Untuk Memilih Tajuk Artikel Dalam Blog Ini, Sila Taip Perkataan di sini.

22 Mei 2014

Sila Ambil Tindakan Kepada Kedai Aksesori Jual Cermin Gelap Tak Lulus JPJ

Akhbar beberapa hari ini banyak cerita tentang kenderaan yang guna cermin gelap dan tindakan penguatkuasaan akan dilakukan lebih tegas sebelum ini. Saya sokong tindakan ini tetapi saya mahu cerita sikit. Iaitu, cermin gelap ini bukanlah dia orang pasang sendiri dan kerja pasang ini bukan kerja mudah. Kalau saya pasang, mesti rosak punya atau tak sama ukuran. Habis duit sajalah kena beli lagi kat kedai.

Harap pihak berkuasa mengambil tindakan kepada kedai aksesori yang jual tinted yang tak lulus JPJ ini. Saya rasa tidak berkesanlah kalau operasi terhadap kereta sahaja dilakukan sedangkan kedai aksesori yang jual terlepas dari tindakan. Sekarang ini kedai-kedai ini bebas untuk menjual kepada sesiapa saja. Ataupun, kalau perlu, penjualan tinted cermin gelap ini hendaklah dikawal oleh JPJ atau pihak berkuasa lain.

Kalau tak ada peraturan undang-undang, bolehlah dibuat kajian untuk pinda atau menambahbaik peraturan yang sedia ada.

17 Mei 2014

Srelamat Pengantin Baru Kepada Mak Mah, Semoga Diredhai Allah Hendaknya



Tahniah diucapkan kepada pelakon veteran Ruminah Sidek kerana dengan secara rasminya telah bergelar isteri kepada seorang peneroka felda,pada pagi Sabtu. Hanya dengan sekali lafaz, Ruminah atau lebih mesra dengan panggilan Mak Mah akhirnya sah menjadi milik peneroka Felda Jelai Negeri Sembilan, Al Fatah Rahim Ismail, 70.

Majlis akad nikah telah disempurnakan di kediaman abang ipar Mak Mah di Meru, Klang oleh Penolong Pendaftar Nikah Kariah Masjid As Syarif bersaksikan adik ipar pengantin perempuan, Mohd Jani Sarman kira-kira pukul 9.20 pagi. Sebaik sahaja aqad dilafazkan Mak Mah kelihatan sebak dan mengalirkan air mata.

Mak Mah, 68, telah menerima mas kahwin sebanyak RM300, tanpa wang hantaran dan pihak pengantin lelaki telah menghantar tujuh dulang hantaran yang berupa kek, Al-Quran, beg tangan, kasut, sejadah, air minuman Twister, dan telekung. Sementara itu, pihak pengantin perempuan telah membalas kembali tujuh dulang hantaran iaitu, satu set wangian, kek, tepak sirih, set pakaian, sejadah, tuala dan buah-buahan.

Majlis tersebut turut disiarkan secara langsung melalui program Nasi Lemak Kopi O yang diacarakan oleh pelakon Abon, AR Badul dan Aida Gadis Melayu.

Turut kelihatan pada majlis tersebut pelakon Adlin Aman Ramli dan isteri Emelda Rosmila. Majlis persandingan diadakan sejurus selepas selesai akad nikah yang turut disaksikan oleh hampir 3,000 tetamu termasuk keluarga kedua-dua belah pihak. Sementara dalam majlis persandingan Mak Mah tampil anggun dengan busana berwarna putih sedondon dengan pengantin lelaki. Terdahulu, Ruminah dan Al Fatah telah mengikat tali pertunangan pada 19 April lalu di rumah abang ipar Ruminah di Meru, Klang.

Perkahwinan ini merupakan perkahwinan keempat buat Ruminah termasuklah dengan Allahyarham AR Tompel.
Hasil perkahwinan lalu, Ruminah dikurniakan enam orang anak termasuklah pelakon Adlin Aman Ramlie. Dia juga mempunyai 20 cucu dan enam cicit.




10 Mei 2014

Rahsia Kenapa Restoran Basir Penuh Orang


Di Kluang ada satu restoran, namanya Restoran Basir. Terletak di satu taman dan kedudukannya agak terpencil sedikit. Tidak perlulah saya beritahu taman mana. Restoran ini betul-betul buka jam 8.00 pagi. Kalau sampai di kedai jam 7.30 atau 7.45 pagi, kenalah tunggu, boleh duduk tapi kekadang air pun belum masak lagi. Kedai ini hanya ada sarapan pagi sahaja, makan tengahari dan makan malam tak ada.

Ramai Orang

Saya bukanlah selalu sangat pergi ke kedai ini, kekadang terpaksa minum di kedai lain sebab penuh. Makanan yang ada kat kedai ini hanya roti canai dan nasi lemak sahaja. Ada tambahan kuah kari kambing dalam satu periuk besar. Nasi lemak pula sudah siap bungkus yang orang lain hantar. Rasanya sehari dalam satu raga, mungkin 100 bungkus. Nasi lemaknya kecil saja, kalau selera macam saya, biasa makan dua bungkus baru kenyang.

Tak jauh dengan kedai ini, ada satu lagi restoran yang banyak menu sarapan pagi. Dengan mee dan nasi lemak berlauk dan lain-lain. Tapi kedai tu tak ramai orang macam Restoran Basir.

Restoran Islam

Saya tahu dan mengenali tauke dan pekerja kedai ini dan saya sahkan mereka adalah orang Islam tempatan, bukan pekerja asing. Mereka pernah berurusan dengan pejabat agama. Kemudian ada 2-3 orang makcik Melayu di dapur yang kerja cuci pinggan dan lain-lain.

Apa Rahsia?

Saya berani membuat kesimpulan, rahsia yang paling besar kejayaan kedai ini adalah teh tarik. Teh tarik memainkan peranan penting pengusaha restoran Melayu untuk berjaya. Dalam ceramah saya kepada usahawan iaitu peniaga-peniaga warung di sebuah hotel, saya menekankan kepada peniaga supaya menjaga betul kualiti teh tarik. Kenalah belajar dan tahu cara buat teh tarik dan jangan sebarang cincai saja. Saya bukan pandai sangat buat teh tarik, tapi saya ajar orang juga bagaimana nak buat teh tarik yang sedap. Klik sini untuk belajar dengan saya cara buat teh tarik

Bagaimanapun, saya tengok di restoran Basir ada cara lain iaitu resepi tersendiri buat teh tarik ini. Tak perlulah saya beritahu, kalau nak tahu, datang sendiri tengok. Kedai ini gunakan susu FN seperti yang saya beritahu dalam tulisan terdahulu. Harga susu ini agak mahal sikit tapi dapat rasa teh yang baik. Teh yang digunakan saya tak tahu. Kawan saya pernah beli teh serbuk dengan restoran ini. Mulanya dia tak mahu jual tapi bila dipujuk, dia jual juga sedikit. Tapi, pada saya, Boh Tarik yang saya terangkan itu pun kira baik dan rasa yang sama juga.

Roti Canai

Roti canai di kedai ini sedap dan kurang masin. Pekerja yang buat roti ini sebelum ini bekerja di kedai makan Taman Bersatu, sekarang di Restoran Basir.

Pengajaran Kepada Kita

Ada orang ini mengadu kepada saya yang warungnya pada mulanya ramai orang tapi lama kelamaan orang tak ramai. Dia kata ada orang hantar sihir dan nak jatuhkan perniagaan dia. Cerita dia bersungguh-sungguh dan macam bomoh pula dia. 

Saya pergi ke kedai itu untuk sarapan. Nampak banyak makanan tradisi tapi orang tak seramai mana. Bila saya minta teh tarik, tengok saja saya dah tahu yang teh tarik itu tak sedap. Jadi sebelum saya sakit perut, lebih baik saya tak minum. Saya kasi anak saya minum teh tarik tu dan saya minum teh O saja. Dalam hati saya, itulah kali pertama dan terakhir saya datang ke kedai itu.

Di kedai itu juga ada gantung tulisan khat ayat Quran yang orang kenali sebagai ayat seribu dinar. Dalam hati saya, tidaklah menyalahkan orang yang gantung ayat itu sebab itu kedai orang Islam. Cuma, janganlah sekadar gantung. Yang penting adalah, Quran hendaklah dibaca dan diamalkan dalam kehidupan kita.


04 Mei 2014

Suamiku Miang Keladi


SAYA berumur 29 tahun dan merupakan isteri kedua kepada suami yang kini berumur 40 tahun. Isteri pertama suami sebaya dengannya. Usia perkahwinan baru masuk tahun kedua, tapi saya sudah tidak tahan dengan perangai miang si suami. Suami saya seorang guru sekolah menengah. Ketika mengorat saya dulu, saya lihat kemachoannya, ketegasan dan tanda berhemah yang dibawa dalam perwatakannya.

Namun setelah mendirikan rumah tangga hampir setahun, baharu saya sedar suami saya seorang yang miang. Di rumah dia mempamerkan sikap manja dan sedikit keanak-anakkan. Dan di luar pula, hatta di hadapan saya ketika berjumpa dengan pelajar-pelajarnya, dia mempamerkan sikap mengada-ngada dan miang.

Saya dapat lihat ada riak tidak senang di wajah anak muridnya yang datang membuat ulang kaji atau menghadiri kelas tambahan yang dia buat di rumah kami.Ada masa saya lihat suami saya akan berdiri dekat dengan pelajarnya sambil membahasakan diri sebagai abang dengan intonasi penuh lembut. Saya hairan dengan perubahan sikapnya itu. Hendak kata saya tidak melayannya dengan baik, lebih lagi. Saya layan dia seperti saya melayan seorang kanak-kanak. Baju, stokin pun saya yang sarungkan.

Sewaktu bercinta dulu, dia tidak pula menggatal dengan saya. Saya hanya tahu dia suami orang beberapa bulan sebelum kami bernikah tapi dek kerana sayang, saya abaikan statusnya dan meneruskan perkahwinan. Madu pula baik dengan saya. Tapi saya tidak berani menceritakan perangai suami kepada madu. Bimbang dia sakit hati atau berfikir saya mereka-reka cerita.

Saya kini bekerja sebagai seorang pembantu tadika. Saya mohon nasihat doktor, bagaimana menawan hati suami miang keladi ini. Saya tak fikir suami mahu bernikah lagi, sebab dia bukan dalam kalangan orang senang. Gaji seorang guru tak seberapa. Tapi tak tahulah jika dia ada niat lagi mahu tambah cawangan. Lagi pun perkahwinan kami masih baharu.

Zie, Klang.