Untuk Memilih Tajuk Artikel Dalam Blog Ini, Sila Taip Perkataan di sini.

30 September 2013

Pertengkaran Antara Pengawal Keselamatan Dan Seorang Wanita: Siapa Betul, Siapa Salah?


Antara berita yang popular dalam minggu lepas adalah kisah pertengkaran antara seorang pengawal keselamatan dan seorang wanita. Wanita itu katanya adalah seorang isteri kepada seorang yang terkenal juga. Puncanya dikatakan adalah mengenai kereta. Entah salah letak kereta atau tidak ikut peraturan, entahlah, tetapi ada kaitan dengan kereta juga, itu yang saya tahu sikit-sikit. 

Apabila berlaku insiden ini, dalam laman sosial, orang kita menjadi tertarik untuk komen sama ada menyebelahi pengawal keselamatan ini atau wanita isteri seorang yang terkenal ini. Pada saya, biasalah, laman sosial ini cepat saja orang sampaikan cerita ini dari seorang ke seorang.

Siapa Betul?Pengawal Keselamatan atau Wanita Ini?

Enhatlah, dari video yang saya tengok, tak ada pun video penuh kejadian itu. Yang ada cuma sekerat saja. Jadi, kalau setakat video yang tak lengkap, kalau saya sebagai seorang hakim atau pengadil, elok saya buang kes saja. Kalau hendak menangkan satu pihak, maka saya tak jumpa bukti kukuh mengenai siapa yang bersalah. Jadi, eloklah jangan dipanjangkan. Bermaaf-maafanlah sesama kita sesama agama dan bangsa kita juga. Jadikan pengajaran, yang baik jadikan ikutan, yang buruk jadikan sempadan. Habis cerita.

Wanita Salah Letak Kereta Yang Salah?

Oleh kerana tempat itu bukan tempat letak kereta, maka wanitalah yang bersalah. Adakah betul begitu? Sila tanya setiap pemandu kereta, pernahkah mereka letak kereta di tempat yang salah? Pernahkah kita berhenti di tempat tidak dibenarkan berhenti? Pernahkah kita bawa kereta tanpa memakai tali keledar? Pernahkah kita letak kereta tanpa meletakkan kupon? Pernahkah kita letak kereta di sebelah pili bomba? Pernahkah kita bawa laju melebihi had laju? Pernahkah kita potong garisan berkembar?

Kalau saya, saya jawab soalan di atas, saya pernah lakukan kesalahan di atas sebagai pemandu kereta. Bukan sekadar saya jawab pernah, tetapi kalau memandu laju, hampir setiap kali bawa kereta, saya langgar had laju, itulah sejujurnya. Bukan saya tak tahu itu adalah satu kesalahan, saya tahu. Saya juga pernah kena tahan polis kerana kesalahan tidak memakai tali keledar. Saya akui saya memang salah. Tapi, apa berlaku dan bagaimana tindakan pihak polis bila menahan saya.

Pertama, budi bahasa. Adakah polis trafik ini menengking saya? Tidak. Dia cakap dengan elok. Jadi, bila saya kena saman, walaupun berduka, tetapi saya tak marah kepada polis berkenaan. Malah saya akui kesilapan saya dan akui itu adalah tugas polis yang kita tak perlu pertikaikan.

Tiada Kena Mengenai Dengan Sesiapa

Sebelum tuan-tuan baca komen saya seterusnya, saya jelaskan yang komen ini tiada kena mengena dengan kes yang berlaku itu. Saya tidak menfokuskan itu saja. Saya ada beberapa pengalaman saya sendiri terutama rumah saya sendiri di Johor Bahru mempunyai pengawal keselamatan yang dan banyak kali bertukar syarikat dan orang. Pernah rasa pengawal keselamatan termasuk warga asing pun ada dahulu, sekarang sudah semuanya orang tempatan. Pengalaman itu saya kongsi dalam komen saya ini. 

Minta maaf kalau ada pengawal keselamatan yang terasa hati, bukan niat saya nak menyinggung sesiapa. Cuma kadang-kadang, orang yang jarang berurusan dengan pengawal keselamatan ini, kurang mempunyai maklumat yang tepat. Tapi, saya hari-hari, setiap kali masuk dan keluar rumah, akan berhadapan dengan pengawal ini. Di mana-mana pangsapuri atau kondominium, isu tempat letak kereta tidak ada sudahnya dan menjadi satu perkara rumit untuk dikendalikan

Pangawal Keselamatan Perlu Berhemah

Sebagai seorang pengawal keselamatan, tugas mereka adalah berat sama ada bidang tugas, kepayahan dan sebagainya, cukup banyak. Sumbangan mereka cukup besar kepada masyarakat dalam mengawal keselamatan. Dari segi gaji dan imbuhan, mungkin pendapatan itu bukanlah ukuran kepada mereka. Sebaliknya mereka berkhidmat kepada masyarakat. 

Tetapi, pengawal keselamatan hendaklah mempunyai sifat berhemah apabila berhadapan dengan masyarakat yang pelbagai ragam. Betullah seseorang pengawal itu menguatkuasakan sesuatu undang-undang tetapi budibicara dan berhemah itu hendaklah diberi keutamaan. Janganlah kita menjadi seperti robot atau komputer yang kata salah tetap salah, yang betul tetap betul. Dalam kita menghadapi kerenah masyarakat, sebenarnya bukanlah begitu.

Pengawal Yang Baik Adalah Membantu Menyelesaikan, Bukan Dia Saja Yang Betul

Okey, sekiranya menghadapi sesuatu situasi tegang, pada saya, seorang pengawal yang baik adalah menyelesaikannya, bukan lebih menegangkan keadaan. Tidak semestinya, kalau seorang itu sudah salah, maka orang itu tetap salah. Contohnya apabila berhadapan dengan seorang wanita yang mengeluarkan kata-kata kesat terhadapnya, seorang pengawal yang berjaya adalah seorang yang berjaya membuatkan wanita itu hormat kepadanya. Cara mana? Gunakanlah pelbagai cara dalam menghadapi seorang wanita. Sebenarnya inilah yang payah. Mungkin kita dalam keadaan beruniform, merasa tecabar apabila seseorang itu mengeluarkan kata-kata kesat.

Pengawal Keselamatan Pangsapuri atau Kondo Bukan Senang

Jadi pengawal keselamatan di pangsapuri atau kondo bukan semudah yang disangka. Kenapa? Kerana penghuni di situ bukanlah kategori orang biasa, malah orang yang berada, berpendidikan tinggi dan berduit sebab itu boleh beli atau menyewa di kediaman seperti itu. Perlu diingat, kehadiran pengawal di situ, dibiayai oleh penghuni yang membayar setiap bulan kepada pihak pengurusan termasuk perkhidmatan kawalan kesemalatan. Kalaulah penghuni tidak berpuashati dengan mutu, layanan atau sikap pengawal keselamatan, maka penghuni boleh protes, antaranya dengan tidak membayar wang perkhidmatan kepada pengurusan. Kalau begitulah jadinya, lama kelamaan, pengurusan dan pengawal akan berkhidmat tanpa gaji.

Jadi nak berhadapan dengan orang pelbagai lapisan di kondo kenalah ada kemahiran. Sebaiknya, syarikat keselamatan perlulah mengadakan kursus khas kepada pengawal di kondo. Jangan sampai nanti, pengawal keselamatan di kondo macam pengawal keselamatan di ladang yang kebanyakan pekerjanya pekerja asing. Bukan juga macam pengawal di asrama pekerja kilang warga asing bujang. Berbeza juga macam jadi pengawal di bank yang pengawalnya tidak berbual tetapi serius kerana menjaga wang yang banyak. Lain juga dengan pengawal di kedai emas yang sentiasa pegang senapang dan mengawasi pergerakan pelanggan.

Antara yang penting di kondo adalah budibahasa perlu tinggi. Cara hormat orang perlu ada, bukan main sergah ajer. Kalau betul ada penghuni buat silap seperti salah letak kereta, tak perlulah ditengking atau dirantai terus, sebaliknya perlulah kaedah terbaik.

Kalau semuanya okey, maka penghuni dapat hidup tenang dan berbaloi membeli rumah berkenaan. Di bandar seperti JB sekarang banyak kondo baru dan sudah tentu ada pengawal keselamatan. Tapi kalau ada satu dan dua syarikat atau individu sebagai pengawal keselamatan buat tak elok, maka akan tercalarlah nama baik pengawal keseluruhannya. Maka orang akan menjauhkan diri dari membeli hartanah berbentuk kondo atau pangsapuri.

Contohnya baru-baru ini berlaku satu pergaduhan sehingga bertumbuk antara pengawal keselamatan dan penghuni. Saya sendiri melihat sendiri kejadian ini. Sehinggalah penghuni bertindak membuat laporan polis dan kemudiannya kereta peronda polis datang segera. Orang yang terlibat dibawa ke balai polis tetapi saya tidak tahulah apa kisah lanjut berkaitan kejadian ini. Sekali lagi, saya tak mahu menyebelah sama ada penghuni atau pengawal yang bersalah.

Oleh itu, kursus dan latihan adalah perlu, malah elok sangat kalau diwajibkan kepada syarikat dan pengawal menyertai kursus ini. Syarikat yang mengendalikan kawalan keselamatan di kondo ini hendaklah ada integriti. Manakala pengawal yang bertugas hendaklah melepasi tapisan keselamatan yang sepatutnya sebagai kelayakan untuk menjadi pengawal. 

BERSAMBUNG KE EPISOD 2 klik sini untuk episod 2

28 September 2013

Budak Perempuan Tingkatan Empat Lari Dari Rumah, Duduk Dengan Lelaki, Dah Ditebuk Tupai, Termuntah-muntah

Penguatkuasa mendapat satu aduan kes khalwat di sebuah rumah kira-kira jam 3.00 petang. Serbuan dibuat tidak lama kemudian dan ditangkap satu pasangan. Lelaki umur 20-an, bekerja sambilan manakala perempuan masih bersekolah tingkatan empat.

Bila dibawa ke pejabat, perempuan itu loya-loya dan kejap-kejap termuntah. Maka mengikut tanda-tandanya, macam sedang mengandung peringkat permulaan. Oleh kerana nak mengelakkan muntah, ada pula mempelam epal yang masih muda kat pejabat. Maka diberilah perempuan ini makan dan berselera dia makan macam orang sedang mengidam. Mempelam itu sebenarnya adalah dari pokok rumah seorang pegawai pejabat kadi yang bawa ke pejabat nak kasi-kasi orang lain makan. Rupanya turut dikongsi bersama dengan orang yang kena tangkap.

Ada Laporan Lari Dari Rumah

Rupanya, hasil siasatan, perempuan tingkatan 4 ini dari daerah bersebelahan yang dah ada satu laporan polis ke atasnya. Laporan dibuat oleh bapanya selepas hari raya lalu yang mengatakan perempuan ini hilang begitu saja. Sejak dia hilang, puas keluarganya dan pihak sekolahnya mencarinya tapi enggak ketemuan gitu. Rupanya dia ikut tinggal di rumah pakwenya.

Disebabkan Gaduh Dengan Akak

"Kenapa kamu lari dari rumah?". Tanya penguatkuasa.

"Sebab gaduh dengan akak". Jawab perempuan ini.

Alahai... gaduh dengan kakak dia sampai lari dari rumah. Bukannya mak ayah dia halau dari rumah pun. Setakat bergaduh adik beradik jer. Pulak tu, pergi duduk rumah lelaki dah sebulan lebih. Dah tu, kepala dia tengah ting tong, termuntah-muntah akibat perbuatan orang.

Ingatkan lelaki tu nak selamatkan dia, rupanya melemaskan dan melanyak dia pula. Nak kata akal pendek, nanti dia marah kita pulak. Mungkin lepas ini penyanyi Indonesia budak tu yang nama Tegar boleh buat lagu berjodol "Duluku Alhamdulillah, Sekarang Aku Susah" untuk pengajaran kepada anak-anak muda macam dia tu.

Pelancong Asing Seronok Jumpa Pokok Durian di Simpang Renggam

Waktu saya berhenti di tempat rehat Simpang Renggam di lebuhraya tadi, saya nampak ramainya pelancong asing. Rupanya mereka gembira serta bising-bising dalam bahasa mereka sambil ambil gambar kat bawah pokok durian tu. Ada juga beberapa orang yang pegi ambil putik durian  dari pokok dan ambil gambar. Dusun durian itu di belakang toilet lebuhraya dan ada jalan keluar yang boleh dilalui oleh motosikan dan pejalan kaki.

Tak Pernah Jumpa Pokok Durian

Pada saya, mereka ini mungkin pelancong dari negara China atau Jepun atau Taiwan atau Hong Kong yang merupakan peminat buah durian. Durian dia orang makan kat sana antaranya dari negara kita. Selama ini mungkin mereka tak pernah tengok pokok durian, maka inilah kali pertama mereka jumpa setelah bertahun-tahun makan durian.

Bagaimana pokok Epal?

Sedap kita mengata orang yer. Yang kita pulak, pernahkah kita jumpa pokok epal atau lai atau anggur yang kita selalu makan? Saya belum pernahlah, cakap terus terang jer. Jadi kalau saya ke negara luar dan jumpa pokok epal, saya pun seronok ambil gambar macam mereka juga. Entah-entah lagi teruk, sampai mengelupur macam kena sawan, hehehe.

27 September 2013

Histeria Menyerang Sebuah Sekolah di Kuantan


KUANTAN -  Sesi pembelajaran di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tok Sera gempar apabila sekurang-kurangnya 70 pelajar diserang histeria, semalam. Dalam kejadian kira-kira jam 1 petang, pelajar lelaki dan perempuan yang terkena gangguan itu, meracau-racau dan lari bertempiaran di sekeliling bangunan sekolah sehingga menyukarkan para guru menenteramkan mereka.

Seorang bapa, Saifullizan Abdullah, 38, memberitahu, kejadian histeria itu sudah berlarutan agak lama dan lebih merisaukan dua anaknya, Emy Syazana, 16, dan Norsyafikah,  13, turut mengalaminya. Menurutnya, kejadian histeria itu juga sudah berlaku berulang kali malah mengganggu pelajaran dua anaknya itu.

“Sejak kejadian tersebut, sikap kedua-dua anak saya berubah apabila menjadi kuat tidur dan lemah.

“Ketika dirasuk di sekolah, ada sesetengah pelajar didapati  tidak sedarkan diri dan ada mendakwa mendengar bisikan  yang menyuruh mereka terjun dari bangunan sekolah,” katanya.

Saifullizan berkata, paling membimbangkan apabila kejadian pelajar terjun dari bangunan sekolah pernah berlaku dua kali di lokasi yang  sama dan salah seorang daripada mangsa maut  pada Mei lalu manakala kejadian terbaru pada bulan lalu.

“Saya risau kejadian buruk ini akan mengganggu dua anak saya atau pelajar lain.

“Justeru, saya amat berharap tindakan segera dapat diambil bagi menyelesaikan masalah ini,” katanya.

Seorang pelajar yang enggan dikenali pula berkata, semasa kejadian, pihak sekolah mengambil inisiatif melaungkan azan bagi meredakan keadaan. Bagaimanapun, situasi menjadi lebih buruk  apabila para pelajar terbabit dikatakan semakin agresif dan marah apabila mendengarnya.

“Sekolah ini menjadi huru-hara apabila pelajar yang  diserang histeria berlari bertempiaran di sekitar sekolah.

“Keadaan menjadi kecoh apabila guru sukar untuk mengawal dan menangkap mereka untuk dibawa ke makmal komputer bagi diberikan rawatan,” katanya. Katanya lagi, situasi itu bagaimanapun kembali tenang  apabila pihak sekolah memanggil seorang ustaz untuk memulihkan pelajar terlibat.

“Saya tengok kakak saya yang turut terkena histeria  terbaring dan kemudiannya sedar kembali selepas ustaz  memulihkan mereka,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Pelajaran Pahang, Rosdi Ismail  ketika dihubungi berkata, beliau masih menunggu laporan  mengenai kejadian tersebut dan akan menjalankan siasatan lanjut.

“Kita akan siasat kejadian ini selepas menerima laporan daripada pihak sekolah,” katanya.

25 September 2013

Nak Nikah Dengan Mak Angkat


Seorang wanita 50-an kematian suami dalam 7 tahun lalu nak nikah dengan seorang lelaki. Lelaki ini umur 40-an tahun berstatus duda bercerai. Semasa zaman kanak-kanak, lelaki ini duduk rumah keluarga suami isteri iaitu dianggap sebagai bapa dan ibu angkatnya. Bagaimanapun, tidak adalah penyerahan anak angkat kat pejabat macam dilakukan sekarang. Bukanlah juga berstatus ibu susuan. Ini cuma anak dan bapa angkat dari segi istilah saja.

Selama ini, lelaki 40-an ini anggap itulah ibu dan angkatnya. Semasa bapa angkatnya terlantar sakit dan meninggal dunia, lelaki inilah yang banyak bersusah payah. Dengan anak-anak ibubapa angkatnya dianggap macam adik beradik.

Ceritanya sekarang, selepas wanita 50-an berstatus ibu tunggal kematian suami dan lelaki bapa tunggal kerana bercerai, mereka merancang untuk bernikah. Seperti biasanya, alasan mereka nak bernikah adalah kerana tidak mahu hubungan rapat mereka disalah anggap dan mengelakkan berlakunya maksiat.

Keluarga Tidak Tahu

Masalah yang dihadapi pasangan ini adalah penerimaan keluarga. Belum apa-apa, pasangan ini sudah nampak jurang dan liku iaitu keluarga mereka pasti menentang pernikahan ini. Bagaimanakah agaknya pernikahan mereka, jadi atau tidak...?

19 September 2013

Kena Tangkap Khalwat Makan Nasi Kat Rumah Janda


Seorang suami orang 50-an datang ke rumah seorang janda 40-an dalam jam 12.00 tengahari. Tak ada orang lain kat rumah itu. Pintu dikunci dari dalam. Penguatkuasa mendapat aduan dan membuat serbuan terhadap pasangan terlampau ini.

Bila ditangkap, kata lelaki itu, dia datang untuk makan tengahari ke rumah janda peramah itu. Yer, memang ada makanan atas meja tu. Tapi lelaki dah siap pakai kain pelekat semasa ditangkap. Mungkin nak selesa dan makan kenyang sangat. Apa pun sendiwara pasangan ini, mereka ditangkap kerana kesalahan khalwat.

16 September 2013

Isteri Orang Mengandung Pun Masuk Suratkhabar Ker.....


Berita dalam akhbar hari ini antaranya cerita isteri kedua Ashraf Muslim dah mengandung. Hehe.... isteri mengandung pun masuk akhbar ker? 

Yer ler, masyarakat kita kalau bab kawin dua ini, memang ramai orang mengata dan nak beri liputan. Wan Sakinah ni isteri kedua Ashraf Muslim.
Kita ikuti berita yang ditulis di akhbar berkenaan.

SHAH ALAM - Sebelum ini khabar angin yang bertiup kencang di laman-laman sosial mengenai isteri kedua Ashraf Muslim iaitu Wan Sakinah Ahmad Saburi yang sudah hamil, nyata benar. Sebuah portal hiburan telah memaparkan gambar asid folik yang dipetik daripada akaun Instagram isteri pelakon itu.

Gambar tersebut, menimbulkan persepsi tentang status kehamilan beliau.Bagaimanapun, semalam satu laporan akhbar tempatan telah melaporkan kehamilan Wan Sakinah telah mencecah enam minggu. Melalui laporan itu juga, Wan Sakinah mengalami alahan yang teruk termasuk sakit kepala, muntah dan hilang selera makan.

Berita Dari Akhbar Sinar Harian, klik sini

12 September 2013

Isteri Orang Kena Tangkap Khalwat Dengan Duda (Episod 6)


Kedua-dua pasangan ini dibawa ke balai polis. Kedua-duanya dibenarkan untuk diikat jamin oleh dua warga tempatan. Tak lama kemudian, datang dua orang lelaki untuk menjamin pasangan ini. Pasangan ini dikehendaki datang ke Jabatan Agama keesokan harinya jam 8.30 pagi. Sebelum dibenarkan pulang, penguatkuasa memberi amaran kepada pasangan ini supaya tidak duduk sama lagi di dalam rumah itu pada malam itu untuk mengelakkan tangkapan kedua  berlaku.

Esoknya, di Pejabat Agama, pasangan ini datang bersama dua orang penjamin. Hasil soal siasat, pasangan ini mengaku tidak mempunyai ikatan mahram atau suami isteri. Perempuan umur lewat 20-an masih mempunyai suami tetapi sudah tidak duduk bersama suaminya hampir 2 tahun lalu. Perempuan ini sedang menuntut cerai secara fasakh di mahkamah syariah dan mempunyai peguam untuk urusan tersebut. Maknanya, selagi mahkamah belum membuat keputusan, dia masih dikira ada suami yang sah. Kanak-kanak itu adalah anaknya yang sah melalui perkahwinan itu.

Lelaki pula umur 30-an berstatus duda yang sudah bercerai kira-kira tiga tahun lepas. Dia mempunyai dua orang anak yang dipelihara oleh bekas isterinya. Mereka mengaku bercita-cita untuk bernikah tetapi status perempuan yang masih isteri orang menghalangnya. Katanya dia bersimpati dengan wanita ini dan nak menolong wanita ini yang tidak bekerja.

Siapa Pengadu?

Lelaki ini bertanya kepada penguatkuasa iaitu siapakah pengadu dalam kes ini sehingga mereka ditangkap. Lakonan dan perancangan pasangan ini yang duduk macam suami isteri sejak beberapa bulan lamanya termasuk menipu tuan rumah tersebut. Yang kena tipu juga adalah pak imam surau berkenaan yang jadi jiran dia di taman itu. Majlis hari raya dan marhaban juga turut naik rumah ini dan jiran-jiran percaya betul yang mereka adalah suami isteri. Kanak-kanak pula seronok dapat duit raya seringgit masa marhaban tu. Jiran tak syak lansung mereka tidak kawin rupanya.

Soalnya siapa pengadu? Kalau dikatakan pengadu adalah jiran taman tersebut, kenapakah begitu lama, makan berbulan-bulan baru aduan dibuat kepada Jabatan Agama? Mungkin tidak. Tapi ada kemungkinan juga iaitu kalau bukan jiran, siapa pula yang pecah lubang?

Pasangan ini bukanlah orang sini. Duduknya di daerah lain yang jauhnya dalam 100km juga. Sebenarnya, yang tahu siapa pengadu hanyalah penguatkuasa yang tertentu sahaja. Dengan aduan inilah baru penguatkuasa bertindak. Kalau tak ada aduan, takkanlah nak periksa semua rumah di setiap taman,  rumah kondo, rumah panjang atau kotai.... tak mungkin. Maknanya ada pengadulah dan pengadu itu tak akan diberitahu kepada sesiapa. Keselamatan dan kerahsiaan pengadu itu dilindungi untuk mengelakkan perkara tak baik berlaku. 

Tapi ada juga kes yang orang tahu siapa pengadu. Mulanya ingatkan siapalah yang bocorkan maklumat pengadu. Rupanya pengadu sendiri yang bukak cerita kat warung yang dialah jaguh dan wira kampung sehingga pasangan itu kena tangkap. Dalam hal ini penguatkuasa tak tanggunglah kalau apa-apa berlaku, sendiri tanggunglah. Tapi biasanya orang yang berani istihar dia pengadu bukan calang-calang orang. Kalau macam cerita KLGenster2, macam Malek Aeron Aziz juga atau 'abang kawasan' yang ada beberapa line. Kalau macam saya ni setakat ada line Celcom sajalah.... Hehe.

Senang cerita kalau ada sesiapa nak mengadu pasal maksiat, mengadu sajalah kepada Jabatan Agama Johor yang ada penunggu 24 jam yang akan jawab panggilan itu. Sila dail 1-800-88-3072 iaitu talian bebas tol. Jangan malu, jangan takut, jangan segan kerana identiti anda dirahsiakan yer....
SEKIAN. 

10 September 2013

Sembang Pasal Harga Minyak Naik, Harga Barang Naik Juga


Tadi saya ke kedai gunting rambut. Memang sejak akhir-akhir ini setiap bulan saya ke kedai gunting rambut ni. Disebabkan dah biasa dengan tukang gunting ini dan dah kenal, maka selalulah bersembang sambil gunting tu. Biasanya topik yang dibualkan adalah isu semasa. Jadi, masa gunting rambut tadi, sembanglah pasal isu semasa 'kenaikan harga minyak' baru-baru ini 20 sen seliter bagi petrol RON95 dan Diesel.

"Sekarang minyak naik, harga barang semua naik. Mana boleh suratkhabar kata barang tak ada naik, mesti naik punya". Kata tukang gunting tu. Saya layan jugalah sikit-sikit.

"Harga ikan semalam sudah naik banyak kuat. Saya  biasa beli dulu harga 8 ringgit saja sekarang sudah jadi 10 ringgit sekilo". Kata dia lagi.

"Itu hari saya pos barang guna pos laju harga mahal sampai 50 ringgit." Kata dia lagi.

"Hantar mana itu barang, banyak mahal". Kata saya.

"Hantar Sabah". Jawab dia. Dalam hati saya ingatkan tadi hantar semenanjung, hantar Sabah dari dulu memang dah mahal.

Selesai Gunting

Selesai saja gunting rambut, saya hulur duit untuk bayar. Tapi............rupanya kurang seringgit. Terkejut juga saya sebab selama ini dan yang terakhir bulan lepas gunting rambut kat kedai tu, harganya saya tahu. Saya pun tambahlah lagi seringgit dan tak kata apa-apa. Masa nak keluar tu, sempat tengok kertas yang tampal harga bagi dewasa. Rupanya dah diubah harga tu. Naik seringgit rupanya.

Keluar jer dari kedai tu rasa macam tak puashati dengan kedai tu. Yer ler, dia komplain peniaga naik harga barang, tapi dia pun naikkan harga. Tapi dalam hati, harga naik pun, bulan depan pegi kedai dia juga gunting rambut. Pada saya, dan kebanyakan orang juga, bukan ramai tukang gunting. Kalau dah berkenan dengan kedai tu, tiap bulan kedai tu jugalah. Sambil pandu kereta terkedu juga dan bercampur kelakar juga. Dia dok kata orang lain naik harga, rupanya dia yang naik harga juga, bukan 20 sen tapi seringgit terus. Sekali pikir, kalau gunting dia macam mesen rumput guna petrol RON95 atau diesel, kira patut juga kalau naik harga.

Beli Goreng Pisang Lagi Baik

Nak pujuk hati, berhentilah kat gerai jual goreng pisang tepi jalan. Kira dapat saya bayangkan, kunyah goreng pisang tu dapat menghilangkan bengang tadi. Malangnya goreng pisang tak ada, yang ada cuma mee hoo goreng dan keropok lekor. Makcik tu kata, kalau nak goreng pisang, kena tunggu lama, belum goreng pisang lagi. Maka belilah saya mee hoon dan keropok lekor. Nampaknya makcik tu tak bisinng-bising pulak pasal harga naik. Bila saya bayar, harganya murah saja, tak naik harga.

09 September 2013

Jawapan Bercanggah Suami dan Isteri, Tembelang Dah Pecah (Episod 5)


Penguatkuasa masuk ke dalam bilik menemui wanita pula dengan ditemani 2 penguatkuasa.

"Okey... sekarang cuba kamu berterus terang. Jangan cuba nak berselindung, kami dah tahu cerita sebenar. Lelaki dah cerita semuanya.... Baik kamu mengaku saja.". Kata penguatkuasa sambil wanita itu nampak ketakutan dan gelabah.

"Okey...Betul ker kamu ni suami isteri?". Tanya penguatkuasa sambil mengeluarkan kertas yang ditulis tadi.

"Erkkkk... kami memang suami isteri". Jawab wanita itu.

"Sebut tarikh perkahwinan kamu sekarang" Kata penguatkuasa dengan suara yang sedikit tinggi.

"Erkk... saya lupa". Jawab wanita itu.

"Dah berapa lama kamu nikah, berapa lama?". Tanya penguatkuasa.

"Erkkk... dalam 5-6 bulan". Jawab wanita.

"Okey.... Kamu nikah di Thailand kan?" Tanya penguatkuasa.

"Yer... Thailand, kami dah nikah". Jawab wanita tu.

"Ini yang tidur ini anak kamu kan?" Tanya penguatkuasa.

Perempuan hanya mengangguk.

"Siapa bapa dia?" Tanya penguatkuasa.

"Ini anak dengan bekas suami saya". Jawab perempuan.

"Jadi hubungan dia dengan suami kamu adalah anak tiri, betul?.....". Tanya penguatkuasa lagi.

"Yer, betul" Jawab perempuan tu.

"Okey.. sudahlah tu dan keluar dari bilik ni sekarang. Dah banyak kenyataan kamu berdua bercanggah". Kata penguatkuasa.

Mereka keluar dari bilik dan pergi ke ruang tamu bersama lelaki dan penguatkuasa yang lain.

"Kamu berdua jangan berdalih lagi...sekarang ikut kami ke balai polis. Kamu berdua ditangkap kerana disyaki melakukan kesalahan khalwat". Kata penguatkuasa.

Kedua-dua lelaki dan perempuan tunduk dan tak kata apa-apa dalam keadaan yang serba salah.

"Sebenarnya kamu tidak nikah kan! Cukuplah lakonan kamu, kami dah tahu cerita sebenar. Lebih dari itu pun kami dah tahu pasal hubungan kamu" Kata penguatkuasa.

Kedua-duanya terus terdiam lagi.

"Apa tunggu lagi, ikut kami sekarang. Bawa bersama anak kamu tu, kejut dia dari tidur sekarang. Kalau betul kamu sudah nikah, sila kemukakan surat nikah ke pejabat agama segera esok. Kamu berdua ditangkap sekarang". Kata penguatkuasa serius.

"Tolonglah encik, tolonglah... berilah kami peluang.. Kami malu encik, ramai jiran-jiran kat luar tu, kami malu, tolonglah....." Rayu lelaki tu.

.......BERSAMBUNG KE EPISOD KE 6, Klik Sini

08 September 2013

Dulu Aku Susah, Sekarang Alhamdulillah.......


Dulu Aku Susah, Sekarang Alhamdulillah........

07 September 2013

Surat Nikah Entah Letak Kat Mana (Episod 4)


Bila diminta kad pengenalan, lelaki dan perempuan mengeluarkan kad pengenalannya. Tapi surat nikah, lelaki minta izin untuk mencarinya....... mula-mula dalam almari. Penguatkuasa menemani lelaki tersebut selongkar almari manakala perempuan disuruh tunggu di ruang tamu.

"Kat mana yer surat nikah...." Kata lelaki tu macam merungut bila cari tak jumpa. Kemudian dia cari dalam kereta yang diletakkan di depan rumah di dalam pagar.

Bila dia keluar saja, nampak ramai, lebih 20 orang taman tu yang dah keluar. Lelaki ini tunduk saja dan tak kata apa-apa. Dia masuk dalam kereta ditemani dua penguatkuasa. Puas dia selongkar tapi masih tak jumpa.

"Maaf encik, saya tak jumpa surat nikah letak kat mana. Tapi memang betul kami dah nikah, dah ada anak seorang" Kata lelaki ini.

"Tak apa, bertenang, sila masuk dalam rumah semula". Kata penguatkuasa. Masa tu lelaki dan perempuan itu ada di ruang tamu.

"Cakap terus terang ni, kamu berdua dah nikah ke belum?" Tanya penguatkuasa dengan suara agak tinggi sikit.

"Betul encik, kami dah kawin". Kata lelaki manakala perempuan terus berdiam diri. Yang dikatakan anak dia itu masih nyenyak tidur dalam bilik.

Penguatkuasa memberi satu isyarat kepada penguatkuasa lain. Kemudian dua orang penguatkuasa membawa perempuan masuk ke dalam bilik dan meninggalkan lelaki di ruang tamu. Jaraknya agak-agak antara mereka berdua tidak dengar perbualan antara satu sama lain. Lelaki ditanya oleh penguatkuasa beberapa soalan sambil penguatkuasa mengeluarkan satu kertas dan mencatat jawapan lelaki itu.

"Okey...bila tarikh nikah?". Tanya penguatkuasa.
"Ermmm....tiga tahun lepas". Jawab lelaki itu.

"Kamu faham soalan betul-betul, saya tanya tarikh nikah, bukan tanya berapa tahun dah nikah, faham ke tak..." Desak penguatkuasa lagi, muka macam serius.
"Maaf encik, saya buntu, tapi saya nikah tahun 2010. Tarikh saya tak berapa ingat..."Jawab lelaki ini macam takut-takut.

"Agak-agak bulan berapa? Januari? Febuari?....Oktober? November?" Tanya penguatkuasa lagi.
"Ermmmm.... Lepas raya tahun 2010". Jawab lelaki ini. Penguatkuasa terus mencatat.
"Kamu nikah di mana?". Tanya penguatkuasa.

"Di rumah perempuan". Jawab lelaki itu.
"Memanglah nikah kat rumah perempuan, takkan rumah lelaki pulak... Taman apa, kampung apa?" Tanya penguatkuasa lagi.

"Ermmm Taman Warni". Jawab lelaki itu.
"Pukul berapa nikah? Pagi, tengahari atau malam?" Tanya penguatkuasa lagi.
"Ermmm pagi dalam pukul 9". Jawab lelaki ini.

"Anak kamu siapa nama .... bila tarikh lahir dia..." Tanya penguatkuasa lagi.
"Nama Zamil tarikh lahir tak ingat tapi dalam 3 tahun" Jawab lelaki ini.

"Nama penuh Zamil bin apa? Mana surat beranak dia?" Tanya penguatkuasa.
"Zamil bin saya. Surat beranak lupa letak mana" Jawab lelaki ini.

"Okey.. Tak apa, tunggu yer, nanti saya Tanya soalan lain" Kata penguatkuasa tu. Kemudian penguatkuasa masuk ke dalam bilik menemui wanita pula ditemani dua orang penguatkuasa. Beberapa soalan dikemukakan kepada wanita itu.

...........BERSAMBUNG KE EPISOD 5 Klik sini

05 September 2013

Aidil Zafuan dan Rita Rudaini Sah Bercerai Talak Satu (Episod 3)

PELAKON Rita Rudaini Mokhtar sah bercerai talak satu dengan pasangannya yang juga pemain bola sepak kebangsaan, Mohd Aidil Zafuan Abdul Radzak di Mahkamah Rendah Syariah Seremban, di Seremban hari ini. Ikatan perkahwinan pasangan itu terlerai selepas mahkamah mengesahkan lafaz cerai yang dibuat oleh Mohd Aidil, 26, kepada Rita Rudaini, 37, menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) pada 4 Ogos lepas.

Hakim Syarie Hamizan Mohd Nor membuat keputusan itu selepas berpuas hati dengan segala keterangan yang diberikan pasangan terbabit berhubung lafaz cerai berkenaan yang berlaku sebelum ini tanpa kebenaran mahkamah. Terdahulu, semasa dalam prosiding, Mohd Aidil selaku plaintif memberitahu mahkamah bahawa SMS yang dihantar kepada Rita Rudaini sekitar pukul 4 hingga 5 petang itu ditaip sendiri dalam keadaan sedar dan tanpa dipengaruhi sesiapa.

Sementara itu, Rita Rudaini ketika memberi keterangan kepada mahkamah mengaku dan bersetuju dirinya ada menerima SMS berkenaan dan faham maksud yang ingin disampaikan oleh suaminya.
"Kedua-dua pasangan juga dikehendaki mendaftarkan perceraian ini di Pejabat Agama Islam Seremban untuk tindakan lanjut," kata Hakim Syarie Hamizan.

Mohd Aidil diwakili peguam syarie, Roshdan Sujak Rafie manakala Datuk Zaidi Mohd Zain pula mewakili Rita Rudaini.

Saya Cerita Dalam Blog Ini 3 Episod, Sila Klik Sini Untuk Episod 1

Pasangan Kata Dah Nikah Tapi......... (Episod 3)


Maaf encik... siapa lagi dalam rumah ini?" Tanya penguatkuasa.
"Ermmm.... Saya dengan isteri dan anak. Nanti saya panggil dia ". Kata lelaki tu.

"Okey... Tak apa. Izinkan kami masuk nak buat pemeriksaan". Kata penguatkuasa.

Penguatkuasa seramai 5 orang iaitu 3 lelaki dan 2 perempuan terus masuk. Manakala 2 orang penguatkuasa tunggu di pintu belakang. Jiran-jiran pula semakin ramai macam orang tengok orang jual ubat kat pasar malam. Penguatkuasa tidak membenarkan orang awam masuk ke dalam kawasan rumah.

Waktu pemeriksaan, lelaki itu mengikuti penguatkuasa tetapi tidak dibenarkan berkata apa-apa kecuali menjawab soalan dari penguatkuasa saja. Penguatkuasa ke bilik tidur utama dan mendapati bilik itu seperti baru lepas digunakan tetapi tiada orang dalam bilik itu. Pengkaukuasa dan orang itu pergi ke sebuah lagi bilik yang berkunci dari dalam.

"Ada siapa dalam bilik ini?" Tanya penguatkuasa kepada lelaki ini.

"Ini isteri saya dan anak" Kata lelaki ini.

"Okey... kamu panggil isteri kamu sekarang". Kata penguatkuasa.

Lelaki ini mengetuk pintu sambil memanggil nama perempuan yang dikatakan isteri dia tu. Tak lama kemudian pintu dibuka dari dalam oleh seorang perempuan yang memakai baju betmen, ops bukan betmen, baju kelawar. Penguatkuasa wanita masuk ke bilik dan turut menemui seorang kanak-kanak lelaki sedang nyenyak tidur.

"Apa hubungan kamu berdua?" Tanya penguatkuasa wanita kepada wanita ini.

"Kami suami isteri dan ini anak kami". Jawab wanita itu.

"Betul kamu suami isteri?". Tanya penguatkuasa lagi,

"Yer betul.....". Jawab perempuan itu.

Lelaki dan perempuan itu dihimpunkan di ruang tamu. Penguatkuasa meminta mereka berdua mengeluarkan kad pengenalan dan surat nikah.

........BERSAMBUNG KE EPISOD 4, KLIK SINI

03 September 2013

Apa Kesudahannya, Nikah Ker Tak Nikah Dia Ni ? (EPISOD 2)

Penguatkuasa tetap meneruskan hasrat untuk periksa rumah itu dan menjelaskan kepada orang yang semakin ramai hadir.

"Minta maaf semua.. kami jalankan tugas" Kata salah seorang penguatkuasa.

"Yer betul.... kita serahkan kepada pihak berkuasa dan lain diminta bertenang" Kata salah seorang lelaki yang kira macam 'abang kawasan' ler, hehe, macam cerita KLGenster2 pulak.

Tak lama kemudian, pintu dibuka oleh seorang lelaki yang memakai kain pelekat dan baju t-shirt pagoda. Nampak gaya macam lelaki ini baru terkejut dari lamunan tidur.

"Yer encik, ada apa yer? Ini siapa?" Tanya lelaki ini.
"Minta maaf, saya penguatkuasa jabatan agama. Ini kad kuasa dan waran geledah saya.". Kata penguatkuasa.
"Jabatan agama?... Kenapa yer?" Tanya lelaki itu, macam terkejut.

Apa berlaku seterusnya?
BERSAMBUNG KE EPISOD 3.Klik sini


02 September 2013

Adakah Pasangan Ini Dah Kawin Atau Belum...?

Penguatkuasa menerima aduan dari orang awam mengenai satu kes khalwat di sebuah rumah taman iaitu rumah teres. Sampai di lokasi lebih kurang jam 2.00 pagi, penguatkuasa ketuk pintu rumah. Oleh kerana tidak dibuka rumah itu, jiran depan rumah terjaga dan menghampiri penguatkuasa.

Penguatkuasa memperkenalkan diri dan berkata kepada jiran itu, nak periksa rumah itu kerana disyaki ada kes khalwat. Tetapi jiran itu kata, itu rumah suami isteri dan ada anak. Penguatkuasa hairan juga dan terus bertanya kepada jiran itu beberapa perkara. Katanya, orang itu baru pindah ke rumah itu dalam 5 bulan dulu. Jiran-jiran kat situ tahu yang itu adalah pasangan suami isteri. Lelaki kerja swasta dan perempuan tidak bekerja. Anaknya pula dalam likungan 3-4 tahun.

Betulkah Dah Nikah ?

Bila dengar cerita itu,penguatkuasa merasakan, betullah seperti cerita pengadu iaitu latarbelakang lelaki dan perempuan itu. Jiran itu terus bercerita pasal lelaki itu. Katanya, pasangan suami isteri ini baik dengan jiran dan masyarakat termasuk jemaah surau. Semasa bulan Ramadhan, lelaki ini dilihat ada juga solat tarawih berjemaah di surau dekat situ. Hari Raya baru-baru ini pun disambut di situ dan tak balik kampung. Ada juga jiran datang rumah dia dan dia layan macam biasa.

Sekarang ini di taman itu sibuk pasal marhaban dari rumah ke rumah. Rumah ini pun jiran-jiran naik marhaban beramai-ramai ke rumah berkenaan dan orang itu tidak menolak kehadiran tetamu. Lelaki ini pun ada juga ikut marhaban ke rumah orang lain juga.

Tapi, penguatkuasa dapat aduan pasangan ini tak nikah. Penguatkuasa teruskan mengetuk rumah itu dan beberapa kali diganggu oleh jiran yang semakin ramai datang menyaksikan drama ini. Apa terjadi seterusnya...?

KITA SAMBUNG KE EPISOD KEDUA....klik sini