Untuk Memilih Tajuk Artikel Dalam Blog Ini, Sila Taip Perkataan di sini.

13 Mac 2010

Salah Buat Teh Tarik

Oleh kerana sekarang banyak kedai salah buat teh tarik, maka saya ulang semula artikel ini yang pernah saya tulis pada 22 September 2009 iaitu cara buat teh tarik yang betul. Sekarang ni, banyak kedai mengurangkan kepekatan teh untuk teh boleh pakai banyak kali dan mengurangkan susu untuk jimat kos yang meningkat harganya.

Sebenarnya, itu merugikan peniaga sendiri. Percayalah, bahawa pelanggan anda akan lari seorang demi seorang dan menjejaskan perniagaannya. Kalau anda seorang peniaga yang dah tutup  kedai, mungkin penyebabnya adalah tak menyediakan teh tarik yang betul.

BAHAN-BAHAN:
1. Serbuk Teh Tarik Boh. Boleh juga guna teh cap masjid atau istana, atau serbuk teh tarik lain yang dijual secara timbang kilo (biasa untuk kedai makan). Jangan guna teh boh biasa, pasti tak menjadi.Jangan tersilap beli teh Boh yang tidak ada tulis teh tarik, itu salah, itu sesuai untuk buat teh O saja.

2. Tapis yang diperbuat dari kain putih untuk merendam teh.
3. Pastikan guna air panas yang sedang mendidih. Tidak boleh guna air suam atau air yang tak terlalu panas.
4. Susu pekat manis, sebaiknya jenama cap Teko atau F&N sahaja. Guna susu lain pun boleh tetapi kurang enak, kalau di rumah, susu lain pun boleh. Disyorkan pada peniaga kedai makan, gunakan susu cap Teko atau F&N kalau untuk buat teh tarik. Kalau untuk buat milo atau kopi boleh guna susu jenama lain yang lebih murah.
5. Sudu teh (sudu kecil).

CARA BUAT:
Ambil satu sudu teh serbuk teh. Rendam dalam tapis dan diletakkan di dalam cawan (kalau nak minum ramai, gunakan teko). Rendam lebih kurang seminit, pastikan air menjadi hitam. Selepas itu, angkat tapis. Selepas itu, letak susu 3-4 sudu kecil. Pastikan rasanya tidak terlalu manis dan tak terlalu tawar. Kacau dan tarik dengan menggunakan satu lagi cawan (kalau boleh cawan yang satu lagi lebih besar). 2-3 kali tarik sahaja dan siap untuk diminum... Emmmmpp......... pasti sedap rasanya.

PERHATIAN:

1. Jangan minum teh tarik kalau ke kedai tomyam yang peniaganya orang Siam, pasti teh tak sedap. Kalau pegi, minum teh O saja.
2. Teh tarik sedap di kebanyakan kedai mamak, tapi bukan semua kedai mamak tehnya sedap. Kalau anda tinggal di sekitar Bandar Baru Uda, sila ke kedai mamak di Jalan Persiaran Tanjong Bukit Alif, belakang Shell. Teh tariknya sedap.
3. Ada banyak juga warung Melayu yang teh tariknya sedap, anda kena biasakan mencuba dahulu, baru tahu.
4. Kalau anda tidak biasa pergi ke sesuatu kedai, jangan terlalu cepat minta teh tarik. Seeloknya tengok orang lain yang minum teh tarik. Tengok gelas orang itu, kalau tehnya cair saja atau terlebih susu, jangan minum teh di situ.
5. Teh tarik yang dibuat mengikut kaedah yang betul, tidak akan menyebabkan kita sakit perut kalau minum.
6. Ada orang kata, banyak minum teh tarik boleh menyebabkan kita kena sakit kencing manis. Saya rasa ini tidak betul, saya mesti minum teh tarik setiap pagi. Kadang-kadang dalam sehari sehingga 3 gelas teh tarik kalau dikira dengan sebelah petang dan malam. Minggu lepas saya periksa kandungan gula saya pada paras yang normal (5.5).
7. Satu perkara yang perlu diingat, minum teh tarik setiap hari boleh menggemukkan. Kalau boleh, minum pada sebelah pagi saja satu gelas.
8. Seeloknya buat sendiri teh tarik di rumah. Sekilo serbuk teh tarik Boh harganya RM 12.90, boleh tahan lebih 6 bulan seperti di rumah kalau jarang-jarang minum. SELAMAT MENCUBA
SELAMAT MAJU JAYA KEPADA PENIAGA TEH TARIK SEKALIAN..

Cerita Pasal Kopi Janda, KLIK SINI

ISU KETUA POLIS LETAK JAWATAN : AKHBAR DIBERI TUNJUK SEBAB

KUALA LUMPUR 13 Mac – Kementerian Dalam Negeri (KDN) hari ini mengeluarkan surat tunjuk sebab kepada akhbar berbahasa Cina, China Press, berikutan penyiaran laporan berita eksklusif yang menyatakan Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Musa Hassan telah mengemukakan surat peletakan jawatan.


"Berita ini didapati tidak benar dan tidak disahkan betul,” kata KDN dalam kenyataan hari ini.

Kenyataan itu berkata, akhbar China Press diminta mengemukakan penjelasan secara bertulis kepada KDN dalam tempoh tujuh hari.Tindakan itu diambil berdasarkan peruntukan Seksyen 8A Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 (Akta 301). Akhbar itu, dalam laporannya menyebut Musa akan bersara sebelum Hari Polis pada 25 Mac ini dan tempat beliau akan diganti oleh timbalannya, Tan Sri Ismail Omar.
Sumber akhbar terbabit menyatakan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak dan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein telah menerima surat itu.



Hishammuddin dan Musa hari ini menafikan laporan akhbar itu

Bowling di Pacific Mall Batu Pahat

Pagi tadi, semua staf pejabat Agama Kluang bersama keluarga ke Pacific Mall Batu Pahat, main bowling. Perlawanan dianjurkan oleh Badan Kebajikan Pejabat Agama Kluang.








Tahniah diucapkan kepada yang berjaya. Yang kurang berjaya, cuba lagi pada masa akan datang.

Pengantin 11 Tahun Ditemui di Batu Cave

KUALA KRAI: Seorang kanak-kanak perempuan, Siti Nur Zubaidah Hussin, 11, yang dikahwinkan dengan seorang lelaki tabligh berusia 41 tahun dan dilarikan lelaki terbabit ditemui di sebuah masjid berhampiran Batu Caves, Selangor, semalam. Siti Sarnan Mat Ail, 42, ibu kanak-kanak itu berkata, beliau dihubungi oleh seorang lelaki yang tidak dikenali memaklumkan mengenai penemuan anaknya itu.
 
"Kira-kira jam 6.30 petang semalam saya terima satu panggilan dari seorang lelaki yang memberitahu anak saya berada di sebuah masjid Al-Ikhwan di Taman Samudera dekat Batu Caves. "Mulanya saya ragu-ragu kerana tidak mungkin anak saya dibawa hingga ke Selangor tetapi apabila dibenarkan bercakap dengan anak saya barulah saya percaya," katanya di sini, hari ini.

Katanya, sebaik mengetahui anaknya ditinggalkan di surau terbabit, beliau segera menghubungi salah seorang saudaranya yang menetap berhampiran Batu Caves supaya pergi menemui Siti Nur Zubaidah.

"Saudara kakak kemudian menemui Siti Nur Zubaidah dalam keadaan lemah tidak bermaya dan membawanya ke Balai Polis Kepong untuk membuat laporan penemuan sebelum membawanya ke Hospital Sungai Buloh untuk mendapatkan rawatan," katanya.

Ketua Polis Gombak, Asisten Komisioner Abdul Rahim Abdullah ketika dihubungi mengesahkan kanak-kanak itu ditemui dalam keadaan separuh sedar di Masjid Al-Ikhwan, Taman Samudera Batu Caves oleh bapa saudara kanak-kanak itu pada kira-kira jam 7.15 malam.  Siti Sarnan berkata, sehingga kini anaknya itu masih dirawat di hospital terbabit dan beliau dimaklumkan saudaranya, Siti Nur Zubaidah berada dalam keadaan stabil tetapi enggan bercakap kerana masih dalam keadaan trauma.

"Mungkin dia lemah kerana tidak makan dan trauma apabila dilarikan lelaki itu sehingga ke Selangor. Saya tidak sabar untuk berjumpa anak saya itu selepas 20 hari dia hilang," katanya.

Siti Sarnan berkata, beliau dan suaminya meneruskan perjalanan ke Selangor pagi ini untuk menemui Siti Nur Zubaidah.

ANJING REMPIT

Gambar ini saya ambil pagi tadi, dalam perjalanan Kluang ke Batu Pahat.

RAJA ZARITH SOFEA LAWAT MANGSA AMUK DI TADIKA MUAR

RAJA ZARITH SOFEA bertanya khabar dengan Nur Nadhrah Nabila yang cedera diketuk dengan tukul besi ketika melawat di Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru semalam.

Siasatan kes amuk di Taman Didikan Kanak-kanak (Tadika) Sinario di Muar, Rabu lalu hingga menyebabkan tiga murid dan pengetuanya cedera menunjukkan perkembangan positif apabila polis telah mendapat imej penyerangnya.

Ketua Polis Johor, Datuk Mohd. Mokhtar Mohd. Shariff berkata, imej suspek itu diperoleh melalui rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di satu lokasi yang dirahsiakan.

"Jika perlu, kita akan mengedarkan gambar fotofit suspek terlibat kepada media. Usaha mengesan suspek semakin rancak dengan kita telah menambahkan bilangan perisik," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini semalam

MAYAT REMAJA DISUMBAT DALAM KERETA

MELAKA 12 Mac – Empat sekawan yang cuba menyembunyikan kematian seorang remaja lelaki dalam but kereta terbongkar apabila ditahan polis di Jalan Tun Razak, Ayer Keroh, di sini awal pagi tadi. Mereka yang berumur 18 hingga 25 tahun ditahan setelah memberhentikan kereta di tepi jalan, kira-kira 150 meter dari sekatan polis pada pukul 1.15 pagi.

Curiga dengan perbuatan suspek itu, polis yang melakukan sekatan jalan memaklumkan kepada unit peronda untuk membuat pemeriksaan. Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Salehhudin Abd. Rahman berkata, pemeriksaan unti peronda kemudian menemui mayat seorang remaja lelaki di dalam but kereta itu.

“Ketika ditemui mangsa, Yap Wai Seng, 18, dari Taman Seri Krubong lengkap berpakaian.
“Pemeriksaan menemui kesan jerutan di leher selain beberapa kesan luka di badan mangsa,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Tambahnya, polis turut menemui sebatang besi pendek yang mungkin mempunyai kaitan dengan pembunuhan. Polis kemudian menahan keempat-empat suspek yang dipercayai datang dari arah pusat bandar menuju ke Plaza Tol Ayer Keroh untuk siasatan lanjut.

11 Mac 2010

Warga Emas 72 tahun Kaki Judi

Di Mahkamah Rendah Syariah Kluang pagi tadi, 10 lelaki didakwa atas kesalahan judi nombor ekor. Di bawah seksyen 18 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Johor, membeli atau berada dalam rumah judi adalah satu kesalah yang boleh dihukum denda sehingga RM 3,000 atau 2 tahun penjara atau kedua-duanya sekali.

Yang menjadi tumpuan, kes lelaki umur 72 tahun, pesara kerajaan, mempunyai 5 anak dan ramai cucu, mengaku salah membeli tiket judi 5 keping, seringgit setiap satu. Pendakwaan dilakukan pendakwa Syarie Hafizul Hakim bin Ibakarim di hadapan hakim Mohd Zahri bin Salikin. Hakim menjatuhkan hukuman denda RM 2,000 kepada warga emas ini. Sebelum menjatuhkan hukuman, Yang Arif menasihati beliau supaya  insaf dan bertaubat serta tidak mengulangi kesalahan ini pada masa akan datang.

25 Orang Ditahan Kesalahan Judi

Semalam, Rabu,  25 orang lelaki ditahan atas kesalahan judi nombor ekor di Johor Bahru. Penguatkuasa dari daerah Kluang turut membantu dalam penyamaran dan tangkapan ini.

Ziarah Persekutuan Melayu Kluang

Petang tadi, saya dengan beberapa staf pejabat, termasuk imam masjid Kluang, melawat Perseketuan Melayu Kluang. Ini merupakan ziarah biasa untuk kenal lebih dekat dengan persatuan yang mempunyai banyak sejarah ini. Difahamkan, persatuan ini sudah ada sejak sebelum merdeka lagi. Alhamdulillah, pertemuan ini merapatkan hubungan Pejabat Agama Kluang dengan NGO Melayu ini.

Masuk Penjara

Pagi tadi, Khamis saya berceramah sempena Maulidur Rasul kepada warga penjara iaitu kepada banduan. Seperti biasa, telefon tak boleh bawa masuk. Maka lebih kurang 3 jam tu kira terpenjara juga sebab tak ada telefon kat tangan.

Di pintu masuk, sempat tengok gambar penghuni. Ada kes hukuman reman, penjara seumur hidup, seumur hayat dan lain-lain. Ada gambar tu kes rogol, dalam 12 orang yang ada gambar di situ, 10 Melayu manakala 2 bangsa India. Kebanyakannya usia emas, biasanya kes bapa rogol anak. Ada seorang saja kes muda 20-an, saya diberitahu, itu kes abang rogol adik.

Kampung Orang Asli Pengkalan Tereh

Semalam, Rabu sempat melawat Kg Orang Asli Pengkalan Tereh, Kluang. Beri sedikit tazkirah selepas maghrib dan menyampaikan sumbangan kepada orang asli di sana. Ada 10 keluarga Islam termasuk Tok Batinnya.

Sungai Utama di Kluang Kering Terus

Sungai Sembrong kering terus, tiada ada mengalir lagi. Kalau dari Kluang hendak ke Mersing perlu melalui jalan ini. Gambar ini diambil di dalam kenderaan sewaktu dalam perjalanan ke Kampung Orang Asli Pengkalan Tereh semalam, Rabu. Menurut masyarakat di sini, sungai ini tidak pernah kering. Dulu masa banjir besar tahun 2006 dan 2007, ada rumah di tepi sungai dihanyutkan air dan jambatan tidak boleh dilalui. Ini mengakibatkan jambatan runtuh dan belum siap sepenuhnya sehingga sekarang.

Sungai ini merupakan sumber air mentah ke rumah-rumah, menyebabkan catuan air dikenakan di Kluang sejak beberapa minggu ini. Dua hari ada air, sehari tiada. Kedai yang menjual tong dan bekas air besar juga mengambil kesempatan menaikkan harga.

Sama-samalah kita berdoa semoga Allah menurunkan rahmat hujan ini. Sudah dua hari ada sedikit hujan turun dengan lebat tapi tak lama. Tadi sewaktu saya ke penjara Kg Gajah Kluang, sungai ini masih surut.

LINTAH BUNUH MANUSIA

JELI: Seorang murid perempuan Tahun Empat meninggal dunia pagi semalam akibat mengalami pendarahan dalaman selepas duburnya dipercayai dimasuki lintah ketika mandi di sungai berdekatan rumahnya dekat Gemang di sini.Siti Nazirah Abd Kadir, 10, dikatak an ke sungai itu bersama sepupunya, Hayati Idris, 11, selepas menjalani latihan sukan di Sekolah Kebangsaan (SK) Gemang, kira-kira jam 4 petang kelmarin.

Bapanya, Abd Kadir Safei, 44, berkata Siti Nazirah mengadu kesakitan di dubur sebaik pulang ke rumah, kira-kira jam 5 petang. Berikuta itu, ibu mangsa, Mariam Yakob, 34, membawa anaknya ke tandas dan terkejut apabila menemui seekor lintah diselaputi darah dalam seluar Siti Nazirah.
Beliau berkata, anaknya disahkan meninggal dunia, kira-kira jam 9 pagi semalam akibat pendarahan dalaman. Jenazah anak kedua daripada tiga beradik itu, dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Gemang selepas solat Zuhur.
..............

Sebelum ini, pada 15 September 2009, saya tulis satu artikel TajuK LINTAH MEMBUNUH sila baca http://kadikluang.blogspot.com/2009/09/lintah-boleh-membunuh.html

Ini kisah orang mati selepas 'bekam lintah'. Ingat, bekam bukan boleh sebarang bekam, boleh membawa maut.

10 Mac 2010

Nyaris Dikerjakan Gagak Hitam

PETALING JAYA 10 Mac – Tiga lelaki Afrika ditahan untuk siasatan berhubung kejadian cuba merogol seorang pelajar kolej swasta di sebuah apartmen di sini tengah malam tadi. Ketua Polis Petaling Jaya, ACP Arjunaidi Mohamed berkata, wanita berumur 24 tahun itu pergi ke rumah berkenaan dipercayai selepas dihubungi oleh seorang rakannya.

"Selepas memasuki rumah itu, mangsa dipercayai cuba dirogol oleh tiga suspek namun dia sempat menghubungi rakannya yang memberitahu polis,” katanya. Beliau berkata, ketiga-tiga suspek berusia lingkungan 20-an itu merupakan pelajar sebuah kolej swasta.

ORANG GILA MENGAMUK

MUAR: Tiga murid tadika cedera di kepala akibat diserang seorang lelaki kurang siuman dengan penukul besi selepas menceroboh ke dalam bilik darjah tadika berkenaan, di Jalan Abdul Rahman, di sini, pagi tadi.


Dalam kejadian jam 10 pagi itu, semua mangsa bersama 20 murid lain sedang mengikuti pembelajaran di tadika berkenaan sehingga mencetuskan panik. Ketiga-tiga mangsa dipercayai diketuk suspek sebelum mereka dibawa ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah untuk rawatan lanjut.

AWAS: PESAKIT MENTAL TERLEPAS


PENULIS ASAL : Hazrey, Johor Bahru. 9 Mac 2010

Aku sungguh terharu kerana ada seorang blogger biarpun mengalami mental disorder tetapi sanggup bersusah payah memaparkan gambar aku di blognya yang tak ada manusia pergi. Mungkin blognya itu dikhususkan untuk jin semata mata. Mengalami delusion adalah satu penyakit yang agak kronik kerana mulalah mendengar bisikan bisikan dalam kepala. Haha.

"Tulissss.. ohh manusia.... uhhhhh.... tulissssss....(sila guna effect suara jin dalam movie Ahmad Albab)," mungkin itu bisikannya. Hahaha.

Selain mental disorder, dia jugak memiliki sifat ujub yang amat tinggi. Aku sungguh kesian dengan manusia seperti ini, dan kalaulah aku diberi peluang, aku nak sangat memberikan bantuan untuk ubatannya. Lebih kepada simpati dari benci sebab bila ada orang sakit, kita perlu berikan bantuan. Dan semua orang kena tahu, sakit macam dia tak boleh bagi plaster jek atau panadol. Memerlukan perhatian berpanjangan.

Dia aku mula nampak di blog Mazidul Akmal Sidik, dengan komen yang sungguh tak cukup umur menghentam the blog author dengan kata kata takbur melalui entry Perhimpunan Lancar. Sila lihat ruang komen entry itu. Hahaha. Terencat sungguh budak ini. Apabila aku gelakkan dia, dia letakkan gambar aku kat blog yang entah apa apa dia tu. Hahaha. Itu cara dia membalas dendam. Tak besh kan. Taknak kawan dengan dia tau. Mak kita marah tau. Assalamualaikum, tak jawab dosaaaaaaaaa. Hahah

Dari cara penulisannya, aku anggap dia seorang yang kekurangan perhatian sebab dulu kecik kecik tak puas menetek susu ibu. Kesian. Ramai spesis seperti ini di lembaran blog. Mungkin satu hari, mau sahaja aku menulis novel mengenai karektor ini. Itu satu penghormatan. Hahah. Ok takper, aku serahkan pada Zara untuk menulis. Hahaha.
Aku ingatkan dia berhenti di situ sahaja. Rupanya, seorang kadi yang dulunya Ketua Penguatkuasa dan Pendakwaan Jabatan Agama Islam Johor turut dijadikan habuan mental disorder nya. Hahah, kesian Ustaz Khalil. Hahah. Memanglah angin satu badan tok kadi tu, ada ke budak mental disorder ni pi advertise pakej nikah kat Siam kat blog orang tua tu. Hahaha.. Hahahah.. Mental tak? Hahahah.Hahahahah.. Gulung tikarlah Jabatan Agama camni. Hahahaha...
Nasib baik Ustaz Khalil cool. Hahah..

PENULIS ASAL : Hazrey, Johor Bahru.  http://bapak-gulagula.blogspot.com/ 

09 Mac 2010

AKHBAR DAN WARTAWAN KENA SAMAN 5 juta

SHAH ALAM: Seorang lelaki hari ini memfailkan saman fitnah ke atas akhbar Sinar Harian, menuntut RM5 juta ganti rugi kerana menyiarkan satu artikel yang menggambarkannya hidup dalam keadaan daif. Mohd Yazid, 40, selaku plaintif menamakan penerbit akhbar Sinar Harian, Kumpulan Karangkraf Sdn. Bhd. (Karangkraf) dan tujuh yang lain daripada akhbar tersebut sebagai defendan.

Defendan lain ialah syarikat pencetak, Akhbar Cabaran Sdn. Bhd.; Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Hussamuddin Yaacub; Ketua Pengarang Kumpulan, Abd. Jalil Ali; Editor Kumpulan, Sri Diah; Editor Berita, Azmi Tarmizi; Editor Biro Selangor dan Kuala Lumpur, Lailatun Khalilah Nasir; dan wartawan, Nurul Huda Saiyuti. Writ saman difailkan melalui peguam, Muhd Azmi Talib dari firma guaman Tetuan Azmi Talib & Associates di pejabat pendaftaran Mahkamah Tinggi di sini.

Mohd Yazid dalam pernyataan tuntutannya mendakwa artikel 20 Nov 2009 di akhbar itu bertajuk "UMNO Prihatin Nasib Rakyat Daif" menceritakan tentang aktiviti gotong-royong Pemuda Umno Bahagian Tanjong Karang di rumah plaintif yang dikatakan hidup dalam keadaan daif. Dalam artikel sama, turut dimasukkan satu kenyataan plaintif bahawa dia bersyukur dengan sumbangan berbentuk pembinaan atap rumah, sedangkan beliau mendakwa tidak pernah ditemuramah wartawan berkenaan.

Mohd Yazid mendakwa artikel sama juga secara lalai, sengaja atau berniat jahat memberikan kefahaman salah kepada orang ramai iaitu gambaran bahawa beliau selaku ketua pemuda Umno cawangan sanggup mengaku seorang yang daif hanya untuk mendapatkan bantuan dari Umno demi kepentingan peribadi. Disebabkan itu, plaintif mendakwa beliau dan keluarga kini mengalami tekanan emosi selain kerugian wang ringgit dan kehilangan reputasi. Selain ganti rugi am RM5 juta, Mohd Yazid juga menuntut bayaran kos peguam sebanyak RM20,000 serta kos dan relif-relif lain yang difikirkan sesuai.

Penceramah Terlondeh

Ini cerita kisah benar. Beberapa tahun lepas, seorang penceramah yang hebat dalam mengupas sesuatu tajuk, berceramah  dalam suatu majlis rasmi. Majlis tu dihadiri oleh orang besar-besar juga dan ramai orang yang hadir.

Ceramah tu berjaya memukau pendengar hingga tiada seorang pun yang berganjak. Bagaimanapun, selepas berucap kira-kira 20 minit saja, penceramah berhenti. Orang yang hadir seakan tidak berpuashati kerana penceramah itu diundang dari luar, masa pun banyak lagi, sepatutnya sejam lebih. Tapi kenapa dia berhenti ?

Saya amat tertanya-tanya, kenapa penceramah tu berbuat demikian. Mungkin ada sebab tertentu kenapa dia berhenti cepat.... . Saya tanya kepada orang yang ditugaskan mengiringi penceramah itu. Tapi dia tak jawab, cuma dia senyum menahan ketawa. Saya terus tertanya-tanya.

Rupa-rupanya, seluar penceramah itu melurut dan hendak tercabut sewaktu berdiri memberi ceramah tadi. Sebab itu dia hentikan ceramah. Rupanya dia lupa nak kancing seluarnya bila ke tandas sebelum memulakan ceramah tadi. Dia pakai baju Melayu.  Saya nak tergelak juga, tapi macam tak elok pulak kalau saya gelakkan.

Lepas tu ada orang tanya saya, bukan seorang yang tanya, malah ramai juga. Saya tak kata apa-apa,

"tak tahulah yer, kena tanya orang iring dialah". Bukan taknak jawab, cuma taknak cerita aib orang.

NAK KAYA TAPI KAYAP

KUALA LIPIS: Seorang gadis hanya mampu menahan linangan air mata selepas mendakwa kerugian RM8,300 akibat ditipu sindiket cabutan bertuah yang menawarkan hadiah RM19,000, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.20 petang, mangsa berusia 19 tahun yang tinggal di Kampung Kemahang, dekat sini, menerima khidmat pesanan ringkas (SMS) daripada sindiket terbabit yang memberitahu mangsa memenangi cabutan bertuah daripada sebuah stesen minyak.

Curiga dengan SMS itu, mangsa kemudian menghubungi nombor telefon berkenaan sebelum sindiket terbabit menjelaskan kepada mangsa mengenai hadiah dimenanginya. Selepas berjaya meyakinkan mangsa, sindiket terbabit kemudian meminta mangsa pergi ke bank untuk membuat pemindahan wang selain diarahkan memberi nombor akaunnya.

Ketua Polis daerah, Superintendan Abdul Razak Hassan, berkata mangsa yang bekerja sebagai juruwang di sebuah pasar raya, dekat sini, seperti `dipukau' mengikut semua arahan sindiket terbabit.

Menurutnya, mangsa kemudian pulang ke rumahnya selepas sindiket terbabit `berjanji' menyerahkan wang tunai RM19,000 yang dimenanginya dalam masa 12 jam.

08 Mac 2010

Cara Paling Senang Nak Kaya

JERLUN - Seorang pengusaha di sini berjaya memperdayakan ribuan pengguna sejak tiga tahun lalu dengan menghasilkan produk minuman penyejuk badan yang sebenarnya diperbuat daripada air paip. Teknik penghasilan produk itu amat mudah iaitu menggunakan air paip yang ditapis sebelum dicampur dengan sejenis bahan yang belum dikenal pasti dan dijual dengan harga RM1 sebotol.

Kegiatan pengusaha itu bagaimanapun dihidu pihak berkuasa sebelum premisnya di Jalan Alor Setar-Kangar di sini diserbu oleh lapan kakitangan Jabatan Kesihatan Daerah Kubang Pasu semalam. Hasil siasatan mereka mendapati produk itu juga tidak mendapat kelulusan Kementerian Kesihatan.

BLOG SAYA JADI TEMPAT PROMOSI NIKAH THAILAND

Kalau nak nikah, tu nikahlah di negara kita, dah tentu ikut undang-undang. Kalau betul pun nak nikah lagi satu pun boleh 'runding baik' dengan saya. Kalau kena pada tempatnya, saya boleh bantu. Dan memang sebelum ni pun saya banyak juga bantu orang nak bina 'masjid kedua' ni, tapi taknaklah cerita kat sini. Nikahlah sini, ini pergi nikah Thailand pula. Macammana dia pergi Thai dan Indon ? ada orang yang bawak, bukan free beb, mahal, kalau ke Indon tu udah tentu juta-juta pak. Orang ni kerja dia bawak orang nikah luar tanpa rujuk ke sini.

Kalau dah nak kawin sangat kat sana, nikahlah, sendiri pilih jalan tu. Tapi nanti kalau ada masalah, datang juga kat pejabat agama. Banyaklah kes, nak cerita pun panjang. Ada orang yang nikah Siam lepas tu bercerai jadi masalah kat sini, nikah yang dulu pun belum disahkan. Ada tu suami dah meninggal, baru isteri tahu dia dimadukan. Kalau madu nikah sini takpe, ni madu Siam. Jadi susahlah pembahagian harta pusaka. 10 tahun belum tentu boleh selesai. Ada pulak tu nikah Siam dijanjikan boleh daftar, tapi tak boleh daftar pulak kat sini sebab nikah sendikit. Ada juga nikah kat Malaysia, tapi dapat surat nikah Siam, ada juga. Malah banyak lagi.

Apa pasal pulak blog saya jadi tempat nak iklankan pakej nikah Siam orang ni, carilah tempat lain. Sebelum ini blog Mazidul Akmal pun, orang yang sama ada buat kacau. Jadi, mulai hari ini, nak komen kat blog saya, kena tapis dulu. Bukan tak suka orang beri komen, cuma taknak bersubahat dengan kegiatan yang menyalahi  undang-undang ni. Dulu masa saya jadi Pendakwa Syarie, saya lah orangnya yang dakwa orang nikah Siam, takkanlah saya nak subahat promosi nikah sana pulak.

Kepada teman-teman sekalian, teruskan membuat komen dalam artikel saya, komen anda saya hargai.

MACAM-MACAM CARA MENIPU

KUALA LUMPUR: Terdesak mendapat pinjaman peribadi, seorang lelaki terpaksa berputih mata selepas diperdaya seorang ‘pegawai bank’ yang menguruskan pinjaman kewangan berkenaan. Difahamkan mangsa berusia lewat 30-an itu diminta menyerahkan RM6,500 sebagai pendahuluan iaitu syarat untuk mendapat pinjaman wang tanpa masalah dan akan diluluskan dalam masa tempoh seminggu. Namun, selepas menunggu beberapa minggu, wang pinjaman dijanjikan tidak diterima dan wang diberikan kepada suspek juga lesap.

Mangsa yang mengesyaki ditipu lelaki menyamar sebagai pegawai bank itu kemudian membuat laporan polis. Menurut sumber, kejadian berlaku awal tahun ini apabila mangsa mahu membuat pinjaman RM70,000 dari sebuah bank.

Menurutnya, mangsa mengenali lelaki itu melalui rakannya yang mendakwa boleh membantunya mendapatkan pinjaman wang dalam masa terdekat dan kelulusan yang mudah. “Kerana percaya mangsa kemudian bertemu dengan ‘pegawai bank’ terbabit di sebuah restoran di Desa Tasik di sini.

“Dalam pertemuan itu, suspek meminta mangsa memberikan wang proses RM3,500 yang didakwa akan dipulangkan semula apabila pinjaman diluluskan,” katanya.

Suspek menyerahkan cek RM3,500 kepada mangsa, kononnya membayar semula wang proses yang pernah dibayar mangsa sebelum ini.
Sumber itu berkata, mangsa dihubungi suspek beberapa hari kemudian untuk meminta bayaran RM700 untuk melicinkan lagi proses pinjaman.

“Selepas beberapa hari, mangsa dihubungi seorang pegawai bank memaklumkan permohonan pinjaman RM70,000 diluluskan.

“Namun, mangsa terpaksa membayar RM2,500 kepada sebuah akaun bank. Dalam masa sama, ‘pegawai bank’ itu berjanji yang lelaki terbabit akan mendapat wang dipinjam dalam masa seminggu,” katanya.


Kerana percaya, mangsa membayar jumlah wang seperti diminta lelaki terbabit dan memindahkan wang ke nombor akaun diberikan suspek. Sumber berkata, mangsa bagaimanapun mula curiga apabila selepas beberapa minggu, pinjaman wang dijanjikan masih tidak diterima.


“Mangsa cuba menghubungi suspek, bagaimanapun lelaki terbabit gagal dihubungi.

“Dia (mangsa) yang khuatir ditipu dua lelaki terbabit segera membuat pemeriksaan di bank pinjaman dilakukan dan kecewa dimaklumkan namanya tiada dalam senarai peminjam.

“Mangsa juga bertambah yakin dia diperdaya suspek selepas gagal menunaikan cek RM3,500 yang diberikan sebelum itu,” katanya.



PAS BOLEH TERIMA ZULKIFLI NORDIN ?

PETALING JAYA: PAS sedia membuka pintu kepada Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Zulkifli Noordin jika bekas anggota Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu ikhlas mendokong prinsip dan perjuangan parti mereka. Naib Presidennya, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, parti itu sedia mempertimbangkan penyertaan Zulkifli ke dalam PAS.

"PAS sentiasa mengamalkan dasar terbuka kepada sesiapa sahaja untuk menyertai kami termasuk YB (Yang Berhormat) Zulkifli.

07 Mac 2010

KOPITIAM vs MAMAK

Restoran kopitiam kini makin popular dan mendapat sambutan orang ramai. Kemunculannya begitu ketara sehingga dalam satu deretan rumah kedai, terdapat tiga restoran seperti itu. Kalau dulu kopitiam hanya dikunjungi ramai pelanggan kaum Cina kini ia menjadi tarikan semua kaum termasuk orang muda. Kopitiam sekarang tidak lagi kelihatan seperti kedai kopi yang selekeh. Fizikal premis dan hiasan dalaman jauh lebih selesa serta kelihatan moden.

Menunya juga sudah pelbagai, bukan lagi setakat kopi, roti bakar dan telur separuh masak. Nasi lemak rendang masakan Melayu, mee rebus malah teh tarik menjadi antara sajian popular.  Penjenamaan semula kopitiam ternyata membawa kejayaan ketika usaha penjenamaan banyak produk dan perkhidmatan lain tidak membuahkan hasil. Tidak hairanlah mengapa ramai pengusaha berlumba-lumba menyertai perniagaan tersebut. Nama-nama seperti Old Town White Coffee, Georgetown White Coffee, One Asia Station, Bangi Kopitiam, Kluang Station, Pak Hailam, Uncle Lim's, Ipoh Kopitiam dan berbelas-belas jenama lagi sudah tidak asing.

Memang banyak yang boleh diperkatakan tentang fenomena kopitiam termasuk isu-isu dan gosip yang berkaitan. Antaranya terdapat kopitiam terkenal dimiliki oleh tokoh parti pembangkang tertentu. Menurut maklumat, perniagaan kopitiam berkenaan hanya untuk pengusaha Cina dan francaisnya tidak dibuka kepada pengusaha Melayu, India dan Sikh. Sampai begitu sekali pertimbangan rasis yang diambil.

Selain itu, timbul isu banyak kopitiam tidak memiliki sijil halal yang dikeluarkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim). Berdasarkan laman web halal Jakim, hanya dua kopitiam iaitu Pak Halim Kopitiam dan Jonker Walk Kopitiam mempunyai logo halal Jakim sementara kebanyakan kopitiam lain menggunakan logo halal yang tidak diiktiraf. Lebih mengejutkan siasatan Jakim mendapati ada pengusaha kopitiam mencampurkan arak dalam masakan dan ada juga yang menjual arak. Awang juga kurang senang dengan sebahagian kopitiam yang hanya menggunakan Bahasa Mandarin dan Inggeris dalam menu mereka. Bahasa Kebangsaan diabaikan sama sekali sedangkan pelanggan terdiri daripada semua kaum. Ingatlah, Malaysia bukan Hong Kong atau Taiwan.

Sebenarnya banyak persoalan berlegar berkaitan kopitiam termasuk apakah popularitinya akan bertahan lama? Ramai yang yakin terhadap masa depannya dan tidak kurang yang melihat fenomena kopitiam bersifat sementara.

Yang pasti, restoran-restoran mamak yang menerima tamparan dengan kemunculan banyak kopitiam, tidak mahu mengalah begitu sahaja. Banyak restoran mamak dipermodenkan kepada taraf bistro lengkap dengan WiFi dan pelbagai tarikan lagi.

Pada Awang, elok berlaku persaingan yang sihat dan biarlah masyarakat mempunyai banyak pilihan. Sama ada kopitiam akan menguasai pasaran atau restoran mamak akan lebih dominan, kita tunggu. Tetapi Awang ada kecenderungan sendiri. Kalau berada di kopitiam terutama jenama yang bersifat rasis dan tiada sijil halal Jakim, Awang sekadar minum. Berada di restoran mamak pula, ia lebih daripada itu.... UTUSAN MALAYSIA.

Ramainya blogger

Teruskan menulis dan semoga tabah menghadapi cabaran serta dugaan.

06 Mac 2010

Zulkifli Nordin Dipecat

Majlis Pimpinan Pusat Parti Keadilan Rakyat (PKR) sebentar tadi memecat Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Zulkifli Noordin daripada parti.

Mazidul Akmal Sidek : Anjur Perhimpunan Blogger

Tahniah Mazidul kerana menganjurkan pertemuan blogger di Hutan Simpan Bukit Lagong, Rawang hari ini. Saya hantar mesej kepada Mazidul kerana tidak dapat hadir, banyak program ceramah dan bertemu masyarakat di Kluang ini hari ini dan esok.

Penglibatan saya sebagai penulis blog baru berusia 5 bulan, masih muda lagi. Alhamdulillah, blog saya telah mendapat sambutan yang cukup hebat sehingga menerima 37,811 pelawat setakat hari ini. Peningkatan pembaca ini adalah kerana sokongan dan promosi yang dilakukan oleh blogger termasuk Mazidul. Saya doakan perhimpunan ini memberi banyak manfaat dan kebaikan kepada semua. Saya pesan semoga Mazidul menyampaikan salam dan kemaafan kepada semua blogger yang hadir serta mengenali saya di alam maya.

..............................

Ucapan dari Mazidul dalam blog beliau:
"Tuan Khalil, Insyaallah saya akan sampaikan salam itu, selamat berceramah. ".
 Mazidul Akmal Sidek.

RUMAH DIA, NERAKA DIA (Episod 2)

....SAMBUNG
Oleh kerana Adi tidak berubah, Nani tergoda dengan seorang lagi lelaki. Lelaki ini suami orang, nampak macam berharta sikit, sekitar 40-an. Mulanya, Nani jadikan lelaki ini tempat nak luahkan perasaannya. Ada juga tempat Nani mengadu. Lama kelamaan, Nani jatuh cinta dengan suami orang ini, tanpa diketahui suaminya...

Bila saya tanya adakah pernah Nani buat hubungan sulit, Nani mengaku. Bila ditanya, di mana tempat dia melakukan perkara tersebut, Nani berdiam diri. Kemudian, bila saya tanya soalan, adakah di rumah atau hotel ? Nani kata bukan. Saya tanya lagi.

"Kalau gitu buat dalam kereta. Betul ?" Saya tanya. Nani kemudian mengangguk.

"Berhenti ditempat terselindung. Betul ?. Saya  tanya lagi. Nani mengaangguk menunjukkan betul.

Bila saya tanya, berapa kali dia melakukannya, Nani kata tak ingat ?

"Lebih sepuluh kali ?" Saya tanya. Nani mengangguk.

Hubungan Nani dan suami orang ini akhirnya diketahui oleh suaminya, Adi. Adi telah mengugut lelaki itu dan menyerang dengan kata-kata kesat di hadapan isteri dan anak-anak lelaki itu. Tidak mahu kejadian tidak diingi berlaku, Nani memutuskan hubungan dengan lelaki itu.

Hidup Nani terus tertekan kerana suaminya tetap dengan perangai lama, tak mahu berubah. Adi tetap dengan dunia maksiatnya melayan wanita lain. Hingga sampai satu peringkat, Nani jadi tak kisah pun kalau suaminya nak layan wanita lain.

"Tuan Kadi, saya dah tak kisahkan suami saya lagi. Saya anggap dia dah mati". Kata Nani.

"Habis tu, waktu tu masih tinggal serumah ke?". Tanya saya. Nani jawab yer.

Suatu hari, berlaku pertengkaran, iaitu setelah beberapa sesi pertengkaran sebelumnya. Adi telah melafazkan perkataan keramat iaitu cerai taklik.

"Kalau awak ada hubungan dengan lelaki lain, jatuh talak". Kata Adi dan didengar oleh isterinya. Walaupun pelajaran agama tak berapa tinggi, kedua-dua mereka faham itu adalah lafaz cerai taklik. Kalau perkara itu dilanggar (hubungan dengan lelaki lain), maka boleh jatuh talak.

Selang beberapa bulan, Nani dihubungi oleh teman lelaki yang kedua dahulu. Mulanya sekadar keluar makan saja, kemudian peristiwa lama berulang kembali. Mereka berdua sekali lagi terlanjur dan membuat hubungan sulit. Nani lemas di lautan biru. Nani kata, semua berlaku begitu pantas dan menyesalinya. Seperti biasa, Nani tak buat kerja terkutuk itu di rumah atau hotel, tapi dalam kereta. Bila saya tanya di mana kereta itu berhenti, Nani kata tak pasti tempatnya tapi tak berapa jauh. Hubungan ini dirahsiakan sekali lagi dengan suaminya dan berlansung beberapa bulan.

Beberapa bulan kemudian, berlaku pertengkaran Nani dan Adi di rumah. Nani mengaku ada hubungan sulit. Bila Nani cerita, dia ditampar oleh suaminya, seakan suaminya tak percaya. Dia ingatkan Nani dah putuskan hubungan terus, rupanya tidak. Maka Nani datang ke pejabat Agama untuk mengadu hal ini, iaitu untuk membuat aduan tentang cerai taklik itu.

Bila dengar cerita kedua-dua  pihak, saya yakin jatuh talak dan kes itu terus dirujuk ke Mahkamah Syariah untuk mengesahkannya. Hakim akan menentukan jatuh talak atau tidak dan berapa jumlah talaknya.
SEKIAN.

05 Mac 2010

Tentera Yang Beriman dan Bertaqwa

Malam tadi saya berceramah di Kem Mahkota Kluang. Alhamdulillah, ramai tentera yang hadir. Pegawai tentera tu kata ceramah saya menyentuh kehidupan seharian tentera dan kena pada tempatnya, saya percaya pujian itu ikhlas. Memanglah, dulu saya pun sebahagian dari tentera, ditauliah ke pangkat Leftenan Muda tahun 1995. Saya telah lalui kehidupan sebegitu bertahun-tahun. Di Kluang ramai tentera dan banyak juga isu-isu keagamaan yang saya kendalikan melibatkan tentera.

Isu-isu melibatkan disiplin tentera di luar kem saya beri penekanan. Tentera perlu menjaga akhlak bukan saja di dalam kem, tetapi di luar juga. Antaranya penglibatan dalam kes maksiat, isu rumahtangga dan penglibatan dalam pertubuhan meragukan. Saya anggap saya sentuh isu ini sebagai 'adik-beradik' untuk mendidik menjadi tentera yang beriman dan bertaqwa dan menjauhi perkara maksiat. Pegawainya memberi kebenaran untuk saya bercerita dan memberikan contoh-contoh kisah benar yang melibatkan anggota tentera kerana ceramah ini hanya didengari oleh tentera saja.

Isu Perpaduan dan Keutuhan Umat Islam

Saya  menyentuh isu perpaduan umat Islam. Umat Islam perlu mempunyai kekuatan, kekuatan bukan terletak pada jumlah yang ramai tetapi kepada kerjasama dan perpaduan masyarakat Islam. Contohnya Israel yang jumlahnya tidak ramai  tapi boleh mempermainkan jutaan umat Islam di sekeliling negaranya. Jadi, selain kekuatan fizikal, tentera kita perlu ada kekuatan iman seperti Saidina Hamzah yang mati syahid dalam menegakkan Islam.

Fitnah Berleluasa

Saya tidak terlepas untuk menyebut isu fitnah, kerana diri saya sendiri tidak terlepas dengan fitnah yang dahsyat. Kalau yang fitnah kita itu musuh Islam, kita boleh nampak, tapi yang fitnah itu adalah orang Islam sendiri. Kenapa ada orang yang menfitnah institusi agama ? Adakah umat Islam untung ? Saya yakin, Allah akan memberi balasan yang setimpal kepada orang yang membawa fitnah ini....

Selamat bertugas kepada semua warga tentera seluruh negara..... Semoga kita menjadi tentera yang beriman dan berakhlak mulia dan jauh dari kemungkaran.

04 Mac 2010

Penjelasan: Cerita Wanita Dapat Bantuan Gereja RM 2000

Saya dengan segala hormatnya merujuk petikan Harian Metro bertarikh 03 Mac 2010 berkenaan – ”Gereja beri RM2,000.00 – Ibu Tunggal gagal dapat bantuan biayai pengajian anak”.

Pertama, wanita ini telah menerima bantuan pendaftaran IPT daripada pihak Baitulmal sebanyak RM400. pada November 2009. (Oleh itu, kenyataan akhbar menyatakan dia tidak dapat bantuan lansung adalah tidak tepat).

Saya jelaskan kadar yang ditetapkan oleh Majlis Agama Islam bagi kemasukan IPT:

Sijil:   RM 300 dalam Johor, 500 Sabah Sarawak, 500 Zon Terengganu, Penang dll, 400 zon Selangor, KL dll.

Diploma : RM 500, 700, 700 dan 600

Ijazah : RM 800, 1000, 1000 dan 900.
(Anak wanita ini kursus Sijil jadi dapat RM 400)

Kedua, wanita ini tidak ada memohon bantuan lagi sebelum ini. Jadi, cerita yang dia dah mohon beberapa kali adalah tidak tepat.

Ketiga, pihak PIBG sekolah Tinggi Kluang yang sanggup mendahulukan wang RM2,878.00, pihak kami tidak halang. Buat apa nak halang kalau ada orang yang nak bantu. Pihak PIBG sekolah tu ada hubungi pejabat dan pejabat juga sanggup pulangkan semula duit itu kepada PIBG berkenaan. Pihak kami sudah berjanji nak bayar semula dan dipersetujui oleh pejabat di Kluang dan ibupejabat Johor Bahru(melalui Ustaz Azlan, penolong pengarah Bahagian Bantuan MAIJ).

Penyerahan cek pihak PIBG pada 1 Mac, tetapi 3 Mac terus keluar berita di akhbar. Pihak PIBG belum sempat membuat tuntutan wang itu seperti dijanjikan. Beberapa dokomen perlu seperti surat atau bukti lain.

Keempat, berita yang keluar ini adalah tidak tepat dan mengelirukan. Perlu diperbetulkan untuk mengelakkan tanggapan  salah orang ramai.

Pada 3 Mac juga, wanita ini datang ke pejabat dan kami memproses Borang Bantuan Sara Hidup untuk dihantar ke Ibu Pejabat. Beliau juga diberikan Bantuan Segera sebanyak RM150.00 telah diberikan kepada wanita ini.

Pada 4 Mac, jam 9.30 pagi datang 2 orang pegawai polis untuk mengetahui cerita sebenar dari saya. Soal benar atau tidak benar cerita pasal bantuan gereja itu biar polis yang siasat, itu bidang tugas polis. Isu ini boleh menghangatkan suasana dalam negara dan boleh menimbulkan ketegangan antara kaum dan agama jika tidak ditangani dengan betul. Sebelum ini terjadi kes bakar gereja dan surau, kita tidak tahu apa yang berlaku seterusnya di negara kita dan apa puncanya yang sebenar. Antara puncanya adalah salah faham antara agama sehingga ada orang yang terdorong melakukan perkara menyalahi undang-undang. Ini termasuklah kerana percaya khabar angin dan mereka-reka fitnah sesama kita.

Jam 11.30 pagi, datang pengetua Sekolah Tinggi Kluang dan 2 guru termasuk Cikgu Azan yang sudah mengetahui bahawa kami akan memulangkan wang itu semula. Pengetua meminta maaf sekiranya laporan akhbar berkenaan tidak tepat atau menyinggung perasaan Jabatan Agama Johor. Pengetua menyatakan, tindakan itu dilakukan oleh pihak PIBG, bukannya pihak sekolah. Cuma PIBG ada bilik sendiri dalam kawasan sekolah.

Sebentar tadi saya hubungi Metro, semoga membetulkan beberapa perkara sebelum masyarakat memandang serong kepada institusi agama yang mulia  ini. Sekiranya diperbetulkan, saya sedia memaafkan pihak akhbar berkenaan. Saya ramai kenalan di akhbar berkenaan dan saya faham tugas wartawan. Kadang-kadang bukan kerana kesalahan wartawan tetapi orang yang memanggil wartawan itu yang tersalah lapor.

Dalam hal ini, bukan wanita ini yang memanggil wartawan tapi ada orang lain. Wanita ini sebenarnya tidak mahu dihebohkan cerita ini (wanita ini bercerita kekesalannya di pejabat pada 3 Mac apabila cerita ini masuk akhbar. Katanya wartawan menemuinya di kawasan sekolah waktu malam penyerahan cek itu dan dia tidak tahu siapa yang jemput wartawan itu). 

.......Sebentar lagi, saya akan ke Kem Mahkota Kluang dan diadakan solat hajat selepas Maghrib ini di sana. Kemudian saya akan menyampaikan ceramah. Saya mohon kepada Allah, semoga Allah menunjukkan kebenaran dan  memberi pembelaan kepada pihak-pihak yang teraniaya. Hanya kepada Allah kita berserah.....

03 Mac 2010

Kisah Rumahtangga Jutawan Duit Palsu

Farinnie Mohd. Farid mendedahkan di Mahkamah Rendah Syariah di sini semalam bahawa suaminya yang didakwa jutawan Lebanon, Elie Yousseff Najem memaksa dirinya melakukan seks di hadapan kamera web bagi tatapan orang luar.

Malah, sikap keji lelaki itu yang turut menunjukkan kemaluannya di hadapan kamera web kepada rakan sembang di Internet menyebabkan wanita itu mengambil keputusan nekad melarikan diri daripada cengkaman Elie setelah dua tahun berkahwin.

Ibu kepada dua orang anak itu berkata demikian semasa perbicaraan kes tuntutan cerai fasakh terhadap Elie, 50, yang dinamakan sebagai defendan kes yang didengar di hadapan Hakim Syarie, Mamat Haizan Salleh.

Farinnie, 24, selaku plaintif ketika disoal peguam syarie, Fakhrul Azman Abu Hassan berkata, sejak berkahwin dengan Elie pada 6 Oktober 2005, dirinya telah dianiaya, didera fizikal dan mental sehingga menyebabkan rasa takut dan tertekan yang teramat sangat.

02 Mac 2010

RUMAH DIA, NERAKA DIA (Episod 1)


Saya nak cerita satu kisah benar, kisah rumahtangga. Nani (bukan nama sebenar), sekarang 38 tahun dan suaminya Adi 41 tahun, berumahtangga 20 tahun lalu. Sekarang sudah anak 4, yang besar sekolah menengah 17 tahun, yang kecil 8 tahun. Sejak kebelakangan ini, hidup keluarga ini tidak bahagia kerana suami dan isteri masing-masing ada orang ketiga. Lelaki pernah ada hubungan dengan anak dara sehingga lupa tanggungjawab pada anak isteri. Akhirnya kena dibelasah orang kampung sebab heret anak dara tu sana ke mari. Tapi suami tak insaf juga, buaya tetap buaya, dia menggatal dengan perempuan lain pula.

Lepas tu, Adi ada hubungan dengan isteri orang pula. Yang lebih melampau, Adi pernah bawa isteri orang itu tidur di rumahnya waktu kehadiran isterinya. Mulanya saya tak percaya, ceritanya teruk sampai begini, kemudian cerita ini disahkan oleh kedua-dua mereka. Walaupun kecewa dengan sikap suaminya, Nani sudah tiada pilihan lain selain berdiam diri kerana takutkan suaminya.

Geram dengan tingkahlaku suaminya, isteri menyimpan satu dendam untuk membalas perbuatan suaminya. Nani akhirnya terjerumus ke lembah maksiat juga. Dia layan lelaki lain, suami orang di luar, pada awalnya secara senyap-senyap tanpa pengetahuan suaminya. Kemudian, suaminya tahu aktiviti isterinya dan jadi pergaduhan. Adi marah kerana isterinya main kayu tiga walaupun dia lagi kuat main kayu tiga. Nani putuskan hubungan dengan lelaki itu. Untuk meredakan masalah rumahtangga mereka, mereka sekeluarga berpindah ke rumah lain untuk membina hidup baru kerana malu dengan jiran-jiran.

Sikap suaminya yang tetap tidak berubah, dia banyak layan perempuan di luar. Nani kemudian mengambil keputusan untuk membenarkan suaminya berkahwin sahaja, dia sanggup bermadu demi kebahagian keluarga dan anak-anak. Mulanya, Adi setuju nak kawin lagi satu dan gembira dengan keputusan isterinya itu. Bagaimanapun, Adi tak kawin-kawin juga, dia terus dengan maksiatnya. Dia berhubungan dengan isteri orang, mana mungkin dia boleh kahwin. Lagipun, menurut Nani, suaminya tak mampu dari segi kewangan, gajinya sekitar RM 1,000, Nani kata tak mampu untuk berkahwin lagi. Tapi Nani kata, kalau nak kawin kawinlah, nanti fikirlah sendiri.

Oleh kerana Adi tidak berubah, Nani tergoda dengan seorang lagi lelaki. Lelaki ini suami  orang, nampak macam berharta sikit, sekitar 40-an. Mulanya, Nani jadikan lelaki ini tempat nak luahkan perasaannya. Ada juga tempat Nani mengadu. Lama kelamaan, Nani jatuh cinta dengan suami orang ini, tanpa diketahui suaminya...

DATANG NAIK KAPAL, PULANG NAIK PESAWAT

Pegawai Imigresen sedang mengawal ususan penghantaran pulang pendatang asing tanpa izin di KLIA.

-Kes Buang Bayi Segamat

SEGAMAT 1 Mac - Seorang wanita berusia 22 tahun ditahan polis bagi membantu siasatan kes penemuan mayat bayi yang hampir reput dalam tandas sebuah pusat latihan memandu di Jalan Lapangan Terbang di sini baru-baru ini.Wanita yang bekerja sebagai jurujual itu ditahan di rumahnya di Taman Segamat Baru pada Khamis lalu.

Ketua Polis Daerah, Supritendan Abdul Majid Md. Ali berkata, wanita itu ditahan kurang 24 jam selepas polis mendapat maklumat mengenai penemuan mayat bayi tersebut.

Katanya, suspek kini ditahan reman bagi membantu siasatan polis mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan.

"Jika didapati bersalah, mereka yang terlibat boleh dikenakan hukuman penjara selama dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini. Rabu lalu, seorang kakitangan di sebuah pusat latihan memandu gempar apabila menemui bungkusan berbau busuk yang ditinggalkan di dalam tandas wanita.

Bungkusan plastik yang ditemui dalam sebuah tangki air tandas itu kemudian diperiksa oleh pihak polis sebelum disahkan sebagai mayat seorang bayi. Pemeriksaan lanjut oleh pihak hospital mengesahkan jantina bayi itu adalah lelaki, dipercayai dilahirkan kira-kira dua hingga lima hari sebelum mayatnya ditemui.

GADUH DALAM SEKOLAH

JOHOR BAHRU: Akibat ejek mengejek, seorang pelajar lelaki Tingkatan Lima sebuah sekolah di Skudai dekat sini, dibelasah abang juniornya hingga mengalami kecederaan di hidung, mata dan telinga. Dalam kejadian kira-kira jam 1.35 tengah hari Khamis lalu, mangsa, Awin Faris Mohd Nasir, 17, mendakwa lelaki berusia 20-an itu menampar, mencekik dan menumbuk mukanya dalam kawasan sekolah ketika dalam perjalanan pulang.

Ketua Polis Daerah Nusajaya, Superintendan Aziz Ahmad ketika dihubungi semalam mengesahkan menerima laporan mengenai kejadian itu dan kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan dengan sengaja. Ketika ditemui pemberita, Awin berkata, pada mulanya berlaku ejek mengejek antara beliau dan seorang pelajar perempuan Tingkatan Empat.

“Akibat tidak berpuas hati pelajar perempuan itu dipercayai menghantar SMS kepada abangnya mendakwa dia dipukul.

“Tidak lama selepas itu, abangnya datang ke sekolah dan terus muncul di hadapan saya sebelum sempat bertanya adakah saya memukul adiknya. Namun sebaik mengaku tidak berbuat demikian, lelaki berkenaan terus menampar, mencekik dan menumbuk saya tanpa usul periksa," katanya.

Awin berkata, beliau tidak mampu melawan lelaki itu, manakala rakan-rakannya pula sudah pulang lebih awal.

"Selepas teruk dibelasah, guru datang dan meleraikan pergaduhan. Apabila ditanya punca kejadian, lelaki berkenaan memaklumkan dia menerima SMS daripada adiknya, menyatakan 'dipukul' seorang pelajar,” katanya.

PENGUMUMAN JAWATAN KOSONG

Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) menganggarkan kekosongan jawatan yang begitu besar akan berlaku dalam sektor kerajaan menjelang Julai ini. Setiausahanya, Datuk Lamien Sawiyo berkata, keadaan itu berlaku ekoran ramai pegawai dan kakitangan yang sebelum ini dilanjutkan perkhidmatan mereka sehingga umur 58 tahun akan bersara pada tahun ini.

“Ini membabitkan pelbagai peringkat jawatan yang dianggarkan mengalami kekosongan yang signifikan dan ia memberikan kesan besar.

“Pada masa ini, kita sedang mengumpulkan maklumat daripada setiap agensi mengenai kekosongan yang akan berlaku nanti,” katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas majlis penyerahan jersi kepada pasukan SPA FC yang layak menyertai Liga FAM 2010 di Ibu Pejabat SPA di sini hari ini. Dasar melanjutkan usia persaraan daripada umur 56 tahun kepada 58 tahun dikuatkuasakan oleh kerajaan pada 1 Julai 2008.

Dijangka lebih 4,800 pegawai dan kakitangan awam yang sepatutnya bersara wajib pada 2008 akan menamatkan perkhidmatan antara Julai hingga Disember ini.

Menurut Lamien, pada masa ini SPA sedang mengumpulkan maklumat daripada pelbagai jabatan dan agensi kerajaan mengenai kekosongan jawatan baru.

Katanya, suruhanjaya tersebut menganggarkan jumlah jawatan baru yang perlu diisi adalah kira-kira 50,000 sebagaimana dilakukan pada 2008 dan tahun lalu.

Dalam pada itu, katanya, jawatan kritikal dalam bidang perubatan seperti doktor yang diperlukan sebanyak 5,000 setiap tahun masih terus berlaku kekosongan.

01 Mac 2010

BOMOH MODEN NOMBOR EKOR

Dalam dunia ni macam-macam cara orang nak dapat duit, pokok panggkalnya kena usaha. Pada sesetengah orang, menipu atau auta pun kira usaha juga. Ada orang jadi bomoh nombor ekor, pun dikatakan usaha juga. Memang betullah usaha, kalau duduk atau tidur saja mana boleh buat duit. Tapi masalahnya, nak jadi bomoh nombor ekor kena ada bakat dan tokoh juga. Kalau muka macam saya ni, agaknya macam mana, ada tokoh ker ?

Sebenarnya, untuk jadi bomoh ekor, tak perlukan ketokohan semua itu. Di beberapa kedai judi, di kaki lima depan kedai tu, ada orang bawa komputer riba dan ada printer. Orang tu ada kepakaran keluarkan nombor yang 'bakal' naik hari itu. Ramai juga pelanggan dia, dah tentu lumayan juga pendapatan orang tu. Bila saya dekati, bayaran untuk dapatkan satu nombor RM 5. Waw... banyaknya. Modal cuma kertas sehelai dan dakwat printer tak berapa sen dapat RM 5. Setakat ni saya jumpa yang buat ni bukan orang Melayu dan dia selalu pindah-pindah. Mungkin pindah ni sebab takut kantoi dengan pelanggan yang dah terbeli.

"Ku sangkakan nombor baik. Rupanya hampehhh".

Hairannya, kenapa orang tu tak beli saja 'nombor baik' tu. Kan itu lebih untung kalau dia beli sendiri sebab dia kata itu nombor baik, belilah sendiri. Orang yang beli tu pun kita hairan juga, tak sayang duit ker. Kan dekat rumah ada komputer, keluarkanlah 'nombor baik' tu. Tak payah print pun takper.