Untuk Memilih Tajuk Artikel Dalam Blog Ini, Sila Taip Perkataan di sini.

30 Julai 2014

Memandu Balik Raya Dari Kuantan ke Terengganu dan Kelantan


Lebuhraya Pantai Timur dari Kuantan ke Terengganu sebahagiannya dah siap. Senang cakap, dari Kuantan kita ambil lebuhraya sampai ke hujung iaitu tol Jabor. Mulanya saya terkejut sebab simpang ke Terengganu ditutup. Kalau ikut pengumuman kat akhbar, katanya dari Jabor ke Cheneh dah buka. Saya terus bayar tol dan di situ ada penunjuk arah supaya buat pusingan U sebaik saja bayar tol. Dalam hati saya, kenapalah lepas bayar tol kena pusing semula masuk ke tol.

Ambil Tiket

Masuk ke tol, penjaga tol hulur tiket dan saya malas banyak cakap. Dalam hati saya, kayalah syarikat tol macam ni, musim orang balik raya dikenakan tol pulak. Lagipun lebuhraya bukan sepenuhnya siap dan tak sepatutnya dikenakan tol. Dalam 2-3km lepas tu ada tol kecil dan ditulis di situ supaya diserahkan resit tadi. Saya serahkan dan saya tanya berapa ringgit, dia jawab percuma. Ohhh.. percuma rupanya. Baru saya fikir semula. Pertama, buat pusingan U tadi sebab hanya ada satu saja tol yang pungut duit dan siap sepenuhnya iaitu tol Jabor tadi. Jadi kena bayar duit tol dululah bagi orang yang datang dari KL, Temerloh, Maran atau Gambang. Kalau dibuka terus simpang ke Cheneh, maka tak bolehlah dia orang nak kutip tol. Yer betul.

Kedua, kenapa pula tadi ambil tiket tol masa masuk semula ke lebuhraya? Maknanya orang yang terus ke laluan KL, kenalah bayar tol manakala yang ke Cheneh pun kena ambil tiket juga tapi kena pulangkan saja nanti dan tak kena bayar. Betullah tu, manalah orang jaga tol tu tahu kita nak ke KL ker atau Terengganu, maka diberikanlah kita tiket tu. Lagi satu agaknya, dia keluar resit tu untuk mengira jumlah kereta yang lalu. Berguna juga kena simpan rekod kemasukan kenderaan.

Mana Laluan Masuk

Sebelum ke Jabor tu saya tertanya-tanya iaitu macam mana nak cari jalan masuk ke lebuhraya yang menyambungkan Jabor ke Terengganu tu. Iaitu di mana pintu masuknya. Jadi, awal-awal saya dah masuk lebuhraya dan tak ikut jalan biasa. Biasanya saya ikut jalan biasa ke Jabor kerana jalannya pun sudah cantik dan 4 lorong untuk jimat bayar tol. Akan masuk di Bomba dan bulatan Jabor sama ada nak ke Jalan Jerangan-Jabor, Kemaman atau ke KL. Jadi, barulah saya tahu, kalau dari situ, kena ambil arah ke Kuala Lumpur dulu dan ambil tiket tol. Kalau kita terlajak laris ke jalan lain, maka kita tak jumpalah lebuhraya tu.

Hati-hati di Lebuhraya

Masuk saja lebuhraya tu, nampaknya kualiti lebuhraya itu tidaklah sebaik lebuhraya Utara-Selatan dan lebih baik lagi kualiti Lebuhraya Karak-Kuantan. Kalau tadi kelajuan saya antara 130-140kmj, sekarang cuma berani dalam 120kmj sahaja. Jalan nampaknya tidak rata dan ada beralun, maklumlah belum siap sepenuhnya.

Kemalangan Ngeri

Tak lama lepas tu, dari jauh nampak banyak kereta berhenti. Saya agak, di depan tu ada kemalangan yang teruk juga sampai ramainya orang  kiri dan kanan berhenti untuk membantu. Yer, rupanya sebuah MPV Nissan kemalangan dan orangnya ramai yang cedera dan masih terbaring di rumput. Saya nampak, ramai penumpang dalam kereta Nissan yang remuk itu. Agak saya, kereta itu terbabas dan melanggar penghadang jalan sebelah kanan. Mungkin juga kereta itu berpusing-pusing beberapa kali sehingga keadaan kereta itu nampak teruk. Rasa saya tidak ada kemalangan maut dan 2 biji ambulan sampai ke lokasi tak lama lepas tu. Saya lupa tengok jam tapi dalam jam 6 petang hari raya kedua kejadian tu.

Berhati-hati

Saya meneruskan perjalanan dan kereta yang tadi di belakang saya memandu laju, sekarang dia dah pandu perlahan. Saya pun begitu juga, saya memandu dalam 110kmj saja. Itulah sifat semulajadi manusia yang pandai sendiri perlahankan kenderaan kalau tengok kemalangan ngeri macam tadi. Jarak lebuhraya tu saya tak pasti tapi dalam 20km lebih saja dan keluar ke Cheneh. Sampai di situ, terasa dah banyak jimat perjalanan dibandingkan dengan ikut jalan biasa. Bagus juga lebuhraya tu dah bukak walaupun separuh. Untuk ke Terengganu, teruskan ikut jalan lama Jerengau-Jabor dan sampai di satu simpang ke kanan menuju ke Paka, boleh belok ke kanan. Di situ ada penunjuk lebuhraya ke Terengganu.

Dari simpang itu ke lebuhraya agak jauh juga antara 15 hingga 20 minit baru jumpa lebuhraya. Naik tol Paka boleh terus ke Bukit Besi, Ajil, Terengganu dan Gemuruh baru keluar. Boleh teruskan perjalanan ke Kelantan. Tol percuma saja. Dinasihatkan berhati-hati dan tidak terlalu laju di lebuhraya itu yang kualitinya kurang sedikit kerana belum siap sepenuhnya. Baru-baru ini kalau tak silap dalam bulan Ramadhan baru ini, kemalangan maut melibatkan Dato' Abu Bakar Chik, bekas exco Terengganu pada waktu malam. Kalau malam, lebuhraya itu memang gelap, berkabus dan tidak terlalu rata.

Atau Tak Perlu Belok ke Paka

Saya rasa juga, elok juga tidak belok ke persimpangan Paka untuk ambil lebuhraya. Ini kerana jarak simpang itu ke lebuhraya dalam 15 minit lebih. Elok juga kita teruskan saja perjalanan dan sampai ke Bukit Besi barulah masuk ke lebuhraya, rasa itu lagi dekat. Hati-hati memandu balik raya
SELAMAT HARI RAYA MAAF ZAHIR DAN BATIN.

22 Julai 2014

'Kiki Peugeot' Akhirnya Kena Denda 5,000


Kiki, wanita yang merosakkan kereta seorang lelaki warga emas yang melanggar keretanya minggu lepas, didenda RM5,000 dan diperintah melakukan khidmat masyarakat selama 240 jam oleh Mahkamah Sesyen di Kuantan, hari ini.

Hakim Datuk Zainal Abidin Kamarudin menjatuhkan hukuman itu selepas Kiki mengaku bersalah atas pertuduhan melakukan kerosakan terhadap kereta milik Sim Siak Hong, 61, di hadapan Pusat Transformasi Bandar (UTC), dekat sini, pada 14 Julai lalu.
   
Kiki didakwa melakukan perbuatan tersebut dengan cara mengetuk bonet hadapan, bonet atas dan cermin hadapan kereta warga emas itu hingga menyebabkan kerugian berjumlah RM500.
   
Dia didakwa mengikut  Seksyen 427 Kanun Keseksaan iaitu melakukan perbuatan khianat yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun, dengan denda atau kedua-duanya.
   
Hakim Zainal Abidin dalam penghakimannya berkata hukuman yang dijatuhkan terhadap Kiki adalah setimpal dengan kesalahan yang dilakukan.

Beliau juga menasihatkan Kiki agar menginsafi perbuatan yang dilakukan dan berharap Kiki menjadi seorang wanita yang lebih bersabar dalam menghadapi dugaan hidup.

Lagi Pemungut Derma Ditangkap, Kali Ini Warga Asing


Penguatkuasa mendapat aduan mengenai kegiatan memungut derma di sebuah masjid. Seorang pengadu menelefon penguatkuasa, memaklumkan mengenai kegiatan memungut derma melibatkan warga asing. Penguatkuasa telah ke masjid berkenaan dan membuat pemeriksaan.

Ditangkaplah dua orang warga asing yang memungut derma kononnya untuk sekolah tahfiz di negara berkenaan. Oleh kerana mereka tidak ada kebenaran dari pihak berkuasa agama negeri Johor, maka mereka berdua ditangkap. Kes ini boleh dituduh di mahkamah syariah dan membawa hukuman denda sehingga RM3,000 atau 2 tahun penjara atau keduanya sekali.

Petang semalam juga, penguatkuasa telah ke bazar ramadhan Simpang Renggam, Kluang untuk membuat risikan mengenai kegiatan mengutip derma di sana. Penguatkuasa menemui satu tabung yang diletakkan di situ dalam berkeadaan berkunci tetapi tidak ada orang yang  mengutip. Ini juga adalah satu kesalahan. Di tabung berkenaan dikatakan derma untuk satu pertubuhan tempatan untuk pembangunan Islam. Penguatkuasa telah memberi amaran supaya tabung itu tidak diletakkan di situ sekiranya tidak mendapat kebenaran pihak berkuasa agama negeri Johor. Orang ramai telah membantu mengalihkan tabung berkenaan. Amaran keras telah diberikan oleh penguatkuasa melalui pemberitahuan poster dan sticker amaran.

19 Julai 2014

Kisah Coach Baha Sebagai Usahawan: Luaskan Fikiranmu (Episod 2)


Yang cerita ni pula Coach Baha sebagai penjual karpet di kaki lima, mengalahkan Bai Pakistan pulak dah. Sebelum tu nak cerita sikit. Kalau kita pergi ke Air Hitam Batu Pahat sempadan Kluang, kita dapati banyaknya warga Pakistan jual karpet. Rasanya kalau tak ada peniaga Pakistan ini, lenganglah bandar Air Hitam ini dan memang dulu pernah lengang.

Inilah selok belok seorang peniaga yang boleh kita katakan 'jutawan senyap' yang orang pandang sengkek tapi sebenarnya dia banyak duit. Hidup sebagai peniaga mempunyai pandapatan tanpa had. Soal orang nak mengumpat dan mengata di belakang itu cerita lain. Yang mengata itu entah apa yang dia ada. Entah-entah hutang keliling pinggang.

Zaman Dah Berubah

Yer... hidup kita perlukan perubahan. Zaman saya keluar universiti dulu, kerja menunggu saya oleh kerana tak ramainya pemegang ijazah terutamanya ijazah pengajian Islam di negeri Johor ini. Pekerjaan yang saya dapat adalah tentera yang kalau masuk terus berpangkat kapten dalam Kor Agama Angkatan Tentera tapi saya tolak. Kemudian saya jadi guru dan tak sampai setahun mengajar, saya berhenti untuk berkhidmat di Jabatan Agama Johor. Waktu itu saya banyak pilihan kerja dan boleh nak pilih yang mana saya suka.

Tapi graduan sekarang dah terlalu ramai. Keluar saja, kerja yang setimpal dengan ijazahnya tidak menanti lagi tapi kena kejar dan rebut jawatan yang sedikit. Ada kawan saya dapat ijazah tahun 2009 tapi sampai sekarang hanya bekerja jawatan biasa yang memerlukan kelulusan SPM saja. Bukan dia tak mintak tapi dah merata, semuanya belum ada rezeki lagi sampai sekarang. Entah bila dia akan dapat kerja yang setimpal dengan ijazah dia, entahlah.

Jadi Usahawan

Orang kita tak ramai yang nak jadi usahawan terutama yang belajar tinggi sampai ijazah, master atau Phd. Ramai mereka yang kalau tak dapat kerja dengan kerajaan atau syarikat besar, rasa putus harapan. Ada seorang kawan saya, anaknya sudah masuk 28 tahun umurnya, ada diploma dalam kewangan tapi tak pernah tetap dengan satu kerja. Dah tu menyusahkan mak bapak, setiap hari minta duit mak ayah untuk belanja harian. Mak bapak pening kepala, kalau anak perempuan boleh juga kawinkan saja tapi ni anak lelaki.

Ramai beranggapan, berniaga ini adalah bidang orang yang tak dapat kerja kerajaan atau syarikat besar, dia jadilah peniaga. Kerja niaga saja terus orang pandang sebelah mata. Dulu masa saya di JB, pernah saya jadi panel temuduga satu jawatan ni. Lelaki ini seorang usahawan berjaya dan kereta dia lebih mahal dari orang kerja kerajaan. Tapi dia minta juga kerja kerajaan yang gajinya jauh lebih rendah dengan pendapatannya berniaga.

 Bila ditanya kenapa dia minta jawatan ini, dia jawab tanpa selindung. Dia kata, dia minat dan bercinta dengan gadis pujaan hatinya tapi bapa perempuan tak setuju atas alasan dia bukan kerja dengan kerajaan. Begitulah pandangan bapa perempuan yang pandang rendah kerjaya keusahawanan.

Ringkas cerita, dia dapat jawatan itu dan tak lama lepas tu dia meminang gadis buah jantung hatinya itu. Terus bapa perempuan setuju dan dia jadilah kawin. Tapi tak lama lepas itu dia letak jawatan dengan perkhidmatan kerajaan dan jadi usahawan semula. Dia menjadi seorang usahawan yang berjaya.

Kejayaan Lebih Terbentang Luas Kalau Orang Berilmu Masuk Bidang Perniagaan

Ada seorang ini, dia dulu sekolah tak pandai dan jadilah dia peniaga. Masa kawan dia masuk universiti, dia dah kawin sebab dia dah ada kerja dengan berniaga. Dia rajin dan banyak habiskan masanya dengan bekerja tetapi dah puluhan tahun dia tak pernah senang. Dia berniaga dan keuntungannya sebanyak itu saja dari dulu sedangkan orang tengah yang banyak ilmu kerjanya lebih senang darinya walaupun tidak seletihnya bekerja. Nak buat macam mana, dia tak pandai untuk naik setakuk lagi dalam dunia perniagaan. Dia hanya tahu berada di tahap itu.

Tapi kalau orang yang ada ilmu dan kepakaran jadi peniaga, orang ini mungkin tak tunggu lama untuk berjaya. Mungkin setahun dua dia berada di takuk bawah tetapi cepat meningkat untuk menjadi usahawan yang berjaya kerana dia sudah ada asas dan kepakaran. Dia berniaga menggunakan otak sambil bekerja bukannya kerja saja tanpa berfikiran jauh. Renunglah dan fikirlah dan bercita-citalah untuk berjaya kerana perniagaan ini adalah bidang yang sudah diceburi oleh Nabi kita, isteri nabi dan para sahabat agung. Bercita-citalah untuk mengikut jejak langkah mereka yang telah berjaya dalam bidang ini.

......BERSAMBUNG KE EPISOD 3

Coach Baha Buat Lawak, Inilah Pengalaman Hidup (Episod 1)

Hari ini hari yang ceria.......
Saya bukan tak ada kerja lain tapi hari ini saya turun sendiri menjaja. saya ke johor menjaja karpet dan kuih raya di tepi kaki lima. Ada seorang mak cik.

"kesian ko nak, dah le gemuk berjual tengah panas macam ni. tak ada kerja lain ke nak. "
saya senyum dan menjawab " cari makan anak-anak cik..beli lah kuih satu ni"
mak cik tu pun beli dengan gembira.

Bila jadi peniaga tepi jalan memang banyak dugaan nya. tapi saya pesan dengan kekawan yang nak turut serta tadi. saya ingat pesan arwah abah " berniaga ni rugi dah tentu, untung belum tahu". Kalau tak dapat duit kita dapat pahala sedekah kat orang.

Dari pagi jam 7 siap-siap sampailah jam 12 malam baru kami kemas barang balik, melengas satu badan. Saya tak larat nak balik muar. saya tidur hotel di JB je hari ni sebab esok nak berniaga lagi.
Beberapa nasihat untuk mereka yang nak berniaga kali lima.


1. Buat je, " orang yang tahu dengan orang yang tak tahu bezanya sikit je. yang paling penting buat je.".
2. Jangan terlalu berharap besar, nanti kecewa besar.
3. Jangan takut, rezeki masaing-masing.
4. Keyakinan diri dan kesabaran menguji ketabahan.
5. Jangan harapkan sempati orang lain, apa yang nak dimalukan kita berusaha menjual.
6. Peniaga kaki lima, mengajar sebenar anda menjadi peniaga sejati. Jatuh bangun dalam bisnes saya mesti teruskan dalam berbisnes.
7. Asas utama berniaga adalah menjual.
8. Rezeki dari Allah, mohon dari Allah.

(Dipetik dari facebook Coach Baha)

............................................................................

Coach Baha yang saya kenal adalah seorang yang berjaya. Dia ada Phd tapi letak jawatan sebagai pensyarah untuk berniaga. Sekarang pendapatan dia berkali-kali ganda dari gaji pensyarah di UTHM dulu. Begitulah yang saya boleh gambarkan pasal Coach Baha ni. Anda mungkin tidak mengenali dia tapi saya kenal, orang Muar.

Dia ada memiliki dan mengendalikan sebuah hotel di Parit Raja Batu Pahat, ada dua kem motivasi di Muar, beberapa kedai jamu, homestay, hartanah bernilai tinggi, katering orang kawin sekitar Muar dan Batu Pahat, restoran masakan Cina, kopitiam, penulis, penceramah motivasi dan lain-lain. Yang dia tak tinggal adalah jual kuih raya setiap bulan ramadhan. Inilah kehidupan sebagai usahawan.

.....BERSAMBUNG KE EPISOD 2, KLIK SINI


18 Julai 2014

Nasi Arab Al Bayt Resepi Asli Arab (Stokis Kluang)



NASI ARAB MANDY/ MAQLUBA. KABSAH
Ermmmm... lagi satu nak cerita pasal Nasi Arab Mandy/ Kabsah/ Maqlubi. Sesiapa di Kluang ni boleh cuba beli nasi Arab segera di Kedai D'Labuchi, Jalan Bunga Cina, Jalan Penghulu Kasim, Kluang. Senang cakap, kedai ni tak jauh dengan Tadika Husna, Jalan Penghulu Kasim. Sekotak harga RM15. Boleh makan untuk 5 orang sekotak. Mengandungi beras basmathi 450g dan rempah untuk nasi dan rempah untuk lauk. Lauk ayam tak ada, kena beli lain kat pasar.


Ramai yang ingat dalam kotak ini hanya ada rempah, tapi sebenarnya ada beras basmathi yang mahal tu serta rempahnya. Siapa yang tak biasa dengan nasi Arab, boleh try satu kotak dulu dan barulah tahu sedapnya rasa nasi Arab, walaupun kita tak pandai cakap Arab yang kadang-kadang tertukar antara 'ana' dan 'anta'. Ada orang cerita yang saya pun tak kenal orang tu sebab cerita ini hanya rekaan, dia kata, makan nasi arab ni nanti hidung kita boleh mancung macam hidung Arab, hehehe.

D'labuchi yang terletak di Jalan Bunga Cina, Jalan Penghulu Kasim ini adalah kedai jual pakaian wanita/ muslimah termasuk tudung, baju, jubah dan lain-lain. Tudung termasuklah jenama terkenal Ses Pesona yang dijual dengan harga murah. Dibuka setiap hari kedai ni dari jam 10.00 pagi hingga 5.30 petang. Barang paling laris pada ramadhan ini adalah nasi arab segera yang mencecah 100 kotak sehari di kedai ini.


Stokis Kluang Mencari Pengedar Sepenuh Masa/ Sambilan (Peluang Menambah Pendapatan)

Jualan nasi arab ini meningkat berkali-kali ganda pada ramadhan dan hari raya ini. Ini adalah satu peluang perniagaan kepada orang ramai di daerah Kluang, Mersing, Kota Tinggi dan Batu Pahat mendapatkan harga borong. Memerlukan modal yang kecil untuk keuntungan yang besar. 

Kepada sesiapa yang berminat berniaga, boleh hubungi melalui whataps, Puan Maria 0197526122 untuk mendapatkan harga sebagai pengedar. Harga yang diberikan oleh stokis adalah terkawal seperti yang ditetapkan oleh pengeluar. Permintaan pembeli dijangka meningkat menjelang Hari Raya dan sebulan selepas Hari Raya. Belian runcit boleh juga diuruskan melalui poslaju.

17 Julai 2014

Tangkapan Pertama Kes Pemungut Derma Ditangkap Depan Bank



Kira-kira jam 12.30 tengahari tadi, seorang lelaki umur 18 tahun ditangkap sewaktu buat jualan amal dan pungut derma berkaitan khairat/ wakaf atau pembangunan Islam di depan Maybank Taman Intan Kluang. Sebelum tangkapan, saya menyamar dan lalu di hadapan bank tersebut. Mereka menjual buku dan menghulurkan saya buku. Kemudian dia kata boleh memberi sumbangan wakaf untuk sebuah sekolah tahfiz yang didakwanya terletak di negeri Pahang.

Lelaki ini terus ditangkap dan dibawa ke pejabat agama. Kes akan disiasat dan dia boleh didakwa ke mahkamah yang membawa hukuman denda sehingga RM 3,000 atau 2 tahun penjara atau keduanya.

Hasil siasatan, lelaki ini berumur 18 tahun dan bekerja sepenuh masa dengan syarikat ini yang kerjanya mengutip derma ke seluruh negara. Dia datang menaiki kereta dan bermalam di sebuah rumah di Batu Pahat. Lelaki ini berasal dari Perak dan ambil SPM tahun lepas. Apabila saya tanya, sekolah tahfiz di mana di Pahang itu, dia kata tak tahu. Apabila saya bercakap dengan loghat Pahang dengan dia, dia jadi takut. Dia kata dia hanya bekerja dan tak tahu di mana lokasi pusat tahfiz tersebut. Pendapatan yang dia dapat adalah dengan komisen jualan buku dan kutipan derma setiap hari.

Gerakan membenteras kegiatan pungut derma ini akan berterusan terutama menjelang Hari Raya tak lama lagi. Sekali lagi diulangi, Jabatan Agama hanya menangkap orang yang memungut derma seperti khairat kematian, anak yatim, pembinaan masjid, anak yatim, Palestine dan pembangunan Islam saja. Kalau kes minta sedekah untuk diri sendiri atau orang panggil 'gelandangan', kita tak tangkap. Biarlah jabatan lain yang tangkap kalau itu merupakan satu kesalahan. Gelandangan ini pun saya tak faham, orang kampung saya lagi tak faham. Yang dia orang faham adalah gendang-gendang.

Pemilik Kereta Peugeot Kena Waspada


Berdasarkan tulisan saya dalam blog ini pasal kereta Peugeot, buatan Perancis ada beberapa orang yang tanya berkenaan kereta ini. Pada saya, memang memandu kereta jenis ini lebih mantap dari kereta buatan Jepun dan Malaysia. Mungkin kereta berjenama terkenal seperti BMW dan Audi buatan Jerman lebih baik dari Peugeot. Ini dapat dilihat dari segi jualan BMW dan Audi di seluruh dunia dan negera ini yang jauh lebih tinggi berbanding Peugeot. Memang betul, mana-mana negara tidak dapat menandingi Jerman dalam menghasilkan kereta berkualiti setakat ini.

Di negara China kalau kita pergi, kereta buatan Jerman menguasai jalanraya negara tersebut. Saya ke China tahun 2010, saya lihat kereta Volkswagen paling banyak pada masa tu. Kita baca di majalah sekarang, jenama BMW, Audi dan Mercedes pula menunjukkan jualan yang tinggi ni negara tanah besar itu. Sebelum ke China, saya gambarkan yang kereta buatan China yang paling banyak tetapi tidak.

Bagaimanapun, kereta Peugeot lebih murah dari segi harga berbanding dua jenama terkenal Jerman ini sama ada kereta baru atau secondhand. Jadi, kalau difikirkan dari segi harga, kita dapat memiliki sebuah kereta yang berkualiti dengan membeli Peugeot. Di Malaysia, Peugeot beberapa tahun kebelakangan ini bekerjasama dengan pengeluar kereta tempatan iaitu kumpulan Naza. Kereta secondhandnya pula lebih cepat turun harga dan memberi peluang untuk kita memiliki kereta ini.

Penjagaan Kereta

Kita kena ada pomen yang kita kenal yang boleh servis kereta Peugeot di kawasan kita. Kena tengok betul-betul sebab ramai orang yang mengaku pandai bikin kereta ini tapi tak pandai sedang mana. Contohnya pomen 'Pendek' yang ada pengalaman buat Peugeot di Kluang. Buat apa kita berhabis duit untuk servis kereta kita di pusat servis khas dengan bayaran yang mahal. Sebelum ke bengkel, belilah minyak hitam dan oil filter sendiri. Biasa tukar minyak hitam 5,000km atau 7,000km. Setahun sekali, tukar minyak gear dan plak. Ingat, minyak gear Peugeot tidak boleh masuk minyak lain kecuali minyak khas dia iaitu Peugeot/ Citroen.

Ada seorang rakan fb saya tanya di mana kedai Pendek dan saya beritahu dia. Mungkin mulanya orang itu terkejut sama ada percaya atau tak yang bengkel sebegitu boleh buat kereta Peugeot. Bila dia tengok Pendek buat kerja bagus, baru dia orang percaya dan dapat jimat banyak duit dari hantar ke pusat servis khas.

Itu kalau kita beli kereta secondhand, bolehlah kita cari pomen biasa. Kalau kita beli kereta baru, sudah tentu kena hantar pusat servis Peugeot. Bagi kereta yang masih dalam garenti, hantarlah kat pusat servis khas.

Alat Elak Kecurian

Lagi satu, mengenai sistem keselamatan kereta Peugeot ini cukup tinggi. Bukan senang orang nak curi  kereta ini berbanding kereta lain. Kalau sudah dapat dipecah masuk kereta ini, bonek kereta tidak boleh dibuka kerana dia tak guna kable untuk buka bonek belakang. Kalau nak guna kunci tambahan, stereng lock bukanlah alat yang terbaik.

Kalau kita kunci pada stereng, pakar curi kereta masih mudah untuk buka atau gergaji stereng. Antara yang terbaik adalah lock pada brek menggunakan satu lagi alat yang ada terjual di kedai aksesori. Bukan mudah untuk memotong besi ini. Kalau setakat guna stereng lock yang macam kayu besbol itu, bukanlah alat terbaik. Ada orang salahguna benda ini untuk belasah orang jadi samseng jalanraya, tak kira lelaki atau wanita.

15 Julai 2014

Pengutip Derma Tanpa Kebenaran Akan Dikejar Habis-habisan


Tadi saya selesai membuat pemeriksaan di beberapa tempat termasuk di hadapan bank, pasaraya dan bazar ramadhan. Target utama pemeriksaan ini adalah untuk mengesan kes pemungut derma tanpa kebenaran. Tahun lepas saja, beberapa tangkapan dan pendakwaan dibuat dalam kes ini. 

Bagaimanapun, ramadhan tahun ini belum ada tangkapan. Minggu lepas, seorang pemungut derma berjaya melarikan diri sebaik dihampiri oleh penguatkuasa di hadapan sebuah bank. Saya menegaskan, sesiapa yang terlibat dengan memungut derma tanpa kebenaran ini akan dikenakan tindakan tegas. Mereka dan sendiket mereka akan diburu dan dicari habis-habisan di daerah Kluang.

Sudah tamat masa untuk berlembut dan bersimpati kepada mereka. Tidak kiralah mereka tunjukkan surat sokongan dan gambar-gambar untuk dapat simpati orang menderma. Oleh kerana mereka tak ikut prosedur, jadi kita tak mahu cakap banyak. Biarlah mahkamah yang mengadili dan membicarakan mereka. Jangan sampai dah didenda dan dipenjara baru nak sedar diri. Denda boleh sehingga RM3,000 dan 2 tahun penjara.

Poster dan sticker juga ditampal di beberapa lokasi tumpuan pemungut derma ini. Harap semua bank memberikan kerjasama. Ada bank yang bersetuju dan secara sukarela menampal poster ini di pintu bank mereka seperti Bank Simpanan Nasional. Tahniah atas kerjasama.

Ada bank yang beri alasan kena tunggu kelulusan dari ibupejabat mereka untuk tampal sticker ni. Poster dan sticker yang kita beri sebelum ini lansung tidak ditampal.  Harap semua faham dengan kerja kita, sudah ramai orang Islam tertipu dengan sendiket pemungut derma seperti ini. Tumpuan utama pemungut derma adalah di luar bank sebaik saja orang ramai ambil duit di mesin ATM. Sebab itu kita banyak tumpu di lokasi bank.

14 Julai 2014

Makanan Macam Mana Paling Best Bulan Puasa? Tidur Masa Bila Paling Best Bulan Puasa?


Saya nak tanya soalan iaitu, makanan apa paling best bulan puasa ni? Ni kira macam teka teka juga lah.

Soalan kedua, tidur masa bila paling best bulan puasa ni?

Jawapan:

Jawapan pada soalan pertama, jawabnya, makan paling best adalah...... makan-makan curi siang hari bulan puasa. Sedap sangat rasanya. 

Tapi kalau tak bernasib baik, nikmatnya sekejap saja. Tak lama lepas tu, kena tangkap dengan penguatkuasa. Ada setengah tempat, lepas kena tangkap, kena bawak dalam van jenazah pulak tu. Van ni pulak terang dan lulus puspakom, tak ada tinted punya. Jadi orang yang kena tangkap tu orang boleh nampak kena ayak keliling bandar dan kampung. 

Ada juga setengah tempat, orang yang kena tangkap ini kena pegang makanan dia tu kat tangan sampailah ke pejabat agama. Maknanya kalau kena tangkap tadi tengah pegang gelas, dia kena pegang gelas macam nak hirup air dalam van tu. Kalau dia kena tangkap masa makan nasi, dia kena pegang pinggan tu sambil tangan buat aksi nak menyuap.

Cerita tu di setengah tempatlah, saya pun tak tahu kat mana tempatnya dan saya pun dengar-dengar orang cerita kat kedai mamak.

Jawapan soalan kedua, tidur masa paling nikmat adalah tidur masa kena kejut bangun sahur terutama bila dah tamat bolasepak piala dunia ni. Kalau masa piala dunia, ada rajin sikit nak bangun dan waktu itu dikira bukanlah masa paling nikmat nak tidur.

Yang paling nikmatnya adalah bila kena kejut sahur, malas sangat nak bangun waktu itu. Tengok jam pulak baru jam 5.00 pagi. Waktu itulah rasa nak tidur semula dan dalam hari mengumpat isteri, katanya kenapalah cepatnya kejut sahur. Masa itulah terlena sekejap dan terjaga semula bila kena kejut 5 hingga 15 minit selepas tu. Maka terpaksa bangunlah nak makan sahur. Dalam hati, terpaksalah meninggalkan nikmat tidur yang paling nikmat itu untuk makan sahur.

Minta maaflah... cerita ini saya buat lawak saja, hehehe.

13 Julai 2014

Pungut Derma Palestine : Hati-hati Pihak Ambil Kesempatan Menipu


Sekarang ini, umat Islam seluruh dunia simpati dengan umat Islam di Palestine. Maka timbullah hasrat kita membantu dari segi kewangan untuk membuat sumbangan. Yer, bulan ramadhan ini adalah bulan yang berkat. Kita melakukan amalan bersedekah pada bulan mulia ini digandakan fadhilatnya. Tapi, saya terfikir sesuatu yang mungkin orang lain tak fikir. 

Saya rasa terpanggil untuk kita menyatakan kebimbangan sekiranya ada pihak pertubuhan atau individu yang memungut derma kononnya untuk sumbangan kepada Palestine. Soalnya, adakah mereka ini memungut derma dengan kebenaran pihak berkuasa agama? Kalau tidak ada kebenaran, kegiatan mereka sangat terdedah kepada penipuan.

Pelbagai strategi dilakukan oleh pemungut derma ini, di antaranya dengan menjemput orang Palestine itu sendiri ke negara kita untuk berceramah mengenai penderitaan rakyat mereka, lalu kita simpati dan terus memberi derma. Orang kita yang bermurah hati pun menderma tanpa berfikir panjang. Pernahkah kita terfikir, ke mana wang itu dibelanjakan? Adakah wang itu sampai ke Palestin? Atau dibahagi-bahagikan sesama mereka sahaja di negara kita? Kita pun tak pasti kan.

Saya tidak menafikan yang ada pertubuhan dan individu yang ikhlas membela isu Palestine ini dan ceritanya betul. Soalnya, Adakah ada pihak-pihak tertentu yang memantau atau mengaudit tabung kewangan sumbangan tersebut? Kalau betul wang itu dihantar ke Palestine, agaknya bagaimana cara penghantaran semasa keadaan yang tidak menentu seperti ini? Bukanlah aman macam kita boleh masuk akaun bank.

Jadi, cukuplah setakat ini saya bercerita. Saya tak mahu cerita panjang hal ini, nanti ada saja pihak yang marah pada saya.

12 Julai 2014

Apa Maknanya Kita Sambut Nuzul Quran?


Selamat menyambut Nuzul Quran kepada seluruh umat Islam.  Negeri Johor dan beberapa negeri lain tidak bercuti pada hari tersebut. Beberapa negeri akan bercuti pada Selasa nanti 15 Julai 2014 kerana sambutan ini. Maka, boleh juga ambil cuti hari Isnin dan dapat cuti panjang. Boleh juga tengok bolasepak final Piala Dunia, perlawanan yang menarik Jerman (bukan Parit Jerman) lawan Argentina hari Isnin bermula 3.00 pagi. 

Sebagai seorang Islam, janganlah kita hanya seronok bercuti tetapi yang lebih penting kepada kita adalah penghayatan terhadap peristiwa-peristiwa besar dalam kalender Islam. Peristiwa turunnya ayat pertama Al-Quran kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW membawa agama Islam yang kita anuti sekarang. Pada bulan ramadhan yang mulia ini, selain berpuasa, perlulah kita gandakan amal ibadat seperti solat, bersedekah dan membaca Al-Quran.

Membaca Al-Quran

Membaca Quran adalah amal ibadat yang sangat baik kerana Quran itu adalah kalam Allah dan kita mendapat pahala yang besar apabila membacanya. Amalan ini memberi kesan yang baik kepada kehidupan kita dari segi kerohanian serta menyegarkan dan membersihkan hati. Hari ini, ramai yang berpuasa tapi hati dan jiwa mereka masih belum bersih. Sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari yang bermaksud:

"Sebaik-baik kamu ialah orang yang mempelajari Al-Quran dan mengajarkannya kepada orang lain"

Al-Quran diturunkan kepada Nabi SAW secara yang bermula pada malam bulan ramadhan. Peristiwa iniah yang dinamakan Nuzul Quran yang kita sambut ini. Isi kandungan A-Quran penuh dengan perkara-perkara agung dan mengagungkan. Quran mengandungi pengajaran dan panduan kepada manusia untuk mencapai kejayaan hidup di dunia dan akhirat. Membaca Quran juga dapat membentuk budi pekerti dan akhlak yang mulia dalam diri kita.

11 Julai 2014

Kisah Bapa Pengantin Tak Mahu Jadi Wali (Episod Last)

Tertanya-tanya juga tok kadi bagaimana kisahnya pengantin tu. Dah nikah ke belum ? Tak ada pun pak imam telefon kadi, sebelum ni bukan main, sampai tak cukup bulu roma kadi dibuatnya menjawab telefon. Esoknya Ahad, dalam jam 8.30 pagi, rupanya pak imam datang jumpa kadi terus kat pejabat. Ohhhhh... baguslah tu. Tentu nak cerita pasal kisah tu.

Pak Imam Sendiri Pujuk

Pak imam terus bercerita kisah itu..... Pagi Sabtu sebelum nikah tu dalam jam 8.00 pagi, wali iaitu bapa bersama beberapa orang kampung datang rumah pak imam. Orang kampung minta sekali lagi supaya bapa jadi wali juga dan tidak memalukan nama baik kampung tu. Agaknya kalau tak jadi nikah hari tu, mungkin nama kampung tu akan jadi lebih popular dari Kampung Parit Jerman, Pontian yang terkenal kerana Jerman belasah Brazil 7-1 Piala Dunia 2014.

"Kenapa jadi macam ni, kan anak kita nak nikah ni. Ini semua melibatkan masa depan dia..." Kata pak imam.

Wali terus terdiam tak cakap apa. 

Kemudian pak imam peluk bapa pengantin dan tiba-tiba bapa pengantin menangis teresak-esak tapi terus tak berkata-kata.

"Yerlah... ini anak kita, baik buruk pun anak kandung kita juga. Kalau ada anak kita buat silap dengan kita, sebagai bapa, baik maafkan dia".... Kata pak imam.

Bapa Ubah Fikiran

Yer, bapa ubah fikiran dan setuju untuk jadi wali. Cuma pernikahan itu dilewatkan sejam dari masa yang sepatutnya. Pernikahan pula berlansung di masjid dan bukan di rumah. Bernikahlah pasangan ini dalam suasana yang pilu. Bagaimanapun pernikahan telah pun berlansung dengan sempurna.

"Maaf tuan kadi, semalam saya tak sempat telefon tuan kadi. Rasanya lebih elok jumpa tuan kadi secara berdepan hari ni. Terima kasih sekali lagi atas nasihat tuan kadi semalam". Kata pak imam itu mengakhiri perbualan.

Masalah Rumahtangga dan Perceraian

Adalah cerita sedikit mengenai pengantin dan keluarga pengantin ini. Sebenarnya mak dan ayahnya sudah bercerai kerana perselisihan tertentu. Tak apalah, tak mahulah kita cerita apa punca dan masalah rumahtangga keluarga ini. Yang penting, pernikahan telah berlansung dan itulah yang semua pihak harapkan.

10 Julai 2014

Kena Tangkap Khalwat Siang Hari Bulan Ramadhan


Hari ini ada satu kes tangkapan khalwat berdasarkan aduan orang awam di sebuah taman perumahan di Kluang. Lelaki umur 40-an datang ke rumah perempuan 40-an yang kemudiannya ditangkap pada jam 9.50 pagi. Lelaki ini berniaga sendiri, sudah ada isteri dan mempunyai 4 orang anak. Manakala perempuan juga berniaga sendiri,  sudah ada suami dan 4 orang anak. Waktu tangkapan, hanya mereka berdua saja dalam rumah tu. Yang dikesalinya, kes ini berlaku pada bulan Ramadhan yang mulia.

Makan Minum di Klayak Ramai

Tengahari hari ini juga, penguatkuasa masuk ke pusat hiburan keluarga. Tujuan pemeriksaan adalah untuk menangkap orang yang makan atau minum atau hisap rokok kat situ. Maka tertangkaplah 2 orang remaja atas kesalahan tersebut.


Pungut Derma Tanpa Kebenaran Pihak Berkuasa

Tahun lepas, masa ramadhan, ditangkap 7 orang atas kesalahan kutip derma. Antara lokasi adalah bazar ramadhan, pasar malam, depan bank, dalam pasaraya dan masjid. Nampaknya tahun ini belum ada tangkapan lagi kes pungut derma ini. Mungkin mereka dah takut. Baguslah kalau dah serik. Tapi tahun ini kalau ada lagi kes pungut derma seperti ini, penguatkuasa akan bertindak tegas tak kira siapa. Bukan kita tak mahu orang beri derma tapi kita nak jaga semua pihak. Kalau betul dia orang nak pungut derma, mintalah kebenaran pihak berkuasa melalui pejabat Kadi.

Seorang kawan saya di satu daerah kata ada satu pertubuhan yang katanya pungut derma anak yatim untuk sebuah negeri di utara. Saya kata, tahun lepas pun, kes hampir sama ditangkap di Kluang.  Anak yatim juga, negeri di utara juga, cuma nama pertubuhannya lain. Sekarang nampaknya dia bergerak ke kawasan dan daerah lain.

Dinasihatkan, kepada umat Islam yang bermurah hati menderma, dermalah di tempat yang betul dan tidak ada unsur penipuan. Di Kluang ini kalau nak derma, dermalah ke tabung masjid atau surau. Dah tentu tabung itu tabung masjid. Ataupun, masjid yang memerlukan dana dan sudah mendapat kelulusan pihak berkuasa adalah seperti Masjid Taman Delima Kluang yang belum bermula lagi pembinaannya. Besar pahalanya kita derma untuk bina masjid dan pahala itu akan berterusan selepas kita meninggal dunia. Kalau kita rasa simpati kepada anak yatim, datanglah ke rumah anak yatim Kluang, bukan derma pada anak yatim di negeri lain yang sangat diragui kesahihannya.

Lagi satu, jangan sampai derma kita ini menjadi sumber kewangan ajaran sesat seperti 'tuhan Harun' yang satu masa dulu aktif di Kluang. Mereka bergerak licik kerana mempunyai kewangan yang cukup baik. Dengan duit sumbangan kita ini, mereka gunakan untuk menyesatkan umat Islam lain pula dan menjadi gerakan militan seperti kes yang berlaku di Kuantan, Pahang. melibatkan tuhan Harun.

05 Julai 2014

Silap Tangkap Basah atau Khalwat ? Silap atau Tak Silap...


Buka saja fb saya, ramai rakan saya kongsi cerita yang bertajuk, 
"Silap Tangkap Basah.... Dikecam Lagi". 

Adalah muka seorang wanita yang dikatakan membuat kenyataan sehingga jadilah cerita tersebut. Apabila saya klik pada fb tersebut, maka dibawa kepada satu blog yang cerita lanjut tentang perkara tersebut.

Saya sebenarnya tak tahu sangat kes ini, apa cerita sebenarnya. Cuma saya baca dalam blog dan fb dan saya nak ulas juga berdasarkan perasaan seorang pembaca. Semoga nasihat saya, kalaulah baik, orang boleh ikut dan dapatlah saya berdakwah. Kalau tak tepat, maafkan saya, saya cuma baca fb dan blog itu. Maknanya orang lain pun tak dapat cerita yang tepat juga.

Nanti Dulu, Kenapa Terus Dipertikaikan Tangkapan

Orang itu dikatakan ditangkap pada satu tarikh di dalam sebuah rumah. Orang yang ditangkap juga mendakwa sedang mengemas rumah dan beberapa orang berada di dalam rumah tersebut. Dia dikatakan dibawa ke jabatan agama untuk tindakan lanjut. Kemudian, selang beberapa hari, surat sampai kepada individu tersebut untuk satu tarikh pendakwaan di mahkamah syariah. Orang itu pula melantik peguam terkenal. 

Pengadu mendakwa terkejut ditahan atas kesalahan khalwat itu yang katanya tanpa alasan kukuh. Pengadu juga memberitahu yang penguatkuasa yang menangkapnya hanya memantau selama 5 minit sebelum tangkapan dibuat.

Itulah yang saya faham serba sedikit mengenai kes ini. Kemudian, dengarlah pandangan saya.

Pandangan Saya

Isu ini sudah jadi heboh di alam fb dan internet. Saya terpanggil untuk bersuara kerana saya rasa, ramai yang menyalahkan pihak berkuasa dengan tangkapan ini. Mungkin mereka rasa, penguatkuasa tidak cekap, penguatkuasa sengaja melakukan kkezaliman atau memalukan orang ini dan lain-lain lagi. Pembaca juga mungkin merasakan yang isu ini memberikan tekanan kepada penguatkuasa kerana penguatkuasa berada dalam keadaan yang bersalah berikutan kejadian ini.

Saya rasa, penguatkuasa yang terlibat dalam tangkapan ini rilek saja, tak ada apa-apa sebab tak nampak pun dia buat perkara yang menyalahi undang-undang. Pada penguatkuasa, sama ada kes itu menang atau kalah, didakwa atau tidak, itu bukan perkara yang dititikberatkan sangat. Orang luar tak nampak tugas penguatkuasa ini berat dan mencabar.

Kekadang terpaksa kerja jauh dari lebih masa dari orang lain dengan tidak dibayar elaun pun, tapi penguatkuasa tetap menjalankan tugasnya. Yang penting, penguatkuasa sudah berusaha mencegah maksiat dan bertindak berdasarkan maklumat. Kekadang ada juga orang yang memberi maklumat marah-marah kepada penguatkuasa. Yang menentukan kes seterusnya adalah pendakwa syarie dan hakim mahkamah syariah.

Bertenang

Saya tidak mahulah merujuk khusus kepada kes ini saja tetapi kes yang lain juga. Iaitu, kalau sudah berlaku tangkapan, selesaikanlah melalui prosedur, bukan mendedahkan kepada media terutama media internet. Kalau betul orang itu telah ditangkap dan dalam jaminan, maka datanglah ke penguatkuasa atau mahkamah sekiranya dia dipanggil. Di pejabat nanti, barulah jelas sama ada kes dia akan didakwa atau tidak. Sekiranya dia didakwa di mahkamah kelak, silalah untuk tidak mengaku salah kalau dia rasa dia tak bersalah. Tidak perlulah membuat kenyataan tidak bersalah dalam media internet.

Pindah Rumah dan 5 Minit Pemantauan

Kalaulah orang ini mendakwa yang dia berada dalam rumah ini untuk pindah rumah, silalah berhujah di mahkamah. Ada kemungkinan juga hakim boleh menerima alasan tersebut kalau hakim berpuashati dengan bukti-bukti yang didatangkan oleh orang ini. Sebelum itu, sewaktu memberi kenyataan kepada pegawai penyiasat selepas tangkapan, silalah kemukan alasan dan hujah ini kepada pegawai penyiasat.

Mengenai kenyataan mengatakan 5 minit saja, itu adalah kenyataan orang ini dan bukan kenyataan penguatkuasa yang menangkap di dalam mahkamah sebagai saksi menangkap. Kalaulah betul 5 minit, di dalam undang-undang syariah, tidak ada pun dinyatakan ada peruntukan masa sebelum ditangkap sama ada lebih atau kurang dari 5 minit. Rasa saya, mungkin juga orang ini berhujah 5 minit ini untuk menunjukkan kecacatan kes ini, silalah berhujah nanti. Nasihat saya, berhujahlah di mahkamah, bukan di internet.

Seperkara lagi yang dipertikaikan adalah jumlah orang yang ditangkap, katanya adalah 4 orang. Saya tak pastilah berapa orang lelaki dan berapa orang perempuan. Sebenarnya, kepada sesiapa yang belum tahu, kes khalwat boleh ditangkap sama ada berdua, bertiga, berempat atau lebih. Tak kiralah perempuan seorang tiga lelaki, perempuan berdua lelaki berdua atau seorang lelaki perempuan tiga orang, masih boleh dikatakan kes khalwat.

Peranan Peguam

Apapun yang dilakukan oleh peguam, itu adalah dalam tanggungjawab peguam yang telah dilantik mewakili anak guamnya. Pertama, peguam ada peluang untuk berhujah terutama secara bertulis kepada Ketua Pendakwa Syarie sebelum kes ini dituduh di mahkamah. Mungkin juga, kes ini tidak didakwa kerana hujah yang kukuh oleh peguam. Lagi satu, kalau kes ini didakwa di mahkamah, peguam berperanan mewakili anak guamnya di mahkamah kelak. 

Oleh itu, janganlah kita beranggapan sesuatu kes itu begitu mudah untuk dihukum begitu saja, tetapi melalui proses undang-undang yang ketat. Seseorang itu tidak dikatakan bersalah selagi tidak disabitkan bersalah oleh mahkamah.

Jangan Memalukan Orang Kena Tangkap

Saya juga tak pasti sama ada, orang ini telah dimalukan di dalam akhbar atau media sebelum dia didakwa di mahkamah. Kalaulah nama atau muka atau jawatan khususnya disebut di dalam akhbar oleh pihak berkuasa sehingga memalukan orang ini, pihak penguatkuasa boleh berhadapan dengan saman malu atau fitnah di mahkamah sivil.

Lagi satu, jika kes ini tidak dihebahkan oleh media dan orang lain tak tahu pun kes ini, kenapalah kes ini diperbesarkan. Dengan membuat pendedahan, mungkin identiti orang ini akan dikenali dan boleh memalukan orang yang kena tangkap juga.

Jaga Nama Baik dan Kesucian Institusi Agama

Sebagai seorang Islam, jagalah nama baik institusi agama di negeri kita iaitu Jabatan Agama Islam dan Majlis Agama Islam negeri kita berada. Malangnya, ada segelintir dan jumlahnya tidaklah besar, yang suka memperkecil dan menghentam institusi agama ini.  Jabatan agama ini bukanlah hak individu atau mana-mana parti politik, semua itu tidak ada kaitannya. 

Kekadang, ada orang marah kerana individu atau politik, maka dimarahnya sekali institusi agama itu, itu adalah satu kesilapan. Ada juga kes, disebabkan ada kelemahan pihak institu agama, maka terus dihentam, sedangkan kita sendiri tak mahir atau mengetahui dengan jelas bidangkuasa penguatkuasa agama. Institusi agama memang ada kelemahannya dan kekurangannya, itu tidak dinafikan. Jadi, marilah kita sama-sama membantu, bukan meruntuhkan yang sedia ada.

Apa-apa pun pandangan kita selepas membaca fb dan blog tersebut, kita janganlah cepat mengambil kesimpulan yang tidak tepat. 


03 Julai 2014

Umat Islam di China Dilarang Berpuasa, Negara Kita Alhamdulillah

Alhamdulillah, hari ini hari kelima kita berpuasa. Semoga Ramadhan ini kita penuhi dengan amal ibadah, bukan sahaja berpuasa sahaja tetapi dengan menggandakan ibadat-ibadat lain. Dengan berpuasa ini, kita dapat merasai penderitaan umat Islam di tempat lain dalam bulan Ramadhan ini walaupun kita tidak pernah mengenali mereka. Mereka adalah saudara kita seIslam dan Islam begitu menekankan kepada persaudaraan. Dalam Islam, yang menyatukan jiwa kita bukanlah di kira berdasarkan kaum, negara, bangsa, warna kulit atau bahasa, tetapi yang menyatukan kita adalah akidah Islam. Kita sepatutnya merasai dan menginsafi, bahawa apa yang berlaku kepada umat Islam di China ini adalah menyentuh perasaan kita juga. 

Di wilayah Xinjiang China rupanya, umat Islam bukan sebebas kita untuk melakukan ibadat puasa. Jumlah umat Islam di Xinjiang adalah melebihi 10 juta orang, satu jumlah yang besar di waliyah ini. Mereka dicengkam dengan politik yang tidak adil dan tidak mengamalkan kebebasan agama. Pelajar di sekolah dipaksa makan makanan yang disediakan siang hari. Kalau tak makan, tindakan akan diambil. Begitu juga pekerja-pekerja di sektor yang lain, mereka dipaksa makan dan minum. Rumah mereka juga digeledah terutama sewaktu berbuka puasa dan bersahur untuk terus menindas umat Islam.


Bukan saja ibadah puasa, ibadat lain seperti solat berjemaah dan merayakan hari-hari kebesaran Islam semengnya dilarang selama ini. Bagaimanapun, dunia tidak begitu membesarkan isu ini dan tidak ada tekanan kepada negera besar China ini supaya mereka mengamalkan kebebasan agama yang sepatutnya. Oleh itu, kerajaan China terus melakukan tekanan kepada umat Islam di sana.

Negara kita Malaysia kita bebas mengamalkan agama kita Islam tanpa tekanan dan ketakutan. Malah agama lain seperti Kristian, Hindu, Budha dan lain-lain agama dibenarkan mengamalkan agama mereka dengan aman damai walaupun agama rasmi kita adalah Islam.

Kalau hendak difikirkan secara logik, bukanlah berpuasa ini sebagai satu ancaman atau gerakan militan untuk menjatuhkan kerajaan secara pemberontakan. Tetapi mereka tetap mengambil tindakan tegas dan memaksa orang Islam makan juga. Kalau hendak difikir secara jimat cermat, sepatutnya kerajaan mereka tidak perlu menyediakan makanan di sekolah dan pejabat sepanjang sebulan berpuasa ini. Tapi kerana sikap anti Islam yang kuat, mereka lakukan juga dengan memberikan makanan percuma.

Sempena Ramadhan ini, sama-sama kita doakan keselamatan dan kesejahteraan umat Islam seluruh dunia, semoga mereka dapat melakukan ibadah puasa dengan sempurna. Amin....

.........................................................

Akhbar Sinar Harian turut memuatkan berita:

BEIJING - CHINA. China melarang kakitangan awam, guru dan pelajar di wilayah Xinjiang berpuasa, menurut laman web kerajaan, semalam.

Beberapa jabatan kerajaan turut memuat naik notis terbabit sejak bermulanya Ramadan akhir minggu lalu.

Stesen radio Bozhou dan University TV menyatakan mereka akan menguatkuasakan larangan tersebut dalam kalangan anggota parti, guru dan golongan remaja di wilayah bergolak tersebut.

Dalam satu kenyataan, jurucakap Kongres Dunia Uighur, Dilxat Raxit menyelar tindakan itu sebagai menyekat kebebasan beragama.

"Larangan menyekat orang Islam melaksanakan Rukun Islam itu hanya akan mencetuskan lebih banyak konflik di Xinjiang.

"Kami menggesa kerajaan menghentikan penindasan seumpama ini terutamanya ketika Ramadan," tegasnya.

Memetik laporan AFP, sejak beberapa tahun lalu, kerajaan pimpinan Parti Komunis mengenakan larangan berpuasa di Xinjiang yang didiami etnik minoriti Uighur.

Klik di sini untuk melihat berita dari Sinar Harian

02 Julai 2014

Kursus Perkahwinan, Harga Istimewa Sepanjang Ramadhan, RM100 sahaja


Kepada bakal pengantin, kursus pra perkahwinan diadakan pada hari  Jumaat Sabtu 4-5 Julai 2014 dan 18-19 Julai 2014. Yuran hanya RM 100 sahaja pada bulan Ramadhan, pada bulan-bulan lain RM 120. Kursus bermula jam 8.00 pagi Jumaat di Pejabat Kadi Kluang. 

Kepada sesiapa yang nak kursus, sila daftar dulu dengan mana-mana pegawai/ kakitangan. Boleh mendaftar dengan saya melalui email Kadikluang@yahoo.com atau facebook saya 'Kadi Kluang'. Tempat terhad. 

01 Julai 2014

Suami Outstation, Isteri Bawa Jantan Masuk Rumah


Pasangan ini berumur 30-an, sudah nikah kira-kira 6 tahun dan mempunyai 2 orang anak.  Hari itu, suaminya outstation ke negeri lain kerana tugas. Beberapa hari tinggal si isteri dengan 2 orang anaknya saja di rumah. 

Penguatkuasa dapat laporan kes ini sebelum Ramadhan lalu dan terus membuat pemeriksaan. Hasil pemeriksaan, didapati lelaki 30-an dan wanita 30-an bersama dua orang anak yang sedang nyenyak tidur dalam jam 1.30 pagi. Lelaki (lain) dan wanita ini bukan suami isteri dan tiada hubungan mahram. Mereka ditangkap dan akan didakwa di bawah kesalahan khalwat.

Lebih menggemparkan adalah, lelaki ini adalah kawan kepada suaminya. kedua mereka sudah lama menjalinkan hubungan sulit tanpa pengetahuan suaminya melalui whataps sampai berasap-asap. Peluang masa suami tak ada beberapa hari ini, mereka berpakat dan mengambil kesempatan tidur bersama di dalam bilik rumah ini. Lelaki ini pula sudah mempunyai isteri sejak bernikah 3 tahun lepas tetapi belum ada anak.