Untuk Memilih Tajuk Artikel Dalam Blog Ini, Sila Taip Perkataan di sini.

22 Mac 2013

Kepala Manusia Ditemui di Kuil di Kluang

KLUANG - Polis menjumpai kepala tanpa badan milik seorang warga emas dipercayai dijadikan pemujaan di dalam Kuil Muniandy yang terletak di kawasan Ladang Coronation, Sri Lalang di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asistan Komisioner Abdul Majid Mohd Ali berkata, pihaknya mendapat maklumat kejadian itu lebih kurang jam 7.30 pagi daripada orang awam.

Beliau yang mengesahkan kejadian berkenaan berkata, kepala lelaki berusia 62 tahun itu ditemui oleh penjaga kuil terbabit.

“Pada masa ini polis sedang berusaha mencari bahagian badan mangsa dan siasatan awal mempercayai lelaki itu dibunuh di tempat lain.

“Selepas itu kepala mangsa yang telah dipotong dengan senjata tajam di letak di kuil yang sudah berusia lebih 70 tahun itu untuk tujuan pemujaan,” katanya dalam sidang media yang diadakan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang, semalam.

Abdul Majid berkata, hasil siasatan mendapati warga emas itu merupakan seorang gelandangan dan sering tidur di sebuah tokong di Sri Lalang selepas isteri dan anaknya berpindah ke Johor Bahru.

Polis masih belum menemui senjata yang digunakan untuk membunuh warga emas berkenaan.

"Pasukan forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor setakat ini percaya lelaki itu dibunuh kira-kira lapan jam sebelum kepalanya ditemui berdasarkan titisan darah yang ada di tempat kejadian.

“Polis percaya lebih dari tiga suspek terlibat dalam kejadian bunuh ini malah dipercayai suspek sempat mengadakan upacara pemujaan menggunakan kepala terbabit sebelum melarikan diri.

“Polis sedang mengesan kesemua suspek yang berumur 30 hingga 50 tahun itu dan empat kenderaan yang digunakan mereka bagi melarikan diri.

“Apa yang penting, kejadian ini bermotifkan pemujaan dan bukannya perkauman mahupun gangsterism. Kita tidak mahu orang ramai membuat pelbagai spekulasi mengenainya kejadian ini,” katanya.

Abdul Majid berkata, kes tersebut akan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

"Manakala kepala terbabit dihantar ke Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom Kluang dan polis juga meminta bantuan orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kejadian itu supaya menghubungi pegawai penyiasat Asistan Superintendan Ahmad Zamry Marinsah di talian 019-7266998 bagi membantu siasatan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Dipersilakan komen.