28 Disember 2012
Wali Tak Mahu Jadi Wali, Salah Siapa ?
Seorang wanita berstatus janda 40-an hendak bernikah dengan seorang duda 50-an. Pernikahan dijadualkan akan berwalikan adik lelakinya. Bila disoal, katanya bapa dan atuknya sudah meninggal dunia dan mengemukakan surat mati. Hanya tinggal seorang sahaja adik lelaki yang layak menjadi wali pernikahan.
Sewaktu permohonan nikah, kakaknya itu kata adiknya 30-an itu bersetuju menjadi wali. Walau bagaimanapun, pada masa yang ditetapkan, wali tak hadir sedangkan jurunikah dan ahli keluarga hadir mengikut jadual. Apabila ditanya pada bakal pengantin perempuan, katanya dia ada krisis dengan adiknya. Rupanya masalah harta pusaka dan pembahagian harta yang belum diselesaikan.
Bercerita lanjut, katanya arwah bapanya dulu meninggalkan beberapa ekar tanah. Tanah itu pula tidak boleh ditukar nama tetapi yang boleh hanyalah mendapat wang setiap bulan beberapa ribu hasil sawit. Bakal pengantin adalah anak sulung yang katanya dia sebagai pemegang amanah. Bila didesak dengan beberapa soalan, timbullah cerita yang dia tidak membuat pembahagian yang adik beradik lain puashati. Dia ada alasan kerana katanya dia menanggung perbelanjaan di kampung termasuk makan minum ibu dan lain-lain. Ini telah menyebabkan adik beradik lain bermasam muka.
Tak Akan Jadi Wali
Maka masa kakaknya hendak bernikah ini, adik lelakinya terpaksa ungkit semua ini. Malah dia memberikan syarat iaitu tidak mahu menjadi wali sekiranya pembahagian harta ini tidak diselesaikan. Tetapi adik lelaki ini tidaklah kata tak mahu menjadi wali terus, dia kejap nak kejap taknak macam iklan coklat. Kalau terus terang tak mahu jadi wali, senang, boleh pergi mahkamah syariah dan lalui beberapa prosedur. Ini membuatkan bakal pengantin pening kepala terutama tibanya tarikh perkahwinan.
Perkara ini dikemukakan kepada Kadi dan bagaimanakah Kadi menyelesaikannya ? Perkara ini sudah selesai dan kisah ini diceritakan semula.
...BERSAMBUNG KE EPISOD 2
25 Disember 2012
Kepala Saya Jadi Bahan Ujikaji Tukang Gunting
Saya ke kedai gunting rambut. Kedai itu memang saya setiap bulan pegi. Nampaknya hari ini kedai tu tak ada orang lain kecuali saya seorang saja. Tengah menggunting tu, tiba-tiba masuk dia orang lelaki, terus berbual dengan tukang gunting tu. Dia berhenti separuh jalan gunting rambut saya.
Saya tak faham apa yang dibualkan. Cuma yang saya nampak dan faham, dua lelaki itu hendak promosi pisau cukur yang baru. Mulanya tukang gunting tu kata dia dah ada banyak stok pisau cukur tapi lelaki itu kasi free satu kotak kecil untuk promosi.
Tukang gunting teruskan gunting rambut saya dan tiba masa nak cukur, dia gunakan pisau cukur yang baru tu. Pisau cukur ini jenis yang lama-lama yang orang dah tak pakai sekarang, tapi tukang gunting kena pakai. Iaitu setiap pisau dipatahkah untuk diletakkan dalam bekas dia. Pisau ni diganti setiap orang.
Masa dia nak test pisau cukur promosi tu, saya macam takut juga. Manalah tau kalau-kalau pisau tak tajam, boleh jadi terluka pulak nanti. Tapi nampaknya dia cukur macam biasa dan tukang gunting tu saya rasa dia ada puji juga, agaknyalah.
Lepas gunting, saya keluar dan pegi ke kedai depan. Keluar dari kedai depan tu, saya tengok lelaki itu bawa keluar sekotak besar dari dalam kereta. Maknanya jadilah tukang gunting tu beli banyak. Hehe... nampaknya kepala saya jadi bahan ujikaji pisau cukur tu.
24 Disember 2012
Lelaki Khalwat Lari Panjat Bumbung
Dalam satu kejadian, penguatkuasa membuat serbuan ke sebuah rumah. Keadaan rumah ini adalah rumah teres dan bersambung-sambung. Penguatkuasa mendapat aduan yang pasangan ini tidak bernikah dan lelaki selalu datang ke rumah perempuan ini.
Apabila sampai di lokasi dalam jam 1.00 pagi, penguatkuasa mengetuk pintu. Keadaan rumah samar-samar dan ada lambu yang menyala di dalam rumah. Pintu tidak terus dibuka. Tiba-tiba terdengar bunyi bising dari dalam rumah. Tak lama kemudian, seorang perempuan membuka pintu. Bila ditanya, dia kata dia seorang diri dalam rumah tu. Bila digeledah rumah tu, memang tiada orang lain.
Bagaimanapun, penguatkuasa mensyaki lelaki lari berdasarkan tangga yang digunakan untuk memanjat syiling. Apabila penguatkuasa turut sama naik ke syiling, rupanya boleh lari ke banyak arah termasuk rumah-rumah lain. Itulah cerita lelaki yang berjaya lari macam lipas kudung kerana buat kes maksiat.
20 Disember 2012
Isteri Menyesal, Dia Punya Hal, Suami Bakal Dituduh Di Mahkamah
Seorang isteri mengadu dan menceritakan kisahnya. Satu hari tu waktu dia datang bulan, dia bergaduh dengan suami. Masa tengah hebat perang mulut tu, Serta merta suami menyahut cabaran itu dan menceraikan isterinya dengan talak satu.
Bagaimanapun, selepas itu, si isteri yang sudah bergelar janda itu menyesal dan meninta maaf dengan si duda bekas suaminya itu. Beberapa hari selepas bercerai, mereka rujuk kembali dan berbaik semula.
Tetapi selepas itu, dia dapat satu surat dari penguatkuasa dan kes perceraian mereka itu dikira salah dan akan dituduh di mahkamah syariah. Katanya, suaminya melakukan kesalahan kerana menceraikan isteri di luar mahkamah dan tanpa kebenaran mahkamah. Isterinya kata, dia tak tahu pun yang seorang suami menceraikan isteri sebegitu dikira salah dan akan didakwa.
Si isteri sangat menyesal dan takut sekiranya suaminya dihukum denda atau penjara nanti. Hukuman itu juga nanti katanya bakal mengakibatkan kerjaya suaminya turut terjejas. Yang isteri menyesal sampai tak tidur lena adalah, kerana kesilapan dia mendesak suaminya menceraikannyalah perkara ini terjadi.
16 Disember 2012
Pengumuman : Kursus Pra Perkahwinan Kluang 22-23 Disember
Kursus pra perkahwinan akan diadakan pada 22-23 dis di pejabat Kadi Kluang bermula jam 8 pagi atas permintaan ramai. Tarikh berkenaan sebenarnya tidak dirancang sebelum ini. Daftar awal amat digalakkan. Mohon maaf sebab kusus 15-16 hb ramai yg terpaksa balik kerana tak cukup tempat.
Boleh daftar melalui email saya kadikluang.yahoo.com atau Facebook saya 'Kadi Kluang' atau melalui kakitangan pejabat Kadi Kluang. Bayaran RM 120. Sediakan 2 keping gambar dan 1 salinan kad pengenalan. Pakaian lelaki baju Melayu bersongkok, perempuan baju kurung.
14 Disember 2012
Bakal Pak Mertua Kaki Nombor Ekor (EPISOD 2)
Beberapa minggu lagi nak nikah, bakal pengantin lelaki dah tak tahan telinga. Kenapa pulak ? Dia dengar dari orang kampung yang bakal pak mertuanya kaki nombor ekor dan memang terkenal sebagai kaki 'cai' nombor di warung berhampiran rumahnya. Ini bukan rahsia lagi bagi orang kampung.
Dalam usia umur 60-an, bakal pak mertua dia tak serik-serik beli nombor ekor. Tambah menyakitkan hati, duit beli nombor ekor itu adalah hasil pemberian anak-anak dia setiap bulan. Belanja kat rumah, bapak dia tak keluarkan sebab anak-anak dia yang bantu. Menyiraplah darah bakal menantu bila kena sindir macam ni.
Nak percaya terus pun tak boleh juga, maka satu hari tu bakal menantu jadi penyiasat. Maka dia jumpalah bakal pak mertua dia duduk kat warung tengah mengecai nombor sampai berkecai. Mengeleng kepala dia bila tengok dengan mata kepalanya sendiri.
Diringkaskan cerita, satu hari tu bakal menantu pergi jumpa bakal pak mertua kat rumah. Dinasihatkanlah pak mertuanya. Katanya dengan nada yang baik. Tapi, rupa-rupanya pak mertua melenting. Keesokan harinya, diberitahu oleh bakal pengantin perempuan yang bapanya tak mahu jadi wali. Lepas tu dia suruh anak lelaki iaitu abang kepada bakal pengantin perempuan untuk jadi wali.
Bila dirujuk ke pejabat agama, maka pernikahan tidak boleh dilansungkan tanpa bapa menjadi wali. Kalau hendak juga nikah, kena pergi mahkamah syariah untuk mohon satu proses iaitu 'wali enggan'. Itu penjelasan dari pejabat agama yang menjadikan pasangan ini kusut dan tak lalu makan. Mana tidaknya, kad jemputan dah edar, katering dah tempah, budak kompang dah oder, tukang andam pondan tu pun dah booking.
SEKIAN. SEMOGA JADI PENGAJARAN.
12 Disember 2012
Kenapa Bapa Tiba-tiba Tak Mahu Jadi Wali ?
Lelaki 30-an berstatus duda, nak nikah dengan seorang ibu tunggal umur 30-an. Pada mulanya, bapa kepada perempuan setuju jadi wali pernikahan.
Kira-kira seminggu lagi nak nikah, bapa perempuan kata dia tak mahu jadi wali. Bila ditanya kenapa boleh berlaku, katanya bapa perempuan terkilan dengan bakal menantu.
Bila dicerita lanjut, rupanya bakal menantu ada menasihati bapa perempuan. Apakah nasihat itu, cuba teka.......
07 Disember 2012
Kenapa Pengantin Ni Cium Tangan Suami Lepas Nikah Sampai Tak Mahu Lepas ?
Selesai saja majlis pernikahan pada hari Jumaat yang mulia ini, pengantin perempuan terus salam tangan suaminya lama-lama. Kemudian dia mengesat air mata yang sedikit keluar itu. Sekali pandang, nampak perempuan ini macam tak menyempat-nyempat pulak. Kenapa ini berlaku ? Ada cerita di sebaliknya.
"Pengantin lelaki bila tarikh cerai ?". Tanya jurunikah sebelum menikahkan.
Dia beritahu tarikhnya yang dah lebih 2 tahun iaitu tahun 2010 bercerai.
"Pengantin perempuan pula, bila tarikh cerai ? " Tanya jurunikah pada perempuan pula.
"Maaf tuan, sebenarnya dia bekas isteri saya yang bercerai dan nak nikah semula". Kata pengantin lelaki.
Dulu Bercerai 2 Tahun
Kisah sebenarnya, lelaki ini bekerja di sebuah kilang, umur 30-an. Perempuan kerja jurujual 30-an. Hasil perkahwinan mereka, dikurniakan 4 orang anak yang sekarang semuanya masih kecil dan bersekolah.
Punca mereka bercerai adalah permintaan isterinya. Oleh kerana tidak tahan dengan permintaan isterinya dan mengakui kekurangan yang ada pada dirinya, lelaki mengambil keputusan menceraikan isterinya di mahkamah syariah. Pada lelaki, bukanlah hendak diungkit kisah silam 2 tahun dulu, tapi katanya punca cerai adalah kerana kehadiran lelaki lain dalam hati isterinya.
Bagaimanapun, selepas 2 tahun, mereka bernikah semula berwalikan ayah perempuan. Anak-anak turut hadir dalam majlis pernikahan ini.
04 Disember 2012
Makcik Bakal Dapat Cucu Luar Nikah
Seorang makcik 50-an datang dengan anak perempuannya awal 20-an untuk menikahkan anaknya segera. Katanya dah ditebuk tupai sehingga termengandung. Usia kandungan itu dalam 4 bulan.
Nampaknya makcik ini bakal dapat cucu dalam 5 bulan lagi.
02 Disember 2012
Lama Tak Jumpa Bapa, Datang Jadi Wali Anak
Lebih 15 tahun dulu, bapa gadis ini bercerai dengan ibunya. Lepas bercerai, gadis ini dibesarkan oleh ibunya. Manakala bapanya balik kampung ke utara. Kemudian ibunya bernikah lain, begitu juga dengan bapanya. Jadi, gadis ini ada ramai adik beradik, termasuk adik beradik kandung dan adik tiri.
Waktu gadis ini bernikah, bapanya yang dah lama tak jumpa, akhirnya datang dalam majlis pernikahannya itu untuk menjadi wali.
Langgan:
Catatan (Atom)