Untuk Memilih Tajuk Artikel Dalam Blog Ini, Sila Taip Perkataan di sini.

15 Februari 2010

HERBA BOLEH MERBAHAYAKAN NYAWA ?

MELBOURNE: Seorang pakar patalogi forensik University of Adelaide memberikan amaran mengenai potensi risiko maut ubat-ubatan herba jika diambil dalam kuantiti yang banyak, disuntik atau dicampur dengan ubat preskripsi. Kertas kerja Profesor Roger Byard yang diterbitkan dalam Jurnal Sains Forensik yang berpejabat di Amerika Syarikat menyatakan peratusan besar pengguna di seluruh dunia percaya kandungan toksik semula jadi yang tinggi dalam banyak ubat-ubatan herba adalah selamat.

"Persepsi bahawa ubat-ubatan herba adalah lebih selamat daripada ubat-ubat yang dikilangkan adalah salah, sedangkan hakikatnya kebanyakannya mengandungi arsenik, raksa dan plumbum yang berbahaya," kata Profesor Byard dalam kenyataan yang dikeluarkan universiti itu.
"Bahan-bahan ini boleh menyebabkan penyakit serius, memburukkan lagi masalah kesihatan yang sedang dihidapi atau mengakibatkan kematian, khususnya jika diambil secara berlebihan atau disuntik."

Profesor Byard berkata, juga amat berbahaya jika ubat herba dicampur dengan ubat preskripsi.

"Akses kepada produk itu sebahagian besarnya tidak dihadkan dan banyak orang tidak memberitahu doktor mereka yang mereka mengambil ubat herba kerana bimbang diperlekehkan, sumbangan ubatan itu kepada kematian mungkin tidak dapat dikesan sepenuhnya oleh autopsi biasa," katanya.

Analisis yang dijalankan ke atas 251 produk herba Asia di kedai-kedai di Amerika Syarikat mendapati bahan arsenik dalam 36 produk, raksa dalam 35 produk dan plumbum dalam 24 produk. Kesan sampingan lain ubat herba boleh menyebabkan penyakit hati, buah pinggang, strok, masalah pergerakan, lemah saraf dan serangan jantung.

"Ubat herba sering dicampur dengan ubat biasa, yang dianggap akan menjadikannya lebih efektif. Ini juga akan menimbulkan akibat yang amat berbahaya," katanya lagi.

1 ulasan:

  1. Biasalah, untuk melariskan 'industri' ubat ubatan kimia yang mereka pasarkan, mereka akan berusaha untuk terus memburukkan lagi persepsi terhadap herba ciptaan Tuhan...

    BalasPadam

Dipersilakan komen.