Untuk Memilih Tajuk Artikel Dalam Blog Ini, Sila Taip Perkataan di sini.

04 Mac 2011

Berhemah Tangani Isu Senaraihitam Saman Ekor: Dr Ahmad Zaki Ismail



SAYA ingin mengulas mengenai keputusan kerajaan memberikan masa tambahan kepada pemandu kenderaan membayar saman ekor sehingga 10 Mac depan.

Melalui tindakan menyenarai hitam, ada empat jenis reaksi:

 Pertama, mereka yang tidak mahu banyak kerenah serta mampu membayarnya, akan terus membuat bayaran walaupun tahu ia sebenarnya tidak 100 peratus benar dan kemudian meneruskan kehidupan harian seperti biasa.

Kedua, mereka yang tidak mampu membayar tetapi amat memerlukan kenderaan untuk urusan seharian akan meminjam duit daripada rakan dan along bagi menyelesaikan saman berkenaan. Kumpulan ini bukan saja terjejas dari segi emosi tetapi kedudukan ekonominya, malah kemungkinan menyimpan dendam serta tidak berpuas hati di atas tindakan yang dikenakan.

Ketiga, kumpulan yang dengan sengaja tidak mahu membayar dan menjadikan alasan berkenaan untuk memandu kenderaan tanpa cukai jalan.

Bayangkan sekiranya berlaku sebarang insiden dan kemalangan tidak diingini yang bukan saja mengundang musibah kepada mereka tetapi kepada orang lain yang tidak bersalah.

Keempat, kumpulan celik undang-undang, intelek malah aktivis yang bukan tidak mampu membayar saman tetapi mahukan hak mereka dilindungi kerana sedia maklum mengenai segala prosedur mengenainya.

Mari kita berlapang dada melihat kes penyenaraian hitam ini secara lebih terbuka supaya semua pihak memperoleh kebaikan dan tidak terjerumus dalam satu polemik panjang yang akhirnya menimbulkan keadaan tidak selesa kepada rakyat dan kerajaan terutama menjelang musim pilihan raya yang dijangka tidak lama lagi.

Kepada pihak berkuasa, gunakanlah kuasa yang ada dengan secara bijaksana kerana setiap kesilapan dan kekeliruan yang berlaku hanya akan mengundang padah.

Kesalahan boleh berlaku tetapi elakkan ia menjadi seperti satu budaya pula sehingga menjadikannya lawak bandar raya.

DR AHMAD ZAKI ISMAIL,
Penasihat Persatuan
Pengguna Islam Malaysia.


http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Berhemahtanganiisusenaraihitamsamanekor/Article

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Dipersilakan komen.