Untuk Memilih Tajuk Artikel Dalam Blog Ini, Sila Taip Perkataan di sini.

30 Mei 2013

Suami dan Isteri Menyesal Cerai Talak Tiga


Sebelum kawin, lelaki ini kuat hisap rokok. Dia bercinta dengan seorang awek cun tapi perempuan ini tak suka kepada lelaki yang hidap rokok. Maka dia kurangkan hisap rokok dan tak hisap rokok depan awek dia. Perempuan ini ingatkan betul-betul dan berhenti hisap rokok.

Pasangan ini bernikah dan dikurniakan seorang anak dan hidup mereka bahagia. Semasa dalam perkahwinan ini, suami tak dapat menyembunyikan diri yang dia masih hisap rokok. Berlaku beberapa sesi pertengkaran disebabkan rokok ini.

Berhenti Merokok

Akhirnya, lelaki mengambil keputusan untuk berhenti merokok. Bukan itu saja, untuk meyakinkan kepada isterinya yang dia dah tak merokok, dia melafazkan satu perkataan yang cukup besar. Iaitu,

"Lepas ini, kalau abang hisap rokok lagi, jatuhlah talak tiga". Kata suami kepada isterinya. kejadian ini berlaku pada satu tarikh lebih kurang 2 tahun lalu.

Memang lelaki berpegang teguh kepada janjinya dan lafaz taklik yang dilafazkan itu.

Hisap Rokok

Pada satu hari, di sebuah kedai bersama rakan-rakan, lelaki akhirnya hisap rokok. Entah terlupa atau sengaja, sukar dijelaskan kerana berlaku terlalu pantas.  Selepas itu, lelaki sedar dan menceritakan kepada isteri dia yang dia hisap rokok.  Pasangan ini hadir ke pejabat agama dan mahkamah syariah memutuskan, jatuh talak tiga. Selepas mahkamah membuat keputusan, pasangan suami isteri ini menangis dan menyesal. Suami dan isteri berumur lewat 20-an dan mempunyai seorang anak. Lelaki bekerja sebagai pegawai manakala isteri surirumah.


23 Mei 2013

Pengarah Tabung Haji Pulau Pinang Didakwa Khalwat Dalam Hotel

Pengarah Tabung Haji Pulau Pinang  dan seorang staf wanita mengaku tidak bersalah di Mahkamah Rendah Syariah di Balik Pulau hari ini atas tuduhan berkhalwat.
   
Lelaki, 46, dan perempuan, 35, dituduh melakukan kesalahan itu di bilik bernombor 328C di sebuah hotel di Kompleks Tabung Haji di Bayan Lepas pada kira-kira jam 6.10 petang 20 Mei lepas.
   
Dia dituduh mengikut Seksyen 27 (a) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Pulau Pinang 1996 manakala perempuan mengikut Seksyen 27 (b) enakmen sama yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM3,000 atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya.
  
Hakim Syarie Mohamed Zaidi Abdullah membenarkan kedua-duanya, masing-masing diikat jamin RM1,500 dengan seorang penjamin dan menetapkan 27 Jun untuk sebutan semula kes.
  
Kedua-dua mereka diwakili peguam Wan Faridulhadi Mohd Yusoff manakala pendakwaan dikendalikan Ketua Pendakwa Syarie Mohd Zulkhairi Aziz.

Kes Bunuh Sosilawati Lawiya: Pathmanabhan Dihukum Mati


SHAH ALAM - Bekas peguam N Pathmanabhan dan tiga pekerja ladangnya  dihukum gantung sampai mati selepas disabitkan oleh Mahkamah Tinggi di sini, sebentar tadi, dengan kesalahan membunuh jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga rakannya, hampir tiga tahun lalu.
 
Hakim Datuk Akhtar Tahir membuat keputusan itu selepas berpuas hati dengan semua bukti dan bahan bukti yang dikemukakan di mahkamah sepanjang perbicaraan yang bermula pada 4 Julai 2011.

Katanya, pendakwaan berjaya membuktikan kes berkenaan melangkaui kerugian munasabah manakala pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes itu.

Pathmanabhan, 44; T Thilaiyagan, 22; R Matan, 23 dan R Khatavarayan, 33, didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan membunuh Sosilawati, 47; pegawai bank Noorhisham Mohamad, 38; peguam Ahmad Kamil Abdul Karim, 32 dan pemandu Sosilawati, Kamaruddin Shamsuddin, 44, di Lot Nombor 2001 Jalan Tanjung Layang, Tanjung Sepat, Banting, 30 Ogos 2010. Sosilawati dilahirkan di Sri Medan, Batu Pahat, Johor.

18 Mei 2013

Rumah Lelong Episod 10 (Gelembong Hartanah)


Alhamdulillah, tulisan saya mengenai lelong rumah dapat menarik minat ramai pembaca dari seluruh negara. Banyak juga soalan melalui FB saya dan blog ini yang saya jawab secara sempoi saja.  Semoga tulisan saya ini memberi sedikit ilmu dan pengetahuan kepada pembaca. Bagaimanapun, saya makin kurang menulis pasal rumah lelong sejak kebelakangan ini. Ada beberapa sebab:

Pertama, rumah lelong makin kurang sekarang, tak macam tahun 2008 dan 2009 waktu saya mula ceburi bidang lelong rumah ini. Kenapa dah kurang? Sebabnya dah tak banyak rumah kena lelong. Kenapa tak banyak kena lelong? Sebab orang bayar pinjaman dia cantik. Ops... bahasa 'cantik' ini salah tapi orang biasa guna perkataan ini. Sebenarnya orang bayar pinjaman ikut jadual bukanlah 'cantik'. Tapi saya dah terpengaruh cakap-cakap orang sekarang.

Yer, betul. Kalau orang bayar bank cantik, maka rumah dia orang tak kena lelonglah. Masa tahun 2007, 2008, 2009 dan pulih semula tahun 2010 dulu, negara kita terkesan dengan kegawatan ekonomi global terutamanya Amerika.  Masa tu Amerika ada krisis hartanah yang dipanggil 'subprima' dan mintak maaflah kalau saya salah eja. Dalam satu ceramah anjuran JCorp tahun 2009, saya tanya penceramah tu apa maknanya subprima. Maka penceramah tu jawablah. Lepas tu masa minum, kawan-kawan saya tanya saya, apa yang saya soal tadi, ramai orang tak tahu apa itu subprima. Saya kata, krisis hartanah di Amerika.

Yang saya faham, subprima lebih kurang begini... iaitu seorang beli rumah dengan cara pinjaman. Lepas tu dia beli hartanah kedua dengan hasil sewaan hartanah pertamanya. Rumah kedua juga buat loan. Lepas tu dia beli hartanah ketiga pula hasil sewaan rumah kedua dengan cara loan juga. Sudah bertahun-tahun lamanya sistem ini berjaya dan pembeli hartanah mendapat keuntungan dengan cara ini. Dalam sebuah buku mengenai hartanah dalam Bahasa Melayu yang ada jual di Badan Cemerlang Angsana JB pun ada cerita taktik beli rumah terutama rumah lelong dengan cara macam ini.

Entah betul entah tak, penulis buku itu cerita, ada seorang Mamat tu ada 30 biji rumah dan tak bekerja. Kerja dia tiap pagi minum teh tarik dan roti canai kedai Osman. Cuma tak diceritalah Mamat ni ada isteri dua ker tiga ker. Mamat ni katanya beli rumah pertama dengan loan, seterusnya beli rumah kedua walaupun dia tak layak buat loan rumah kedua. Tapi kerana dia ada penyata dan bayaran sewa yang tinggi untuk rumah itu, maka dia layak buat loan rumah kedua. Lepas kedua, ketiga dan sampailah 30 biji rumah dia beli. Makan pendapatan dia melebihi 10,000 sebulan tanpa bekerja.

Sistem Runtuh

Mana-manalah sistem dalam dunia ini, tetap ada kelemahan. Akhirnya sistem ini runtuh di Amerika tahun 2008 dan kesannya hingga tahun 2010. Runtuh apabila rumah pertama tidak ada penyewa atau sewanya tidak tinggi. Maka rumah yang lainnya turut jadi beban pada dia. Lepas itu menular ke Eropah dan Singapura. Malaysia ada kesannya terutama di Johor Bahru. Ramai juga kawan saya kena diberhentikan kerja di Singapura dan terpaksa balik kampung. Maka rumah sewa dia di JB tak bayar dan belah begitu saja jer.

Maka tuan punya rumah pun sakit dan susah nak pusing. Bila dia lambat bayar, bank pun taknak tunggu lama-lama. Kalau dibiarkan, bukan seorang dua yang tak bayar, ramai lagi. Maka pelelong pun lelonglah rumah tu. Sebab tu, rumah lelong banyak tahun 2008, 2009 dan 2010 terutama di JB. Alhamdulillah, saya ambil peluang itu dengan beli rumah lelong tahun 2008.

Sekarang, rumah lelong makin kurang tapi bukan tak ada lansung, ada tapi sikit. Apabila sikit, maka pilihan kita kurang dan harga pun tinggi. Ada lelongan yang saya rekmenkan kawan saya masuk lelong di Bandar Baru Uda Jb, harga buka RM 90,000 tapi pemenang lelongan itu dapat dengan harga RM 250,000, cukup tinggi itu. Kawan saya kalah.

Gelembong Hartanah

Ini satu lagi istilah yang saya jumpa dalam pembacaan saya dalam  urusan hartanah. Sekarang ini harga hartanah meningkat dengan begitu ketara. Jangan cakap di JB, di Kluang pun harganya kusssss semangattttt. Nak dibuat contoh, harga rumah yang saya beli tahun 2008 itu dengan harga dalam 79,000. Tapi sekarang ada projek baru tak jauh dari situ, saiz yang hampir sama harganya sudah 290,000. Dari tahun 2008 ke 2013, baru 4 tahun. Terus terang saya cakap, yang harga 290,000 itu, jauh lebih best lokasi rumah saya dan ada banyak faktor lain yang saya kata rumah saya lebih baik pada itu.

Jadi, kita perlu bersedia dengan suasana 'Gelembong Hartanah' yang entah bila akan berlaku. Maksudnya, kalau kita beli rumah terlalu mahal sekarang, kita perlu berwaspada. Kita jangan anggap, kalau harga hartanah sekarang mahal, maka dia akan naik lagi mahal lagi, tidak semestinya. Ini bahaya. Pesan saya, berhati-hati nak beli rumah sekarang. Adalah lebih selamat, kita sewa saja rumah dulu. Nanti, kalau ada rumah yang betul-betul kita tertarik sama ada dengan harganya, lokasinya dan kemegahannya, maka belilah. Kalau nak belipun sekarang, belilah selepas kajian terperinci dibuat.

Kumpul Aset?

Oleh kerana harga rumah yang makin mahal sekarang, kita memerlukan modal kewangan yang besar untuk beli rumah. Kemudian bayaran bulanan kita akan lebih tinggi berbanding kawan kita yang beli rumah 3 tahun dulu. Walaupun mahal rumah kita itu, bank tetap beri kita pinjaman yang tinggi juga. Kemudahan pinjaman ini menjadikan kita leka. Ramai juga yang beli rumah bertujuan untuk buat 'aset' katanya. Tapi pada saya, aset tu aset juga, tapi kalau dengan adanya aset itu, duit tunai kita semakin kurang, tida ada gunanya juga.

Ada orang kata, ada aset, kalau sesak-sesak, nanti boleh jual. Kita perlu ingat, jual rumah ini bukan macam jual goreng pisang atau jual kereta. Ada masanya jual rumah ini payah dan kalau masa dah suntuk, belum sempat kita jual rumah, rumah kita sudah dilelong.

Untung Dengan Hartanah

Ada orang untung dan jadi jutawan kerana bidang hartanah ini. Kalau kita lihat dan kaji sejarah orang ini, kita jadi bersemangat untuk jadi kaya macam dia juga. Memang betul, dia berjaya tapi bukan semua orang yang berjaya kerana hartanah. Ramai juga yang jadi muflis dan bankrupsi kerana dengan sebiji rumah murah. Ingat, sejarah adalah sejarah dan cerita orang adalah cerita orang, nasib kita belum tahu. Perancangan kewangan kita yang sebaik mana pun, kalau Allah Taala tak mahu beri kejayaan pada kita, kita tidak ke mana juga.

Oleh itu, keredhaan Allah itu yang paling penting dalam hidup dan menjamin kejayaan kita di dunia dan akhirat. Jangan sombong dengan jawatan, pangkat dan kekayaan kita kerana itu semua milik Allah yang abadi bukan milik kita. Kalau sekarang kita kaya, kita tanya diri kita, adakah kita sudah wajib bayar zakat harta? Kalau tak tahu, tanyalah pejabat agama atau pejabat yang menguruskan soal zakat. Kalau kita sudah wajib keluar zakat, bayarlah, harta itu bukan milik kita tapi milik orang fakir miskin dan asnaf-asnaf zakat yang lain. Dan jangan lupa bersedekah kerana ramai orang Islam yang hidup susah dan bergembira serta mendoakan kita kalau kita beri sedekah padanya. Insya Allah, doa orang susah yang kita bantu itu akan menggandakan harta dan rezeki kita serta menjadikan harta kita berkat.

Seronok Bercerita

Janganlah beli rumah sekadar nak bercerita dengan kawan-kawan yang kita ada rumah. Atau untuk panggil open house raya nanti nak tunjuk rumah baru. Atau kita ini seorang pegawai, kita rasa malu sedangkan bukan pegawai pun ada ada rumah, kita belum ada. Perkara seperti ini saya dah lalui, pelbagai sindiran masyarakan saya dah dengar, saya buat tak tahu saja sebab orang tak tahu apa perancangan kewangan saya, masalah kewangan saya dan beban kewangan saya.

Jangan Gelojoh

Pada saya, dalam mengurus kewangan kita tidak boleh boros, menunjuk-nunjuk atau terikut-ikut dengan gaya hidup mewah orang lain yang mungkin ada kemewahan lebih pada kita. Kita hendaklah menapak langkah demi langkah, rancangan kewangan kita dengan betul, kemudian barulah dapat mencapai target atau cita-cita kewangan kita. Janganlah kerana gelojoh hendak hidup mewah cepat sedangkan kita dibebani hutang keliling pinggang yang mengelembong. Satu masa nanti, belon yang mengelembong itu boleh pecah atau meletup, hidup yang kita bina selama ini boleh musnah, hancur berkecai.

........BERSAMBUNG KE EPISod 11, http://ustazkhalil.blogspot.my/2013/07/lelong-rumah-episod-11-sekarang-masanya.html

17 Mei 2013

Siapa Pelakon Lelaki Terkenal Ditangkap Khalwat?


Seorang pelakon lelaki terkenal tempatan ditangkap khalwat oleh sepasukan pegawai Bahagian Penguatkuasa Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) di sebuah unit Apartment Taman Sri Subang di Shah Alam semalam.
  
Pelakon berusia 25 tahun itu, yang pernah bertunang pada Disember tahun lepas, ditahan pada jam 3.30 pagi selepas pasukan penguatkuasa mendapat maklumat daripada orang awam.
  
Pengarah Jais Datuk Marzuki Hussin, dalam satu kenyataan hari ini, mengesahkan bahawa pelakon itu, yang sudah bertunang Disember lepas, ditahan Bahagian Penguatkuasaan Jais berdasarkan maklumat awam.
  
"Dia ditahan mengikut Seksyen 29(1) A dan B, Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995," katanya.

10 Mei 2013

Isteri Benarkan Suami Kawin Dengan Janda Anak Lima


Lelaki 30-an kerja di sebuah kilang dengan pendapatan lebih kurang RM 1,800 sebulan. Dia sudah punyai isteri 30-an kerja kilang gaji dalam 1,000 dan 3 orang anak. Dia kata dia bahagia dengan isterinya tetapi di tempat kerja, dia 'miang-miang' dengan seorang janda.

Janda ini 30-an, anak lima, satu kilang  dengannya. Lelaki mengenali perempuan ini sejak arwah suaminya masih hidup lagi. Sejak kematian suami, lelaki ini begitu mengambil berat tentang wanita ini dan kelima-lima anaknya. Mereka merancang nak nikah.

Beritahu Isteri Pertama

Mana tak mengamuknya isteri pertama bila suami dia kata nak nikah lagi. Tapi lelaki ini nekad juga nak nikah. Akhirnya, isteri dia benarkan juga suami dia nikah dan pergi ke mahkamah syariah. Hakim menetapkan secara bertulis, bayaran nafkah bulanan yang perlu diberikan kepada isteri pertama selepas berkahwin nanti. Bernikahlah lelaki anak 3 ini dengan janda anak 5 pada hari Jumaat yang mulia hari ini.

09 Mei 2013

Isteri Pertama Desak Ceraikan Isteri Kedua

d
Lelaki ini umur 50-an, kerja swasta, gajinya dalam 5,000. Dia sudah ada isteri dan 5 orang anak, dua orang menantu dan seorang cucu. Isteri pertama kerja swasta. Kehidupan suami isteri ini bahagia katanya.

 Lelaki ini mengenali seorang perempuan janda, kerja kerajaan, gaji dalam 5,000. Perempuan yang dikenali ini umur 40-an, berstatus janda dan mempunyai 2 orang anak. Dalam 2 tahun berkenalan, lelaki dan janda ini semakin rapat dan merancang untuk bernikah. Lelaki ini tanpa berselindung, memperkenalkan perempuan ini kepada isterinya dan berhasrat untuk bernikah. Ini ditentang hebat oleh isteri dan anak-anak. Kecuali cucu saja tak menentang sebab masih kecil lagi, cuma menangis kalau pampers dia basah saja, bukan menentang tu.

Nikah Juga

Oleh kerana dah tak tahan, akhirnya lelaki dan perempuan ini bernikah juga senyap-senyap. Pada anggapan dia, apa-apa hal nikah dulu. Tak tahulah dia dapat nasihat dari siapa ni. Nanti apa nak jadi, itu belakang kira.

Mula cadang, lepas nikah nak rahsiakan, tapi rupanya tak berapa boleh nak rahsia. Mana nak rahsianya, isteri pertama dan kedua dalam daerah yang sama, daerah ini pun bukanlah besar sangat. Dalam seminggu selepas nikah, akhirnya isteri dan anak-anak dia tahu, kira dah pecah tembelanglah. Berlakulah perang yang dahsyat juga.

Suruh Ceraikan

Diringkaskan cerita, suami tak berupaya bertahan lama dan akhirnya terpaksa mengaku kalah. Dia telah membawa isteri pertama dan  anak-anak berjumpa isteri keduannya. Di situ juga dia melafazkan cerai kepada isteri kedua. Katanya, dia mencerikan dengan rela hati setelah memikirkan semasak-masak telur mentah masaknya. Maknanya, pernikahannya dengan isteri kedua hampir sebulan saja.

06 Mei 2013

Keputusan Penuh Pilihanraya 2013: Parlimen Johor



P.140 – SEGAMAT
SUBRAMANIAM A/L K.V SATHASIVAM (BN) – 20,037
DATO CHUA JUI MENG (PKR) - 18,820
P.141 – SEKIJANG
 JULAILEY BIN JEMADI (PKR) – 16,927
 ANUAR BIN ABD. MANAP (BN) – 19,934

P.142 – LABIS
RAMAKRISHNAN A/L SUPPIAH (DAP) – 15,468
CHUA TEE YONG (BN) – 15,821
P.143 – PAGOH
MAHIADDIN BIN MD YASIN (BN) – 26,274
MOHAMAD ROZALI BIN JAMIL (PAS) – 13,432

P.144 – LEDANG
HAMIM BIN SAMURI (BN) – 30,619
HASSAN BIN ABDUL KARIM (PKR) – 28,652
P.145 – BAKRI
LEE CHING YONG (BN) – 26,051
ER TECK HWA (DAP) -  31,118

P.146 – MUAR
NOR HIZWAN BIN AHMAD (PKR) – 19,221
 RAZALI BIN IBRAHIM (BN) – 20,867

P.147 – PARIT SULONG
KHAIRUDDIN BIN A RAHIM (PAS) – 18,505
 NORAINI BINTI AHMAD(BN) – 30,258

P.148 – AYER HITAM 
HU PANG CHAW (PAS) – 14,735
 WEE KA SIONG (BN) – 22,045

P.149 – SRI GADING
MOHD KHUZZAN BIN ABU BAKAR (PKR) -  16,692
 AB AZIZ BIN KAPRAWI (BN) – 22,453

P.150 – BATU PAHAT
MOHD IDRIS BIN JUSI (PKR) – 38,667
MOHD PUAD BIN ZARKASHI (BN) – 36,935
  P.151 – SIMPANG RENGGAM
 SUHAIZAN BIN KAIAT(PAS) – 14,048
LIANG TECK MENG (BN) -  19,754

P.152 – KLUANG
HOU KOK CHUNG (BN) – 33,215
LIEW CHIN TONG (DAP) -  40,574

 P.153 – SEMBRONG 
 HISHAMMUDDIN BIN DATUK HUSSEIN (BN) – 22,841
ONN BIN ABU BAKAR (PKR) - 12,210

P.154 – MERSING
ROSLAN BIN NIKMAT (PAS) – 10,437
 ABD. LATIFF BIN AHMAD (BN) – 26,184

P.155 – TENGGARA
 HALIMAH BINTI MOHD SADIQUE (BN) – 25,698
MUHAMAD SAID BIN JONIT(PAS) – 8,502

P.156 – KOTA TINGGI
 ONN BIN JAAFAR (PAS) – 5,799
 NOOR EHSANUDDIN BIN MOHD HARUN NARRASHID (BN) – 30,373

P.157 – PENGERANG
TENGKU INTAN BINTI TENGKU ABDUL HAMID (PKR) – 4,484
AZALINA BINTI OTHMAN (BN) -  26,992
 MOHD AZAMAN BIN JOHARI (BEBAS) – 795

P.158 – TEBRAU
CHOONG SHIAU YOON (PKR) – 38,218
KHOO SOO SEANG (BN) – 39,985

P.159 – PASIR GUDANG
 AHMAD FAIDHI BIN SAIDI (PKR) – 42,899
 NORMALA BINTI ABDUL SAMAD (BN) – 43,834

P.160 – JOHOR BAHRU
SHARIL @ SHAHRIR BIN AB SAMAD (BN) – 44,285
MD HASHIM BIN HUSSEIN (PKR) – 34,151

P.161 – PULAI
NUR JAZLAN BIN MOHAMED (BN) – 43,751
SALAHUDDIN BIN AYUB (PAS) – 40,525
P.162 – GELANG PATAH
A. GHANI BIN OTHMAN (BN) – 39,522
LIM KIT SIANG (DAP) – 54,284
P.163 – KULAI
TEO NIE CHING (DAP) – 43,338
TAY CHIN HEIN (BN) – 29,888
SURENDIRAN A/L KUPPAYAH (BEBAS) – 238
P.164 – PONTIAN
HANIFF @ GHAZALI BIN HOSMAN (PKR) – 14,077
 AHMAD BIN MASLAN (BN) – 27,804

P.165 – TANJONG PIAI
    WEE JECK SENG (BN) – 25,038
AHDZIR BIN IBRAHIM (DAP) -  19,581

03 Mei 2013

Khalwat Dalam Hotel


BATU PAHAT - Seorang penjawat awam wanita  ditahan bersama pasangannya di salah sebuah hotel bajet  sekitar daerah ini dalam  operasi cegah maksiat, awal pagi semalam.

Wanita terbabit yang  bekerja di utara tanah air merayu kepada Bahagian Penguatkuasa Jabatan Agama Islam Johor (JAIJ) Daerah Batu Pahat supaya tidak ditahan  dalam serbuan itu.

Dia turut mengaku baru sahaja selesai melaksanakan undian awal bagi Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) dan memberi alasan bimbang untuk pulang sekaligus mendorongnya mendaftar masuk hotel bajet berkenaan bersama teman lelakinya.
“Kes ini akan melibatkan kerjaya saya. Tak bolehkah kita 'settle' tepi bang,” katanya.

Timbalan Penguatkuasa JAIJ Daerah Batu Pahat, Saiful Ariffin Mohd Sopah berkata, wanita berusia 20an itu  didapati berada dalam keadaan yang mencurigakan bersama pasangannya.

Menurutnya, anggota dan pegawai penguatkuasa juga terpaksa menunggu beberapa minit sebelum pasangan berkenaan membuka pintu bilik hotel bajet tersebut.

“Semasa pintu bilik berkenaan dibuka, kami menemui seorang lelaki hanya memakai tuala, manakala pasangannya memakai pakaian lengkap.

“Pemeriksaan lanjut  mendapati, mereka ini tidak mempunyai hubungan yang sah dan turut menyatakan baru sahaja berkenalan sekitar enam bulan lalu serta berhasrat  untuk bernikah.

“Pada awalnya, pelbagai alasan diberikan pasangan itu terutama wanita terbabit  kerana bimbang penahanan itu akan memberi kesan  kepada kerjayanya sebagai  penjawat awam,” katanya.

Saiful Ariffin berkata, pasangan terbabit ditahan untuk tindakan selanjutnya kerana berada dalam keadaan berkurung di dalam bilik hotel dan melakukan perkara yang mencurigakan.

Jelasnya, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 27 (1) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Johor 1997 dan jika disabitkan kesalahan kedua mereka bakal berdepan hukuman denda RM3,000 atau dua tahun penjara atau kedua- duanya sekali.

“Pasangan berkenaan kemudiannya dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat bagi proses dokumentasi sebelum ditahan bagi siasatan lanjut sebagai pengajaran kepada mereka.

“Semua pihak dinasihatkan tidak melakukan maksiat atau berada dalam keadaan mencurigakan bagi mengelak ditahan. JAIJ akan terus mengadakan lebih banyak serbuan dan pemeriksaan bagi memastikan daerah ini bebas  daripada maksiat,” katanya.

(Dipetik dari akhbar Sinar Harian)