26 Jun 2015
Bertengkar Kecil-kecil Bulan Ramadhan, Akhirnya Jadi Kes Cerai
"Tuan Kadi, ada seorang wanita nak bertanya bab cerai", kata seorang staf pejabat.
"Okey, silakan dia masuk", kata Kadi.
Masuklah dua orang wanita. Yang ada masalah tu adalah wanita umur hujung 20 dengan ditemani rakannya 20-an yang masih gadis.
"Tuan Kadi, suami saya lafaz cerai dalah facebook. Adakah jatuh talak?", tanya wanita itu.
"Oh.... Lafaz dalam perceraian zaman sekarang ada banyak cara, sama ada bersemuka, telefon, email, whataps, weechat atau facebook, boleh menyebabkan jatuh talak juga. Okey, bagaimana lafaz tu? Boleh tunjukkan saya perbualan dalam fb tu?", kata Kadi.
Wanita tu mengeluarkan telefonnya dan menunjukkan perbualannya dengan suaminya dalam fb.
"Ini betul ker suami yang hantar atau orang lain yang hantar?", tanya Kadi.
"Yer betul, ini suami saya yang hantar. Masa tu kami sedang bergaduh", kata gadis tu.
'Masa tu puan berada di mana dan suami di mana", tanya kadi.
'Masa tu saya ditempat kerja saya dan suami di tempat kerja dia dalam jam 12.00 tengahari', kata wanita tu.
Kadi meneliti perbualan dalam fb itu dengan izin wanita itu. Satu lafaz yang menjurus kepada talak adalah perkataan suami dia,
'Saya ceraikan awak', berdasarkan perkataan suami dia dalam fb tu.
Kemudian perempuan itu jawab,
'Abang jangan main-main, kenapa begini jadinya?', fb wanita tu.
Suami dia jawab,
'Saya tak main-main, sekarang antara kita dah tak ada apa-apa', fb suami dia.
Isteri kata lagi,
'..... kalau macam tu, hari ini saya kemas baju dan nak balik kampung', fb isteri.
'Suami dia kata lagi,
"Haha... bergurau saja, hehe", fb suami dia.
Perbualan dia terhenti sampai situ di fb. Keesokan harinya, si isteri ditemani kawan sekerja berjumpa Kadi nak tanya status perceraian itu sama ada jatuh talak atau tidak.
Dengar Kadi Jawab Macam Mana
'Puan... dalam bab cerai ini kita tak boleh bergurau kerana dalam bab cerai, ada kalanya bergurau boleh jadi jatuh talak. Ada tiga perkara dalam hukum syariah kita tak boleh gurau yang kalau kita gurau, boleh jadi betul iaitu nikah, cerai dan rujuk.', kata Kadi.
"Tapi Tuan Kadi, suami saya kata dia tak ada niat, dia bergurau saja", kata wanita itu.
"Memang saya tahu dia bergurau, tapi dalam bab cerai ini kita tak sepatutnya bergurau", kata Kadi.
"Jadi bagaimana sekarang Tuan Kadi?", tanya wanita itu.
Suami Kena Datang Pejabat
'Okey, sila datang dengan suami dengan membawa surat nikah yang asal. Kalau boleh hari ini atau kalau tak sempat, esok datang', kata Kadi.
Wanita itu menangis teresak-esak dan ditenangkan oleh rakannya.
Esoknya wanita itu datang dengan suami dan kes dia dirujuk ke Mahkamah Syariah. Biar mahkamah yang tentukan sama ada jatuh talak atau tidak dan talak berapa yang jatuh. Sekali lagi si isteri menangis dengan sepuasnya manakala lelaki terdiam tak kata apa-apa.
Inilah tragedi rumahtangga ini yang belum pun setahun bernikah dan belum ada anak, sudah pun terjadi perkara begini. Lebih sedih dan tak boleh tahan airmata lagi, apabila kesini berlaku dalam bulan Ramadhan.
13 Jun 2015
TMJ Solat Jumaat di Kluang, Gembira Dapat Bersalaman
Semalam di Masjid Taman Kasih, Kluang, Tunku Mahkota Johor (TMJ) bersama rakyat jelata Kluang bersolat Jumaat di masjid berkenaan. Selepas solat, jemaah antara 800 hingga 900 orang mengambil peluang bertemu dan bersalaman dengan TMJ. Sambutan rakyat Kluang kepada TMJ cukup hebat dan gembira dengan kunjungan tersebut. Ada seorang jemaah yang bertanya kepada saya,
" Tuan Kadi, kami nak salam dengan TMJ ni sempat lagi ker", tanya seorang lelaki dalam usia 20-an.
Saya tahu, tujuan dia tanya soalan itu sebab sambutan hari itu luar biasa dan TMJ tak berhenti-henti bersalaman dengan jemaah yang ramai tu. Dia mulanya macam serba salah nak bersalam dan dia macam kecewa kalau tak dapat bersalam.
"Insyaallah sempat, sabar sikit yer", kata saya.
Dah lama lepas tu, saya tengok lelaki tadi tu dapat juga bersalaman dan rakan dia ada ambil gambar dia masa tu. Saya tengok gembiranya lelaki tu. Mesti gambar itu jadi kenangan indah dia.
Petang semalam selepas solat Jumaat, ada kawan saya tanya. Dia tanya kenapa tak beritahu dia TMJ nak solat Jumaat di Kluang. Kalau dia tahu, dia nak solat di masjid Taman Kasih juga. Saya kata memang sengaja tak hebahkan kerana masjid itu boleh menampung antara 800-900 jemaah dalam satu masa. Lagi pun TMJ lebih nak beramah mesra dengan penduduk tempatan.
Rakyat Johor Bersatu
Alhamdulillah, rakyat Johor bersatu patu dan rapat dengan Sultan Johor, Permaisuri Johor, Tunku Mahkota Johor (TMJ) dan kerabat-kerabat DiRaja. Satu perkara yang sangat penting untuk kita fikirkan adalah, kekalkanlah semangat perpaduan ini kerana sekarang sudah ada macam-macam agenda musuh untuk memecahbelahkan perpaduan rakyat Johor.
Insyaallah, TMJ ada beritahu hendak datang sekali lagi ke Kluang bulan Ramadhan nanti untuk berbuka puasa bersama penduduk setempat. Masjid mana yang terpilih nanti, sudah tentu gembira dengan kunjungan TMJ.
Bulan Puasa Air Nira Sebotol 5 Ringgit, Bulan Tak Puasa 3 Ringgit
Dua tiga hari lepas saya singgah di sebuah gerai tepi jalan yang jual air nira kelapa di luar negeri Johor. Saya beli sebotol air nira saiz air miniral botol kecil. harganya 3 ringgit. Saya minum di situ dan duduk dalam setengah jam dan sempat berbual-bual dengan makcik berumur 50 atau 60-an tu.
Makcik tu cerita, air nira kelapa tu dia dan suaminya ambil sendiri setiap hari. Dia ada lebih kurang 50 batang pokok kelapa. Selain jual sendiri, makcik tu kira pemborong juga sebab ramai juga yang ambil banyak dengan harga borong. Sempat juga saya jengok peti sejuk beku kat gerai makcik tu, ada banyak dalam tu.
Sempat saya tanya makcik tu apa khasiat air nira tu tapi makcik tu pun tak tahu apa khasiatnya. Cuma dia kata ramai yang minum antaranya nak hilangkan mengantuk sambil memandu. Pada saya, kalau dah kurang tidur, mengantuklah masa memandu, bukan sebab air nira, hehehe.
Bulan Puasa Harga Naik
Makcik tu kata, setiap kali datangnya Ramadhan, harga sebotol kecil tu dari 3 ringgit akan jadi 5 ringgit. Bila saya tanya balik kenapa jadi macam tu, makcik tu kata, permintaan bulan puasa meningkat sampai tak cukup bekalan. Saya tanya, kalau naik harga, orang tak bising ker? Makcik tu jawab, kalau dah semua orang jual harga 5 ringgit, dia pun kena jual 5 ringgit juga untuk jaga peniaga lain.
Inilah kisahnya orang berniaga. Bukan nak mengadu apa-apa yer, saja untuk renungan.
08 Jun 2015
Ingat Nak Untung 280 000 Tapi Rupanya Penipu (Episod 2)
Esoknya kawan saya tu telefon dan saya jawab. Nampak kawan saya tu macam gelabah.
"Tuan. Yang saya cakap semalam tu tak jadi", kata kawan saya tu.
"Oh... Semalam cakap beriya-iya, hari ni kenapa tak jadi pulak", tanya saya.
"Sebenarnya baru saya tahu orang yang cakap tu penipu. Dia takut sangat bila saya ajak pegi ke pejabat Kadi. Saya cakap pada dia, Kadi nak siasat berkenaan sedut duit tu", kata kawan saya tu.
"Oh... Orang tu sebenarnya orang mana? Orang Simpang Renggam ker?", tanya saya.
"Tak. Dia ni datang dari sebuah negeri utara dan baru menyewa 2-3 bulan kat Simpang Renggam", kata kawan saya.
"Kalau gitu, boleh ker saya datang sana jumpa orang tu. Nak juga berbual-bual dengan dia. Untung-untung boleh juga dapat duit 280 000 tu", kata saya.
"Tak boleh Tuan. Dia cakap dia taknak jumpa tuan dan katanya nak pindah dari Simpang Renggam", kata kawan saya.
Perbualan terhenti kat situ. Lepas tu saya berbual dengan rakan pejabat.
"Tengok orang semalam ni. Semalam cakap berdegar-degar macam betul sangat sedut duit boleh dapat duit ratus-ratus ribu. Tengok, hari ni takut pulak bila suruh datang pejabat. Nampak sangat menipunya", kata saya.
Dari Episod 1, klik sini
Dari Episod 1, klik sini
Langgan:
Catatan (Atom)