31 Disember 2013
Jangan Sampai Suami Kawin Lain, Gunalah Produk Ni
Ada satu iklan dalam tv ni, bukan iklan pendek, tapi satu rancangan yang saya rasa berbayar tu. Sambil makan, saya tengok tv. Seorang lelaki cakap lebih kurang begini.
"Isteri-isteri gunakanlah produk ini sebelum suami puan-puan cari lagi satu. Nanti kalau tak guna produk ni, suami kawin lagi satu, jangan nak salahkan sesiapa yer....."
Itulah lebih kurang bunyi iklan tersebut yang katanya terlajak laris punya barang. Taknaklah saya ulas panjang-panjang, ulaslah sendiri.
28 Disember 2013
Suami Lantik Penyiasat Persendirian (P.I) Untuk Mengawasi Isterinya
Pasangan suami isteri umur 40-an, mempunyai beberapa orang anak dan kedua-duanya terlibat di dalam perniagaan. Sejak kebelakangan ini, hubungan suami isteri ini agak renggang dan ada masalah. Antara dakwaan isterinya adalah suami yang sibuk bekerja serta mengabaikan tanggungjawab sebagai suami.
Isterinya datang ke pejabat agama untuk membuat aduan dan dalam proses memohon perceraian. Dalam keadaan sebegini, suami bertindak melantik penyiasat persendirian (P.I) berlesen untuk mengawasi pergerakan isterinya. Penyiasat ini mengawasi kegiatan isterinya termasuk perniagaan yang dijalankan dan lain-lain. Katanya, dia dapat banyak faedah dengan melantik penyiasat persendirian ini.
27 Disember 2013
Hari Terakhir Bekerja Pada Hari Jumaat Di Negeri Johor Hari Ini
Hari ini adalah hari Jumaat terakhir bekerja di Johor bagi jabatan negeri, persekutuan dan badan berkanun. Diharapkan selepas ini, swasta dan lain-lain mengikut jejak bercuti pada hari Jumaat secara berperingkat-peringkat.
Minggu lepas, saya berada di Terengganu. Ramai orang di Terengganu mengucapkan tahniah kepada negeri Johor atas perubahan semula cuti Jumaat ini. Dulu, tahun 1994 negeri Johor mengubah cuti hujung minggu dari Jumaat kepada Ahad.
Rakyat Johor sangat gembira dan menjunjung kasih kepada Sultan Ibrahim Ibni Al-Marhum Sultan Iskandar, Sultan dan Yang Dipertuan bagi Negeri dan Jajahan Takluk Johor Darul Takzim atas pengistiharan cuti ini. Semoga Allah mengurniakan taufik, hidayah, kekuataan, kesejahteraan dan pertolongan kepada Duli Yang Maha Mulia Tuanku.
Baru Sampai Barang Pos Dari UK Guna China Post
Tadi baru sampai barang yang saya beli menggunakan ebay dari UK dengan harga sepuluh ringgit Malaysia termasuk pos. Barang itu susah cari kat sini iaitu skru cover bawah kereta Peugeot saya. Sebelum ini saya ada tanya beberapa kedai alat ganti kereta tapi tak jumpa. Ada satu kedai tu kata harga satu set harganya RM 200 dan kena buat tempahan. Tapi hari ini barang saya sampai selepas 2 minggu menggunakan ebay.
22 Disember 2013
Kursus Pra Perkahwinan di Kluang 28-29 Disember (Terakhir 2013)
Atas permintaan ramai, Badan Kebajikan Pejabat Kadi Kluang akan menganjurkan Kursus Pra Perkahwinan pada 28 dan 29 Disember 2013 iaitu hari Sabtu dan Ahad. Diadakan di Pejabat Kadi Kluang, bayaran RM 120, makan minum, buku nota dan fail disediakan. Sijil tiada tarikh luput dan akan diberikan pada hari akhir kursus. Tidak diminta membawa pasangan/ tunang.
Sila daftar awal untuk mendapatkan tempat melalui mana-mana pegawai atau kakitangan Pejabat Kadi Kluang. Atau email kepada saya.... kadikluang@yahoo.com. Atau mendaftar melalui Facebook saya. Semua dijemput jadi rakan FB saya, klik sini
Pakaian baju Melayu bersongkok atau baju kurung. Berseluar jean tidak dibenarkan memasuki kursus. Saya difahamkan, pejabat Agama Batu Pahat dan Muar turut mengadakan kursus yang sama pada hari berkenaan.
Pakaian baju Melayu bersongkok atau baju kurung. Berseluar jean tidak dibenarkan memasuki kursus. Saya difahamkan, pejabat Agama Batu Pahat dan Muar turut mengadakan kursus yang sama pada hari berkenaan.
17 Disember 2013
Isteri Gersang Bawa Bangla Keluar, Naik Bas, Cari Hotel Recehan
Seorang wanita umur 41 tahun dari Kulai, kerja di sebuah kilang, sudah punyai 4 orang anak. Suaminya sibuk bekerja di luar dan jarang balik rumah. Hari Isnin, kebetulan kilang tempat dia kerja giliran dia cuti. Wanita ini ambil kesempatan keluar dengan seorang lelaki Bangla umur 20-an yang masih bujang trang tang tang.
Mulanya dia orang jumpa kat stesen bas Kulai. Kemudiannya mereka berdua naik bas Kulai ke Air Hitam. Mereka buat keputusan untuk pergi ke Simpang Renggam kerana tak berapa berani berjalan berdua di Kulai. Bas bertolak dalam jam 8.00 pagi. Dalam jam 8.40 pagi mereka sampai ke Simpang Renggam dengan tambang bas RM 4.00 seorang, Abang Laa tu yang belanja.
Rupanya mereka masuk ke hotel berdua dengan sewa RM 50, yang mereka kongsi bayar separuh-separuh, perempuan tu bayar RM 25 dan Bangla tu bayar RM 25. Tak lama kemudian, kebetulan penguatkuasa Jabatan Agama buat operasi di hotel tersebut dan tertangkaplah mereka berdua dalam bilik. Mereka mengaku belum kawin. Mereka kata tak buat apa-apa dalam bilik tu, cuba berbual saja. Apa pun cakap dia orang, dah jelas mereka berdua saja dalam bilik tu dan bukan ada ikatan suami isteri, adik beradik lagilah tidak. Takkanlah kakak Melayu adik Bangla. Maka kena bawalah dia orang ke balai polis.
Maknanya cerita ini, perempuan 41 tahun dah ada suami dan ada 4 orang anak. Lelaki pula bujang. Mereka berdua mengaku kerja satu tempat. Bila disuruh cari penjamin, datanglah anak perempuan kepada wanita ini yang umurnya 20-an yang umurnya macam sebaya dengan Bangla yang kena tangkap dengan emak dia. Tak ada kata apalah anak wanita ini, nak marah, itu emak dia.
Bini Tak Ada Masa Urut Suami Kat Rumah ?
Sabtu lepas, saya ke sebuah pasaraya dan saya singgah di sebuah kedai alat senaman. Saya tengok beberapa alat senaman dan saya diminta mencuba mesin urut badan. Alat itu berbentuk kerusi kulit dan harganya agak mahal iaitu dalam RM 4,000 lebih. Lelaki bangsa Cina umur dalam 30-an itu minta saya cuba alat itu.
Saya duduk atas kerusi itu dan bermulalah urut badan saya termasuk kaki. Bestlah juga alat tu, lagipun saya sedang tunggu isteri saya beli barang. Jadi sambil-sambil tu, baik juga kalau kena urut. Sambil urut tu, lelaki itu bercerita panjang untuk kempen supaya saya beli alat tu.
"Kalau U balik kerja, mintak U punya bini urut saya U, macam-macam dia jawab, sibuklah, nak masaklah, nak jaga anaklah, letihlah..... Lagi senang U angkat ini mesin. U tekan suis saja, dia urut sama U...."
Selesai 15 minit mesin itu urut saya, saya pun balik dan memang taknak beli pun alat tu. Bukan saya nak beli pun, tapi dia suruh saya test alat tu. Cuma kelakar juga lelaki tadi bercerita. Nasib baik isteri saya tak ada kat situ. Kalau ada, entahlah macam mana. Entah-entah kena cili sambal belacan mulut lelaki tu. Kenapalah buat contoh "U punya bini". Maksudnya saya punya bini ni. Kenapalah tak buat contoh bini orang lain, hehehe.
12 Disember 2013
Restoran Tak Letak Tanda Harga: Teh Tarik RM 1.50, Roti Canai RM1.00
Jumaat lepas saya sarapan pagi berdua di sebuah restoran di Johor Bahru. Kedai tersebut masih baru, terletak di hujung, dibuka 24 jam, berdekatannya adalah taman perumahan yang majoriti penghuni Melayu. Saya dan kawan saya minum teh tarik dua dan roti canai dua. Apabila bayar, harganya RM5.00 kesemuanya. Saya bayar saja dan tak tanya pun satu persatu. Kemudian saya tengok dari pelbagai sudut kedai tu, rupanya tidak ada tanda harga. Saya terus jalan kerana saya sudah lewat untuk ke satu program.
Satu Lagi Kedai
Hari Isnin pula, saya ada program lagi di Johor Bahru. Kali ini saya ke kedai lain tetapi nama kedainya sama dengan kedai pertama. Kedai ini terletak tak berapa jauh dengan kedai pertama, dalam 800 meter lebih kurang. Kedai ini kedai hujung, dikelilingi taman perumahan Melayu dan dibuka 24 jam juga. Saya dan kawan saya minum 2 gelas teh tarik dan 2 roti canai. Bila masa nak bayar, dia kata RM 5.00.
Saya Tanya
Kali ini saya bertanya berapa harga teh tarik dan roti canai. Dia kata, segelas teh tarik RM 1.50 dan roti canai RM 1.00. Maknanya betullah kiraan dia RM 5.00 tu. Dalam hati saya, harga teh tarik di kedai tu mahal, biasanya RM 1.20 saja. Roti canai pula harga RM1.00 itu mahal, kebiasaannya 80 sen saja.
Pada saya, dari segi undang-undang, harga makanan seperti roti canai dan teh tarik bukanlah barangan kawalan oleh pihak berkuasa. Harga itu terpulang kepada peniaga. Kedai yang pertama saya pergi hari Jumaat dan kedai kedua yang saya pergi hari Isnin ini adalah nama yang sama. Pada anggapan saya, pemilik atau tuan punya kedai itu adalah individu yang sama.
Peniaga jangan lupa.... saya juga ada hak sebagai pembeli. Saya perlu tahu atau mempersoalkan harga yang saya perlu bayar, kenapa begitu dan begini, saya sebagai pelanggan. Pelanggan lain juga kena prihatin dan jangan mudah diperdaya.
Tiada Tanda Harga
Masalahnya, kedai ini tiada tanda harga. Sama ada kedai yang pertama dan kedua, tiada tanda harga bagi teh tarik dan roti canai. Yang ada tanda harga adalah makanan lain seperti lauk dan nasi. Itu pun tulisannya kecil sahaja. Setahu saya, kalau tak letak tanda harga adalah satu kesalahan. Diharapkan pihak berkuasa banyak buat pemeriksaan di restoran untuk kebaikan bersama. Kalau pemilik itu buat salah, silalah ambil tindakan ikut prosedur yang sepatutnya. Bukan satu dan dua kedai, tapi kalau boleh, kebanyakan kedai makan.
Hari Khamis, saya ke sebuah restoran 24 jam di Kluang. Kedai ini kedai hujung dan namanya berlainan dengan nama kedai pertama dan kedua tadi. Saya minum teh tarik dan roti canai satu. Bila bayar, RM 2.00 iaitu RM 1.20 bagi teh tarik dan 80 sen bagi roti canai. Saya berpuashati. Maknanya kalau saya makan berdua, hanya RM 4.00, bukan RM 5 seperti kedai tadi.
11 Disember 2013
Beritahu Isteri Nak Pergi Econsave, Tapi Kena Tangkap Beli Nombor Ekor
Seorang lelaki umur 50-an, punyai isteri dan 5 orang anak. Bekerja sebagai tukang masak di sebuah kedai makan. Petang tu dalam jam 2.30 petang, dia keluar dari rumah, katanya nak beli barang makanan di pasaraya Econsave. Dia memang pergi Econsave dan beli barang seperti yang dia kata.
Lepas tu dia ke sebuah kedai mamak dan jumpa dua orang kawan yang tengah bincang pasal nombor baik. Kawan dia tu kasi nombor yang katanya boleh naik hari tu. Dia pun pergi ke kedai nombor ekor naik kereta dia. Kereta berhenti tak jauh dari kedai nombor ekor tu. Berhenti saja, dia tengok-tengok keadaan sekeliling dan bila rasa 'line clear' barulah dia masuk ke kedai nombor ekor tu. Dalam kedai tu tak ramai, cuma dia dan dua orang lelaki bukan Islam yang sedang beratur.
Dia pun beli nombor yang kawan dia kasi dengan harga RM4 dan RM 2 lagi nombor empat angka yang dia selalu ikut dan bertahun tapi tak pernah kena. Selesai saja dia beli, dia semak nombor yang dia beli, betul ke tidak nombor yang dia pesan tu. Dia pun keluar tapi iba-tiba dia terkejut apabila dihampiri 3 orang lelaki berpakaian biasa.
"Maaf encik... saya penguatkuasa Jabatan Agama". Kata salah seorang lelaki yang menahannya sambil menunjukkan kad kuasa. Masa tu jam 4.50 petang.
Masa itu juga kaki dia lemah dan macam nak pengsan. Dia pegang dada dan menggigil. Nasib baik dia tak apa-apa. Dia ada sakit darah tinggi tapi terkawal dengan makan misai kucing hari-hari. Ops... bukan misai kucing yang hidup tu, ubat herba misai kucing.
Tiket judi harga RM 4 dan RM2 tu dirampas dari tangannya. Dia dibawa ke balai polis dan kemudiannya dibawa ke pejabat agama. Bila kena tangkap, dia perlukan penjamin. Pening kepala juga dia, nak beritahu isteri, takut kena bebel. Dia pun telefon kawan dia yang kasi nombor kat kedai mamak tadi. Kawan dia kata nak datang jamin, tapi dah dekat jam 6.30, tak sampai-sampai lagi, rupanya terus tak datang. Dalam hati kawan dia, takut kawan dia pecah lubang yang dia kasi nombor sehingga kawan dia kena tangkap.
Bila dah tak ada jalan lain dan dari tadi penguatkuasa kata, kalau tak ada penjamin, dia akan dimasukkan ke dalam lokap polis. Memang dia tak sangguplah nak tidur lokap, berseluar dalam saja katanya. Dia pun terpaksa panggil isteri dia jamin. Maka sebelum jam 7.00 isteri dia datanglah dan memang betullah, kena bebel berguni-guni dulu sebagai muqaddimah, akhirnya jamin juga.
02 Disember 2013
Suka Sangat Tengok Telefon Suami, Akhirnya Diceraikan
Lelaki dan perempuan lewat 20-an sudah berkahwin lebih setahun dan belum punyai anak. Kedua-duanya bekerja di syarikat swasta. Sejak akhir-akhir ini, isteri rasa curiga dan bertambah-tambah perasaan cemburu terhadap suaminya. Tempat suami bekerja, kira-kira 80 peratus adalah wanita yang muda-muda. Pada suami, bukanlah nak mengada-ngada dengan anak dara di tempat kerja tapi gadis itu ibarat bunga mekar menghiasi taman serta menyuntik semangatnya bekerja.
Cuti-cuti Tahun
Satu hari, pasangan suami isteri ini dalam perjalanan menaiki kereta menuju ke kampung suami di sebuah daerah dalam negeri Johor. Kedua-dua mereka ambil cuti hujung tahun untuk berjumpa keluarga di kampung. Dalam perjalanan itu, mereka singgah di sebuah stesen minyak dan suami pergi ke tandas lebih kurang 5 minit. Dalam kesempatan itu, isteri telah mengambil dan memeriksa telefon bimbit suami jenama Samsung S3.
Satu hari, pasangan suami isteri ini dalam perjalanan menaiki kereta menuju ke kampung suami di sebuah daerah dalam negeri Johor. Kedua-dua mereka ambil cuti hujung tahun untuk berjumpa keluarga di kampung. Dalam perjalanan itu, mereka singgah di sebuah stesen minyak dan suami pergi ke tandas lebih kurang 5 minit. Dalam kesempatan itu, isteri telah mengambil dan memeriksa telefon bimbit suami jenama Samsung S3.
Suami Berbual Dengan Awek Dalam Whataps
Si isteri terkejut dan amat marah apabila menemui perbualan suaminya dengan seorang gadis cun berdasarkan gambar gadis itu dalam 'whataps'. Isteri menyangka, gadis itu adalah rakan sekerja suaminya dan merasakan suaminya cukup mesra dengan gadis itu.
Bila suami masuk semula ke kereta, si isteri memarahi suaminya.
"Ohhhh... ini kerja awak selama ini. Siapa perempuan jalang tu..?" Kata isteri.
Si suami kelihatan gelabah.
"Ermmm... saya tak apa-apa dengan dia, itu urusan kerja, tak lebih dari itu". Kata suami.
"Ohhhh! Urusan kerja kata awak. Hari-hari cuti pun urusan kerja? Tak cukup ker masa kerja bercinta dengan awak. Cukuplah penipuan awak pada saya selama ini." Kata isteri.
Suami terus memandu dalam keadaan yang tidak tenteram.
"Iyer.... ini kawan saya, tak ada apa-apa" Kata suami yang terus pertahankan hujah dia.
"Sudahlah.... hidup saya selama ini cukup tersiksa hidup dengan awak. Siapa perempuan miang tu, siapa...cakap! Kalau awak dah hendak sangat dengan perempuan tu, sekarang awak ceraikan saya, sekarang juga!" Kata si isteri.
Suami terus tertekan dan semakin tak tenteram. Dia memperlahankan kenderaan.
"Ceraikan saya sekarang, ceraikan saya...." Teriak isteri, sambil memegang kepala, macam kucing kena gigit kutu babi.
"Cubalah awak duduk diam-diam, saya tengah bawak kereta ini. Cuba bawak bersabar". Kata suami.
"Hantar saya balik rumah mak ayah saya sekarang, saya boleh hidup tanpa awak, cerikan saya". Kata isteri.
"Awak jangan cabar saya. Okeylah, kalau gitu, saya ceraikan awak". Kata suami spontan.
Mula Sedar
Selepas lafaz itu, suami memberhentikan kereta. Suami beristighfar dan termenung panjang. Baru dia sedar dan dia tahu sikit-sikit hukum serta jatuh atau tidak jatuh talak. Dia teringat semasa ceramah kursus pra perkahwinan yang dia lalui sebelum dia nikah dulu. Dia lebih mengatakan, kalau begitu, jatuh talak walaupun ada niat atau tidak, terlanjur atau terlajak laris.
Si isteri pula, masa suami memberhentikan kereta, isteri terdiam, kemudiannya menangis, mengeluarkan sapu tangan dalam beg tangannya dan mengesat air mata.
"Sayang, maafkan abang, bukan niat abang nak ceraikan ayang..." Kata suami.
Isteri terus menangis dan tak kata apa-apa. Dalam keadaan yang tengah kecoh itu, suami mencadangkan mereka datang ke Pejabat Kadi yang lebih kurang 25km dari situ.
Tanya Pejabat Kadi
Di pejabat kadi, hadir satu pasangan suami isteri macam ada masalah. Pasangan ini sudah nekad untuk rujuk semula perkahwinan mereka segera. Sudah diberi penjelasan yang lafaznya itu lebih kepada jatuhnya talak. Walaubagaimanapun, kes ini akan didengar di hadapan hakim tidak lama lagi. Mengenai rujuk semula, pasangan dibenarkan rujuk pada hari itu juga.
"Mana surat nikah?" Tanya kadi.
"Maaf, tak bawak tuan". Kata lelaki tu.
" Tak bawak? Ini kena bawak ni". Kata kadi.
"Betul tuan, tapi kami datang ni nak tanya dulu sebeb kebetulan kami dalam kereta dan tak jauh dengan pejabat kadi." Kata lelaki ini.
Kemudian pasangan ini balik ke rumah dalam lingkungan 40km. Selang dua jam lepas itu, pasangan ini datang semula dan proses pendaftaran cerai dibuat. Pasangan ini dibenarkan rujuk semula perceraiannya hari itu juga. Mereka kembali hidup sebagai suami isteri dan kedua-duanya mengaku kesilapan diri walaupun antara mereka tak beritahu apa silap mereka.
Langgan:
Catatan (Atom)