Untuk Memilih Tajuk Artikel Dalam Blog Ini, Sila Taip Perkataan di sini.

29 Jun 2012

Kena Kad Kuning Lepas Buka Baju Raikan Gol, Ingat Badan Dia Cantik Sangat Ker ?

Malam tadi dalam jam 3.00 pagi lebih sikit, saya terjaga dari tidur. Baru teringat yang masa tu ada bola dan buka TV3. Memang betul, German lawan Italy rupanya. Masa buka tu, Italy dah mendahului 1-0 dan saya tengok kejap, sementara belum mengantuk lagi.

Tak lama lepas tu, Italy jaringkan gol, jadilah 2-0 German ketinggalan. Penjaring gol tu, entah namanya siapa tapi kira pemain terkenal Italy juga tu. Lepas dia jaringkan gol, dia buka baju. Apa hal pulak, tunjuk body dia.

Pengadil terus layangkan kad kuning pada dia pasal buka baju tu. Baru dia tahu, janganlah saja-saja nak tunjuk body. Menyesal tak habis dia tu.....

Masa habis separuh masa pertama, saya pun tido. Bangun tido, dengar berita German kalah 1-2.

27 Jun 2012

Sudah Nasibku Mat Burger (Episod 71)


Ustaz Khalil seakan gelabah macam ada yang tak kena. Dia keluar dari kereta yang masih hidup enjinnya dan menuju ke tandas awam di tol Air Hitam meninggalkan Razali dan Zakri dalam kereta. Kemudian Khalil membuat panggilan kepada seseorang dan dia bercakap seperti ada yang amat serius.

"Zakri... kau bawak kereta ni, kita balik JB sekarang. Bawak laju-laju, ada hal penting". Kata ustaz Khalil selepas kembali ke kereta 10 minit kemudian.



(Tulisan ini telah dikeluarkan dari blog ini kerana telah terbit novel bertajuk 'Cinta Mat Burger'. Boleh didapati di Kedai Buku Popular seluruh negara dengan harga RM23.90. Boleh juga dapat dari saya dengan harga RM30.00 termasuk kos poslaju. Hubungi saya :                0197526122  whataps)


3 Pasangan Remaja Ditahan Kes Khalwat


KLUANG - Tiga pasangan remaja ditangkap berkhalwat oleh Penguat kuasa Jabatan Agama Johor daerah Kluang di sebuah rumah sewa yang terletak di Taman Kluang Barat, di sini, pagi Jumaat lalu.

Ketiga-tiga pasangan itu ditahan pegawai penguat kuasa di rumah berkenaan kira-kira jam 11.30 pagi ketika orang lain sibuk keluar bekerja. Kadi Daerah Kluang, Mohd Khalil Md Noor berkata, serbuan dijalankan berdasarkan aduan daripada orang awam sebelum ini.

“Ketiga-tiga pasangan yang ditangkap berusia dalam lingkungan 17 hingga 27 tahun dan dua remaja yang berusia 17 tahun itu dipercayai sudah berhenti sekolah hasil soal siasat yang dijalankan.

“Kesemua mereka didapati hanya bekerja sambilan di sekitar bandar Kluang dan tidak tinggal bersama keluarga disebabkan masalah keluarga bahkan ada juga yang tidak sempat untuk menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM),” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, semalam.

Mohd Khalil berkata, kebanyakan mereka menghadapi kesukaran untuk dijamin kerana ibu bapa mereka tidak dapat hadir sebagai penjamin disebabkan mereka sudah lama tidak tinggal bersama keluarga berikutan ada ibu bapa yang sudah bercerai.

Beliau berkata, pasangan terlibat akan didakwa di mahkamah syariah di bawah Seksyen 27 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Johor iaitu khalwat.

“Jika sabit kesalahan mereka boleh didenda sehingga RM3,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali.

“Dalam pada itu, saya mahu mengingatkan sekiranya orang ramai ada maklumat mengenai maksiat boleh membuat aduan atau datang ke Pejabat Agama Daerah Kluang, atau boleh menghubungi terus di talian bebas tol 1-800-88-3072.

“Saya juga menasihatkan penduduk beragama Islam di daerah ini sentiasa menjaga maruah diri serta keluarga dan tidak hanya mengikut nafsu semata- mata dan sekiranya ada aduan boleh menghubungi kami kerana talian kami dibuka 24 jam bagi seluruh negeri Johor,” katanya.

Wartawan Sinar Harian

26 Jun 2012

Harga Minyak Dunia Terus Turun

Harga minyak dunia terus turun di bawah $ 80. Sekarang harganya $ 79.14, boleh dilihat di http://money.cnn.com/?section=money_topstories . Harap-harap harga minyak di negara kita akan turun selepas ini.

23 Jun 2012

Isteri Kedua Sedang Bermasalah, Bagaimana Nak Selesai ?

Saya ada soalan dari pembaca blog saya. Saya sertakan semuanya untuk tatapan kita bersama. Kepada yang ingin memberi naasihat, dipersilakan....

"Ustaz...... saya ada masalah sikit nak kongsi. Tanpa saya sedari saya sebenarnya isteri kedua. Perkenalan kami bermula di alam maya...setelah dua bulan berkenalan, kami berjumpa dan tak lama lepas tu bercinta seterusnya bernikah.

Suami saya orangnya memang baik..jaga solat, sampai sekarang pun setelah berumahtangga dan ada seorang anak dia memang seorang suami yang baik. Dia selalu menasihati saya kepada perkara-perkara yang baik. Pendek kata, saya sekarang lebih sempurna dalam menutup aurat dan ada peningkatan dalam amalan wajib dan sunat yang lain.

Masalahnya sekarang, saya dapat tahu sebenarnya dia telah berkahwin dan sekarang mempunyai 5 orang anak. Dia beritahu yang isterinya meminta cerai, tapi dia enggan ceraikan kerana perceraian itu adalah hasutan daripada adik beradik isterinya setelah kejatuhan perniagaannya dulu. Menurutnya, waran tangkap pun dah dikeluarkan tapi dia masih enggan ke mahkamah...

Perkara ini sudah berlanjutan lebih lima tahun (saya baru kawin 1 1/2 tahun). Sekarang ni bila dia dah buka perniagaan lain dengan bantuan saya (modal) dan dah menunjukkan hasil, saya dapat rasakan isteri pertama tu macam dah baik semula dengan suami saya. Saya dapat rasakan mungkin dah tarik balik permohonan perceraian tu.

Kadang-kadang bila saya fikir tentang penipuan suami kepada saya. Saya rasa macam nak minta cerai saje. Tapi bila fikirkan anak yang masih kecil, saya terpaksa bersabar. Saya rasa macam keluarga dan kawan-kawan dia berkomplot menipu saya.  Kawannya tak cakap pun dia dah kawin bila saya jumpa dengan kawannya.

Memang setiap malam suami duduk dan tidur dengan saya tapi saya rasa sakit hati yang amat sangat bila dia pegi jumpa dengan isteri yang lagi satu tu. Kadang-kadang saya dapat tangkap yang dia tipu saya bila dia jumpa isteri pertama dia.  Hati saya memberontak...apa perlu saya lakukan ustaz ?"

Ermmmm... inilah ceritanya. Saya baca dan jadikan sebagai satu tajuk dalam blog saya. Rasanya kemudianlah saya ulas setelah dapat idea yang lebih bagus gitu. Harap pembaca dulu ulas terutama yang ada pengalaman beristeri dua. Yang  baru bercita-cita nak kawin dua pun boleh ulas, sebagai bekalan sebelum kawin dua, hehehe.

22 Jun 2012

Pengidap Diabetes Meningkat 31 Peratus


Sejumlah 2.6 juta penduduk Malaysia didapati menghidap diabetes susulan pendedahan oleh Kaji Selidik Kesihatan dan Morbiditi Nasional (NHMS) tahun lalu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Seri Dr Hasan Abdul Rahman, berkata keputusan kaji selidik NHMS itu mencemaskan dan membimbangkan di sebalik usaha bersepadu yang dijalankan oleh Kementerian Kesihatan sejak bertahun-tahun.

"Perangkaan daripada NHMS menunjukkan pesakit diabetes di Malaysia meningkat kepada 31 peratus dalam hanya lima tahun berbanding peningkatan 11.6 peratus pada 2006 bagi setiap orang dewasa Malaysia berumur 18 tahun dan ke atas," katanya.

Bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Diabetes Kebangsaan 2012 bertemakan 'Ke arah Pencegahan dan Pengawalan Diabetes yang Lebih Baik' di sini hari ini, Dr Hasan berkata, antara faktor yang menyumbang kepada peningkatan jumlah penghidap diabetes dalam kalangan penduduk Malaysia termasuk berat badan berlebihan, genetik, gaya hidup dan diet tidak sihat, meminum alkohol, merokok dan tidak menjalani pemeriksaan perubatan secara tetap.

"Cara pencegahan terbaik adalah dengan makan secara sihat, bersenam sekurang-kurangnya dua kali seminggu, menjalani saringan kesihatan secara tetap dan berkala dan penghidap diabetes mesti mendapatkan rawatan serta penjagaan sewajarnya, misalnya mengawasi kadar gula dalam darah, mendapatkan rawatan bagi peningkatan tekanan darah, dan penjagaan kaki serta mata," katanya.

Dr Hasan berkata, langkah pencegahan adalah tindakan yang menjimatkan wang dan mengurangkan dengan banyak perkembangan penyakit itu serta komplikasinya.

Beliau menggesa pertubuhan bukan kerajaan (NGO), masyarakat sivil dan sektor swasta supaya membantu kementerian itu dalam Pelan Strategik Kebangsaan bagi Penyakit Tidak Berjangkit dengan mempromosikan kempen gaya hidup sihat.

Sementara itu, Presiden Persatuan Diabetes Malaysia Prof Datuk Ikram Shah Ismail berkata diabetes seharusnya dianggap sebagai isu sosial serta ekonomi dan bukannya isu kesihatan.

Beliau berharap pengamal perubatan dan semua pihak akan terus mempromosikan kesedaran mengenai diabetes untuk mengurangkan jumlah penghidap diabetes dalam kalangan penduduk Malaysia. - BERNAMA

21 Jun 2012

Tiada Pencegah Maksiat, Bebas Buat Maksiat

Di sebuah negera jiran kita yang saya baru balik lawati tadi, banyak kenangan dan pengalaman. Janganlah hairan kalau di Johor, kalau nak ke sana naik feri tambangnya RM 110 pergi dan balik. Jadi tak mahallah dan ramai juga orang kita yang suka pergi ke sana. Perjalanan dalam 45 minit saja. Selain nak membeli belah, ada juga yang nakal-nakal ke sana.

Tiada Pencegah Maksiat

"Bagaimana berkenaan penguatkuasan atau nahi mungkar di sini ?" Tanya saya kepada pegawai agama di sana atau Ketua Urusan Agama di satu daerah.

"Di sini Urusan Agama tidak mempunyai kuasa menangkap. Kuasa hanya pada polisi (polis) tapi untuk kegiatan haram saja seperti perjudian tidak berlesen. Kalau sudah dilesenkan seperti di hotel, polisi juga tidak ada kuasa menangkap." Kata pegawai itu.

"Kalau kita yang tangkap, nanti kita pula kena tangkap polisi". Kata pegawai itu lagi.

Syukur, Undang-undang di Negara Kita Jauh Lebih Baik

Walaupun perlaksanaan undang-undang Islam ada orang kata masih wujud sedikit kelemahan atau kekurangan, sebenarnya di negara kita jauh lebih baik berbanding negara jiran kita ini, dari segi penguatkuasaan. Itu negara orang Islam terbesar di dunia yang punyai lebih 300 juta umat Islam, saya lihat penguatkuasaan jenayah syariah atau maksiat sangat longgar malah tiada peruntukan undang-undang. Negara kita jauh lebih baik dan akan terus kukuh berbanding puluhan tahun dahulu.

Sana Bebas Buat Maksiat

Di negara ini, Mahkamah Syariahnya yang ada adalah bab nikah cerai, bukan boleh dakwa pesalah syariah seperti khalwat, zina, berjudi dan lain-lain. Maka tidak hairanlah kalau orang kata, hendak bebas cari perempuan, datang ke sana. Dan memang ramai orang sini datang ke sana dan untuk mendapatkan perempuan untuk dibawa ke hotel bukanlah susah.

 Cukuplah saya bercerita ringkas saja bab itu, walaupun kalau saya nak cerita bab ini boleh lagi. Saya sempat berbual dengan orang di sana dan bukan susah untuk buat nakal di sana.

18 Jun 2012

Tersalah Masuk Rumah Orang Kenduri, Rezeki Dapat Makan Free (Episod 2)

Bila saya rasa dah salah masuk, saya nak keluar untuk pergi ke kedai lain. Tapi kali ini datang seorang perempuan dan lelaki dalam usia 50-an, rasanya itu tuan rumah.

"Tak apa, tak apa, jemput makan, ini rezeki". Kata tuan rumah tu. Saya terdiam tak terkeluar perkataan sebab dah malu.

"Jemput makan, jangan malu-malu". Kata tuan rumah tu lagi.

Ermmm, dalam hati terfikir juga, rezeki jangan ditolak. Bila tengok makanan dan lain, best tu. Ada nasi jagung, nasi putih dan lauk banyak juga. Ada juga mee sup. Akhirnya saya buangkan rasa malu dan ambil makanan tu satu keluarga. Rupanya, itu kenduri kesyukuran sebab anak perempuan dia dapat masuk UIA, tahniah saya ucapkan. Masa tu ramai juga yang baru datang makan, tapi yang datang tu semuanya tuan rumah kenal, saya jer yang dia tak kenal.

Makan Bertambah Pulak

Mula ambil nasi sikit saja, tapi terus teranglah, lauk dia sedap. Saya siap bertambah lagi nasi dan lauk, rezeki bukan selalu datang macam ni. Tengah makan tu, tuan rumah siap layan dan hantar aiskrim lagi. Lepas makan, saya berbuallah dengan keluarga tuan rumah tu. Dia kata, kedai makan dia sekarang jarang juga buka sebab banyak tempahan untuk katering. Murah rezekilah tuan kedai ni.

Berbual punya berbual, dia orang tahulah saya ni Kadi Kluang. Maka dia orang lagilah rasa ucap terima kasih sebab saya datang kenduri dia, ambil berkat katanya. Saya pun ucap tahniah atas kejayaan anak dia dapat masuk UIA dan terima kasih sebab dapat makan free. Semoga mendapat keredhaan Allah sentiasa.

Lepas makan, dengan kenyangnya, kamu meneruskan perjalanan ke Temerloh. Rasa mengantuklah pulak, makan banyak sangat, tapi nak buat macam mana, memang sedap masakan dia.

16 Jun 2012

Kenapa Dapat Diskaun Harga Ayam, Sebab Perempuan Ker ?


Dua tiga hari lepas, saya pegi beli ayam di satu tempat. Sebaik saja saya sampai, sampai juga seorang perempuan dalam usia 20-an atau 30-an, nak beli ayam juga. Saya biarkan dia oder dulu. Dia beli ayam seekor dan selepas timbang harganya RM 11.60. Lelaki tu potong ayam dan saya tunggu.

Masa perempuan tu nak bayar, dia kata RM 11.00 saja, maknanya diskaun 60 sen. Giliran saya pula oder 2 ekor ayam dan bila ditimbang, meter timbang menunjukkan RM 22.98. Dia kata RM 23.00, saya diam saja. Lepas tu dia potong ayam dan lepas potong, saya tanya sekali lagi, berapa harga ayam tu. Dia kata RM 23.00 dan saya bayar.

Kenapa ?

Kenapa jadi begitu yer ? Perempuan tadi beli seekor ayam, dapat diskaun 60 sen. Tapi saya beli 2 ekor ayam, tak ada diskaun pun. Masa dia potong ayam tadi, saya fikir juga, mungkin dia akan beri saya diskaun lebih lagi, rupanya tak.

Lagi satu, kalau nak beri diskaun pada perempuan tu pun, janganlah nampakkan pada saya. Tapi memang nampak dan saya ada kat situ sejak mula timbang lagi. Satu lagi, kalau nak jaga hati saya, patut dia kasi saya diskaun juga. Macam-macam gelagat peniaga yer...

13 Jun 2012

Sila Letak Nama Telefon Isteri atau Suami Dalam Telefon Anda Sekarang...

Saya jumpa dengan kawan saya ni, cerita pasal abang dia yang kena serangan jantung, kemudiannya dapat rawatan kecemasan. Ahlamdulillah... umur dia panjang dan pembedahan jantung dilakukan segera. Apa cerita kalau lambat pembedahan dilakukan, boleh jadi juga nyawa tidak dapat diselamatkan. Kawan saya tu bercerita sambil tunjukkan video dalam telefon dia. Video apa ?

Iaitu video abang dia tu selepas dibedah. Mengerikan juga saya tengok, dan saya ulang tayang sekali lagi tengok. Yang mengerikan adalah bila tengok video di mana urat kaki dia dihiris untuk menggantikan urat menghala ke jantung dia. Nampak dengan jelas, tempat diambil urat kaki itu masih ada kesan darah. jantung saya pulak bergetar, terasa bangaimana kalau urat kaki saya dihiris dan disiat macam tu jer....

Cari Nombor Telefon

Nak cerita ni, masa abang dia tu jatuh pengsan semasa di hospital. Sebelum tu, abang dia sudah rasa sakit dada dan segera ke hospital, kemudian dia pengsan dalam kawasan hospital. Masalah yang timbul, lelaki ini datang seorang diri dan tiada siapa yang temankan.

Dikatakan, seorang kakitangan hospital cuba mengambil telefon lelaki ini untuk menghubungi keluarga terdekat. Maka, kebiasaannya keluarga terdekat adalah isteri. Tetapi, tiada nama yang ditulis sebagai isteri lelaki ini. Beberapa kali mencari, akhirnya dijumpai satu nama iaitu 'Angah'. Bila didail, dijawab oleh seorang wanita rupanya makcik dia yang berada di kampung dan pesanan disampaikan. Masalahnya pula, makcik dia tak simpan nombor telefon isteri lelaki ini. Angah berjaya juga menghubungi isteri dia tapi dalam masa yang agak lewat juga.

Akirnya kawan abang saya selamat dibedah dan kebiasaannya pihak perubatan akan menghubungi waris sebelum pembedahan dilakukan.

Untuk Keselamatan Diri

Ada satu lagi kes iaitu kemalangan motosikal yang melibatkan seorang lelaki dalam sebulan lepas. Apabila orang yang membantunya mencari maklumat dalam telefon, tiada nama isteri dia. Maka isterinya hanya mengetahui beberapa jam selepas itu sewaktu suaminya berada di hospital.

Kemalangan di Pekan, 25 Disember 2004

Pada 25 Disember 2004, hari Krismas, sehari sebelum thunami besar melanda negara, saya dalam perjalanan dari Terengganu ke Johor Bahru. Sampai di kawasan Sungai Miang, Pekan, dalam jam 1.15 tengahari, jalannya berselekoh dan sunyi tak banyak kereta. Di satu selekoh tajam, saya menemui 2 biji Proton Wira satu terbalik dan satu tidak terbalik tetapi ada orang di dalamnya. Rasanya bergesel dari arah bertentangan.

Kereta yang menghala ke Rompin yang tidak terbalik itu, terdapat pasangan suami isteri dan 2 anak lelaki bawah 10 tahun. Saya panik dan hampir tak tahu nak buat apa untuk selamatkan orang di dalam kerana semua pintu tidak dapat dibuka. Saya terasa hiba apabila terdengar tangisan anak kecil dari dalam kereta. Dalam pada itu, saya lihat kereta itu mengeluarkan asap, ada bau petrol dan saya bimbang kalau kereta itu terbakar. Saya seorang diri ketika itu kerana tidak ada kereta lain lalu waktu itu.

Saya segera ke kereta saya untuk  mengambil satu rotan besar yang memang saya simpan dalam kereta. Saya segera pecahkan cermin kereta dan berjaya menyelamatkan 2 budak lelaki yang sedang menangis itu, kepalanya sedikit berdarah. Selepas itu, datang satu lagi kereta dan seorang lelaki dalam perjalanan ke JB juga dan membantu saya mengeluarkan pasangan suami isteri yang tersepit itu.

Kami berjaya keluarkan isterinya sahaja manakala suaminya tersepit di stereng dalam keadaan parah. Yang saya fikir, kalau kereta itu terbakar, sekurang-kurang saya berjaya selamatkan 3 nyawa, kecuali suaminya.

Selepas itu, semakin ramai orang yang membantu termasuk menyediakan alat pemadam api dan semua dari kedua-dua kereta berjaya diselamatkan.  Saya maklum selepas itu, lelaki ini adalah pensyarah dari Universiti Islam Antarabangsa Kuantan yang hendak menuju program Hari Keluarga di Rompin. Saya tidak sempat berkenalan lanjut dengannya kerana dia dibawa ke hospital oleh sebuah kereta. Saya cerita kisah ini sebab hari Ahad lepas saya juga lalu jalan ini iaitu dari Terengganu ke Kluang.

Nak Telefon Siapa ?

Dari tadi, saya tertanya-tanya, siapa saya nak telefon apabila saya pegang telefon mangsa kemalangan. Cuma selepas itu, saya menjawab satu panggilan iaitu kawannya yang satu konvoi menghala ke Rompin. Saya beritahu, kemalangan berlaku. Kalau kawan dia tak telefon, saya tak tahu nak beritahu siapa.

Tulislah Nama Isteri atau Suami

Tulislah nama seperti "Isteriku', 'suamiku', 'ayang' atau kalau macam kawan saya yang kawin dua tu, tulislah.....'isteri pertamaku' atau 'isteri mudaku' heheee. Janganlah tulis nama sahaja, orang bukan kenal itu suami atau isteri kita. Contohnya kita tulis 'Mak Andeh', manalah orang tahu Mak Andeh tu isteri kita.

Bukan apa, manalah tahu kalau anda kemalangan atau ditimpa musibah, ada orang boleh menghubungi suami atau isteri anda.

12 Jun 2012

Duda 60 Tahun Kena Tangkap Dengan Janda 55 Tahun

Lelaki duda 60 tahun, kerja pemandu bas ditangkap dengan janda umur 55 tahun di rumah perempuan dalam jam 3.00 petang. Lelaki ini duda kematian isteri dan mempunyai 4 orang anak dan beberapa cucu. Perempuan pula janda anak 4 dan ada beberapa orang cucu. Dia tidak bekerja.

Sepasukan penguatkuasa Jabatan Agama membuat serbuan ke rumah perempuan ini setelah mendapat maklumat dari orang awam. Katanya, pasangan ini tiada perancangan untuk bernikah pun.

07 Jun 2012

Seronok Kejap, Merana 20 Tahun..


"Seronok kejap, Merana 20 Tahun". Tentunya ramai tertanya-tanya, apakah topik yang nak saya bincangkan ini. Kali ini bab kewangan yang dah lama saya tak tulis, sedangkan dulu selalu saya cerita bab ni. Tulisan saya terdahulu, dah banyak cerita pasal buat pinjaman peribadi, pinjaman kereta, pinjaman perumahan dan insuran hayat.

Pinjaman Peribadi

Bank cukup suka cari pelanggan kepada kakitangan kerajaan, boleh buat potongan gaji. Orang kerja swasta ada payah sikit atau Mat Burger macam kisah Sudah Nasibku Mat Burger, manalah bank nak kasi dia buat personal loan.

Tapi berhati-hati sekarang, ada bank yang buat promosi tapi tak cerita kos sebenar yang kita kena bayar nanti. Ada satu bank ni yang saya kasi nama XYZ Bank. Bank ini mendakwa dia bank yang paling rendah bayaran bulanan. Wahh... dalam promosi dia dia buat contoh 2 bank lain yang katanya lagi mahal pada dia. Ramai orang tak tahu dan macam goreng sukun panaslah orang pergi bank tu.

Rupa-rupanya, bayaran bulanan yang ditawarkan adalah kadar sekarang tetapi sekiranya faedah naik sepanjang tempoh pinjaman itu, kita kena bayar sewaktu tamat loan nanti. Maknanya, selepas 20 tahun nanti, kita kena tambah bayaran lagi sekiranya faedah naik. Dia jawab pula, biasa tak naik. Ishhh.. janganlah biasa-biasa, nanti kalau luar biasa nanti macam mana ? Kita juga yang kena bayar.

Ada satu lagi bank yang saya namakan Bank ABC yang mendakwa dia juga menawarkan loan terendah. Tapi bila ditanya, rupanya peminjam kena simpan sejumlah wang seperti RM 50 sebulan di dalam satu koperasi. Bila kita kata, nanti bayaran bulanan kita bertambah, dia kata eloklah kita menyimpan di koperasi. Tapi janganlah pesongkan orang, orang nak buat pinjaman, bukan nak simpan pulak. Lagi satu, bagaimana selepas kita habis pinjaman nanti, koperasi tu kena masuk dan potong bulanan lagi ker ? Ker kena mohon sendiri di koperasi tu untuk tamatkan potongan di koperasi tu.

Ada satu lagi bank yang saya namakan Bank DEF, mendakwa dia juga terendah. Tapi rupanya duit kita tak dapat penuh, contohnya kita pinjam 20 ribu tapi cuma dapat dalam berbelas ribu saja. Yang lain tu katanya untuk insuran dan deposit dan lain-lain. Nak tanya juga, pinjam 20 ribu ke berbelas ribu sedangkan kita tak dapat duit penuh. Kemudian, kita dimestikan potong insuran setiap bulan menjadikan bayaran bulanan kita juga tinggi.

Ramai Orang Buat Pinjaman Peribadi

Tidak dinafikan, ramai yang buat pinjaman peribadi. Malah, saya berani menyatakan, ada satu pejabat tu yang kakitangannya lebih ramai yang buat pinjaman berbanding yang tak buat. Ada yang buat overlap, ada yang buat loan duduk sebelah dalam slip gaji dia, ada yang buat loan nyorok sebelah, dan ada yang langgar dinding.

Tak kurang juga yang baru buat loan kali pertama dengan menamatkan zaman dara slip gaji dia. Orang ini adalah kategori yang baru kerja, tak kiralah kerja tetap ker atau kontrak ker, janji bank boleh kasi lulus loan dia. Ada juga kategori yang dah boleh tahan lama juga kerja dan tak pernah sentuh buat pinjaman peribadi, kali ni nak rasa nak pegang duit puluh ribu.

Kalau Ada Duit Tak Tahu Nak Buat Apa ?

Ada seorang ni, dululah, dia buat personal loan dan dapatlah dia pegang duit tunai puluhan ribu. Tapi masalahnya, dia sendiri macam tak tahu nak buat apa dengan duit tu dan dia simpan saja. Dia tanya saya, untung ker kalau labur dalam ASB ? Jawab saya, memang tak untung kalau melabur dengan meminjam duit, kenapa tak labur dengan duit sendiri jer ?

Yer ler... dia buat pinjaman peribadi kena bayar lebih termasuk faedahnya, dia masuk ASB dan dicampur dengan keuntungan, belum tentu sama, malah lagi banyak dia bayar pinjaman tu.Tapi saya kata, daripada tak ada buat apa dengan duit tu, adalah lebih baik juga dia masuk ASB. Maka dia masuklah dalam ASB dan dalam masa yang sama dia kata nak niaga, tapi entah niaga apa, entahlah masa tu.

Bukan nak mengata, tapi kita ni bukan macam orang Cina yang ramai kaum keluarga dan kawan-kawan dia dari dulu berniaga, kita ni bab pengamalan memang kurang dan satu lagi bab bekerjasama ini lagilah di tahap bawah berbanding dengan orang Cina yang berjaya dalam perniagaan.

Pinjaman ASB

Bila sentuh pasal pinjaman ASB ni, kawan kita tadi buat pinjaman peribadi dan melabur. Tapi sekarang, pihak bank buat tawaran pinjaman ASB dan dibayar bulan-bulan pada bank. Kesimpulannya, ini tetap merugikan dan jangan kita lari dari asasnya iaitu jangan meminjam untuk melabur. Maksud saya, kalau orang yang berduit dan gaji besar, nak melabur tu melaburlah. Tapi saya rasa ramai yang baca tulisan saya ni, gaji dia tak sebesar mana sangat berbanding kos hidup yang semakin meningkat sekarang.

Saya dah banyak menulis bab tu dulu, dan silalah baca tulisan saya terdahulu:

Jatuh Miskin Kerana Pinjaman ASB

Bagus Sangat Ker Pinjaman ASB

Kesimpulannya pasal pinjaman ASB ni, tak payahlah masuk, buat sakit kepala saja. Dah ramai kawan saya satu pejabat dah batalkan pinjaman ni selepas dapat penerangan lebih jelas dari saya. Jadi, untuk yang belum masuk, tak payahlah tanggung risiko buat pinjaman ASB. Baru-baru ni ada kawan saya buat pinjaman dalam 100,000 dan apabila dia nak beli rumah, pinjamannya ditolak. Antara sebabnya, dia telah buat pinjaman ASB dari sebuah bank. Dia macam tak puashati sebab ada orang kata pinjaman ASB dia tak menjejaskan pinjaman dia selepas ini.

Jadi Jutawan Segera

Dalam diam-diam, kawan saya ini melabur dalam satu syarikat yang dia kata jualan lansung. Habis duit dia hampir 50 ribu. Masuk saja, dia dah ada pangkat yang saya lupa apa pangkat dia tu, tapi kira jutawanlah. Katanya barang dia niaga tu jual penapis air dan baju seksi wanita dan lain-lain. Masalahnya, dia jumpa saya lepas dia dah masuk. Kalau sebelum dia masuk, boleh ler saya kasi nasihat. Katanya lagi, lepas ni dia akan dapat pakej umrah dan dapat kereta percuma.

Dia jumpa saya bukan nak dapat nasihat kewangan, tapi nak pujuk saya masuk skim tu. Oleh kerana tu kira kawan merangkap orang yang lebih junior dari saya, saya terus sembelih bisnes dia tu.  Bukan apa, bukan nak cari gaduh tapi terbakar juga apabila dia senang-senang nak suruh saya buat personal loan dan join bisnes dia.

Jadi, dia jumpa saya macam silap orang juga dan saya patahkan semangat dia waktu tu. Saya sampai cabar dia, saya kata, tengok 2-3 tahun lagi, apa yang berlaku pada bisnes dan pelaburan dia tu. Okey, betul juga saya cakap, sekarang dah lebih 5 tahun dan dia tak dapat apa-apa. Malah dia terpaksa bayar lebih RM 600 sebulan untuk pinjaman dia tu selama 10 tahun.

Setiap Tahun Buat Pinjaman Peribadi

Ada seorang ini, dalam 3 tahun, dia sudah 3 kali buat pinjaman peribadi. Kali pertama dia buat puluh ribu dan duitnya nak kata habis, orang tak percaya pulak tapi kira susutlah. Kali kedua dia buat personal loan sebab nak panjangkan tempoh, dulu 10 tahun nak tukar kepada 15 tahun. Dia dapat duit puluhan ribu juga, tapi lepas tu duit makin susut. Tahun ketiga, dia buat lagi dan tukar pada tempoh 20 tahun. Sekarang, dia macam nak buat kali keempat kerana dia sedang menghadapi masalah kosa sarahidup yang makin meningkat.

Ermmmmm... dapat duit memang sedap, rasa ceria jer hidup ni walaupun kita taruk saja duit tu dalam bank. Tapi kita sering lupa yang gaji kita makin kurang dan kalau dah kurang, semakin kita tak ada duit untuk kita simpan. Kedua, tempoh 20 tahun tu bukan kejap malah boleh jejak umur kita usia emas.

Usia Emas Jangan Makin Lemas

Sebagai seorang suami, banyak keluar duit, dari makan minum, kereta, rumah, belanja budak sekolah dan sebagainya. Bab anak pula, dari kecik dah keluar duit susu, lampin, orang jaga anak, ubat sakit demam dan sebagainya. Lepas tu dah besar sikit nak hantar sekolah tadika yang bukan murah kosnya sekarang. Lepas tu sekolah rendah, sekolah menengah, asrama dan sebagainya. Lepas tu anak masuk universiti lagi besar belanjanya nanti. Yer ler, anak sekarang pandai-pandai, bukan macam zaman saya yang universiti pun ada berapa buah saja.

Opssss.. teringat pesan Arwah ayah saya, bahawa kita sebagai bapa jangan ungkit-ungkit pasal belanja anak terutama pasal anak nak belajar. Tapi ini bukan saya ungkit pasal diri saya, ini adalah realiti hidup sekarang. Kita perlu berhemah dan merancang perbelanjaan anak-anak kita, itu nasihat saya kalau tuan-tuan dan puan-puan nak pakai.

Lepas habis belajar, anak kita nanti belum tentu ada kerja, entah-entah duduk baring jer kat rumah, mak bapak juga kena tanggung. Lepas tu dah dapat kerja nak nikah pula. Orang boleh kata, anak nak kawin, anaklah yang keluar belanja, bukan mak ayah. Tapi saya selalu tengok yang mak ayah belanja lebih dari hantaran yang dia dapat. Contohnya hantaran 10,000, mak ayah buat belanja lebih 30,000. Yang lebih tu duit sapa ? Duit mak ayahlah.

Cerita Pasal Anak Nak Kawin

Kalau anak lelaki nak kawin, silap-silap pinjam duit mak ayah untuk belanja hantaran. Yer ler, baru kerja, manalah dapat simpan duit lebih 10 ribu. Itulah yang ramai buat personal loan sebelum kawin. Ini bukan salah, kalau nak pinjam-pinjamlah tapi kena pastikan kita cukup belanja untuk bayar nanti. Kalau anak perempuan pulak, harapkan duit hantaran sajalah. Kalau bapak tak keluar duit atau nak buat majlis kecil-kecil, nanti isteri bising pulak.

"Abang...anak kita tu kan nikah sekali saja seumur hidup dia, takkanlah kita tak boleh keluar duit belanja". Kata si Mak Andeh.

"Kita kena banyak berjimat, elakkan pembaziran". Kata Pak Pander.

"Dahlah.. kalau awak taknak keluar duit, saya keluar duit saya". Kata Mak Andeh.

Yer le, suami akhirnya tak sampai hati tengok isteri keluar duit lagipun Mah Andeh bukan kerja gaji besar sangat. Maka si suami juga yang kena keluar duit anak nak kawin.

Jadi Rakan Facebook saya, klik sini

Sekarang Dah Tak Heran, Nikah Masa Masih Bersekolah


Saya cuba bayangkan suasana masa saya sekolah tingkatan 5 dulu, masa nak ambil SPM. Dulu tak adalah budak sekolah bernikah masa tengah sekolah. Seingat saya dulu, ada perempuan yang tingkatan 5 separuh jalan, lepas tu berhenti sebab bernikah. Itu berhenti sekolah saya tak heran, tapi kalau teruskan bersekolah, rasa macam heran juga.

Ada satu kes, pelajar tingkatan 5, usia 17 tahun bernikah dengan lelaki 20-an. Jadi, masa cuti sekolah 2 minggu ni, pelajar ni ambil kesempatan bernikah. Dan lepas naik sekolah nanti, dia akan masuk ke asrama macam biasa. Dah duduk asrama tu macam biasalah, bukan bebas-bebas boleh keluar. Nak balik kampung pun rasanya dalam 2 minggu sekali boleh balik jumpa laki dia.

Orang nak nikah, kita bukan boleh halang. Orang sekarang ni, kita nak nasihat lebih-lebih pun kita kena tengok keadaan. Pertama, kita kena sedar sapa kita yang memberi nasihat tu. Kalau setakat jiran tetangga, kena fikirkan jugalah, takut nanti jadi perang mulut. Dulu lain, sekarang lain. Kedua, tengok keadaan bila nak nasihat orang. Jangan nanti boleh dituduh, kita pulak menghalang orang nak dirikan masjid.

06 Jun 2012

Beli Nombor Ekor 35 Ringgit

Tadi saya ke kedai makan dalam jam 9.00 malam. Sedang saya makan, ada seorang lelaki umur dalam 30-an atau 40-an duduk di kerusi selang 2 meja dengan meja saya. Bila dia duduk saja, dia tengok saya saja. Saya pun tengok dia, ingatkan kenal, rupa tak kenal dan tak tegurlah. Saya teruskan makanlah.

Kedai tu kira warung, gelap dan diterangi oleh lampu jalan yang samar-samar. Tak lama lepas tu, dia keluarkan kertas putih saiz A4. Dia tenung saja kertas tu dalam cahaya yang tak berapa terang tu. Saya boleh agak kertas apa tu walaupun saya tak tahu isi kandungannya. Lelaki tadi datang naik moto Honda EX5.

Dalam 5 minit lepas tu, datang seorang lelaki yang tua juga, umur dia dalam 50-an atau 60-an. Rambut dia penuh uban dah. Lelaki ini duduk di sebelah lelaki tadi tu.

"Bagi sini nombor tu". Kata lelaki ni agak kuat.

Sedang dia renung tu, datang perempuan kedai tu ambil oder. Lepas oder dia kata.

"Ishhhh tak kena lagi, habis duit aku 35 ringgit hari ni" Kata lelaki yang lebih tua tu.

Memang sahlah apa yang saya jangka tadi, iaitu mesti kertas putih tu keputusan nombor ekor. Kertas tu boleh dibeli dari 'mapiau', biasanya ada lelaki jual tepi jalan, kekadang di lampu isyarat masa kenderaan berhenti sekejap.

 Saya pernah juga ditawar beli kertas keputusan tu, harga seringgit satu. Naknanya, modal photostat 5sen, boleh jual seringgit, baik punya niaga. Tapi keputusan tu kena taip atau tulis tangan besar-besar biar jelas dan kemudian baru photostat. Keputusan tu boleh diketahui di depan kedai nombor ekor, biasa diletakkan di luar di papan kenyataan selepas pukul 7 malam. Betullah, hari ni Rabu, ada keputusan nombor ekor.

Kemudian saya pasang telinga lagi pasal kaki nombor 2 orang ni.

"Aku hutang perabut 2 ribu lebih tak bayar lagi, dah 3 bulan tertunggak". Kata lelaki tua tu.

Lelaki yang seorang lagi yang muda tu cakap perlahan sangat, tak berapa dengar, ditambah dengan TV yang kuat juga, tapi lelaki yang tua tu cakap memang kuat dan tak ada rasa malu-malu. Kemudian dah siap makan dan bayar, saya baliklah rumah. Dalam kereta, terfikir juga saya, rasa kesal juga dengan orang kita ni. Oh yer, lelaki yang tuan sikit tu bawak van dah lama, mungkin dia niaga. Tadi pun ada juga dengar dia niaga hari ni. Tapi tak pastilah dia niaga apa.

Itulah orang kita, habis duit 35 ringgit, bukan sikit tu. Sehari saja tu, kalau seminggi ada 3 kali nombor keluar, maka seratus ringgit lebihlah seminggu dia hangus. Nak kata dapat, tak dapat juga. Dah tu, hutang perabut bila nak bayar.

Satu lagi, kenapa perlu berhutang nak beli perabut. Dah hutang tak bayar pulak. Kat Rengit tu banyak perabut baik-baik, harga un murah dan saya banyak juga beli kat situ. Simpanlah duit pakcik, boleh beli perabut atau bayar hutang perabut. Kalau hutang tu untuk budak sekolah ker, saya pun simpati juga. Ini hutang perabut, dah tu kaki nombor pulak, tak perlulah simpati kat dia ni.

Dah niaga elok-elok tu, niagalah betul-betul. Nanti kena tangkap, kena denda atau penjara, nak salahkan orang, suruh anak isteri juga jamin.
(Kat atas tu gambar hiasan jer...)

05 Jun 2012

Kena Tangkap Masa Tengah Projek Dalam Tandas Awam

Dalam jam 4.00 petang, penguatkuasa menerima aduan dari orang awam mengenai kegiatan remaja di sebuah pusat futsal. Bila sampai di lokasi, didapat toilet itu berada di luar pusat sukan dan ada 2 toilet yang berkunci. Satu toilet menunjukkan tulisan 'rosak' maknanya tak boleh digunakan.

Manakala satu lagi toilet berkunci dari dalam. Dari pengamatan penguatkuasa, ada orang di dalam toilet itu. Beberapa minit menunggu, pintu tandas diketuk. Mulanya tidak dibuka dan dalam 5 minit kemudian, dibuka oleh seorang lelaki. Hasil pemeriksaan, didapati ada seorang perempuan di dalam toilet itu.

Pasangan ini ditangkap dibawah kesalahan khalwat iaitu melibatkan pasangan remaja yang masih bersekolah iaitu tingkatan 4 dari sebuah sekolah tak jauh dengan tempat itu. Pasangan ini sudah mengenali kerana dari satu sekolah. Cuti sekolah sekarang, dia orang buat kerja tak senonoh macam ni yer. Toilet itu pula, tak nyatakan toilet lelaki atau perempuan, kongsi pun boleh. Tapi taklah sampai suruh masuk berdua satu tandas.