Untuk Memilih Tajuk Artikel Dalam Blog Ini, Sila Taip Perkataan di sini.

18 April 2014

Empat Tahun Rahsiakan Perkahwinan Kedua Dari Pengetahuan Isteri Pertama (Episod 2)


Empat tahun lamanya lelaki menjadi pelakon yang hebat dan boleh dapat anugerah. Hari bekerja Isnin hingga Jumaat dia di rumah isteri kedua. Petang Jumaat dia naik bas dan disambut oleh isteri pertama dan anak-anaknya. Petang Ahad pula naik bas lagi dan isteri pertama dia hantar. Dia kata pada isteri pertama, dia duduk rumah bujang 4 orang untuk jimatkan kos. Sebenarnya rekaan cerita ini supaya isteri dia tak datang kalau-kalau nak tengok rumah suaminya. Pernah juga isteri dan anak dia datang tapi masa itu dia sewakan hotel kerana katanya kawan-kawan bujang ada di rumah. 

Isteri yang pernah jadi janda yang penuh cabaran itu merelakan dirinya sebagai isteri kedua. Dulu masa perkahwinan pertamanya, dia mohon cerai di mahkamah syariah kerana suaminya katanya ada skandal mendal dengan anak dara gedik di pejabat suaminya. Oleh kerana tak tahan dengan desakan itu, maka suaminya menceraikannya di mahkamah syariah. Dan tak lama kemudian, bekas suaminya itu bernikah dengan anak dara muda sepejabatnya itu.

Walaupun dah bercerai, perasaan jeles terhadap bekas lakinya tetap membara. Dia lihat suaminya seakan bahagia malah seperti pepatah, tolak durian kampung dapat pula durian musang king. Dulu bini dah berumur, dapat pula anak dara pucuk  muda.

Dalam pada itu, dia kenal dengan suami orang. Tambah lagi suami orang itu adalah suami PJJ yang hanya tidur bertemankan bantal busuk di sini. Ada faham ker, apa itu PJJ, Projek Jarak Jauh ler. Si suami orang pun biasalah, tak mahu lepaskan peluang nak kenal lebih mesra dengan janda bergetah. Di tempat kerja selalu temankan keluar makan. Di rumah pula sering telefon dan sms. Masa itu belumlah ada whataps lagilah, kalau ada whataps, lagilah berasap dibuatnya. Mulanya bertanya khabar dan buat teman menghilangkan kesunyian saja, akhirnya merancang nak kawin.

Bukan senang nak pujuk janda seperti perempuan ini yang seperti jinak-jinak merpati. Setakat telefon, sms dan ajak makan boleh saja, tapi lebih pada itu tidak ada. Lelaki mulanya saja nak miang-miang, ambil kesempatan terhadap wanita kesunyianlah katakan. Wanita ini ada prinsip dan bukan perempuan murahan kalau nak buat benda tak elok.

Bernikah Juga

Dua tahun berkawan, mereka berbincang nak bernikah. Pada lelaki, ini peluang baik nak buka cawangan baru. Azam dan semangatnya macam orang nak beli kereta baru pula, selagi kereta tak keluar asyik-asyik telefon jurujual saja supaya cepat dapatkan kereta. Macam sayalah juga masa beli kereta Peugeot sama itu Rajan, jujurual Ang Trading, satu hari lewat dapat kereta pun saya sudah bising sama itu Rajan.

Perempuan pun malu-malu kucing walaupun jantungnya sering bergetar menjeling kehenseman lelaki itu. Walaupun dan umur 40-an tapi orangnya hensem macam pelakon Korea yang dia minat kat tv itu. Soal belanja atau wang ringgit, wanita ini macam tak kisah sebab dia ada kerja, ada rumah dan kereta. Rasa kalau suami tak kasi duit belanja pada dia pun dia boleh hidup. Cuma dia lebih selesa kalau ada suami sahaja. Kalau nak dibandingkan antara lelaki ini dengan bekas suami dia, maka jauh sangat. Lelaki ini macam penyabar dan matang manakala bekas suaminya macam orang baru kena pil kuda. Begitulah perasaan orang yang sedang gersang bercinta.

Tanya Kawan-kawan

Lelaki sebelum itu dah tanya kawan-kawan, bagaimana cara nak kawin senyap-senyap. Cari punya cari, dia jumpa satu agen nikah yang katanya boleh bernikah cara sah tanpa pengetahuan isteri pertama. Perempuan pun tak mahu beritahu wali iaitu bapanya. Mula macam tak percaya dengan orang itu, tapi akhirnya dia yakin. Maka diberitahulah kepada perempuan mengenai cara-cara itu. Macam biasa, soalan yang ditanya oleh perempuan iaitu adakah pernikahan itu sah atau tidak. Lelaki jawablah seperti yang agen itu beritahu. Senang cakap, pernikahan itu macam nikah lari.

Bukan Semurah Itu

Mulanya wanita tolak mentah-mentah cara macam ini. Katanya, kalau dia nak kawin, bukan semurah itu dengan kawin lari. Dia tahu undang-undang dan peraturan nikah. Dia tahu yang lelaki ini kena mohon di mahkamah syariah dulu untuk poligami. Tapi dia tak mahu isteri pertama lelaki ini jadi singa yang akan terkam dan cakar muka dia macam singa lapar seminggu tak makan.

Perempuan ini juga tahu yang dia kena minta izin walinya untuk bernikah. Dan dia dah dapat agak yang bapa dan mak dia akan marah dan bebel berguni-guni macam suara ayam Belanda. Dia dah rasa yang keluarga dia tak dapat terima pernikahan dengan suami orang yang orang anggap sebagai perampas dan peragut. Maka cara terbaik yang dia fikir dan dipengaruhi oleh lelaki ini adalah dengan cara 'kawin lari'.

"Saya setuju nikah, tapi bukan dengan cara kawin lari". Kata wanita.

"Inilah satu-satu cara yang selamat. Kalau nikah di sini dan isteri abang tahu, abang tak jadi nikah dengan ayang". Kata lelaki ini.

Empat Syarat DoReMe

Selain itu, empat syarat hendaklah dipatuhi.
(1) Pertama, rahsiakan perkahwinan ini dari pengetahuan sesiapa.
(2) Kedua, isteri kedua akan bersendirian setiap kali hari raya dan cuti-cuti lain.
(3) Ketiga, perkahwinan mereka tak mahu anak. Sekali fikir, wanita ini dah ada seorang anak dari perkahwinan terdahulu dan tak perlulah anak lagi.
(4) Keempat, tidak akan kacau suami kalau suami balik ke rumah isteri pertama. 

Walaupun perjanjian ini tak bertulis dan tak berdaftar macam daftar masa beli prepaid kad, tapi perjanjian ini menjadi perkara utama dan sentiasa diingati bersama. Kalau langgar perjanjian ini, akibatnya macam dikejar along kalau tak bayar duit bunga.

Ringkas cerita, mereka berkahwinlah. Kejam celik dah masuk 4 tahun mereka bergelar suami isteri. Mulanya mak ayah dia tak tahu tapi tak lama lepas tu, anak sendiri yang report pada atuk dia. Dia terpaksa cerita yang sebenarnya dan mak ayah dia tak boleh buat apa dan terpaksa menerima hakikat. Walaubagaimanapun, si lelaki tidak pernah berjumpa dengan mak dan ayah isteri keduanya. Pernah  lelaki terfikir, agaknya macam manalah kalau satu hari nanti terserempak atau terjumpa. Jawabnya silat langkah seribulah jawabnya, terpaksa lari tak tahu nak cakap apa.

Walaupun susunan perancangan nampaknya cantik, tapi kebahagian itu tidak seperti diharapkan. Bila dah lama sikit, mulalah isteri tinggi suara kepada suami. Kekadang wanita ini sedih, kenapa dia tak bahagia seperti orang lain. Padahal orang yang dia nampak bahagia itu, belum tentu bahagia macam kebahagian dia sekarang.

Nak tanya orang lain nanti heboh pula macam jom heboh. Kebetulan ada kadi ni ada facebook. Dalam hati dia, hendak saja dia tanya soalan. Kalau boleh, dia nak berlakon kononnya dia nak tanya bagi pihak kawan dia, padahal dia sebenarnya.





3 ulasan:

  1. pandai sungguh ustaz menulis...seronok membacanya..





    BalasPadam
  2. Bagus jalan cerita, seronok membacanya tapi tak kan terpengaruh untok nak kawin satu g. Cukup lah dengan isteri sekarang.

    BalasPadam

Dipersilakan komen.