah...." Cerita kawan saya tu.

Saya Terima Ketentuan Itu

Ermmmm.... daripada angan-angan melangit nak dapat BMW, terpaksalah lupakan saja. Tapi tahulah apa perasaan saya waktu tu, macam kita mengorat anak dara tapi rupanya anah dara tu dah bertunang, begitulah perasaan saya waktu tu. Tapi apakan daya, kita hanya merancang, Allah menentukan.

Ada Hikmah Disebaliknya

Saya sedar dan menyorot kembali kenangan silam. Yer betul... kita ini manusia, mana pernah rasa puas. Dulu kita tak ada harta, jawatan, pangkat. Tapi bila kita sudah ada itu semua, kita tetap tak akan puas. Ibarat saya dulu dapat kereta Honda dari Kastam dan masih baik, cantik dan laju, tapi tetap tak akan puas. Mengorat BMW pulak konon... tapi akhirnya tak kesampaian.

Alhamdulillah juga ini berlaku dan saya anggap ada hikmah disebaliknya. Saya mula terfikir, kalau saya pakai BMW tu yang pada zahirnya lebih gah dari Honda saya tapi kita tak tahu hati dan budi BMW tu. Jantung dia macam mana, buah pinggangnya, tekanan darahnya, kencing manisnya, semua belum kita tahu. Saya cuma lihat luarannya saja, yang dalaman belum tentu.

Kalau kita manusia nampak sihat, makan banyak, muka hensem, tapi ada yang mati mengejut kerana sesak nafas. Rupanya kena serangan jantung secara tiba-tiba. Begitu jugalah kereta, kita belum tahu sangat. Kereta ini entah apa cengkadak dia, berapa lama tersadai, kenapa dia tersadai dan apa penyakit dia. Sedangkan isteri pertama saya, saya dah kenal malah saya dah ulik dia beberapa tahun. Tahu kerenah dia, angin pasang dia, tekanan darah dia dan bila masa dia suka mintak duit saya.

Jangan Kecewa

Kepada rakan-rakan saya yang banyak bertanya pasal lelong ni pada saya melalui email dan FB, saya nak beri nasihat sikit. Semoga nasihat ku ini dapat memberi pengajaran kepada hidup mu, Combi.(seperti nasihat Kasim Selamat)

Iaitu, jangan putus asa kalau kita tak berjaya. Sebaliknya anggaplah kegagalan ini sebagai motivasi diri. Begitu juga dalam tulisan saya berkaitan lelong rumah, saya pernah frust menonggeng dan tekup bantal kat kepala. Tapi itu hanya sementara, berkat kesabaran saya, saya akhirnya berjaya mendapat yang lebih baik dari itu selang beberapa bulan selepas itu. Alhamdulillah...

20 November 2012

Forum Perdana: Dato' Hj. Noh Gadut, Dr Ridhuan Tee Abdullah dan Imam Muda (Astro) Ahmad Hazran di Kluang Jumaat 23 Nov

 
Satu Forum Perdana Ehwal Islam akan diadakan di Dataran Persiaran Dato Ismail Hasan (hadapan stesen bas) pada Jumaat ini 23 November 2012 sempena Karnival Belia. Ahli panel yang akan turut serta adalah :

 Ahli Panel:
 
Dato' Hj. Noh bin Gadut.
(Penasihat MAIJ)
Dr. Ridhuan Tee bin Abdullah.
(Pendakwah Bebas)
Imam Muda Ahmad Hazran bin Ahmad Kamarul.
(Imam Muda Astro)
 
Pengerusi Forum:
 
Ustaz Mohd Khalil b. Mohd Noor
(Kadi Kluang)
 
 
SEMUA DIJEMPUT HADIR BERAMAI-RAMAI.

19 November 2012

Hidup Menuju Kemusnahan Kerana Seks Bebas, Cerita Pengidap HIV

Seorang lelaki 30-an, masih bujang, kerja di sebuah syarikat dengan pendapatan bulanan antara 4,000-5,000 sebulan. Kerjanya pula memerlukan dia pergi ke beberapa negeri beberapa hari dan bermalam di hotel di negeri berkenaan.

Terpengaruh Dengan Kawan-kawan

Kerjanya pula ramai kawan yang dari tempat lain dan ada yang kaki perempuan. Pada mulanya dia macam takut-takut, tapi akhirnya dia terjebak. Kebiasaannya, mereka 2-3 orang lelaki akan membawa perempuan balik ke hotel dengan bayaran tertentu. Bayarannya pula bukanlah setinggi mana dan tiada masalah untuknya mengeluarkan wang itu tujuan itu.

Gadis Remaja

Bila ditanya, lingkungan umur perempuan tersebut, lelaki ini kata, kebiasaannya yang umur belasan tahun dan awal 20-an. Mencari perempuan begini bukanlah susah sebab kawannya sudah biasa. Lama kelamaan, dia pula yang biasa mencari perempuan sendiri sekiranya kawannya tidak ada.

"Berkenaan bayaran ini, tak tahulah nak cerita. Rasanya dia orang tak kisah soal bayaran sebab yang penting enjoy dan dapat belanja makan dan top up telefon". Ceritanya.

Ramai Sangat Perempuannya

Bila ditanya, berapa ramaikah perempuan yang dia sudah langgan, jawabnya tak ingat. Bila dicadangkan angka 10, atau 20, atau 50, jawab dia hampir-hampir 50 orang dah. Katanya semua peringkat umur dari remaja hingga 40-an tapi yang ramainya remaja lagi.

Katanya, sudah pelbagai bangsa tapi yang ramainya adalah sebangsa dan seagama dengan kita.  Ditanya lokasinya di mana, dia beritahu 3 bandar besar yang dia biasa pegi. Semuanya di negara kita, di semenanjung ini juga. Ditanya hotel apa, dia tak berapa pasti tapi dia sebuatlah jalan apa dan berdekatan apa.

Katanya, bukan susah nak cari perempuan sebab dalam beberapa keadaan, perempuan itu akan cari lelaki dengan pelbagai cara. Katanya lagi, masa buat 'projek' dia tak semestinya pakai stokin. Ini bukan stokin biasa yer. Masa tu, nak pakai, pakai, taknak pun tak kisah.

Jatuh Sakit

Lelaki ini tidak tahu apa sakit yang dihidapinya. Badan dia kurus sehingga lebih 15 kg secara tiba-tiba. Dulu beratnya hamipr 70 kg, sekarang jadi lebih 55 kg saja. Ada orang kata dia makan ubat kurus tapi dia tak pun.Bila ditanya, adakah dia selera makan dan minum dan tidur nyenyak. Katanya semuanya macam biasa saja.

Satu hari itu dia demam, mulanya ingatkan demam biasa. Tapi demamnya melarat lebih seminggu, kemudian baik seperti sediakala. Dia menyambung kerja seperti biasa. Begitulah hidup dia, dia rasakan dia tak sakit apa-apa yang kritikal.

Nak Nikah

Lelaki ini hendak menamatkan zaman bujang yang penuh 'buaya' itu. Dia nak kawin dengan seorang gadis kampung, dari keluarga orang baik-baik. Maka dia memperlihatkan budibahasa yang tinggi pada bakal bapa dan mak mertua dia. Dia dipuji oleh masyarakat di kampung itu.

Periksa HIV

Diringkaskan cerita, lelaki ini disahkan mengidap HIV. Diringkaskan lagi cerita, akhirnya perempuan ini bernikah dengan lelaki yang dia sudah tahu ada HIV selepas diberikan khidmat nasihat oleh pakar HIV. Diringkaskan lagi cerita, maka tamatlah cerita ini.

Orang tua-tua berpesan,
"Segala yang baik dari cerita ini, jadikanlah pengajaran dan yang buruk itu jadikan sempadan".

Sama-sama Kita Renungkan

Yer, betul..... Kita dulu berada dalam kandungan ibu kita kira-kira 9 bulan lamanya. Selepas itu kita lahir sebagai anak yang tiada dosa seperti kain putih. Kemudian ibu dan bapa kita yang mendidik dan memberi pelajaran pada kita. Lepas itu kita dewasa, kita tentukan ke mana haluan kita. Kita tahu apa dia dosa, apa pahala. Orang berzina, main judi dan  minum arak tahu yang zina, judi dan arak itu dosa. Tapi tetap ada juga yang pilih dosa dan terjebak dalam lembah kehinaan ini.

Hidup kita hanya sementara, seperti kita dari JB hendak ke KL, kita singgah di R&R Ayer Keroh Melaka untuk makan, toilet dan isi minyak kereta kita. Kita tak akan terus berhenti di R&R Ayer Keroh itu, sebaliknya akan meneruskan perjalanan ke KL. Begitulah dengan hidup kita tuan-tuan dan puan-puan... kita hidup di dunia ini hanya tempat persinggahan sementara saja seperti R&R tadi, kita akan teruskan perjalanan hidup kita.

Setiap yang hidup pasti akan mati, tidak perlulah kita berhujah untuk menafikan kematian. Sehebat manakah kita.... sekaya manakah kita.... sebesar manakah pangkat kita.... kita pasti akan mati. Kita akan masuk ke lubang kubur juga. Segala harta, pangkat dan kekayaan akan ditinggalkan kepada yang hidup. Antaranya isteri atau suami kita, juga anak-anak. Yang kita bawa ke lubang kubur apa ? Jawapannya amalan kita di dunia akan dikira satu persatu. Amal baik akan dibalas baik, amal buruk dan jahat dkan dibalas jahat.

Berapa lama kita berada di dalam kubur ? Entah berapa ratus atau ribu tahun, entah bila. Jadi kalau kita lapang dan bahagia di alam kubur kita, selama mana pun, kita akan bahagia di sana dan tidak kisah selama mana kita di sana. Tapi kalau kita disiksa di kubur, maknanya berapa tahun kita akan meraung kesakitan dengan siksaan itu ? Renungkanlah....

Apabila malaikat Izrafil yang tugasnya meniup sangkakala, orang yang banyak amal baiknya akan dibangkitkan dalam keadaan yang gembira dan tenang. Sebaliknya orang yang sewaktu hidupnya di dunia dulu jahat, maka di padang Mahsyar nanti dia akan tersika lagi.

Selepas itu, ke mana perjalanan mereka ? Syurga atau neraka ?

Kembali Kepada Kisah Tadi

Sama-sama kita renungkan, adakah perempuan-perempuan yang hampir 50 orang ini adalah pengidap HIV juga ? Bagaimana dengan kawan-kawan dia termasuk yang ajak dia buat jahat dulu ? Juga kawan dia yang dulu baik tapi jadi jahat sebab dia yang ajar orang ni jadi jahat. Adakah mereka juga pengidap HIV ?

Jawapannya, selagi tak periksa darah untuk HIV, tak tahu keputusannya. Kalau setakat nak periksa kandungan gula atau kolestrol dalam darah, rasanya tak dapat tahu dia ada HIV.
Sekian.

14 November 2012

Nikah Dengan Guru Tadika Anak, Isteri kedua


Seorang lelaki umur 40-an sudah ada isteri 40-an dan beberapa orang anak. Lelaki ini kerja adalah kerjanya dengan pendapatan dalam 5,000 sebulan.

Diringkaskan cerita, akhirnya lelaki ini bernikah dengan guru tadika tempat anaknya sekolah tadika. Isteri kedua ini umur 20-an dan masih anak dara. Mereka berkenalan pun di sekolah tadika ini iaitu selalu hantar dan ambil anaknya sekolah.

Mereka nikah senyap-senyap dan beberapa bulan lepas nikah, barulah isteri pertamanya tahu.

11 November 2012

Dua Lelaki Islam Sedang 'Servis' Pelacur Dicekup

 
KLUANG – Dua pasangan dicekup Jabatan Agama Islam Johor (Jaij) daerah Kluang dalam satu operasi yang diadakan di sebuah hotel di sini, petang kelmarin.Serbuan tersebut dijalankan kira-kira jam 6 petang berikutan terdapat aduan daripada orang ramai wujudnya kegiatan pelacuran di hotel bajet berkenaan.

Menurut Pegawai Tadbir Agama Daerah Kluang, Mohd Khalil Md Noor, berdasarkan aduan diterima seramai 10 anggota Jaij dan pegawai Cawangan Penyiasatan Khas (CPK) Angkatan Tentera Malaysia (ATM) telah mengadakan serbuan.

“Hasil serbuan itu, dua pasangan berjaya diberkas di dua bilik berasingan. Serbuan di bilik pertama, Jaij berjaya tahan lelaki warga Indonesia berusia 58 tahun yang beragama Islam bersama pasangannya bukan Islam berusia 42 tahun.

“Lelaki Indonesia itu sudah berkahwin dan telah melanggan pelacur wanita dengan bayaran sebanyak RM30.

“Manakala, di bilik kedua, seorang lelaki berusia 33 tahun bersama seorang pelacur bukan Islam berusia 44 tahun turut ditahan,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian,
semalam.

Mohd Khalil berkata, lelaki Melayu yang ditahan itu merupakan kakitangan kerajaan yang  dari Mersing datang ke Kluang untuk melanggan pelacur.

"Aktiviti pelacuran di hotel berkenaan akan menjadi rancak setiap kali tiba waktu gaji apabila ramai pelanggan akan datang ke hotel tersebut.
“Ini kerana hotel itu menawarkan harga murah bagi sesiapa yang ingin mendapatkan perkhidmatan pelacur.

“Bagaimanapun, pihak Jaij akan mengadakan operasi seumpama ini sepanjang masa bagi menangani masalah pelacuran di daerah ini.

“Hasil soal siasat dijalankan, kedua-dua lelaki itu akan di dakwa di bawah Seksyen 27 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Johor.

“Jika sabit kesalahan, mereka boleh dikenakan denda sehingga RM3,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali.

“Manakala kedua-dua wanita yang ditahan itu dibebaskan selepas keterangan diambil kerana mereka bukan Islam,” katanya lagi.

(Dipetik dari akhbar Sinar Harian 10 Nov 2012)

09 November 2012

Entah Macam Mana Isteri Boleh Tahu Dia Dah Nikah (Episod 2)


Si suami tersenyum sendiri sambil sedawa turun ari lif kondo menuju ke kereta. Sebab apa senyum ? Yer le, baru lepas jumpa isteri muda. Tadi dia pesan kat isteri pertama, dia balik lewat sebab bos dia suruh buat kerja luar. Lega rasa dalam hati, aktiviti dia lepas kerja ini tidak dihidu isteri tuanya. Sebenarnya, dari pukul 5 lepas kerja hingga jam 6.30 petang, suami menggilap isteri mudanya.

Terkantoi

Sampai saja kat kereta, dia tekan saja alarm kereta, terdengar isteri dia jerit. Pandang ke sebelah kiri kat kereta orang lain, rupa-rupanya isteri dia dengan seorang lelaki. Lelaki itu pula adalah adik ipar dia. Mampusssss kali ni.....

Tak sempat dia kata apa-apa, isteri dia terus serang dan pukul dengan beg tangan beberapa kali. Adik ipar dan pengawal keselamatan memerhatikan saja. Bila dah kecoh, ramai lagi orang situ perhatikan, sampai si suami naik malu.

Suami sampai dah tak boleh kata apa.

"Sabar ayang, sabar....". Itu jer yang dia dapat kata.

"Ooooo... awak cakap ada kerja ada kerja, rupanya awak ke rumah perempuan sundal ni....." . Kata isteri dia naik angin.

Malu muka betul si suami, sampai tak boleh sorok kat mana.

"Saya nak awak ceraikan saya, awak ceraikan saya sekarang !" Kata isteri dia.

"Sabar ayang, sabar, kita bincang kat rumah... malu orang tengok". Kata suami.

"Oooooo malu yer. malu ! Awak ni muka tak malu. Suami tak malu, penipu !". Kata isteri.

Diringkaskan cerita, suami start kereta dan balik ke rumah seorang diri. Rumah dalam 15 km dari situ. Dalam kereta tu, suami dok fikir, apalah akan jadi kat rumah nanti. Mesti lagi gempa bumi dibuatnya.

Tapi suami ada idea, dia suka tengok cerita Madu Tiga dan suka baca Blog Kadi Kluang walaupun dia tak pernah jumpa dan tak pernah kenal Kadi Kluang. Dia ingatkan semula, apa lakonan P.Ramlee, tapi kalau dia buat tu, mesti isteri dia tahu sebab isteri dia pun peminat P.Ramle. Tapi dia tahu, blog kadikluang isteri dia tak pernah baca.

Hasrat nak balik rumah tak jadi, tapi dia singgah kedai mamak dulu, cari idea sambilminum teh tarik. Ini jangan main-main punya, boleh mati jadinya ni kalau tak kena gaya.

BERSAMBUNG KE EPISOD 3


08 November 2012

Pelaburan Kayu Gaharu, Untung Besar Wooo....

Semalam saya pergi ke satu tempat dan ada jualan di situ. Lebih kurang, orang itu menawarkan pelaburan wang ringgit untuk dapat untung besar dengan penanaman kayu gaharu. Katanya, syarikat itu boleh ususkan pinjaman kepada sesiapa yang berminat seterusnya akan dilaburkan dalam skim gaharu ini.
 
Adakah Ini Tidak Salah ?
 
Tidakkah memungut wang dari orang ramai untuk dibuat pelaburan adalah satu kesalahan ? Kalau salah, tindakan perlu diambil segera. Jangan sampai nanti ramai orang dah masuk dan jumlahnya ratusan juta, baru tindakan diambil.
 
Penipuan Pelaburan Emas, Lintah, Cacing danStevia
 
Dalam minggu ini sahaja, kerajaan telah bertindak termasuk pendakwaan kepada sendikit pelaburan haram ini. Antaranya dan paling banyak adalah emas. Kemudian skim lintah, cacing dan hari ini stevia. Baguslah tu, tindakan tegas sudah diambil.
 
Tahukah kita apa itu stevia. Pelik namanya yer, dan kalau nak tahu lanjut, malam ni datanglah ke hotel sekian untuk dapatkan penerangan. Malam itu juga yang datang akan teruja. Kononnya penanaman stevia ini akan menggantikan gula yang jadi penyebab sakit kencing manis.
 
Dulu dah ramai kena tipu, antaranya skim ikan arowana, ikan patin, ketam batu, serai dan lain-lain.
 
Apa Cerita Skim Haji Jasman ?
 
Saya tak tahu apa cerita skim Hj Jasman. Adakah ini penipuan atau tidak. Yang pasti, kita tak dengar lagi tangkapan atau pendakwaan. Kenapa ? Sedang kumpul maklumat atau bukti ? Kalau skim ini adalah penipuan, sepatutnya didakwa.
 
 Atau skim ini betul ? Entah.... mana saya tahu. Yang pasti, saya dah dengar skim ini lebih dari dua tahun tapi tak jelas apa kesudahannya.
 
Skim Pelaburan Gaharu
 
Saya tak tahu apakah melabur dan kasi duit pada seseorang yang ditemui di dalam suatu ekspo adalah satu kesalahan atau tidak. Saya pun tak tahu, adakah ada laporab polis atau kepada Bank Negara terhadap skim ini. Cuma yang saya boleh baca, skim ini sama saja macam skim cacing, stevia, lintah dan lain-lain yang saya dah sebut tadi.
 
Bukan apa, saya bimbang, nanti orang kita nakkan untung saham gaharu. Akhir kesudahannya nanti duit entah ke mana, jadi tergaru-garu pulak mengenangkan pokok gaharunya. Untung besar katanya, rupanya ketua dan ahli sendikit yang untung besar, pelabur tergaru-garu kena kayap.
 


06 November 2012

Contoh Teknik Bila Dah Kantoi, Isteri Tau Suami Dah Nikah Lagi

Jangan main-main kalau isteri tau kita dah kawin lagi.... Sampai tak boleh cerita punya dahsyat. Perang besar jadinya yang lebih dahsyat dari Perang Bosnia, Perang Iraq, Perang Korea atau Perang Afghanistan bila isteri tahu suami dah bernikah. Suami 40an bernikah dengan gadis 20-an sedangkan dia masih ada isteri umur 40an.

Suami kerja swasta dengan gaji  lebih kurang RM 3,000. Isteri pertama kerja kerani gaji dalam hampir 2,000. Manakala isteri baru lagi cun dan bergetah tu, kerja swasta gaji lebih RM 2,000. Perkahwinan dengan isteri pertama dikurniakan beberapa orang anak dan hidup pasangan ini bahagia. Tapi, bahagia-bahagiapun, suami pegi nikah lagi satu. Yerlah, bahagia ini terlalu luas hendak ditafsirkan. Mungkin dah bahagia nak cari lebih bahagia lagi kot.

Semuanya Sudah Berlaku

Apapun nak kata, lelaki ini bernikah dengan isteri baru tanpa pengetahuan isteri pertama. Ada juga kawan-kawan nasihat supaya beritahu isteri, tapi dia taknak buat. Dia tahu isteri dia macam mana, kalau angin kus-kus datang, boleh terbalik satu rumah jadinya. Itu yang dia nikah saja. Macam satu tulisan kat blog saya juga kot. mungkin dia belajar kat sini, KLIK SINI.

"Tak tahulah ustaz, macam mana saya boleh bernikah lagi. Inilah yang dikatakan suratan takdir.". Kata lelaki ini.

Nikah pula di 'seberang' dan ada sijil. Suami rahsiakan lama juga, hampir setahun. Rumah isteri pertama dan kedua dalam daerah yang sama. Suami pula hampir setiap hari tidur malam di rumah isteri pertama. Dia ke rumah isteri kedua kejap-kejap saja macam orang periksa meter air atau eletrik.

Duduk pula di rumah kondo, kira line clearlah tu. Kalau pembantu rumah anda dari Indon baru masuk sini, jangan diajar cakap kondo, nanti lain bunyinya. Dulu pembantu rumah saya baru masuk, dia tambah huruf 'm' di hujungnya, lain bebenor bunyinya.

....BERSAMBUNG KE EPISOD KEDUA.

05 November 2012

Bolasepak Johor Bakal Menggegarkan Liga Malaysia


Bekas penyerang Sepanyol, Daniel Gonzales Guiza akan bersama Johor dalam kancah Liga Malaysia musim 2013. Peminat-peminat bolasepak Johor gembira dengan perkembangan ini yang mengharapkan pasukan ini menjadi pasukan terkuat dalam saingan Liga Malaysia. Maklumlah, sejak kebelakangan ini, pasukan Johor gagal menunjukkan persembahan yang memberansangkan dan berada di tangga ke bawah.

Penyerang kelab Liga Sepanyol, Getafe CF yang dipinjam selama semusim itu tidak berselindung mengenai misi utama kehadirannya dalam Liga-M iaitu muncul penjaring terbanyak sekali gus memenangi Kasut Emas.
Guiza, 32, pernah muncul pemenang Kasut Emas La Liga ketika mewakili Real Mallorca pada musim 2008 dengan menjaringkan 27 gol daripada 37 perlawanan sekali gus membuka ruang mewakili Sepanyol dalam Piala Eropah 2008 dan La Roja muncul juara kejohanan berprestij itu.

Tahniah diucapkan kepada Persatuan Bolasepak Negeri Johor yang diterajui oleh Tengku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tengku Mahkota Johor. Belum pun kejohanan bermula, rakyat Johor sudah mula bersemangat untuk melihat pasukan Johor beraksi.

02 November 2012

Ramai Anak Dara Belum Kawin dan Nak Cari Jodoh


"Tuan, tolong carikan saya jodoh yang sesuai". Kata seorang gadis.

Dia ni kerja kerajaan, umur 30-an dah nak masuk umur 40. Nak kata muka tak cantik, tak juga. Bukan orang tak minat kat dia, tapi ada saja alasan. Antaranya jawatan tak setinggi dia. Dia ada ijazah dan orang tahu dia ada ijazah.

Bercinta dan Putus Cinta

"Terus teranglah tuan... sebelum ini pun saya pernah bercinta, dah tak ada jodoh" Katanya.

Bila bab ini, saya tak perlulah cungkil rahsia orang dan biarlah rahsia seperti kata Siti Norhaliza.

Saya Percaya Kepada Ustaz

Seorang lagi, juga umurnya 30-an, ceritanya hampir sama. Masih anak dara dan berjawatan tapi belum ada teman hidup. Tapi, dia ini saya tak boleh cerita lebih-lebih sebab ada satu ayat yang membuatkan saya terdiam.

"Saya percaya kepada ustaz dan harap ustaz jangan masukkan cerita ini dalam blog ustaz.". Kata perempuan ini.

Okeylah, saya tak masukkan cerita dia. Cuma saya nak beritahu cerita ini kat blog saya tanpa mengaitkan identiti dia. Mulanya pening juga saya memikirkan. Yer ler, dia minta saya carikan jodoh tapi dengan cara senyap-senyap.

Sekadar Nak Bercerita

Bukanlah senang nak carikan jodoh untuk orang lain sebab minat dan kehendak setiap orang berbeza. Di jalanraya saja ada pelbagai jenama kereta, maknanya bukan satu model saja yang orang suka. Siaran tv pun sekarang ada berpuluh-puluh dan bukan semua rumah buka channel yang sama.

Orang kita selalu sebut, "jodoh itu di tangan Tuhan". Atau "kita hanya merancang, Allah yang menentukan".

Di Mana Kita Sekarang ?

Apa-apa pun, kesimpulan yang saya nak cerita adalah, ramai gadis di negera kita sekarang belum berkahwin. Tidakkah fenomena ini semakin membimbangkan ?

Dijemputlah beri komen, komen yang emosi seperti "buat apa kawin kalau ramai lelaki tak bertangguingjawab sekarang". Komen seperti ini tidak akan disiarkan.

01 November 2012

Dr Zahazan Mohamad Penceramah Maal Hijrah Peringkat Daerah Kluang

Semua orang Islam dijemput ke Masjid Bandar Kluang pada 14 November 2012, Rabu sempena sambutan Maal Hijrah. Aturcara adalah seperti berikut :
6.00 petang : Bacaan Yasin dan tahlil
                    : Bacaan Doa akhir tahun hijrah.
                    : Solat Maghrib
                     : Bacaan doa awal tahun hijrah
                     : Pengumuman Tokoh Maal Hijrah Daerah Kluang.
                     : CERAMAH AGAMA oleh :
                      Ustaz Dr Zahazan bin Mohamad, bekas pensyarah
                      Universiti Islam Antarabangsa.
                      (Sering muncul di TV dan Radio IKIM.FM /
                       Pengarah Urusan Majalah SOLUSI)
                     : Solat Isyak.
                     : Jamuan makan malam.
Semua dijemput hadir.


Gaji Kakitangan Kerajaan Naik 5 Peratus Tahun Depan ?


Pagi ini bila baca sebuah akhbar harian popular, muka depannya memuatkan berita sensasi mengenai kenaikan gaji kakitangan awam. Yang saya faham (orang lain saya tak pastilah dia orang faham macam mana), gaji semua kakitangan awam akan naik 5 peratus tahun depan.
Reaksi awal saya masa berbual dengan kawan-kawan, saya kata begini.
 
"Semuanya bergantung atas diri kita sendiri.......Macam tak ada guna gaji naik setinggi mana pun, kalau kita tak belanja berhemah. Tengoklah, hari ni, belum pun naik gaji 5 peratus, ada yang dah ambil kalkulator kira kenaikan berapa."
"Lepas tu ada segelintir yang congak-congak nak buat personal loan dan nak beli kereta baru atau rumah baru. Sedangkan buat personal bukan ada tujuan apa-apa, sekadar nak nampakkan kita ada duit. Lepas tu, duit dihabiskan setahun dua saja tapi kena potong gaji sampai 15 ke 20 tahun."

Kereta Baru

"Yang beli kereta baru pula memang syok. Tapi orang tu dah ada  kereta lama yang masih baik yang dah habis bayar bank. Atau bayaran ansuran bulanannya dah nak habis. Ada orang kata, kalau sebelum ni bayar kereta RM 600 sebulan boleh, kalau bayar RM 800 sebulan lepas ni tak ada masalahlah sebab tahun depan gaji naik RM 200. Tapi pada saya semua ini silap, maknanya gaji naik dia cuma dapat nikmat kereta baru saja ler"

Rumah Baru

"Beli rumah pun kena hati-hati, jangan ikut sedap hati jer. Kawan kita beli rumah, janganlah kita nak berlawan-lawan. Mungkin kawan kita tu gaji lebih, tapi kita ? Kenalah tengok kemampuan kita sendiri. Orang tu pun mungkin dah ada rumah. Tapi bila gaji naik, mulalah rasa rumah dia tak selesa dan nak beli rumah baru yang lebih mahal. Lepas tu nak buat ubahsuai rumah ribu-ribu. Ada orang duit habis untuk repair rumah saja. Dapat bonus repair rumah, dapat naik gaji repair rumah, buat personal loan repair rumah, dapat KWSP repair rumah. Sedangkan duit simpanan dia tak ada, habis....."

"Kalau begitulah sikap kita, lebih baik tak naik gaji. Sebab, naik setinggi mana pun gaji kita, kita masih di tahap i tu. Nasihatlah kawan-kawan terutama yang baru-baru kerja ni, janganlah terburu-buru".

Pelaburan Emas

"Ini tengok pelaburan emas. Ada orang terlalu ghairah beli atau melabur emas. Bacalah tulisan kat blog saya, lebih setahun dulu saya dah minta orang berjaga-jaga dalam pelaburan emas. Saya kata, banyak yang meragukan, tapi orang kita terjebak juga. Sekarang bila dah terkena, tak bolehlah kita nak salahkan sapa-sapa."

Kata saya pada kawan saya. Ini kira kata-kata nasihat sebelum sama-sama dapat kenaikan gaji. Tidak lupa juga, kepada yang gaji tahunannya naik Januari setiap tahun, lagilah banyak kenaikannya nanti.
Dalam jam 6.00 petang, keluar berita kat radio. Katanya, kenaikan itu bukanlah semua penjawat awam yang 1.4 juta seperti yang akhbar tu kata. Tapi hanya kepada kakitangan yang dah sampai gaji maksimum saja. Maknanya beberapa orang sajalah yang terlibat. Rasanya yang dah umur 50 tahun lebih yang dah dekat nak pencen saja yang naik gaji tu. Itupun bukan semua.

Melepaslah kita orang.