15 April 2015
Petua Berguna Kepada Lelaki Yang Nak Kawin Dua
Lelaki ini umur 40-an kerja di sebuah syarikat swasta. Gaji dia saya tak pernah tanya tapi agaknya dalam 7-8 ribu juga. Itu tak berapa penting sangat, sebab yang pentingnya yang saya nak cerita kat sini, dia ada 2 orang isteri. Isteri pertamanya kerja cikgu berijazah umur hujung 30-an dan ada anak tiga bersama isteri pertama.
Sudah dua tahun dia bernikah dengan isteri kedua berumur 20-an yang baru keluar universiti dan tidak bekerja.
"Ustaz, saya bab kawin dua ni saya taknak rahsia-rahsia. Kalau Ustaz ker, orang lain ker tanya, saya jawab saja. Saya tak suka selindung-selindung". Cerita kawan saya ni macam bersungguh-sungguh. Dalam hati saya, belakang bini bolehlah cerita, depan bini macam tikus agaknya, hehe.
"Okey ker kawin dua ni? Isteri sekarang dah okey ker?" Tanya saya.
"Alahhh... mula-mula saja bergolak dan bergaduh Ustaz, lepas tu senyaplah, sampai bila orang perempuan ni nak marah-marah. Dia bising-bising pun, suami dia dah kawin dua, nak buat apa lagi". Cerita dia lagi menjadikan cerita makin menarik dan semakin saya nak tahu rahsianya.
Dua Tahun Dulu
Terkenang juga kisah dua tahun lalu, lelaki ini berjumpa saya dengan kawannya di Restoran Akif Johor Bahru. Saya tak kenal dia pada awalnya tapi diperkenalkan oleh kawan saya tu. Kami jumpa di kedai mamak sambil minum teh tarik untuk cerita masalah, bukan kecil-kecil masalah dia masa tu, macam dilanda gempa bumi bunyinya. Masa tu isteri dia kata nak failkan permohonan cerai ke mahkamah dan dikatakan isterinya nak mohon nafkah, harta sepencarian dan serba mak nenek kesemuanya berjumlah RM 150,000.
"Macam ni tak patutlah Ustaz, seratus ribu lebih saya nak cari mana? Bukan saya ni banyak duit. Sebelum ini pun saya dah beri nafkah cukup serba serbi. Isteri tak pernah bising tak cukup nafkah sebelum ni, tapi bila tahu saja saya bernikah lagi satu, isteri cerita macam-macam di pejabat agama, ini tak adil Ustaz". Cerita dia lagi tak berhenti, almaklumlah orang tengah ada masalah dunia.
"Oh.. Kalau betul isteri bawak kes ke mahkamah, ambillah peguam dan sama-sama lawan di mahkamah. Kalau kita tak lantik peguam nanti, bimbang kes kalah nanti". Kata saya.
Itulah ceritanya, bila isteri tahu saja suami nikah lagi,terus pergi ke pejabat agama dan nak saman suaminya dan nak tintut macam-macam katanya. Lepas tu dia mohon surat pindah ke kampungnya dan mengadu kepada ketua dia mengenai masalah rumahtangganya. Nak taknak, bos dia sokong saja, tapi hujung ceritanya tak jadi pindah pun.
Peguam Yang Berhemah Adalah Peguam Yang Beri Nasihat
"Bertenang puan... selesaikan kes ini cara baik. Tak semestinya bercerai itu adalah langkah terbaik dalam kes ini". Kata peguam kepada isteri dia.
Terkejut juga wanita ini apabila peguam nasihat dia macam tu. Dalam hati dia, dia salah ambil peguam ker ni. Hati dia terus mengherdik, dah kita lantik dia sebagai peguam, jalan sajalah kes ini, kenapa pulak nak nasihat-nasihat macam ni, macam berat sebelah pulak. Sebab tu dia lantik peguam perempuan sebab dalam hati dia dia tak percaya pada peguam lelaki yang dia kata akan menyebelah lelaki saja.
"Bukan macam tu puan, balik dulu ke rumah, fikir habis-habis, fikirkan masa depan keluarga dan anak-anak yang sedang bersekolah." Nasihat peguam tu lagi.
Akhirnya wanita ini berperang dengan peguam dia sendiri. Bengang betul dia.
"Tak apa, lebih baik saya ambil anak murid saya dulu sebagai peguam daripada ambil peguam yang berat sebelah macam ni. Saya ada anak murid yang jadi peguam tahu! Dia yang nak tolong saya habis-habisan, bukan macam awak ni, tak guna lansung" Kata wanita tu. Terus dia tak jumpa peguam tu walaupun dia dah bayar duit peguam RM500 sebelum ini.
Tak lama kemudian, terbongkarlah cerita, rupa-rupanya peguam perempuan itu adalah isteri kedua juga. Suami dia berpoligami dan ada dua isteri dan hidup mereka bahagia. Hubungan isteri pertama dan kedua serta anak-anak begitu baik. Patutlah dia beri nasihat macam tu, kurang asam betul, bisik hati dia.
"Abang mintak maaf banyak-banyak pada ayang, abang menyesal atas apa yang dah berlaku. Semuanya berlaku terlalu cepat dan abang seakan kena rasuk dengan godaan hawa nafsu abang". Kata si suami.
"Apa nak datang-datang jumpa saya lagi, pergilah dengan betina sundal tu yang awak sayang sangat-sangat tu!" Tengking si isteri.
"Ayang.. abang dah masuk dalam akaun Maybank seribu ringgit. Ambillah duit tu nak beli apa-apa". Kata si suami.
Si isteri tak kata apa-apa cuma jeling macam mata ular senduk nak serang mangsa. Dalam hati dia, ni semua nak rasuah dia guna duit pulak, dia ingat orang pelahap sangat dengan duit dia tu.
Tak Tentu Arah
Hidup si suami dalam beberapa bulan itu tak tentu arah. Bagaimanapun dia tetap balik rumah setiap hari dan uruskan persekolahan anak-anak dan makan minum. Kalau dulu dia selalu pergi main badminton, sekarang tidak lagi. Terpaksalah si suami mengalah kena tidur bilik lain sebab isteri dia dah bawa dua orang anak tidur dan kepung kiri dan kanan isteri atas katil.
Bagaimana Boleh Kantoi?
Lelaki 40-an ini bernikah dengan gadis 20-an sebaik saja gadis ini tamat pengajian universitinya. Sebenarnya sebelum kawin, dia dah kenal dalam setahun secara kebetulan melalui facebook. Jadi ada baik juga facebook ni, bantu orang cari jodoh dan bantu nak tambah jodoh sekali. Gadis ini pula seleranya macam lain sikit dari orang lain. Dia suka kepada lelaki yang dah ada isteri atau lelaki yang jauh lebih tua darinya.
Semasa belajar, ada rakan sebaya dan umur 2-3 tahun darinya nak mengoratnya, dia tak layan, tak ada selera katanya. Tapi bila suami orang layan, dia suka. Sebelum kawin, gadis ini cakap mengenai jodohnya iaitu suka yang sudah ada isteri atau bujang yang lebih 10 tahun tua darinya. Gadis ini kadang-kadang hairan dengan minat dan seleranya terhadap lelaki. Pada dia, lelaki yang 40-an ini matang dan pandai ambil hati, tak macam lelaki 20-an sepertinya yang kebudak-budakan.
Gadis ini sendiri beritahu ibu bapanya yang dia nak kawin dengan seorang lelaki suami orang. Pada mulanya ibu dan bapanya menghalang tetapi akhirnya ibu dan bapanya akur juga dengan kehendak anak perempuannya. Mereka akhirnya bernikah senyap-senyap tanpa pengetahuan isteri pertama. Lepas bernikah, dia bawa isteri keduanya ini berpindah ke Johor Bahru dan tinggal di sebuah pangsapuri berpagar dan ada pengawal keselamatan. Jarak rumah isteri pertama dan kedua adalah dalam 16 km.
Perkahwinan ini dirahsiakan ketat-ketat dan mengharapkan isteri pertama tak tahu cerita ini. Bagaimanapun, rahsia mereka hanya bertahan 8 bulan saja, akhirnya isteri pertama tahu juga. Sebelum tahu itu, si suami mulakan lakonan dan gerak geri dengan berhati-hati supaya isteri tak syak. Dia tak pernah tidur malam di rumah isteri pertamanya tetapi setiap hari dia datang ke rumah isteri keduanya. Pada hari bekerja, si suami selalu balik lambat kononnya untuk main badminton dengan kawan-kawan. Memang dia aktif dalam sukan badminton sebelum ini tetapi dia dah beberapa tahun tak aktif sebab sibuk bekerja. Maka sejak kawin senyap-senyap, dia mula aktif semula tapi bukan main badminton betul-betul, tapi main badminton kat rumah bini muda.
Si isteri pertama kira lurus bendul juga tapi lama-lama, timbul juga syak. Tiap kali balik kerja terus main badminton dan kenapa tak balik rumah dulu? Masa balik pun, tengok baju suami basah dua helai tapi bila dipegang dan dihidu, tak ada pun bau peluk, macam air paip biasa saja. Pernah pula satu hari tu, mereka suami isteri keluar ke sebuah kedai makan bersama anak-anak. Tiba-tiba berjumpa kawan suami dia dan kawan tu tanya suami dia.
"Kenapa dah lama tak main badminton, turunlah bila-bila senang". Kata kawan suami dia pada suami dia. Suami tersipu-sipu menjawab.
"Erkk.. dah main tempat lain, dah ada geng baru, erkkk". Kata si suami macam gigil. Lepas tu suami cepat-cepat tukar topik lain.
Si isteri yang tengok suami dia gelabah dah bertambah-tambah syak. Lagi pun, orang bersukan hari-hari ini perut ada kempis sikit dan lengan ada berbentuk sikit, ini tidak. Lepas tu suami dia ni, buat macam baik sangat dan tak macam dulu. Kalau pergi mana-mana, ada saja hadiah untuk isteri terutama tudung-tudung yang bermacam-macam fesyen tu. Pandai betul dia pujuk hati isteri.
Macam mana si isteri dapat tahu suaminya kawin lagi satu yer?
Kita tunggu sambungannya pada episod kedua.
....BERSAMBUNG KE EPISOD KEDUA
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Dipersilakan komen.