Antara berita yang popular dalam minggu lepas adalah kisah pertengkaran antara seorang pengawal keselamatan dan seorang wanita. Wanita itu katanya adalah seorang isteri kepada seorang yang terkenal juga. Puncanya dikatakan adalah mengenai kereta. Entah salah letak kereta atau tidak ikut peraturan, entahlah, tetapi ada kaitan dengan kereta juga, itu yang saya tahu sikit-sikit.
Apabila berlaku insiden ini, dalam laman sosial, orang kita menjadi tertarik untuk komen sama ada menyebelahi pengawal keselamatan ini atau wanita isteri seorang yang terkenal ini. Pada saya, biasalah, laman sosial ini cepat saja orang sampaikan cerita ini dari seorang ke seorang.
Siapa Betul?Pengawal Keselamatan atau Wanita Ini?
Enhatlah, dari video yang saya tengok, tak ada pun video penuh kejadian itu. Yang ada cuma sekerat saja. Jadi, kalau setakat video yang tak lengkap, kalau saya sebagai seorang hakim atau pengadil, elok saya buang kes saja. Kalau hendak menangkan satu pihak, maka saya tak jumpa bukti kukuh mengenai siapa yang bersalah. Jadi, eloklah jangan dipanjangkan. Bermaaf-maafanlah sesama kita sesama agama dan bangsa kita juga. Jadikan pengajaran, yang baik jadikan ikutan, yang buruk jadikan sempadan. Habis cerita.
Wanita Salah Letak Kereta Yang Salah?
Oleh kerana tempat itu bukan tempat letak kereta, maka wanitalah yang bersalah. Adakah betul begitu? Sila tanya setiap pemandu kereta, pernahkah mereka letak kereta di tempat yang salah? Pernahkah kita berhenti di tempat tidak dibenarkan berhenti? Pernahkah kita bawa kereta tanpa memakai tali keledar? Pernahkah kita letak kereta tanpa meletakkan kupon? Pernahkah kita letak kereta di sebelah pili bomba? Pernahkah kita bawa laju melebihi had laju? Pernahkah kita potong garisan berkembar?
Kalau saya, saya jawab soalan di atas, saya pernah lakukan kesalahan di atas sebagai pemandu kereta. Bukan sekadar saya jawab pernah, tetapi kalau memandu laju, hampir setiap kali bawa kereta, saya langgar had laju, itulah sejujurnya. Bukan saya tak tahu itu adalah satu kesalahan, saya tahu. Saya juga pernah kena tahan polis kerana kesalahan tidak memakai tali keledar. Saya akui saya memang salah. Tapi, apa berlaku dan bagaimana tindakan pihak polis bila menahan saya.
Pertama, budi bahasa. Adakah polis trafik ini menengking saya? Tidak. Dia cakap dengan elok. Jadi, bila saya kena saman, walaupun berduka, tetapi saya tak marah kepada polis berkenaan. Malah saya akui kesilapan saya dan akui itu adalah tugas polis yang kita tak perlu pertikaikan.
Tiada Kena Mengenai Dengan Sesiapa
Sebelum tuan-tuan baca komen saya seterusnya, saya jelaskan yang komen ini tiada kena mengena dengan kes yang berlaku itu. Saya tidak menfokuskan itu saja. Saya ada beberapa pengalaman saya sendiri terutama rumah saya sendiri di Johor Bahru mempunyai pengawal keselamatan yang dan banyak kali bertukar syarikat dan orang. Pernah rasa pengawal keselamatan termasuk warga asing pun ada dahulu, sekarang sudah semuanya orang tempatan. Pengalaman itu saya kongsi dalam komen saya ini.
Minta maaf kalau ada pengawal keselamatan yang terasa hati, bukan niat saya nak menyinggung sesiapa. Cuma kadang-kadang, orang yang jarang berurusan dengan pengawal keselamatan ini, kurang mempunyai maklumat yang tepat. Tapi, saya hari-hari, setiap kali masuk dan keluar rumah, akan berhadapan dengan pengawal ini. Di mana-mana pangsapuri atau kondominium, isu tempat letak kereta tidak ada sudahnya dan menjadi satu perkara rumit untuk dikendalikan
Pangawal Keselamatan Perlu Berhemah
Sebagai seorang pengawal keselamatan, tugas mereka adalah berat sama ada bidang tugas, kepayahan dan sebagainya, cukup banyak. Sumbangan mereka cukup besar kepada masyarakat dalam mengawal keselamatan. Dari segi gaji dan imbuhan, mungkin pendapatan itu bukanlah ukuran kepada mereka. Sebaliknya mereka berkhidmat kepada masyarakat.
Tetapi, pengawal keselamatan hendaklah mempunyai sifat berhemah apabila berhadapan dengan masyarakat yang pelbagai ragam. Betullah seseorang pengawal itu menguatkuasakan sesuatu undang-undang tetapi budibicara dan berhemah itu hendaklah diberi keutamaan. Janganlah kita menjadi seperti robot atau komputer yang kata salah tetap salah, yang betul tetap betul. Dalam kita menghadapi kerenah masyarakat, sebenarnya bukanlah begitu.
Pengawal Yang Baik Adalah Membantu Menyelesaikan, Bukan Dia Saja Yang Betul
Okey, sekiranya menghadapi sesuatu situasi tegang, pada saya, seorang pengawal yang baik adalah menyelesaikannya, bukan lebih menegangkan keadaan. Tidak semestinya, kalau seorang itu sudah salah, maka orang itu tetap salah. Contohnya apabila berhadapan dengan seorang wanita yang mengeluarkan kata-kata kesat terhadapnya, seorang pengawal yang berjaya adalah seorang yang berjaya membuatkan wanita itu hormat kepadanya. Cara mana? Gunakanlah pelbagai cara dalam menghadapi seorang wanita. Sebenarnya inilah yang payah. Mungkin kita dalam keadaan beruniform, merasa tecabar apabila seseorang itu mengeluarkan kata-kata kesat.
Pengawal Keselamatan Pangsapuri atau Kondo Bukan Senang
Jadi pengawal keselamatan di pangsapuri atau kondo bukan semudah yang disangka. Kenapa? Kerana penghuni di situ bukanlah kategori orang biasa, malah orang yang berada, berpendidikan tinggi dan berduit sebab itu boleh beli atau menyewa di kediaman seperti itu. Perlu diingat, kehadiran pengawal di situ, dibiayai oleh penghuni yang membayar setiap bulan kepada pihak pengurusan termasuk perkhidmatan kawalan kesemalatan. Kalaulah penghuni tidak berpuashati dengan mutu, layanan atau sikap pengawal keselamatan, maka penghuni boleh protes, antaranya dengan tidak membayar wang perkhidmatan kepada pengurusan. Kalau begitulah jadinya, lama kelamaan, pengurusan dan pengawal akan berkhidmat tanpa gaji.
Jadi nak berhadapan dengan orang pelbagai lapisan di kondo kenalah ada kemahiran. Sebaiknya, syarikat keselamatan perlulah mengadakan kursus khas kepada pengawal di kondo. Jangan sampai nanti, pengawal keselamatan di kondo macam pengawal keselamatan di ladang yang kebanyakan pekerjanya pekerja asing. Bukan juga macam pengawal di asrama pekerja kilang warga asing bujang. Berbeza juga macam jadi pengawal di bank yang pengawalnya tidak berbual tetapi serius kerana menjaga wang yang banyak. Lain juga dengan pengawal di kedai emas yang sentiasa pegang senapang dan mengawasi pergerakan pelanggan.
Antara yang penting di kondo adalah budibahasa perlu tinggi. Cara hormat orang perlu ada, bukan main sergah ajer. Kalau betul ada penghuni buat silap seperti salah letak kereta, tak perlulah ditengking atau dirantai terus, sebaliknya perlulah kaedah terbaik.
Kalau semuanya okey, maka penghuni dapat hidup tenang dan berbaloi membeli rumah berkenaan. Di bandar seperti JB sekarang banyak kondo baru dan sudah tentu ada pengawal keselamatan. Tapi kalau ada satu dan dua syarikat atau individu sebagai pengawal keselamatan buat tak elok, maka akan tercalarlah nama baik pengawal keseluruhannya. Maka orang akan menjauhkan diri dari membeli hartanah berbentuk kondo atau pangsapuri.
Contohnya baru-baru ini berlaku satu pergaduhan sehingga bertumbuk antara pengawal keselamatan dan penghuni. Saya sendiri melihat sendiri kejadian ini. Sehinggalah penghuni bertindak membuat laporan polis dan kemudiannya kereta peronda polis datang segera. Orang yang terlibat dibawa ke balai polis tetapi saya tidak tahulah apa kisah lanjut berkaitan kejadian ini. Sekali lagi, saya tak mahu menyebelah sama ada penghuni atau pengawal yang bersalah.
Oleh itu, kursus dan latihan adalah perlu, malah elok sangat kalau diwajibkan kepada syarikat dan pengawal menyertai kursus ini. Syarikat yang mengendalikan kawalan keselamatan di kondo ini hendaklah ada integriti. Manakala pengawal yang bertugas hendaklah melepasi tapisan keselamatan yang sepatutnya sebagai kelayakan untuk menjadi pengawal.
Mood tengah tak ok la tu...semua orang kan ada tarikh2 tertentu yg kadang boleh jadi baik dan kadang boleh jadi marah..
BalasPadam