Untuk Memilih Tajuk Artikel Dalam Blog Ini, Sila Taip Perkataan di sini.

28 Februari 2010

"Nak Kasi BonXXX ?"

Tadi lepas ceramah di satu tempat, orang tu kata, sekali dengar macam dia kata:

'nanti sekejap, nak kasi bontot'. Kata orang tu, sedengar sayalah.

Apalah pulak nak kasi bontot, ingat apa ? Lepas tu dia kasi satu bungkusan. Rupanya bukan bontot tapi 'bontrot'. Dalam istilah Jawa, maksudnya mungkin lebih kurang bungkusan makanan. Walaupun bukan orang Jawa, bolehlah juga faham sebab biasa dengar, terutama musim-musim beri ceramah ni.

Ingat... cakap biar jelas. Dengar betul-betulllll... bontrot, bukan bontot.

-BILA ISTERI LAYAN PENGKID...

Di Johor Bahru dulu, ada seorang suami mengadu ke Bahagian Penguatkuasaan kerana isterinya melayan tomboy. Isterinya yang tak bekerja sering didatangi wanita tomboy ini waktu suami bekerja. Wanita tomboy ini bekerja di sebuah pejabat kerajaan di Johor Bahru. Banyak kali  juga suami terserempak dengan tomboy ini bila balik ke rumah yang kemudiaannya segera balik. Isterinya juga selalu  keluar ke rumah tomboy ini pada masa-masa tertentu. Maka tanggungjawab sebagai isteri terabai.

Suami ni mengadu, sejak kenal tomboy ini, perangai dan layanan kepada suami sangat dingin. Suami pernah beberapa  kali membaca 'sms cinta' dari tomboy ini. Tomboy ini juga selalu belikan barangan berharga kepada isterinya seperti telefon, minyak wangi dan kek. Banyak kali berlaku pertengkaran suami isteri kerana tomboy ini. Tapi setiap kali suami menyalahkan tomboy ini, isterinya tetap membela. Isteri pula menafikan dia ada hubungan cinta dengan tomboy ini tetapi hanya sekadar kawan biasa saja. Semua ini membuatkan rumahtangga yang dibina kira-kira sepuluh tahun lalu terus bergolak.

Bukan senang nak menangani masalah ini. Pasangan ini sudah melalui proses kaunseling di pejabat agama tetapi masalah ini masih tetap berlaku. Maka dia minta tolong saya, dengan tujuan untuk menangkap tomboy ini. Saya jelaskan, kes ini bukan senang, bukan semudah kes khalwat. Kalau khalwat, lelaki dan wanita berada di dalam rumah saja, maka sudah kuat untuk ditangkap dan dituduh di mahkamah. Tapi ini perempuan dan perempuan.  Saya jelaskan, kalau ada saksi yang jelas menunjukkan kedua-dua wanita ini buat kerja 'tak senonoh' ini, maka barulah tindakan boleh diambil. Bila saya tanya bali pada suaminya, suaminya pun kata tak pernah melihat sendiri isterinya buat 'tak senonoh' ini. Cuma sekadar dia tahu saja.

Menurut suami, setakat hari ini, kes ini masih berlaku cuma agak perlahan sikit, tidak secara terbuka seperti dulu. Cuma katanya, isterinya tetap menjalinkan hubungan dengan pengkid ini di luar rumah dan waktu suami ada tugas luar. Kata saya,  sebaiknya suami bimbinglah isteri itu dan carilah jalan penyelesaian terbaik dalam keluarga mereka. Mungkin pembaca boleh bantu, memberi idea untuk  menyelesaikan masalah ini.

27 Februari 2010

CARA MENGELAK KERETA TERBAKAR BILA KEMALANGAN (Episod 9)

Akhbar hari ini banyak cerita pasal satu kes kematian bila kereta Merc Benz terbakar di tepi lebuhraya Utara Selatan di Perak. Sekarang ini banyak berlaku kejadian sebegini dan menakutkan. Baru-baru ini saya tegur seorang yang bawa kereta Peugeot 405 yang keretanya ada bau petrol. Bila dibuka enjinnya, ada petrol meleleh di karburatornya. Saya cadangkan dia segera baiki karburator tersebut atau tukarkan dengan karburator yang baru. Kalau tidak dibaiki segera, kemungkinan kereta boleh terbakar apabila panas. Dalam keadaan itu, pemandu mungkin boleh gagal menyelamatkan diri kerana terperangkap dalam kereta.

Ok. Saya petik satu artikel di dalam sebuah akhbar yang mencerita lanjut tentang kes kebakaran seperti ini. Percikan api kabel, petrol tertumpah pada bahagian terlalu panas dan muatan mudah terbakar dikenal pasti punca menyebabkan sesetengah kenderaan terdedah kepada kebakaran apabila kemalangan.

Jurulatih Persatuan Automobil Malaysia (AAM) Motorsport, Fauzan Mutaad, berkata tiga faktor terbabit selalu menjadi penyumbang kepada kebakaran kenderaan yang terbabit dalam kemalangan dan bukannya disebabkan spesifikasi pada enjin. Katanya, pengeluaran automotif kini semakin moden, malah dengan tahap keselamatannya lebih tinggi bukan mudah sesebuah kereta rentung disambar api dalam kemalangan, jika tiada faktor penyumbang. “Kenderaan susah terbakar disebabkan pendawaian dan tidak juga kerana enjin dan aspek teknikalnya kerana kenderaan sekarang sudah canggih.

“Tetapi, jika petrol terkeluar dan terkena pada bahagian enjin, malah brek dan ekzos yang berada dalam tahap kepanasan, kereta itu boleh terbakar,” katanya, semalam. Beliau diminta mengulas mengenai beberapa kes rentung dalam kenderaan apabila terbabit dalam kemalangan jalan raya malah sehingga pertengahan bulan ini saja tiga kes sudah dilaporkan akhbar.
Cerita Kereta Episod 10, klik sini

Restoran Mamak Tetap Perlu Pekerja Asing ?

Kempen untuk mengrekrut rakyat tempatan sebagai pelayan, chef dan juruwang di restoran nasi kandar dan makanan India bukan sahaja tiada sambutan malah boleh dilabelkan sebagai 'gagal'.
Daripada 45,000 jawatan kosong di 2,000 restoran nasi kandar dan 1,100 restoran mamak di seluruh negara, tidak sampai 100 pertanyaan diterima untuk mengisi kekosongan tersebut daripada masyarakat tempatan.

Perkara ini didedahkan oleh Presiden Persatuan Pemilik Restoran Muslim Malaysia (Presma) Noorul Hassan Saul Hameed. Katanya, respon yang sedikit itu adalah disebabkan di pasaran sekarang terdapat terlalu banyak kerja kosong yang jauh lebih menarik daripada imbuhan yang ditawarkan oleh restoran.

"Walaubagaimana pun kami akan terus bekerjasama dengan Jabatan Sumber Manusia dan beberapa NGO untuk bantu mengatasi masalah ini," ujarnya.

Pada 10 Februari lalu, Presma mengumumkan pengusaha restoran nasi kandar di seluruh negara akan menawarkan pakej gaji yang menarik untuk rakyat tempatan. Restoran nasi kandar sahaja menawarkan lebih kuran 25,000 kerja kosong tetapi sehingga sekarang tidak dapat diisi oleh rakyat tempatan.

Kata Noorul Hassan lagi, gaji bulanan untuk pembantu restoran (pelayan) ialah antara RM800 hingga RM1,300 sebulan bergantung kepada pengalaman sementara juruwang ditawarkan gaji antara RM1,000 hingga RM1,300. Penyelia dan tukang masak pula ditawarkan gaji antara RM1,500 hingga RM2,500 sebulan.

Perangai Zaman Jahiliyah Masih Berleluasa

Seorang wanita berusia 21 tahun disyaki membunuh bayi lelaki yang baru dilahirkannya Isnin lalu dengan melemaskan anaknya dalam pam tandas sebuah sekolah memandu di Segamat, bagi melindungi hubungannya bersama dua lelaki daripada terbongkar. Mayat anaknya itu kemudian disumbat dalam tangki pam tandas berkenaan sehingga menyebabkan tubuh kecil itu remuk dan pecah.

Namun, rahsianya tidak bertahan lama apabila orang ramai yang merungut bau busuk dari tandas berkenaan membawa kepada penemuan mayat bayi yang mula membengkak dan reput.
Difahamkan, ketika kejadian, dia berada hampir dua jam dalam tandas kononnya kerana membuang air besar dan orang ramai tidak mengesyaki sebarang perkara pelik.

Bagaimanapun, dia sebenarnya melahirkan bayi cukup sifat hasil hubungan sulit dengan dua lelaki berkenaan.

"Selepas hampir dua jam dalam tandas, dia keluar dari tandas dan meminta bantuan seorang pekerja sekolah memandu itu untuk mendapatkan beg plastik sebelum kembali semula dalam tandas dengan alasan perutnya kembali memulas.

"Dipercayai dia menggunakan beg plastik berkenaan untuk membungkus bayi baru dilahirkan itu sebelum dimasukkan dalam tangki pam berkenaan dan terus beredar," katanya.

26 Februari 2010

Jadi Penjamin Punya Pasal, duit habis lesap

Tadi petang, ada satu keluarga datang rumah iaitu suami, isteri dan anak dalam lingkungan 5 tahun. Dia nak minta bantuan kewangan untuk duit minyak kereta dia balik ke Pulau Pinang. Katanya, hari ini hari cuti, maka dia tak dapat ke pejabat Agama, maka ada orang beritahu, nak bantuan, datang saja rumah Kadi. Hairan juga, kenapa nak bantuan kena datang rumah saya tapi hari ini cuti Maulid, mungkin orang ini dalam kecemasan.

Orang ni dari Pulau Pinang naik keretapi, datang ke Kluang nak ambil kereta dari seseorang yang dia jadi  penjamin. Sebagai penjamin, dia dalam kerisauan kerana pemiliknya tak bayar lebih 5 bulan. Maka dia berunding untuk ambil saja kereta ini dan nak jual sambung bayar pada seudaranya di Pulau Pinang. Kalau dibiarkan saja manalah tahu kalau dia sebagai penjamin pun akan kena tindakan mahkamah. Jadi dia bertindak segera dan pemilik bersetuju untuk jual sambung bayar.

Mula datang tu, mesti ada rasa syak, betul atau tidak cerita ini, atau saja main-main nak cari kesempatan. Akhirnya saya percaya, mereka ikhlas. Percakapan suami isteri dalam loghat Kedah, bukan perkara yang direka-reka, saya yakin. Dia kerja di bendang, pendapatan dalam RM 1000 sebulan. Dia cuma nak duit minyak kereta untuk sampai ke Pulau Pinang. Maka dia dapatlah sikit bantuan, walaupun tak banyak. Saya nasihatkan dia ikut jalan lama untuk jimat tol ke Pulau Pinang. Dia salam saya dan ucap terima kasih sebelum pulang.

"Semoga Allah membalas jasa Tuan Kadi...". Dia kata, dan saya aminkan saja dalam hati.

Inilah hikayat seribu satu malam, kisah seorang penjamin orang beli kereta. Jadi kepada orang yang beli kereta yang ada penjamin, fikirkanlah nasib penjamin tu. Janganlah mendera hidup orang yang tak berdosa. Kenapa dulu masa nak mintak tolong kawan jadi penjamin, kita baik hati. Bila dah dapat loan bank, lain pula jadinya.

SAMBUTAN MAULIDUR RASUL PERINGKAT DAERAH KLUANG MERIAH

Sambutan tahun ini sungguh meriah. Ribuan masyarakat membanjiri padang sekolah bersebelahan masjid Jamek Kluang. Perasmian disempurnakan oleh Tuan Haji Abdul Razak bin Saleh, Pegawai Daerah Kluang. Penceramah undangan adalah Tuan Haji Morsid bin Mahrof, pendakwah bebas yang baru dilantik sebagai Hakim Mahkamah Rayuan Syariah Negeri Johor.

Sebelum itu, persiapan sudah dimulakan sejak Khamis, ramai yang membantu menyediakan masakan secara gotong royong di masjid. Ikuti gambar-gambar yang sempat saya rakamkan.





Kumpulan Nasyid warga Syarikat Air Johor Kluang

Nasyid dari Polis PGA Simpang Renggam


Ustaz Morsid dikerumuni selepas berceramah



Tempat makan wanita penuh sesak, alhamdulillah makanan cukup




Terima kasih diucapkan kepada semua pihak yang telah menjayakan sambutan ini secara lansung dan tidak lansung. Selepas ini, beerapa masjid, surau dan taman akan mengadakan sambutan masing-masing. Saya pun banyak juga jemputan berceramah. Yang terdekat, sesiapa nak jumpa saya berceramah, datanglah malam esok (Sabtu) di surau Kampung Sembrong Kluang. Di Johor, sambutan Maulid ini meriah sehingga menjangkau 3 bulan, bergantung pada keadaan dan kesesuaian.

AMY SEARCH KINI PENDAKWAH


Penyanyi rock tanah air, Amy Search akan menjayakan program sempena sambutan Maulidur Rasul 1431 di Masjid Kota Damansara pada hari Ahad, 28 Februari ini. Namun, Amy atau nama sebenarnya Suhaimi Abdul Rahman (gambar) tidak mendendangkan lagu-lagu popularnya tetapi menjadi ahli panel pada forum bertajuk ‘Islam Untuk Semua’ yang bermula jam 8.00 malam.

Pendakwah bebas, Ustaz Ahmad Dasuki Abdul Rani turut serta sebagai ahli panel pada majlis yang dipengerusikan oleh Ustaz Azhar Yaakub itu. Wahid Senario pula diundang bagi mengendalikan acara kanak-kanak seperti pertandingan nasyid, bercerita dan menulis khat yang bermula jam 2.00 petang.

Hasil Zina ?

HASHIM EMBI MENINGGAL DUNIA

Anda kenal Hashim Embi ? Pembaca berita RTM sejak dulu lagi,sejak mula kenal TV hitam putih tahun 7--an.  Bekas pembaca berita itu meninggal dunia pada pukul 10.57 pagi tadi akibat kanser prostat. Beliau telah berkhidmat di RTM selama 35 tahun.

25 Februari 2010

Romenlah Anda, Sebelum Anda Kena Tangkap..

CEUPEC LUAHKAN PERASAAN PEKERJA PERKHIDMATAN AWAM

Cuepacs menyarankan pekerja Kumpulan Sokongan II membuat kerja sampingan bagi menjana pendapatan tambahan sekiranya jabatan tidak mempunyai peruntukan bagi membayar kerja lebih masa yang dilakukan. Presidennya, Omar Osman, berkata Cuepacs ada menerima aduan dari pekerja kumpulan sokongan itu bahawa mereka tidak dibayar bagi kerja lebih masa yang dilakukan atas alasan jabatan tidak mempunyai peruntukan atau "bajet".

"Jadi buatlah kerja anda seperti biasa dari 8 pagi hingga 5 petang, lepas itu tidak perlulah buat OT (kerja lebih masa), pergilah tukar baju, jadi pemandu teksi ke," katanya ketika ditemui pemberita pada bengkel tatatertib sektor awam dan mesyuarat khas Majlis Kongres Cuepacs di sini hari ini. Omar berkata pihak jabatan sepatutnya membayar kerja lebih masa yang dilakukan walaupun tidak sepenuhnya agar tidak menjejaskan produktiviti.

"Janganlah tidak membayar langsung. Contohnya, jika pekerja buat kerja lebih masa 100 jam, sekiranya jabatan tidak boleh membayar 100 jam, bayarlah bagi 70 jam kerja lebih masa. Lagi 30 jam dijadikan sebagai cuti gantian," katanya.

Omar berkata terdapat hampir 450,000 pekerja Kumpulan Sokongan II di bawah Gred 1 hingga 16 yang terdiri daripada pemandu, pembantu am pejabat, pembantu rawatan kesihatan dan pekerja rendah awam yang mana 60 peratus daripadanya membuat kerja lebih masa.

USTAZ MORSID MAHROF PENCERAMAH MAULIDUR RASUL KLUANG

Orang ramai di Kluang, jangan lepaskan pluang  untuk menghadiri majlis Maulidur Rasul esok, mulai  jam 8.00 pagi. Sambutan cukup meriah. Sekarang ini, ramai yang sedang berkumpul di masjid, untuk persiapan menyediakan jamuan untuk esok. Dijangka 10,000 ribu orang akan hadir esok, isyaallah. Tahun ini, Ustaz Morsid Mahrof akan menyampaikan ceramah di majlis ini. Siapa dia Ustaz Morsid ? Ikuti artikat saya pada 16 Oktober 2009 yang saya siarkan semula di sini....


Alhamdulillah, Rabu lepas, sempat saya berkunjung ke kediaman Ustaz Morsid Mahrof di Johor Bahru dalam jamuan hari raya. Ramai tetamu yang hadir dari dekat dan jauh. Siapa Ustaz Morsid ? Ustaz Morsid sekarang adalah pendakwah bebas yang tidak asing lagi di negara kita. Sebelum ini bekhidmat di Jabatan Agama Johor, bersara tahun 2004. Berpengalaman sebagai Kadi, Hakim Mahkamah Syariah dan jawatan-jawatan lain di Jabatan Agama Johor.

Sekitar tahun 1994-1999, ustaz sering muncul di kaca tv dalam forum ehwal Islam yang berjaya menarik minat jutaan penonton. Pada masa itu, Ustaz Morsid saya dianggap sebaris dan sama hebatnya dengan Dato' Haron Din, Dato' Ismail Kamus, Dato' Hasan Ali, Ustaz Ghani Shamsudin dan lain-lain. Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, TV1 dah makin kurang jemput Ustaz Morsid. Ramai orang cakap, forum Ehwal Islam di TV1 sekarang sudah tak sehebat dulu, antara sebabnya adalah ahli panelnya yang tidak sehebat dulu.

Sejak bersara, ustaz tidak putus-putus menerima jemputan ceramah. Sekarang, setiap minggu, ustaz muncul di radio RTM Johor untuk slot ceramah. Ustaz juga tidak putus-putus menerima jemputan ceramah di sekitar Johor dan negeri-negeri lain termasuk Singapura. Saya percaya, sesiapa yang mengenali ustaz Morsid secara lebih dekat, pasti akan mendampinginya untuk menuntut ilmu. Tentu ada yang istemewa dan orang lain tidak memilikinya.

Mendengar ustaz Morsid berceramah atau berforum sungguh menarik. Saya sebelum ini selalu bersama-sama menjadi ahli panel forum bersama ustaz. Pada mulanya saya rasa rendah diri dan mengelak dari berforum bersama orang yang hebat seperti ini. Lama-kelamaan saya biasa berganding dengan ustaz, banyak tunjuk ajar yang diberikan kepada saya. Ilmunya yang tinggi, ceritanya yang menarik, gurauan dan gayanya berjaya memukau orang yang hadir.

Ustaz Morsid seorang yang tegas dan ada pendirian tersendiri. Waktu menjadi ketua di pejabat, anak buahnya meletakkan rasa hormat yang tinggi kepadanya. Ustaz pernah jadi ketua saya sekitar tahun 2001- 2004 sebagai ketua penguatkuasa. Dalam ceramah beliau yang saya dengar, ustaz seorang yang tegas dalam memperkatakan sesuatu hukum dan isu semasa. Kadang-kadang ada orang terasa pedas setelah mendengar ceramah ustaz. Pada saya, siapa yang makan cili pasti terasa pedasnya.Ustaz seorang yang berani menegur sesuatu yang ustaz lain tidak berani menyentuh. Hujahnya cukup kemas beserta dalil dan hujah yang lengkap dan spontan.

Satu hari saya terkejut kerana ada orang beritahu saya, bahawa Ustaz Morsid bercerita tentang diri saya dalam satu ceramah. Kebetulan orang itu adalah kawan saya dan dia menyampaikan kepada saya. Ustaz Morsid mendakwa saya sebagai gurunya dan dia sentiasa hormat kepada gurunya. Saya tidak mahu ulas panjang tentang cerita ini kerana saya akui, memang ada sesuatu yang saya pernah ajar ustaz dalam bab lain.

Tapi Ustaz Morsid adalah seorang yang sangat menghormati gurunya dan meminta orang lain supaya menghormati guru. Cuma saya tidak menyangka ilmu yang saya berikan kepada ustaz, memberi manfaat sebegitu besar sehingga nama saya disebut dalam ceramahnya. Kata ustaz Morsid, kalau tidak menghormati guru, maka ilmu yang dipelajari tak akan berkat. Sebab itu, saya pernah dengar ustaz menyebut dalam ceramah, antara guru yang dihormatinya adalah Allahyarham Dato Kiyai Haji Shamsudin.

Anak Tak Percaya Cikgu Dia Meninggal

Bangun tidur pagi ini saya serba salah nak cerita pada 2 anak saya, pasal cikgu dia dah meninggal malam tadi. Dalam kereta yang ambil masa 10 minit baru sesuai nak cerita. Anak saya yang darjah 2 kata, itu cikgu kelas dia yang ajar Bahasa Melayu. Anak yang darjah 4 kata, cikgu sukan dia rumah hijau. Maknanya cikgu itu cukup rapat dengan anak muridnya. Jadi sebelum beritahu anak saya, saya tanya dulu pasal Cikgu Faizal tu.

"Cikgu Faizal tu baik ke garang ?' Tanya saya.
Kedua-dua anak saya jawab baik, tak garang. Dah nak sampai sekolah tu, barulah saya boleh beritahu. Malangnya bila saya beritahu, anak saya tak percaya. Dia kata saya main-main.

"Semalam dia ada mengajar, tak sakit pun, takkanlah dah meninggal'. Cakap anak saya yang darjah 2 tu.

'Dia meninggal, naik moto, kena langgar malam tadi" Kata saya.

'Entah-entah tak meninggal, moto kan pakai topi keledar, mungkin cedera jer'. Kata anak saya yang darjah 4 tu pulak. Pandai  pulak dia reka cerita.

Maka sampai di sekolah, anak saya turun. Sempat juga anak saya yang darjah 2 tu kata.

"Kalau Abah tipu, nanti balik siap...". Tapi suara dia nampak macam sedih.

Siap apa pulak, itulah istilah budak-budak. Inilah gelagat anak-anak, kalau dia dah tak percaya tu, dia ingat kita main-main. Dia tak tahu, kita orang dewasa ni, bab-bab kematian ni tak buat main-main.



24 Februari 2010

USTAZ FAIZAL MENINGGAL DUNIA..... AL-FATIHAH

Sebentar tadi, saya mendapat berita, Ustaz Faizal, guru sekolah SRAB Kluang meninggal dunia kerana kemalangan motosikal berhampiran rumahnya lebih kurang jam 8.00 malam ini. Arwah baru dalam lingkungan 30-an mengajar di sekolah anak saya. Sebentar tadi saya tanya anak saya.

"Cikgu Faizal ada mengajar ke ?"

Anak yang darjah dua kata, ada ajar Bahasa Melayu. Manakala anak yang darjah 4 kata tak ada ajar dia tapi dia biasa dengan ustaz ni. Saya tak beritahu berita ini kepada anak saya,  mungkin tak sesuai beritahu bila dah jauh malam ni, sekarang masa dia patut tidur. Mungkin pagi esok saya akan beritahu anak saya. Saya percaya, ini berita yang menyedihkan anak saya esok.

Pada raya Aidilfitri yang lepas, Ustaz Faizal bersama-sama guru dan pelajar datang ziarah dan marhaban di rumah saya. (Gambar di atas dirakamkan di rumah saya pada Aidilfitri lepas, kelihatan gambar arwah bersama guru dan pelajar SRAB). Ustaz ni juga sebagai salah seorang imam di Masjid India Kluang. Semoga Allah menempatkan rohnya bersama para nabi dan orang-orang yang beriman. Amin.

Lagi-Lagi Orang Kita Kena Tipu

KUALA LUMPUR: Dua syarikat yang disyaki menawarkan skim kepentingan yang tidak didaftarkan dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) kepada orang ramai, diserbu SSM di sini semalam. SSM, dalam kenyataan hari ini, berkata melalui siasatan yang dilakukan, syarikat berkenaan iaitu Hadhari Cattle Industry Sdn Bhd dan Hadhari Agro Holding Sdn Bhd dipercayai mempengaruhi orang awam untuk melabur di dalam satu skim yang dikenali sebagai "Projek Pembangunan Usahawan".

Menurut kenyataan itu lagi, penganjur skim berkenaan boleh dihukum penjara sehingga tujuh tahun atau denda tidak melebihi RM30,000 atau kedua-duanya, jika disabitkan kesalahan.

"SSM akan mengambil segala langkah untuk membanteras penawaran skim termasuk tindakan penguatkuasaan ke atas penganjur skim tersebut," menurut kenyataan itu.

SSM menasihatkan orang ramai untuk lebih berhati-hati sebelum menyertai sebarang skim pelaburan dan memastikan bahawa syarikat yang menawarkan skim pelaburan seumpama itu mendapat kelulusan SSM.

BOMOH TERLAMPAU : EPISOD 2

...BERSAMBUNG
Maka tibalah giliran saya untuk 'rawat' sakit saya. Kononnya saya ada sakit peha hingga ke pinggang kerana kemalangan. Dah ramai doktor yang rawat saya tapi tak berjaya. Sebab tulah saya datang jumpa bomoh yang 'super hebat' ini.

Sebenarnya saya sekarang berada di JB, 2 hari menyertai satu kursus anjuran jabatan saya. Yang saya nak beritahu, lokasi kejadian kes bomoh ini berada beberapa meter saja dengan hotel ini. Petang tadi, saya sempat jalan kaki ke tempat kejadian itu yang dah 5-6 tahun berlalu. Nampaknya tempat lapang berkenaan sudah didirikan gerai oleh penduduk di situ. Saya percaya gerai itu tidak mendapat kebenaran pihak berkuasa. Bagus juga penduduk di situ berniaga untuk menyara hidup dalam menghadapi situasi ekonomi yang mencabar sekarang.

Ok, masa saya hampiri bomoh itu untuk menunjukkan sakit saya di bahagian peha hingga ke pinggang, saya tak sangka apa yang bomoh itu buat. Dia cuma tekan-tekankan dengan jari di peha saya kemudian dia ambil sesuatu dalam begnya iaitu minyak angin. Dia suruh saya sapu minyak angin itu sendiri. Saya sendiri yang kena sapu, bukan dia. Kebetulan, yang beratur di belakang saya seorang perempuan, dia terus layan perempuan di belakang tu yang mendakwa kena 'saka'. Saya ni dia suruh sapu minyak angin itu sendiri. Cisssss...... tak senonoh betul, kalau perempuan dia layan tapi kalau saya dia suruh sapu minyak sendiri. Lepas tu ada seorang lagi penguatkuasa yang nak menyamar,  bomoh tu buat-buat sibuk, lansung tak layan. Lagi malu muka.

Maka tahulah saya, niat bomoh itu, sambil dia berubat tu berubat juga. Yang penting pada dia, dapat gosok-gosok dan raba-raba perempuan, itu matlamat dia agaknya. Ini kejadian di tempat awam, pun bomoh ni berani buat macam tu. Agaknya  kalau berubat dalam rumah, apa jadi agaknya ? Tak mustahillah wanita tu kena cabul atau rogol.

Saya berundur ke belakang sikit, berbual dengan penguatkuasa lain dan polis. Kami buat keputusan untuk menangkap saja bomoh itu. Kesalahannya banyak dari mengajar tanpa tauliah, perubatan meragukan dan perbuatan tidak sopan di khalayak ramai. Lagi satu kesalahan yang mungkin paling besar adalah, mungkin bomoh ni rakyat asing dari gaya dia cakap bahasa Indon. Maka bomoh itu di tangkap dan diminta kad pengenalan. Kad pengenalan tak ada, katanya tertinggal di rumah. Bila saya tanya dia orang Malaysia atau Indon, dia kata orang sini, cuma dia guna loghat Jawa. Yang ragunya, bila tanya dia sekolah mana dulu, dia kata sekolah pondok sejak kecil. Takkanlah orang Malaysia tak sekolah rendah pun, umur dia baru dalam lingkungan 40- an, bukan lahir sebelum merdeka pun.

 Di Balai Polis saya tanya lagi, dia orang sini atau Indon ? Dia masih mengaku Malaysia. Saya mintak dia nyanyi lagi 'NEGARAKU', dia kata lupa.  Janganlah nak menipu... takkanlah orang sini tak tahu lagu kebangsaan. Akhirnya dia mengaku, dia orang Indon.  Jadi, satu kesalahan yang berat adalah tiada dokumen, maka senanglah untuk ambil tindakan dengan serahkan ke Imigresen untuk dihantar pulang selepas didakwa.

Pengajaran pada kisah ini... Orang kita janganlah percaya sangat pada bomoh ini, apa lagi kalau bomoh yang baru sehari dua kita kenal. Kepada wanita, berhati- hatilah dengan bomoh ni, jangan nanti berlaku kes yang lebih berat seperti cabul dan rogol. Kalau tak pun, bomoh ni guna sihir, balik ke rumah asyik nampak muka bomoh yang hensem ni jer. Sampai ada yang sanggup bunuh diri kalau tak dapat kawin dengan orang ni. Lepas tu ada yang lari dari rumah, tinggalkan keluarga untuk kawin dengan orang asing. Tidak mustahil, ada unsur sihir. Ingatlah, orang yang mendatang ini ada banyak ilmu atau 'pakai-pakai', apatahlagi orang yang masuk secara  haram. Antaranya ilmu ghaib dan untuk menyelamatkan diri dari pihak berkuasa. Saya dah jumpa banyak penemuan bila serbu rumah kongsi mereka.

23 Februari 2010

HARGA IKAN PULA NAK NAIK ?

Penguatkuasaan peraturan mewajibkan penggunaan Kotak Ikan Berinsulasi Bergred Makanan (KIBFG) mulai 1 Mac ini bakal menyebabkan kenaikan harga ikan dan makanan laut lain secara mendadak serta bekalan yang merosot di pasaran. Pengerusi Jawatankuasa Pengimport/Pemborong Ikan dan Sumber Laut Malaysia, Datuk Yusoff Ismail, berkata senario itu tidak dapat dielak sekiranya penguatkuasaan peraturan berkenaan diteruskan.

"Apa yang kita takuti, nasib rakyat yang merupakan pengguna akan menjadi taruhan kerana dengan peningkatan kos operasi sudah tentu harga ikan melambung tinggi di pasaran sekali gus membebankan mereka," katanya pada sidang akhbar di pejabat Persatuan Pengimport dan Pemborong Ikan Perak, di sini hari ini.
 
Yusoff berkata kenaikan harga tidak dapat dielak kerana pengimport terpaksa menokok harga membeli peti KIBFG sehingga hampir RM100 sebuah berbanding sekarang.

"Misalnya harga kotak 30 kilogram yang digunakan sekarang adalah RM28 manakala KIBFG mencecah RM120.

Tak Sesuai Ramai Wanita Berkhidmat Perkhidmatan Awam ?

 Cuepacs semalam meluahkan kebimbangan berikutan penguasaan penjawat wanita dalam perkhidmatan awam semakin meningkat sekarang. Setiausaha Agungnya, Ahmad Shah Mohd Zin, berkata trend masa kini menunjukkan semakin ramai wanita dilantik memegang jawatan sebagai pembuat keputusan dan situasi itu mempunyai implikasi jangka panjang dalam aspek kemajuan dan pertumbuhan negara. "Fenomena ini menggusarkan kerana ia boleh mengakibatkan kepincangan sistem penyampaian kerajaan dalam jangka panjang. Ini berikutan fitrah wanita yang mempunyai kekangan tersendiri, seperti mengambil cuti panjang selama berbulan-bulan selepas bersalin.


"Apabila wanita terbabit memegang kuasa pada peringkat pembuat keputusan, maka banyak keputusan penting akan tertangguh sehingga menyebabkan pelaksnaaan pelbagai urusan tergendala," katanya.

Ahmad Shah menegaskan, isu berkenaan dibangkitkan bukan atas faktor diskriminasi gender, malah Cuepacs tidak mempertikaikan keupayaan atau kebolehan wanita, tetapi bersandarkan kebimbangan kesan fenomena sedemikian untuk jangka panjang

22 Februari 2010

Mahu Nikahi Cewek Indon: Pokoknya RM170,000

Rakyat asing yang ingin berkahwin dengan wanita Indonesia dikehendaki membayar wang pendahuluan sebanyak 500 juta rupiah (RM170,000), syarat baru diperkenalkan kerajaan republik itu untuk menjaga kebajikan wanitanya. Wang itu yang perlu dibayar kepada sebuah bank Islam tempatan adalah sebagai jaminan nafkah kepada wanita terbabit sekiranya perkahwinan berkenaan berakhir dengan perceraian.

Syarat itu terkandung dalam Draf Rang Undang-Undang Perkahwinan yang sedang dirangka dan mendapat sokongan kuat Majlis Ulama Indonesia (MUI), lapor berita di laman web dan Jakarta Post. Bagaimanapun, syarat itu hanya membabitkan lelaki asing yang mahu mengahwini wanita Indonesia dan tidak kepada lelaki tempatan yang mengahwini wanita asing.

21 Februari 2010

Susah Juga Mahu Ambil Bibik: Pokoknya ? Kena Kursus

Wah... nampaknya kalau nak ambil pembantu rumah, majikan kena pergi seminar atau kursus pulak.  Ada  masa ke majikan nak datang seminar ni ? Tambah lagi yang ramai ambil pembantu rumah ni orang berjawatan besar dan berpangkat besar sikit, nak ke dia datang kursus semata-mata nak ambil pembantu rumah ? Pening kepala juga dibuatnya yer... Maknanya, kalau orang yang bukan pangkat besar pun payah nak hadir seminar tu, maka orang yang berjawatan besar lagi susah.

Kalau setakat pembantu rumah tu yang kursus mungkinlah ada logiknya. Sebab dia datang dari negara asing seperti Indonesia, kenalah kursus/seminar untuk mengetahui budaya di sini. Jangan nanti dia 'mencarut'pada kita. Bukan niat dia nak mencarut, tapi maksud dia 'memerlukan', cuma dia mencarut bukan dengan niat dia.

" Bermula bulan depan, semua pembantu rumah asing yang baru masuk ke negara ini dan majikan mereka diwajibkan menghadiri satu seminar bagi memberi pendedahan tentang hak dan tanggungjawab mereka. Menteri Sumber Manusia Datuk Dr S. Subramaniam berkata seminar itu diharapkan dapat mengelakkan berlakunya perkara-perkara yang tidak diingini seperti kes penderaan dan kecurian di kalangan pembantu rumah asing."
Kalau kursus dah tentu kena bayar, berapa kena bayar untuk seminar, jangan tanya dulu. Pokoknya kena bayar pak. Mestilah bayar, takkan nak free jer, pergi toilet pun kena bayar, kereta berjalan kena bayar (minyak dan tol), kereta berhenti pun kena bayar (parking). Mungkin nanti adalah  syarikat yang dilantik untuk kendalikan seminar ni. Kalau kerajaan sendiri yang kendalikan, mungkin ada masalah lain yang timbul pula, banyak kena buat keja lain pula.

Tapi betul ke dengan ada seminar ni, akan kurang kes yang tidak diingini seperti penderaan, kecurian dan lain-lain yang menjadi penyebab utama kursus ini dibuat ? Pada saya, kursus ke tak kursus, kalau benda tu nak jadi, jadi juga. Kes curi sebab ada peluang, tamak, tak cukup duit dan sebagainya. Sama-sama lah kita fikir, nak komen kat sini pun boleh.

-Rakan Sekuliah Nikahkan Pelajar Universiti ?

20 Feb. - Jabatan agama diminta menyiasat dakwaan tujuh 'pasangan pengantin' telah dinikahkan oleh rakan sekuliah di sebuah institusi pengajian tinggi awam (IPTA) di ibu negara.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, sehingga kini, pihaknya belum menerima laporan berhubung kegiatan tersebut dan menyerahkan kepada jabatan agama untuk meneliti kes itu terlebih dahulu.

"Sekiranya apa yang dilakukan oleh pelajar yang terlibat itu salah, kita akan ambil tindakan susulan," katanya.

20 Februari 2010

-DAH MATI HIDUP SEMULA PULAK

BOGOTA: Seorang wanita berusia 45 tahun yang disahkan mati oleh doktor, mengejutkan pekerja rumah pengurusan mayat apabila dia hidup semula. Noelia Serna dihantar ke hospital selepas diserang sakit jantung dan bergantung kepada mesin bantuan hayat sebelum doktor mengesahkan dia mati.

Di rumah pengurusan mayat, seorang pekerja mendapati Noelia bergerak dan kemudian bernafas sebelum dia dihantar semula ke hospital.Wanita itu dipercayai mengalami Sindrom Lazarus, keadaan yang menyebabkan pernafasan dan degupan jantung jatuh ke paras paling rendah sebelum kembali normal.

-AHLI POLITIK MALAYSIA: FACEBOOK TERTINGGI

Kebanyakan akhbar hari ini cerita tentang Tun Dr Mahadhir sebagai ahli politik yang punyai paling ramai peminat dalam facebook. Satu laman politik di internet pula cerita tentang kedudukan ahli politik lain yang mendapat kedudukan tertinggi.

Nampaknya facebook menjadi medan kempen alaf baru bagi ahli politik sekarang. Pilihanraya tahun 2008 tidak seperti ini. Jadi ahli-ahli politik jangan ketinggalan menggunakan facebook sebagai alat kempen mereka. Saya senaraikan ahli-ahli politik berkenaan, sekadar untuk pengetahuan saja.

Tun Dr Mahathir - 330,000 peminat

Dato' Nik Aziz, MB Kelantan - 110,000 peminat.



Dato Seri Najib Razak, Perdana Menteri - 102,000 peminat



Datuk Seri Anwar Ibrahim - 60,000 peminat.



Lim Guan Eng, KM Pulau Pinang - 24,000 peminat.



Lim Kit Siang, penasihat DAP - 13,000 peminat


Dato Seri Abdul Hadi Awang, presiden PAS- 11,000 peminat.

-CERITA PASAL PELAKON DAN PELAWAK IMUDA

Selepas hampir tujuh tahun menduda, pelawak dan pelukis terkenal, Imuda selamat diijabkabulkan dengan pasangannya Zabarina Hajar Mushadi Ali, 28, di Masjid Negeri di sini hari ini.Majlis akad nikah yang disempurnakan Penolong Pendaftar Nikah Daerah Timur Laut, Mansor Taib itu disaksikan oleh keluarga kedua-dua belah pihak kira-kira pada pukul 11 pagi.

Imuda atau nama sebenarnya, Abdul Rahim Muda, 50, sah bergelar seorang suami kepada Zabarina Hajar yang merupakan seorang Penolong Pengurus di sebuah bank di ibu negara. Pelawak yang cukup popular menerusi siri komedi Pi Mai Pi Mai Tang Tu serta 2 campur 1, menikahi cinta hatinya itu dengan mas kahwin RM1,001 bersama RM22,222.22 sebagai wang hantaran berserta 9 berbalas 11 dulang hantaran

-NAJIS JUDI

"Kita orang berjudi bukan kacau orang, bukan curi duit orang, bukan duit mak bapak engkau orang, bukan mintak duit pejabat agama...."

Begitulah antara ayat yang saya pernah dengar dari kaki judi. Janganlah sombong dengan hukum Allah Taala. Pintu taubat dan keampunan masih terbuka.

19 Februari 2010

-RUMAH LELONG: INTAI KONDO PERSIARAN TANJONG (Episod 4)

Bila dah duduk kondo Persiaran Tanjong, Bukit Alif terasa seronok pula. Masa tu duduk di tingkat satu, kuarters kerajaan. Januari 2007, ada rezeki naik pangkat sikit, jadi elaun rumah pun naik juga. Terasa lebih elok kalau duduk rumah sendiri sebab dapat elaun rumah penuh dan cola penuh. Nak cari rumah kat tempat lain, rasa sayang sebab kondo tu dah rasa macam kampung halaman sendiri, duduk sejak tahun 2004 lagi. Pergi kerja pun dekat, tak terperangkap dengan jem. Nak beli belah senang, dekat dengan Mydin, Maslee, Angsana, Gaint dan Kipmart, semua dalam lingkungan 1 km jer. Nak main pingpong kat Permai pun dekat, sebelah jer. Permai tu tempat star-star pingpong Melayu berkumpul kat JB.

Maka saya gunakan kepakaran nak cari rumah lelong yang di kawasan tu. Ada satu  blok sama dengan yang saya duduk tapi tingkat bawah sekali (saya tingkat atas satu tingkat lagi), lelong RM 88,000 kira murahlah tu kalau nak kira harga mula-mula dulu RM 140,000. Lama juga fikir, nak ambil ke tak. Bila dikaji, rumah tu mungkin ada anai-anai sebab ada rumah di hadapannya pintu rosak dimakan anai-anak. Lagi satu, rumah tu ada orang duduk, nak tanya siapa dia tu nanti timbul masalah pulak. Tapi, perasaan masih kuat untuk beli jer rumah tu. Pergi jumpa orang bank, tolong kirakan kalau loan 88000 tu berapa bayar sebulan. Nampaknya dalam 400 lebih kalau loan 28 tahun. Kira ok ler tu, murah.

Satu hari tu, nak ditunjukkan satu peristiwa depan mata saya. Masa balik, ada 2-3 orang pengawal berkumpul di rumah tu. Yang peliknya, pengawal tu bukan berkumpul kat depan pintu tapi di sebelah belakang. Dah lama tu, baru saya tanya pengawal tu, apa yang terjadi. Rupanya ada biawak besar masuk rumah tu melalui longkang. Pelik juga macam mana biawak boleh masuk rumah tu, pengawal tu kata, ini kejadian kali pertama. Maka saya dah muktamatkan keputusan tak jadi beli rumah  tu. Tarikh lelongan pun dah lepas dan saya tak tahulah sama ada rumah tu bertukar tangan atau tidak, malas nak sibuk-sibuk lagi pasal rumah tu.

Lepas tu, ada jumpa satu notis lelongan, rumah tingkat 2, betul-betul atas rumah saya. Harganya cukup menarik, RM 80,000. Saya kira jadilah nak ambil rumah ni. Bagaimanapun rileklah dulu, kajian mesti dibuat dulu. Rumah tu ada orang duduk menyewa. Bila saya berbual dengan penyewa tu, dia pun terkejut, kenapa rumah tu nak lelong sebab dia bayar sewa elok je pada tuan rumah. Saya fikir, ini mesti kes tuan rumah dapat duit sewa tapi tak jelaskan bank. Saya mulanya rasa nak ambil rumah tu, kerana penyewa dah ada, jadi tak payah cari penyewa lain lagi, terus boleh dapat duit. Kemudian baru saya terfikir semula, rumah yang saya nak ambil tu saya nak duduk sendiri, bukan nak kasi sewa. Yer tak yer juga.

Kiranya tak jadilah saya ambil, tapi saya beritau pada kawan saya, jurutera. Dia ni pernah tanya saya, ada ke rumah kat kondo tu nak jual untuk pelaburan, saya cadangkan dia beli rumah tu. Kawan tu datang rumah saya dengan isteri dia, tengok rumah saya sebab rumah saya sama jer dengan rumah kat atas tu. Dia terus setuju nak beli, dia kata kalau 80,000 itu macam harga rumah kos sederhana, bukan rumah mewah. Ok, kemudian saya telefon pelelong, pelelong kata boleh masuk lelong. Tapi malangnya, 2 hari lagi nak lelong, pelelong tu kata, bank tarik balik lelongan rumah tu. Mesti tuan rumah tu dah jelaskan bayaran tertunggak. Hampa juga kawan saya tu.

Satu hari, saya jumpa iklan lelongan rumah di tingkat 13, blok yang sama. Tapi harganya agak mahal, dalam 98,000. Bila saya tengok sendiri rumah tu, rumahnya cantik dan bersih, ada gril. Boleh bayangkan betapa cantiknya rumah tu walaupun tak berjaya masuk ke dalam. Taktik saya, harga 98,000 tu jangan ambil dan jangan dedahkan rahsia tu kepada sesiapa termasuklah kawan ke, pelelong ke, orang bank ke atau sesiapa saja. Hari lelongan tersebut, saya dapat tahu tiada orang ambil, maka harganya akan turun 10 peratus nanti.

Tak sampai sebulan, harganya jadi 87,000 dan lelongan dibuka. Saya tetap tak masuk sebab yakin orang lain tak tahu rumah tersebut dilelong. Waktu itu tiada iklan di akhbar sebab dah kali kelima lelongan. Saya tetap tak masuk. Kemudian, tak sampai sebulan, harganya sudah jatuh 10 peratus lagi pada 79,000. Ini peluang saya  nak beli. Kalau nak ikut harga asal, sampai 148,000. Kondo ni kalau lagi tinggi, lagi mahal harganya. Keputusan saya muktamat.
.
BERSAMBUNG KE EPISOD KE 5




BOMOH TERLAMPAU : Episod 1

Waktu saya jadi penguatkuasa JAIJ dulu, saya dapat satu aduan kes bomoh yang meragukan. Jadi malam tu saya dan penguatkuasa bersama polis  pergi ke tempat berkenaan. Bomoh tu buat 'upacara'  seperti orang jual ubat di suatu tempat lapang di kawasan rumah penempatan sementara. Dia guna pembesar suara dan berceramah agama dulu sebelum mempromosikan perubatan dia tu. Antara yang dia ceramahkan adalah,

"sakit itu daripada Allah dan Allah jua yang mempunyai kuasa menyembuhkan sesuatu penyakit". Betul memang betullah apa yang dia cakap, cuma yang salahnya, dia gunakan hujah itu untuk menghalalkan perbomohannya. Sekitar jam 10.00 malam, makin ramai orang yang datang, lebih 30 orang, kebanyakannya penduduk di persekitaran.

Selepas dia ceramah, datanglah seorang demi seorang yang merasakan ada penyakit dan nak minta khidmat perubatan dari bomoh tu. Kebanyakan yang datang beratur jumpa bomoh tu adalah perempuan, saya hairan kenapa. Saya tengok, seorang perempuan tu mengadu sakit kepala, katanya dah ramai doktor yang dia jumpa tapi tak sembuh. Maka bomoh tu pegang dan urut dahi pesakit tu, kemudian mata bomoh tu pejam dan mulut dia seperti baca sesuatu. Saya yang ada kat tepi tu perhatikan saja. Lama juga dia rawat perempuan tu. Muka dan tangan perempuan tu habis dia sentuh, perempuan tu rela pulak tu.

Seorang perempuan tu mengadu sakit perut, maka bomoh tu suruh baring atas kain sejadah yang dihamparkan. Kemudian dia suruh perempuan tu buka tudung. Bomoh tu baca sesuatu, dengarnya dalam bahasa Arab. Dia lalukan tangan dia dari atas muka sampai ke kaki. Kemudian dia ambil air yang kononya dah dijampi dan sapu kat muka perempuan tu. Lamalah juga dia rawat perempuan tu, dalam 10 minit lebih. Orang ramai pun tengok saja 'kehebatan' bomoh tu.

Maka tibalah giliran saya untuk 'rawat' sakit saya. Kononnya saya ada sakit peha hingga ke pinggang kerana kemalangan. Dah ramai doktor yang rawat saya tapi tak berjaya. Sebeb tulah saya datang jumpa bomoh yang 'super hebat' ini.

BANK JANGAN SIBUK CERITA UNTUNG, TINGKATKANLAH PERKHIDMATAN

Berita hari ini cerita pasal Bank Rakyat untung besar dan beri dividen besar juga pada pelabur. Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Bhd. hari ini (Bank Rakyat) mengumumkan dividen tunai sebanyak 15 peratus yang akan dibayar kepada para anggota mulai 22 Februari.

Alhamdulillah, kita bangga kerana bank ini kebanggaan negara kita dan menuju kepada perbankan Islam sepenuhnya. Cuma bank ini, perkhidmatannya agak mengecewakan sikit. Mesin ATM cuma satu saja di Kluang, begitu juga di bandar lain termasuk  bandar besar. Kalau dah satu saja mesin, kalau rosak, lansung tak boleh guna. Kekadang tu rasa buang masa pergi ke bank tu sebab, bila sampai mesin ATM yang satu tu rosak. Dah tu, mesin untuk masuk duit dan cek tidak disediakan.  Jadi nak masuk cek atau duit kena beratur kat dalam. Lepas bank tutup, dah tak boleh masuk.

Bank lain seperti maybank, CIMB, Public Bank, AMBANK, Hong Leong, jauh lebih baik perkidmatan mesinnya. Patutnya, kenalah pertingkatkan perkhidmatan untuk kemudahan orang ramai. Janganlah nak cerita untung saja  tiap-tiap tahun sedangkan perkhidmatan tak sebaik mana. Saya ada hak untuk berkata-kata sebab saya juga salah seorang pemegang akaun Bank Rakyat.

LAGI-LAGI KENA TIPU: KERJA KOSONG PULAK

Seorang suri rumah yang mahu memperoleh pendapatan tambahan dengan melakukan kerja sambilan di rumah, mendapati dirinya tertipu dengan iklan palsu disiarkan di dalam akhbar. Wanita itu yang hanya mahu dikenali sebagai Aznah, 45, dari Perkampungan Seri Mahkota Aman dekat sini, berkata dia tertarik dengan iklan yang menawarkan pendapatan sehingga RM300 seminggu dengan hanya mengisi dan membungkus gula pasir.

"Iklan syarikat terbabit meminta orang ramai berminat melakukan kerja mengisi dan membungkus gula pasir mengirim alamat rumah melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada individu seperti dinyatakan untuk maklumat lanjut. Beberapa hari kemudian, saya menerima maklumat mengenai kerja berkenaan berserta dengan borang permohonan," katanya ketika hadir ke pejabat Berita Harian di sini, kelmarin.

Ibu kepada empat anak itu berkata, berdasarkan maklumat diberikan, syarikat terbabit meminta beliau membuat bayaran RM70 sebagai cagaran dan mengisi borang berserta nombor akaun bank.

"Selepas mendepositkan wang ke akaun individu yang dinyatakan pada 30 Januari lalu, saya turut menghantar borang permohonan ke syarikat terbabit yang beralamat di Bandar Baru Uda, Johor Bahru, Johor," katanya.

Aznah berkata, dia menyedari tertipu kerana sehingga kini gula pasir dijanjikan 5 hingga 7 Februari lalu tidak tiba dan individu terbabit gagal dihubungi. Aznah berkata, beliau sudah membuat laporan polis di Balai Polis Jaya Gading.