Untuk Memilih Tajuk Artikel Dalam Blog Ini, Sila Taip Perkataan di sini.

07 Jun 2013

Pusat Hiburan Keluarga Tempat Kegiatan Tidak bermoral

KLUANG - Sebanyak 118 mesin judi yang nilainya dianggarkan lebih kurang RM700,000 berjaya dirampas di sekitar daerah ini dalam Ops Pusat Hiburan Keluarga yang bermula dari 21 hingga 31 Mei, lalu.

Kejayaan rampasan tersebut adalah hasil risikan dan maklumat awam berkaitan kegiatan perjudian di pusat hiburan keluarga.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Abdul Majid Mohd Ali berkata, ekoran itu, polis daerah ini mewujudkan pasukan khas bagi membanteras kegiatan berkenaan dan menjalankan operasi yang dikenali sebagai Ops Pusat Hiburan Keluarga.

“Sebanyak 14 serbuan telah dijalankan dengan 10 daripadanya berjaya mengurangkan kegiatan tidak bermoral berkenaan.

“Polis turut menahan 44 warga tempatan berumur lingkungan 15 hingga 57 tahun yang terlibat dengan aktiviti ini di mana 12 tangkapan melibatkan penjaga premis manakala 32 lagi terhadap pemain dan pelanggan pusat hiburan berkenaan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang, di sini, semalam.

Menurutnya, polis telah mengeluarkan enam saman ke atas premis yang beroperasi

lebih masa dan disiasat di bawah Seksyen 11(2) Enakmen Negeri Johor 4/98 manakala, empat premis lagi disiasat di bawah Seksyen 4B (a) Akta Rumah Judi Terbuka (ARJT) 1953.

“Jika sabit kesalahan di bawah Seksyen ARJT, hukuman yang dikenakan adalah denda tidak kurang daripada RM10,000 dan tidak lebih daripada RM100,000 bagi setiap mesin yang dirampas serta penjara tidak lebih daripada lima tahun.

“Sehingga kini, operasi perjudian pusat hiburan keluarga masih dijalankan sehingga 14 Jun ini dan pemantauan akan terus dilakukan dari masa ke semasa bagi membendung aktiviti ini daripada terus berleluasa,” katanya.

Dalam pada itu, Abdul Majid turut menyarankan orang awam agar sentiasa membantu polis dengan memberikan maklumat sekiranya mengetahui aktiviti perjudian di sekitar daerah ini.

Beliau berkata, orang awam diminta menghubungi talian hotline IPD Kluang iaitu 07-7766822 yang mana talian ini khusus untuk membanteras kegiatan perjudian dan ia beroperasi 24 jam.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Dipersilakan komen.