Untuk Memilih Tajuk Artikel Dalam Blog Ini, Sila Taip Perkataan di sini.

09 Mac 2010

AKHBAR DAN WARTAWAN KENA SAMAN 5 juta

SHAH ALAM: Seorang lelaki hari ini memfailkan saman fitnah ke atas akhbar Sinar Harian, menuntut RM5 juta ganti rugi kerana menyiarkan satu artikel yang menggambarkannya hidup dalam keadaan daif. Mohd Yazid, 40, selaku plaintif menamakan penerbit akhbar Sinar Harian, Kumpulan Karangkraf Sdn. Bhd. (Karangkraf) dan tujuh yang lain daripada akhbar tersebut sebagai defendan.

Defendan lain ialah syarikat pencetak, Akhbar Cabaran Sdn. Bhd.; Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Hussamuddin Yaacub; Ketua Pengarang Kumpulan, Abd. Jalil Ali; Editor Kumpulan, Sri Diah; Editor Berita, Azmi Tarmizi; Editor Biro Selangor dan Kuala Lumpur, Lailatun Khalilah Nasir; dan wartawan, Nurul Huda Saiyuti. Writ saman difailkan melalui peguam, Muhd Azmi Talib dari firma guaman Tetuan Azmi Talib & Associates di pejabat pendaftaran Mahkamah Tinggi di sini.

Mohd Yazid dalam pernyataan tuntutannya mendakwa artikel 20 Nov 2009 di akhbar itu bertajuk "UMNO Prihatin Nasib Rakyat Daif" menceritakan tentang aktiviti gotong-royong Pemuda Umno Bahagian Tanjong Karang di rumah plaintif yang dikatakan hidup dalam keadaan daif. Dalam artikel sama, turut dimasukkan satu kenyataan plaintif bahawa dia bersyukur dengan sumbangan berbentuk pembinaan atap rumah, sedangkan beliau mendakwa tidak pernah ditemuramah wartawan berkenaan.

Mohd Yazid mendakwa artikel sama juga secara lalai, sengaja atau berniat jahat memberikan kefahaman salah kepada orang ramai iaitu gambaran bahawa beliau selaku ketua pemuda Umno cawangan sanggup mengaku seorang yang daif hanya untuk mendapatkan bantuan dari Umno demi kepentingan peribadi. Disebabkan itu, plaintif mendakwa beliau dan keluarga kini mengalami tekanan emosi selain kerugian wang ringgit dan kehilangan reputasi. Selain ganti rugi am RM5 juta, Mohd Yazid juga menuntut bayaran kos peguam sebanyak RM20,000 serta kos dan relif-relif lain yang difikirkan sesuai.

1 ulasan:

  1. Kadi Kluang bila pula nak saman akhbar yang sengaja, cuai dan berniat jahat menfitnah tuan. Sebagai peguam, saya yakin tuan akan menang.
    ....SHAHRUL DULU SAMA-SAMA UKM.

    BalasPadam

Dipersilakan komen.