Untuk Memilih Tajuk Artikel Dalam Blog Ini, Sila Taip Perkataan di sini.

29 Januari 2014

Kenangan Bersama Tunang di Rumah Sewa Sebelum Nikah

Lelaki berumur 30-an, kerja swasta dengan gaji lebih kurang RM2,500 manakala  tunangnya  berumur 20-an juga kerja swasta dengan gaji RM1,0000. Hari itu mereka berdua pergi ke Kelantan menaiki kereta bersama untuk menguruskan urusan perkahwinannya kira-kira 3 bulan lagi.

Sampai saja di Kluang lebih kurang jam 11 malam, lelaki terus membawa tunangnya ke rumah sewanya. Katanya mereka terus tidur dengan alasan kepenatan. Tak lama selepas itu, penguatkuasa Jabatan Agama dapat aduan dari orang awam dan pemeriksaan pun dibuat. Tertangkaplah pasangan ini atas kesalahan khalwat yang berdua sahaja dalam rumah tersebut.

22 Januari 2014

Budak Tingkatan Dua Kena Cekup Khalwat Di Rumah Pakwe

Lebih kurang jam 2.30 petang iaitu selepas balik sekolah, seorang pelajar sekolah wanita pergi ke rumah pakwenya. Lelaki itu bekerja sebagai pembantu kedai makan dan waktu itu tiada orang lain di rumah kerana ibunya belum balik kerja lagi.

Tak lama selepas perempuan ini masuk rumah, ada seorang buat aduan kepada penguatkuasa dan penguatkuasa terus buat pemeriksaan. Kena tangkaplah pasangan ini atas kesalahan khalwat. Kemudian ibu perempuan dan ibu lelaki ini datang jamin anak masing-masing.

11 Januari 2014

Minyak Hitam Tiruan, Ramai Mana Yang Dah Kena Tipu?


Beberapa hari lepas, dalam berita tv ada cerita pasal serbuan pihak berkuasa ke sebuah kilang memproses minyak enjin atau minyak hitam tiruan. Serbuan itu adalah sebuah kilang yang memproses dan membotolkan pelbagai jenis minyak hitam. Menurut pihak berkuasa, kemungkinan minyak tersebut adalah minyak hitam kitar semula atau bukan minyak hitam tulen. Kilang itu juga membotolkan minyak hitam itu dengan pelbagai nama dan jenama. Tahniah kepada pihak berkuasa kerana mengambil tindakan. Dengan tindakan itu, telah berjaya menyelamatkan jutaan ringgit wang rakyat dari terus tertipu.

Jual di Bengkel dan Kedai Alatganti

Minyak hitam itu diedar dan dijual di sebahagian bengkel seluruh negara dan kedai alat ganti kenderaan. Pembeli sukar untuk membezakan antara minyak hitam tulen dan tiruan sehingga selama ini sudah ramai yang tertipu. Pengeluar barang tersebut, termasuk pengedar dan penjual sudah untung entah berapa banyak dengan menipu dengan cara ini dan entah berapa tahun atau puluh tahun mereka buat kerja menipu seperti ini.

Saya sendiri selalu beli minyak hitam di kedai alat ganti  dan ada pengalaman juga dengan minyak hitam tidak tulen ini. Dalam tahun 2008 dulu, saya dapat satu minyak hitam di sebuah kedai alat ganti dengan harga murah. Kemudian saya pergi ke sebuah kedai yang terkenal menjual alat ganti Honda di Johor Bahru. Bila saya pertikai dia jual minyak hitam yang sama dengan harga yang lebih tinggi, dia ambil masa yang panjang untuk menerangkan kepada saya. Dia menunjukkan pada saya perbezaan antara minyak hitam tulin dengan tiruan. 

Minyak Hitam dan Minyak Gear

Dia juga menunjukkan minyak gear auto yang ori dan tiruan pada saya. Dia keluarkan satu buku dan terangkan kepada saya. Dia juga pergi ke stor dia dan bawa satu botol minyak gear auto yang dah kosong dan satu lagi minyak gear yang masih ada isi. Dia tanya saya, apakah perbezaan antara kedua-dua botol itu? Lama saya fikir dan belek kedua-dua botol itu tapi saya tak dapat jawapannya. Rupa-rupanya ada satu cop kecil yang ditebuk dengan elok bermakna barang ori. Manakala satu lagi cop itu cuba ditiru tetapi tidak sama, menunjukkan itu tiruan. Saya sikit pun tak menjangka itu adalah tiruan.

Bahaya Minyak Gear Tiruan

Kepada sesiapa yang pakai kereta Peugeot atau Citroen, kereta itu hendaklah menggunakan minyak khas yang ori sahaja. Kalau kita gunakan minyak lain atau yang katanya ori tapi tiruan, tak lama lagi rosaklah gear auto kita. Jadi, berhati-hati sangatlah kalau tukar minyak gear, pastikan ori.

Kesan Minyak Hitam Tak Ori

Saya tak berapa nampak mengenai kesan kita pakai minyak hitam tak ori sehingga boleh rosakkan enjin kereta kita. Maknanya, apapun minyak hitam yang kita pakai, tidak menyebabkan enjin kereta kita rosak. Kalau pandangan saya ini betul, maka semakin berleluasalah penjualan minyak hitam tiruan di pasaran. Cuma, saya rasa, kalau kita guna minyak tak ori, power kereta kita akan berkurangan sedikit atau berat sikit sahaja.

Dah ramai orang kita kena tipu dengan minyak hitam tiruan ini. Ramai orang pergi ke bengkel kereta nak tukar minyak hitam dan mereka tidak ada kepakaran untuk mengetahui minyak itu tulen atau tidak. Oleh itu, penguatkuasaan pihak berkuasa ke bengkel-bengkel, kedai alatganti kereta dan kilang pembungkusan perlulah berterusan dan tegas.

Pengeluar Tak Mahu Heboh-heboh

Saya berbual dengan seorang pomen mengenai minyak hitam ini. Katanya, minyak hitam tirun sudah lama wujud di pasaran. Pengeluar sendiri pun tahu kewujudan minyak tiruan ini. Tetapi kenapa mereka sendiri berdiam diri? Kawan saya kata, syarikat itu tidak mahu heboh-heboh, nanti orang tahu yang minyak hitam jenamanya itu banyak yang tiruan. Jadi nanti ramai orang tak mahu pakai minyak hitam itu kerana takut terkena yang tiruan. Contohnya jenama minyak hitam ABC yang dah terkenal, tiba-tiba keluar berita ada jenama ABC yang tiruan. Maka, pembeli akan  kata yang jenama ABC banyak yang tiruan dan mengelakkan dari memakai jenama ABC ini. Jadi, jenama tiruan ini terus berada di pasaran.

Guna Jenama Lain

Kekadang saya tengok ada saja jenama baru di pasaran apabila saya beli minyak hitam di kedai alatganti. Bila saya tanya, dia kata ini jenama baru yang berkualiti. Jadi, kalaulah yang dikatakan jenama baru ini adalah minyak kitar semula atau minyak entah apa-apa, penjual ada banyak ruang untuk melepaskan diri. Pertama, syarikat yang pada jenama itu tidak wujud atau tidak meniru nama jenama terkenal. Maknanya, tidak ada syarikat yang akan buat laporan mengenai penjualan minyak hitam tiruan ini.

Minyak Masak Kelapa Sawit Sebagai Minyak Hitam

Mungkin kita tak tahu dan ada juga yang tahu, kereta boleh guna minyak masak kelapa sawit sebagai minyak hitam. Kawan saya pakai kereta Proton Saga lama dan Kancil, sudah lebih 8 tahun dia guna minyak masak kelapa sawit sebagai minyak hitam. Dia ini pomen dan dia ada cerita kepada orang lain juga. Dia kata, enjin lebih ringan, bau lebih wangi dan yang paling penting jimat wang ringgit. Dia cuma keluar belanja lebih kurang RM 15 sahaja untuk 4 liter minyak masak.

Saya Tak Pernah Cuba Pun

Saya cerita saja mengenai minyak masak ini, tapi saya pun tak pernah cuba. Sebab saya tak cuba, pertama, saya servis kereta kat kedai. Rasa malu pulak nak bawa satu tong minyak masak ke kedai. Tapi saya rasa, nanti nak try juga dengan gantikan tong minyak hitam dengan minyak masak siap-siap kat rumah. 

Sebab kedua, saya takut kereta saya rosak. Yer le, kita beli kereta mahal-mahal, tiba-tiba rosak disebabkan minyak masak tu, kan ker nanti menyesal. Kawan saya tu pomen, kalau kereta dia rosak, dia boleh repair sendiri. Tapi setahu saya, kereta dia tu okey jer. Lagipun kereta dia Proton dan Kancil, kereta saya lain. Mungkin saya anggap kereta saya tak sesuai.

Kenapa Tak Cuba?

Mungkin juga kita ditakut-takutkan dan tak mahu mencuba suatu yang baru. Dunia mengiktiraf yang minyak sawit Malaysia bermutu tinggi dan kajian serta penemuan telah ada mengenai kegunaan minyak sawit sebagai minyak enjin kenderaan.

Banyak Barang Tiruan?

Kita dengar dan baca di akhbar mengenai banyaknya rokok tiruan. Pembelinya cukup ramai kerana harganya jauh lebih murah berbanding rokok yang ori. Walaupun penguatkuasaan dijalankan, tetapi bukanlah mudah untuk dibenteras. Ada pelbagai lagi barang termasuk pakaian, beg dan lain-lain. Saya yang main ping-pong pun, pernah dapat tahu kewujudan getah ping-pong dan bola jenama terkenal yang tiruan. Permainan ping-pong kita akan hilang mutu bila terkena getah tiruan. Bola ping-pong pula tak tahan lama dan kita dapat bezakan rasa apabila memukul bola berkenaan.

Wujudkan Talian Aduan

Saya cadangkan supaya pihak berkuasa wujudkan talian terus untuk membuat aduan mengenai barang tiruan ini. Tidak kiralah apa barang, asalkan boleh dikesan kesalahannya, bolehlah orang ramai buat aduan. Mungkin ada atau mungkin tidak talian aduan ini, saya pun tak berapa tahu sangat. Adalah lebih baik kalau kita hebahkan nombor telefon aduan ini dan identiti pengadu perlulah dirahsiakan.


09 Januari 2014

Ustaz Hanafiah bin Abdul Razak Penceramah Maulidurrasul Daerah Kluang


Seperti biasa, setiap tahun, daerah Kluang mengadakan sambutan Maulidurrasul dengan meriah dan mendapat sambutan yang baik. Tahun ini juga iaitu hari Selasa nanti, 14 Januari 2014 adalah cuti umum. Marilah kita hadir bersama keluarga ke Masjid Bandar Kluang dan perkarangan sekolah Lelaki Bandar di sebelah masjid untuk mengikuti program ini.

Program dimulakan mulai jam 7.30 pagi dengan perarakan lebih kurang 1 kilometer dari Dataran Tasik Kluang menuju ke masjid. Perarakan terdiri dari jabatan kerajaan, NGO dan sekolah. Selepas itu, kita akan ikuti ceramah dari seorang penceramah terkenal iaitu Ustaz Haji Hanafiah bin Abdul Razak, pegawai dari Jabatan Mufti Johor. Satu lagi sebelum saya terlupa, selepas itu semua dijemput untuk jamuan makan nasi briani di kawasan masjid.

Seminar Imam Muda 16 Januari

Satu lagi, semua dijemput hadir ke Seminar Imam Muda pada 16hb Januari, Khamis, jam 8.00 pagi di Masjid Bandar Kluang. Penyertaan terbuka kepada semua lelaki berumur 18 tahun ke atas dan tiada had umur. Peserta hendaklah bukan imam masjid atau surau yang sedia ada (kerana latihan kepada imam-imam biasa diadakan secara berkala pada masa yang lain). Program ini diadakan untuk memberi pendedahan paling asas untuk menjadi imam di rumah atau tempat lain. Juga ke arah melahirkan bakal imam pada masa akan datang. Istilah 'Imam Muda' adalah sebagai merujuk kepada bakal imam yang masih belajar menambahkan ilmu. Bayaran seringgit dikenakan.

05 Januari 2014

Rumahtangga Kucar Kacir, Isteri Ambil Syabu

Seorang lelaki 40-an kerja swasta dan isteri 40-an berniaga, sudah nikah belasan tahun dengan dikurniakan 3 orang anak. Beberapa tahun kebelakangan ini, isterinya mengambil syabu atau ais kerana pengaruh kawan-kawan perempuan. 

Suami nampak perubahan pada isterinya seperti tingkahlaku yang semakin agresif dan boleh berjaga hingga larut malam dan ada kalanya tidak tidur beberapa hari. Berpunca dari perkara kecil, boleh menyebabkan pertengkaran yang dahsyat. Suami rasa, isterinya mencuba syabu ini kerana pengalaman pahit isterinya dalam perniagaan yang pernah beberapa kali jatuh dan bangun. Tambahan pula kebelakangan ini bidang perniagaannya semakin mencabar dan ramai pesaing, akhirnya kerana pergaulan, dia terpengaruh.

Oleh kerana kedua-dua pihak iaitu suami dan isteri telah tiada jalan penyelesaian, mereka merancang untuk bercerai secara baik.

02 Januari 2014

Seminar Imam Muda di Kluang 16 Januari 2014 ... TERBUKA

Satu seminar 'Imam Muda' akan diadakan di Masjid Bandar Kluang pada 16 Januari 2014 bermula jam 8.00 pagi sehingga 12 tengahari . Penyertaan terbuka kepada semua lelaki yang berminat iaitu berumur 18 tahun ke atas. 
 
Peserta juga hendaklah bukan dari kalangan imam masjid dan surau yang sedia ada. Bagaimanapun, imam sambilan, imam sementara dan imam pelapis dibenarkan menyertai.
 
Pengisian
 
Seminar dipenuhi dengan 3 ceramah yang mencakupi kaedah asas seperti azan dan iqamah, bacaan dalam solat, wirid, doa selepas solat, tahlil dan khutbah Jumaat serta Hariraya dan lain-lain. Program ini diadakan untuk melahirkan imam dan bilal pelapis.
 
Pejabat kerajaan dan swasta atau AJK masjid boleh menghantar peserta secara berkumpulan. Bayaran seringgit dikenakan kepada setiap peserta. Sebarang pertanyaan sila hubungi:
 Puan Norazah       07- 7771213 (pejabat).



01 Januari 2014

Pengantin Bawa Kereta Tunda (Tow Truck) Masa Nikah

Seribu persoalan  juga kepada  jurunikah apabila ada kereta tunda di dalam kawasan masjid dalam satu majlis nikah. Tanpa banyak tanya, jurunikah pun nikahkan pengantin macam biasa. Pengantin lelaki umur 30-an  kerja di kilang manakala perempuan 20-an, kerja kerani.

Lepas nikah, jurunikah diajak menikmati sedikit jamuan. Sedang makan tu, pengantin lelaki dan perempuan pergi ke kereta tunda tadi dan ramai yang ambil gambar. Kemudian pengantin lelaki memandu kereta tu dan bergerak ke taman di hadapan masjid untuk sesi ambil gambar seterusnya.

Kenapa Erkk?

Jurunikah bertanya lanjut sambil tersenyum kepada keluarga pengantin yang sama-sama makan tu. Diceritakan oleh keluarga yang lelaki itu dulunya kerja pemandu kereta tunda, sekarang bekerja di sebuah kilang. Kemudian ditambah sedap cerita lagi yang pengantin lelaki ini berkenalan dengan pengantin perempuan sewaktu dia kerja pemandu trak tunda tu lebih kurang 2 tahun lalu.

"Dulu kereta perempuan terlibat kemalangan kecil dan lelaki tarik kereta itu ke bengkel. Mula-mula tu jadi gaduh bila perempuan tu tak puashati dengan bayaran. Lepas tu tak tahu pulak, boleh baik dan bercinta dan hari ini jadi suami isteri, hehehe..." . Cerita seorang lelaki hampir sebaya dengan pengantin lelaki tu.

Tersenyum juga jurunikah dengar cerita itu, hehehe.