Untuk Memilih Tajuk Artikel Dalam Blog Ini, Sila Taip Perkataan di sini.

29 Jun 2013

Belajar Bisnes (Episod 3) Kuasa Teh Tarik & Nasi Lemak

Saya nak cerita lagi pasal nasi ayam iaitu kenalah ada ilmu dan masakannya sedap. Barulah boleh berjaya. Apabila saya tulis cerita pasal nasi ayam ini, ada seorang lelaki, katanya umur dia 50-an dari Jasin, Melaka. Dia telefon ke pejabat saya untuk bercakap dengan saya. Beberapa kali telefon, barulah dia dapat bercakap dengan saya. Katanya, dia seorang kakitangan kerajaan dan dalam 4-5 tahun lagi nak bersara. Dia berhasrat nak buka kedai makan dan menu utamanya adalah nasi ayam. Sebelum ini, dia dah ada pengalaman berniaga warung.

Nak Datang Kluang

Sedara ini kata dia nak datang Kluang jumpa saya dan nak belajar dengan saya bagaimana nak buat nasi ayam yang betul. Saya terkejut dan terkedu seketika. Pertama, saya bukan guru masakan atau chef yang banyak pengalaman, saya hanya seorang yang hadir kursus dan ada sijil hadir kursus,saya kata begitu. Dalam hati saya, kalau betul dia dating nak belajar, tiba-tiba dia tak puashati, dah tentu dia menyesal.

Yer, betul saya ada sikit pengalaman masak nasi ayam. Orang yang datang rumah saya makan nasi ayam saya kata nasi ayam saya okey, tapi dalam hati saya kata taklah sesedap mana pun. Rumah saya ada dapur 'appolo' yang khas untuk panggang ayam, yer betul. Tapi masalahnya, ilmu yang saya ada ini belum tentu saya boleh mengajar orang lain. Contohnya seorang anak murid boleh ajar kiraan matematik pada kawan sebelah dia, tapi dia belum tentu boleh jadi guru.

Dalam Islam, kita tengok ulama-ulama besar pergi merantau cari tok guru walaupun jauh. Antaranya pergi ke Pondok Tok Kenali di Kelantan atau Pondok Ahmad Badawi di Penang. Dah tentu di sana ada tok guru yang pandai ajar orang. Tapi saya cuma pandai sikit saja dan bukan boleh jadi tok guru untuk ajar masak nasi ayam. Saya minta maaf banyak-banyak dan saya ambil nombor telefon dia. Tapi lepas itu nombor telefon itu hilang dan saya tak dapat hubunginya lagi. Saya ada juga hasrat nak singgah ke Jasin nak pergi ke kedai sedara tu, tapi tentu Jasin banyak kedai makan, susahlah saya nak cari. Jadi kalau sedara itu baca tulisan saya, bolehlah hubungi saya melalui FB saya yer.

Rahsia Teh Tarik

2 orang peniaga tadi saya beritahu dia rahsia kejayaan kedai mamak. Kenapa kedai mamak berjaya walaupun bulu roma tangan dia lebih lebat dari bulu roma tangan kita yang tak berapa nak tumbuh ini. Antara rahsianya adalah teh tarik. Ada orang berniaga tak ambil kisah pasal teh tarik. Kalau kita berniaga sebelah pagi iaitu sarapan dan minum petang, teh tarik kita hendaklah sedap dan bukan cincai saja. Saya banyak juga tegur pembuat teh tarik ini. Ada satu kedai mamak yang selalu saya pegi di Kluang. Kebiasaannya teh tarik dia sedap, tapi hari itu teh dia tak menjadi. Rupanya pembuat air yang asal dah berhenti atau pindah kedai lain.

Mamak ini umur awal 20-an dia orang tempatan, bukan warga asing. Dia keja situ dalam 5-6 bulan tapi tak pernah ditugaskan buat air. Apabila dia kena buat air, dia diajar buat teh tapi tak belum berapa sedap teh dia.

"Helo adik... ini the tak jadi, salah buat". Tegur saya.

Tersipu-sipu mamak tu kena tegur dengan saya. Saya belum minum pun saya dah tahu teh itu salah sebab saya setiap pagi minum teh tarik. Teh dia cair dan tak pekat. Dia ambil gelas saya dan buat air semula. Saya lihat ada 2 orang mamak yang dah lama tolong dia buat teh saya. Dia hantar teh yang baru dan minta maaf pada saya. Saya Nampak teh dia macam menjadi sikit tapi bila minum, rasanya taklah sedap sangat. Masa saya tengok mamak tu dah rilek sikit, saya panggil pembuat air itu. Saya ajar dia cara buat teh tarik yang betul dan dia mengangguk. Nak belajar buat teh tarik, klik sini.

Peniaga Warung

Dalam kursus itu, seorang peserta saya yang berniaga pagi sahaja. Saya tekankan, sebenarnya berniaga pagi sahaja, keuntungannya tinggi kerana setiap orang mesti sarapan pagi. Selain makanan istimewa, teh tarik  mesti kena jaga. Saya ajar dia buat teh dan dia dengar penuh minat. Saya kata, kita jangan sayang keluar modal untuk teh dan susu, yang penting pelanggan ramai dan akan datang lagi ke kedai kita. Pasal modal buat teh tarik yang special, saya letak harganya dalam tak lebih 40 sen, sedangkan peniaga jual dengan harga RM1.20 atau RM1.00. Kalau nak jimat lagi boleh, pakai teh entah apa-apa sebab nak murah, lepas tu pakai teh tu beberapa kali sampai dah tak ada warna dan rasa, lepas tu susu taruk sikit saja untuk untung lebih. Kalau nak menipu lagi, taruk air gula untuk jimat susu, padahal kita menyumbang kepada sakit kencing manis.

Nasi Lemak

Peniaga pertama yang berniaga pagi tadi kata, makanan utama di kedai dia adalah nasi lemak dan soto. Cerita bab nasi lemak, saya ada ilmu untuk dikongsi bersama. Cuma soto, saya memang tak tahu, mungkin juga sebab saya bukan orang Jawa, hehe.

Ramai orang pandai masak nasi lemak dan saya tak mahu komen pasal nasi. Cuma nasi itu kalau nasi lemak pinggan, hendaklah dihidangkan waktu panas, jangan dah sejuk. Yang saya utamakan adalah sambal dia yang ramai peniaga nasi lemak tak ambil kisah sangat pasal sambal ini. Saya tak mahu panjang cerita, bacalah kat sini, cara masak sambal nasi lemak, klik sini.

.....BERSAMBUNG KE EPISOD 4,
Baca dari episod 1, klik sini


28 Jun 2013

Bermulanya Perlantikan AJK Masjid & Surau Johor


Saya selesai memberikan taklimat kepada pengerusi dan AJK masjid dan surau seluruh Kluang pada 25 Jun bagi Parlimen Kluang dan Sembrong manakala pada 26 Jun bagi Parlimen Simpang Renggam. Walaupun taklimatnya ringkas, tapi yang jadi panjangnya ada sesi soal jawab yang ditujukan terus kepada saya. Alhamdulillah, semua soalan sempat saya jawab dalam majlis berkenaan.

Tamat Tempoh

AJK masjid dan surau yang ada sekarang adalah bagi tahun 2011-2013. Maknanya, jawatan yang disandang sekarang akan berakhir pada 31 Disember 2013 dan mulai 1 Januari 2014, bermulalah tugas AJK yang baru. Bagaimanapun, sekiranya ada masalah kelewatan pengesahan perlantikan ini, Jabatan Agama berhak melanjutkan pemegang  jawatan sekarang walaupun sudah melepasi 31 Disember 2013.

Sekiranya barisan AJK sudah dilantik, bukan bermakna mereka boleh  terus memegang jawatan tersebut sekarang, tapi tunggulah sehingga 1 Januari 2014 nanti. Masa yang ada ini bolehlah dibuat penyerahan tugas, mesyuarat agong atau sebagainya.

Peringkat Mukim

Perlantikan bermula di peringkat mukim yang dipengerusikan oleh Tok Penghulu. Kepada sesiapa yang berhasrat memegang jawatan tersebut, hendaklah mengisikan borang pencalonan yang telah disediakan. Selepas itu, satu mesyuarat pemilihan hendaklah diadakan. Bagi daerah Kluang ditetapkan sebelum tarikh 31 Julai 2013 ini, daerah lain, tanyalah kadi daerah berkenaan. Tok penghulu boleh juga mewakilkan penggerak masjid atau ketua kampung untuk mesyuarat pemilihan itu.

Ramai juga yang keliru iaitu sebenarnya ini bukan mesyarat agong tetapi hanyalah mesyarat pemilihan saja.

Peringkat Daerah

Setelah Tok Penghulu mengemukakan senarai AJK, mesyarat peringkat daerah akan diadakan selepas 31 Julai 2013. Mesyuarat ini akan dipengerusikan oleh Pegawai Daerah (D.O) manakala Kadi daerah sebagai Timbalan Pengerusi serta ahli-ahli mesyarat yang  lain.

Peringkat Negeri

Selepas Pegawai Daerah mengesahkan senarai dari daerah Kluang, satu menyuarat peringkat negeri akan diadakan yang akan dipengerusikan oleh Exco Hal Ehwal Agama Johor. Maka selesailah perlantikan AJK masjid & surau seluruh negeri Johor tahun 2014-2016.

26 Jun 2013

Rosak Tapak Pengecas Samsung dan Telinga Panas

Kalau tuan-tuan pakai telefon samsung, tak kiralah Note ker, S ker, Y ker, hati-hati semasa mengecas bateri. Bahagian tapak dia mudah rosak terutama kalau pakai pengecas rumah atau pengecas kereta yang tak ori.

Telefon Samsung Note saya rosak. Masa nak mengecas, kekadang masuk, kekadang tak masuk. Ada masa, tinggalkan telefon, ingatkan dah siap cas, rupanya tak masuk lansung. Sebenarnya kalau masukkah pengecas tu jangan paksa, nanti boleh rosak tapak dia. Saya bawa ke satu kedai baiki telefon di Kluang, ada ceritanya.

Kedai Pertama:

Lelaki tu kata tapak pengecas tu rosak. Di situ ada banyak wayer kecil, mungkin ada yang bengkok. Lelaki tu kata boleh repair dengan harga RM 85 dalam masa 15 minit. Saya minta kurang, tak dapat. Dia tunjukkan alat yang saya kena ganti. Tapi saya kata tunggu dulu.

Kedai Kedua:

Saya ke kedai kedua di Kluang juga. Lelaki tu kata kerosakan yang sama. Tapi kedai tu kata harganya RM 75 dalam masa 15 minit saja. Saya minta kurang dia tak kasi. Saya setuju dan tukar. Dah siap tu,  memang eloklah telefon saya.

Selesailah Sudah:

Selesailah sudah repair telefon. Mahal ker,  murah ker, dah tak ada pilihan. Rasanya kalau beli sendiri, dalam berapa ringgit jer barang tu, boleh cari tu. Tapi kalau nak pasang, tak berani punya. Mau jahanam satu telefon nanti. Kat rumah saya ada alat iaitu spana buka telefon bimbit. Ini bukan spana biasa dan bukan ada jual kat kedai biasa.

Pernah ler dulu buka telefon Nokia  masa model tu tengah top dulu. Saja bukak dan pasang sendiri. Tapi satu hari tu saya beli alat yang katanya boleh kasi telinga tak panas masa cakap, harga RM 2 jer. Pastu saya pasang kat rumah, memang  betullah telinga tak panas, rupanya terus tak dengar kalau orang cakap. Sampai orang cakap saya pekak pulak, lagi panas telinga saya. Terpaksalah pergi kedai telefon, repair mic dia rosak, kena bayar pulak RM50.

Nasi Arab Mandy, Maqluba dan Kabsah, klik sini

20 Jun 2013

Muar Paling Teruk Jerebu, Sekolah Ditutup

Lebih 200 sekolah di Muar, Johor diarah tutup buat sementara berikutan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) mencatat paras bahaya iaitu 383.

Pengarah Pendidikan Johor Mohd Nor A Ghani berkata keputusan itu dibuat berikutan paras IPU di daerah itu mencecah tahap bahaya, dan tindakan itu melibatkan 76,940 pelajar. Sementara itu, Jabatan Alam Sekitar (JAS) hari ini melaporkan Muar merupakan kawasan yang paling teruk dilanda jerebu dengan IPU 383 pada 11 pagi meningkat daripada 337 pada 7 pagi tadi.
Sementara itu, Kota Tinggi mencatat bacaan sangat tidak sihat dengan IPU 232 diikuti Pasir Gudang dan Larkin Lama mencatat status tidak sihat dengan masing-masing mencatat IPU 199 dan 181, menurut laman web www.doe.gov.my.

Di Melaka, Bandaraya Melaka dan Bukit Rambai mencatat bacaan IPU tidak sihat masing-masing 137 dan 119.Menurut jabatan itu, bandar-bandar lain di negara ini mencatat bacaan IPU sederhana iaitu di bawah 100.- Bernama

18 Jun 2013

Kantoi Khalwat Dengan Kekasih Gelap Pasar Malam

KLUANG - Seorang anggota tentera berpangkat sarjan dicekup Bahagian Penguatkuasa Jabatan Agama Johor (JAJ) selepas didapati berkhalwat bersama kekasih gelapnya di sebuah hotel bajet di Simpang Renggam, di sini, kelmarin. Meskipun tinggal di Johor Bahru, lelaki terbabit sanggup meninggalkan keluarganya di rumah semata-mata untuk bersama dengan wanita berkenaan yang dikenali di pasar malam, sejak enam bulan lalu.

Ketika serbuan, pasangan terbabit hanya memakai tuala untuk menutup badan seterusnya memberi alasan baru memasuki bilik hotel berkenaan.

“Kami baru sahaja masuk bilik ini 15 minit lalu. Tak ada buat apa pun, tolonglah lepaskan saya kerana saya sudah berkeluarga ada dua anak.

“Tolong jangan beritahu isteri saya kerana dia hanya tahu saya ke lokasi lain bersama kawan dan bukan ke sini,” katanya ketika merayu kepada pihak JAJ supaya tidak menahannya dalam  serbuan berkenaan.

Bagaimanapun, rayuan dibuat tidak diendahkan, dan JAJ bertindak terus menahan pasangan terbabit atas kesalahan berdua-duaan di dalam bilik bersama pasangan bukan muhrim. Kadi Kluang, Mohd Khalil Md Noor berkata, pasangan itu dibawa ke Balai Polis Simpang Renggam untuk laporan tangkapan sebelum dijamin keluarga masing-masing.

“Mereka akan didakwa di bawah seksyen 27(1)(a)&(b) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Johor yang membawa kepada hukuman denda maksima RM3,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali.


.............

Dah kena tangkap, baru nak ingat kerja serta anak isteri yer......

.

Janda Anak Tiga Kena Tangkap Khalwat Dengan Lelaki Nepal

KLUANG - Seorang janda tiga anak ditangkap khalwat bersama pasangannya warga Nepal di salah sebuah hotel bajet di Simpang Renggam, di sini, kelmarin. Mereka dicekup dalam sebuah bilik hotel berkenaan ketika operasi cegah maksiat oleh Jabatan Agama Johor (JAJ) Cawangan Kluang.

Wanita berusia 30 tahun itu sudah bercerai dengan suaminya kira-kira setahun lalu, mengakui berkenalan dengan pasangannya itu di kilang tempat mereka bekerja. Wanita itu juga menyatakan kesediaan untuk bernikah dengan pasangannya meskipun menyedari lelaki itu bukan Islam.

Sementara itu, Kadi Daerah Kluang, Mohd Khalil Md Noor mengesahkan penahanan pasangan terbabit, dan wanita berkenaan akan didakwa di bawah Seksyen 27(1)(a)&(b) Akta Kesalahan Jenayah Syariah Johor.

“Lelaki warga Nepal dilepaskan selepas pemeriksaan dan pengambilan maklumat diri, namun diminta untuk datang ke pejabat pada hari ini (semalam) untuk membantu siasatan.

“Manakala, wanita tersebut  turut dikehendaki melaporkan diri setelah dijamin oleh ahli keluarganya dan bakal berhadapan dengan hukuman denda tidak lebih RM3,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya,” katanya.

15 Jun 2013

KSN Saran KSU, TKSU dan KP Buka Akaun Facebook, Twitter... Saya Sokong


PUTRAJAYA: Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa menyarankan semua Ketua Setiausaha dan timbalannya serta ketua pengarah membuka akaun laman sosial seperti Facebook dan Twitter masing-masing untuk berinteraksi dengan rakyat. Beliau berkata, langkah itu juga membolehkan usaha menangkis fitnah berhubungperkhidmatan awam dapat dilakukan dengan segera. 

Kebelakangan ini, katanya segelintir pihak menggunakan laman sosial untuk menyebar fitnah tentang kerajaan terutamanya perkhidmatan awam dan pegawai-pegawai kerajaan yang mempunyai laman sosial pasti boleh menangkisnya.

"Saya minta agar pegawai kerajaan terutamanya pegawai tadbir dan diplomatik(PTD) yang aktif dalam laman sosial dapat memberikan fakta dan maklumat yang tepat dan benar bagi 'counter-attack' sebarang fitnah tersebut.

"Jika kita tidak membantu keadaan ini dengan fakta sebenar, rakyat akan terus percaya serta sebarkan fitnah itu dan ia hanya akan memburukkan lagi situasi semasa," katanya kepada pemberita selepas Majlis Berinteraksi bersama Persatuan Perkhidmatan Tadbir dan Diplomatik (PPTD) di sini, Jumaat.

Ali berkata, pelbagai evolusi berlaku dalam perkhidmatan awam terutamanya selepas Pilihan Raya Umum ke-13 lepas dan sebagai penjawat awam, PTD seharusnya memainkan peranan lebih penting untuk memastikan dasar-dasar kerajaan dapat dilaksana dengan jayanya.Bagi menjadikan peranan PTD sentiasa relevan dengan perubahan semasa, beliauberkata mereka juga perlu mengambil langkah proaktif dengan sentiasa turun padang.

"Menjadi tanggungjawab PTD untuk mendekati serta membantu masyarakat yang memerlukan dan bukan sekadar duduk di pejabat. Jika di luar bidang kuasa, rujuklah kepada pihak yang berkenaan," katanya.
Beliau berkata, semua PTD, pegawai kerajaan dan penjawat awam perlu bersedia berdepan evolusi semasa untuk memastikan kerjaya perkhidmatan awam mampu menjadi pilihan generasi akan datang.Dalam pada itu, beliau menggesa semua pegawai kerajaan dan PTD supaya menyegerakan pelaksanaan dasar-dasar yang diluluskan kerajaan. BERNAMA

Ulasan Saya:

Ini satu langkah yang baik dan perlu disokong. Saya saja sudah punyai Facebook dan blog yang membolehkan saya berinteraksi dengan orang ramai bukan sahaja di daerah Kluang, tapi seluruh negara. Malah ada pembaca blog saya dari beberapa negara luar. Cuma saya tak ada twitter sahaja. Bukan tak mahu belajar atau nak buka tapi sudah terlalu sibuk. Pada saya, kalau kita dah disibukkan dengan benda-benda luar, kekadang kita boleh lari dari landasan kita. Bukan saya kata twitter tak baik, jangan salah faham, semuanya atas kita.

Di kalangan rakan-rakan pula, ada group tersendiri melalui 'whataps'. Semua kadi-kadi di Johor sekarang ada whataps yang memudahkan penyebaran maklumat dan perbincangan serta merta. Hingga rasanya tak perlu berjumpa, berkumpul dan bermesyuarat pun dan cukup. Begitu juga di kalangan pegawai-pegawai jabatan agama, ada group whataps tersendiri. Pemandu di pejabat saya rupanya ada group whataps di kalangan pemandu-pemandu di jabatan dan setiap daerah juga rupanya. Cuma jangan jadikan group ini untuk mengumpat bos masing-masing sudahlah, hehehee. Sori, bergurau.

Sekadar Renungan

Sekarang pulak ada wechat, viber, Line, Kakao Talk yang semua free, cuma bayar internet sajalah. Bila dah banyak-banyak ini, saya dah makin pening sebab banyak sangat benda nak layan. Bila dah masuk ke dunia ini, kira sudah terjebat dan susah kalau tak layan. Mungkin satu tahap nanti kita akan jeles dengan orang yang bahagia dalam hidup dia yang tak ada telefon, apa lagi memiliki internet atau telefon pintar. Waktu itu kita rasa kita bahagia dalam dunia teknologi kita, rupanya orang yang tak ada apa-apa ini semua pun tidur lebih lena, makan kenyang, nasi bertambah dan mandi dia basah. 

Sedangkan kita nama saja maju tapi banyak masalah yang kita sendiri macam tak tahu apa masalah kita kerana telah dilekakan dengan teknologi ciptaan manusia. Yer, jangan sampai kita jadi robot yang tak boleh bergerak kalau tak ada teknologi yang menggerakkan dia. Kita hendaklah lebih pandai dari robot.

Kekadang saya rasa sudah banyak masa saya dihabiskan dengan benda-benda macam ini. Sehingga masa saya membaca buku sudah semakin kurang. Di rumah saya ada buku banyak sehingga penuh bersusun satu bilik. Dari dulu saya menanam azam, kalau saya menyampaikan ceramah sebagai penceramah jemputan, sekurang-kurang lepas itu saya nak beli satu buku. Cuma kalau ceramah kursus perkahwinan tidaklah saya beli buku kerana tajuknya lebih kurang sama saja. Jadi, dalam kesibukan kita dengan benda-benda teknologi ini, kekadang masa kita habis kat situ saja. Bila saya imbas ke belakang semula, saya kekadang rasa rugi, buku banyak, tapi ilmu saya macam tak bertambah.

Orang kata boleh baca melalui internet, yer memang boleh. Tapi kat internet ini tak dapat tumpu sangat berbanding buku. Kalau tanya apek yang jual cermin mata pun, dia orang akan cakap tengok komputer lama-lama tak ada bagus punya. Baca buku lagi baik, mata lagi sihat.

14 Jun 2013

Pemandu Teksi Kena Tipu Dekat Pejabat Agama

Seorang lelaki dari kawasan di Simpang Rengam tahan sebuah teksi. Selepas berunding, lelaki ini bersetuju untuk naik teksi ini ke Pejabat Kadi Kluang dengan bayaran RM 40.00 iaitu bayaran pergi dan balik.

Sampai saja di pejabat kadi, lelaki ini naik ke atas dan meninggalkan pemandu teksi ini dalam kereta. Katanya dia ada urusan sedikit yang tidak dinyatakan. Setelah menunggu lebih 30 minit, pemandu teksi tercari-cari ke mana perginya lelaki tadi. Pemandu teksi ini mencari lelaki tadi di bangunan atas dan bawah tapi tidak ditemui. Bila ditanya kepada kakitangan, katanya lelaki ini tidak ada berurusan pun di pejabat.

Rupanya lelaki ini dah lari dan yang tak patutnya ialah dia tipu pemandu teksi tadi. Lebih tak patut lagi sebab dia gunakan nama pejabat kadi. Mungkin dalam hati pemandu teksi ini, dengar nama pejabat agama, maka rasa macam boleh percayalah orang ini. Rupanya menghilangkan diri dipercayai keluar melalui salah satu dari dua pintu belakang pagar pejabat kadi.

13 Jun 2013

Belajar Bisnes (Episod 2) Bagaimana Nak Mulakan Perniagaan


Ceramah selama dua jam itu, mulanya saya macam tak tahu hendak mulakan dekat mana. Saya minta peserta yang hadir memperkenalkan diri mereka dan saya lebih tekankan mengenai pekerjaan mereka. Dalam 20 orang yang saya tanya, kerja mereka pelbagai termasuk berniaga makanan, pemotong rumput, guru tadika, kilang, kerani dan suri rumah. Maknanya dalam setiap keluarga itu sama ada suami atau suami isteri yang bekerja untuk membiayai pendapatan keluarga termasuk anak-anak.

Keperluan Hidup

Dalam keadaan ekonomi dan taraf hidup yang semakin mencabar sekarang, adakah kita rasa cukup apa yang telah ada pada diri kita?  Ini termasuk gaji atau hasil kerja atau hasil perniagaan kita itu mencukupi atau tidak. Adakah kita memilik kereta seperti orang lain ada ? Adakah kita memiliki rumah sendiri atau hidup meyewa sahaja ?

Memang hidup kita tidak pernah puas terutama dalam bab wang ringgIt dan kemewahan. Kita tengok orang-orang yang terkaya malah tersenarai dalam majalah sebagai orang terkaya, tetap mahu bekerja dan berusaha mengembangkan perniagaan mereka. Sampai bila mereka nak besarkan kekayaan mereka? Yer, selagi kita hidup, kita hendak semua itu. Islam tak larang kita jadi kaya malah Islam lagi makin kuat kalau orang Islam kaya. Sumber wang zakat pasti akan bertambah kalau ramai orang Islam kaya.

Negara kita tak pernah sekat sesiapa yang nak jadi kaya. Negara kita bukan negara komunis yang kekayaan seseorang itu ada hadnya dan selebihnya diserah kepada negara pula. Cuma yang ada adalah cukai pendapatan dan cukai lain manakala dalam Islam diwajibkan membayar zakat kalau kita dah sampai ke tahap wajib. Kita wajib zakat kalau simpanan wang ringgit kita melebihi nisab atau had minimum iaitu sekitar RM 13,000 (tertakluk kepada pindaan), cukup haul setahun dan sempurna milik.

Berniaga Kedai Makan

Ada dua orang peserta dalam ceramah itu yang buka kedai makan. Seorang wanita berniaga warung di tepi jalan depan rumahnya manakala seorang lagi menyewa kedai dengan Majlis. Saya bercerita kisah seperti dalam cerita Sudah Nasibku Mat Burger, bagaimana seorang lelaki yang belajar tak tinggi, boleh jadi jutawan dengan berniaga burger di JB. Saya juga cerita kisah Dr Rosley dalam buku Jutawan Senyap mengenai betapa banyaknya peluang dan keuntungan dalam perniagaan makanan seperti pasar malam. Sesiapa yang belum baca kisah "Sudah Nasibku Mat Burger" yang jadi buah mulut orang ramai itu, klik sini.

Apabila saya perkenalkan blog saya di http://www.kadikluang.blogspot.com, ada seorang peserta yang terus membukanya penggunakan Samsung Tab dan menunjukkan kepada saya mengenai masakan nasi ayam. Mulanya saya ketawa kerana ada juga orang yang terus buka tulisan saya itu. Yer, saya cerita mengenai keuntungan perniagaan nasi ayam. Bila saya tanya dua orang peniaga kedai makan itu, dia kata tak ada jual nasi ayam. Wanita pertama yang niaga depan rumah antaranya berniaga nasi lemak. Kedai yang seorang lagi itu juga jual masakan panas. Saya cadangkan mereka jual nasi ayam. Tapi kena ada ilmu dan masakan kenalah sedap.

Minta maaf saya cakap, ada banyak nasi ayam di kedai yang tak sedap tapi mereka terus jual juga. Ada pula pelanggan yang datang makan walaupun tak sedap. Biasanya kedai macam ini bukan khas jual nasi ayam, mereka juga jual nasi macam biasa, nasi ayam hanyalah buat ada-ada saja. Terfikir juga saya, kenapalah tauke kedai itu tak belajar masak nasi ayam special dan sedap termasuk pergi kursus buat nasi ayam macam yang saya pergi itu. Sesiapa nak belajar masak nasi ayam, saya ajar kat sini, klik sini.

Saya cerita, kalau saya pergi ke kedai untuk makan nasi ayam, saya akan tengok ayamnya yang bergantung elok dan berkilat. Kalau itulah rupa ayamnya, saya oder nasi ayam untuk rasa. Tapi kalau ayamnya hangus, rentung dan kecut, saya dah tahu nasi ayamnya tak sedap.

.....BERSAMBUNG KE EPISOD 3, klik sini

Saya Bukanlah 'Blogger Hantu' Itu



Hari ini dalam sebuah akhbar tempatan, muka depan, supaya blogger menyatakan identiti mereka Mungkin tujuannya adalah untuk mengelakkan perkara yang tidak diingini seperti menfitnah, menjatuhkan maruah orang, laman lucah, penipuan perniagaan atau pelaburan, ajaran sesat dan sebagainyalah.

Suasana Sekarang

Di dalam dunia sekarang yang orang kampung saya panggil 'dunia cyber', pengaruh media sosial seperti blog, facebook dan lain-lain, mempunyai kesan yang besar dalam masyarakat. Kita perlulah kembali semula kepada tujuan kita menulis blog. Pada saya, tujuan saya hanya seronok-seronok dan bolehlah berkesempatan kita berdakwah kepada masyarakat. Jangan sempitkan dakwah, dakwah bukan hanya di masjid dan surau saja tapi luas seluasnya.

Tapi ada juga orang yang tulis blog atas niat lain, mereka mahu sebebas-bebasnya mengupas sesuatu isu. Oleh itu, janganlah diberi kebebasan sangat kepada mereka yang tidak dikenali ini dan perlulah ada garis panduan juga. Sekadar garis panduan sahaja tidak cukup, malah perlulah disusuli dengan peraturan undang-undang yang jelas.

Ajaran Sesat

Sewaktu saya di Kelantan hari Isnin lepas, bersama dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir bin Baharom, beliau menekan supaya ajaran sesat ini dibenteras dengan tegas oleh pihak berkuasa. Sekarang ini, ajaran sesat bukan sahaja bergerak secara biasa, malah mereka lebih licik termasuk menggunakan media sosial internet untuk mengembangkan dakyah mereka.

Imam Mahdi Kluang

Beberapa bulan lepas, saya mendapat aduan mengenai kewujudan Imam Mahdi Kluang yang menyebarkan pengaruhnya di internet iaitu blog. Entah betul, entah tidak, tapi tulisan itu ada di internet dengan bebas tanpa sekatan. Tidak mustahil, orang kita boleh terpengaruh dengan ajaran yang merosakkan akidah dan agama kita itu. Hendak menyiasat identiti penulis sebenar, bukan senang, kepakaran yang kita ada kekadang tidak mampu mengatasi mereka ini.

Blog Saya Ada Nama dan Biodata

Blog saya bermula pada 14 September 2009. Saya perkenalkan nama saya dan biodata saya dengan jelas. Saya tak merahsiakan siapa diri saya. Kalau sesiapa ada masalah dengan tulisan saya, bolehlah hubungi saya bila-bila masa termasuk waktu saya sedang tidur kerana blog saya tidak pernah tidur. Dan memang itulah yang berlaku pada saya sebelum ini, sejak lebih 3 tahun lalu..  Saya akui, kekadang tulisan saya ada yang tersentuh atau tidak sependapat dengan sesetengah pihak, maafkan saya. 

Tapi, kalau blog yang tak ada nama, yang saya juga baca dalam alam maya ini. Kekadang saya juga keliru mengenai sumber serta kesahihan cerita itu. Mungkin cerita betul dan mungkin juga tak betul. Oleh kerana tak dikenali, tak mustahil cerita itu hanya rekaan sahaja.

09 Jun 2013

Bersama Peguam Datuk Khairul Anwar Rahmat


Malam tadi, atas jemputan, saya hadir ke satu majlis makan malam. Ramai yang hadir. Saya sempat bergambar dengan seorang yang dikenali di peringkat nasional, iaitu di sebelah saya ialah Datuk Khairul Anwar Rahmat. Beliau seorang peguam sivil dan peguam syarie yang banyak menghabiskan masa di luar Kluang iaitu di Kuala Lumpur. Umurnya masih muda, dalam 30-an, muda dari saya. 

Selalu Muncul di TV dan Akhbar

Datuk Khairul selalu muncul di tv, majalah dan akhbar terutama di dalam mengulas isu-isu semasa berkaitan undang-undang sivil dan syariah. Dalam syariah, beliau banyak membicarakan berkaitan undang-undang keluarga Islam. Idea dan pengalaman beliau yang luas dalam bidang undang-undang, menjadikan saya salah seorang peminat rancangan tv dan tulisan beliau di akhbar dan majalah. 

Yang saya kenal, beliau juga adalah pengerusi Penubuhan Program Sukarelawan Peguam Untuk Semua (SUKAGUAM) yang banyak membantu  golongan yang tidak berkemampuan untuk mendapatkan khidmat nasihat dan rundingan guaman secara percuma. Beliau banyak memberi pendedahan dan maklumat kepada masyarakat mengenai hal berkaitan perundangan yang tidak diketahui oleh mereka.

Kepada sesiapa yang belum mengenali beliau, bolehlah membaca tulisan beliau melalui carian 'google' atau bolehlah melayari 'youtube' dengan menaip nama beliau. Apa yang saya hendak beritahu hari ini adalah, Datuk Khairul adalah orang Kluang, lahir, bersekolah dan kampung halamannya di sini.

Arif bin Kataman

Seorang lagi dalam gambar ini adalah Arif bin Kataman. Beliau adalah 'Independent Non-Executive Director' dalam syarikat perumahan BCB Berhad yang disenaraikan dalam Bursa Malaysia. Berpengalaman 32 tahun bertugas sebagai pegawai LLN/TNB sebelum menyertai perniagaan ini. Ramai pemain atau pemegang saham dalam BCB Berhad mengenali nama Arif bin Kataman, inilah orangnya. Apa yang saya nak cerita di sini, beliau juga adalah orang Kluang.

08 Jun 2013

Belajar Bisnes (Episod 1) Bagaimana Nak Mulakan Perniagaan ?


Kalau boleh, saya ingin jadikan tulisan saya bertajuk 'Belajar Bisnes' ini beberapa episod. Tujuannya untuk menggalakkan semangat orang kita untuk menceburi bidang perniagaan ini. Bukanlah saya ini banyak ilmu atau nak tunjuk pandai. Tapi kita hendaklah bermula dari bawah, menapak secara kecil-kecilan, walaupun kecil, keuntungannya sebenarnya lumayan. Dan satu yang amat penting adalah, mudah-mudahan perniagaan yang kita ceburi itu mendapat keredhaan daripada Allah Taala. Bisnes adalah satu ibadat yang perlu diterokai dan direbuti.

Bisnes adalah fardhu kifayah yang orang kita tahu banyak pasal fardhu kifayah ini adalah pasal mandi jenazah. Iaitu kalau di satu kampung itu tidak ada orang yang uruskan jenazah, maka berdosalah orang Islam satu kampung itu. Saya sebut ini sebab ayat ini ramai orang selalu sebut. Tapi jarang pula orang buat contoh perbandingan fardhu kifayah ini dengan bisnes yer.

Apabila timbul isu halal haram dalam makanan dan minuman, orang kita mula buka mata. Contohnya pasal isu minuman (adalah berlaku di satu tempat) yang dikatakan ada dicampur bahan yang tak halal, maka orang Islam mula berfikir. Iaitu, pasal makan minum pun sebenarnya banyak dikuasai oleh orang yang bukan Islam di negara kita. Nak salahkan orang bukan Islam, mereka bukan mengaji hukum fekah termasuk, haram, harus, makruh dan sunat. Soalnya, ke mana perginya orang Islam dalam bisnes ini?

Dalam permohonan sijil halal kepada Jabatan Agama dan JAKIM, dari segi peratusannya, tahukah kita berapa ramai pengusaha Islam dan berapa ramai pula pengusaha yang bukan Islam yang mohon halal? Saya tahu jawapannya, tapi adakah orang lain tahu. Orang Islam perlu rebut peluang perniagaan yang terbuka luas ini dengan tambahkan ilmu pengetahuan, mengumpul modal, melangkah ke alam bisnes seterusnya menjadikan bisnes sebagai budaya orang Islam di negara kita, bolehkah begitu?

Sejarah Nabi Muhammad SAW

Kita lihat sejarah Nabi kita Muhammad SAW adalah seorang peniaga selain nabi sebagai pemimpin politik, ketua angkatan tentera, pendakwah dan lain-lain. Maknanya, peranan Nabi Muhammad bukan satu saja, bukan pendakwah sahaja, jangan sempitkan. Kita lihat juga para sahabat seperti Saidina Abu Bakar As-Siddiq, Abdul Rahman bin Auf, Uthman bin Affan dan lain-lain adalah peniaga yang berjaya. Isteri nabi kita Saidatina Khadijah adalah peniaga yang dapat dijadikan contoh terutama wanita moden sekarang bahawa seorang wanita boleh mempunyai empayar perniagaan yang besar. Begitu juga dengan bapa saudara nabi kita iaitu Abu Talib, seorang saudagar besar yang banyak mendidik nabi kita selok belok perniagaan.

Ceramah Usahawan di Batu Pahat

Kira-kira tiga minggu lepas, saya dijemput untuk menyampaikan satu ceramah di sebuah hotel di Batu Pahat. Tajuknya adalah berkaitan bisnes dan perancangan kewangan kepada saudara baru atau saudara kita. Program adalah anjuran Unit Ukhwah Jabatan Agama Johor yang dihadiri saudara kita secara berpasangan iaitu suami isteri. Mulanya saya rasa berat untuk menyampaikan tajuk berat ini. Saya bukanlah seorang usahawan yang boleh jadi model sebagai seorang usahawan yang berjaya. Kedua, yang hadir kursus ini adalah saudara kita yang bukan Melayu yang saya rasa lebih banyak pengalaman bisnes berbanding saya. Tapi, Ustaz Faizal tetap mahu menjemput saya kerana katanya dia melihat potensi diri saya, dia mengenali saya dan dia rasa saya dapat menyampaikan tajuk itu selama dua jam itu.

Potensi Diri

Menyebut pasal potensi diri, kita atau masing-masing ada kelebihan tersendiri. Lain orang-lain perwatakan, bakat dan kebolehan. Mula-mula saya nak cerita siapa dia Ustaz Faizal yang panggil saya ceramah itu? Ustaz Faizal dulu jadi penguatkuasa Jabatan Agama, ditempatkan di Johor Bahru. Bila dia bekerja, dia seorang yang baik dan cemerlang dalam tugasnya. Dia ini boleh bekerja bila-bila masa, siang dan malam termasuk hari cuti dan boleh disuruh serta taat.

Saya sebagai bos dia sepanjang kira-kira 9 tahun saya menjadi ketua unit operasi iaitu Penolong Pengarah Penguatkuasaan. Dalam operasi judi, khalwat, pondan dan sebagainya yang ada aksi kejar mengejar, Ustaz Faizal sangat berguna kerana dia suka bab kejar mengejar ini. Dia juga ahli sukan iaitu bola sepak yang bagai lipas kudung di padang bola. Itu potensi diri yang sangat berguna yang ada pada Ustaz Faizal yang saya Nampak.

Saya manfaatkan betul-betul dengan kehadirannya di Bahagian Penguatkuasa pada ketika itu. Tapi selepas itu, Ustaz Faizal ditukarkan ke Unit Ukhwah, Bahagian Dakwah di Batu Pahat yang banyak kerja mengenai saudara kita. Pada mulanya saya sifatkan perpindahan ini sebagai satu 'kehilangan' kepada Bahagian Penguatkuasa, itulah anggapan awal saya.

Bagaimanapun, saya dengar cerita melalui FB menganai Ustaz Faizal ini di Batu Pahat yang dia seorang yang baik dan menjadi asset penting Unit Ukhwah. Sebenarnya, untuk menjaga saudara kita yang ramai di Batu Pahat ini bukanlah suatu yang mudah. Kerjanya untuk menjaga kebajikan saudara kita memerlukan pengorbanan beliau tanpa mengira waktu siang dan malam. Kerja seperti ini sebenarnya bukan ramai orang yang boleh lalukan dengan baik. Contohnya, kalau hari cuti berlaku kematian saudara kita, beliau dipertanggungjawabkan mengurus dari A sampai Z. Yer, saya percaya Ustaz Faizal boleh lakukan kerana dia di Bahagian Penguatkuasa dahulu boleh saja memperuntukkan masa sekiranya diperlukan.

Itu potensi diri yang ada padanya. Semua orang ada potensi diri dan ada juga kelemahan diri, kita kena kenal dan tahu seseorang. Itu cerita pasal Ustaz Faizal, pasal diri saya bagaimana? Yer, kata Ustaz Faizal yang menjadi pengacara majlis pada hari itu, dihujung ceramah itu, dia cerita pasal diri saya pula. Dia cerita pasal saya sewaktu jadi bos dia dulu, dia kenal saya dan sebab itu dia jemput saya.

Ilmu Bisnes

Dalam tulisan di dalam blog saya ini, sebenarnya sudah ada banyak cerita pasal bisnes. Antaranya pasal rumah lelong, kereta lelong kastam, penipuan pelaburan skim cepat kaya dan sebagainya. Kalau novel pula, adalah Sudah Nasibku Mat Burger. Dalam bidang masakan boleh baca tulisan saya mengenai masakan nasi ayam, buat teh tarik dan sebagainya. Yer, persiapan saya untuk menyampaikan ceramah itu cuma ada seminggu. Seminggu itu pun, saya sibuk dengan tugas lain, jadi saya rasa banyak kekurangan kerana masa yang terhad. Saya sempat baca beberapa buku koleksi Jutawatan Senyap  tulisan Dr Rosley dan satu buku tulisan Tun Dr Mahadhir tahun 70-an bertajuk Bagaimana Menjadi Peniaga Kecil.

Mulakan Ceramah

Hari itu, hari Ahad semalamnya Sabtu. Sabtu itu saya berceramah di 3 tempat bersamaan 6 jam mengenai rumahtangga dalam kursus pra perkahwinan. Kalau begitu, Ahad pula, saya akan habiskan masa sehingga petang juga untuk berceramah di Batu Pahat pagi dan petangnya di Muar pula. Makan saya ajak-ajak ayam isteri saya sama ada dia hendak ikut atau tidak. Rupanya isteri saya hendak ikut dan hairan juga kerana sejak bila isteri saya suka dengar ceramah saya. Saya pergi ke Batu Pahat berdua dengan isteri, anak-anak tak ikut.

Dan di hotel tersebut, isteri saya turut dengar ceramah saya. Sambil saya berceramah pun, saya terfikir, kenapa isteri saya boleh ikut. Yang saya agak, kemungkinan isteri saya suka tajuk bisnes, atau mungkin ada kemungkinan juga, isteri saya nak siasat saya, betulkan saya pergi beri ceramah setiap hujung minggu, atau ada cawangan lain macam cerita Madu Tiga, heheheee....

Apa-apa pun ceritanya, orang-orang lain, termasuk isteri saya yang dengar ceramah itu turut terbakar semangat untuk menceburi bidamg perniagaan. Yer, betul.... ada beberapa orang yang jadi rakan FB terus berhubung dengan saya berkongsi pengalaman.

................BERSAMBUNG EPISOD KEDUA, klik sini

07 Jun 2013

Judi Atas Nama Hiburan Keluarga, Sampai Bila ?



Isu kegiatan tidak bermoral di Pusat Hiburan Keluarga ini bukan perkara baru. Banyak rungutan masyarakat di bandar, pekan dan luar bandar. Bukanlah saya menyatakan yang sebelum ini tindakan tidak diambil terhadap pusat hiburan ini, tetapi dari segi keberkesanannya atau tindakan jangka panjangnya.

Sebelum ini beberapa agensi dihujani dengan aduan termasuk kata-kata kesat yang menyatakan pihak berkuasa tidak bertegas dalam tindakan menanganinya. Termasuklah ada pihak yang marah kepada saya sebagai Kadi, kerana katanya penguatkuasa Jabatan Agama tidak tegas. Ini adalah antara rungutan orang awam dan saya tidak marah kepada mereka. Saya maafkan pemanggil yang tidak dikenali yang kata saya macam-macam, kerana mereka ini mungkin tidak tahu apakah bidangkuasa Jabatan Agama dalam kes ini. Biasalah, sebagai seorang Islam, apabila merasakan perkara itu melibatkan moral masyarakat Islam, mereka akan merujuk kepada pejabat Agama.

Sehingga Rumahtangga Bergolak

Ada seorang isteri yang marah-marah pada saya kerana suaminya selalu masuk pusat hiburan dan main judi sampai larut pagi. Duit dihabiskan  di sana tetapi mengabaikan tanggungjawab nafkah pada isteri dan anak-anak. Dia minta saya ikut ke mana saja suami dia pergi termasuk apabila suaminya masuk pusat hiburan. Tetapi dia tak beritahu masa dan tarikh yang tepat dan suaminya bukanlah hari-hari ke pusat hiburan ini.

Apabila seorang Kadi seperti saya gagal memuaskan hati pengadu, maka Kadi kena hentam teruk. Pengadu ini akan puas kalau suaminya kena tangkap dan didakwa.

Mari kita kaji kes ini... Pertama, takkanlah penguatkuasa yang tak berapa ramai ini nak jaga suami dia seorang sahaja termasuk nak ikut suami dia masuk pusat hiburan ini. Kedua, kalau betul suami dia ada di dalam pusat hiburan itu, kesalahan apakah yang suami dia lakukan di bawah Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Johor ? Ketiga, kalau kata suami dia berjudi, bagaimana pembuktiannya.

Kita kena faham, pejabat agama bukanlah ada kuasa dalam semua  kesalahan.Kita kena bertindak mengikut bidangkuasa dan kalau bertindak di luar bidangkuasa, tindakan boleh diambil kepada agensi terlibat. Kita ada pihak berkuasa lain seperti polis dan pihak berkuasa tempatan yang juga ada kuasa mereka mengikut undang-undang yang mereka ada.

Penguatkuasa Jabatan Agama juga ada buat operasi beberapa kali di pusat hiburan keluarga ini bersama pihak polis. Antara hasilnya, Jabatan Agama tangkap orang yang sedang minum dan hisap rokok siang hari pada siang hari bulan Ramadhan. Manakala pihak polis dilihat ada membuat rampasan. Soal undang-undang apa dan tindakan lanjut apa dilakukan oleh pihak polis, silalah tanya pihak polis.

Ada juga orang yang mendakwa dari satu parti politik dan ada juga katanya dari NGO. Dia marah-marah saya, dia kata saya tak bertindak malah kata saya bersubahat pulak dengan tauke judi. Saya rasa tuduhan ini berat sedangkan saya kenal pun tidak dengan tauke yang dimaksudkan, apalagi nak kata saya bersubahat dalam perkara ini. Daripada saya melayan cerita-cerita fitnah ini, lagilah saya tak boleh nak kerja, lebih baik jangan layan fitnah orang. Akhirnya bila saya senyap, mereka pun senyap juga.

Kita Kena Lebih Pandai Dari Tauke Judi

Kenyataan Menteri Besar Johor seperti yang saya tonton di TV mengatakan lebih kurang begini. Iaitu Menteri Besar menyarankan agensi penguatkuasa lebih pandai dari tauke judi. Kalau selama ini pusat hiburan keluarga ini menipu agensi penguatkuasa dengan menjalankan kegiatan judi dengan berselindung atas nama hiburan keluarga, maka penguatkuasa perlu lebih bijak dari tauke judi ini. Yer, saya amat setuju dan sangat setuju lagi kerana Menteri Besar sendiri yang membuat kenyataan ini.

Saya menyambut baik sikap telus Menteri Besar, sekaligus dapat membersihkan imej agensi penguatkuasa yang terlibat. Kalau betul ada penguatkuasa undang-undang yang bersubahat melindungi kegiatan haram ini, tindakan tegas perlu diambil. Kepada sesiapa yang ada bukti, sila tampil membuat aduan dan jangan buat tuduhan melulu. 

Saya Tak Mahu Ulas Panjang

Isu pusat hiburan keluarga ini saya tak mahu ulas panjang. Cukuplah sekadar saya katakan kenyataan Menteri Besar ini sangat bermakna dan tepat pasa masanya.

...........................................
JOHOR BAHRU 6 Jun - Kerajaan negeri Johor akan mengkaji semula pengeluaran lesen perniagaan pusat hiburan keluarga oleh Pihak Berkuasa Tempatan di negeri ini sebagai usaha membanteras kegiatan jenayah dan gejala sosial.

Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, rombakan perlu dilakukan memandangkan ada pusat perniagaan yang didaftarkan atas nama pusat hiburan keluarga itu mengendalikan perniagaan tidak sewajarnya seperti judi Internet.

"Ada beberapa kesukaran apabila pihak berkuasa melakukan serbuan kerana pengendalinya mengubah pusat judi itu sebagai pusat hiburan keluarga. Mereka (pengendali) bijak, jadi kita (kerajaan negeri) mesti kena lebih jadi bijak.

"Kalau mahu berfungsi sebagai pusat Internet, maka lesen hendaklah berdaftar sebagai pusat Internet dan tidak boleh berdaftar sebagai pusat hiburan keluarga," katanya.

Mohamed Khaled berkata demikian kepada pemberita selepas melakukan lawatan kerja ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor, di sini hari ini. Hadir sama, Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff.
Beliau berkata, terdapat 155 pusat hiburan keluarga di seluruh negeri ini dan kerajaan negeri tidak akan mengeluarkan lesen untuk perniagaan pusat hiburan keluarga sekiranya masalah berkenaan berterusan.
BERNAMA.

Pusat Hiburan Keluarga Tempat Kegiatan Tidak bermoral

KLUANG - Sebanyak 118 mesin judi yang nilainya dianggarkan lebih kurang RM700,000 berjaya dirampas di sekitar daerah ini dalam Ops Pusat Hiburan Keluarga yang bermula dari 21 hingga 31 Mei, lalu.

Kejayaan rampasan tersebut adalah hasil risikan dan maklumat awam berkaitan kegiatan perjudian di pusat hiburan keluarga.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Abdul Majid Mohd Ali berkata, ekoran itu, polis daerah ini mewujudkan pasukan khas bagi membanteras kegiatan berkenaan dan menjalankan operasi yang dikenali sebagai Ops Pusat Hiburan Keluarga.

“Sebanyak 14 serbuan telah dijalankan dengan 10 daripadanya berjaya mengurangkan kegiatan tidak bermoral berkenaan.

“Polis turut menahan 44 warga tempatan berumur lingkungan 15 hingga 57 tahun yang terlibat dengan aktiviti ini di mana 12 tangkapan melibatkan penjaga premis manakala 32 lagi terhadap pemain dan pelanggan pusat hiburan berkenaan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang, di sini, semalam.

Menurutnya, polis telah mengeluarkan enam saman ke atas premis yang beroperasi

lebih masa dan disiasat di bawah Seksyen 11(2) Enakmen Negeri Johor 4/98 manakala, empat premis lagi disiasat di bawah Seksyen 4B (a) Akta Rumah Judi Terbuka (ARJT) 1953.

“Jika sabit kesalahan di bawah Seksyen ARJT, hukuman yang dikenakan adalah denda tidak kurang daripada RM10,000 dan tidak lebih daripada RM100,000 bagi setiap mesin yang dirampas serta penjara tidak lebih daripada lima tahun.

“Sehingga kini, operasi perjudian pusat hiburan keluarga masih dijalankan sehingga 14 Jun ini dan pemantauan akan terus dilakukan dari masa ke semasa bagi membendung aktiviti ini daripada terus berleluasa,” katanya.

Dalam pada itu, Abdul Majid turut menyarankan orang awam agar sentiasa membantu polis dengan memberikan maklumat sekiranya mengetahui aktiviti perjudian di sekitar daerah ini.

Beliau berkata, orang awam diminta menghubungi talian hotline IPD Kluang iaitu 07-7766822 yang mana talian ini khusus untuk membanteras kegiatan perjudian dan ia beroperasi 24 jam.


03 Jun 2013

Dijemput Ke Ceramah Israk Mikraj Peringkat Daerah Kluang

Semua dijemput hadir ke Masjid Jamek Kampung Melayu Kluang pada Rabu, 5 Jun 2013 bersamaan 26 Rejab 2013 Hijrah. Ceramah agama akan disampaikan oleh Ustaz Haji Hidris bin Shahri, Pegawai Pendidikan Agama Daerah Mersing. Ceramah diadakan selepas solat Maghrib. Datanglah beramai-ramai dan sama-sama kita hayati peristiwa Israk Mikraj.

Bestnye Asam Pedas Parit Sulong

Kalau tuan-tuan ke Parit Sulung, Batu Pahat sebelah malam, ada makanan ikan asam pedas sedap. Kalau saya, dah tentu minat asam pedas ikan pari. Kedai dia tak ada nama, tapi kat depan kedai-kedai iaitu tempat letak kereta. Kalau dari Yong Peng sebelah kiri, dari Muar sebelah kanan. Situ ada banyak kedai makan tapi tengoklah sendiri, kedai mana yang jual asam pedas. Itu satu saja kedai yang jual asam pedas dan dibukan mulai jam 7.30 malam sampai ke malam.

Kalau kita sebelah siang di parit Sulung, dari Muar selepas jambatan, sebelah kiri ada kedai asam pedas, namanya Warung Ibu. Nak tahu pasal Warung Ibu, klik sini .

Di Johor, asam pedas paling terkenal adalah di Parit Jawa sampai masuk tv dan berkali-kali. Pada saya, rahsia masakan ikan asam pedas ini sedap, bukan rahsia banyak sangat, tapi ikannya baru dari laut. Kalau ikan kita simpan beberapa hari dalam peti sejuk, rasanya sudah kurang sedap dah.