Sehari dua ini ramai bertanya saya soalan dalam fb saya. Iaitu soalan, bolehkan buka cd bacaan Al-Quran dari qari terkenal dengan menggunakan pembesar suara. Saya tahu soalan ini popular kerana dalam beberapa akhbar yang saya baca menulis isu ini dengan memetik pendapat seorang tokoh agama. Tajuk dalam sebuah akhbar tiga hari lepas adalah "Kaset dilarang". Dalam artikel itu memuatkan,
"Umat Islam dinasihatkan tidak memainkan kaset bacaan al-Quran di dalam masjid atau surau seperti sebelum waktu solat".
Jawapannya Boleh
Pada saya, kalau orang tanya saya, bolehkah memainkan kaset al-Quran di dalam masjid, saya jawab boleh. Saya tak akan jawab tak boleh dahulu sebab ini adalah suatu perkara yang baik. Kalau tak baik tu contohnya memainkan kaset lagu di masjid, itu memang saya jawab tak boleh. Untuk tidak menyebabkan kekeliruan dalam masyarakat, ayat saya begini.
"Mainkan kaset ayat Quran di dalam masjid dengan menggunakan pembesar suara adalah dibenarkan, kecuali dengan bunyi kaset itu akan mengganggu orang yang ingin beribadat, maka itu tidak dibenarkan".
Ada banyak masa yang tidak mengganggu orang nak beribadat. Antaranya selepas solat subuh dan selepas solat asar di mana orang ramai dibenarkan solat sunat waktu itu. Orang yang memasang kaset itu pula telah memastikan tidak ada orang yang yang bersolat waktu itu, maka bolehlah pasang kaset ayat al-Quran.
Larang Membaca Al-Quran Dengan Nyaring Dalam Masjid
Walaupun dalam artikel itu dikatakan Nabi Muhammad SAW melarang membaca Al-Quran dengan nyaring dalam masjid, sebenarnya larangan tersebut bukanlah larangan sehingga tidak boleh lansung membaca al_Quran dengan nyaring. Waktu malam Jumaat di seluruh masjid dan surau di negeri Johor juga membacanya surah Yaasin dengan nyaring menggunakan pembesar suara.
Begitu juga program Membudayakan Al-Quran juga dengan bacaan yang menggunakan pembesar suara. Perkara ini tidak ada salahnya. Kalaulah, membaca al-Quran dengan pembesar suara adalah tidak salah, saya sebagai anak Johor rasa terpanggil untuk bersuara dalam hal ini. Perlu saya beritahu, selama ini di Johor tidak ada pun rungutan atau orang komplain kerana kita mengadakan 'Program Membudayakan al-Quran' dengan pembesar suara di masjid.
Saya boleh setuju dengan pendapat tokoh ini yang mengatakan memasang kaset al-Quran dengan pembesar suara pada waktu tertentu seperti sebelum azan subuh boleh mengganggu orang yang sedang tidur. Betul, negara kita berbilang bangsa dan agama dan kita perlu menghormati sesama kita. Tetapi, ada banyak lagi waktu yang tidak mengganggu orang tidur orang seperti sebelum zohor, sebelum asar, sebelum maghrib, sebelum solat Jumaat dan selepas solat Jumaat yang tidak ada salahnya kita buka kaset al-Quran. Jadi, saya tak setuju kalau dikatakan tak boleh guna pembesar suara termasuk kaset.
Elok Imam atau Bilal Yang Baca
Memang elok imam atau bilal yang baca sendiri, itu lebih baik. Tapi kita perlu dengar juga bacaan qari terkenal kerana bacaannya boleh kita jadikan panduan dan contoh. Contoh lain, ada juga masjid atau surau yang imam atau bilal belum sampai ke masjid dan tidak ada salahnya kalau noja masjid buka kaset al-Quran.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Dipersilakan komen.